Translate

Thursday, October 31, 2019

Bunga Teladan

Bunga. Ada bunga, ada kumbang. Ada bunga, ada lebah. Ada bunga, ada burung penghisap madu.
       Bunga ada di mana-mana. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat Peribahasa Melayu menyatakan bahawa bunga tak sekaki, kumbang tak seekor. Maksudnya ialah laki-laki atau perempuan itu tidak seorang sahaja di dunia ini. Bunga gugur putik pun gugur, tua gugur masak pun gugur pula bermakna setiap manusia akan mati (baik muda mahupun tua).
       Begitulah masyarakat Melayu, melalui pemerhatian, bunga boleh menjadi teladan dalam hidup kita melalui peribahasa yang dicipta. Bunga bukanlah sekadar bunga, bunga memberi nilai dan pengajaran.



Saturday, October 26, 2019

Kacau

Sengit dan mencemaskan, itu yang boleh dilihat dalam perlawanan antara Pahang dengan Kedah untuk merebut tempat ke perlawanan akhir Piala Malaysia.
    Dalam perlawanan begitulah, di luar tetap kawan. Di kawasan Felda pula, rakyatnya berbilang negeri. Malam tadi, mungkin sokong pasukan pilihan masing-masing, siang duduk sekali, bergotong-royong, bekerjasama buat banyak kerja. Kaum ibu meriah dengan aktiviti memasak. Opah dan kawan-kawan berpakat buat pulut kacau, kacau sama-sama. Biasanya, Angah suka kerja-kerja begini, ayah mengajaknya sekali. Walaupun sekejap sangat Angah mengacau, dapat juga pengalaman berbanding ayah yang tengok saja😅.
   Kerjasama atau buat kerja sama-sama perlu dibiasakan sejak kecil supaya menjadi perkara rutin dalam kehidupan anak-anak sebagai anggota masyarakat suatu masa nanti.

'Betik'

Biar 'betik'. Achik selalu menyebutnya.
    Jika tergesa-gesa ada kalanya 'betul' boleh jadi 'betik' kerana salah tekan huruf pada layar sentuh yang agak kecil. Salah tekan   huruf dan jika perkataan yang ditaip itu tidak memberi makna apa-apa, tidak mengapa. Yang bahayanya jika perkataan itu memberi makna yang lain dan menimbulkan salah faham. Tanda baca seperti koma dan noktah  juga amat penting jika menulis dalam aplikasi seperti WhatsApp kerana tanpa tanda baca, maksud mungkin berubah. Perubahan maksud mungkin mencetuskan amarah dan menghadirkan gelisah.
        'Biar betik' sudah tular dan hampir semua orang tahu  perkataan asalnya 'biar betul'. Namun begitu perlu diingat, kita perlu membiasakan yang 'betul', bukan  yang 'betik'.

     

Batas

Ketika ayah menulis ini, antara isu yang hangat ketika ini ialah pengharaman komik kontroversi 'Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama'.
      Penting anak-anak kita dan kita sendiri memahami sejarah tanah air, begitu juga sesiapa sahaja yang menjadi warganegara Malaysia. Kepercayaan seharusnya dibalas dengan kepercayaan. Susu yang diberikan seharusnya dibalas dengan susu, bukannya dengan tuba. Tolak ansur telah sekian lama berlaku. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, tolak ansur bermaksud saling menuruti (memberi). Tolak ansur bukan melibatkan sebelah pihak sahaja, tetapi melibatkan dua pihak.
     Kebaikan seharusnya dibalas dengan kebaikan kerana di tanah ini terlalu banyak tolak ansurnya. Perlu juga diingati bahawa kesabaran juga ada had atau batasnya.

Thursday, October 24, 2019

Topeng

Bukannya sesuatu yang mudah untuk menunjukkan wajah yang gembira, terlukis garis senyuman sepanjang masa.
       Agak sukar untuk menyimpan marah di sebalik bibir merah amarah. Bukannya senang mengundang tenang sewaktu gelombang menyerang. Bukanlah semudah berkata-kata, senyum itu munculnya dari dalam, barulah di luar nampak manisnya. Jika tidak,  nampaklah kepura-puraan. Kepura-puraan itu tidak terlindung lama, jika dipendam mungkin menjadi dendam, jika diluah mungkin menjadi gundah, mungkin bertukar menjadi padah. Keberanian mungkin menjadi kecaman, kebenaran mungkin menjadi kebencian.
      Wajah gembira mungkin hanya topeng, mungkin juga  wajah sebenar!


Wednesday, October 23, 2019

Layak

Ada seperti yang tidak kena apabila tidak minum kopi dalam masa satu hari, begitulah juga jika tidak berkongsi cerita dengan menulis.
      Ada sahaja perkara yang sentiasa bermain-main dalam minda atau berlegar-legar di sekitar kita. Perkara itu mungkin melibatkan kita atau tidak melibatkan kita. Ada masanya perkara itu melibatkan kita dan mungkin kita mengabaikan sahaja kerana kita merasakannya  tidak penting. Ada masanya perkara itu melibatkan kita dan sememangnya penting dan perlu diambil tindakan segera.
     Kadang-kadang ada juga perkara yang tidak berkaitan dengan kita tetapi kita perlu campur tangan kerana hanya kita yang ada di situ atau hanya  kita yang paling layak menguruskan perkara itu.

Saturday, October 19, 2019

Detik

Detik berlalu, meninggalkan aku, kenangan dirakam waktu, kuputarkan kembali lagu itu.
     Membuka kembali buku, membuka kembali majalah sekolah, ditemui ayah kembali majalah sekolah terakhir sebagai seorang murid. Segar kembali ingatan ayah tentang kenangan lampau bersama dengan rakan-rakan. 'Jangan Ada Benci' bermain di bibir kami sewaktu orientasi dan tanda nama besar ke hulu-hilir tergantung di leher. Pahit manis kami lalui bersama, mengukir kenangan di dinding kehidupan.
     Kini, ada kalanya kami bersua dengan teman mahupun guru, bertemu muka sekali-sekala, selebihnya bertemu di 'muka buku' dan ada yang sudah meninggalkan kami. Al-Fatihah.

Thursday, October 17, 2019

Siapa-Siapa

Mungkin ramai mahu ada sayap seperti Maleficent dan mungkin tidak ramai mahu ada tanduk seperti Maleficent.
       Tidak kira siapa-siapa pun kita, tindak-tanduk kita sedikit sebanyak dipengaruhi pengalaman dan persekitaran yang kita alami. Kesedihan, kegembiraan, kemanisan dan kepahitan hidup mempengaruhi segala  tindakan kita. Kadang-kadang, kita cuba untuk positif, sebaliknya berlaku. Kadang-kadang kita memandang negatif, sebaliknya berlaku. Perkara yang berlaku ini meninggalkan kesan kepada kita. Mungkin kita rasa keseorangan dan kesepian, tetapi tanpa kita sedar, banyak orang seperti kita, hanya masa menentukan untuk kita bertemu dengan mereka dan berkongsi sesuatu dalam kehidupan.
      Tidak kiralah kita Maleficent atau Joker, masih diberikan usia, kita bertanggungjawab terhadap diri kita sendiri!

Wednesday, October 16, 2019

Manis

Petang semalam, ayah bawa Angah untuk cabut gigi di Klinik Kesihatan Kurnia.
     Ayah tidak bawa kad pengenalan Angah, yang ada hanya nombor, tidak boleh rupanya. Jadi, ayah sahaja yang berurusan untuk mencabut geraham yang sudah tinggal tunggul. Agak begitu lama tidak mencabut gigi, rasa agak ngeri. Petang ini pula ke klinik untuk mencabut gigi Angah. Rupa-rupanya ada dua gigi susu yang sudah goyang. Dua-dua dicabut Doktor. Terima kasih Doktor. Belum sampai rumah, singgah dulu beli aiskrim.
     Ramai yang rasa hilang seri pabila tiada bergigi. Senyumlah walau tiada bergigi, anda tetap comel, anda tetap cantik, anda tetap kacak, anda tetap menawan dan senyuman anda
kekal manis.

Monday, October 14, 2019

Siasat

Kenangan tidak boleh ditinggalkan.
    Salah satu hiburan waktu kecil dahulu ialah membaca. Banyak waktu dihabiskan di perpustakaan. Ayah suka buku cerita bertemakan penyiasatan. Antara buku cerita kegemaran ayah ialah karya Enid Blyton. Apabila membaca, mulalah berangan, ada rumah atas pokok (ran) sebagai tempat operasi. Jika mahu masuk, ada kata laluan. Pernah sekali, atuk masuk bilik, ada mainan jatuh atas atuk sebab ayah buat jerat. Bilik tak ada pintu, hanya ada langsir. Atuk 'langgar' tali yang telah direntangkan di bahagian bawah pintu.
    Agak letih menjadi penyiasat, lebih bermotivasi jika ada klu dan dapat menyelesaikan sesuatu kes. Jika anda Cikgu, anda juga penyiasat. Setuju?

Saturday, October 12, 2019

Kehendak

Bangun pagi, mahu makan apa? Bersyukur kita, masih ada makanan, negara pun aman.
     Di hari minggu yang tiada Mingguan Malaysia di sisi, sambil menghirup kopi, ayah membaca berita Astro Awani, masih ada ulasan tentang Belanjawan 2020. Televisyen terpasang. Masih menggunakan aerial. Masih lagi Siaran TV Analog (akan tamat esok -14 Oktober) dan digantikan dengan Siaran TV Digital. Sebentar tadi, ayah telah menghabiskan lempeng  sambal ikan bilis yang dibuat umi.
    Setiap hari, ada sahaja isu atau perkara baharu muncul atau terjadi. Keperluan asas telah dipenuhi, maka akan muncul banyak kehendak. Kehendak sangat sukar untuk dipenuhi selagi tidak mati.

     
       

Friday, October 11, 2019

Nilai

Umi pengsan lagi, kali ini di sekolah. Ayah berkejar ke sana.
    Lepas Jumaat, ayah bawa adik ke klinik pula. Petang, Belanjawan 2020. Biasa ayah menunggu juga. Ayah memilih untuk 'pengsan' di atas katil. Pasti rakyat menunggu dengan penuh debaran belanjawan kali ini setelah masing-masing memberi satu undi yang cukup penting dalam pilihan raya  lepas kepada parti yang membentuk kerajaan baharu. Ya, setelah ayah sedar, sempat ayah tengok sekejap belanjawan dan sudah ada ulasan berkenaan belanjawan dalam 'WhatsApp'.
    Satu undi cukup penting untuk menentukan kalah dan menang. Satu undi itu menjadi satu tanggungjawab penting dalam demokrasi. Satu undi itu mungkin mewakili harapan, kebencian, kasih sayang, kemajuan, keamanan, keadilan dan sebagainya. Belanjawan itu salah satu penilaian yang amat penting  bagi rakyat.


Thursday, October 10, 2019

Tegur

Apakah reaksi kita apabila ditegur jika melakukan kesalahan?
     Apakah kita boleh menerimanya? Adakah kita akan melenting?Adakah kita akan mempertahankan tindakan kita? Adakah kita akan mengakui kesilapan? Adakah kita akan memohon maaf ? Adakah kita akan berterima kasih? Yang ditegur dan yang menegur seharusnya sama-sama memiliki adab. Jika kedua-duanya mempunyai adab, Insya-Allah sesuatu perkara itu dapat diselesaikan dengan baik. Yang ditegur kebiasaannya lebih sensitif apatah lagi di khalayak ramai. Yang menegur juga mungkin sudah berfikir berkali-kali sebelum menegur.
      Tegur-menegur suatu perkara yang baik dan seharusnya dilihat dari sudut yang baik. Teguran untuk buat kita jadi lebih baik dan menghargai orang lain yang mahu lihat kita jadi lebih baik dan lebih bertanggungjawab.

Wednesday, October 9, 2019

Wangi

Semua orang suka bau wangi.
    Di dalam kereta ayah, jarang sekali ada pewangi kereta. Kadang-kadang, ayah mengambil bunga cempa yang mula berkembang dan diletakkan di dalam kereta. Ayah memanggilnya cempa, ayah tidak tahu nama lainnya.  Bau wangi semula jadi lebih mengasyikkan. Janji-janji yang ditabur pula cukup mewangi, mempesonakan sebahagian daripada kita. Dalam buku Mutiara Kata Pencetus Minda, Zaiton Afidza B.A (Hons), Lao Tse menyatakan bahawa orang terlalu mudah berjanji, jarang-jarang menepati janjinya.
       Bunga janji berkembang dan semakin wangi jika ditepati, menjadi cukup busuk jika tidak ditepati.

Monday, October 7, 2019

Lima

Maruah (perkataan Arab) yang bermaksud kehormatan (diri), harga diri (Kamus Dewan Edisi Keempat).
     Maruah perlu dijaga. Setiap orang perlu menjaga maruah diri sendiri, ibu bapa, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan agama. Maruah bukanlah perkara yang boleh dimain-mainkan atau dipandang enteng. Baru-baru ini, berlangsungnya Kongres Maruah Melayu. Sebelum ini, kempen BMF dijalankan, merentas bangsa. Maruah bangsa hanya akan terjaga  dengan kesedaran bangsa itu sendiri. Maruah negara hanya akan terjaga dengan kesedaran rakyat negara itu sendiri.
      Rakyat yang berbilang bangsa harus menjaga negara ini dengan penuh taat setia. Lima Rukun Negara mesti menjadi pegangan kita semua. Tengok diri kita di dalam cermin, pejuang atau petualang?

Saturday, October 5, 2019

Serius

"Why so serious?" Kebanyakan peminat filem pasti tahu watak yang mengujarkan ayat tersebut.
      Sukar diramal, itu antara perwatakan utamanya. Pengalaman yang dialami boleh menjadikan seseorang itu sukar diramal dan tidak terkawal. Pergelutan jiwa sesuatu yang begitu kompleks. Wang bukanlah segala-galanya, susah untuk mendapatkannya, setelah diperoleh, wang yang banyak bukan untuk dibelanja tetapi dibakar.
    Serius atau tidak serius itu ada ketikanya melibatkan  persepsi berdasarkan pengalaman. Betul dan mungkin tidak betul!

'Ami'

Sepotong kek dinikmati bersama di hari lahir Hana.
       Giginya sudah hampir penuh. Rambutnya? Tatkala ini adik sudah memanggil umi 'ami', sebelum ini 'api'😅. Namanya sendiri boleh pula disebut dengan jelas. Dia melangkah sesuka hati, berhenti, berlari, mengikuti abang-abangnya. Sesekali menarik tangan umi,  ayah dan abang-abangnya. Kucing? Ya, dia sudah berani bermain dengan kucing, dipeluknya  kucing  seperti anak patung.
       Dalam setahun, banyak perkara yang kita lalui, banyak kejayaan telah dicapai, kadang-kadang kita tidak perasan pun. Kecil atau besar sesuatu pencapaian, hal itu suatu perkara yang baik untuk diri kita kerana peningkatan telah berlaku. Teruskan, jangan berhenti!


Thursday, October 3, 2019

Puja

Walaupun ayah tidak suka sangat ada hiasan bunga plastik di dalam rumah, ayah tetap suka bunga hidup.
     Dulu, ayah mengambil mata pelajaran Kemahiran Hidup Sains Pertanian (SPN). Kami diberi satu lot tanah (lebih kurang seluas satu meja murid sekolah) dan diminta menghasilkan taman mini. Sewaktu di tingkatan 3, hampir setiap pagi, sampai sahaja di sekolah, kami berkejar ke kawasan taman mini di belakang rumah guru, mahu melihat bunga yang mengembang dan pokok bunga yang semakin merimbun.
     Bunga sering diperkata tentang indahnya, tentang harumnya, tentang warna-warninya. Bunga berkembang diburu lebah dan kumbang. Jadilah seperti bunga yang menyua gembira, membina bahagia. Tetap dipuja walau kembang tidak lama.

Wednesday, October 2, 2019

Gantung

Kebanyakan orang  suka madu lebah.
      Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, lebah bermaksud serangga kecil  berkepak empat dan bersengat yang mengeluarkan waks dan madu. 'Lebah bergantung' ada tiga maksud. Yang pertama, sejenis ukiran pada jerubung perahu. Yang kedua, bentuk dagu yang cantik. Yang terakhir, merujuk dialek Kelantan, iaitu pakatan yang kukuh. Ya,bolehlah nanti memuji isteri atau suami anda menggunakan 'lebah tergantung'. Bagi yang suka menonton, rugi jika tidak menonton Filem  Mr. Holmes (2015) yang  ada kaitan dengan  lebah.   
     Lebah tabah mengepak-ngepak ke serata ceruk menghisap madu bunga. Lebah tidak jemu memberi madu. Lebah makhluk kecil yang besar baktinya untuk manusia. Lebah makhluk bertuah dicipta Allah.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...