Translate

Saturday, August 28, 2021

Anugerah

Malam semalam ke rumah Pak Long Le dan Mak Long Pah dengan Along, 'dia' ada, dari jauh  bersinar matanya dalam gelap. Bulu roma pun meremang.
        Pagi tadi, 'dia' ada di  belakang rumah Atuk dan Opah. Menghampiri tengah hari, dia di depan muka pintu. Opah cakap bunyinya unik, boleh juga mengejutkan dan menyeramkan jika tidak nampak. Memang betul, bunyinya lain sangat. Merimaskan Opah apabila 'dia' terlalu manja, mahu duduk di ribaan. Manja dan mesra walau kali pertama menemui anak-anak, menggesel-gesel, tidak kisah digosok-gosok.
"Nenek cakap, "Dia bukan cacat, dia berlebih!" Umi pun perasan, kaki depan, kaki belakangnya berjari enam.
        Anugerah itu ada di mana-mana, kadang-kadang 'dia' datang kepada kita, kadang-kadang 'ada' pada kita sendiri. Banyak atau sedikit, anugerah itu untuk kita lebih bersyukur dengan nikmat yang ada, dengan nikmat yang kita dapat setiap saat, Alhamdulillah!

Friday, August 27, 2021

Lupa

Pokemon dari negara mana ye? Angah beritahu dari  Jepun. Achik beritahu dari Jepang. Orang Indonesia menyebutnya Jepang, selalu sangat menonton pemain permainan video Indonesia di Youtube. 
        Hari ini teknologi sangat   pantas, Youtube salah satu ladang ilmu anak-anak hari ini, tak seperti zaman dulu, hanya siaran radio dan siaran tv menjadi sumber ilmu selain perpustakaan. Dulu, pilihan terhad, sekarang pilihan terlalu banyak. Sekarang, mahu belajar apa-apa saja, mahu ke hujung dunia, semua ada di Youtube, lupa masa berlalu. Begitu juga adik, kadang-kadang lagu kanak-kanak yang didengarinya di Youtube bukan dalam bahasa Melayu, bunyi Sepanyol pun ada.
        Menjelajah di alam maya, boleh lupa makan dan minum, boleh juga habis sepinggan makanan tanpa sedar, sedar-sedar boleh juga menambah ilmu  dalam bahasa lain.

Tuesday, August 24, 2021

Banyak

        Banyak kenangan tercipta tika bersama.
       Salah satu kenangan dengan Umi yang Ayah ingat sewaktu kali pertama minum air gelas besar di Tanjong  Lumpur. Masa itu, naik kereta Cikgu Asrul dan Cikgu Surina (dipanggil kakak walau sebaya). Itu kali pertama jumpa, air buah pun ikut saiz macam saiz baju. Apabila sampai agak terperanjat 'beruk'lah juga sebab rasanya air yang sampai tak padan dengan saiz perut, perut saiz S. Maka, dihabiskan juga walau muka pun dah rasa naik 'biru'. Memang menjadi bahan gelaklah.  Pada suatu pagi pula, kami mengekori Cikgu Khair pergi bersarapan di Restoran Zaman. Cikgu Khair bab-bab makan ni dia memang juara tak terkalah, ranking nombor satu.
      Banyak kenangan terukir tika bersama, tika ditakdirkan Allah SWT untuk bersama, apatah lagi sampai ke angka empat belas, syukur Alhamdulillah. Moga Allah SWT merahmati dan memberkati hingga ke sorga, Insya-Allah.

Friday, August 20, 2021

Mudah

Alhamdulillah, semalam, 20 Ogos, kita mendapat perdana menteri baharu, Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
        Amanah yang digalas tidaklah semudah kita meluahkan kata-kata dalam situasi tertentu. Sebab itu itu kita sering mendengar kata-kata bijaksana yang berbunyi, "Kata Itu Kota". Sebahagian daripada kata-kata yang dikeluarkan itu berupa janji. Janji kepada diri jika dimungkiri mungkin hanya memudaratkan diri sendiri tetapi janji kepada orang ramai jika tidak ditunaikan atau dikotakan, itu akan membawa mudarat yang lebih besar. Janganlah terlalu mudah untuk berjanji, apatah lagi melibatkan perkara yang besar, yang memerlukan kajian dan perhatian  kerana janji itu suatu amanah besar yang perlukan dilaksanakan dan dikotakan dengan sebaik-baik mungkin.
      Kota dan negara bangsa tidak dibina dengan semudah berkata-kata. Terbangunnya kota dan negara bangsa kerana pemimpin dan rakyat seia sekata bergerak menbangunkan negara. Sabotaj demi kepentingan sendiri pasti negara binasa!
         

Thursday, August 19, 2021

Manusia

Hari Kemanusiaan Sedunia, 19 Ogos.
       Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, kemanusiaan bermaksud perihal manusia, sifat-sifat manusia.  Setiap orang pasti boleh menyenaraikan sifat manusia  yang wajar ada dalam diri manusia pada helaian kertas atau pada paparan skrin. Sifat manusia yang wajar ada pada setiap manusia boleh berubah dan semakin sukar difahami jika melibatkan tekanan dan keadaan. Jika melibatkan tekanan dan keadaan, sudut pandang manusia sudah tak sama lagi kepada seseorang manusia dan tafsiran terhadap perubahan sifat manusia yang asal kepada sifat yang baharu tidak boleh lagi di pandang melalui satu sudut saja. Kepelbagaian sudut diperlukan kerana ketidakadilan mungkin bakal berlaku jika hanya bergantung pada satu sudut pandang.
      Memanusiakan manusia satu proses yang panjang selagi ada usia di sepanjang jalan kehidupan walaupun dilahirkan sebagai manusia yang berakal. Manusia perlu terus diingatkan kerana kita tak mahu sedar selepas mati!

Wednesday, August 18, 2021

Sebenarnya

      18 Ogos, petang Rabu,  kita dikejutkan dengan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai, ada hilang nyawa, Al-Fatihah dibaca.
      Isnin, 16 Ogos, kita mendapat Perdana Menteri Sementara (caretaker), Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin Md Yasin, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Menghampiri seminggu di musim wabah, ada yang terjadi di luar kawalan, ada yang terjadi dalam kawalan. Untuk mengawal yang tak terjangka, perlu persediaan awal, tindakan segera pastilah diambil, barisan hadapan sentiasa bersedia dalam keadaan genting. Namun, ada yang sepatutnya terkawal, boleh menjadi satu kegagalan jikalau tiada kesepakatan demi kepentingan ummah.
        Semalam, hari ini dan esok, tiga hari untuk direnungkan. Ada yang boleh dikawal dan ada yang di luar kawalan. Ada yang dirasakan gagal sebenarnya tidak gagal, bergantung pada sudut mata yang memandang. Renung-renungkan!                    

Tuesday, August 17, 2021

Hebat dan Akibat

Sandiwara itu ada di mana-mana, sering kita tonton.
     Ceritanya tak pernah habis sejak dulu lagi, kerana idea itu sentiasa lahir dan ilham itu sentiasa datang. Sandiwara itu kadang-kadang masih  didukung oleh pemain yang berpengalaman, ada juga muka baharu, cuma skrip yang berbeza, diubah suai mengikut peredaran teknologi dan zaman. Antogonis dan protagonis silih berganti, naik turun suara adakalanya memainkan peranan dominan yang membina simpati dan empati. Watak sampingan turut memainkan peranan, menyebelahi antagonis atau protagonis, kadang-kadang boleh dibeli pendiriannya. Jalan cerita seakan sama, bertambah rumit oleh konflik, kadangkala saspens boleh membawa kejutan yang disangka atau kejutan tak terjangkau, bergantung kepada pengarahnya.
     Sandiwara seharusnya membawa nilai dan pengajaran dan lakonan hebat seharusnya tidak meninggalkan akibat.

Mengalir

Ayah tanya Atuk, ayah Umi, tentang sejarah bermulanya Atuk menjadi guru.
      Atuk pun bercerita, dia terpilih dan ditawarkan untuk menjalani latihan sebagai guru sewaktu di tingkatan 5. Untuk menjadi guru pada ketika itu, Atuk perlu belajar di 'Day Training Centre' (DTC) selama tiga tahun. DTC untuk yang akan mengajar di sekolah rendah. Untuk menjadi guru sekolah menengah,  belajar di 'Regional Training Centre' (RTC). Selepas tiga tahun, bermulalah perjalanan Atuk sebagai seorang guru sepertinya baris pertama pantun Joget Pahang - dari Melaka pergi ke Pahang.
     Menjadi seorang guru itu panjang ceritanya, lebih panjang dari Sungai Melaka, lebih panjang dari Sungai Pahang, cerita yang tak akan berhenti mengalir! Diharapkan pahala begitu juga,  Insya-Allah!

Saturday, August 14, 2021

Dari Langit Ke Bumi

Beruntunglah yang dapat menyaksikan salah satu kebesaran-Nya, Hujan Meteor Perseids.
      Setiap hari kita melihat kebesaran Allah SWT. Bagi yang menggilai pokok bunga contohnya, setiap pokok bunga, besar atau kecil, daunnya pelbagai bentuk, ada yang berbunga, ada yang tak berbunga, berwarna-warni dan ada yang berbau serta tak berbau. Bagi yang berkebun menggunakan tangan kidal (semalam 13 Ogos, Jumaat, Hari Kidal Sedunia), janggal sebenarnya guna peralatan untuk yang guna tangan kanan.  Ini juga salah satu kebesaran Allah SWT pada diri kita. Tempoh hari Umi membeli gunting untuk Adik yang kidal, janggal Ayah menggunakannya.
     Masya-Allah, dari langit ke bumi, yang di ada di sekeliling kita, yang ada pada diri kita, semuanya membuatkan kita mengingati kebesaran Allah SWT.

Thursday, August 12, 2021

Ditidurkan

'Ditidurkan' bukanlah pilihan seseorang. 'Ditidurkan' itu  pilihan terakhir yang dibuat untuk seseorang, pilihan yang dianggap terbaik pada saat yang paling genting.
     Tatkala ditidurkan, di alam mimpi ada kehidupan lain yang menanti. Di alam yang sebenar, perasaan cemas, takut, sedih dan sebagainya bergaul, ada kalanya perasaan itu silih berganti bagi yang menunggu, keluarga, rakan-rakan dan yang mengenali. Yang ditidurkan, bergerak merentas pemikiran logik. Ada kalanya seperti di dunia, ada masanya entah di mana-mana, bagaikan fiksyen, mungkin juga yang ditunjukkan itu benar. Yang terbaring merasakan sepertinya tidak lama, walau banyak cerita, yang menunggu menanggung derita kerana yang 'ditidurkan'  belum tahu pengakhirannya, belum tahu bilakan kembali.
      'Ditidurkan' itu sama ada bangkit kembali, atau dibiarkan seketika, kemudian diambil dan dibawa Ilahi. Kita yang masih di sini, masih ada sedikit sisa, masih ada sedikit masa. Manfaatkanlah!

Tuesday, August 10, 2021

Lebih Tua

Walaupun umur kita lebih tua dalam tahun Hijrah, itu bukan satu masalah kecuali kita yang menganggapnya sebagai masalah.
      Sesuatu perkara akan dianggap menjadi satu masalah jika kita mengiktirafnya sebagai masalah. Mungkin ada yang kali pertama timbul, perkara itu kita anggap sebagai masalah. Kemudian, sesuatu perkara itu mungkin tidak lagi dianggap sebagai masalah, masalah itu sudah dikira sebagai  perkara biasa atau kerja yang perlu diselesaikan jika itulah yang kita hadap setiap hari. Masalah akan bertambah rumit jika tak diselesaikan, kadang-kadang jadi makin rumit walaupun telah selesai. Inilah halnya seperti rumah sudah, tukul (pahat) berbunyi, maksudnya mengemukakan pendapat dan lain-lain sesudah perkara diputuskan (Kamus Dewan Edisi Keempat).
      Meningkat umur, meningkat ilmu, meningkat pengalaman, meningkat matang dan meningkat pahala, itu yang sepatutnya berlaku kepada kita, Insya-Allah! Jika tidak, itu jadi masalah!

Monday, August 9, 2021

Sesuatu

1 Muharam detik permulaan - itulah yang selalu muncul dalam ingatan setiap kali menyambut Maal Hijrah. Sudah 1443 Hijrah, Alhamdulillah.
     Semalam 9 Ogos, Siti Sarah Raissuddin meninggalkan kita, Al-Fatihah dibaca. Semalam pergi dan hari ini datang. Semalam yang pergi adakalanya begitu menyakitkan bagi kita, namun hidup harus dihadap dan ditempuh. Setiap hari permulaan yang baharu untuk kita dan kenangan semalam adakalanya menjadi kekuatan untuk kita meneruskan hidup hari ini dengan lebih baik. Tidak salah tidak mahu melepaskan kenangan asalkan kenangan itu menginspirasikan kita dan membuatkan kita lebih bersemangat menempuh hari baharu.
     Insya-Allah, hari baharu, tahun baharu, membawa sesuatu untuk kita walau begitu berat mahu meninggalkan semalam yang kita sayang.

Tuesday, August 3, 2021

Tumbang

Malam ini tak nampak bulan, bintang masih ada, walau tak cerah seperti biasa. 
        Pokok mati di seberang jalan masih tegak berdiri, menunggu masa untuk tumbang. Ada pokok yang masih hidup, ditebang dan tumbang. Yang di seberang jalan ini tak tahu bilakan goyah dan tumbang. Ada yang tumbang sendiri, kerja alam semula jadi, ada yang ditumbangkan orang. Untuk menumbuhkan pokok mungkin  berkali-kali, kadang-kadang pokok yang disiram pun boleh mati, yang dibaja pun boleh mati. Setelah tumbuh, untuk membesarkannya memakan masa bertahun-tahun, malah puluhan tahun pun ada.
        Badai yang tak berakal boleh menumbangkan pokok yang akarnya lemah, manusia yang berakal boleh menumbangkan pokok mati dan pokok yang akarnya lemah, juga yang akarnya kuat memegang tanah walau masih memberi buah dan memberi teduh.

Kesan

Sate ialah ejaan sebenarnya. Di sebalik secucuk sate ada banyak makna dan ceritanya.          Dulu-dulu, sangat gembira tatkala Atuk bawa ba...