Translate

Saturday, October 31, 2020

Nikmati

Lepas Isyak,kami bergerak, jalan kaki saja melalui bangunan lama bandar Kuantan.
      Kenderaan banyak, malam minggu, begitulah. Mahu melintas perlu minta izin, Alhamdulillah, ada yang mahu beri jalan untuk ke seberang. Di luar kedai ada basikal tua. Memang menarik, bangunan lama dihiasi barang-barang lama atau dihiasi dengan hiasan dalaman cara dulu-dulu, ditambah pula ada gambar-gambar lama. Tiada yang lama, tiada yang baharu, begitulah yang selalu diungkapkan orang. Mok De dan Pok De sudah menunggu. Masuk ke kedai, guna  aplikasi MySejahtera, senang saja.
    'Burgerak' inilah tempatnya, tempat makan hipster. Kami sampai, pelanggan masih belum ramai. Mengambil tempat duduk, menikmati dekorasi, malam indah di bandar Kuantan.

Nikmati

Petang semalam, ke Laman Teruntum, itulah tujuannya. Entah bila agaknya menara di sini akan dibuka, mungkin Covid-19 melambatkannya. 
     Penat memanjat, meniup buih sabun. Buih sabun tak pernah jemu ditiup. Dah tua-tua pun masih seronok lagi meniup. Alhamdulillah, cuaca cerah, petang ini  hujan tak turun mencurah-curah, air paip pula tak ada sejak semalam, paip besar ada yang pecah. Achik merengek-rengek mahu aiskrim. Ke seberang jalan ke Kula Cakes, kek-kek yang dipotong telah habis, tinggal yang sekilo, ke seberang jalan kembali, singgah di kedai Sate Uncle Bard, sederet Watak Kopi. Cepat satenya sampai, duduk di belakang di kedai sambil dibelai angin Sungai Kuantan. Lembut sate dagingnya, anak-anak pun boleh kunyah dan telan.
     Kopi 'o' dinikmati, jagung float buat Achik kembali ceria. Senja di tepi Sungai Kuantan banyak ceritanya.  Helang masih terbang, mungkinkah mahu pulang ke sarang, pulangnya perut kenyang atau pulangnya bernasib malang? 

Friday, October 30, 2020

Nikmati

Pagi tadi Ayah tak sempat minum kopi. Pastinya yang suka minum kopi ada kopi kegemaran mereka.
       Macam-macam kopi ada, ikut selera masing-masing. Ada yang lebih suka mengopi di rumah saja, ada yang suka mengopi di warung atau di kedai mamak, ada yang suka mengopi di kedai-kedai hipster yang tumbuh bagaikan cendawan,  ada juga yang suka mengopi di restoran francais dan ada yang suka kopi dalam tin. Terpulang juga pada selera masing-masing. Tentu pernah dengar Kopi Luwak yang terkenal di Indonesia. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, dieja sebagai 'luak', perkataan Jawa yang bermaksud musang (maksud iv).
     Bagi penagih kopi atau peminat tegar kopi, kopi harus dinikmati setiap hari. Di sebalik secangkir kopi, ada juga cerita untuk dinikmati dan dihalusi.

Nenek

Selamat hari lahir Nenek yang ke-79, Alhamdulillah.
    Nenek sudah pun banyak cicit. Cucu pertama nenek pun sudah tua. Nenek dapat cucu pertama sewaktu berumur 38. Ayah panggil nenek, tok. Ya, antara panggilan orang Utara ialah 'tok' untuk perempuan dan 'wan' untuk yang lelaki. Zaman sekolah dulu-dulu, ikut nenek pergi ladang getah, ada masa ikut nenek pergi kutip buah relai (buah sawit). Kalau nak dekat raya, biasanya nenek buat agar-agar kering. Nak bagi jadi kering, kenalah jemur berhari-hari. Kalau nakal sangat, nenek bawa keluar ekor pari. Habis lintang pukang lari tak cukup tanah.
     Moga Allah SWT memberikan kesihatan buat nenek, memberkati umur dan melimpahkan rezeki. Sayang nenek sangat-sangat😍!

Thursday, October 29, 2020

'Mandy'

Alhamdulillah, kita menyambut Maulidur Rasul 1442 Hijrah semalam. 
     Pagi semalam di rumah saja. Tahun inilah tahun yang paling banyak berada di rumah dan tak berasa sangat nak keluar rumah kerana Covid-19 masih belum mahu pulang. Waktu cuti, anak-anak gembira, telefon pintar dan komputer riba dapat digunakan secara rasmi. Tengah hari, Umi ajak Atuk dan Wan makan nasi Arab. Sampai di Restoran Zam Zam, Atuk dan Wan sudah ada. 
      Yang dipesan, makaroni ayam, 'lamb Haneeth' dan ada juga 'lamb shank'. Kalau di rumah, 'braised lamb shank' dan 'braised beef ribs' pun boleh nak makan dengan nasi Mandy. Cubalah!
    

Sunday, October 25, 2020

Memukau

Barangkali, kita masih memperkatakan kisahnya.
    Dia menarik perhatian Ayah dan orang lain sewaktu perlawanan yang pastinya diingati dunia, sewaktu dia menentang Conor McGregor. Dia masih muda, 32 tahun dan mengumumkan persaraannya, mengotakan janji kepada ibunya, setelah mengalahkan lawannya, Justin Gaethje. Dia pernah mengatakan bahawa perkara nombor satu dalam MMA ialah hormat.
     Dia bukan saja menarik perhatian dan memukau kita semua dengan perwatakannya, malah  kata-katanya yang mendekatkan kita dengan Maha Pencipta, "When Allah  is  with you, nobody can beat you, nobody, you have to believe this." Dia pasti akan terus menjadi inspirasi buat kita semua, terima kasih Khabib Nurmagomedov.

Saturday, October 24, 2020

Ada Isi

Tak tahu nak buat apa hari Sabtu? Tak ada 'saturdate'?
   Apa kata menonton filem, filem apa lagi kalau bukan filem sohor kini, 'Mael Totey: The Movie'. Umi mencadangkan kepada Ayah kerana kawannya sudah tiga kali menontonnya. Umi pula kini sudah hampir 3 bulan terlibat dalam pendidikan khas dan apabila menonton filem ini, Umi dapat mengaitkan pengalamannya dalam menguruskan anak-anak syurga ini. Isunya cukup dekat masyarakat dan mungkin kita sendiri pun pernah mengalami seperti yang dialami Mael dan kita sendiri mungkin pernah bertemu dengan watak-watak dalam filem ini di sekeliling kita.
    Cukup menghiburkan, hiburan yang ada isi, inilah yang boleh Ayah simpulkan tentang filem ini. Isi yang Ayah maksudkan ialah ada nilai dan pengajaran yang dapat mendidik penonton. Apa lagi, langgan sekarang,'Mael Totey: The Movie' di Astro First!

Tuesday, October 20, 2020

Pau

Sehari sebelum Achik masuk hospital, dia mahu makan kuih pau.
    Ayah mengeluarkan kuih pau dari tempat sejuk. Apabila adik melihat kuih pau, dia kata kuih itu dia punya. Kuih pau pun ada warna merah jambu. Perebutan pun berlaku antara Achik dan Adik, kejar-mengejar pun berlaku, masing-masing tak mahu mengalah disebabkan kuih pau merah jambu yang belum pun dikukus. Adiwira diperlukan untuk menyelesaikan masalah pau merah jambu. 
Masalah selesai setelah Umi mengukus pau, masing-masing menanti pau merah jambu panas berinti kacang.
     Alhamdulillah, semalam Achik keluar dari wad. Malam ini sudah bertanya tentang pau Habibi. Enak dimakan panas-panas.

Sunday, October 18, 2020

Syukur

Perjalanan ke Kuantan berjalan lancar, Alhamdulillah, cuaca pun baik.
     Tujuan kali ini tidaklah jauh mana, dekat dengan tempat tinggal saja. Biasanya, yang dimakan yang sudah dikeringkan, tetapi kali ini yang betul-betul segar. Pernah dengar Profigs di Sungai Soi, Kuantan? Di sinilah tempat untuk mendapatkan buah tin segar, boleh petik sendiri lagi. Apa-apa pun, hajat yang ini tidak kesampaian kerana semuanya sudah ditempah orang dan Alhamdulillah, diberi peluang merasa buah tin segar yang masih segar, ada dua jenis rupa-rupanya, yang hijau dan merah hati. Singgah di rumah, sempat membawa Opah ke nurseri bunga. Dalam perjalanan balik ke Lanchang, singgah di Nurseri Saloma yang menjadi pujaan hati Opah berhampiran jalan ke masjid Kuipsas.
     Hidup ini seindah bunga  warna-warni yang memberikan kegembiraan kepada hidupan yang lain. Mekar, kembang, kuncup dan layu itulah kehidupan yang harus kita lalui. Bersyukurlah.

Friday, October 16, 2020

Kesempatan

Kesempatan yang ada ialah satu peluang yang sepatutnya tak dilepaskan. Umi cukup cekap bab ini.
    Selesai sarapan, kami kembali ke bilik berkemas dan buat apa-apa yang patut. Lepas itu,  mahu tengok penyu. Rupa-rupanya perlu janji temu dua hari sebelumnya. Langkah kirilah nampaknya kami. Tidak apa, kesempatan yang masih ada diteruskan menghala ke Royal Chulan dan kelihatan pelancong asing banyak di kiri jalan. Kami berhenti sejenak dan meneruskan misi untuk mencari keropok. Yang dewasa nampak keropok, anak-anak nampak pelambung, patung dan buih sabun. Selesai mengisi perut, masih ada tempat yang mahu ditujui tetapi bukan di Cherating.
    Kesempatan yang ada ternyata perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Menunggu masa terluang, mungkin kadang-kadang tidak kesampaian kerana masa depan datang dengan begitu cepat. Setiap saat yang datang dan menghilang, itulah masa hadapan.

    

Wednesday, October 14, 2020

Tidak Terasa

Dari pantai ke kolam, inilah saat yang ditunggu anak-anak.
    Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut. Maksudnya, hendaklah patuh kepada undang-undang negeri yang kita diami. Banyak undang-undang atau peraturan baharu perlu dituruti sejak Covid-19 menyerang. Lepas suhu disukat, main air, itulah kehendak hati, itulah yang dihajati. Tidak ada lagi deruan ombak hijau, berganti gempar anak-anak, Opah mengawasi. Puas main air, naik ke bilik, sunyi sepi, sesekali berbunyi, masing-masing mengisi perut kosong dengan sarapan yang dibeli Pak Su dan Mak Su. Dari balkoni menghadap kolam, sesekali anak mengintai.
     Pabila bersama-sama, masa berlalu tidak terasa, riuh cerita dan gelak tawa, jadi kenangan tak bisa dilupa, ukhuwah terbina, kukuh di jiwa! 

Menyinari

Air pasang, ombak bergulung-gulung datang, semakin dekat dan semakin dekat.
    Adik pula semakin berundur, begitu juga Ayah, tidak terasa mahu membasahkan kaki. Jurukameranya Along, sekejap menangkap gambar Umi, sekejap menangkap gambar Ayah. Atuk duduk di kerusi tidak jauh dari pantai, Opah duduk di atas batang kayu besar yang dipotong, diletakkan berhampiran pantai, selesa untuk duduk. Anak-anak berlari-lari, pada  waktu pagi tidaklah berasa penat sangat. Sesekali mereka berhenti, mengutip cangkerang. Pak Su dan Mak Su mencari sarapan. Emir bersama-sama kami.
     Pagi di pantai begitu menenangkan, angin pagi turut menyamankan, apatah lagi bersama-sama keluarga. Terbit matahari menyinari dan harapan setiap insan terus bersinar selagi semangat terbit dalam diri.

Tenang

 Ada apa di Cherating? Di mana-mana pun berada, mesti ada apa-apa, mesti ada sesuatu yang boleh dilakukan.
     Menunggu matahari terbit sesuatu yang boleh dibuat. Maka, beraraklah kami ke tepi pantai. Dari beranda bilik pun sudah nampak ada orang di tepi pantai. Pesan pekerja di situ, berhati-hati dengan obor-obor. Duduk di kerusi yang disediakan, menikmati angin laut pagi cukup menyenangkan. Anak-anak gembira dapat berbuai di buai dan bermain di bibir pantai. Air pasang, ombak bergulung-gulung datang, semakin dekat dan semakin dekat.
     Laut tetap menenangkan dilihat dari jauh walau ombak bergulung-gulung sepanjang masa menyergah pasir lantai. Laut itu mungkin sepertinya sebahagian daripada kita yang nampak tenang serta menenangkan dan dalam hati mungkin bak ombak yang berombak-ombak. 

Tuesday, October 13, 2020

Pantas

Semuanya tiba-tiba. Semuanya berlaku dengan pantas.
   Apabila Opah, Atuk, Pak Su Apit dan Mak Su Zyma mahu datang ke Kuantan, petang itu Umi merancang sesuatu dengan Mak Su Zyma. Akhirnya, mereka tiba terlebih dahulu di Cherating. Holiday Villa Beach Resort & Spa Cherating, itulah destinasinya.  Opah dan Atuk menyebut mahu ke Cherating sebelum ini. Selesai balik dari Semambu dan mengambil anak-anak, barulah kami bergerak. Kami meninggalkan Donah, Donah yang kehilangan tiga anak. 
    Alhamdulillah, perjalanan lancar, perancangan mengejut dan tindakan pantas yang dilakukan Umi. Dalam gelap Maghrib, kami sampai ke Cherating. Keterujaan anak-anak bertambah melihat ada kolam. Keterujaan seharusnya sentiasa ada dalam menempuh perjalanan hidup ini!

Saturday, October 10, 2020

Makna

Beberapa malam lepas, ayah terkejut. Ada kucing bergaduh.   
      Ayah menyelak langsir, ayah tengok Donah tengah bergaduh dengan kucing oren putih. Tidak lama kemudian, Donah bergaduh sekali lagi. Esok paginya, pintu dibuka Donah bergegas masuk, menggonggong anaknya ke dalam rumah. Ayah tengok, anaknya sudah tinggal seekor, tinggal Light, Fury sudah hilang, minggu sebelumnya Toothless sudah mati. Yang tinggal seekor ini pun luka pada lehernya. Petang Jumaat, Light diambil Ilahi. Jika tidak, salah satu kerja Angah ialah membersihkan tahi mata anak-anak kucing itu.
       Kita tidak tahu masa yang tinggal untuk kita bagi kita yang masih bernafas. Maka, masa yang bersisa seharusnya kita isi dengan sesuatu yang memberi makna sebelum kita kembali bersatu dengan tanah, Insya-Allah.
      

Monday, October 5, 2020

Anugerah

Jumaat petang, Achik semput, ayah bawa ke hospital.
     Sudah seminggu lebih dia kena sedut banyak kali guna aerochamber. Masih berulang-ulang, maka ke hospitallah jawabnya. Kena cucuk, darah diambil  anak murid Ayah yang sudah pun kerja di hospital, meleleh air matanya. Tangisan bertambah kuat setelah branula dipasang sebab mahu Umi ada di sisi. Umi sampai dan Umilah yang menemaninya sehingga petang tadi. Becoknya tidak henti tatkala dengan Umi dan hampir membisu seribu bahasa apabila jururawat dan doktor bertanya. Semua gembira apabila Achik balik kerana hari ini juga hari lahir Adik.
      Sihat itu satu nikmat. Menyambut hari lahir bersama-sama satu anugerah yang tak ternilai. Hargailah saat tika bersama, Alhamdulillah.

Saturday, October 3, 2020

Ubah

Dalam buku Mutiara Kata susunan Adi Alhadi, kata Konrad Heiden,"Orang yang mahu mengubah dunia harus mampu mengubah dirinya sendiri."
      Kita selalunya amat berminat bercakap tentang perubahan. Ada yang cukup ghairah dengan perubahan dan mahu mengubah segala-galanya. Apabila disebut tentang mengubah diri, ramai yang beranggapan bahawa tidak ada apa-apa yang perlu diubah kecuali dunia yang perlu berubah.  Kita sering melenting jika ditegur apabila melakukan kesalahan dan menyalahkan orang lain pula atas kesalahan yang kita lakukan untuk menutup kesalahan kita. Bagaimanakah dunia mahu berubah jika kita sebagai penghuninya tidak mahu mengubah sikap ke arah yang lebih baik?  Ungkapan 'betulkan yang biasa, biasakan yang betul' seharusnya dipupuk dalam diri kita.
        Jelas, dunia pasti  berubah jika kita ada sikap yang betul dalam diri kita dan  sanggup menerima teguran dengan hati yang terbuka tanpa syak wasangka.

Kesan

Sate ialah ejaan sebenarnya. Di sebalik secucuk sate ada banyak makna dan ceritanya.          Dulu-dulu, sangat gembira tatkala Atuk bawa ba...