Masihkah menggelegak atau mendidih semangat kita di saat ini untuk melakukan sesuatu? Esok sudah tahun baharu Masihi.
Setahun berlalu bermaksud telah banyak yang kita lakukan, telah banyak yang kita usahakan. Banyak yang boleh kita imbas kembali, tak kiralah saat manis atau saat pahit. Ada yang berjalan seperti yang dirancang, ada berjalan walau tak dirancang, ada dirancang lain jadinya dan macam-macam lagi. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa jika tidak dipecah ruyung di mana boleh mendapat sagu. Maksudnya dalam Kamus Edisi Keempat ialah tidak akan tercapai cita-cita dengan tidak berusaha kuat. Ruyung di sini bermaksud kulit atau kayu yang keras daripada batang rumbia. Peribahasa ini menunjukkan bahawa jika mahu sesuatu, kita perlulah berusaha dengan sedaya upaya.
Setelah setahun kita berusaha, mestilah ada sesuatu yang boleh kita bawa sebagai pedoman untuk mengharungi hari esok serta hari berikutnya selagi ada kudrat dan hayat. Sesuatu yang bererti pasti menanti kita selagi mana ada usaha dengan semangat yang menggelegak atau mendidih berterusan dalam diri kita, Insya-Allah. Selamat Tahun Baharu 2024.
Translate
Sunday, December 31, 2023
Gelegak
Thursday, December 28, 2023
Ucap
Tuesday, December 26, 2023
Tonik
Sunday, December 24, 2023
Ada
Menjadi kuat impian semua orang kerana hidup memerlukan kekuatan batin dan zahir.
Mengejar impian memerlukan kekuatan. Mental dan fizikal perlu bersedia kerana latihan keras diperlukan dalam proses menjadi lebih kuat. Apa-apa saja yang kita kejar atau impi akan ada kepayahannya. Semakin tinggi yang diimpi, semakin tinggilah tahap kesukarannya. Latihan demi latihan, pengalaman demi pengalaman harus diharungi, kadang-kadang banyak pahit daripada manisnya. Berparut itu biasa, di luar dan di dalam akan meninggalkan parut, itulah yang akan lebih menguatkan kita selagi mana kita tak putus asa dalam perjuangan. Tersalah langkah, tersilap memilih, terburu-terburu, salah petunjuk, semuanya akan mengajar kita supaya tak terjun ke dalam lubang yang sama dua kali atau berkali-kali. Kadang-kadang kita rasa sendiri dan kadang-kadang dikelilingi riuh tetaplah dihimpit sunyi, bermacam-macam yang akan kita lalui.
Setiap saat Allah SWT ada untuk kita. Segala kekuatan ialah milik-Nya dan segala ujian daripada-Nya tak lain tak bukan untuk menjadikan kita lebih kuat. Parang tak akan tajam kalau tak diasah, permata tak akan bersinar kalau tak dicanai, begitulah juga kita.
Friday, December 22, 2023
Rai
Monday, December 4, 2023
Erti
Setiap kali melangkah, kita akan menemukan sesuatu yang baharu, sedar atau tak sedar itulah yang berlaku.
Dengan perhati, dengan mendengar, dengan bertutur dan dengan bertindak, akan kita dapat sesuatu jika kita mahu, jika tidak, semuanya akan berlalu jika kita abaikan. Ada saja kita dapat pelajari tatkala memulakan langkah, tatkala berhenti, tatkala melangkah kembali. Langkah kanan itu mujur dan langkah kiri itu tidak beruntung, itu peribahasa Melayu, simpulan bahasa. Untung atau tak beruntung tatkala melangkah, tetap mengajar kita walau tersalah langkah. Melangkah dan mendongak, kita nampak yang di atas, tersandung, kita sedar yang ada di bawah. Asalkan kita dapat sesuatu, itu yang akan memandu.
Melangkahlah dengan berhati-hati, jika mahu cepat boleh berlari, banyak yang akan menanti, walau apa-apa yang kita temui, akan lebih bernilai jika dimengerti, Insya-Allah.
Saturday, December 2, 2023
Sajak - Bau Benar
Hujan
aku mahu menikmati sejukmu
dalam kehangatan kopi
bau benar yang bertebar
hidungku sungguh pasti
pedas di dalam mulut
cengkih yang kumamah
itu juga benar pasti
tak dapat kubendung
tak dapat kukurung
apa-apa yang terselindung!
Tuesday, November 28, 2023
Rimbun
Dua minggu lepas, kami berkonvoi, hujan sudah pun mengiringi seperti waktu ini. Sewaktu perjalanan, sudah banyak ceritanya, belum lagi ceritanya di tempat yang dituju.
Menuju ke destinasi yang sama, walau berhenti di tempat yang tak sama sepanjang perjalanan, masing-masing menyampaikan pesan dalam media sosial bertanya sudah sampai di mana. Eratkan ukhuwah yang telah terjalin membawa kami sepertinya peribahasa Melayu ke bukit sama mendaki, ke bukit sama menurun. Berhenti untuk makan, berhenti untuk ke jamban dan berhenti silap jalan itu antara yang terjadi. Sampai, masih ada masa untuk ambil angin, masing-masing mencari tempat yang sesuai, makan-makan dan berbual. Tak sama suasananya di tempat kerja, ceritanya pun berbeza. Program bermula, lagilah lain ragamnya. Bagaikan baru berkenal, bertanya untuk mengenal, mahu kuatkan ukhuwah. Aktiviti sederap selangkah menguji kekuatan kerjasama, menguji kecerdasan akal.
Pulang pun diiringi hujan dan hujan sememangnya rahmat yang sangat besar untuk kita. Hujan sentiasa bercerita dan mempunyai cerita untuk kita. Walau dalam hujan, rintik-rintik kemesraan merimbunkan pohon ukhuwah.
Thursday, November 2, 2023
Didik
Dua hari adik memakai medalnya dan mahu memegang sijilnya. "Kalah pun dapat, " katanya gembira.
Jatuh banyak kali dan bangkit kembali, semangat terus menyala, itulah anak-anak, Alhamdulillah. Syukur, anak-anak kita masih di sisi kita tatkala kita bersedih melihat nasib anak-anak di Palestin. Menurut laman www.ismaweb.net, setiap seorang kanak-kanak terbunuh setiap 10 minit di Gaza dalam perang yang berlanjutan antara Israel dan Hamas. Menjadi tugas kita untuk memahamkan anak-anak kita tentang isu di Palestin kerana kita tidak mahu mereka membesar sebagai orang yang sengaja membutakan mata untuk menafikan kebenaran dan menjadi orang yang tidak mahu ambil tahu atau menjadi orang yang cukup takut dengan isu Palestin. Negara kita pernah dijajah dan dirompak segala hasil bumi, namun negara Palestin bukan setakat dijajah, malah mahu diambil terus negara itu daripada mereka, itulah yang diberitahu Ustaz. Tak ada siapa-siapa pun yang mahu tempat tinggal mereka diambil penjajah dan dilayan dengan kejam tanpa perikemanusiaan.
Berdoalah kita untuk kemenangan dan kebebasan Palestin. Bantulah dengan segala yang kita mampu dan didiklah anak-anak kita dengan sejarah Palestin supaya anak-anak kita akan menjadi pelapis yang berjuang untuk Palestin. Berdoalah supaya yang tidak memahami isu Palestin terbuka minda mereka dan diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk melihat kebenaran.
Friday, October 27, 2023
Yang Manakah Kita?
Sunday, October 15, 2023
Bantu
Friday, September 29, 2023
Di Mata Mana
Sunday, September 24, 2023
Cubalah
Saturday, September 23, 2023
Hidup Berjasa
Keluar pagi tadi, tiga ekor anjing di tepi jalan, empat ekor merpati baru hinggap di wayar elektrik sebelum sampai ke simpang, ada dua ekor anjing lagi, awal bermain.
Tak nampak pula kawanan monyet atau kera pagi ini. Bukti bertentangan mata belum ada, rasanya kerja monyet atau kera yang sudah tahu tempat simpan makanan kucing, habis bertaburan makanan kucing jatuh. Sampai di tempat kerja, parkirnya bukan di tempat biasa. Kon-kon bertulis 'Polis' diatur di tempat tertentu. Menguruskan sesuatu yang patut, kemudian telefon berbunyi, lagu Dato' M. Nasir, Di Balik Cermin Mimpi, lantas melangkah ke dewan. Habis ceramah, sempat ke pameran Perhilitan, Selamatkan Harimau Malaya, ya, harimau pun banyak jadi mangsa, perlu diselamatkan daripada manusia durjana. Selesai acara yang panjang di dewan, semua melangkah keghairahan, aksi yang tak boleh dilepaskan, anjing K9 beraksi, menunjukkan tangkasnya, bantu manusia cegah jenayah.
Ah, teringat pula beberapa hari lepas Sasterawan Negara ke-15, Dato' Rahman Shaari mendeklamasikan sajak Chairil Anwar, 'Aku Ini Binatang Jalang' di UniPSAS. Sedangkan binatang tak berakal pun ada gunanya, apalagi kita khalifah di bumi. Ya, gunanya kita untuk jadi insan yang berguna, walau dikeji, walau dipuji, teruslah Hidup Berjasa!
Tuesday, September 19, 2023
Kalau Boleh
Sajak - Kromosom Penghubung Cinta
Saturday, September 9, 2023
Tak Akan Lagi Tepu Keliru
Sudah tepu keliru,
tak dapat lagi dihitung
hari-hari yang mendatang
kerana sudah tak ditemui
Sabtu dan Ahad.
Memandang bagai semuanya sama
seperti Isnin, Selasa, Rabu, Khamis
dan Jumaat yang berselawat,
saat-saat dan hari-hari yang berselawat buat
tak akan lagi tepu keliru kerana kata Ustaz
Allah SWT berselawat untukmu!
Wednesday, September 6, 2023
Perjuangan
Wednesday, August 30, 2023
Merdeka Itu Cinta
Aku, engkau dan dia
jagalah Merdeka sebagaimana
tertib menjaga dirimu
Merdeka itu wangi dan rapi.
Aku, engkau dan dia
jagalah Merdeka sebagaimana
siaga menjaga kehormatanmu
Merdeka itu harga diri.
Aku, engkau dan dia
jagalah Merdeka sebagaimana
cermat menjaga harta bendamu
Merdeka itu mahal tak ternilai.
Aku, engkau dan dia
jagalah Merdeka sebagaimana
elok menjaga ahli keluargamu
Merdeka itu cinta.
Tuesday, August 29, 2023
Pantun Merdeka
Susah senang bersama-sama,
Tak kira kaum bahu-membahu;
Satu padu kunci utama,
Adat budaya diambil tahu.
Monday, August 28, 2023
Pantun Merdeka
Hadam sejarah elakkan onar,
Putera puteri harapan negara;
Sayang negara bicara benar,
Kata dikota negara sejahtera.
Saturday, August 26, 2023
Penghubung
Esok Ahad, 27 Ogos 2023, hari terakhir Pesta Buku Pahang di Dewan Majlis Bandar Raya Kuantan.
Menghampiri pukul 12 tengah hari, kami sampai, ikut jalan Kemunting. Belum masuk ke dewan pun sudah ramai, apatah lagi di dalam dewan. Buku tetap menjadi pilihan banyak orang. Rambang mata, di atas pentas ada bicara, penulis sedang membentangkan pengalamannya. Penulis yang menyapa, Saudara Azraei Muhamad, dengan bukunya yang terkenal 'Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima', sempat kami berborak. Sebelum itu, bertemu penulis prolifik sejarah Islam, Pak Latip (Abdul Latip Talib) dan sempat juga mencapai buku Mutiara Pantun Melayu, karya Sasterawan Negara Dato' Dr. Zurinah Hassan dan antologi drama radio Duka Wanang Seri, ditulis Puan Che Norsiah Che Omar (Kak Yah), isteri Cikgu Asmui Mustapa. Sebelum balik rezeki bertemu idola sejak kecil, kartunis Ujang, biasa tengok di Tik Tok, hari ini dapat bersembang, Alhamdulillah.
Membesar dengan buku, satu perkara yang mengasyikkan. Ralit membaca buku itu hanya yang membaca dapat merasakan. Pengalaman setiap orang tak sama, maka buku menjadi penghubung antara kita. Dapat bertemu dengan yang menulis dan melukis, satu perkara yang lebih mengujakan. Membacalah kerana membaca boleh membawa kita ke dunia lain!
Friday, August 25, 2023
Walau Kautahu akan Kaucelaka
Nampak benar kautak dampingi
salah itu tetap kaucari.
Adakah itu petanda
hatimu telah mati?
Masihkah kausangsi
janji Maha Menyaksikan?
Mati tak peduli
sujud atau berdiri
menapak atau berlari
bersama atau sendiri
terang-benderang atau gelap hari
bingit ataupun sunyi.
Masih kaucari hidayah
walau di depan matamu sendiri
acap kali bertembung.
Mati itu sering mengintip
dan mengekorimu
masihkah kauterpesona
walau kautahu akan kaucelaka?
Thursday, August 17, 2023
Engkau Tak Tahu
Friday, August 11, 2023
Abadi
Seminggu yang sentiasa sibuk, pastinya begitu bagi yang bekerja. Apabila banyak program, banyaklah perkara yang berlaku.
Sekejap saja, Sabtu kembali, 12 Ogos. Minggu lepas, Ayah berulang alik menghantar makanan ke Pekan. Cikgu Zaidi dan Cikgu Karim sudah menanti di sana. Jumaat dan Sabtu, anak-anak tingkatan 2 berkampung untuk Kem Jati Diri ditemani Cikgu Nani, Cikgu Siti, Ustaz Nabil, Cikgu Khairi dan Cikgu Syahmi. Pagi Ahad pula, sebelum Subuh sudah bertolak. Dalam perjalanan, banyak perkara dan orang yang kita temui. Ada yang kita sudah kenal dan ada yang kita baru kenal. Semalam dan hari ini, bagi yang balik mengundi di enam negeri, lagilah banyak menemui sahabat lama dan mungkin kawan baharu yang sama-sama mahu menunaikan kewajipan untuk memilih pemimpin yang ada integriti, boleh buat kerja dan mampu membawa kita menemui bahagia di dunia seterusnya akhirat.
Hidup memang sentiasanya sibuk dengan kerja dan sentiasa ada pilihan. Kita boleh memilih dengan siapa-siapa kita mahu berkawan dan kita boleh ambil perkara yang baik-baik daripada sahabat walau lain pendapat. Kerja sama-sama sepenuh hati menuju ke tempat sama, syurga yang abadi.
Friday, August 4, 2023
Mekar
"Tak ada yang lama, tak ada yang baharu," begitulah kata-kata yang meniti di bibir Ustaz Fuad hari Jumaat minggu lepas sewaktu berborak dengan Cikgu Hussin.
Selasa minggu ini, hari terakhir Abah di Semsas. Semalam, 3 Ogos, majlis meraikan persaraan Abah Dan Cikgu Najah. Maka, beraraklah pendekar-pendekar dan srikandi-srikandi ke Dewan Al-Khawarizmi bersama dengan sejuta ingatan dan kenangan. Kenangan bersama dengan Abah itu terlalu banyak, apatah lagi bagi Cikgu Najah yang sebahagian besar hidupnya berbakti dan Hidup Berjasa di bumi Semsas sejak 1992 hingga 2023. Malam Jumaat bersambung di AC Hotel. Ustaz Fuad terus menyambung kata sebagai pengantara. 25 tahun Abah mengajar di sekolah lelaki saja, kemudiaan dari tahun 2014 hinggalah 2023, Abah Hidup Berjasa di Semsas. 33 tahun Abah tahun berkhidmat, banyak pahit manis pengalaman yang dilalui.
Nikmat menjadi seorang pendidik tentulah pengalaman yang sukar ditukar ganti. Bertemu dan berpisah itu sudah lumrah dan panggilan Cikgu itu akan berkekalan walau di mana-mana jua. Ukhuwah itu akan terus terjalin selagi mana bunga-bunga kenangan terus berkembang dan mekar di taman jiwa.
Tuesday, July 18, 2023
Hijrah
Saturday, July 15, 2023
Luar Biasa
Thursday, July 13, 2023
Ukhuwah
Selagi wisel penamat belum ditiup, selagi itu semangat mesti dan terus menyala.
Kejar mengejar berlangsung hampir sepanjang masa, begitu juga dengan pungutan mata. Yang bermain berkobar-kobar, yang menyaksikan berdebar-debar. Sorakan demi sorakan disusuli laungan semangat, bermandi peluh yang sedang berjuang. Bola dilantunkan berkali-kali, dibaling, dilontar, diacah-acah, dirampas dan ditepis tanpa henti, itulah antara yang berlaku setiap kali pertembungan antara pasukan. Bertemu buku dengan ruas, bertambahlah sengit perlawanan dan setiap saat menjadi genting bagi setiap yang ada di gelanggang, begitu juga yang di luar gelanggang. Emosi dan akal saling bertembung dan berselisih, siapakah yang akan berjaya menguasainya?
Segenting mana pun pertembungan atau situasi, akhirnya ukhuwah akan tetap terus menyala dan bersinar di dalam gelanggang dan di luar gelanggang. Kemenangan tetap diburu dan terjalinnya ukhuwah itu pun sudah satu kemenangan besar untuk kita semua, Alhamdulillah.
Wednesday, July 12, 2023
Selamat Berjuang
Semalam, semua pasukan telah tiba. Pastinya persediaan untuk hari ini telah bermula sejak awal.
Semua bersiap bersedia untuk menjadi Johan. Semua perlu menunjukkan kehandalan dan keunggulan. Setiap pasukan mempunyai jagoan masing-masing. Masing- masing ada ayam tambatan. Jaringan yang sangat banyak itulah yang dicari dan kemahiran yang ditunjukkan sudah tentulah sudah diasah dengan begitu lama, jika tidak pasti akan 'berkarat'. Pastilah kita sering mendengar kata-kata Lao Tzu, "Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah." Kata Ralph Waldo Emerson, "Tidak ada perkara besar dapat dicapai tanpa keghairahan." Maka, latihan tetaplah terus giat berjalan untuk mencapai matlamat yang telah diputuskan bersama-sama.
Begitulah kita setiap hari, persediaan mesti ada untuk mencapai apa-apa yang kita inginkan. Apabila kita telah bersedia dan melaksanakannya dengan tekun, kita telah pun menjadi pemenang kerana orang yang menang sentiasa ada impian untuk dicapai, tetap berusaha untuk menggapainya walau jatuh banyak kali dan tak putus untuk terus bangkit. Selamat Berjuang!
Sunday, July 9, 2023
Nikmati
Thursday, July 6, 2023
Anai-anai Buta
Saturday, July 1, 2023
Al-Fatihah
10 Jun 2023 (Sabtu) kami bergegas ke Simpang Pelangai dan dua hari lepas, 30 Jun 2023 (Jumaat) , Aidiladha kedua kami bergegas ke Sungai Petani. Perjalanan mengejut.
Kali terakhir kami berjumpa Pak Lang Awang Dan Mak Teh Melah sewaktu kenduri rumah Pak ndak Leh, 4 Mac 2023. Kedua-duanya telah diambil pergi, sudah sampai masanya, meninggalkan kami semua, Al-Fatihah. Sewaktu ke Simpang Pelangai, kami sempat melihat Pak Lang Awang buat kali yang terakhir dan sewaktu ke Sungai Petani, Mak Teh Melah telah selamat dikebumikan. Jumaat yang mulia, hujan mengiringi kami sampai. Keluarga Mak njang Liah Dan keluarga Cik Kob sampai lebih awal. Keluarga Pak Su Karia dan keluarga Di pun sudah ada.
Yang telah pergi, tetap kita ingati, kita pun akan pergi juga. Hanya kenangan yang tinggal untuk kita simpan. Bersama-samalah kita menikmati dan menghargai saat-saat kita bersama sebelum masa itu berlalu pergi. Al-Fatihah untuk yang telah meninggalkan kita.
Monday, June 26, 2023
Bangkit
Bangkit! Itulah yang perlu dilakukan setelah jatuh secara fizikal mahupun mental.
Bangun jatuh dan jatuh bangun sering berlaku dalam hidup kita, sejak kecil kita mengalaminya. Tengoklah anak-anak kita, mula-mula belajar berjalan, tak pernah putus asa, walau ada rasa sakit dan mengalir air mata tetap berusaha bangkit kembali. Begitulah juganya kita bermula sehinggalah pandai berdikari, Alhamdulillah. Setiap hari, proses untuk bangkit menjadi lebih baik berlangsung. Pendedahan demi pendedahan, pengalaman demi pengalaman harus dirempuh untuk menguatkan diri dan mematangkan diri. "Hidup ini keras!" inilah kata-kata yang disebut orang sekarang. "Lemah!" ini juga antara kata yang sering digunakan untuk orang sekarang untuk tujuan tertentu dan jika terkesan, mungkin boleh melambatkan proses bangkit kembali. Untuk bangkit kembali, kekuatan fizikal dan mental diperlukan kerana cabaran yang berjaya menjatuhkan kita tidak seharusnya dibiarkan begitu saja.
Mahu tidak mahu, jika mahu jadi lebih baik, 'bangkit' jawapan yang paling tepat. Untuk bangkit, kumpullah kekuatan sebanyak mana yang mungkin, kekuatan itu mungkin telah ada dalam diri kita dan kekuatan itu juga mungkin ada di sekeliling kita. Berusahalah untuk kembali bangkit selagi boleh sebelum kita kembali menjadi tanah.
Friday, June 23, 2023
Tahniah
Sunday, June 18, 2023
SELAMAT Hari Bapa
Tuesday, June 13, 2023
Ukhuwah
Semalam 12 Jun 2023, Isnin, Ustazah Maizom memberi amanat terakhir kepada anak-anak Semsas sebelum bertugas di tempat baharu. Beliau menekankan kepentingan mengimbangi antara dunia dan akhirat supaya kita cemerlang di sini dan di sana. Beliau juga mengingatkan anak-anak agar berlapang dada dalam menerima teguran cikgu.
Hari ini pula, 13 Jun 2023, sesi penggambaran berlangsung. Setiap hari kita akan mencipta kenangan. Sebagaimana Cikgu Nasir yang tak dapat dipisahkan dek kenangan, begitulah jua kita semua. Kata orang, kita perlu menghargai seseorang sewaktu mereka ada, tidaklah apabila kehilangan, asyik sering menyebut-menyebut, merindu dan meratapi. Kenangan itu banyak menyatukan kita semua. Saat bersama-sama itu saat yang paling indah untuk dikenang. Tatkala bersama, banyak kenangan dibongkar, menjadi cerita dan menjadi pengajaran untuk melalui kehidupan yang mendatang.
Semalam, hari ini dan esok semuanya menjadi kenangan. Kenangan dicipta setiap hari bersama dengan insan-insan di sekeliling kita. Kenangan-kenangan itu yang mengeratkan ukhuwah antara kita walau satu hari nanti mungkin kita masih bersama atau mungkin akan berjauhan.
Monday, June 12, 2023
Kaupuisi Hidup
Aku mempuisikan dirimu
kerana engkau sebuah puisi hidup
kaki kecilmu yang melangkah laju
selalu tahu hala tuju
adakalanya tersandung
pantas kaubangun
menepuk seluar yang kotor carik
lutut yang tergores bergaris
kautahankan rasa pedih
kautetap terus berlari lagi
mengejar buih-buih sabun
buat kauriang buat kauterhibur
walau kautahu hadirnya
hanya beberapa saat
tapi gembiramu tetap beribu
kerana kaupuisi hidup
yang tahu menghargai setiap saat
yang muncul walau hanya sekejap.
Thursday, June 8, 2023
Fokus Dan Tahniah
Merancang itu sentiasa ada dalam kepala kita dan begitu banyak sekali. Jika yang dirancang ditulis atau dirakam, rancangan itu tidak akan hilang. Jika dilaksanakan, itu yang terbaik.
Setiap hari, yang dirancang kadang-kadang sangat berjaya, kadang-kadang separuh jalan dan kadang-kadang tak berjaya dan kadang-kadang terpaksa diubah suai barulah berjaya. Kata E.M. Forster dalam buku Mutiara Kata susunan Adi Alhadi, "Kita harus melepaskan kehidupan yang kita rancang, bagi membolehkan kita mendapat kehidupan yang menanti kita. Boleh direnungkan juga kata-kata ini untuk muhasabah diri. Abah Semsas pula sentiasa menyebut tentang GPS 1.6. Sewaktu berkursus dengan Dr. Azizan Osman, beliau sering mengingatkan bahawa kata-kata yang baik itu satu doa. Maka, anak-anak, pentadbir, guru-guru, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat konsisten terus menjalankan usaha mengikut kepakaran masing-masing demi mengejar fokus yang sering diulang-ulang Abah Semsas.
Zephros telah mencipta kenangan yang sangat manis untuk dikenang serta akan sering menjadi sebutan dan tugas kita semua sepanjang masa adalah kekal fokus untuk memecahkan rekod baharu yang telah dicipta. Walau apa-apa pun yang berlaku, usaha atau rancangan mesti ada dan terus berjalan untuk menggapai fokus yang mahu dicapai bersama. Akhirnya, rancangan Allah SWT itu jualah yang paling terbaik, Alhamdulillah, Tahniah Zephros!
Wednesday, June 7, 2023
Usaha Jaya
Pengalaman ambil keputusan SPM memang mendebarkan, tambah-tambah orang yang banyak 'merah' macam Ayah.
Opah pun tak tahu Ayah nak ambil keputusan SPM. Balik naik bas sangkut-sangkut dari rumah Nenek, menjinjit beg baju. Sampai di sekolah, semua ambil keputusan di padang, di astaka. Naik tangga astaka sudah cukup mendebarkan. Dengar Cikgu bersuara, "Ambil borang! Ambil borang!" Ayah pun tanya kawan Ayah,"Borang apa?" "Borang mengulang!" Ya, jawapan yang membuatkan rasa menyesal sebab bertanya dan bertambah-tambah debaran dan segala macam rasa. Guru kelas Ayah menghulurkan slip peperiksaan, seakan-akan dilipat dan Ayah mengambilnya tanpa membuka lipatan dan terus melangkah menuruni tangga astaka.
Walau bagaimanapun debarannya, walau bagaimanapun rasanya, walau bagaimanapun keputusannya, mahu tidak mahu, keputusan akan berada di dalam genggaman. Insya-Allah, rezeki sentiasa akan ada untuk kita selagi mana kita berusaha. Moga maju jaya, Usaha Jaya dan terus Hidup Berjasa.
Monday, June 5, 2023
Batas
Semua mahu bebas, mungkin sebebas burung atau apa-apa saja mengikut pandangan kita dan jangan kita jangan lupa bebas itu sahabat karibnya ialah batas.
Sebebas mana pun yang kita mahu, batas tetap pantas mengekori kita kerana bebas tanpa batas itu sesuatu yang mustahil. Selagi mana kita rasa sihat, selalunya kita mahu sebebas-bebasnya tanpa peduli apa-apa pun dan langit tidaklah selalu cerah kerana kesakitan itu sebahagian daripada kehidupan dan malang tak berbau. Doa sentiasa dipinta supaya sihat sejahtera dan kesakitan tetap jua datang kerana itu ujian untuk yang hidup. Kesakitan itulah sebahagian daripada batas. Mungkin ada masa sakit itu boleh kita tangani sendiri dan ada masanya kita memerlukan yang lain untuk membantu. Cuba bayangkan atau imbas kembali, pabila kesakitan menimpa, bebas sudah terbatas, siapa yang sangat risau dan sentiasa di sisi kita? Selalunya yang membantu pastilah yang hampir dengan kita, yang sentiasa ambil berat, yang sentiasa menyayangi kita dan yang sentiasa ada tatkala kita susah senang. Banyak yang di sisi ketika kita kita bebas, pabila sudah terbatas, siapakah yang tetap di sisi untuk kita?
Bebas itu janganlah sampai memudaratkan dan bebas itu tidaklah sebenar-benarnya bebas kerana kita sebagai hamba mempunyai batas, kebebasan yang sebenar bukannya di sini, kerana di sini hanyalah satu persinggahan.
Wednesday, May 31, 2023
Simpan
Sunday, May 28, 2023
Perhati
Thursday, May 25, 2023
Hidup Berjasa
Musim bunga kembali, bunga kembali mekar dan Ibu kembali menjejakkan ke sini sebagai Tetamu Kehormat.
Dikenali sebagai Ibu di Semsas, Puan Roslina binti Abd Aziz meneruskan Hidup Berjasa, kini beliau merupakan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid dan Kepimpinan, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia. Ibu kembali ke sini menitipkan pesan untuk anak-anak, pesan untuk mendakap kecemerlangan. Perjalanan menuju kejayaan itu memang sangat panjang dan pastinya berliku-liku. Peribahasa Cina ada menyatakan bahawa sebutir permata tak akan berkilat tanpa digosok, begitu juga dengan seorang manusia yang tak akan sempurna tanpa ujian kehidupan. Dengan segala daya upaya dan cara, ilmu seharusnya dituntut dan dipelajari untuk mencapai apa-apa yang kita cita-citakan. Kata Ibnu Mubarak, "Aku hairan orang yang tidak menuntut ilmu! Bagaimanakah ia mahu membawa dirinya kepada kemuliaan?"
Umpama bunga-bunga yang berkembang mekar, begitulah impian kita untuk mengecap kecemerlangan dalam kehidupan, sentiasa mekar di dalam taman jiwa kita. Ingatlah, sudah menjadi tugas dan kewajiban kita, mengejar kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Hidup Berjasa!
Sunday, May 21, 2023
Percaya
Ayah tak sepandai Umi buat roti telur. Maka, dengan kepercayaan yang ada, dan sedikit bantuan ilmu daripada Encik Google, Ayah mula bertindak.
Kepercayaan sentiasa harus ada dalam diri kita. Kepercayaan ini banyak mendorong kita dalam meneruskan kehidupan seharian. Kepercayaan yang sedikit biasanya akan disertai tindakan yang lambat, ditambah pula dengan kurangnya ilmu, akan bercambahlah ketidakyakinan dalam diri. Jika sudah ada ilmu perlu pula diamalkan kerana jika tidak diamalkan, kita akan tidak nampak atau merasa hasil daripada tindakan atau amalan tersebut. Tentu kita pernah mendengar peribahasa Melayu yang sering disebut orang, "Alah bisa tegal biasa." Begitu juga kata-kata dalam bahasa Inggeris yang berbunyi, "Practice makes perfect." Sekecil-kecil kerja hinggalah sebesar-besar kerja memerlukan percaya sebagai pemula.
Bermula dengan percaya dan berakhir dengan tindakan, itulah antara cara untuk menambah baik diri kita sendiri. Kepercayaan yang banyak dan didorong ilmu yang cukup serta tindakan yang cepat membuatkan kita lebih cepat dapat melihat kesan atau hasilnya, kemudian dapat menambah baik atau mengubah suai jika ada kekurangan. Percayalah!
Thursday, May 18, 2023
Senyum
Monday, May 15, 2023
Sebab
Kucing memang suka menjilat. Hidung sendiri pun kucing jilat. Setiap tingkah laku, setiap tabiat sudah tentu bersebab. Begitu juga dengan manusia.
Setiap orang ada tingkah laku tersendiri. Setiap tingkah laku, hanya tuan punya badan yang jelas dengan sebabnya. Orang lain boleh meneka, boleh jadi betul, boleh jadi salah. "Ya, baik! Baik ada makna tu!" kata Pak Ali merujuk kepada Abang Jamil yang menyuruh Rohani memanggilnya dengan panggillan tersebut. Itu antara dialog yang kita ingati dan tingkah laku boleh berubah sekelip mata kerana sebab tertentu. Ada tingkah laku yang sudah menjadi tabiat . Ada juga tingkah laku mengikut keadaan atau situasi dan ada juga tingkah laku disebabkan pengalaman serta peristiwa.
Kita tidak boleh lari dari sebab. Sebab boleh menbentuk diri dalam melalui hidup sehari-hari. 'Sebab' seharusnya menambah kualiti hidup kita pada setiap masa kerana hidup yang lebih baik memerlukan sebab yang betul. Sebab yang betul dapat menggerakkan tingkah laku kita dan seterusnya tingkah laku itu sebaik-baiknya dapat menjadi ikutan orang lain.
Saturday, May 13, 2023
Pantun Melayu - Hari Ibu
Tuesday, May 9, 2023
Waras
Apakah yang kita cari-cari dalam hidup ini? Apakah yang kita tunggu-tunggu selama ini?
Ada yang suka mencari dan kemudian menanti. Ada yang suka menanti dan kemudian mencari. Kadang-kadang, apa-apa yang kita cari sudah ada di depan mata, tapi kita masih tak sedar kerana fokus kita mungkin bercabang-cabang. Kadang-kadang, apa-apa yang kita tunggu tak terpacul pun sampai sudah, mungkin sudah ada, tapi kita yang tak perasan. Apabila sudah cari tak jumpa, sudah tunggu tak kunjung tiba, maka mulalah timbullah pertanyaan. Daripada pertanyaan, mulalah berkembang andaian. Andaian yang beranak-pihak kadang-kadang boleh menjadi sesuatu yang menyulitkan dan boleh jadi juga sangat menyenangkan, bergantung kepada prasangka, persepsi dan keadaan sekeliling .
Hidup sememangnya penuh dengan pencarian dan penantian. Segala-galanya perlu dilalui dengan fikiran rasional kerana kewarasan amat diperlukan dalam apa-apa jua situasi walaupun ada yang sangat menyakitkan.
Raikan
Menjelang hari raya, akan ada beberapa aktiviti telah disusun dan kebiasaannya menjadi acara wajib sebelum raya. Khamis 27 Mac, Majlis ...
-
Baulu atau bahulu? Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ejaannya BAULU. Baunya pun dah sedap. Rasanya sudah tentu sedap.Baulu memang sedap. Berta...
-
Ada empat maksud tongkol dalam Kamus Edisi Keempat. Salah satu maksud tongkol ialah tempat butir-butir jagung tumbuh atau mel...
-
'Di sini Pemimpin Dilahirkan', Ayah terbayang-bayang perkataan ini, tertulis di atas bumbung bangunan di bahagian tangga utama untuk...