Translate

Thursday, November 29, 2018

Paksa


     Along mahu ikut, angah tidak mahu. Apabila ayah cakap ayah mahu singgah kedai buku, angah tukar fikiran.
         Siap beli buku di kedai buku Dewan Bahasa dan Pustaka, ayah parkir kereta di tepi Semantan Walk dan bawa angah dan along melintas. Pada dinding belakang The Store terminal bas ekspres ada lukisan besar. Dalam kamus Dewan Edisi Keempat, mural bermaksud lukisan atau gambar yang besar pada dinding. Dalam kamus yang sama, grafiti pula didefinisikan sebagai kata-kata atau lukisan, biasanya lucah, lucu, berbau politik dan sebagainya, yang dicontengkan di tempat-tempat awam seperti tembok bangunan, bilik air dan sebagainya.
          Grafiti telah mendapat tempat, diterima, ditambah elemen positif serta disesuaikan dengan budaya Timur. Lukisan pada dinding salah satu tarikan besar dan ayah 'paksa' anak-anak ayah bergambar😂.

Wednesday, November 28, 2018

Makhluk

Balik kampung bersama dengan  empat orang anak kecil yang demam tanpa seorang umi yang bekerja waktu cuti sekolah bukanlah satu percutian impian.
      Singgah di klinik, doktor memeriksa setiap anak.  Setelah doktor siap, doktor terangkan kepada ayah tentang dos yang perlu diambil kerana tidak sama. Doktor begitu prihatin setelah diberitahu ayah bahawa ayah berseorangan membawa keempat-empatnya. Staf klinik memberi anak-anak makan ubat dan semua nampaknya memberi kerjasama. "Senang betul makan ubat, makhluk dari planet mana?" kata doktor.
        Ya, ayah berharap makhluk 'dari planet mana' ini juga senang makan ubat di rumah. Terima kasih Dr. Savinder dan staf, Puan Hartini atas layanan yang hebat. Silalah ke Klinik Ovin, Lrg. Kempadang Aman 1, Perumahan Kempadang Aman, Sungai Soi, Kuantan.

Tuesday, November 27, 2018

Sangkar

Waktu dekat kampung, atuk buat sarang burung guna sabut kelapa dan digayut, yang datang bersarang burung ciak rumah.
        Seronoklah kami melihat ciak rumah keluar masuk ke dalam sarang sabut kelapa. Mula-mula ayah tengok burung perling yang berwarna  gelap dan matanya merah di Hospital Mentakab. Awal-awal dulu banyak juga burung perling bersarang di celah-celah bumbung, sekarang pindah entah ke mana. Burung ciak rumah masih ada dan selalu bermain di kawasan pokok delima. Burung pipit pula bersarang di atas pokok hiasan yang daunnya tajam.
       Alam dan manusia  berkawan rapat. Waktu naik darjah 4 dulu-dulu, ada mata pelajaran Alam dan Manusia. Jacques Deval menyatakan bahawa Tuhan menyayangi  burung dan Dia mencipta pokok. Manusia menyayangi burung dan mereka mencipta sangkar (Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi).

Monday, November 26, 2018

Renung

Pagi ini hujan baru berhenti. Oren yang dah ayah angkat dan letak ke bawah, naik  lagi ke atas riba ayah.
        Hujan turun semula. Sempat sekejap ayah mencangkul setelah lama tidak menangkul. Batang cangkul pun dah dimakan anai-anai. Walaupun kecil, keupayaan dan ketekunannya tidak dapat disangkal. Semalam ayah dan along masih menghalau kambing terbiar yang semakin rakus nampaknya mahu menyelongkar sampah-sampah yang dilonggokkan sementara menanti diambil lori sampah. Oren masih di tepi ayah, menjilat-jilat bulu membersihkan diri dan sesekali menggigit  manja (ayah tidak pasti istilah yang tepat untuk perbuatan itu) dirinya.
        Oren  datang dekat memanjat kerusi dan merenung ayah. Ayah membalas renungannya.  Peribahasa Inggeris menyatakan bahawa di mata seekor kucing, semua benda ialah milik mereka (Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi).

Sunday, November 25, 2018

Celoteh

Musim cuti sekolah disambut musim peperiksaan SPM dan STPM, musim  hujan, musim demam dan musim orang kahwin.
       Angah nampak dah baik, achik pun nampak makin baik, adik pula baru mula demam. Umi cakap adik demam nak dapat sesuatu, mungkin demam nak berjalan atau nak dapat mulut. Yang selalunya, demam nak tumbuh gigi. Kalau dah demam, duduk dalam rumah sajalah dan ditambah pula hujan turun. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, demam puyuh bermaksud demam pura-pura (bukan sebenarnya demam).
      Sudah duduk di dalam rumah, satu perkara ayah dan umi tak faham, along, angah dan achik boleh bersepakat dan duduk diam tengok video  pemain permainan video Indonesia berceloteh sambil bermain permainan video dalam 'Youtube'.

Saturday, November 24, 2018

Darah


         Pagi tadi, orientasi angah. Dia demam sejak semalam. Cikgu bawa satu kelas pusing sekolah, tunjuk tempat seperti  tandas.
         Lepas Zuhur tadi, angah dan along ada Hari Kecemerlangan dan Konvokesyen Pasti dan Sriti di Padang Garuda. Cuaca boleh tahan panasnya. Umi beli jambangan coklat untuk angah dan along. Konvokesyen prasekolah sekarang pun macam-macam jambangan ada, jambangan pensel pun ada. Habis pun dalam pukul 5 lebih. Malam, ada Konsert Ekspresi Gema Jasa Winds di RTM Kuantan. Bersiap untuk pergi, tiba-tiba hidung angah berdarah. Banyak darah yang keluar. Umi ambil air batu, kalau di kampung,  guna sirih.
       Di klinik, sampai giliran dipanggil, doktor cuci hidung . Kemudian, sambik borak-borak tanya angah, doktor ambil darah, nak pastikan  hemoglobin tak kurang daripada 10 sebab kalau kurang, kurang oksigen. Alhamdulillah, HB 12.

Thursday, November 22, 2018

Lapar

Menyelongkar tong sampah bukan kerja monyet atau anjing sahaja, kambing pun pandai.
         Pandai di sini bermaksud binatang-binatang  terpaksa menyelongkar tong sampah  untuk dapatkan sisa makanan manusia disebabkan desakan kelaparan dan kekurangan makanan. Along kata kambing yang berkeliaran itu kambing liar. Ayah terangkan itu bukan kambing liar tetapi kambing terbiar. Monyet itu binatang liar yang tempat tinggalnya atau tempat sumber makanannya kita ambil dan dibangunkan  tempat tinggal kita.
      Binatang liar atau  binatang terbiar, ternyata hal ini berkait dengan tindakan kita yang bernama manusia. Sebahagian binatang mungkin lebih selamat di dalam kurungan pada hari ini dan sebahagian manusia tindakannya lebih teruk daripada binatang dan mungkin perlu dikurung supaya yang lain lebih selamat.

Wednesday, November 21, 2018

Asuh

Salah satu nilai yang sering diperkatakan ialah kejujuran.
        Dalam buku  Mutiara Kata
( susunan Adi Alhadi), Sigmund Freud menyatakan bahawa menjadi jujur sepenuhnya kepada diri sendiri ialah satu latihan yang baik. Virginia Woolf pula menyatakan bahawa kalau anda tidak boleh berkata benar tentang diri anda, anda juga tidak akan boleh berkata benar tentang orang lain. Untuk menjadi jujur ternyata memerlukan latihan supaya menjadi kebiasaan. Kejujuran kadang-kadang  tergugat disebabkan faktor-faktor tertentu. Ada masanya kejujuran juga boleh dibeli bagi yang berkuasa atau dirampas begitu sahaja dengan bersahaja demi kepentingan diri.
        Jika mahukan kejujuran tentang diri kita, bolehlah tanya anak-anak kecil kita kerana biasanya mereka tidak berselindung. Kejujuran itu perlu diasuh supaya tidak menjadi musuh.

Sunday, November 18, 2018

Lompat

Semalam angah pergi rombongan tengok gajah dan rusa. Suka dia sebab dapat bagi rusa dan gajah makan.
         Hari sebelumnya, hari lahir dia. Dia nak makan kek. Dia tanya ayah hadiah apa nak bagi. Ayah cakap ayah cium, peluk dan dukung atau 'kokkong' dia. Sikit sangat hadiah katanya dan dia mahu hadiah lain juga. Tahun lepas, pada kek  salah tulis umur sebab ayah beritahu umur yang salah kepada pekerja kedai kek dan tahun ini umi yang pergi beli kek😂. Umi beli kek campur-campur, boleh rasa macam-macam rasa.
        Alhamdulillah, beruntung kita yang masih dapat menyambut hari lahir pada tarikh yang sama  setiap tahun. Yang lahir tahun lompat, jenuh juga nak menunggu tarikh yang sama empat tahun sekali. Selamat hari lahir angah.

Saturday, November 17, 2018

'Rendah'

Rendah diri ada masanya menyerang diri, bukan kita seorang tetapi semua orang pernah melaluinya.
         Semua orang kenal mendiang Stan Lee, terutamanya peminat adiwira Marvel. Dalam Astro Awani, antara kata Stan Lee yang paling diingati peminatnya, “Saya pernah berasa rendah diri kerana ketika rakan-rakan yang lain membina bangunan, saya hanya membuat komik.
Namun, saya akhirnya sedar bahawa hiburan salah satu elemen penting dalam kehidupan. Apabila saya dapat menghiburkan orang, saya yakin saya telah melakukan sesuatu yang betul.”
       Apa-apa pun, merendah diri tidak salah tetapi rasa rendah diri yang terlampau sehingga mengganggu hidup kita perlu dielakkan. Semua orang tidak sama, usah bandingkan kita dengan orang lain. Yang penting buat sesuatu yang bermanfaat dan menggembirakan kita.

Friday, November 16, 2018

Tidak Henti

Minggu ini kita dikejutkan dengan berita kematian beberapa orang  yang kita kenal.
       Antaranya, di Malaysia, kita kehilangan artis yang kita kenal, iaitu pelakon Zaibo pada 14 November (Astro Awani). Anak-anak yang tengok Kampung Boy tentu ingat watak Tok Din yang menggunakan suara beliau. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Bagi peminat komik Marvel Universe pula, Stan Lee (penulis, pengarang dan penerbit) telah meninggal dunia pada usia 95 tahun (Astro Awani, 13 November).
           Ayah terjumpa kata-kata ini ('kata hikmah' menurut Ustaz Fuad). Siapakah manusia yang paling berbahagia? Jawapannya ialah manusia yang berhenti nafasnya, namun tidak berhenti pahalanya.

Wednesday, November 14, 2018

Gamang

Malam tadi ayah tidur di Taman Pertanian. Tiga setengah pagi ayah terjaga, Pok Nik cakap ayah mengigau.
            Pok Nik pun boleh masuk dalam mimpi ayah. Pagi, ayah bergerak ke tempat 'flying fox'. Anak- anak Semsas sudah ada di sana. Sebahagiannya sudah terbang di udara. Jeritan kedengaran. Gembira  atau takut,  gayat atau terlalu yakin, ayah pun tidak tahu perasaan mereka sewaktu meluncur di udara. Nampak letih, tetapi masing-masing tetap bersemangat. Bertambah bersemangat apabila kamera telefon dihalakan kepada mereka, bermacam-macam aksi ada. Gayat atau gamang, tidak pula ayah terfikir tentangnya. Debar itu tetap ada.
           Ayah tidak dapat pastikan perasaan itu tetapi telah ayah lakukan sesuatu yang ayah belum pernah dan begitu juga bagi  sebahagian besar anak murid-murid ayah. Cubalah! Rasakan diri anda meluncur di udara!

Tuesday, November 13, 2018

Bunyi

Menusuk-nusuk hidung, bau ubat nyamuk. Nyamuk betina sibuk menggigit kaki.
       Sebentar tadi, ada bau sesuatu. Kata Pok Nik itu bau tapir. Hidungnya cukup sensitif dengan bau alam kerana dia selalu keluar masuk hutan. Sekejap tadi pula ada bunyi lain. Katanya itu bunyi babi. Mungkin anak babi. Berselang pula bunyi burung. Katanya itu bunyi helang atau burung hantu. Tiba-tiba, terbang burung hantu menampakkan diri. Kami asyik mendengar ceritanya tentang burung tukang yang hanya berbunyi waktu bulan purnama menandakannya sedang menyiapkan istana untuk Puteri Bulan yang dicintai.
        Sekarang bunyi hentakan kasut kedengaran. Anak-anak Semsas sudah kembali ke depan dewan makan Taman Pertanian. Diharapkan mereka mendapat sesuatu seperti mana kami mendapat sedikit ilmu alam daripada Pok Nik.

Monday, November 12, 2018

Mengular

Ada orang takut ular, ada orang geli dengan ular. Ada orang bela ular. Ada orang makan ular.
          Dulu dekat rumah opah, ada kucing. Pak su Apit panggil Ucin (tak silap ayah). Kalau atuk balik dari masjid, berlari datang menggesel di kaki atuk minta makanan. Dua kali Ucin tangkap ular dan tunjuk kebolehannya kepada opah. Banyak juga peribahasa pasal ular. Salah satunya ialah biar ular mati dan kayu tiada patah. Maksudnya, binasakanlah musuh dengan tidak merosakkan diri sendiri (Kamus Dewan Edisi Keempat). Yang lain dalam kamus yang sama, ular bukan, ikan pun bukan. Maknanya, seseorang yang tidak dapat ditentukan jahat atau baiknya.
          Kalau pun kita takut ular, waktu kerja, janganlah pula berani mengular. Kalau ditangkap, merana badan dan hilang  kepercayaan orang kepada kita.

Sunday, November 11, 2018

Selera

Musim hujan-hujan begini, makan apa-apa saja pun sedap.
            Mula saja musim hujan, ubi kayu pun sudah mula banyak dijual di tepi-tepi jalan. Ubi kayu campur kelapa parut ditambah gula perang pun dah ada dijual di pasar malam. Ayah fikir, ubi kayu memang ditanam untuk dijual pada musim hujan. Musim hujan, sedap makan ubi kayu rebus. Umi fikir, ubi kayu ditanam dan dicabut sebelum air naik atau melimpah sebab nanti ubi kayu rosak. Makan nasi putih, ada ulam,  ada sambal belacan, ada ikan kering pun dah sedap sangat dinikmati di kala hujan turun. Ada pula ulam petai atau petai jeruk, bertambahlah selera.  Pak su Apit bukan boleh tengok petai, kegemarannya. Ayah pun suka sambal tumis petai ikan bilis.
        Peribahasa pasal petai pun ada. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ada peribahasa yang berbunyi 'kulai-balai bagai petai sisa pengait'. Maksudnya, seseorang yang lemah lembut tingkah lakunya.

Saturday, November 10, 2018

Maju

Cuba ingat, bilakah kali terakhir kita beratur? Ada tempat yang memerlukan kita beratur. Ada tempat, kita perlu menunggu  nombor giliran sampai.
          Jarak dari rumah ke sekolah menengah semasa ayah bersekolah dahulu ialah 12 kilometer dan kena naik bas.  Waktu pergi, Alhamdulillah dapat duduk. Waktu balik berebut-rebut, jarang sangat dapat duduk, lebih banyak berdiri. Kadang-kadang, lebih rela berdiri sebab malas nak berebut-rebut. Berebut-berebut pun  boleh jadi punca gaduh. Dekat kantin pun berebut-rebut. Letih cikgu disiplin nak tunggu setiap kali waktu rehat sebab nak pastikan semua beratur. Dah berebut, kadang-kadang makanan tumpah terlanggar atau dilanggar pelajar lain.
           Jika kita sudah mula beratur di mana-mana sahaja seperti di pasar raya, makin cepatlah negara kita menjadi  maju kerana perangai wajib 'maju' terlebih dahulu.

Friday, November 9, 2018

Taaruf

Naik bas ekspres atau bas sambung-sambung satu pengalaman yang sukar dibuang.
        Pernah sekali, dari Tanjong Malim, naik bas ekspres Tanjong Malim-Kuala Lumpur nak balik  kampung sebab cuti raya Cina. Dengan penuh keyakinan tak beli tiket balik kampung lebih awal. Yang banyak balik kampung  ialah orang Melayu. Akhirnya, naik bas ke Bentong. Bergayut dari Pekeliling hingga ke Bentong. Dari Bentong, naik bas Union. Kadang-kadang, naik bas di Pudu, ayah tunggu di platform depan, bas berhenti di platform belakang. Kejar bas, Alhamdulillah bas berhenti  sebab beri laluan kepada bas lain.
         Bas pengangkutan penting bagi ayah waktu zaman belajar. Dulu tak ada 'wifi', telefon bimbit tak semua ada. Tidur, baca majalah, layan 'walkman', sesi taaruf dengan orang sebelah antara aktiviti di dalam bas. Yang jumpa jodoh pun ada.

Wednesday, November 7, 2018

Beku

Masa tingkatan 1 dan tingkatan 2, ayah sekolah sesi petang. Jika opah dan atuk ke ladang, opah masak nasi dan ayah akan masak lauk.
       Bunyinya macam pandai memasak, salah satu menu utamanya mestilah telur mata kerbau. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, telur mata sapi dan telur mata lembu bermaksud telur ayam yang digoreng bulat-bulat (tidak dipecahkan merahnya). Dalam kamus yang sama, peribahasa pasal telur pula ialah ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semuanya yang membawa maksud orang yang semuafakat itu sama hidup sama mati dan tidak berubah setianya.
         Umi menemui telur yang sudah membeku. Mungkin ini satu eksperimen yang tidak disengajakan oleh anak-anak apabila menaikkan suhu peti ais walaupun telur itu bukan di bahagian paling atas.

Tuesday, November 6, 2018

Jelas

Kerjasama nampak sepertinya mudah tetapi sebenarnya memerlukan matlamat yang  jelas tentang perlunya sesuatu itu dibuat demi kepentingan bersama.
       Jika masing-masing sudah jelas tentang tujuan dan memahami bahawa hasil daripada kerjasama memberi faedah, keseronokan atau sebagainya kepada  diri mereka dan orang lain, kerjasama itu akan berlaku secara sukarela. Menunggu air paip penuh kolam agak lama kerana air paip perlahan. Setelah persetujuan bersama diambil demi kepentingan bersama, maka tindakan perlu diambil segera. Baldi dan besen perlu untuk angkut air bagi mempercepat aktiviti mandi kolam.
        Kerjasama menjadi sukar jika ada yang rasa dia tidak dapat sesuatu daripada kerjasama  atau sememangnya dia sukar membuang tabiat suka ambil kesempatan terhadap sesuatu perkara atau orang lain.

Sunday, November 4, 2018

153

Ke bandar  Temerloh, yang menariknya, masih dipertahankan  bangunan lama yang sangat bernilai.
           Kedai majalah yang berderet berhampiran Plaza Temerloh nampaknya sudah tidak ada dan ayah menjumpai kedai majalah di Bangunan Chia Man yang menempatkan 'Ban Hin Air-Condition Hotel'. Kedai majalah terletak di terletak di sebelah Ban Hin Coffee Shop & Hotel. Berhampirannya terdapat Pejabat Agensi Dadah Kebangsaan Daerah Temerloh dan Bangunan Tabung Haji. Tiga kali ayah ke kedai majalah, bawa anak-anak kerana semua  anak-anak mesti dapat satu buku setiap seorang, itulah 'adil' namanya walaupun achik tak pandai pun lagi membaca.
            Membaca Dewan Masyarakat, ada infografik tentang 100 Hari Malaysia Baharu. Baharu atau lama, berpeganglah kepada Perkara 153, Perlembagaan Malaysia.

Saturday, November 3, 2018

Puas Hati

Gembira ialah salah satu perkara penting yang berkuasa dalam kehidupan kita.
         Tidak ada orang yang akan membuat sesuatu jika hati mereka tidak gembira kecuali betul-betul terdesak, didesak dan tidak ada pilihan lain. Namun, jika gembira melakukan sesuatu, sama ada terdesak, didesak atau hanya itu pilihan yang ada, tetap dilakukan dengan sepenuh jiwa kerana perkara itu dapat memberikan keseronokan atau kepuasan kepada seseorang. Sudah tentu wajah memaparkan keceriaan atau penuh dengan senyuman dan tiada omelan atau bebelan yang keluar dari pintu hati menerusi dua bibir kerana tidak gembira atau kurang gembira.
         Gembira mencetuskan penumpuan yang sepenuh hati dan tidak ada istilah ‘buat lebih kurang’ kerana kita sendiri terdorong untuk melakukan sesuatu sehingga puas hati.

Friday, November 2, 2018

Hidup

"Kenapa lagu ni membebel sangat?" kata angah setelah mendengar lagu rancak Inggeris yang bergenre rap.
          Sebut sahaja pasal lagu, macam- macam lagu ada. Malam tadi, kami dihidangkan dengan lagu Hindustan. Walaupun pun ayah tak faham, lagunya tetap mengasyikkan. Lagu yang mempunyai makna atau mesej yang kuat   melalui pemilihan kata-kata puitis  yang disusun indah dapat  menusuk ke kalbu dan terus hidup dalam jiwa. Jika tidak,  masakan anak-anak zaman sekarang turut menggemari lagu seperti Suci Dalam Debu yang dicipta S. Amin Shahab, nyanyian allahyarham Saleem.
         Sungguh mengundang nostalgia zaman belajar dahulu dengan lagu-lagu Hindustan pertengahan tahun 1990-an sehingga awal tahun 2000. Banyaklah kenangan bangkit setelah ayah bertemu kawan zaman sekolah, Cikgu Sasi di majlis bertemakan Bollywood.

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-gal...