Translate

Wednesday, February 24, 2021

Terlalu Banyak

Ayah pun tak pasti sampai bila Ayah akan menulis 'Cerita Ayah'.
   Cerita satu muka yang Ayah karang, antara 80 patah kata hingga 150 patah kata, senang untuk dipos, senang untuk 'screenshot'. Mula-mula, Ayah buat sajak, sampai satu masa, Ayah sudah rasa 'tepu' dan Ayah mula beralih buat cerita. 'Tepu' itu bagi Ayah, maknanya kita kena tambah ilmu, kena tambah pengalaman, idea tak bertambah kalau kita tak berusaha menambahnya, kita kena bergerak untuk mencari atau mendapatkannya. Kalau kita mahu makan, kita masuk KFC atau McD, kita duduk di kerusi dan tunggu pekerja untuk ambil pesanan, maka kelaparanlah kita di situ. Ayah tak berhenti terus, Ayah masih juga buat sajak.
     Dalam tempoh 24 jam, terlalu banyak perkara untuk diingati, apatah lagi seminggu dan sebulan. Ayah pindahkan sedikit kenangan dalam bentuk tulisan untuk dikenang dan diambil pengajaran.
  
     

Monday, February 22, 2021

Sejarah

Hari ini dalam sejarah lagi. Akhirnya, SPM 2020 bermula, kelompok  terakhir KBSM.
    Hajat hati mahu menjenguk calon SPM masuk ke dewan, memandangkan kelas dalam talian bermula pukul 8, dibatalkan hasrat, maklumlah, talian internet tak boleh dijangka, perlu diuji terlebih dulu, mungkin laju seperti arnab, kemudian tidur di pertengahan jalan atau lambat seperti kura-kura, akhirnya sampai awal juga. Habis dua kelas, barulah ke sekolah, ini pun sejarah, pergi jika hanya ada urusan penting, jika tidak, duduk di rumah menjalankan urusan sekolah.
      Di luar putih, di dalam merah menyala, apakah itu? Apa Lagi yang Lebih Membahagiakan, Edisi Khas, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19, Bahagia 2, terbitan Nuha Creative Resources di atas meja, letaknya di dalam beg putih, pada beg tertera ''Kami Memilih Untuk Berbeza'. Terima kasih atas segalanya! Ini juga sejarah!

Sunday, February 21, 2021

Sempurna

Alhamdulillah, hari ini, Ahad, 21 Februari 2021 (21022021), hari ini Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan yang disempurnakan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.
    Malam ini, Menara Kuantan 188 dan Jambatan Putra akan dirasmikan. Esok, 22 Februari 2021,  satu lagi sejarah akan tercipta, murid SPM 2020 akan mula menduduki peperiksaan. Debarannya cukup terasa, banyak cabaran yang terpaksa dilalui sejak Covid memulakan angkara. Namun begitu, cabaran ini seharusnya menjadikan kita semua lebih kuat, lebih bersemangat kerana tak ada yang senang di dunia kecuali kita terpaksa melalui kepayahan terlebih dahulu. Kita semua terpaksa mengharungi bersama-sama, itu salah satu kekuatan yang ada, kita tak keseorangan.
     Apabila kita terpaksa mengharungi cabaran bersama dengan yang lain, ini sudah cukup sempurna dan percayalah, Insya-Allah, kita boleh melaluinya. Moga maju jaya buat calon SPM 2020. 

Friday, February 19, 2021

Sendiri

Kadang-kadang kita mungkin dilihat sendirian, tapi tak semestinya kita tak ada kawan.
     Kadang-kadang kita ada banyak kawan, tapi apabila bersama, masing-masing tersenyum tapi bukan dengan kita, senyum dengan telefon pintar sendiri termasuklah kita juga. Dilihat sendirian itu mungkin kita sedang menunggu seseorang, mungkin kita pilih sendirian untuk merangka atau merancang sesuatu, mungkin sedang melakukan kerja penting dan banyak lagi kemungkinan. Dalam portal berita Astro Awani, 17 Februari 2021, jawatan Menteri Kesunyian  diwujudkan di Jepun kerana peningkatan kes bunuh diri, ditambah pula tekanan akibat pandemik Covid yang entah bila kan berakhir.
    Ada masanya sangat bahaya bersendirian jika boleh menjejaskan diri sendiri. Apa-apa pun pabila bersendiri, ingatlah bahawa di kiri dan di kanan kita ada malaikat memerhati dan kita sentiasa ada Allah SWT untuk meluahkan isi hati.

Wednesday, February 17, 2021

Tak Apa

Walau jalannya tak sama, tujunya ke tempat sama.
     Yang dipesan tak sama walaupun sudah semeja, normanya juga tidaklah sama Yang kecil, hanya boleh berdua, kami memilih yang besar, boleh duduk bertiga. Sudah tak ingat kali terakhir di kedai makan, maka saat ini harus diabadikan, pak cik Hafiz pasti sudah menjangkakannya, begitu juga Cikgu Khair. Apabila yang dipesan itu cepat sampai, itu bermakna servisnya cukup baik, itu juga menandakan orang tak banyak kerana lebih selesa di rumah. Banyak juga yang lebih selesa menapau untuk dibawa pulang ke rumah, menikmati bersama keluarga dan anak-anak kecil yang pastinya tak boleh duduk diam  berada di kedai. Duduk, kunyah, teguk dan borak rancak, ditambah gelak, itu satu sajian yang lengkap.
    Berbeza itu biasa, berbeza itu tak apa, asalkan boleh duduk semeja, saling bicara dan bertentang mata!

Tuesday, February 16, 2021

Bersih

Semalam, sebelum ke sekolah, dua-dua Umi hantar, Adik pun tak berbunyi, Alhamdulillah. Hari ini, Umi kena beri 'umpan' Youtube di dalam kereta.
     Semalam juga, Ayah dan cikgu-cikgu lain memantau peperiksaan yang bermula, dijalankan  anak-anak murid di rumah masing-masing. Masing-masing perlu bersedia dengan peranti elektronik untuk sebarang kemungkinan yang berlaku dalam norma baharu ini. Di dalam rumah Ayah, Along dan Angah, di luar rumah, kereta sedang dibersihkan,  kusyen kereta yang sudah naik kulat dicuci, itu satu sejarah, memang lama tak dibersihkan dan Umi menguruskankan perkara itu. Wow, memang bersih! Alhamdulillah, dari 8.30 pagi menghampiri 1.30 tengah hari, barulah siap. Tekun dan sabar sungguh mereka, tak boleh Ayah bayangkan!
      Mahu bersihkan kusyen kereta tapi tak ada masa? Jangan risau, hubungi dan terus ke rumah anda, hanya pilih pakej yang ditawarkan. Insya-Allah, berbaloi dan cukup puas hati!  Hubungi Ezat Car Spa segera!

Saturday, February 13, 2021

Bongkar

Masih lagi berkisar tentang kenangan pada hari ini.
   Hari ini sudah 1 Rejab, 13 Februari. Semalam Jumaat,  juga Tahun Baharu Cina. Seperti yang pernah Ayah beritahu, rakan sebilik pertama Ayah di UPSI dulu orang Cina, Selamat Tahun Baharu Cina buat yang menyambutnya. Petang ini, sahabat Ayah, Cikgu Latif mengepos dalam aplikasi WhatsApp, surat  dan kad raya yang pernah ditulis, yang dikirim Ayah kepada kepadanya. Masih disimpan rapi kenangan itu, ternyata  terakam cerita di situ.  Bahagia itu juga ternyata banyak di dalam bilik-bilik memori saat kita duduk lalu membongkar, dari kisah Surau Pak Aris dan O.T Dussek sehinggalah kisah mandi perigi dan gajah makan tembikai.
   Memetik kata-kata sahabat, Cikgu Latif, "Kenangan itu pasti dalam ingatan." Benarlah bahawa setiap detik  itu menyimpan momen yang indah, juga mengeratkan ukhuwah, Alhamdulillah. 

Wednesday, February 10, 2021

HPK

"Hidup penuh kenangan," itulah kata yang sering diulang, sering diungkap Cikgu Nasir.
      Benar sekali kata-kata Cikgu Nasir. Hidup  ini tak pernah sepi tanpa kenangan. Adakalanya kenangan itu hadir sendiri, adakala kenangan itu perlu dibina, perlu dicari. Kenangan itu seperti malam  bintang galak berkerdipan, kenangan itu juga seperti malam kelam-gelemat sunyi tanpa bintang. Sekuat mana  pun angin kencang, api  kenangan tak pernah padam, kadang-kadang apinya  menggalak. Kenangan itu boleh membawa kita pergi jauh merentas cakerawala, kenangan itu boleh membawa kita ke dalam diri sendiri.
     Kata-kata yang baik daripada mulut seorang sahabat itu satu kenangan yang penuh bererti. 

Monday, February 8, 2021

Anugerah

Ada masanya kami menonton bersama-sama.
      Seronok  menonton Nat Geo People di saluran 710, Astro, selalu juga kami menontonnya. Dalam 48 Hrs Destination, salah satu tempat yang dijelajahi Greer Gardiner ialah Darwin. Banyak tempat yang cukup menarik dipaparkan. Tatkala melihat buaya, teringat akan Umi, memberi makanan kepada buaya di Langkawi Wildlife Park. Peluang begitu, bukan selalu ada, namun Ayah tidak mencubanya, hanya memerhatikan sahaja. Di hujung sebatang buluh, ada ikan separuh, buaya sepertinya mahu berdiri, tak sabar memenuhkan perut yang lapar.
      Masa yang ada seharusnya  diisi dengan sesuatu, berinteraksi dengan manusia, juga dengan alam serta haiwan liar. Kita berkongsi indahnya dunia yang sama, inilah anugerah.

Saturday, February 6, 2021

Tengok Angin

Ayah tengok Adik. Ayah tanya, dia tengok apa. Dia cakap dia tengok angin.
    Ayah pun menjenguk, pokok delima meliuk-liuk dihembus angin. Sambil memerhati, dia menghirup milo kosong panas. Angin kita tak nampak tapi kita boleh nampak tanda angin muncul dan kita boleh rasa elusannya. Banyak orang di sekeliling kita, kita boleh nampak. Jangan buat-buat tak nampak dek kerana kita tak perlukan khidmat mereka, maka kita nafikan kewujudan mereka. Apabila kita perlukan bakti mereka, maka kita pun mengiktiraf kewujudan mereka serta-merta sebab kita perlukan sesuatu daripada mereka.
     Angin makhluk Allah SWT yang kita tak nampak, sentiasa berbakti kepada kita. Orang di sekeliling kita, insan yang kita nampak,  banyak membantu kita dalam jatuh dan bangkit hidup ini, maka jangan kita nafikan kewujudan mereka dengan kesombongan kita sepertinya kita ini tak akan bersatu dengan tanah.

Monday, February 1, 2021

Roti Bata

Satu angka atau dua angka dan satu nombor atau dua nombor jangan diambil mudah.
      Tak percaya? Ubah huruf paling hadapan nama kita, sudah  pasti nama kita pun turut berubah. Ingat tak cerita Nujum Pak Belalang, "Di manakah terletaknya kekuatan Datuk Laksamana Hang Tuah, di kerisnyakah, di tenaganyakah? Datuk kenal pada Hang Buah?" Masihkah ingat akan filem Mr. Bean's Holiday? Disebabkan kehilangan dua nombor, banyak peristiwa yang berlaku, antaranya ada yang terjun dari atas jambatan ke dalam sungai.
Apabila Adik datang beritahu Ayah, dia mahu roti bata, Ayah pun terpinga-pinga. Akhirnya, baru Ayah faham, dia mahu roti bakar.  
    Hari ini, saat ini, begitu banyak nombor, abjad dan gabungan kedua-duanya yang perlu dihafal atau diingati sebagai kata laluan. Salah satu abjab, salah satu    angka, hari yang ceria boleh menjadi hari huru-hara. Angka dan abjad, nampak kecil, tapi besar maknanya untuk kita semua!

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...