Translate

Sunday, August 30, 2020

63

Pernah sekali Ayah terlibat dengan perbarisan Hari Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan 2004, negeri Pahang menjadi tuan rumah.
      Latihan perbarisan melibatkan anak-anak sekolah memberikan banyak pengalaman kepada anak-anak walau keletihan terpancar di wajah mereka dan kulit terbakar dipanggang mentari. Inilah sedikit pengorbanan yang kita lakukan untuk mengenang kemerdekaan yang telah dicapai. Kadang-kadang, kita mungkin banyak mengeluh dengan kehidupan ini walaupun kita hidup di negara yang merdeka. Kita perlu memandang ke belakang melihat ketabahan nenek moyang kita hidup di negara  terjajah, melihat pahit getir mereka berjuang untuk tanah air dengan darah, keringat dan air mata.
      Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-63. Malaysia Prihatin.

Saturday, August 29, 2020

'Wakanda Forever'

'Wakanda Forever', itulah yang pasti diingati semua peminat 'Black Panther'.
   Chadwick Boseman, 43, yang terkenal dengan watak Raja T'Challa dilaporkan meninggal dunia  akibat kanser usus yang disahkan dihidapi sejak 2016  pada Jumaat di Los Angeles. "Mati itu pasti," itulah selalu yang disebut. Ketabahan dan kecekalan seseorang itu dalam melalui kehidupan boleh menjadi sebahagian daripada pedoman hidup kita kerana perit bagaimana pun kehidupan, kita tidak boleh mengalah dengan kehidupan selagi dipinjamkan usia.
     Yang pergi akan dikenang  selalu, yang masih punya masa lakukan sesuatu. 'Wakanda Forever'.

Friday, August 28, 2020

Janji Temu

Petang tadi membawa Angah ke Klinik Pergigian Kurnia.
     Setelah klinik dibuka, beratur dan penjarakan fizikal tetap berlangsung. Mulai 1 September, untuk mendapatkan rawatan gigi perlu membuat janji temu, boleh dilakukan dengan melayari 'www.pkpdkuantan.wixsite.com/pkpd kuantan' atau imbas 'barcode' yang disediakan. Teringat malam tadi, Ayah beritahu Achik supaya tidak kacau Angah sebab sudah tahu perangai Angah macam mana. Dia mengiyakan dan memberitahu bahawa dia memang sensitif. Ayah tergelak.
    Malam ini pula, diumumkan bahawa PKPP disambung sehingga 31 Disember 2020.

 

Wednesday, August 26, 2020

Berjaya

Pagi tadi dalam perjalanan ke sekolah, kami mendengar berita Radio Klasik, Menggamit Kenangan.
    "Matanya lirik-lirik selalu, Rupanya manis-manis ayu." Itu sedikit lirik lagu 'Gadis dan Bunga', nyanyian Rahimah Rahim. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, bunga juga membawa makna kiasan, iaitu sesuatu yang dianggap cantik (indah dll) yang dapat disifatkan seperti kembang. Bunga juga bermaksud alamat atau tanda akan bermulanya sesuatu peristiwa dan lain-lain.
     Seperti gadis dan bunga, ada cerita di sebaliknya, begitulah jualah hidup ini. Esok Umi akan dipantau, moga Allah SWT mempermudah urusan Umi dan melapangkan segala kesulitan. Semoga berjaya Sayang!

Monday, August 24, 2020

13

Angka 13 banyak ceritanya. Taip di laman carian Google,  tidak larat untuk dibaca.
     Banyak yang menganggap angka 13 itu menakutkan, membawa malang dan kita baru mendengar berita tentang 13 orang maut di kelab malam di Peru. Bagi kita yang beragama Islam, kita beruntung kerana angka 13 begitu dekat dengan diri kita. Angka 13 sangat istimewa bagi kita. Lima waktu sehari, 13 rukunnya. Setiap hari angka 13 ini sentiasa bersama dengan kita. 
   13  tahun di tahun 2020M, di tahun 1422H ini juga cukup istimewa bagi Ayah dan Umi yang menyambut ulang tahun perkahwinan, Alhamdulillah.

Sunday, August 23, 2020

Membawang

Petang yang berangin di rumah Opah dan Atuk, Nenek pun ada di sini.
     Menghirup angin petang, Ayah menikmati bihun sup sambil membawang goreng di kerusi simen di luar rumah. Membawang? Dalam Kamus Edisi Keempat, membawang membawa maksud kiasan, takrifnya ialah makan bawang dan marah (di dalam hati). Peribahasa 'rosak bawang ditimpa jambak' pula bermaksud rosak kerana kesalahan kaum atau diri sendiri.  
     Malam yang mengopi, masih meratah bawang goreng di bawah tudung saji, riuh anak-anak dan kami larut dalam  kisah silam.

Saturday, August 22, 2020

Nikmati

Menikmati sarapan pagi di waktu cuti ialah saat yang dinanti, tidak perlu terkejar-kejar.
    Teguk demi teguk, sambil menonton 'Britain's Got Talent', banyak bakat baharu dan aksi yang mendebarkan. Ternyata potensi kita sebagai manusia sebenarnya terlalu banyak. Kita perlu mendedahkan diri kepada banyak perkara dan kita boleh memilih sesuatu untuk dilakukan. Pastinya  ketekunan diperlukan untuk melakukan sesuatu dengan baik. Latihan demi latihan diperlukan untuk membiasakan diri, untuk mengurangkan rasa takut. Rasa takut hanya dapat dikurangkan dengan menuntut ilmu sebanyak yang mungkin dan mengaut pengalaman sebanyak yang boleh.
     Mahu menikmati kopi seperti biasa atau  mahu menikmati  dan mempelajari sesuatu yang baharu, terpulang kepada diri sendiri. Kita sendiri yang harus menentukannya!
      
     

Friday, August 21, 2020

Banyak

Sedang Ayah masih mengopi setelah menghabiskan nasi kerabu, Umi masih menggosok baju.
      Adik bersama dengan 'Didi dan Kawan-Kawan', menangis diusik Ayah, masih berair matanya. Along baru sudah mandi kali kedua dan duduk di depan  bongkah dan kepingan seperti Lego yang berserakan ditumpahkan Adik, dikutipnya sambil menonton 'Lelaki Labah-Labah' di Astro XD. Angah di tengah-tengah patung kecil yang disusun  mengikut seleranya. Achik juga baru sudah mandi dan meminta Ayah membancuh air. Ayah membancuh  sekole 'Coklat Saya', dicicahnya dengan biskut lemak, setelah belahak, dia berhenti, menyertai Adik.
      Jumaat pagi, kami masih di Rumah Desa, marilah bersama-sama membanyakkan selawat kepada Rasulullah SAW di hari mulia ini.

Thursday, August 20, 2020

Selawat

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, hijrah mempunyai dua maksud. 
   Maksud pertama hijrah ialah perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah. Maksud yang kedua ialah tahun Islam yang bermula dari tarikh perpindahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah (pada tahun 622 Masihi). Nabi Muhammad SAW wafat pada tahun 13 Hijrah. Dalam kamus yang sama, berhijrah bermakna berpindah, meninggalkan sesuatu tempat untuk pergi ke tempat lain. Sempena Maal Hijrah, Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442 Hijrah/2020M yang dipilih ialah Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.
     Marilah sama-sama kita berselawat untuk Nabi Muhammad SAW sempena tahun baharu ini dan istiqamah untuk hari-hari yang mendatang, Insya-Allah.

Monday, August 17, 2020

Al-Fatihah

Cikgu Hamir mengenalkan ayah kepada Sihir Hujan, karya Allahyarham Sapardi Djoko Damono.
     Ayah juga mendengar kisah Allahyarham T Alias Taib daripada Cikgu Hamir yang pernah bertugas di tempat yang sama. 17 Ogos 2004, penyair ini dijemput Ilahi dan ayah pada waktu itu belum pun mengenal dunia penulisan. Inilah harinya 17 Ogos,  setelah ayah membelek laman Instagram, terpapar belasungkawa di laman @pusakaalias. 
      Tidak jemu ulang  membaca, karya yang hebat kekal bernyawa dan mengajar pembaca, Al-Fatihah untuk yang telah meninggalkan kita, yang memberi tunjuk ajar tanpa suara dan tanpa sempat bersua.

Friday, August 14, 2020

Kucing Tidur

Banyak orang suka 'kucing tidur'. Terbuka saja pangsa durian, ada 'kucing tidur', pasti menjadi rebutan.
    Ke Taman Gelora, ada juga kucing tidur, tapi kucing tidur yang ini tidaklah di dalam pangsa durian, hanya di atas kerusi di tempat makan. Kami biarkan saja di situ, kucing-kucing itu mungkin sudah biasa dengan manusia. Angah menyentuh hidung si hitam, hidungnya kering. "Dia tak sihat," kata Angah. Si oren pula cedera pada kaki. Makanan sampai,  kucing-kucing pun bangun, tidur-tidur kucing nampaknya. 
     Kucing-kucing pun bangun bau makanan, Umi pun bingkas bangun, air bandung diminum adik sudah tumpah, melimpah di atas meja dan berebut-rebut air terjun ke lantai.

Wednesday, August 12, 2020

Pijak

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung, indahnya peribahasa Melayu. Maksudnya, hendaklah menurut adat dan resam tempat yang kita diami.
      Di mana bumi dipijak, kebiasaannya  di situ kita membawa sesuatu bersama dengan kita dan di situlah kita meninggalkan sesuatu, yang banyaknya ialah kenangan. Meninggalkan kenangan itu tidak menjadi masalah bagi ayah, yang menjadi masalah ialah meninggalkan sesuatu, kemudian terlupa dan tercari-cari. Semalam Ayah tertanya-tanya dan tercari-roti roti coklat kismis kerana apabila berada saja di dalam ruang kereta, perut anak-anak menjadi lapar. Balik ke rumah, roti ditemui di atas singki di dapur, Ayah ke situ dulu sebelum keluar rumah.
     Pagi ini Ayah ke kantin dan kembali ke bilik guru membawa jagung, agak lama baru perasan dan baru teringat, beg komputer di kantin. Di mana bumi pijak, di situ barang ditinggalkan.
    

Monday, August 10, 2020

Pertama

Hari pertama  Umi menempuh perkara baharu, pastinya bertemu dengan  banyak perkara yang tak terduga, banyak bertemu dengan pengalaman yang mengujakan.
     Banyak perkara yang buat kita tidak sabar apabila kali pertama melaluinya seperti  menunggu makanan yang dipesan di kedai yang baharu kita pergi, menonton filem baharu, menyarung kasut baharu dan mencuba rasa kopi yang baharu.  Malam minggu  yang lepas adik ke hulu ke hilir dengan baju yang kali pertama dipakainya. Sewaktu hendak keluar makan, ayah tanya adik tentang poket di dada baju  yang dipakainya. "Masak," jawabnya. Kata Umi, "Dia ingat baju itu apron kot." Ayah tergelak. Itu baru perkara yang kecil, jika perkara itu melibatkan sesuatu yang besar, pasti perkara itu bermain-main dengan agak lama di padang fikiran sehinggalah saat  itu tiba.
     Apa-apa pun, keterujaan kali pertama itulah seharusnya kita bawa ke mana-mana dalam melakukan tugasan, itu satu inspirasi buat kita. Jika tidak, mulakan sesuatu yang baharu semula. Bersyukurlah, moga Umi maju jaya, Insya-Allah.

Friday, August 7, 2020

Bawa

Pagi yang awal, tetap ada  yang berlaku, begitulah selalunya, pagi selalu melatih kesabaran.
    Malam yang sudah bersedia dan apabila pagi, masing-masing kehilangan botol, kelam kabut mencari, di dalam kereta Umi rupa-rupanya. Botol air Angah  tidak ada. Setelah tidak jumpa, Ayah suruh dia guna botol air mineral. Ayah ke dapur, Ayah tengok ada botol air yang tertinggal di dapur. Kemudian, Ayah angkat adik ke dalam kereta Umi, Ayah tengok ada kasut sekolah di lantai kereta.
     Alhamdulillah, tidak ada apa-apa yang tertinggal, jika tidak, ada hati yang bersedih ke sekolah tanpa kasut atau tanpa botol air, atau balik nanti membawa cerita sedih tidak makan di sekolah seperti semalam kerana tidak membawa wang belanja.
 

Thursday, August 6, 2020

Bau

Habis cuti Raya Korban,  Selasa, kami mula bekerja.
     Selasa juga, letupan dahsyat berlaku di Pelabuhan Beirut, musnah pelabuhan kerana ammonium nitrat. Lebih 4000  orang cedera, angka kematian   144 orang, itu berita pagi tadi. Rabu, 5 Ogos, murid tingkatan satu, dua dan tiga mula bersekolah. Ahad malam Isnin, Umi dan kakak Fatin hantar kakak Mai naik bas, cuti raya habis. Malam ini, baru ayah minum kopi 'o' panas, kopi cap Arnab, bertarikh 25 Julai 2020 dan tarikh matinya 24 Julai 2021, dihasilkan 'Keng Choon Coffee' sejak 1955, diberi kakak Mai baru ke kilangnya di Teluk Intan.
     Kopi belum habis, ayah bangun, adik mahu roti disapu mentega. Praaaang!
Gelas pecah, air memenuhi lantai. "Habis gelas kesayangan ayah," kata Angah. Geruh tak mencium bau! Bau sedap kopi yang bertebaran...

Wednesday, August 5, 2020

Merah Jambu

Sekarang agak hangat isu gelang merah jambu.
     Balik petang tadi, Achik tidaklah menyebut tentang gelang merah jambu, dia menyebut tentang botol merah jambu.  Botol air merah jambu Umi ada di dalam kereta, biasanya Adik menyedut air daripada botol itu. Apabila Achik lupa membawa botol airnya, botol merah jambu itu dibawanya setelah disuruh Ayah. "Merah jambu botol air budak perempuan," itu kata kawan-kawannya. Ya, merah jambu telah dicap sebagai warna orang perempuan.
    Apabila sampai di rumah semalam, Ayah tengok Along tidur sambil memakai kaca mata merah jambu Adik. Angah tersengih, dia mengaku, dia yang memakaikan kaca mata itu kepada Along yang nyenyak tidur.

Sunday, August 2, 2020

Syukur

Setiap sudut ada ceritanya, begitulah di Aidiladha yang masih bersisa.
    Bertamu dan bertemu, bertandang dan bersembang, bermain dan terus bermain, mengundang tawa dan cerita. Bersama dengan sepupu-sepupu, yang kerap bertemu dan yang jarang bertemu, di rumah Wan dan Atuk, sepi menghilangkan diri. Bergurau senda, adakalanya tangis menyelit, waktu seakan memujuk dan kembali bermain bersama. Ayah memerhati dan sesekali adik menggonggong botol susu datang berbaring di atas ribaan. Sebelumnya mengekori ayah ke mana-mana saja dari ruang  tamu hingga ke hujung dapur, Umi menguruskan hal kakak Mai. Aidiladha melimpah rezeki, selesai terhidang keropok lekor dan goreng pisang, Mak Ngah dan Pak Ngah muncul dengan nasi beriani.  Sebentar terpacul Pok De menjinjing seplastik besar aiskirim di tangan. Akhirnya, tiba Mak Long dan Pak Long, mi goreng mamak mengambil tempat di atas meja. 
     Syukur dengan yang ada, bantu yang memerlukan. Eratkan silaturahim di Aidiladha.

Saturday, August 1, 2020

Takbir

Makan apa pagi ni? Aidiladha ketiga, ketupat pun sudah habis.
   Semalam kenduri di rumah arwah Tok Som dan Wan Suri. Adi di sudut khemah, komited mengambil suhu badan yang datang, dikelilingi rakan sebaya dan anak-anak kecil yang nampaknya cukup berminat dengan penyukat suhu. Sebelum sampai, kami bertembung dengan kereta peronda polis, bertugas di Aidiladha. Sebelumnya, tidur di rumah nenek semalaman. Ada kari daging korban, ayam masak kicap dan patin masak tempoyak. Meratah daging dan tulang cukup sedap. Lepas kenduri kami bertolak. Sampai di rumah Wan dan Atuk, bermainlah anak-anak dengan sepupu mereka. Banyak lelaki daripada perempuan.
   Aidiladha ketiga, masih boleh bertakbir raya. Salam Aidiladha.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...