Translate

Saturday, September 30, 2017

Calong

Ramai sungguh orang yang mahu berurusan di  klinik gigi UTC pada hari Sabtu.
     Sempat kami pergi makan terlebih dahulu. Jika tidak, lambatlah lagi untuk makan memandang along akan dicabut giginya dan angah akan ditampal giginya. Along pun tidak sedar di tempat gigi longgar yang dicabut ada gigi yang baru tumbuh.
       Sewaktu di kedai makan UTC, sudah pastinya selera masing-masing tak sama apabila banyak pilihan. Umi memilih piza panas di Western Point (GM 9) dan  ayah memesan mi calong di kedai Mi Calong Cikgu - Original Beserah (GM 10).
        Yang nak mencuba mi calong atau piza panas bolehlah ke UTC pada hari Sabtu sambil menjelajah pasar malam yang bermula pukul 3 petang di hadapan bangunan UTC.
    

Friday, September 29, 2017

Haji

Alhamdulillah, pak cik Hafiz sudah balik menunaikan haji.
      Banyak kenangan ayah bersama dengan pak cik Hafiz. Pak cik Hafiz antara orang terawal yang ayah jumpa sewaktu mula bertugas. Banyak juga kenangan dengan pak cik Hafiz sewaktu bertugas pada waktu malam. Banyak kenangan yang terungkit apabila kami bertemu dan sebahagiannya cerita tentang perkara yang akan berlaku selepas pukul 12 malam.
      Bertugas waktu malam bukanlah bermakna kami 'Batman and Robin'.
    
 

Menelurkan

Menelurkan idea memerlukan pemikiran, pembacaan, pemerhatian dan pengalaman.
     Proses menelurkan idea melibatkan proses berulang kali secara berterusan atau istiqamah. Untuk menelurkan sesuatu, pastilah wujudnya tindakan. Ada tindakan yang memakan masa dan mengambil masa, ada juga tindakan yang memerlukan sedikit masa.
      Banyak tindakan memerlukan  usaha diri sendiri dan banyak juga yang membabitkan kerjasama atau  permuafakatan. Ibarat telur sesangkak, pecah satu pecah semuanya bermaksud orang yang semuafakat itu sama hidup sama mati dan tidak berubah setianya (Kamus Dewan Edisi Keempat).
        Pagi-pagi juga cukup sedap jika dapat makan telur separuh masak. Ditaruh kicap atau serbuk lada hitam, menaikkan selera.

Jauh

Ayah suka cerita yang ini. Di tvN Movies. The Good, The Bad, The Weird. Ada kejutan. Si Pemotong Jari.
     Setiap orang daripadanya ada matlamat walaupun tak sama. Matlamat itulah yang sering membezakan kita atau menyatukan kita. Matlamat jugalah yang akan membawa kita pergi lebih jauh atau ke mana-mana sahaja.
      Dan malam semakin larut, adik nampaknya masih bertenaga dan mungkin matlamatnya malam ini masih belum sampai, abang-abangnya sudah sampai di samudera mimpi.     
      Ayah terjumpa kata-kata Andrew Carnegie, "Aim for the highest."

Thursday, September 28, 2017

Rangup

Udang berkaki sepuluh. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, banyak udang banyak garamnya, banyak orang banyak ragamnya bermaksud kegèmaran (kemahuan, fikiran, dll) tiap- tiap orang itu tidak sama.
      Umi pula cukup suka makan udang celup tepung. Jika ke mana-mana kedai, kami akan memesan udang celup tepung. Sudah tentu kesedapan udang celup tepung dipengaruhi rasa dan kerangupan tepung yang membalutinya.
       Umi suka udang celup tepung di Sinar Mesra di tepi Shell jalan menghala ke Gambang. Ayah dan anak-anak? Asal boleh dimakan, kami akan telan.

Wednesday, September 27, 2017

Kejar

Abang mandi sendiri. Angah selalu dimandikan ayah.
    Kalau kejut angah, kali pertama dia akan cakap mata dia 'penat' untuk celik atau bangun. Selepas itu, dia akan bagi tempoh masa 5 minit. Kadang-kadang ayah akan bagi tempoh masa. Kali kedua ayah mengejutnya semula.  Ada masa dia terus bangun, ada masa dia suruh sabar sebab katanya mata masih 'penat'.
    Biasanya ayah yang hilang sabar. Ayah mengangkatnya ke bilik air. Jika dia lari,  maka berlakulah adegan kejar-mengejar kerana mengejar masa sebelum 7.30 untuk sampai ke sekolah.

Saturday, September 23, 2017

Hari Telefon

Dahulu, adik ayah hampir menyebabkan peti ais terbalik kerana tidak sengaja merempuh peti ais. Berlari mengejar telefon berbunyi.
       Pada masa itu, keseronokannya ialah mendengar telefon berbunyi dan mahu menjawab panggilan telefon. Masing-masing berlari dan berebut-rebut.
       Sekarang, masing-masing berebut telefon kerana banyak hiburannya di dalamnya seperti permainan video dan 'Youtube'. Semalam angah bangun pagi dan tanya umi, " Hari ni, Hari Telefon?" Umi mengangguk mengiyakan kata-katanya.
       Mereka sudah faham,  hanya Jumaat dan Sabtu Hari Telefon mereka. Itupun kadang-kadang angah datang dekat umi, memujuk dengan suara yang bernada untuk bermain telefon pada hari lain.

Batu

Entah mengapa anak-anak cukup suka peti ais. Peti ais paling  kerap dibuka selain televisyen.
      Selain mereka bereksperimen dengan meletakkan apa-apa sahaja di tempat beku, mereka juga sering memusingkan tempat untuk menurunkan suhu atau menaikkan suhu. Mungkin itu satu keseronokan bagi mereka.
        Hasilnya, tidak perlu untuk meletakkan sesuatu di tempat sejuk beku, tembikai yang telah dipotong pun boleh mengeras, begitu juga nasi himpit yang mengeras seperti air batu apabila suhu dinaikkan.
        Ayah dan umi pun kena kerap membuka peti ais sebab untuk menurunkan suhu peti ais.

Friday, September 22, 2017

Tangan

Balik dari Pantai Sepat, kami singgah di kedai Su Nasi Kukus.
     Mula-mula tak tahu nak makan apa, umi pesan nasi lemak ayam, eh,  ada pula kari ayam.
     Sebut pasal ayam, ayam cukup popular dalam peribahasa. Yang paling popular tentulah 'kaki ayam'. Yang jarang-jarang didengar mungkin seperti ayam dimakan tungau. Maksudnya dikatakan kepada orang yang kurus dan pucat kerana kena penyakit.
      Angah tengok kari ayam di dalam mangkuk, ada 'tangan' ayam katanya. Ada masa ayah makan kaki ayam, ada masa ayah biarkan sahaja.

Sepat

Hari ini hari Jumaat. Cuti Awal Muharam 1439H.
     Tidak ada dalam perancangan, tiba-tiba umi ajak pergi pantai. Ayah pun suruh along dan angah bersiap. Pantai Kempadang atau Pantai Sepat?
       Ayah teringat masa kami datang  dengan pak cik Hafiz ke Pantai Sepat suatu masa dahulu, cincin kahwin berwarna kuning ayah turut teruja dengan pantai. Sebaik sahaja menyentuh ombak , cincin ayah pun terlurut dan mengikut ombak pantai. Pak cik Hafiz  pun tak balik lagi dari Makkah.
       Sampai di Pantai Sepat, orang pun tidak ramai lagi. Dah lama ayah tak mandi laut, umi along, angah, adik pun sama. Ayah bawa adik ke dalam air, adik pun menangis.
     Abang dan angah macam biasalah, mula-mula malu-malu dengan ombak, lepas itu, tahu-tahu sahajalah.
  

Monday, September 18, 2017

Monalisa

Pagi tadi, Alhamdulillah, angah keluar kereta menggalas begnya. Umi pun sihat dan berat kandungannya pun sudah 2.7 kilogram. Along pula mengerekot di dalam gebar.
       Dalam perjalanan  menghantar along, ayah dihiburkan Wings, Potret Monalisa.

                 Engkau tersenyum di jendela
                Memukau mata mempesona
                Muncul yang jadi tanda tanya
                Buat engkau dikagumi

       Monalisa yang pertama di hati  kita semua pastinya ibu yang melahirkan kita. Dan ayah tersenyum tersendirian, teringat kata-kata angah yang mengikut kefahaman budak berumur 5 tahun sepertinya, pusat umi terkeluar sebab kena sepak dengan adik di dalam perut.

Saturday, September 16, 2017

Malaysia Boleh

Hari Malaysia. Apakah yang diharapkan?
      Ayah mengharapkan Malaysia terus aman, damai, harmoni dan sentosa. Ketepikan pendapat yang berbeza demi menjaga kedaulatan Malaysia tercinta. Walau berlainan warna kulit, agama dan budaya, Malaysia perlu dipertahankan tanpa ragu-ragu.
     Sama-sama membangunkan Malaysia  berlandaskan perlembagaan yang ada dan mengikut acuan kita sendiri. Kita wajib bersatu dan bekerjasama kerana kita rakyat Malaysia. Kita saling melengkapi dan memerlukan antara satu dengan yang lain.
     Tidak kira siapa kita, muda atau tua, berpangkat atau tidak, kita semualah perlu menyumbang dalam bentuk tenaga ataupun idea untuk Malaysia yang gemilang. Tanpa kita semua, Malaysia tidak boleh melangkah jauh.
     Ini negara kita. Milik kita semua. Malaysia Boleh. Kita boleh, Insya-Allah.
     

Thursday, September 14, 2017

Al-Fatihah

      Sesungguhnya, kita tidak tahu apa-apa yang akan berlaku.
      Hari ini kita digemparkan tragedi kebakaran  yang melibatkan pelajar-pelajar tahfiz Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung.
      Semoga kita  semua dikurniakan Allah kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menerima dugaan. Al-Fatihah.
     

Al-Fatihah

      Sesungguhnya, kita tidak tahu apa-apa yang akan berlaku.
      Hari ini kita digemparkan tragedi kebakaran  yang melibatkan pelajar-pelajar tahfiz Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung.
      Semoga kita  semua dikurniakan Allah kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menerima dugaan. Al-Fatihah.
     

Wednesday, September 13, 2017

Al-Fatihah

Patah tumbuh, hilang berganti, namun yang berganti takkan sama. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
          Hari-hari akan ada yang pergi meninggalkan kita selama-lamanya,  sama ada orang yang kita kenali atau tidak, juga orang yang kita sayang.
          Minggu sebelumnya, pelakon Hantu Kak Limah Balik Rumah, Pak Jabit meninggalkan kita. Minggu ini kita dikejutkan dengan kemangkatan Tuanku Abdul Halim  Mu'adzam Shah.
            Al-fatihah untuk semua yang telah meninggalkan kita dan kita bakal menyusul. 
               

Sunday, September 10, 2017

Beruang

Angah meminta ayah mengambil topi umi di atas almari. Ayah pun tidak tahu apa-apa tujuannya dan ayah ingat dia hendak pakai.
       Ayah pun mengambil topi dan menghulurkan kepadanya. Dia mengambilnya dan kemudian memakaikan topi itu di atas kepala beruang besar.
         Dalam laman web  prpmv1.dbp.gov.my yang  merujuk Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, ada satu peribahasa, iaitu beruang bagai durian, bernabu bagai cempedak. Beruang dalam peribahasa ini bukanlah merujuk kepada beruang (binatang) tetapi kata dasarnya ialah ruang.
        Ruang dalam peribahasa tersebut merujuk kepada alur manakala  nabu bermaksud isi yang menempel pada bijinya. Maksud peribahasa beruang bagai durian, bernabu bagai cempedak ialah  keluarga atau sahabat handai yang sudah terpisah jauh.
           Anak-anak pun cukup suka apabila  ada beruang besar kerana ada ruang untuk mereka baring di atasnya.
     

Saturday, September 9, 2017

Sihat

Sewaktu cuti sukan Sea, bayi dalam perut umi tidak bergerak sangat. Umur bayi sudah 37 minggu. Malamnya, kami semua ke klinik.
    Bayi dalam perut umi didapati berada dalam keadaan songsang, maka umi disarankan ke hospital. Setelah, anak-anak di hantar ke rumah wan, ayah menghantar umi ke hospital dan akhirnya umi dimasukkan ke wad.
     Esoknya ayah mengambil cuti dan pagi-pagi ayah sudah menghantar anak-anak ke sekolah dan rumah pengasuh, seterusnya balik ke rumah. Selepas itu, barulah ayah ke hospital, Alhamdulillah, bayi sudah kembali ke kedudukan yang asal.
       Petang umi sudah boleh keluar, namun begitu berdasarkan pemeriksaan oleh doktor, pembesaran bayi tidak seimbang antara kepala dengan perut dan sepatutnya keadaan bayi seimbang kerana bayi akan mendapat zat yang dimakan oleh ibu.
       Diharapkan umi sihat dan keadaan bayi di dalam perut umi juga semakin baik dan beratnya semakin bertambah minggu ini, Insya-Allah.

Wednesday, September 6, 2017

Lima

Dua hari lalu, along dan angah mengikut ayah tengok ibadah korban.
        Along tidak sabar untuk mengikut ayah kerana lima lembu akan dikorbankan. Pagi itu kedua-duanya mengikut ayah. Apabila sampai, lembu hitam sedang berpusing-pusing liar mengelilingi pokok kerana kerja untuk 'menumbangkan' lembu telah bermula. Boleh tahan liarnya seperti lembu korban raya pertama. Empat lagi pun rupanya sama sahaja.
       Sampai masa untuk disembelih, ayah memanggil mereka berdua. Berdirinya agak jauh. Angah melangkah ke arah ayah setelah dipanggil dan diikuti along. Sewaktu lembu yang empat lagi disembelih, jauh jugalah mereka.
       Anak-anak sekolahan cukup suka dengan pengalaman seperti ini kerana pengalaman untuk melihat lembu disembelih hanya semasa ibadah korban dan kenduri-kendara di kampung.

Saturday, September 2, 2017

Helang

Takbir masih bergema. Seperti raya puasa, ada yang sudah bekerja, ada yang baru pulang beraya.
    Masih banyak yang dikorbankan. Masih banyak kedai yang ditutup sepanjang perjalanan kami ke Batu Hitam. Selesai beraya di rumah pak ngah, kami singgah di pantai Batu Hitam. 'Seekor helang ' berharga RM 16. Boleh tahan harganya.
     Ayah ke parkir kereta untuk mengubah kedudukan kereta supaya dekat dengan tempat bermain. Along dan angah cuba menerbangkan 'helang' dengan bantuan umi. Angin di pantai agak kencang dan tidak menentu arahnya kerana tiba-tiba sahaja 'helang' yang sedang menari menjunam ke pasir.
      Ayah menerbangkan semula 'helang'. Apabila sudah agak tinggi, ayah menyerahkan kepada along dan angah. Cuaca memanglah panas kerana belum pun pukul 4 petang.
      Panas itu terbukti apabila melihat muka umi dan muka along yang merah padam.

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-gal...