Translate

Thursday, July 30, 2020

Alhamdulillah

Cucu Opah semua ada, Alhamdulillah.
   Maka bermulalah episod riuh-rendah di rumah Opah dan Atuk. Malam tadi, Arah kena gegata, Opah suruh Ayah ambil daun sirih. Opah menggonyoh pada tempat yang kena. Sebelum tidur, Umi menggonyoh sekali lagi. Alhamdulillah, pagi ini baik. Pagi ini, masih lagi dalam PKPP, berayalah di rumah dulu. Makanan pun banyak, Alhamdulillah. Ketupat palas, rendang ayam, daging masak kicap, dodol, tart nanas cair di mulut, keropok lekor dan macam-macam lagi. Yang diusung cucu Opah sudah tentu baulu. 
    Bergambar beramai-ramai, bermacam-macamlah aksinya, orang tua pun tak boleh duduk diam, apatah anak-anak.

Tuesday, July 28, 2020

Ibu Kandung

Ibu kandung kita, tanah air yang kita cintai, Malaysia.
    Pagi ini, kami ada misi. Diketuai Cikgu Rokiah dan Cikgu Hashim, kami ke stor barang. Mengangkut panji cinta, kami pasangkan pada tempat yang sudah tersedia, selebihnya kami serahkan kepada yang pakar. Sepertinya lagu Suci Dalam Debu, 'cinta bukan hanya di mata, cinta hadir di dalam jiwa', begitulah seharusnya kita serahkan jiwa dan raga untuk tanah tumpah negara kita.   
    Cinta kepada negara dizahirkan atau dilahirkan melalui tingkah laku kita. Lain agama, lain negeri,  lain bangsa dan lain pendapat, cinta kepada negara harus menyatukan kita. Inilah rakyat Malaysia yang kita mahukan, bersatu. Ustaz Fuad dan Abang Zek, cintanya tertumpah di sini.

Friday, July 24, 2020

Al-Fatihah

Semalam, Jumaat, 24 Julai, sepupu kami, Ramzul meninggal dunia.
     Saat orang yang kita sayangi meninggalkan kita, tentulah saat yang paling menyakitkan. Saat kita menghirup oksigen pagi ini, kita tidak tahu siapa yang akan pergi terlebih dahulu, kita sendiri atau orang yang paling kita sayangi. Setiap hari kita berhubungan dengan semua, bertanya khabar dengan bersua muka atau bertegur sapa dalam media  sosial dengan membaca apa-apa yang dipos di status atau menekan butang 'suka' dan sebagainya, semuanya tidak lain tidak bukan untuk bersilaturahim.
    Marilah kita sama-sama menadah tangan dan berdoa, terutamanya pada waktu mustajab untuk berdoa seperti waktu antara azan dan iqamah untuk orang yang kita sayangi. Al-Fatihah untuk yang telah meninggalkan kita.

Wednesday, July 22, 2020

Kluster

Angah pun dah mula ke sekolah hari ini. Tengok-tengok, dia sudah bersiap.
   Pagi-pagi banyak dibantu Along. Di dalam perut kereta, Along menerangkan norma baharu dan normal baharu di sekolah kepada Angah. Sesekali terdengar suara Achik tidak mahu pergi ke sekolah. Kenderaan kembali sesak, jika tidak, boleh parkir di pinggir jalan, tadi berhenti di tengah jalan, turunkan Along dan Angah. Langkah jaga-jaga kekal berjalan apatah lagi semua murid-murid sekolah rendah kembali bersekolah. Langkah jaga-jaga penting untuk mengelakkan kluster baharu muncul.
     Sebelum ini, kluster memang dikejar kerana ada  anugerah Sekolah Kluster Kecemerlangan. Munculnya Covid-19, kluster yang paling ditakuti dan mahu dihindari kerana kluster ini menunjukkan ada kes baharu dan kes semakin meningkat.

Sunday, July 19, 2020

Hujung Minggu

Penghujung minggu yang dinanti adik-adik, apatah lagi Along.
    Masih lagi dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, masih lagi berjaga-jaga  dengan suhu disukat untuk masuk ke mana-mana kedai atau premis. Achik menyambut hari lahir waktu PKP, waktu hanya ketua keluarga boleh keluar rumah, Along menyambut waktu PKPP, waktu semua orang sudah boleh keluar rumah. Petang baru kami keluar, ikut rancangan Umi dan kemudian barulah ke rumah Wan kerana aktiviti 'Ayuh Hancurkan!' menanti bagi yang lelaki.
    Masing-masing gembira, maklumlah,  sudah jarang sangat keluar ke bandar satu keluarga sebab Covid-19 masih ada. Selamat Hari Lahir Along.

Tangga Kejayaan

'Usaha Tangga Kejayaan', itu salah satu resepi popular untuk berjaya.
    Nak ke puncak kejayaan, kena naik tangga, kena mendaki, salah pijak, boleh jatuh dan terguling ke bawah dan perlu naik semula, tidak boleh patah semangat. Setiap orang tidaklah sama pendakiannya, tidaklah sama banyak anak tangga yang dinaiki atau dituruni, bergantung juga pada puncak yang menjadi pilihan atau tiada pilihan, ikut sahaja tangga yang ada untuk ke puncak kejayaan.
     Anak-anak pun sejak kecil cukup suka naik turun tangga dan apabila besar, tangga tetap menjadi pilihan untuk mengabadikan kenangan bersama dengan kawan walau ada yang tidak kelihatan.

Friday, July 17, 2020

Dihibur Kereta Api

Sabtu bertemu Sabtu, sudah seminggu.
    Minggu lepas, Umi singgah di Tanjong Malim. Tanjong Malim tempat kami belajar, tempat penuh kenangan. Umi duduk Ketoyong, Ayah duduk Taman Bandar. Sebelumnya, Ayah di di Kolej Kediaman OT Dussek yang kemudiannya menjadi Fakulti Bahasa. Empat tahun melintas rel keretapi untuk ke Tanjong Malim dan ke Upsi. Antara tempat makan yang paling popular pada waktu itu ialah kedai makan Abuya. Al-Fatihah untuk arwah Abuya. Sabtu minggu lepas, dalam perjalanan menghantar kakak Mai bersama kakak Fatin dan kakak Ezzati, Umi singgah di warung Abuya. Ayah pun tak tahu Umi akan singgah di situ.
       Mulalah terkenang kisah lalu dan Ayah pun berborak dengan Umi, isteri arwah Abuya melalui telefon. Sambil makan dihiburkan bunyi kereta api lalu, inilah tempatnya.

Wednesday, July 15, 2020

Langit Masih Biru

Hari ini hari pertama Along ke sekolah setelah bercuti begitu lama. Jadi, Umi menghantar Angah bersama dengan adik.
     Petang tadi, adik ajak ayah berjalan, setelah beberapa kali dia menarik tangan ayah, maka Ayah, dia dan Arah pun berjalan. Along pesan supaya hati-hati sebab ada rumah yang ada anjing di dalam kawasan pagar. Kami pun berjalan, hampir ke kawasan perumahan baharu, Ayah ajak adik patah balik. Walaupun Ayah beritahu dia ada anjing, dia tetap mahu terus berjalan. Kami pun terus melangkah dan berhenti di satu parit. Berhenti sekejap, Ayah ajak balik, dia masih tidak mahu. Ayah beritahu, "Balik nanti boleh minum susu coklat, lambat balik, nanti susu habis."
     Dia setuju, walau hampir pukul 7, langit masih biru.

Saturday, July 11, 2020

Detik

Setiap saat, setiap detik, peristiwa tercipta, inilah yang akan dilalui, sedang dilalui dan telah ditinggalkan.
        Alhamdulillah, hari Jumaat diisytiharkan Hari Jawi,  semalam, 10 Julai juga hari lahir Tun Dr. Mahathir Mohamad ke-95. Hari ini, terdapat satu kes kematian, menjadikan 122 kes setelah 26 hari berturut-turut tiada kes kematian disebabkan Covid-19. Di Turki pula, bangunan ikonik, Hagia Sophia bertukar status, daripada muzium menjadi masjid.   Menjelang Maghrib, masih membaca,  Adik masih mencipta peristiwa dan Adik dibiarkan sahaja beraktiviti, letih dia berhenti, tapi masih belum berhenti dan abang-abang tak henti-henti mengadu pasalnya.
    Mandi tadi, di dalam rambutnya yang lebat, ayah jumpa pensel yang melekat, ajaib sungguh, ada pita pelekat pada pensel. Di dalam rambut pun ada peristiwa.
      

Friday, July 10, 2020

Lain Sebelah

Antara lagu Amuk yang Ayah suka ialah Akar dan Bumi. 'Bila menari dongak ke langit langkahmu salahkan bumi, silap sendiri tak dipeduli, terbiar sudah membuta tuli, baru tengadah menyesal diri.'
     Ayah tidak menari, tidak salahkan langit atau salahkan bumi, cuma Ayah tidak memandang ke bawah sewaktu menyarungkan capal pada kaki. Walaupun yang sebelah lagi selipar tandas, tetaplah sedondon dengan pakaian Ayah. Apabila dirasakan tinggi dan rendah, barulah Ayah menunduk ke bawah. Apabila sudah tengok ke bawah, barulah rasa serba tak kena dan serba salah. 
    Namun tak apa, sebagai seorang lelaki, ayah harus terus berani  melangkah. Ayah pasrah, tidak salah melangkah dengan selipar lain sebelah, yang salah asyik mengata orang di sebelah, asyik mencari salah dan tak mengaku salah.

Thursday, July 9, 2020

Di Bawah Pokok Getah

Umi cakap 'sedap'. Lepas maghrib baru Ayah makan.
     Rojak, ada macam-macam di dalamnya. Kuah kacang dicampurkan dengan mi kuning, kentang, tauhu, cucur udang, sengkuang, timun dan telur rebus. Sudah lama tidak makan. Kalau ke Pulau Pinang, tak makan  pasembor seperti ada yang tak kena. Masuk sahaja rojak ke dalam mulut, teringat kedai rojak di bawah pokok getah,  kami (opah, atuk, ayah, baba dan pak su Apit) menikmati rojak setiap kali turun dari Bas Union di pekan Lanchang. Teringat saat Anton Ego merasai ratatouille.
    Apabila dilambakkan ke dalam pinggan, daripada seorang menjadi empat orang. Ayah membiarkan Along menikmati rasa sedapnya telur rebus kuning apabila  kuah kacang menelannya.

Wednesday, July 8, 2020

Terbang

Semalam Umi dengan gadis-gadis tanjung bertolak ke ibu kota. Hari ini baliknya.
    Perginya membawa hajat, hajat yang menggunung. Jikalau gunung yang kaumahu, maka tentulah kauperlu sabarmendaki, jikalau lembah yang kaucari, maka perlulah tabah kauredahi, jikalau lautan yang mahu kautawan, perlulah engkau bersedia dilambung dan diterkam gelombang. 
     Maka bersiap sedialah,  seperti layang-layang terbang tinggi di langit, adakala angin itu bagaikan teman dan adakala angin itu bagaikan lawan.
     

Saturday, July 4, 2020

Buih-Buih Keasyikan

Sekejap saja seminggu dimakan waktu. Sabtu lepas kami di Terengganu.
    Menghampiri petang, kami diuji terik mentari. Anak-anak tidak peduli, angin dipaksa menaikkan layang-layang helang. Angin  berlari ke arah lain, layang-layang tersungkur jatuh ke bawah. Diikuti dan dikejarnya angin berkali-kali, akhirnya angin setuju membawa layang-layang ke langit tinggi. Buih sabun yang dilepaskan adik mengekor saja angin ke mana-mana pun pergi, sekejap saja berakhir riwayat dan adik melepaskan lagi buih-buih yang bersedia menikmati lazat dunia hanya beberapa saat. Umi, kakak Fatin dan kakak Ezzati di bangku kayu melepaskan buih-buih keasyikan, diabadikan dalam gambar kenangan bersama.
    Ayah yang berteduh di bawah pokok akhirnya turut melawan terik mentari, menarik-narik tali layang-layang yang  dibawa terbang ke langit Pantai Teluk Ketapang,  gambar diabadikan kakak Fatin.

Akal Manusia

Kabus menelan bukit pagi ini.
     Ayah masih membaca. Seekor gajah jantan liar yang berkeliaran di kawasan hutan berhampiran Kampung Kala Baharu, Gua Musang memusnahkan banyak pokok, anak pokok sawit dan pokok getah. Diracun,
itu antara aspek siasatan pakar yang menjalankan kajian tentang penemuan 275 bangkai gajah di Delta Okavango, Afrika Selatan beberapa minggu lalu.   
   Konflik manusia dengan manusia  berterusan, tidak pernah berhenti, konflik manusia dengan haiwan pun tetap berlarutan. Berkongsi bumi yang sama, menghirup udara yang sama, manusia berkongsi rumah dengan gajah. Akal manusia harus melindungi manusia, harus melindungi gajah!



Friday, July 3, 2020

Pilihan Hati

Hari Jumaat yang ditinggalkan, Umi ke bandar berteman.
     Jumaat yang tidak perlu mendaftar untuk bersolat. Siapa cepat, dia dapat dan masih ada kosong walau penjarakan sosial masih berlaku. Suhu tetap disukat, membawa sejadah, selipar dimasukkan ke dalam plastik, letak di sisi atau ditepi, pelitup jangan dilupa. Umur 12 tahun ke atas dibenarkan dengan syarat sihat dan tiada penyakit kronik.
    Jumaat itu satu rahmat dan semuanya mengharapkan diberkati. Jumaatlah selalu jadi medan sedekah dan berkongsi dengan orang itu satu nikmat yang tidak terucap. Tidak semestinya wang, barang atau sesuatu boleh menggembirakan dan rantai kunci tulisan  khat tulisan tangan Ustaz Muzakkir masih menjadi pilihan hati.

Wednesday, July 1, 2020

Alhamdulillah

Alhamdulillah, 1 Julai mencatatkan sejarah, hanya ada satu kes Covid-19 dilaporkan  dan kes sifar untuk penularan tempatan. 
       Alhamdulillah, murid tingkatan 1 hingga tingkatan 4, murid kelas peralihan serta murid tahun 5 dan 6 kembali ke sekolah bermula 15 Julai.  Murid tahun 1 hingga  tahun 4 pula  pada minggu berikutnya, iaitu 22 Julai. Semalam juga  Ayah menghantar Arah, sampai saja, suhu disukat, kemudian dia perlu membasuh tangan dengan cecair basuh tangan. Tilam kecil dan sejadah kecil disediakan Umi. 
      Dalam bergembira keadaan semakin baik, perlulah juga berjaga-jaga dan  mematuhi segala peraturan untuk memutuskan rantaian. Rantaian Covid-19 wajib diputuskan dan rantai kunci kulit yang satu  ini Ayah cukup berkenan sebab ada tulisan khat tulisan tangan Ustaz Muzakkir. Dapatkan segera!

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...