Translate

Friday, January 29, 2021

Melangit

Pdpr di rumah bukan saja melibatkan ayah dan umi, juga anak-anak.
     Apabila mahu merakam video, cabarannya cukup besar kerana melibatkan muzik latar yang tidak disangka-sangka. Semalam, sewaktu Umi ulang semula video yang telah diambil, bunyi latarnya ialah muzik sebelum lagu Ultraman, tidaklah mengganggu kerana tidak ada suara. Hari ini, sewaktu mengambil video untuk Angah, tiba-tiba ada muzik yang kuat daripada alat permainan Adik. Kemudian, Umi rakam sekali lagi, kali ini bunyi lesung batu menumbuk sambal pula kedengaran. Mulalah teringat cerita Seniman Bujang Lapok, bukan senang jadi pengarah, ditambah pula pelakon lupa dan tak hafal skrip.
    Banyak cabaran baharu muncul disebabkan Covid, banyak perkara tak disangka berlaku kerana Covid. Cabaran  belajar di rumah, cabaran bekerja dari rumah dan cabaran  terpaksa bertukar kerja, semuanya menuntut kesabaran yang melangit.

Monday, January 25, 2021

Syukur

Sudah beberapa hari Ayah tak dapat merasa rasa kopi 'o' yang sebenar.
     Dua atau tiga hari ini menikmati kopi 'o' Buttercup. Ini bukanlah satu pilihan atau  satu rancangan. Pada mulanya, Ayah fikir bahawa sudu tak dicuci dengan bersih, maka rasa Buttercup masih melekat. Buttercup disapu pada roti gandum atau roti putih, kemudian ditabur gula pada permukaan roti secukup rata, waktu kecil dulu guna Marjerin. Tadi, Ayah lihat ada kesan Buttercup disaluti gula pada sudu gula. Ada juga ketulan-ketulan kecil Buttercup yang bersalut gula. Nampaknya, ada yang guna sudu gula untuk ambil Buttercup. Petang tadi, barulah kembali menikmati rasa kopi 'o' yang sebenar.
    Dalam hidup ini, ada perkara yang tak dirancang berlaku, mungkin kita tak menyukainya dan mungkin kita menyukai. Apa-apa pun, apabila keadaan kembali seperti biasa, kita amat menghargai dan cukup bersyukur kerana tak semua yang hilang akan kembali.

Friday, January 22, 2021

Pelan

Hari ini pun cantik tanggalnya, 22012021, PKP pun bermula.
   Asalnya mahu makan dua biji telur separuh masak, maka Ayah pun mengambil dua biji telur dari sarang. Baru basuh, sebiji telur pada bahagian atasnya telah pecah. Ayah tukar rancangan, simpan telur yang lagi sebiji dan masukkan isi telur yang telah pecah tadi ke dalam mangkuk. Nak goreng ke? Tak jadilah, terlintas rancangan yang tak pernah dibuat lagi. Telur tadi Ayah masukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro. Seminit, meletup-meletup bunyinya sewaktu berpusing. Siap, Ayah keluarkan dan nampak terlalu kosong, masak telur putih dan kuning, tidaklah seperti digoreng sebab tak gunakan minyak. Ayah tambah sos salad 'Thousand Island'.
    Rancangan tetap ada, kadang-kadang kita boleh mengikut pelan asal jika berlaku seperti yang dirancang atau mengatasi masalah yang muncul untuk ikut pelan asal, boleh juga kita ubah pelan asalkan misi kita tercapai mengikut apa-apa yang kita ingini atau kita tetapkan.


Thursday, January 21, 2021

Lebih

Cantik tarikh hari ini, 21012021.
      Esok sudah PKP kembali, inilah yang terpaksa harus kita hadapi walau tidak seorang pun yang mahu berkurung di rumah, namun kenangkan kembali perjuangan barisan hadapan untuk kita semua, ini bukan tentang diri kita yang seorang. Semalam, adik mula ke transit bersama dengan Achik, Alhamdulillah. Awal tiba, nampak gembira Achik di sebelah. Tempat duduknya tidaklah sama kerana umur berbeza, maka tangis pun bermula. Hampir petang, Ayah pun tiba, tangisnya masih ada, walaupun begitu di dalam kereta, ceritanya tetap ada. Balik di rumah lagaknya seorang Cikgu menyuruh yang lain tidur. Pagi tadi, tetap mahu pergi, sampai saja, tidak mahu keluar, terpaksa Ayah menangkap dan mencempung, di luar pagar masih terdengar suara. Malam ini serak bunyinya.
      Normal baharu dan norma baharu sentiasa ada dalam hidup kita untuk menjadikan hidup lebih baik serta lebih berdisiplin, Insya-Allah.


Thursday, January 14, 2021

Negarawan

Malam ini Ayah menelaah lagi mutiara kata tentang politik dalam buku Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi ditemani secawan Teh Hijau Ahmad.
     "Memandangkan ahli politik tidak pernah percaya pada apa yang dikatakan olehnya, dia terkejut apabila orang lain mempercayainya," begitulah kata Charles de Gaulle. Bill Vaughan menyatakan bahawa seorang negarawan ialah mana-mana ahli politik yang namanya difikirkan selamat untuk diabadikan pada sesebuah sekolah. "Seorang ahli politik berfikir tentang pilihan raya akan datang; seorang negarawan tentang generasi akan datang. Seorang ahli politik mencari kejayaan untuk partinya; seorang negarawan untuk negaranya," itulah kata-kata James Clarke.
    Kita semua negarawan selagi mana kita tiada agenda peribadi yang menjijikkan. Secawan teh atau secawan kopi yang kita pilih, itulah demokrasi. Yang mana-mana pun jika diambil  berlebihan, boleh memudaratkan, apatah lagi untuk kepentingan diri sendiri.

Tuesday, January 12, 2021

Taasub

Pagi ini  Ayah membelek entah kali ke berapa  buku Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi, terbitan Black & White Productions (2008).
    Banyak kata dan pendapat tentang politik. Memetik kata-kata Thomas Babington Macauly, "Ahli politik yang rakus lebih banyak berfikir tentang keselamatan kerusi mereka daripada keselamatan negara mereka." Kata Thomas Carlyle, "Adalah sia-sia mengharapkan politik menggembirakan rakyat." Benjamin Disraeli pula berpendapat bahawa tidak ada kerajaan boleh kekal mantap tanpa pembangkang yang berwibawa." Ujar Nikita Khrushchev, "Ahli-ahli politik umumnya sama sahaja. Mereka berjanji untuk membina jambatan, walaupun di tempat yang tiada sungai." "Jika anda menagih simpati daripada rakyat terbanyak, anda hendaklah memberitahu mereka perkara-perkara yang paling buruk dan paling bodoh," ucap Adolf Hitler.
     Sebenarnya, ada pendapat yang boleh disanggah kerana sebahagian pendapat biasanya berdasarkan pemerhatian dan pengalaman. Pendapat yang benar tetaplah benar, jika dinafikan mungkin kerana kita terlalu taasub.

Monday, January 11, 2021

Tapis

Semalam kami bergerak setelah hari sebelumnya LPT dibuka (sebelumnya ada jalan digenangi air) untuk perjalanan ke Kuantan. 
     Semalam 6 petang, ada perutusan khas Yang Amat Berhormat Perdana berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Tadi pukul 11.00 pagi, ada Pengumuman Darurat. Ayah terlepas pengumuman kerana ralit dengan pokok-pokok di luar, Umi pula ke klinik gigi. Namun tak apa, sekarang segala maklumat cepat sampai, yang penting kena pastikan maklumat yang sampai itu daripada sumber yang betul dan kena ingat kata-kata yang cukup bermakna ini,"Tak pasti, jangan kongsi!" 
      Banjir yang melanda dan  Covid yang berleluasa, ada banyak pula angin lalu. Angin lalu (kiasan) bermaksud khabar yang tidak tentu benar salahnya (Kamus Dewan Edisi Keempat). Maka, berhati-hatilah kita dalam menapis khabar yang pantas meluru setiap detik.

Friday, January 8, 2021

Menaip

'World Typing Day ('International Typing Day') disambut pada 8 Januari.
    Masih Ayah ingat kali pertama Ayah menggunakan mesin taip sewaktu tingkatan 2, membuat kerja khusus (folio) untuk Kemahiran Hidup Sains Pertanian. Begitu lambat sekali menekan satu per satu huruf menggunakan dua jari telunjuk kanan dan kiri mesin taip kepunyaan Tok Lang. Kadang-kadang huruf yang ditekan itu tersangkut dan perlu ditarik, ditambah pula dengan bunyinya yang unik kerana pastinya semua orang tahu seseorang itu sedang menaip walau sekadar mendengar bunyinya. Kini, Ayah  masih menggunakan jari telunjuk kanan untuk menaip pada skrin telefon pintar untuk membuat cerita pendek.
     Bagi yang membesar dengan mesin taip pastilah banyak kenangan terindah dan pada waktu ini, ada masanya cukup suka memilih jenis tulisan 'typewriter' untuk menulis cerita, mengimbau masa lalu.

Thursday, January 7, 2021

Rahmat

Sebahagian langit sudah mendung dilindungi awan kelabu, sebahagiannya masih cerah dan sedikit biru.
     Hujan mulai turun, Opah menyuruh Ayah membuka penutup tangki air di luar rumah untuk menambah air yang semakin menyusut dek ketiadaan air paip. Hujan menambah keresahan di hati dan hujan tetaplah rahmat daripada Allah SWT. Waktu hujan turun sudah pastinya antara waktu terbaik untuk berdoa. Hujan semakin melebat, ditambah angin yang bertiup turut membawa rasa sejuk. Anak kucing yang mengiau sejak semalam sudah tiada, entah ke mana. Kami duduk di luar biarpun tempias menyentuh perlahan pada kaki dan kadang-kadang singgah pada kulit muka.
     Walaupun hujan semakin melebat, diharapkan bumi sudi melahapnya dengan lebih cepat. Apa-apa pun hanya Allah SWT yang mengetahui segala-galanya, kepada-Nya jua kita berserah.

Wednesday, January 6, 2021

Cahaya

Cahaya matahari sudah ada, air paip yang masih tidak ada, sudah tiga atau empat hari. Pagi tadi, Ayah dan Atuk ke Lanchang, kemudian ke Karak.
     Air banjir sudah surut walau air Sungai Semantan nampak masih besar. Kesan limpahan boleh nampak, sebahagian rumput dan pokok kekuningan, masih banyak air yang bertakung. Di Lanchang, boleh nampak lumpur di tepi pejabat pos Lanchang. Pekedai Cina sibuk membersihkan dan mengeluarkan barang-barang yang dirosakkan air banjir. Sebahagian pekan Lanchang digenangi air. Sepanjang perjalanan ke pekan Karak juga ada kawasan dinaiki air dan sudah surut. 
     Diharapkan panas terus berpanjangan supaya segala yang berlaku cepat berakhir dan kembali seperti biasa walaupun Covid masih ada. Yang mana kita boleh bantu, kita bantu mengikut kemampuan kita, Insya-Allah.
       

Monday, January 4, 2021

Ujian

Menyambut awal tahun 2021 dengan banjir bukanlah satu pilihan.
    Tatkala hujan turun tidak berhenti, sebahagian besar kawasan paya  yang menakung air kini bertukar menjadi kawasan perumahan. Banyak kawasan yang dulunya tidak dinaiki air, kini sudah dinaiki air. Ada yang sudah terkorban. Pekan Lanchang pun dah air naik. Jalan utama yang nampak dari depan rumah Opah semalam dipenuhi dan sesak dengan kenderaan kerana menjadi jalan alternatif untuk ke Kuala Lumpur.  Banyak yang terkandas. Pagi ini lebuh raya sudah dibuka. Alhamdulillah, hari ini sudah cerah, sudah ada matahari.
     Diharapkan hujan lebat yang turun dan banjir yang melanda turut membawa Covid-19 pergi bersama-sama. Moga kita semua diberikan kesabaran dan ketabahan dengan ujian besar yang melanda kita di awal tahun ini, Insya-Allah.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...