Translate

Monday, June 26, 2023

Bangkit

Bangkit! Itulah yang perlu dilakukan setelah jatuh secara fizikal mahupun mental.
          Bangun jatuh dan jatuh bangun sering berlaku dalam hidup kita, sejak kecil kita mengalaminya. Tengoklah anak-anak kita, mula-mula belajar berjalan, tak pernah putus asa, walau ada rasa sakit dan mengalir air mata  tetap berusaha bangkit kembali. Begitulah juganya kita bermula sehinggalah pandai berdikari, Alhamdulillah. Setiap hari, proses untuk bangkit menjadi lebih baik berlangsung. Pendedahan demi pendedahan, pengalaman demi pengalaman harus dirempuh untuk menguatkan diri dan  mematangkan diri. "Hidup ini keras!" inilah kata-kata yang disebut orang sekarang. "Lemah!" ini juga antara kata yang sering digunakan untuk orang sekarang untuk tujuan tertentu dan jika terkesan, mungkin boleh melambatkan proses bangkit kembali. Untuk bangkit kembali,  kekuatan fizikal dan mental diperlukan kerana cabaran yang berjaya menjatuhkan kita tidak seharusnya dibiarkan begitu saja.
          Mahu tidak mahu, jika mahu jadi lebih baik, 'bangkit' jawapan yang paling tepat. Untuk bangkit, kumpullah kekuatan sebanyak mana yang mungkin, kekuatan itu mungkin telah ada dalam diri kita dan kekuatan itu juga mungkin ada di sekeliling kita. Berusahalah untuk kembali bangkit selagi boleh sebelum kita kembali menjadi tanah.


Friday, June 23, 2023

Tahniah

Macam-macam musim ada, bukan saja musim raja buah. Di sekolah, sekarang musim sukan.
          Musim  sukan, merentas desa wajib ada dan menanti hari sukan, sukantara terlebih dahulu dijalankan. Masing-masing tentulah penuh dengan semangat yang membara mewakili rumah sukan masing-masing, tak kiralah sebagai atlet, penyokong,  petugas atau ahli jawatan kuasa, sokongan padu diberikan dengan sepenuh jiwa. Laungan lagu sorak kedengaran di mana-mana, menaikkan semangat ahli rumah sukan. Baik cikgu mahupun murid, mahu rumah sukan yang diwakili menjadi rumah yang terbaik. Bermacam-macam aksi dan ragam yang dapat dilihat, mewarnai musim sukan. Yang berlari, yang berjalan, yang melontar, yang berbasikal, yang memberikan semangat, yang bertugas, semuanya ada untuk melancarkan program musim sukan.
            Program sukan menjadi lancar dengan penglibatan semua, murid, guru, staf, anggota keselamatan seperti Pasukan Polis dan  Anggota Rela serta pihak yang terlibat secara langsung atau tidak secara langsung. Semuanya memainkan peranan penting tidak kira siapa-siapa pun kerana kita saling melengkapi. Terima kasih semua, Tahniah, Alhamdulilah!

Sunday, June 18, 2023

SELAMAT Hari Bapa

Pantun Melayu

Kalau tuan ke Kota Melaka,
Singgah beli oleh-oleh;
Jasa bapa merbak bak cempaka,
Berdoa berbakti selagi boleh.

Tuesday, June 13, 2023

Ukhuwah

Semalam 12 Jun 2023, Isnin, Ustazah Maizom memberi amanat terakhir kepada anak-anak Semsas sebelum bertugas di tempat baharu. Beliau menekankan kepentingan mengimbangi antara dunia dan akhirat supaya kita cemerlang di sini dan di sana. Beliau juga mengingatkan anak-anak agar berlapang dada dalam menerima teguran cikgu.
          Hari ini pula, 13 Jun 2023, sesi penggambaran berlangsung. Setiap hari kita akan mencipta kenangan. Sebagaimana Cikgu Nasir yang tak dapat dipisahkan dek kenangan, begitulah jua kita semua. Kata orang, kita perlu menghargai seseorang sewaktu mereka ada, tidaklah apabila kehilangan, asyik sering menyebut-menyebut, merindu dan meratapi. Kenangan itu banyak menyatukan kita semua. Saat bersama-sama itu saat yang paling indah untuk dikenang. Tatkala bersama, banyak kenangan dibongkar, menjadi cerita dan menjadi pengajaran untuk melalui kehidupan yang mendatang.
           Semalam, hari ini dan esok semuanya menjadi kenangan. Kenangan dicipta setiap hari bersama dengan insan-insan  di sekeliling kita. Kenangan-kenangan itu yang mengeratkan ukhuwah antara kita walau satu hari nanti mungkin kita masih bersama atau mungkin akan berjauhan.


Monday, June 12, 2023

Kaupuisi Hidup

Aku mempuisikan dirimu
kerana engkau sebuah puisi hidup
kaki kecilmu yang melangkah laju
selalu tahu hala tuju
adakalanya tersandung
pantas kaubangun
menepuk seluar yang kotor carik
lutut yang tergores bergaris
kautahankan rasa pedih
kautetap terus berlari lagi
mengejar buih-buih sabun
buat kauriang buat kauterhibur
walau kautahu hadirnya
hanya beberapa saat
tapi gembiramu tetap beribu
kerana kaupuisi hidup
yang tahu menghargai setiap saat
yang muncul walau hanya sekejap.


Thursday, June 8, 2023

Fokus Dan Tahniah

Merancang itu sentiasa ada dalam kepala kita dan begitu banyak sekali. Jika yang dirancang ditulis atau dirakam, rancangan itu tidak akan hilang. Jika dilaksanakan, itu yang terbaik.
          Setiap hari,  yang dirancang kadang-kadang sangat berjaya, kadang-kadang separuh jalan dan kadang-kadang tak berjaya dan kadang-kadang terpaksa diubah suai barulah berjaya. Kata E.M. Forster dalam buku Mutiara Kata susunan Adi Alhadi, "Kita harus melepaskan kehidupan yang kita rancang, bagi membolehkan kita mendapat kehidupan yang menanti kita.  Boleh direnungkan juga kata-kata ini untuk muhasabah diri. Abah Semsas pula sentiasa menyebut tentang GPS 1.6.  Sewaktu berkursus dengan Dr. Azizan Osman,  beliau sering mengingatkan bahawa  kata-kata yang  baik itu satu  doa. Maka,  anak-anak, pentadbir, guru-guru, ibu bapa dan semua pihak yang  terlibat konsisten terus menjalankan usaha mengikut kepakaran masing-masing demi mengejar fokus yang sering diulang-ulang Abah Semsas.
             Zephros telah mencipta  kenangan yang sangat manis untuk dikenang serta akan sering menjadi sebutan dan tugas kita semua sepanjang masa adalah kekal fokus untuk memecahkan rekod baharu yang telah dicipta. Walau apa-apa pun yang berlaku, usaha atau rancangan mesti ada dan terus berjalan untuk menggapai fokus yang mahu dicapai bersama. Akhirnya, rancangan Allah SWT itu jualah yang paling  terbaik, Alhamdulillah, Tahniah Zephros!

 

Wednesday, June 7, 2023

Usaha Jaya

Pengalaman ambil keputusan SPM memang mendebarkan, tambah-tambah orang yang banyak 'merah' macam Ayah.
             Opah pun tak tahu Ayah nak ambil keputusan SPM. Balik  naik bas  sangkut-sangkut dari rumah Nenek, menjinjit beg baju. Sampai di sekolah, semua  ambil keputusan di  padang, di astaka. Naik tangga astaka sudah cukup mendebarkan. Dengar Cikgu bersuara, "Ambil borang! Ambil borang!" Ayah pun tanya kawan Ayah,"Borang apa?" "Borang mengulang!" Ya, jawapan yang membuatkan rasa menyesal sebab bertanya dan bertambah-tambah debaran dan segala macam rasa. Guru kelas Ayah menghulurkan slip peperiksaan,  seakan-akan dilipat dan Ayah mengambilnya tanpa membuka lipatan dan terus melangkah menuruni tangga astaka.
            Walau bagaimanapun debarannya, walau bagaimanapun rasanya, walau bagaimanapun keputusannya, mahu tidak mahu, keputusan akan berada di dalam genggaman. Insya-Allah, rezeki sentiasa akan ada untuk kita selagi mana kita berusaha. Moga maju jaya, Usaha Jaya dan terus Hidup Berjasa.


Monday, June 5, 2023

Batas

Semua mahu bebas, mungkin sebebas burung atau apa-apa saja mengikut pandangan kita  dan jangan kita jangan lupa bebas itu sahabat karibnya ialah batas.
             Sebebas mana pun yang kita mahu, batas tetap pantas mengekori kita kerana bebas tanpa batas itu sesuatu yang mustahil. Selagi mana kita rasa sihat, selalunya kita mahu sebebas-bebasnya tanpa peduli apa-apa pun dan langit tidaklah selalu cerah kerana kesakitan itu sebahagian daripada kehidupan dan malang tak berbau. Doa sentiasa dipinta supaya sihat sejahtera dan kesakitan tetap jua datang kerana itu ujian untuk yang hidup.  Kesakitan itulah sebahagian daripada batas. Mungkin ada masa sakit itu boleh kita tangani sendiri  dan ada masanya kita memerlukan yang lain untuk membantu. Cuba bayangkan atau imbas kembali, pabila kesakitan menimpa, bebas sudah terbatas, siapa yang sangat risau dan sentiasa di sisi kita?  Selalunya yang membantu pastilah yang hampir dengan kita, yang sentiasa ambil berat, yang sentiasa menyayangi kita dan yang sentiasa ada tatkala kita susah senang. Banyak yang di sisi ketika kita kita bebas, pabila sudah terbatas, siapakah yang tetap di sisi untuk kita?
           Bebas itu janganlah sampai memudaratkan dan bebas itu tidaklah sebenar-benarnya bebas kerana kita sebagai hamba mempunyai batas, kebebasan yang sebenar bukannya di sini, kerana di sini hanyalah satu persinggahan.


Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...