Translate

Thursday, April 30, 2020

Biru

1 Mei, Hari Pekerja, Jumaat ketujuh tanpa solat Jumaat.
    Limpahan cahaya biru di ruang tamu rumah Opah hampir setiap malam bermula apabila lampu semua ditutup. Lampu pada kipas itu dinyalakan tatkala hendak tidur. Selalunya Aidil yang akan menukar kepada cahaya biru. Pagi ini ayah membaca tentang nyalaan lampu biru. Menurut Kementerian Wilayah Persekutuan, pelaksanaan program 'Light It Blue' (30 April hingga 3 Mei) membabitkan bangunan-bangunan ikonik dan jalan-jalan protokol di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Tanda sokongan kepada barisan hadapan,  warna biru dipilih kerana warna rasmi bidang perubatan, memberi maksud kredibiliti, pengetahuan, kepercayaan dan fokus (Astro Awani, Firdaus Azil).
     Atuk menonton berita. Penuntut IPTA pun sudah banyak balik ke kampung.

  

Doa

Waktu sahur, Opah masih sakit gigi.
    Atuk menyuntik insulin menggunakan jarum pen dua kali sehari, bergantung juga pada keadaan kesihatan dan atas nasihat  doktor. Bulan puasa, waktu suntikan berubah dari hari biasa. Pagi, Ustaz Khiruddin menelefon Ayah. Ayah masih 'berhutang' dengan ustaz, masih belum bawa baulu untuk ustaz. Petang, Cikgu Baha pula menelefon ayah, mengatakan bahawa Cikgu Yunus kurang sihat. Malam, Cikgu Mazliza memaklumkan bahawa Cikgu Azuar juga kurang sihat. Hujan masih mencurah-mencurah. Kelekatu sayu terkepak-kepak di lantai.
     Bersama-samalah berdoa di bulan yang penuh rahmat ini, moga semuanya diberikan kesihatan yang baik dan kesabaran dalam menempuh segala dugaan daripada Allah SWT.

Tak Berbau

Sebelum 8.30 pagi, Ayah sudah menggalas mesin rumput Atuk. Umi menyiapkan soalan.
    Rumput tidaklah panjang sangat, kemuncup sudah banyak. Sebelum itu, ayah mengalih kereta. Ayah pun menggerakkan ke kiri dan ke kanan, berjalan dan memotong rumput hampir dengan kereta. Ayah berpaling, cermin belakang sudah berlubang, retak seribu.  Mesti ada batu yang terpelanting. Ayah meneruskan kerja memotong rumput. Ayah berhenti setelah ada motor berhenti di depan rumah Opah. "Mahu baulu tiga bekas esok," katanya. Baulu ada bau, malang tak berbau. Ayah pinjam motor Atuk, ayah ke bengkel, Atuk suruh ke situ. Bengkel Asrul, abangnya, Aslin, kawan Ayah.
    Selepas hantar kereta, balik dengan Atuk. Ayah sambung potong rumput di tepi jalan rumah Opah, Pak Long Li lalu, bertanya tentang kereta.

Wednesday, April 29, 2020

Seram

Umi masak makanan kegemaran Along, pasta carbonara.
     Opah pula buat tauhu sumbat dan bengkang ubi kayu. Malam ini hujan lebat. Waktu hampir berbuka tadi hujan bermula. Pagi tadi Opah buat baulu. Tauke kedai runcit tempah. Atuk akan menghantar tempahan. Kalau Atuk mahu Opah ikut sekali membeli barang pun sudah boleh. PKP Fasa 4, seorang ahli keluarga boleh mengikuti ketua keluarga membeli barangan. Pastinya para suami menarik nafas lega. Tidaklah nanti muncul pula kumpulan 'Abang Salah Beli' di Facebook. Tempoh hari, Umi suruh beli ''chesdale', ayah beli 'buttercup'.
       Di luar masih berangin, Opah pesan, suruh Aidil, Along, Angah dan Achik tidur awal. Tengah malam semalam, Umi dengar ada orang beri salam dari luar rumah. Menyeramkan. Ayah tak dengar pun. Ayah beritahu Opah, mungkin ada orang mahu tempah baulu. 

Palsu

Petang yang redup, ayah sedang memikirkan isu berita palsu. Ayah musykil kenapa begitu banyak berita palsu. 
     Sudah jadi satu kerja, sudah jadi satu kerja tambahan pihak berkuasa atau pihak berkaitan untuk menafikan atau memaklumkan kepada semua agar tidak mempercayai perkara yang direka pada setiap hari. Pembuat berita palsu menyebabkan masa terbuang kerana pihak terbabit terpaksa mengambil masa untuk menjelaskan perkara sebenar supaya tidak timbul keresahan atau huru-hara disebabkan berita palsu. Mungkinkah pembuat berita palsu berpegang kepada slogan 'hidup ini penuh kepalsuan'? Prinsip yang begini janganlah dijadikan alasan untuk membuat atau mereka cipta berita palsu dan menyebarkan berita palsu.
     Petang masih mendung, jangan dimendungkan lagi dengan berita palsu atau berita tidak benar.

Tuesday, April 28, 2020

Dugaan

Ayah rakamkan catatan Umi. Umi simpan di 'status'.
    "Umi, Naufal nak berbuka dengan susu dan 'koko krunch'," kata Angah. Itu pada pukul 10.30 pagi. Pukul 2.00 petang, "Umi, Naufal nak berbuka dengan aiskrim yang Opah buat tu."
"Umi, Naufal nak berbuka dengan roti kismis yang Arah makan," kata pada pukul 5.00 petang. "Naufal nak makan roti John dulu la Umi," katanya pada pukul 7.20 malam. Itu satu dugaan apabila Achik dan Adik asyik 'mengusung' makanan di depan Angah. Angah pun asyik tanya, "Lagi berapa jam nak berbuka?" 
     Sebut pasal 'koko krunch', teringat pula cerita Opah pasal Pak Su Apit,  suka makan ''cornflakes' dengan susu waktu sahur. Berbuka, Umi cukup berselera, Opah buat kuih sagu gula Melaka. Ayah makan laksa, ada kuih yang wajib dibuat Mak Long Pah setiap kali bulan puasa, kuih qasidah.

Monday, April 27, 2020

Cuci

Ayah membuka mesej. Majlis Keselamatan Negara  kerap menghantar mesej, ada maklumat terkini atau mengingatkan kebiasaan baharu yang perlu dipraktikkan.
      Kerap mencuci tangan dengan sabun, itu antara perkara yang perlu dibuat. Saat ini, cuaca mendung.   Baru sahaja Adik datang minta sesuatu daripada Ayah. Ayah menyuruh dia meminta daripada Opah. Dengan adanya ''ovalette', impian Opah sudah tercapai. Maka terhasillah aiskrim. Opah sudah beri Adik merasa, dia mahu lagi. Angah sudah siap buat kerja sekolah dengan Umi, begitu juga Along.
     Tiba-tiba Umi datang menarik tangan Ayah. Ayah mengikut sahaja. Sampai di muka pintu bilik, Ayah melangkah masuk perlahan, ada makhluk berbulu terbaring di atas katil. Di bilik Opah pun, dibuatnya begitu. Jika tidak ada di dalam rumah, maknanya di dalam sangkar, dikurung Atuk.

Tenang

Ayah sampai, Adik menyambut Ayah. Dia mengekori ayah sampai ke dapur.
    Dia tanya Ayah. Apabila ayah beritahu dia, dia pergi beritahu Opah, dia beritahu Atuk. Atuk dan Opah tidak faham. Sebab itu Angah selalu risau,"Macam mana nak sekolah? Dia cakap pelat."Ayah masuk ke bilik lepas mandi, Adik dan Achik makan 'koko krunch' di dalam bilik. "Kenapa?" tanya Ayah. "Abang-abang marah, suruh makan di tempat lain," jawab Umi. Sebelum Ayah pergi tadi, Achik 'menganehkan' keadaan. Dia menghulur kerepek pisang kepada Aidil, nasib baik Adil tidak sempat memasukkan kerepek ke dalam mulut.
    Hujan sudah seriat. Masih ada bunyi guruh. Masih riuh isu Rohingya. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyuruh semua bertenang, beri peluang kepada pihak berkuasa menyiasat.

Temu

'New normal' atau kebiasaan baharu, itu istilah yang digunakan. 
    Kebiasaan baharu yang paling Ayah sukai, RON 95, satu liter RM 1.25, pasti semua bersetuju dengan Ayah. Jika berterusan, alangkah indahnya hidup ini. Ayah tetap berasa aneh. Biasanya, tinggal dua takuk, RM 50 minyak akan diisi. Tadi, macam tidak percaya, RM 33.69 bersamaan 26.949 liter, sudah penuh tangki. Kali pertama Ayah isi sejak PKP, PKP pun masih berlarutan sehingga 12 Mei. Banyak orang, penjarakan sosial tetap perlu diteruskan. Akhirnya, Ayah menemukan 'ovalette'.
    Opah sudah tidak pesan  sayur, pastinya Opah tidak mahu ayah beli lagi  sayur mak tam, tidak ikut senarai. Sampai di rumah, siap mengangkut barang, terus mandi. Siap mandi, hujan pun mencurah-curah,  Alhamdulillah.

Saturday, April 25, 2020

Aneh

Pagi-pagi lagi sudah ada hiburan. Pagi-pagi lagi kucing Atuk sudah masuk ke rumah.
     Kucing Atuk datang menemani, Atuk, Umi dan Angah, menonton siaran 'Nat Geo Wild'. Ada pula kucing yang memanjat pokok dilihatnya.  Tidak puas hati, menyelinap ke belakang televisyen, entah apa-apa yang dicarinya, mungkin kucing tadi.  "Kadang-kadang perangai yang aneh membolehkan hidupan dapat meneruskan kehidupan," begitulah antara kata daripada rancangan tersebut. Kembali ke depan televisyen, sudah tidak ada kucing, ada pula hidupan laut. Kucing Atuk terpaku di situ. Mungkin begitu aneh baginya.
     Aneh, Ayah rasa Ayah sedang melaluinya, mungkin  orang lain  juga berasa begitu. Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, “Saya pun tidak pernah dengar istilah 'penjarakan sosial' sebelum masalah ini timbul." Aneh itu mungkin akan menjadi biasa.

Cubaan

Angah duduk di atas Opah. Opah duduk di atas buaian. 
     Achik muncul. "Ada bau," katanya. Deria bau Achik memang pantas. "Cuba cakap nak makan apa?" sengaja Ayah tanya. "Arah tak tahu,"katanya. "Pergi potong, ada atas meja!", Opah menyuruh Ayah. "Patut bau semacam," kata Achik. Makanan yang biasa timbul di bulan puasa untuk berbuka, martabak buatan Opah Ayah potong. Achik suka sangat. Makan pula depan Angah. "Cobaan!" kata P. Ramlee.
     Sejenang tadi, Adik termuntah semasa tidur, habis kena bantal Aidil. "Habis tu macam mana malam ni?" tanya Shahid kepada Aidil. Tiba-tiba, hujan begitu lebat. "Selamatkan selipar!" jerit Angah.
     

Rahmat

Umi buat panggilan video. Hari ini hari lahir Wan. Selamat hari lahir Wan.
     Titisan air masih bersisa pada besi di pagar. Hujan sudah berhenti, tidaklah lebat sangat petang ini, tetap membawa rasa sejuk dan cuaca redup, Alhamdulillah. Achik dan Adik berlari-lari anak mengekori Umi, di dalam rumah saja. Achik memegang baju Umi dari belakang, Adik memegang baju Adik dari belakang. Umi sudah penat, Adik mahu berlari lagi. 
     Ramadan yang penuh rahmat, Ramadan yang tiada senarai kuih-muih atau lauk-pauk, Ramadan yang hilang kemeriahan di bazar. Umi datang duduk di sebelah Ayah, berayun sama di buaian menikmati rasa sejuk.

Friday, April 24, 2020

Tidak Tahan

Semalam, Achik yang baru belajar berpuasa sudah tidak tahan, 11.30 pagi, dia makan cekodok pisang.
    Dia beritahu Umi, dia akan berpuasa semula selepas makan. Dia mengotakan janjinya, dia tidak makan. Waktu berbuka, dia masih tidur. Petang semalam, sunyi, semua tidur kecuali Aidil berayun, berbaring di atas buaian. Maghrib, berbuka, ada kuih koci dan kuih ketayap yang dibuat Opah, dibantu Umi. Ada juga sup tulang, dimakan dengan bihun. Tarawih, Atuk imam.
      Selepas tarawih, ayah melihat-lihat buku digital di laman web Perpustakaan Negara Malaysia, kemudian menonton dengan Umi, kisah seorang budak yang dibuli sewaktu kanak-kanak, membalas dendam kepada yang membulinya ketika sudah dewasa. Buli cukup bahaya.

Thursday, April 23, 2020

Istimewa

Alhamdulillah, masih bertemu Jumaat, walau tanpa solat Jumaat kali ke-6, bertambah istimewa, hari ini juga 1 Ramadan 1441 Hijrah.
   Sahur pertama, Ayah mengejut Achik. "Makan," kata Ayah sambil tunjuk cekodok pisang yang masih hangat. Pasal makan, Achik jarang sekali menolak. "Malam tadi dia tanya,  puasa tu apa?" kata Angah merujuk kepada Achik. "Berbuka nanti pukul 7," kata Ayah. "Bukan 7 pagi," tambah Along. Malam tadi, menunggu pengumuman puasa. Ada yang menunggu untuk melihat warna baju yang dipakai  Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
    Pagi ini pula, ayah baru menemui SpongeBob dan Patrick yang segak mengenakan persalinan lengkap, baju Melayu berserta samping sempena bulan Ramadan di media sosial. Mungkin songkok atau kopiah untuk mereka belum dicipta!

Seriat

Aidil meluncurkan kereta beroda lima yang dinaikinya. Naik berdua, akan ada yang menolak di belakang sehingga ke dapur dan berpatah balik ke depan.
     Kadang-kadang ditolaknya ke depan dan ke belakang menggunakan kakinya. Sesekali terdengar suaranya,"Naufal mandi!" Jika mendengar kiraan nombor, itu bermakna Aidil, Along, Angah dan Achik bermain sorok-sorok. Di luar masih hujan, mereka main sorok-sorok. Giliran Along mencari, seorang telah dijumpai. Sedang Along masih mencari, Umi memanggil Aidil, Aidil datang, mengambil pakaiannya yang telah dilipat. Nampaknya, Along tidak perlu bersusah payah, Aidil telah 'menyerah diri'.
      Hujan seriat, mereka pun berhenti bermain, tidak tahu pula sebabnya. Hujan kembali, bermain sorok kembali dan tambah ahli baharu, Umi.

Wednesday, April 22, 2020

Ingatan

Pagi berkabus menutupi bukit yang sunyi sepi daripada ngauman jentera.
Unggas terus bernyanyi.
      Ayah berjalan menuju ke pintu pagar besi dan berhenti, berpatah balik, sempat tiga kali ayah berulang-alik. Gemulah Wan Dolah, sambil berjalan tangannya di belakang, mendaki bukit, kemudian turun kembali pada kebanyakan pagi. Terputus ingatan ayah sebentar tatkala selipar Asadi sebelah kanan Ayah terputus, sudah banyak jasa, tiga tahun rasanya. Langit pagi ini tidaklah sebiru langit New Delhi yang kembali membiru dek turunnya kadar pencemaran. 
       Masuk ke dalam rumah, 23 April 2020, Jom Baca Bersama, 11.00 pagi hingga 11.10 pagi, 10 minit saja, itu yang Ayah baca. Mai baca!

Selamatkan Bumi

Sambil minum teh hijau, ayah membaca tentang misi menyelamatkan bumi. 
    Kedengarannya begitu hebat. Ya, memang hebat. Kita semua boleh menjadi hebat dengan melakukan perkara yang disarankan dalam portal berita Astro Awani sempena Hari Bumi. Setiap hari boleh dilakukan selagi mana cuaca cerah. Sidai baju di ampaian, biarkan mentari menjalankan tugasnya. Tugas mengambil baju diserahkan kepada Achik dan Adik. Ayah melihat dari celah jendela tempoh hari. Untuk mencapai misi menyelamatkan bumi, dia melompat, ada kalanya dapat mencapai, ada kala dicuba berkali-kali, tidak berjaya. Fikirkan cara lain, naik di atas bakul yang ada baju kering tanpa mencabut selipar.
   Ayah hampir menjerit, tiba-tiba dia mengeluarkan kaki, mencabut selipar. Dia berfikir dan selagi kita berfikir, Insya-Allah bumi dapat diselamatkan.

Menangis

Umi di ruang tamu, Opah di dapur.
      Umi melipat kain. Kadang-kadang Umi terpaksa melipat di dalam bilik, jauh daripada Adik, Umi melipat, Adik membuka lipatan. Sesekali dia berlari ke dapur, melihat Opah membuat kuih. Opah buat kuih cucur badak. Keledek dijual Abu.  Adik mahu susu, Abah bancuh, dibawa lari penutup botol susu. Ayah mengejarnya satu rumah. Di luar hujan lebat, di bahagian beranda air sudah bertakung, angin kuat,  terdengar bising bunyi zink ditiup angin, guruh berdentum. Di dapur, lagilah kuat bunyi hujan, tidak ada siling di dapur.
       22 April, Hari Bumi, bumi menangis lagi. Mungkin terharu dan berterima kasih, banyak kerosakan terhenti akibat Covid-19.

Tuesday, April 21, 2020

Normal

Usai makan nasi berlaukkan gulai ikan, Ayah menghabiskan lasagna.
      Siang tadi, ayah memilih untuk menonton 'The Catcher Was  A Spy', berdasarkan kisah benar. Moe Berg seorang pemain besbol. Cikgu Hamir, kawan ayah meminati besbol. Moe Berg ke Jepun untuk perlawanan persahabatan. Moe Berg menguasai banyak bahasa, antaranya Itali. Daripada pemain besbol, dia menjadi perisik, ke Itali untuk satu tugasan, mendapatkan maklumat daripada seorang profesor. Untuk sampai, peluru bersimpang-siur, akhirnya sampai ke tempat yang dituju. Dia musykil, profesor itu ralit melakukan sesuatu terhadap basikalnya. Dalam  kekalutan di luar, perlukah begitu? Balas Profesor, dia cuba melakukan rutin, cuba membuat keadaan seperti normal, walau bunyi tembakan cukup menakutkan di luar.
     Itu tahun 1941. Tahun 2020, berperang dengan yang tidak nampak. Di sini, masih  boleh berada di sekitar rumah, masih aman, sudah cukup resah. Sahabat di Palestin?

Seronok

Selepas mengaji, Angah main permainan video. "Setengah jam," kata Ayah. Umi selesai memesan kurma, diminta Opah, diingini kawan-kawan Opah. 
     Ayah melangkah kembali ke luar. "Nanti ada orang hantar lasagna," kata Umi di muka pintu. Di atas meja simen, ada dua biji kelapa tua Entah apa pula yang mahu dimasak Opah kali ini. Ayah tidak bertanya pula. "Mak Long Pah bagi," kata Opah. Cerita Opah, orang Indonesia, ada yang datang merantau ke sini, bekerja, sudah balik ke tempat asal, menjadi lebih senang, masih kembali ke sini, rasa seronok di Malaysia. Seronok itu sesuatu yang menyenangkan hati dan mengasyikkan. Menghadap rumah Opah, kebun sayur, milik FGV, dikerjakan buruh Indonesia, hampir Maghrib masih menggalas pam.
    Angin semakin mengencang, Atuk memanggil Ayah. Almari di tempat letak kereta, condong, hampir terbalik, kawah di atas almari diturunkan.

Kurnia

Bertemankan rasa bahang, mengharapkan angin kencang bertandang, angin kencang bertandang ditemani titisan-titisan hujan.
      Allah SWT mengurniakan rasa bahang, mengurniakan angin kencang,  mengurniakan titisan-titisan hujan. Allah SWT jualah mengurniakan virus yang sedang mengancam. Segala-galanya berhikmah. Ayah melangkah masuk ke rumah setelah hujan, cuaca pun beralih mendung, membendung panas yang membahang.
     Zuhur, cucu-cucu Opah menanti giliran untuk mengaji. "Lepas tu?" tanya Angah. Sepertinya dia mahukan sesuatu jawapan yang memihak kepadanya. Ayah mengagak sahaja. Selalunya begitu.

Monday, April 20, 2020

Ganjil

Menunggang motor ke kedai runcit, mengekori di belakang, barisan hadapan negara. Ketua keluarga ada pelepasan.
      Ada ketika, kereta peronda polis bergerak perlahan, menjalankan tugas barisan hadapan. Berhenti, mengarahkan yang membawa anak kecil berpatah balik pulang ke rumah. Sesekali, deruman enjin lori mengaum dari jauh, lori mengangkut buah sawit. Jalan begitu sepi tanpa bunyi enjin, tidak seperti selalu, terasa ganjil, hanya kedengaran kicak-kicau murai tidak henti seperti sedang mengejek. 
     Di  beranda tanpa pagar, duduk melempar pandangan ke arah jalan, bertukar kata-kata, mengharapkan angin bertiup kencang melawan rasa bahang.

Sejarah

Hari ini, Selasa, 21 April, setiap hari ada perkara terjadi, waktu PKP ini pastinya akan dikenang sebagai satu sejarah.
     Ayah membuka portal berita Astro Awani, salah satu laporannya,  pertama kali dalam sejarah, harga minyak mentah Amerika Syarikat (AS) jatuh ke bawah paras $0, iaitu ke paras negatif -$37.65 setong pada lewat Isnin. Kebetulan  ayah sedang menonton filem tentang Amerika, 'The Plot Against America', ada isu politik, melibatkan Amerika, Yahudi, melibatkan Nazi, Jerman.
     "Sempena hari jadi saya, 21 April, hadiah paling istimewa untuk saya ialah, kalau boleh rakyat Malaysia kekal duduk di rumah dan amalkan kebersihan yang tinggi," ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, 57 tahun, juga dilaporkan dalam portal berita yang sama. 

Mahu

Dia mahu jua, dia tidak kira, dia tidak peduli.
   Dia menangis, Ayah sudah tidak larat mendengar. Ayah mula tunjuk rotan yang tergantung di dinding. 'Menangis tak kena rotan buat apa, biar menangis sebab sakit!" Ayah meninggikan suara. Agak lama juga berlarutan. Mula-mula dia mahu biskut Tiger, selepas itu mahu aiskrim Malaysia. Biskut Tiger sudah habis, aiskrim Malaysia sudah makan waktu siang. Dia pun batuk-batuk. Ayah membancuh air milo, ada biskut kering. Tidak mahu Ayah suap, mahu Umi. Sesudah itu, ayah tidak tahu 'jampi' apa  yang digunakan Umi. Dia datang minta maaf dan cium Ayah seperti yang disuruh Umi. 
    "Ayah, Arah nak makan apa?" tanya dia. Akhirnya dia beritahu Umi, dia mahu makan lagi. Pukul 1.30 pagi, dia makan nasi ayam. 

Pergi

Tengah hari, Baba Aidil mengepos berita tentang pemergian pembaca berita RTM yang tidak asing lagi sejak kami kanak-kanak, Farit Ismeth Emir, Al-Fatihah.
     Main dengan Ayah, adik conteng kaki dan tangannya  menggunakan pen dakwat cair walau telah diberi buku. Tidak cukup kaki dan tangannya, dia minta tangan Ayah untuk diconteng, Ayah menghulur.   Hidungnya pun diconteng walau ditegah. Dia sedang bereksperimen. Main dengan Umi, dia main tampal-tampal stiker, tampal pada dirinya dan tampal pada Umi. Tampal pada tangan, tampal pada muka, tampal pada tempat yang dia rasa mahu tampal.
      Alhamdulillah, menurut laporan berita, tiada kematian yang disebabkan Covid-19 pada hari ini dan jumlah kematian pesakit Covid-19 kekal 89 orang. Semua orang terus menghitung hari termasuk Ayah, mengharapkan berita baik. 

Sunday, April 19, 2020

Mumbang

"Nak air kelapa, dah lama tak minum," kata Achik.
   Kelapa bertandan-tandan, banyak yang sudah tua walau nampak masih ada hijau. Ayah mengambil galah besi, tersandar pada pokok manggis. Ayah tengok satu-persatu, ada satu tandan masih muda. Ayah menarik kuat galah yang ada sabit di hujung. Bam! Jatuh ke tanah sebiji kelapa, masih mumbang. Ayah mengambil kelapa  yang hampir  terbelah, masih ada air, mendekatkan pada bibir Angah. Angah mendongak sedikit, Ayah menuang air kelapa ke dalam mulutnya.
   Masih berbaki airnya, Ayah menyuruh Achik mengambil gelas dan sudu. Isi kelapa masih nipis, tidak banyak  pun, terus disuap ke dalam  mulut Angah dan Adik.

Hargai

Waktu Ayah tersedar, Umi sedang menekup mulut dan hidung Achik menggunakan 'aerochamber'. 
     Adik sudah bangun. Umi, Opah dan Atuk bangun bersahur. Matahari naik, Ayah, Adik dan Atuk sudah di bawah pokok manggis. Kucing tidak duduk diam. Nampak Atuk, lagilah macam cacing kepanasan. Atuk membuka pintu, membersihkan sangkar, kucing dilepaskan. Atuk menuangkan biskut kucing ke dalam bekas makanan. Adik memerhati, kucing datang dekat, Adik lari mendapatkan Ayah, kemudian kembali memerhati kucing makan. Daun-daun kering disapu Atuk.
     Kucing Atuk ke sana  sini, puncak pokok pisang yang condong pun lepas naik, mungkin sedang menghargai, sedang mensyukuri kebebasan yang dimiliki.

Biasakan

Ayah menghenyakkan punggung di atas kerusi, melayan media sosial.
   "Betulkan yang biasa, biasakan yang betul," itu yang selalu Ayah ulang.
Alhamdulillah, terima kasih Amirul kerana membetulkan ejaan, 'ikan pelaling' bukannya 'ikan pelalin'. Ayah pun tidak perasan. Siapakah Amirul? Cikgu RBT yang main muzik sambil buat 'design' rumah (itu tertulis pada laman Instagram-marghos_). Ayah suka juga muzik, suka dengar lagu, salah satu lagu yang ayah suka ialah 'Eye Of The Tiger'. Orang-orang tua macam Ayah mesti tahu lagu ini.
      Ayah masih duduk, adik datang, menyuruh ayah membuka komputer riba, mahu dengar lagu 'Didi and Friends'. 

Membesar

Dua tiga hari lepas, Ayah sudah potong rambut Umi, sekali gunting sahaja sudah selesai. 
      Selepas itu, Umi gunting sendiri rambut Umi, Umi tengok cara-cara di laman sosial. Apakah maknanya itu? Rambut Adik pula digunting Umi, "Nampak macam Dora," kata Tok Cik. Adik pun sekarang sudah agak jelas butir-butir perkataan yang terbit daripada mulutnya. Membesar di depan mata', mungkin ini frasa yang sesuai untuk ibu bapa yang ada bersama dengan anak-anak di rumah dalam tempoh PKP ini. 
     Dua malam lepas, Aqil telefon, mahu bercakap dengan Along, Angah dan Achik. Adik Aqil pun kami tidak tengok lagi sejak lahir, tengok dalam gambar saja, nampak makin besar.
      


Jawapan

Malam tadi Opah panggil Ayah, Opah tunjuk cara buat halwa maskat. 
     Waktu kecil, suka sangat dapat makan halwa maskat waktu hari raya. Minyak sapi tidak ada tapi masih boleh buat. Tengah hari, terkejut ayah dibuatnya. Baru terlelap ada suara menyeru nama ayah. Pak Long Li datang hantar kerabu bunga betik. Opah pula  buat keropok lekor guna ikan pelaling. Angah sudah lama terlelap setelah dia sendiri tidak dapat menjawab sama ada dia tidur atau tidak malam tadi selepas terjaga. Ayah rasa Ayah telah mendapat jawapannya. 
    Petang, aiskrim Malaysia ditempah Umi sampai, keropok lekor buatan Opah pun ada dan kacang kuda rebus diberi Pak Long Li. Cucu-cucu Opah beratur, menunggu giliran rambut digunting Opah. Rambut ayah pun sudah 'mengembang'.

Saturday, April 18, 2020

185

Umi mendapat berita, ayah anak murid Umi meninggal dunia pagi tadi. Al-Fatihah.
    Waktu ini, setiap hari, ada saja yang meninggal dunia kerana Covid-19.  Pengurusan jenazah pesakit Covid-19 juga tidak seperti biasa. Cukup menyedihkan bagi ahli keluarga yang terlibat, berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Along dan Atuk menonton, berita serata negara berkaitan Covid-19. Covid-19 kini melibatkan 185 buah negara.
      Ayah melangkah keluar, berayun di buai, angin bertiup perlahan. Bukit di hadapan rumah Opah, separuh daripadanya dirobek jentera, tidak lagi hijau, operasi mengambil batu dihentikan setakat ini.

Lembaga

Lima pagi ayah tersedar, ayah ke bilik air, sebelum itu, ayah tengok ada cahaya, ada suara, ayah berjalan perlahan.  
     Ayah menuju ke ruang tamu, televisyen terpasang, cerita kartun. Atuk pun tersedar awal, Atuk pun ke ruang tamu, Atuk lihat televisyen terpasang, tidak ada orang, sebenarnya Atuk tidak perasan, ada lembaga kecil yang duduk di tepi kerusi dalam gelap. Itulah Awang Kenit. Nama timangan yang diberi Opah. Sudah tidur awal pada malamnya, hampir pukul 11.00 malam, dia bangun bermain. Tidak puas bermain lagi, Umi suruh tutup lampu, suruh tidur. 
       Apabila ditanya dia tidur  atau tidak, dia pun tidak boleh jawab. Ayah beritahu,  dia bangun lebih awal daripada harimau bintang salji Himalaya yang aktif pada waktu fajar sewaktu menonton Nat Geo Wild pagi ini. Angah mengekek.

Letih

Menurut pembacaan ayah, pemain bola sepak tidak dibenarkan berenang beberapa  jam sebelum perlawanan kerana akan menjejaskan prestasi mereka. 
     Main air pun sudah letih, apatah lagi berenang. Malam, Angah tidur awal sebab letih. Petang, Aidil, Along, Angah dan Achik main air. Ada masanya, Umi menguruskan aktiviti ini, sesuai dengan Umi yang terlibat dengan Kadet Bomba Sekolah. Untuk memegang hos yang besar memerlukan cara memegang yang betul, kedudukan kaki yang betul. Untuk aktiviti ini, Umi hanya perlu pegang paip getah. Ayah? Ayah lena diulit mimpi. Yang ayah ingat sebelum itu, umi ada beritahu, dia mahu buat kek batik.
     Pagi ini pula, Opah beritahu bahawa sudah 33 hari Opah buat sendiri sarapan pagi, sejak PKP bermula. Empat hari lagi, Opah tidak mahu lagi buat sarapan pagi.
      

Rapat

Hari ini sudah 32 hari PKP, sudah pun masuk Fasa ke-3. Semalam, Jumaat kelima tanpa solat Jumaat.
    Kata kakak Fatin, "Umi berkawan rapat dengan Shopee." Dalam tempoh PKP ini, macam-macam talian beli-belah menjadi kawan rapat semua orang. Televisyen pun jadi teman rapat juga. Tadi, Ayah menonton ditemani Along dan Angah, siaran 'Nat Geo Wild', misi memburu ikan gergasi. Beratnya boleh mencecah 200 kilogram. Musuh utama ikan kerakap nil ini ialah buaya. Aidil pula ralit mewarna 'shuriken', dibuatnya daripada kertas. 
      Umi sudah basah. Angah menumpahkan air, makan nasi sambil menonton. Adik pula meragam mahu telefon pintar. Ayah mendukung adik ke belakang rumah. Sebentar, muncul Achik.
    

Friday, April 17, 2020

'X-Men'

Malam, Umi panggil Along, Mualimah Aida buat panggilan video. Along kena buat hafazan.
     Ayah tengok filem 'X-Men: First Class'. Akan sentiasa ada konflik antara manusia di muka bumi, akan berlaku kerosakan, malaikat pun tahu lebih awal, Allah SWT lebih tahu segala-galanya. Achik batuk-batuk. Ayah mengenakan corong 'aerochamber', menutupi hidung dan mulutnya, inhaler ditekan. Habis menonton, Adik pun selesai melakukan sesuatu. Kacang tanah goreng yang Ayah makan sambil menonton tadi disepahkannya.
       'X-Men' mula beraksi, menggunakan kuasa 1500 watt, butir-butir kacang yang bersepah disedut mesin hampagas Panasonic. Malam belum berakhir, adakah
'X-Men' akan beraksi lagi?

Hang Tuah

Petang, Umi menempah 'hot dog', diiklankan dalam Facebook.
     Kata Hang Tuah, "Takkan hilang Melayu di dunia." Ayah percaya kata-kata Hang Tuah, Melayu tidak akan hilang di dunia selagi gigih berusaha. Banyak anak muda gigih berniaga, adanya media sosial, cukup membantu perniagaan mereka dalam tempoh PKP berlangsung. Adik Ayah pun berniaga kurma, diiklankan dalam media sosial (Kurma Harga borong HQ di Facebook). 'Hot dog' sampai, sekejap sahaja habis licin. Umi menempah lagi sekali.
    Achik memang suka makan. Opah cakap macam telaga buruk. Umi cakap macam perut stoking. Semua benda boleh masuk ke dalam perut Achik. Adik tak habis makan, hulur saja kepada Achik.

Tepuk

Tiba-tiba Opah yang duduk di belakang ayah menepuk belakang badan ayah yang tidak berbaju. 
     Adik mengangkat tangan, menunjuk kepada Opah, menunjukkan muka garangnya. Kata Opah sambil tersengih,"Sayang sangat ayah dia, Opah tampar nyamuk, bukannya pukul ayah!" Ayah ketawa. Sayang benar Adik kepada Ayah. Adik tengok Opah, tunjuk muka tidak faham. Ayah jarang sangat berbaju, cuaca sekarang agak panas. Kepanasan yang Ayah alami tidak langsung  dapat dibandingkan dengan kepanasan yang terpaksa dihadapi barisan hadapan seperti doktor dan jururawat. Mereka terpaksa memakai pakaian perlindungan (Personal Protective Equipment-PPE) untuk mengelakkan jangkitan Covid-19.
      Adik menarik-narik tangan Ayah, mungkin mahu ke halaman depan rumah.
 

Masuk Mulut

Atuk berkebun, adik main dengan kucing. 
    Adik mencangkung, dihulurnya cebisan keropok yang telah digoreng Opah. Keropok Ikan Tamban Asli Cap Pengkalan Setar itu dibeli Umi menggunakan talian beli-belah Shopee. Pagi tadi, sewaktu duduk di buai, kucing itu datang sebab bau keropok yang Ayah makan.  Sudah Ayah beri, kemudian biskut kucing diberi Atuk. Dua tiga kali dihulur, kucing buat tidak tahu saja. Akhirnya, Adik memasukkan  cebisan keropok pada tangannya yang lagi satu ke dalam mulutnya. Opah muncul, tengok Atuk menyiapkan kepungan.
    Harap babi tidak lepas  masuk lagi. Babi bukannya faham tentang Perintah Kawalan Pergerakan. 
     

Masuk

Arahan duduk di rumah mesti dipatuhi, maka kami hanya berlegar di dalam rumah dan di sekitar kawasan rumah sahaja.
    Umi menemani Angah menyiapkan kerja sekolah. Ayah membawa Adik ke belakang rumah. Atuk sedang mengepung kawasan berhampiran pokok manggis dengan membuat pagar. Walaupun kawasan rumah berpagar, babi tetap dapat masuk. Habis disondol, dikoreknya pokok yang ditanam Atuk. Dasar babi, babi tetaplah babi.
    Tidaklah jemu sangat walau duduk di rumah, Atuk masih boleh berkebun, ada tanah untuk dikerjakan. Adik? Adik mahu main dengan kucing Atuk.

Thursday, April 16, 2020

Untuk Negara

Mahu bebas seperti merpati, apakan daya, satu dunia diancam bahaya yang tidak nampak, sudah pun menjadi pandemik. 
     Tun Dr. Mahathir sejak dahulu mahu Malaysia berjaya mengikut acuan sendiri. “Pengiktirafan itu bukan untuk saya tetapi untuk negara,” ujar
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah selepas diiktiraf setaraf dengan dua lagi tokoh perubatan, Dr. Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr. Ashley Bloomfield (New Zealand) sebagai ‘wajah paling dipercayai’, khasnya dalam menangani Covid-19. 
    Selain mengikuti isu terkini, Ayah dan Umi hanya banyak menonton. Ejen Augustus Gibbons dalam filem XXX, menyebut bahawa parut di mukanya itu hanya satu pengorbanan yang kecil untuk negara. Arahan duduk di rumah pula mesti patuhi.

Bebas

'Ovalatte' tidak ditemui, mungkin belum tiba waktunya. Sepertinya selalu dikatakan orang, "Hidup perlu diteruskan."
      Pagi ini, ayah duduk mengayun buaian. Seekor merbah seakan-akan melompat dari dahan ke dahan, mungkin teruja melihat buah mulberi yang ranum begitu banyak. Teringat pula dua ekor merpati mati digilis tayar semalam. Dulu, di rumah arwah Wan Suri, penuh merpati. Penuh hinggap di rumah beratap zink, terbang pun sederap bersama. Kadang-kadang, malam dikejutkan dengan bunyi merpati, mula fikir yang bukan-bukan.
      Merpati yang dibawa ke rumah Atuk dari rumah Wan Suri pula sepertinya tidak serasi di sini, lari mengikut merpati yang lain.    Saat ini, semua mahu bebas seperti merpati.

Mencari 'Ovalette'

Kereta meluncur menuruni bukit, dari jauh, nampak Pak Long  Li duduk berehat di luar pintu dapur. 
   Sekejap sahaja sudah sampai, tidak banyak kereta. Ayah mengenakan pelitup, menghala ke mesin juruwang automatik. "Mungkin duit sudah habis," fikir ayah. Ayah menggerakkan kereta, kelihatan dua ekor merpati mati, baru digilis tayar. Ayah ke Pos Laju, lampin pakai buang yang dibeli Umi melalui talian beli-belah Shopee sudah pun sampai. Di Mempaga Segar, sebelum menolak troli, ayah menekan botol pensanitasi tangan yang disediakan. "Perlu beratur, jarak mesti satu meter," itu yang selalu didengar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini.
      "Minta maaf," kata ayah setelah silap memasukkan barang ke dalam troli orang lain. Penutup muka sangat berguna pada saat ini😂. Orang tidak kenal ayah, ayah tidak kenal orang. Misi seterusnya, mencari ''ovalette'.

Wednesday, April 15, 2020

Basah

"Kalau hidung kucing basah, sihat, kalau hidung kering, tak sihat," kata Angah.
      Gemar sangat Aidil, Along, Angah, Achik dan Adik main dengan kucing Atuk yang gemar sangat masuk ke rumah. Kucing Atuk tidaklah manja sangat. Nampak macam manja, selalu datang dan menggesel-gesel pada kaki, tapi tidak macam kucing lain yang suka digosok kepala dan di bawah dagunya. Tidak mahu duduk di atas riba, apatah lagi digendong atau didukung. Jika tangan disua, dia seperti mahu bermain, mencakar dan menggigit tapi tidaklah kuat sangat, tetap membuat berasa terkejut.
     Ada masanya kita berhubung dengan insan, ada masanya kita berhubung dengan haiwan.
Walaupun lain caranya, sebahagian daripada kita kita tetap akan bercakap dengan kucing😁.

Monday, April 13, 2020

Imaginasi

Yang terkini, sepanjang tempoh PKP berlangsung, tiada kedai gunting rambut, salun dan cermin mata yang dibenarkan beroperasi.
      Selain menghadap telefon pintar dan komputer riba, di dalam rumah sudah jadi taman permainan kanak-kanak. Bermacam-macam permainan baharu dicipta, kadang-kadang ayah dan umi pun tidak faham, kusyen dan bantal kecil Opah menjadi seperti lego, digunakan untuk membuat rumah. Kanak-kanak sentiasa berimaginasi, berfikir sesuatu, asalkan dapat bermain. Imaginasi juga boleh melahirkan sesuatu yang kreatif dan inovatif.
     Kita yang dewasa, harus seperti kanak-kanak, kita juga dahulunya kanak-kanak, boleh kita  mulakan sesuatu yang baharu kerana imaginasi dan tindakan membuatkan manusia terbang di langit tinggi.

Sunday, April 12, 2020

Sama-Sama

Sama sama gunung didaki,
Sama sama turun ke lembah sepi,
Suka duka bersama dirasai.
Sedikit lagu Mulanya Di Sini, nyanyian Freedom.
     Walaupun  temanya percintaan, namun itulah yang kita hadapi sekarang, di rumah, di tempat kerja dan di mana-mana sahaja. Kita seolah-seolah sedang mendaki gunung yang tidak tahu lagi di mana penghujungnya dengan menempuhi bermacam halangan, kita seolah-seolah sedang menuruni lembah yang juga tidak tahu di mana penghujungnya dengan bermacam halangan. Kita sedang melaluinya bersama-sama. Kita tetap siap siaga bersama-sama menempuh segala kemungkinan yang ada. Kitalah yang merasai segala suka dan duka yang ada.
    Sama-sama bekerjasama kita  harungi segalanya. Kita tidak sendirian, kita ada ahli keluarga yang sama-sama, yang seia sekata, yang saling menyokong antara satu dengan yang lain. Sama-sama kita jaga keluarga, sama-sama kita jaga negara.

Saturday, April 11, 2020

Debu

Ada orang tidak boleh lihat ada debu pada kereta, pasti dibersihkannya. 
      Tambah-tambah waktu cuti seperti sekarang, pasti kereta berkilat tanpa debu. Jangan tengok kereta ayah kalau disebut 'berkilat'. Kuranglah berdebu jika kereta kurang bergerak,  kurang minyak digunakan walaupun harganya begitu murah (RON 95 RM 1.25 seliter). Berbalik kepada debu, debu ada dua maksud. Maksud kedua debu (sastera lama) ialah patik, hamba. 
      Kadang-kadang, debu juga pengutus rindu. Kutulis namaku dengan debu agar dirimu teringatku selalu. Mungkinkan  hilang sekelip mata, namun di hati sentiasa ada.

Friday, April 10, 2020

Bantu

Kedai gunting rambut boleh beroperasi kembali, PKP dilanjutkan sehingga 28 April 2020.
     Ada yang tidak kisah rambut panjang, ada yang mula resah tatkala rambut di tepi mencecah cuping telinga. Rambut adik panjang, senang Umi nak ikat atau buat tocang. Jika tidak diikat, waktu makan, makanan pun ada melekat pada rambut. Peribahasa yang kerap kita dengar, rambut sama hitam, hati masing-masing berlainan pula bermakna masing-masing orang itu mempunyai pendapat (kemahuan dan lain-lain) yang berlainan (Kamus Dewan Edisi Keempat.
    Begitulah pada saat ini, seperti rambut yang bermacam gaya, banyak pendapat yang kita baca dan dengar, semua bergantung pada pandangan masing-masing, yang duduk di rumah, yang bekerja, yang hilang kerja dan yang hilang punca. Terimalah dengan hati terbuka dan kita bantu semampu yang boleh.

Thursday, April 9, 2020

Mak Tam

Akhirnya ayah tewas. 
       Opah suruh beli salad, ayah beli sayur mak tam. Ayah sudah tengok nama pada labelnya, ayah ambil juga sebab ayah percaya itu salad (mungkin ayah yang nampak macam salad, orang lain tidak nampak begitu). Kali pertama ayah mendengar nama 'mak tam'. Ayah tengok macam daun sup, tidak sepanjang daun sup, daunnya hampir sama, rupa-rupanya daun ketumbar. Yang ini ayah tidak baca labelnya, dengan yakin ayah ambil dua ikat.
      Dalam hidup ini, keyakinan dan kepercayaan itu penting. Yakin dan percaya itu tidak semestinya membuatkan kita betul. Kita perlu memastikan terlebih dahulu bahawa apa-apa yang kita yakin, apa-apa yang kita percaya benar-benar betul. 

Malapetaka

Ayah menonton 'Fast Five'. Ayah suka cara watak itu dihidupkan.
    Orang jahat pun bukan sebarang. Mereka belajar daripada sejarah. Dia cakap dia suka cara Portugis. Portugis datang bawa sesuatu, bawa hadiah, bawa sesuatu yang tidak ada di satu-satu tempat. Jadi, orang di situ menerima dan menghargai. Dia memilih cara Portugis. Dia memberi air, elektrik dan sekolah untuk anak-anak di setinggan. Orang-orang di setinggan sanggup 'mati' untuk dia kerana dia memberi mereka 'kehidupan'.
    Sejarah itu cukup bernilai untuk kita semua demi menjaga kesejahteraan negara dengan menghayatinya. Satu malapetaka jika orang jahat belajar daripada sejarah.
      

Wednesday, April 8, 2020

Tua

Nisfu Syaaban, kita melaluinya dalam tempoh PKP. Esok, Jumaat ke-4 tanpa solat Jumaat.
     Mungkin ada yang sudah berasa 'tua' berada di rumah atau sudah berasa seperti bersara. Buatlah sesuatu dan yang paling senang untuk dibuat ialah membaca. Susah? Tidaklah susah, ambil sesuatu di sisi untuk dibaca, buku atau ambil telefon pintar dan buka portal atau laman web yang sangat banyak. Boleh jadi muda? Membaca tidak boleh membuatkan kita jadi muda, membaca membuatkan kita lebih matang. Mahu jadi tua yang matang atau tua yang tidak matang? Ah, itu sekadar persepsi penulis!
     Ya, tua sering dikaitkan dengan kematangan. Muda, kaut pengetahuan dan pengalaman sebanyak yang mungkin!

Sesuatu

Sabtu kembali, Sabtu minggu lepas di tempat kerja Ayah, semalam di sekolah anak-anak pula jamuan raya.           Dulu dari rumah ke rumah, s...