Translate

Wednesday, September 30, 2020

Terapi

menulis di khm79.blogspot.com.
 Alhamdulillah, selain makan 'braised lamb shank' dan 'braised beef ribs'  yang terbukti lazat daripada  Zada Food @zadafoodhq (ig), kami juga makan  hidangan yang lain.
 Petang tadi, kami ke satu planet. Planet ini ada di Kuantan. Tidaklah ada makhluk asing di sini, tetapi planet ini menggamit semua orang untuk datang menjamu selera. Nak makan nasi? Nasi lemak biasa ada, RM3 saja. Makanan Barat pun ada, boleh cuba spageti. Yang suka Puding Raja pun boleh ke sini. Airnya, boleh minta sesuatu yang luar biasa, yang membuatkan kita mendongak ke atas! Ayam? Penggemar ayam goreng wajib mencuba ayam goreng di sini. Kenapa? Inilah Planet Ayam @planetayam(ig) !
 Kenikmatan menjamu selera bersama dengan keluarga di rumah atau di luar ialah terapi luar biasa yang menghilangkan penat bekerja walaupun ragam  anak yang macam-macam. Di rumah, ingat Zada Food, di luar ingat Planet Ayam!


Tuesday, September 29, 2020

Hidup Berjasa

'Hidup Berjasa', inilah antara cogan kata keramat yang cukup bermakna, yang pernah Ayah temui.
     Hidup Berjasa itu luas maknanya, luas tafsirannya. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, jasa membawa maksud pekerjaan baik (kepada negara, raja, orang dan lain-lain). Berjasa bermaksud berbuat kebaikan (kepada negara dan lain-lain). Apa-apa sahaja kerja  yang baik akan membuatkan hidup kita dan hidup orang lain menjadi lebih baik. Pekerjaan yang baik untuk keluarga, untuk sekolah, untuk masyarakat, untuk agama, bangsa dan negara pastinya memberikan kesan yang besar dalam kehidupan.
    Sekecil-sekecil pekerjaan yang baik tetaplah berharga dan begitu bermakna walaupun dilakukan sedikit setiap orang, apatah lagi jika dilakukan secara bekerjasama. 

Monday, September 28, 2020

Rai

Tak dirancang, tetapi seperti dirancang, itulah selalunya yang berlaku, itulah yang sering terjadi.
    Sedondon itu berlakunya di mana-mana saja, boleh terjadi kepada sesiapa saja, boleh mengeratkan ukhuwah dan terjalinnya ukhuwah. Ukhuwah boleh berlaku di mana-mana saja asalkan ada lidah yang menuturkan kata-kata. Kata-kata yang indah boleh menjalinkan ukhuwah. Kata-kata dusta dan nista pula  boleh menimbulkan amarah, boleh menaikkan darah dan meranapkan ukhuwah.
    Sama dan beza itu saling menyatukan kita. Sama membuatkan kita serasi. Beza membuatkan kita saling melengkapi. Raikan kehidupan ini!

Saturday, September 26, 2020

Anugerah

Malam semalam sudah tercungap-cungap, nampak lemah. 
    Along membawanya di dalam tapak tangannya. Seluruh tubuh berbulu hitam. Pagi semalam, sudah sejuk dan kaku, diambil Ilahi, tak sampai dua minggu umurnya. Dalam Kung Fu Panda, Tok guru Oogway mengatakan bahawa ada pepatah berbunyi, " Semalam  sejarah, esok misteri dan hari ini anugerah!" Maka, sebelum pukul 8 pagi semalam, ayah menanam Toothless di tepi pokok mengkudu, di situ juga Oreo ditanam. Sejarah mungkin menyakitkan kita, mungkin juga menggembirakan kita. Hari ini, saat ini,  satu anugerah buat kita, saat istimewa buat kita kerana masih diberi kesempatan untuk bersama dengan orang-orang yang kita sayangi.
      Pagi yang berkabus dan sejuk ini, di rumah Opah, Achik sejak semalam banyak kali menyedut inhaler melalui AeroChamber, Umilah yang lebih memahami. Moga segala-galanya dipermudah Allah SWT untuk kita semua.

Friday, September 25, 2020

'Moh Weh Rodong Pakat Makan'

Lewat petang Ayah singgah  di Serambi Teruntum.
  'Jualan Makanan  Pahang, Moh Weh Rodong Pakat Makan', bertempat di Dataran Serambi Teruntum, 25 hingga 27 September 2020, bermula pukul 9.00 pagi hingga ke pukul 10.00 malam. Banyak makanannya, khemah mengikut daerah pun ada. Ayah singgah beli Mi Jawa PokZ Sungai Lembing. Sampai di khemah daerah Maran, Ayah berhenti. Ada sambal ikan Botok, kali pertama Ayah mendengarnya, Ayah beli sebekas. Ayah berhenti lagi, ada Dodol Kayu Api Gula Kabung, dibawa khas dari Ulu Dong, Raub, anak-anak suka sangat. Macam-macam ada weh! Sayur segar dari Cameron Highland pun banyak. 
  Apa kata pergi saja esok, bawa keluarga sekali ke 'Jualan Makanan  Pahang, Moh Weh Rodong Pakat Makan' di Serambi Teruntum. Boleh jumpa rodong-rodong, orang kampung dan menikmati makanan tradisional Pahang! Jomlah weh esok!

Kesukaan

Lepas makan, ke kedai buah yang disukai Umi.
    Lepas itu ke kedai buku. Kedai buku SMO (Syarikat Muda Osman Sdn. Bhd.). Banyak pilihan buku di sini. Mula rambang mata, pegang ini tak kena, pegang itu tak kena, pilih yang itu letak balik, pilih yang ini rasa nak yang lain, itulah anak-anak. Minggu lepas Ayah berjaya menghabiskan bacaan buat kali kedua buku yang telah lama Ayah beli, Berani Gagal (Billi P.S. Lim). Banyak yang berjaya, asalnya gagal berkali-kali dan tak serik mencuba. 
    Adik dan Achik bermain di dalam rumah kecil. Selesai bermain, Adik menengok buku dan barang-barang lain dengan Umi. Akhirnya, Adik memilih sesuatu, bukanlah buku, magnet kecil yang boleh dilekatkan pada peti ais. Ayah asyik bising sebab jadual abang dan kertas lain habis jatuh sebab Adik cabut magnet yang dilekatkan. Akhirnya, Adik menemui kesukaannya😆!

Thursday, September 24, 2020

Eton

"Nak Eton," kata Adik. Lain macam bunyinya.
    Diberinya botol kecil, disuruhnya Ayah membuka penutup. Ditiupnya,"Fuh," itulah bunyinya sejak tadi. Tadi Umi yang diminta untuk meniup, sekarang giliran Ayah. Sebentar tadi, dia di meja makan, menyapu  keju pada roti seperti yang dilakukan Achik. Seperti mana sewaktu Umi meniup, begitu jugalah saatnya Ayah meniup, dia mengejar dan menangkap buih sabun yang berterbangan ditiup angin kipas di dalam rumah.
    Buih sabun itulah disebutnya 'eton', masih tidak terus cakapnya, barulah ayah faham, 'belon' disebutnya. Seronok meniup buih sabun walaupun sudah tua. Buih sabun mengingatkan kita tentang mati, hayatnya mungkin sesaat tetapi tetapkan menggembirakan semua orang.

Friday, September 18, 2020

Cinta Sakti

Ada masanya, seperti tidak dapat lari dari gedung kenangan silam, terngiang-ngiang lagu 'Cinta Sakti', Def-Gab-C.
"Bintang pasangannya bulan, Langit pasangannya bumi, Malam pasangannya siang, Apa pasangannya mentari?"
      Sebut pasal pasangan, orang dulu-dulu amat mahir mencari pasangan untuk makanan. Sirih dimakan dengan pinang. Sate dimakan dengan timun, apabila dikaji, timun itu ada fungsinya tersendiri. Puan Azilia pula memilih brokoli dan kentang putar sebagai pasangan 'braised lamb shank'. Pilihan yang tepat. Antara khasiat brokoli, membantu mencantikkan kulit. Dalam brokoli, terdapat senyawa glucoraphanin yang dapat membantu membaiki kerosakan kulit akibat paparan sinar matahari atau proses penuaan (Nur, 21 November 2018, www.rasa.my).
     Selamat menjamu selera buat Puan Azilia sekeluarga🤩. 'Cinta Sakti' daripada Zada Food.


Tuesday, September 15, 2020

Manja

Adik tidur di atas ribaan Umi. Umi mengangkat adik dan memasukkannya ke dalam buaian.
     Di dalam buaian Adik seperti tidak nyenyak. Ayah mengambil alih mengayunkan buai di dalam gelap bilik. Tiba-tiba Donah masuk ke bilik, melompat ke atas katil. Sejak Oren hilang, tak ada yang manja dengan Ayah macam Oren. Donah pun baru muncul dua tiga bulan ini. Entah dari mana datangnya dan begitu manja dengan Along, Angah, Achik dan Adik. Dia reda saja diangkat ke hulu ke hilir dan digosok-gosok bawah dagunya. Ayah tak peduli sangat Donah walaupun kadang-kadang dia datang menggesel-gesel pada kaki Ayah. Eh, dia cium Ayah pula setelah duduk di tepi muka ayah! 
    Kemudian, Ayah bertambah terkejut!Diurut-urutnya leher Ayah menggunakan kakinya. Manja benar nampaknya!

Monday, September 14, 2020

Donah

Sesiapa pun tak tahu bila Donah beranak.
   Semalam, Donah serba tak kena, macam kucing mahu beranak. Umi bawa Along dan Angah ke ujian penggredan tae kwan do. Ayah dengan Achik dan Adik di rumah. Pintu dibuka, Donah pun masuk. Ayah bawanya ke luar dan tutup pintu, Donah masuk ikut tingkap. Sebelum itu, Donah panjat dan masuk ke dalam mesin basuh sewaktu Ayah masukkan pakaian ke dalam mesin basuh. Ayah sengaja melonggokkan kain ke atasnya, Ayah ingat Donah akan keluar. Apabila Ayah angkat pakaian, Ayah tengok Donah duduk dengan muka tidak bersalah di dalam mesin basuh. Malam, Donah mencakar-cakar tingkap mahu masuk ke dalam rumah. Entah sampai pukul berapa kelakuannya begitu. Sebelum tidur, Along beritahu ada bunyi anak kucing, dah dicari tetapi tidak ada.
     Pagi, pintu dibuka, Donah meluru masuk, terus ke dalam bilik. Akhirnya terbongkar, anak-anak Donah tersorok di belakang laci pakaian Achik. Entah macam mana dia bawa anak-anaknya ke situ. 

Sunday, September 13, 2020

Tekah

Membaca untuk tahu bagi Ayah sesuatu yang menyeronokkan.
    Banyak perkara yang kita tak tahu sebenarnya, terlalu banyak! Dalam filem 'Night at The Museum: Battle of Smithsonian', ada watak Amelia Earhart. Di Malaysia pun ada Amelia Earhart. Jika ke Taiping, beliau dapat dilihat pada dinding sebuah premis di Jalan Abdul Jalil, mural ini diiktiraf sebagai lukisan  luaran 3D terbesar Malaysia Book of Records (MBOR)(Berita Harian, 29 Disember 2019).
     Juruterbang wanita pertama dunia ini pernah mendarat di Lapangan Terbang Tekah di Taiping (lapangan terbang pertama dibina secara rasmi di Malaysia, juga di Asia Tenggara) pada 7 Jun 1937 
untuk mengisi minyak sewaktu membuat penerbangan solo merentasi Lautan Atlantik (Utusan Malaysia, 11 September 2020).

Wednesday, September 9, 2020

Cinta

Kata orang, tak kenal, maka tak cinta.
     Cinta akan membawa kita ke mana-mana saja. Cinta akan membuat kita asyik dibuai kenikmatan dan tanpa kita sedar cinta itu membuatkan kita lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Sebagai pencinta makanan, ke mana-mana saja kaki akan melangkah mengikut selera, kelelahan bekerja hilang dengan keenakan juadah pilihan. Jika tak dapat, bagaikan pungguk merindukan bulan asyik disebut. Tak dapat bulan, kuih bulan menjadi pilihan. Kuih bulan berperisa telur masin buatan Puan Azilia menjadi pilihan Umi dan suami Puan Azilia juga telah jatuh cinta dengan 'braised  lamb shank' Zada Food.
    Terima kasih Puan Azilia kerana membeli buat kali kedua 'braised lamb shank'' untuk suami tercinta. Inilah kuasa cinta.

Monday, September 7, 2020

'Lan Cheese'

Sejak minggu lepas, jalan Indera Sempurna menghala ke Pekan diturap tar baharu. Tinggallah satu lorong saja.
     Maka, bersesaklah kenderaan. Sampai di rumah, Umi pun sampai setelah habis mesyuarat.
"Pergi makan," itu keputusan yang dicapai. Bergeraklah kami setelah mengambil Adik. Destinasi makan-makan pun sampai, banyak tempat parkirnya. Tak banyak orang sangat, belum pukul 5 petang, yang menempah sudah banyak, sudah banyak ditulis nama pada plastik. Ayah pesan pisang 'cheese' original, Umi pesan pisang 'cheese' coklat Hershey dan tidak lupa, 'tapau' untuk Along, Angah  dan Achik.
     Di mana? Ya, di 'Mahkota Foodtruck Station', Indera Mahkota. 'Lan Cheese', boleh dihubungi melalui nombor 013 9221750, di Instagram @lancheeseft. Alhamdulillah, sedap!


Friday, September 4, 2020

Dahi

Ayah pun menjawab telefon. Hana ditimpa kemalangan.
     Ayah meninggalkan Ustaz Asri dan seorang lagi rakan di Selera Gergasi. Ayah menuju ke Wad Kecemasan HTAA. Agak lama menungggu, Umi menelefon Ayah. Umi mengisi borang, kemudian mendukung Hana ke tempat pendaftaran. Pada tengah-tengah dahinya masih kesan darah walaupun telah dicuci dan dibersihkan Umi. Hana dihempap seterika yang jatuh sewaktu bermain dengan Along, Angah dan Achik. Sesungguhnya, geruh tak mencium bau. Umi membawanya berjumpa doktor, dahinya digam. Steristrip dan gam  glustitch digunakan untuk merawat luka tanpa dijahit (sumber: klinikdrhasbi.com).
     Pagi Umi menghantar Along dan Angah ke kelas tae kwan do serta ke sekolah menyiapkan kerja, muncul Atuk dan Wan,  membawa sarapan dan melawat Hana. Terima kasih Umi, Atuk dan Wan.


Pidato

Malam tadi Ayah pergi jumpa tok guru pidato Ayah, Ustaz Asri.
    Dulu, Ayah tak pernah fikir nak berpidato, apatah lagi nak masuk kelas pidato. Waktu di sekolah rendah dulu, di sebelah petang sekolah agama. Ustazah suruh ayah masuk syarahan sebab Ayah banyak cakap, Ayah lari tak cukup tanah. Ayah tak berminat dengan acara yang nampak formal, Ayah lebih suka 'gaya bebas'. Entah macam mana, pada satu Hari Jumaat, Ayah terpandang satu iklan tentang Kelab Pidato Perdana (KPP) cawangan Kuantan yang baru dibuka dan terbuka hati untuk belajar perkara baharu.
    Sewaktu kami di Selera Gergasi, tiba-tiba telefon Ayah menyanyi.
    

Thursday, September 3, 2020

Limau

Tengok Arah makan limau mula teringat waktu dulu-dulu.
    Kalau arwah Wan Dolah dan Tok Jarah muncul di muka pintu, mesti bawa buah tangan. Buah limau kulit nipis, kulitnya warna hijau kekuningan dan isinya warna oren, itulah antara yang wajib dibawa. Suka sangat Ayah, Baba dan Pak Su Apit. Limau juga boleh jadi punca gaduh. Kulit limau Ayah picit ke mata Baba, memang pedih dan lari satu rumah kena kejar.  Kalau ke rumah arwah Wan Suri dan arwah Tok Som pula, di tepi dapur ada pokok limau kasturi. Limau kasturi dibelah di tengah-tengah, ditekan asam masin merah ke dalam tempat yang dibelah, kemudian dihisap atau disedut. 
     Semalam, Along bawa buah limau kasturi sebiji, cecair pencuci dan soda bikarbonat, mahu buat eksperimen. Zaman Ayah dulu,  mana ada mata pelajaran Sains di sekolah rendah.

Kesan

Sate ialah ejaan sebenarnya. Di sebalik secucuk sate ada banyak makna dan ceritanya.          Dulu-dulu, sangat gembira tatkala Atuk bawa ba...