Translate

Sunday, November 29, 2020

Syukur

Kadang-kadang, kita mahu gembira seperti orang lain yang nampak cukup gembira.
     Apa kata kita gembira saja ikut cara kita sendiri. Tengok anak-anak, nampak gembira sepanjang masa, lepas kena marah pun dia datang peluk kita balik. Cuba kita gembira dengan apa-apa yang di depan mata kita. Gembira sebab kita boleh duduk kerana ada orang kerjanya sentiasa kena berdiri. Gembira kerana duduk di dalam bilik kerana ada orang yang berpanas dan kehujanan bekerja untuk keselesaan kita semua. Gembira dalam PKPP atau PKPB kerana masih ada kerja, sedangkan banyak yang kehilangan punca pendapatan. 
     Gembira itu sesuatu yang subjektif, banyak pilihan jawapannya. Kalau objektif sudah tentu satu pilihan jawapannya. Tidak perlu mengikut orang lain untuk gembira, dengan bersyukur pasti membuatkan kita gembira, Insya-Allah.

Saturday, November 28, 2020

Baik

Pagi semalam hujan agak lebat.
    Dalam hujan, teman setaman menghantar nasi lemak yang dipesan ke rumah, Alhamdulillah. Nasi lemak masih panas, Umi suka sebab ada paru. Latihan tae kwan do turut dibatalkan kerana hujan lebat dan latihan dibawa ke petang. Meninggalkan Along dan Angah, kami singgah ke kedai, hujan mulai turun kembali, kemudian terus ke rumah Wan dan Atuk. Selesai latihan tae kwan do, kami ke rumah Mok De dan Pok De. Lepas Isyak, kami terus ke Horizon Garden Kuantan. Terima kasih banyak buat mak dan ayah Fatin yang belanja kami makan, banyak lauknya. Sesi potong kek pun ada sempena hari lahir mak Fatin. Baru sudah makan, ada pekerja wanita datang bertanya tentang tuan telefon pintar yang tertinggal telefonnya di tandas. Eh, telefon Ayah! Alhamdulillah. Terima kasih banyak kerana datang ke meja mencari tuannya.
    Setiap hari kita berjumpa banyak orang yang baik dalam hidup kita, Alhamdulillah. Marilah kita sama-sama mendoakan segala kebaikan untuk semua orang.

Friday, November 27, 2020

Arif

Ayah suka minum kopi, tetapi Ayah tidaklah arif sangat pasal kopi.
    Ada kawan Ayah yang arif pasal kopi. Dia orang Muar (biasanya disebut 'Muo'). Nak tahu pasal 434 boleh tanya dia. Nak tahu  pasal kedai kopi pun boleh tanya dia sebab Ayah lebih banyak mengopi di rumah sambil buat cerita. Nak mengopi dan juadah sarapan pagi yang 'meriah', boleh ke Kuantan Pickers. Nak tengok lalu lintas pagi sambil mengunyah nasi lemak sotong atau apa-apa saja, boleh duduk di kerusi di luar, di kaki lima kedai. Nak menikmati dan mengimbau kenangan dengan barang-barang lama yang unik, di dalam kedailah tempatnya. Kopi 'o' di  sini seperti kata kawan ayah, pak cik Amir, secukup rasa, tidaklah pahit sangat, tidak manis sangat, rasa yang sedang-sedang. Ayah setuju dengan kata-katanya.
     Kuantan Pickers menghidangkan keunikan untuk kita semua,  kena dengan citarasa yang mahukan sarapan pagi untuk membangkitkan selera serta membangkitkan semangat pada waktu pagi. Moh ke sini weh!

Wednesday, November 25, 2020

Lubang

    Peristiwa pagi tadi pastinya tidak ada yang mahu terjadi dan memang mahu dielakkan.
     Hendak dijadikan cerita, pagi tadi Ayah ke rumah pak cik Amir, mengambilnya untuk bergotong-royong bersama-sama. Cuasa agak mendung, maklumlah musim tengkujuh sudah sampai giliran. Sebelum ke tempat kerja, mahu menghantar Achik ke tempat transit. Tak sempat jauh pun lagi, kereta hadapan memperlahan kereta, mengelak dari jalan yang berlubang, Ayah pun memperlahankan kereta, tiba-tiba bahagian belakang kereta  terasa bergegar. Ayah memberi signal dan memarkir kereta di tepi jalan berhampiran gerai menjual kuih. Di belakang ada dua buah kereta lagi.
    Perkara sudah terjadi, tidak boleh buat apa-apa lagi. Tindakan susulan perlu dibuat untuk menyelesaikan perkara yang telah terjadi. Alhamdulillah, semua selamat.
 

Tuesday, November 24, 2020

Terima Kasih Kerana Membaca

"Terima kasih Ayah sebab beli coklat," begitulah kata anak-anak mengikuti kata-kata Umi.
     Ayah masih menelaah buku Leil Lowndes, 'How To Talk To Anyone, 92 Little Tricks for Big Success in Relationships' Edisi Bahasa Melayu, terbitan PTS Publishing House Sendirian Berhad (Terbitan Pertama: 2020). Teknik ke-37 yang diajar ialah 'Jangan Sekadar Mengucapkan Terima Kasih'. Maksudnya di sini ialah selepas perkataan 'terima kasih' perlu ditambah perkataan lain secara 'spesifik' atau 'khusus', iaitu menambah 'sebab' atau 'alasan' mengapa ucapan terima kasih itu diucapkan.
   Terima kasih kepada Umi dan anak-anak kerana selalu berterima kasih dan mengajar Ayah tentang terima kasih. Terima kasih kepada semua pembaca yang selalu membaca 'Cerita Ayah'.

Sunday, November 22, 2020

Belajar

 Tempat makan biasanya dipenuhi aroma yang pelbagai, kadang-kadang membuatkan kita terbersin tatkala baru mahu duduk.
    Selain itu, kita dihiburkan bunyi kelentung-kelentang diselangi alunan lagu pelbagai genre, diselangi bunyi pengisar penghancur buah-buahan, seterusnya  hiruk-pikuk suara bergebang. Ada juga yang duduk diam sebelah-menyebelah sambil menatap telefon pintar masing-masing, kemudian bersatu dalam satu telefon tatkala berswafoto. Penjarakan fizikal masih dijaga dan berpelitup muka menanti juadah sampai.
   Tempat makan hari ini bukan sekadar menyajikan keenakan, malah turut menyajikan keunikan sebagai satu daya tarikan yang membuat kita terkenang akan zaman silam. Seharusnya kita belajar sesuatu dari masa lampau supaya kita tidak lupa diri.
  
 

Friday, November 20, 2020

Sokong

Dua hari lepas, Ayah ke Serambi Teruntum.
     Ke Serambi Teruntum biasanya ada beberapa tujuan. Selalunya kami ke sini untuk menikmati sup daging, menghantar kuih karas dan membeli-belah di Pasar Raya Darul Makmur. Kali ini Ayah menghantar kuih karas buatan Opah ke kedai Puan Khatijah Silek. Yang meminati kuih tradisional boleh ke Serambi Teruntum sebab ada macam-macam. Sambal hitam pun ada. Ayah terserempak dengan Cikgu Azli Lee, tauke sambal hitam. Yang mencari lemang dan belum mencuba Lemang To'ki, segeralah ke sini. Musim hujan macam sekarang, nikmati pula sup gear box atau sup daging, memang kena dengan selera. Tak percaya? Tanya Umi atau kakak Fatin.
    Yang masih belum ke Serambi Teruntum,  inilah masanya untuk menyokong produk-produk usahawan IKS dan menikmati atau membeli produk-produk tradisional yang dijual. Moh le kita ke Serambi Teruntum!

Bayangan

Semalam,  kami bergotong-royong di asrama. 
     Ini kerja sampingan selain kelas dalam talian. Alhamdulillah, pagi cuaca agak cerah, tidaklah mendung sangat. Kerjanya memindahkan almari-almari  dan katil-katil ke bilik yang telah ditentukan. Dalam kepala Ayah, kerjanya mengangkut dan menuruni anak tangga seperti biasa. Cara itu masih digunakan dan pak cik Hafiz (anak-anak Semsas memanggil pak cik Hafiz sebagai abang Hafiz, sebab itulah pak cik Hafiz nampak sentiasa muda gamaknya😂) mengusulkan penggunaan tali. Ayah ragu-ragu juga, tak terbayang, tetapi bayangan itu telah sampai cukup awal dalam pemikiran pak cik Hafiz. 
    Alhamdulillah, bayangan itu dapat kami semua realisasikan dengan saling percaya, saling menolong serta keselamatan pastilah menjadi keutamaan.

Tuesday, November 17, 2020

Rai

Malam tadi, Umi nyanyi lagu 'Selamat Hari Jadi' untuknya, rupa-rupanya dia tidak ada.
   Seperti biasa, dia tidur awal daripada yang lain, tidurnya sentiasa cukup. Pagi tadi, dia bangun awal dan mengikut Ayah menghantar Achik ke transit, menghantar 'braised lamb shank', dia menjadi penunjuk arah Ayah hari ini dan menghantar Adik ke rumah Umi pengasuh. Balik, singgah membeli roti canai kosong kegemarannya, roti canai telur pastinya untuk Along dan nasi lemak paru untuk Umi. Sampai di rumah, Angah dan Along perlu bersedia untuk menjalani peperiksaan seperti yang telah dijadualkan pihak sekolah. Donah dan Umi menjadi pengawas peperiksaan. Umi tergelak apabila Angah meminta izin untuk mengambil warna, sepertinya di kelas.
     Sebelum Maghrib kami meraikannya. Selepas Maghrib di kedai buku memilih buku kegemaran masing-masing. Umi melayan Adik di rumah kecil di dalam kedai buku. Ayah lebih suka melihat anak-anak membesar dengan buku-buku.

Sunday, November 15, 2020

Muruku

Ayah cuba mengingati kembali detik-detik di Tanjong Malim.
      Apabila Deepavali, sewaktu kami di Tanjong Malim, biasanya 'abang besar' di rumah kami membawa muruku untuk dinikmati bersama-sama. Salah seorang 'abang besar' di rumah kami ialah Cikgu Kanaisan. Dia bertutur loghat Utara. Kami diperkenalkan dengan lagu-lagu Santana. Kali terakhir Ayah berjumpa dengan dia di Kuantan beberapa tahun yang lepas, sewaktu itu dia menefon Ayah dan berteka-teki tentang gerangan yang bersuara melalui telefon. Dia bertugas sebagai pengurus pengadil hoki ketika itu. 
     Kenangan itu ada di mana-mana. Berbilang bangsa itulah Malaysia, bersatu, Insya-Allah kita teguh, bercerai kita roboh. Kita perlu meraikan kepelbagaian ini kerana berbeza itu saling melengkapi.

Wednesday, November 11, 2020

Berubah

Saat Ayah menulis hujan kembali melebat. Ayah menghirup teh hijau Ahmad.
    Ayah cukup tertarik dengan kata-kata Rich Dad,"Berhenti menyalahkan saya dan berfikir saya ialah masalahnya. Sekiranya kamu berfikir saya ialah masalah, maka kamu perlu mengubah saya. Sekiranya kamu menyedari bahawa kamu ialah masalahnya, maka kamu sendiri perlu berubah, belajar sesuatu dan menjadi lebih bijak." (Rich Dad, Poor Dad, Robert T. Kiyosaki, Edisi Bahasa Melayu terjemahan  Muhammad Firdaus bin Arif, terbitan PTS Publishing House Sendirian Berhad.
    Ayah kembali menyambung pembacaan Ayah yang tidak bertanda, membelek-belek dan kembali menjumpai muka surat yang Ayah baca sebelum ini. Sebelum muka surat kandungan, ada satu petikan ayat daripada USA Today " Rich Dad Poor Dad ialah permulaan bagi sesiapa yang ingin menguasai masa depan kewangan mereka."

Tuesday, November 10, 2020

Terpulang

Lepas keluar dari bilik mandi, Ayah tengok Along dan Adik ada di ruang tamu.
    Along tengok tevisyen. Adik main tudung saji, dia mengerekot, tudung saji menutupinya. Ayah masuk ke bilik. Tiba-tiba Ayah dengar adik menangis kuat. Ayah keluar dari bilik, pantas mendekatinya. Dia berguling di atas lantai, tudung saji bergerak mengikutinya. Ayah mencangkung dan mendapati rambutnya yang panjang ada yang terbelit di celah tudung saji plastik yang pecah di tepinya. Ayah melepaskan rambutnya yang tersangkut. Patutlah dia menangis, Ayah dan Along tidak dapat menahan ketawa, rasa lucu pun ada, rasa kasihan pun ada. Umi keluar dengan kakak Fatin, banyak urusan, antaranya menghantar 'braised lamb shank' yang dipesan pelanggan.
      Setiap hari, kita tidak tahu apa-apa yang akan terjadi, sama ada kecil atau besar. Sama ada kita menikmatinya atau dapat kita mempelajari sesuatu daripadanya, sama ada kita mengeluh sepanjang masa atau memandang negatif semua perkara, terpulanglah kepada kita!

Sunday, November 8, 2020

Terapi

Banyak pilihan yang tak ada di restoran lain.
    Pau panas pasti menggamit selera tetapi itu bukanlah pilihan kali ini. Anak-anak mahu makan ketam lembut telur masin. Air pun banyak pilihan. Apabila bandung cincau Along sampai, Adik mengisytiharkan  air itu dia punya, itulah kuasa merah jambu. Pilihan Ayah tentulah sama saja. Tika ini, jika menghirup kopi, mungkin isunya tentang nahas helikopter Taman Melawati. Mungkin kisah  tentang Joe Biden yang akan mencecah usia 78 tahun dua bulan sebelum upacara pelantikan rasmi, menjadikannya presiden tertua dalam sejarah AS (Bernama, 8 November 2020). Mungkin juga fokusnya tentang semua sekolah di negeri yang tidak terlibat dengan PKPB turut diarahkan tutup, ini sesuatu yang amat tidak dijangka.
    Kopi 'o' Melaka pilihan kali ini di Restoran Mohd Chan, Indera Mahkota, dipadankan pula dengan dim sum sewaktu hujan melebat di luar. Minum kopi, tak perlu jadi batu api. Kopi satu terapi.

Lain

Semalam, pada waktu seperti ini kami di rumah Pak Ngah dan Mak Ngah.
     Sebelumnya, kami, Pak Ngah dan Mak Ngah serta anak-anaknya makan bersama-sama. Atuk dan Wan pun ada sama. Ayah, Umi dan anak-anak belum pernah ke sini. Sampai cuaca sudah gelap. Masuk ke dalam, semuanya sudah ada dan waktu itu di luar hujan mulai turun. Di dalam  telefon pintar, waktu itu isunya panas tentang PKPB seluruh negara kecuali tiga negeri. Portugal turut mengisytiharkan darurat buat kali yang kedua pada Jumaat. Pada waktu itu juga belum diketahui tentang Presiden Amerika Syarikat ke-46.
     Di luar sejuk,  di dalam pastinya sesuatu yang hangat diperlukan untuk meredakan keadaan. Banyak pilihan yang boleh dipesan di Restoran Mohd Chan. Tentunya sesuatu kelainan diperlukan kerana ada benda yang sengaja dipilih berkali-kali. 

Saturday, November 7, 2020

Tenom

Tujuan asalnya ingin menikmati kopi terbalik, itu saranan Umi, kehabisan stok nampaknya.
Itu minggu lepas.
       Maka, pada waktu itu, Ayah memilih kopi Tenom. Peminat kopi tegar, pastinya Tenom menjadi destinasi impian. Buat masa ini, perlu disimpan ketat-ketat dulu impian itu memandangkan hanya tiga negeri diumumkan hari ini yang tidak terlibat dengan PKPB, iaitu Pahang, Kelantan dan Perlis. Ayah merujuk artikel di https://www.sabahpost.net/2019/09/16/13-tempat-menarik-di-tenom-yang-ramai-tidak-tahu-mesti-anda-kunjungi/. Nampaknya kilang kopi adalah satu tempat yang tidak boleh dilepaskan jika ke sana.
    Secangkir kopi Tenom di Kopi & Teh, Jalan Besar Kuantan boleh dinikmati sendirian atau bersama dengan keluarga. Saat ini, secangkir kopi bercerita tentang Belanjawan 2021 seharusnya untuk rakyat dan kisah Covid-19 yang belum reda.

Aurat

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, Jumaat (perkataan Arab) bermaksud hari keenam dalam seminggu, selepas Hari Khamis.
     Dalam kamus yang sama juga, maksud kedua Jumaat ialah minggu, pekan, dua Jumaat juga bermaksud dua minggu. Kami digalakkan berbaju kebangsaan pada hari Jumaat. Jika memakainya, mesti lengkap. Biasanya, kami berpakaian lengkap baju Melayu, bersamping, bersongkok hitam dan berkasut setiap Jumaat. Kalau memakainya, mesti lengkap padanannya, tidak boleh suku-suku,  naik Y-Suku tak apa. Ayah biasanya menyarungkan capal pada kaki. 
   Jumaat semalam, kami ada penggambaran, semuanya segak berpakaian lengkap. Menurut Hadijah Mohd Yunus, Pengarah Muzium Tekstil Negara, pemakaian samping sesuai dengan falsafah prinsip agama Islam, iaitu membawa erti aurat bagi lelaki sehingga ke paras lutut (Nurul Husna Mahmud, Harian Metro, 26 Jun 2019).

Thursday, November 5, 2020

Bulu

Hari Rabu, 4 November, seperti biasa, Ayah menghantar Achik dulu ke sekolah. Cuti Achik sudah habis. 
    Waktu balik, Ayah mengambil Along dan Angah. Kemudian, terus ke tempat mereka mengaji dan mengambil Adik. Sebelum turun mengambil Adik, telefon berbunyi, Ayah pun menjawab. Ya, Allah! Ayah lupa mengambil Achik padahal lalu di depan tempat dia belajar. Maka, bergegaslah Ayah dan Adik, meninggalkan Along dan Angah di tempat mengaji terlebih dahulu. Along dan Angah pun terlupa akan Achik yang baru dua hari ke sekolah setelah diberikan cuti kerana semput. Sampai di sekolah tepat pada masanya walaupun sudah lengang, Alhamdulillah.
     Di dalam kereta dia menunjukkan sesuatu. Dia memegang karyanya, seekor binatang yang comel, bulunya ditampal menggunakan kapas. Ya, apabila melihat binatang, ini pastinya Ayah teringat akan sesuatu. Anda semua pastinya tahu😆!   

Tuesday, November 3, 2020

Kopi & Teh

Gunakan  'e-wallet' untuk berurusan di sini tanpa perlu ke kaunter. 
     Gunakan 'QR  Code' yang ditampal pada meja untuk membuat pesanan dan menunya pasti memikat hati. Angah teruja dengan roti canai telur goyang dan Achik makan kentang goreng. Ayah pula memesan sup cendawan dan roti, Achik awal-awal lagi mahu berkongsi sup cendawan dengan Ayah. Along menikmati 'Mac & Cheese'. Ada juga kek 'Rainbow & Marshmallow'. 
     Apabila Umi merasai 'Mac & Cheese', Umi cukup suka dan  ini  'Mac & Cheese' paling sedap pernah dirasai Umi. Ayah pun suka akan kuahnya yang ada 'rasa'. Mahu merasai  kelazatan 'Mac & Cheese'? Sudah pastinya anda memerlukan Kopi & Teh!

Sunday, November 1, 2020

Gerak

Jika ke 'Burgerak', tentulah hidangan eksklusifnya burger.
    Nak makan yang lain pun ada, anak-anak pakat nak makan sup cendawan dengan roti. Apabila dah berjumpa, macam-macamlah ceritanya, macam-macamlah gayanya. Ayah memerhatikan dinding yang dipenuhi poster. Ada poster tentang 'The Beatles' dan pastinya ramai yang teringat akan lagu 'Yesterday'. Melalui pembacaan Ayah, mungkin Ayah pernah beritahu sebelum ini bahawa Paul McCartney mendapat melodi atau iramanya dalam mimpi.
     Ayah mahu menghangatkan malam, manakala Umi mahu menyejukkan tekak dengan sesuatu yang menjadi kegemaran Umi. Secawan kopi 'o', itu kebiasaannya pilihan Ayah di mana-mana kedai, Umi pula memilih 'banana split'. Malam di 'Burgerak', pilih ikut gerak hati!

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...