Translate

Friday, November 13, 2026

Kekitaan

Lepas hujan, kulat pun tumbuh. "Kulat taun," kata Opah. Hujan tak hujan, tetaplah kita  bekerja. Ini semua tentang KITA (Karakter, Inovasi, Tanggungjawab, Aspirasi). 
        Bercakap tentang 'kita', ada satu kata terbitan yang penting untuk tahu, iaitu kekitaan dan sering kita dengar tentang semangat kekitaan. Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan semangat kekitaan sebagai semangat bekerjasama (bantu-membantu) dalam sesuatu kumpulan (masyarakat dan sebagainya), semangat persaudaraan. Masing-masing ada peranan atau tugas. Kerja dibuat ikut peranan masing-masing dan ikut keperluan kerana KITA saling melengkapi dan saling memerlukan. Walau sudah hampir hujung tahun, program tetaplah berjalan dan pabila hujan datang, pelan pun berubah dan keselamatan tetap jadi keutamaan.
         Hujan menumbuhkan cendawan. Kerja berpasukan menumbuhkan hasil yang  KITA inginkan, Insya-Allah. Maka, semangat kekitaan mesti sentiasa dibajai supaya terus tumbuh subur dan dapat kita nikmati hasil yang panjang.

Tuesday, November 10, 2026

Sajak — Sendiri

SENDIRI

Secawan kopi hangat
mengambil masa tuk
melihat dunia menyarat
muslihat dek yang bertingkah
secawan kopi tak pernah habis
lelah melarut pahit dan manis.


Nikmat kopi hangat
tuk renung tingkah sendiri.


11 NOVEMBER 2026

SUNGAI SOI


Friday, October 30, 2026

Senyum

Masa tak pernah ambil pusing tentang kita. Kitalah yang sering ambil pusing tentang masa, sering menjaga atau bermain  dengan masa, tak kira waktu siang atau waktu malam.
         Ralit dengan sesuatu, maka masa pun pantas berlalu bak kata Groucho Marx di dalam buku Mutiara Kata susunan Adi Alhadi, "Masa bergerak sepantas anak panah." Kata Samuel Smiles di dalam buku yang sama, "Barang siapa yang mempunyai banyak perkara untuk dilakukan dan dia  melakukannya, akan menemui paling banyak masa." Kadang-kadang, dalam masa satu hari — dari malam ke siang atau siang ke malam, banyak perkara yang kita fikirkan, banyak perkara yang kita temui dan banyak perkara yang kita lakukan dan kadang-kadang ada tragedi yang berlaku atau sedang menunggu. Yang  kita fikirkan, yang kita temui dan yang kita lakukan ada masanya saling berkaitan dan ada masanya  banyak yang di luar kotak pemikiran. Insan yang kita temui pun silih berganti dan pasti ada cerita tersendiri.
        Masa terus berjalan serta memberikan teladan untuk kita terus bangkit dan berjalan walau menempuh sejuta halangan demi impian atau sasaran. Impian atau sasaran yang jelas, pasti membuatkan kita lebih menghargai masa dan terus bersemangat. Masa terus berlalu dan kita masih boleh tersenyum, Alhamdulillah.


Saturday, October 24, 2026

Mungkin

Hari ini sudah Sabtu. Bunga liar kembali berkembang dan begitu jugalah kucing terbiar kembali bertandang.
     Bunga liar itu Ayah pasti tetapi kucing terbiar melilau Ayah tak pasti adakah benar-benar terbiar atau kucing itu memang abang kawasan yang datang menanda kawasan pada waktu-waktu tertentu dan balik ke rumah tuannya semula. Bukan setakat itu, selepas Maghrib pada satu malam, melangkah Ayah ke dapur, terkejut Ayah dibuatnya, ada satu makhluk gelap bermata hijau duduk merenung di muka jendela dapur. Kadang-kadang waktu malam balik, di atas pagar tempat duduk si makhluk gelap bermata hijau. Dalam masa yang sama, jerebu masih meliar. Isnin minggu depan anak-anak akan menghadapi UBBM, begitu juga Along. Diharapkan Allah SWT memberkati anak-anak - lancar berkomunikasi dan melontarkan jawapan yang tepat dan bernas. Diharapkan jerebu turut beransur pergi.
       Setiap hari kita akan berhadapan dengan sesuatu - mungkin mengejutkan dan ada juga perkara memerlukan kita untuk bertindak. Cuti boleh melarikan kita daripada rutin yang biasa dan mungkin boleh kita temui sesuatu yang luar biasa.

Friday, October 16, 2026

Sajak — Di Kandang Manusia Bebas

Nanti waktu kopi
detik gajah berlari
masa kecil ke mari
minit berubah jam
saat lenyap timbul
apung berkampung.
Gajah gigi panjang
di kandang
manusia bebas.


Kuantan

17 Oktober 2026


Monday, October 12, 2026

Sajak — Jerebu Liar Di Luar

Kopi o tinggal separuh
jerebu liar di luar
ke mari tak disuruh.
Kopi o tinggal separuh
jerebu liar di luar
sampai merebak geruh.
Kopi o tinggal separuh
jerebu liar di luar
jiwa kan tersentuh 
terlihat bodoh penuh.

Kuantan
13 Oktober 2026

Sunday, October 11, 2026

Ikut

Interaksi, aktiviti dan kenduri, itu perkara hari cuti  bersama dengan keluarga, rakan dan komuniti.
          "Ayah, ayam ayah beli kat mana?" Angah bertanya. Ayah menjawab, "Kat Shell." Angah gelak, muka macam tak percaya. Adik pun gelak sambil bergurau, "Ayam belanda." Ya, kadang-kadang ayah singgah di stesen minyak Shell untuk beli Ayam Bismi. Sebelumnya, kami  meredah jerebu ke walimatulurus, tahniah untuk Annawawi dan Atiqah, moga kekal bahagia ke sorga. Malam pun ada aktiviti untuk anak-anak menimba pengalaman untuk nampak gambaran masa depan. Pagi, masa untuk anak-anak mengasah bakat dan kata Angah kepada Adik dan Achik, "Ini masa untuk pecah rekod." Rekod sebelum ini tak ada yang pernah menang. Ayah pun tak ada pengalaman di gelanggang, cakap memang senang. Inilah masa mengutip pengalaman, bak kata bijaksana, "Percayalah pada proses atau percayalah pada usaha."  Proses atau usaha itu pula perlu  berterusan.
         Cuti boleh diisi dengan macam-macam, tidur atau  duduk saja pun boleh. Macam telefon, apabila bateri habis, perlu ambil masa berdiam untuk dicas dan akhirnya kembali penuh bertenaga untuk bekerja.  Nikmati cuti dengan keluarga, rakan dan komuniti ikut cara kita sendiri.


Kekitaan

Lepas hujan, kulat pun tumbuh. "Kulat taun," kata Opah. Hujan tak hujan, tetaplah kita  bekerja.  Ini semua tentang KITA (Karakter...