Translate

Tuesday, June 30, 2020

31

Hari terakhir setelah berkhidmat di SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah selama 31 tahun, inilah harinya,  30 Jun 2020.
     'Buat kerja sampai siap', itulah prinsip Cikgu Salasun Naim. Ke mana-mana pun jika membawa murid untuk acara sukan , jika disebut Semsas, banyak cikgu yang akan bertanya tentang Cikgu Salasun dan Cikgu Rohidah, mereka dikenali di Kuantan.Bola keranjang dan Cikgu Salasun berpisah tiada. Bekas pelajar pun akan bertanya tentang mereka jika disebut Semsas. Semsas menjadi latar dalam cerita Budak  Hostel, karya kartunis Ubi dan gelanggang bola keranjang yang menjadi salah satu latar dalam cerita tersebut menyimpan  kenangan yang begitu banyak.
    Semoga Cikgu Salasun sentiasa sihat, berkat umur dan dilimpahi rezeki, Insya-Allah. Selamat bersara Cikgu Salasun Naim.

Sunday, June 28, 2020

Angkat

Masih panas, kami mencari ruang untuk bergambar,kereta diparkir di bawah jambatan setelah disarankan kakak Ezzati.
     Dalam panas, langit memutih ditutupi awan. Banyak yang berhenti, beraksi untuk mencetak memori. Jika dahulu, datang ke Terengganu bagaikan tidak sah jika tidak menunggu penyu mendarat, sekarang tidak sah jika tidak ke jambatan angkat.     
       Berlatarbelakangkan Jambatan Angkat Kuala Terengganu, diterangi cahaya mentari, semuanya berkongsi memori. Tukang tangkap gambar utama, kakak Fatin menjalankan tugas rasmi. Panahan mentari, membuatkan kami cepat angkat kaki. 

Teruja

Selesai berziarah, kami bergerak menuju ke arah bandar. 
     Awan berarak, mendung pun berlalu, sering  didengar ayat yang begitu. Masih panas, kami meneruskan perjalanan kerana petang tidak menjanjikan cerah, di Kuantan sudah beberapa hari hujan petang. Datang ke sini, semua mahu ke tempat baharu, walau dalam norma baharu, ke mercu tanda baharu, pasti semua teruja. 
    Dari jauh sudah nampak tersergam gagah. Dipayungi langit membiru, awan memutih beraneka corak, indah dan hebatnya ciptaan Allah SWT. 

Rumah Kayu

Terengganu Darul Iman, itu destinasi kami.
   Singgah dahulu makan nasi lemak di Peramu, perut terisi, barulah bergerak. Melalui jalan menghala ke Teluk Cempedak, tidaklah terlalu sesak. Kali terakhir Ayah di Terengganu, awal Mac. Gegak di dalam perut kereta, Alhamdulillah di luar cerah menemani perjalanan. Langit membiru dan awan pun berarak-arakan. Ada satu peribahasa Melayu yang berbunyi 'elok arak di hari panas', maksudnya orang yang sukacita kalau beruntung, sebab maksud tercapai.
     Alhamdulillah, tercapailah hasrat kakak Izzati untuk bertemu emak saudaranya,  rumah kayu di tepi jalan besar hutan batu. Duduk di beranda kayu, teringat waktu dulu-dulu, seronok!


Thursday, June 25, 2020

Al-Fatihah

24 Jun 2020, Rabu, Alhamdulillah kembali ke sekolah, ini bukanlah kebiasaan baharu tetapi kembali ke sekolah dengan banyak norma baharu yang perlu dipatuhi.
     Dalam kegembiraan bertemu sahabat-sahabat dan anak- anak murid, kedukaan itu datang jua. Kami menerima perkhabaran, Cikgu Azuar, guru bahasa Jerman yang pernah bertugas di Semsas dijemput Ilahi. Kali terakhir Ayah, Umi dan anak-anak bersua dengannya sewaktu kenduri perkahwinan pak cik Ben di Bukit Sekilau. Tarikh ini pasti akan dikenang. Ayah juga menyerahkan senaskhah antologi 'Apa Lagi Yang Lebih Membahagiakan 3' kepada Yang Berusaha Encik Mazlan bin Sariyeo, Pengetua Semsas (Sekolah Menengah Sultan Haji Ahmad Shah), untuk perpustakaan sekolah.
      Sesungguhnya, apa lagi yang lebih membahagiakan, dapat bersama dengan ahli keluarga, teman-teman dan anak-anak murid. Bertemu kerana Allah SWT, berpisah pun kerana-Nya. Al-Fatihah untuk yang telah meninggalkan kita.

Tuesday, June 23, 2020

Pijak

Sudah agak lama tidak keluar ke bandar bersama-sama.
    Semalam Syawal terakhir, malamnya kami keluar setelah diajak Umi. Seperti yang diberitahu Umi, macam-macam dipesan Ayah. Risau, sekarang banyak norma baharu. Masuk ke dalam KCM (Kuantan City Mall), suhu disukat terlebih dahulu. Masing-masing berpelitup muka. Jangan berlari-lari, masing-masing berpegangan tangan. Jangan sentuh apa-apa seperti birai tangga bergerak dan dinding. 
     Pandang ke depan, berhenti dan tengok ke bawah, itu yang sepatutnya Ayah lakukan. Tekan guna hujung kasut, ada tempat pemijak untuk mengeluarkan pensanitasi tangan. Anak-anak Ayah lebih cekap, Ayah guna tangan.
    

Sunday, June 21, 2020

DAP

DAP sering membuatkan kita tidak keruan.
     Adakalanya kita saling membenci kerana DAP. Bukankah kata orang, benci itu tanda sayang? Ada juga istilah yang berbunyi 'marah-marah sayang'. DAP kadang-kadang membuatkan kita lupa untuk  bersyukur kerana berterusan memandang ke puncak, tidak mahu menunduk memandang ke lembah. DAP ada masanya membuatkan kita lupa, siapa kawan dan siapa lawan. DAP ada saatnya membuatkan  kita sangsi terhadap diri sendiri dan orang lain. DAP juga menyebabkan kita sering berkira-kira dan terus mengira-ngira tentang keputusan yang kita ambil dan keputusan yang kita terima kerana keputusannya mungkin menggembirakan dan keputusannya mungkin mengecewakan.
    Kakak Fatin pun DAP. Di alam permainan (DAP)  hujung minggu, Kakak Fatin muncul membawa nasi lemak, menyertai kami bermain Saidina, hiruk-pikuk dibuatnya, di alam permainan yang penuh debaran.

Terima Kasih

"Hari Bapa, hari ini ke?" tanya Ayah kepada Umi setelah Ayah tengok video yang dihantar Umi kepada Ayah dalam Telegram. Terima kasih Umi.
      Wilhelm Busch menyatakan bahawa menjadi bapa sangat mudah, melalui hidup sebagai bapa, itu yang susah (Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi). Jika kita bukan bapa, kita ada bapa. Dalam diri kita sebahagiannya ialah bapa kita. Kita sentiasa memerhati bapa kita sejak kita lahir. Dialah wira kita, yang berada di belakang kita sewaktu kali pertama kita memanjat tangga. Dialah wira kita, yang mengangkat kita untuk mengambil sesuatu di tempat tinggi. Dialah wira kita, yang menerkam ke arah pintu atau jalan tatkala kita meluru tanpa merasa ada apa-apa bahaya.
     Dialah wira kita, yang membuatkan kita merasa dunia ini  cukup luas dengan meminjamkan kedua-dua bahu dan batang tengkuk, di situ kita duduk dengan rasa selesa. Terima kasih Abah. Terima kasih Ayah.

Friday, June 19, 2020

Tunduk

Umi pun pergi sekolah juga, kena uruskan Bilik Rawatan dengan Cikgu Tim.
     Banyak perkara yang perlu diuruskan sebab banyak norma baharu. Norma  baharu merujuk kepada peraturan baharu yang perlu diikuti atau dipatuhi. Penjarakan sosial itu norma baharu atau peraturan baharu yang perlu kita amalkan. Kebiasaan baharu itu merujuk kepada tindakan kita atau tingkah laku kita disebabkan ada norma baharu. 'Murid itu menjarakkan diri sewaktu di dalam kelas' merujuk kepada tindakan yang diambil seseorang murid itu. Apabila ada norma baharu, akan ada kebiasaan baharu.
     Tundukkan sedikit kepala dan berikan dahi untuk diambil suhu jika anda terlalu tinggi, itu juga kebiasaan baharu.

Thursday, June 18, 2020

Sedia

Semalam, kami kembali sekolah.
   Persediaan kembali ke sekolah, guru-guru bersedia terlebih dahulu. Kelas perlu disediakan, di dalam satu kelas, paling banyak pun 20 orang murid. Penjarakan sosial masih berjalan untuk memutuskan rantaian Covid-19. Sampai di sekolah,  melangkah terus ke tempat yang diarahkan. Sehari sebelumnya, taklimat telah dijalankan secara maya, melalui Google Meet. Sudah lama tidak bertemu, bertemu sudah. Mata bertentang mata, lidah tidak kelu, letakkan tangan pada dada, tidak lagi bersalaman.
     Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing, kerja sama-sama, letih sama-sama, rehat sama-sama, Alhamdulillah.

Tuesday, June 16, 2020

Sepi

"Sepi je," kata Opah. Memanglah sepi, di dalam rumah sampai ke luar bermain, ditambah hiruk-pikuk apabila di rumah Opah.
      Sampai ke belakang rumah bermainnya, menengok kucing Atuk, ada yang tak berselipar pun. Nasib baik Atuk tidak menbela ayam, ayam melepas ikut suka. Letih bermain, bergaduh, letih bergaduh, bermain. Letih sangat, tiba-tiba senyap, sudah lelap rupa-rupanya.  Yang merangkak, dari ruang tamu sampailah ke dapur. Untuk lebih mencabar, merentas halangan di celah kerusi di bawah meja makan dan merangkak di bawah tempat menyeterika, barulah menuju ke dapur.
     Riuh-rendah menjadi sepi apabila semua melangkah balik. Memang terasa sangat, tiba-tiba banyak, kemudian tinggal berdua.

Monday, June 15, 2020

Pimpin Tangan

Lama tak berjumpa, berpimpin tangan, sudah pandai berkawan.
      Faham atau tidak percakapan masing-masing itu Ayah pun tak pasti sebab Adik ada kebiasaan baharu seperti abang-abangnya dahulu, huruf depan perkataan  ditukar huruf vokal 'i', susu yang disebut ''usu' sudah jadi 'isu'. Apabila sudah pandai berkawan, tidaklah kerap mencari Umi atau Ayah. Datang pun untuk melapor atau ada cerita yang ingin dikongsi. Semalam semuanya telah balik. Rumah Opah dan Atuk kembali sunyi.
     Kami balik hari Ahad. Kenderaan kembali banyak, konvoi motosikal kembali di jalanan, aksi 'Superman' seharusnya dielakkan,  kebiasaan lama yang harus ditinggalkan.
      

Saturday, June 13, 2020

Kumpul

Pagi ini disambut pula dengan pulut durian.
    Teringat waktu kecil, bangun pagi berlari cari durian, sekarang di rumah Opah sudah tidak ada pokok durian. Kuranglah satu nikmat jika tidak boleh bau durian atau tidak boleh menikmati atau makan durian. Peribahasa masak durian masak manggis pula bermaksud perempuan biasanya lebih teguh menyimpan rahsia daripada lelaki. Mungkin semua perempuan bersetuju dengan peribahasa ini, tak tahulah kalau ada yang tidak bersetuju.
      Menikmati durian beramai-ramai amat menyeronokkan, apatah lagi semuanya dapat berkumpul seperti di hari raya, Alhamdulillah.

Kendurian

Alhamdulillah, Pak Su dan Mak Su sampai petang semalam, Pak Ngah dan Mak Ngah lewat petang Jumaat.
       Pak Ngah dan Mak Ngah bawa balik durian Raub, Mak Su dan Pak Su bawa durian dari selatan. Buka kereta sahaja, baunya sudah menerjah lubang hidung. 'Kendurian' bermula, masing-masing tak sabar. Bau sahaja pun sudah memikat hati, apatah lagi rasanya. Mengopek durian, sebiji demi sebiji, pangsa demi pangsa dibuka. Seperti durian menunjukkan pangsanya, peribahasa Melayu ini bermaksud kelakuan dan percakapan seseorang itu menunjukkan baik atau jahat asalnya (perangainya).
        Kanak-kanak tetaplah kanak-kakak, tatkala makan berhenti sekejap bermain, kemudian sambung berlari.

Bertemu

Kembali bertemu, setelah berpisah pada 1 Syawal, masih lagi Syawal, 21 Syawal, 13 Jun.
       Opah masih tak menang tangan, banyak tempahan, kuih baulu, kuih peneram dan kuih karas. Ada kuih yang akan merentas negeri ke utara, Perlis, Ayah akan menghantar tempahan kuih karas ke Serambi Teruntum esok, Insya-Allah.  Gembira benar apabila Atuk membeli kerepek kentang, makan sama-sama. Petang masih mendung, sambil berbuai dan makan, menunggu Emir sampai.
     Ketupat pulut daun palas dan rendang ayam sudah siap, sepertinya satu Syawal. Sebelumnya, cucu-cucu  Opah sudah menikmati keenakan baulu panas yang baru keluar dari oven.
        
      

Friday, June 12, 2020

Payung

Entah mengapa Adik berminat sangat dengan payung, Ayah pun tidak pasti.
    Walaupun panas, dia hanya berada di beranda, bukan di tengah panas. Ayah mengikut sahaja kemahuannya, membuka payung. Umi menjenguk, dia pun memayungi. Pada masa sekarang, perkataan 'payung' sering digunakan untuk menunjukkan maksud kiasan. Maksud payung yang ketiga (kiasan) dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sesuatu yang melindungi, penaung, pelindung.
     Menjadi payung bererti sanggup menahan teriknya mentari, sanggup menahan lebatnya hujan, sanggup menahan kuatnya angin, silap langkah ditolak atau diterbangkan angin. Sekarang sudah hampir Maghrib, masih hujan.

Wednesday, June 10, 2020

Alhamdulillah

24 Jun 2020 sekolah dibuka, Alhamdulillah. Selamat kembali ke sekolah bagi yang bercuti, yang belajar dan yang mengajar di rumah.
      Tidak semua murid kembali ke sekolah, yang kembali hanya murid kelas  peperiksaan awam seperti SPM. Banyak perkara baharu akan menjadi kebiasaan baharu. Antaranya, menyukat suhu badan menjadi kebiasaan baharu, yang melebihi 37.5° Celsius atau bergejala tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah (Astro Awani, Fareez Azman, 10 Jun 2020). Sebelum ini, pemeriksaan suhu badan pun jarang-jarang sekali dibuat, sekarang jika keluar setiap hari, jika lima tempat ditujui seperti kedai dan pejabat, lima kalilah suhu akan disukat.
   Mungkin juga jadi kebiasaan baharu pada waktu ini, Ayah pun rasa sangat 'malas' untuk keluar, kecuali benar-benar perlu dan terdesak. Awak bagaimana?

Tuesday, June 9, 2020

Jilat

Semalam, Ayah menghantar borang kemasukan darjah satu. Umi mengisi borang secara dalam talian dan mencetaknya.
     Kena sertakan sampul surat beralamat sendiri, setem bernilai RM1.30. Dulu-dulu, setem dijilat sahaja dan lekatkannya pada sampul surat. Singgah di tempat kerja membeli setem, pak cik Amir ajak Ayah minum setelah selesai urusan. Di kedai Kak Yah, pak cik Amir menelefon pak cik Syafiq. Borak-borak tentang banyak perkara, isu kerja sudah pasti. Tulis nama, nombor telefon,  tempat tinggal dan menyukat suhu kebiasaan baharu. Penjarakan sosial mesti dipatuhi.
      Keadaan fizikal tak banyak berubah walau agak lama tidak bertemu, pemikiran dan cara kerja yang memerlukan perubahan dan penambahbaikan. Kita minum dulu.

Sunday, June 7, 2020

Rahmat

PKPB akan bertukar menjadi PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) bermula 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020.
     Hari ini, 8 Jun, sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Hari ini juga Hari Laut Sedunia. Diumumkan sahaja PKPP, dalam tempoh satu jam, hotel di Langkawi menerima seribu tempahan. Syurga beli-belah, di samping pulau-pulau yang mempunyai pantai yang cantik, sesiapa pun pasti tertarik. Banyak juga yang merancang untuk balik kampung dan lagu 'Balik Kampung' rancak diputarkan sana dan sini.
     Dalam bergembira, tetap ada garis panduan yang perlu diikuti. Alhamdulillah, diharapkan mentari terus bersinar dan hujan datang membawa rahmat.

Saturday, June 6, 2020

Senaman Tangan

Perhimpunan rasmi pagi Isnin di Semsas pada setiap minggu ada senaman tangan yang diajar abang Raja Shamri.
    Pastinya anak-anak Semsas mahir membuat senaman tangan yang diiringi muzik. Tangan kiri dan tangan bergerak pada masa yang sama tetapi melakukan perkara yang berbeza. Waktu yang masih ada ini, Ayah mengulang baca Satria Helang, cerita asal Jin Yong, penyelia Tony Wong. Walaupun nampak seperti sekadar hiburan, banyak falsafah dan peribahasa Cina di dalamnya. Untuk menguasai hikmat 'Cakar 72 Aksi Kosong' yang digubal Chou Po Tong, dia perlu berlatih dan mesti melukis  segi empat dan bulat pada masa yang sama.
    Ayah pun masih mencuba dan  belum dapat menguasainya seperti senaman tangan. Lepaskan sebentar telefon pintar pada tangan, ayuh mencabar diri melakukan senaman tangan yang baharu tanpa diiringi muzik!

Friday, June 5, 2020

Sampai

Dua hari lepas, Khamis, 4 Jun, Aidil pun sudah balik ke rumahnya diambil Baba.
    Malam tadi, Pak Su Udin dan Mak Su sampai di rumah Wan dan Atuk dari Kelantan, selepas ini mahu balik ke selatan. Along, Angah dan Achik bermain-main dengan kembar, Umair dan Umairah. Adik cuba membiasakan diri, maklumlah dia tidak ada adik, penuh mainan pada tangannya. Tangga, Umairah cukup suka. Umair pantang nampak pagar. Pagi, Pak Ngah, Mak Ngah dan  anak-anak sampai. Bertambah meriah.
     Sambil duduk di atas tangga, membaca  di portal  berita Astro Awani, angka kematian global angkara Covid-19 melepasi  393,000 kes. Amerika Syarikat mendahului senarai kematian tertinggi, 108, 000 kes.

Wednesday, June 3, 2020

Tahniah

Alhamdulillah, pagi yang indah.
     Tahniah kepada semua lepasan SPM 2019,  yang bakal menyambung pengajian dan yang telah nampak hala tuju atau yang sedang mengejar matlamat yang diingini. Ada yang mendapat seperti yang diidamkan, ada yang tidak seperti diharapkan. Jalan itu ada banyak, ada yang lurus dan ada yang bersimpang-siur. Buatlah keputusan ke tempat yang mahu ditujui. Selepas SPM, Ayah hanya ada satu jalan yang Ayah nampak, tidak dapat masuk ke universiti, Ayah tetap mahu sambung belajar. Apabila Ayah di tingkatan 6, Ayah tidak mahu 'terjun lubang' lagi sekali. Walaupun banyak kawan Ayah di kelas Prinsip Akaun, Ayah 'lari' ke kelas Ekonomi, buat apa masih lakukan sesuatu yang tidak diminati jika ada pilihan lain.
       Jalan itu tetap ada, jika tidak mahu ikut jalan yang ada, buat atau cipta jalan sendiri, itu selalu yang orang kata. Tahniah kepada yang mendapat keputusan, tahniah kepada yang berani membuat keputusan. Hidup Berjasa, itu yang kita mahukan. Ayah mahu minum dulu.

Tuesday, June 2, 2020

Bijak

 Pagi ini, teh hijau, selalunya Ayah minum kopi.
      Pagi-pagi sudah main masak-masak, Ayah membantunya meraikan tetamu pagi ini, seekor T-Rex, Doraemon, Pikachu, Jerry kawan Tom dan ada yang lain. Ayah tinggalkannya di bilik, Umi pula membantu Adik melayani tetamunya. Sambil meneguk teh hijau, Ayah membaca, Ayah jumpa dalam portal berita Sinar Harian (17 April 2019, ditulis Azimah Ghazali), artikel yang bertajuk '1001 Manfaat Teh Hijau'. Perunding Kesihatan D' Jue Wellnes, Dr. Siti Juariah  Kusni menyatakan bahawa teh hijau antara minuman berkhasiat di dunia ini.     
      Mahu jadi lebih bijak? Teh hijau dapat perbaiki fungsi otak. Kombinasi kafein yang rendah dengan L-theanine dapat meningkatkan fungsi otak. Menikmati pembacaan sambil menikmati teh hijau 'Ahmad Tea', kombinasi yang menarik.

Makbul

Baru mahu mulakan rutin baharu sebelum kembali dipanggil bekerja, sempat semalam berjalan selama lebih kurang 20 minit, hari ini diserang cirit-birit.
     Mata pun mengantuk, beberapa kali baru rasa sedap tidur, perut memaksa untuk bangkit. Akhirnya, adik pun bangkit juga tidur. Angah meminta roti bakar yang disapu dengan planta. Along hendak roti canai, roti canai sejuk beku dihantar kakak Fatin  semalam, dipesan Umi. Ayah teralit, tidaklah rentung, masih boleh dimakan. Tidak lama kemudian, Adik datang, tunjuk basah pada seluarnya, ayah tengok dia tidak pakai lampin pakai buang. Macam mana Ayah boleh lupa memakaikan  lampin pakai buang pada dia selepas dia mandi tadi.
     Niat Umi untuk mengemop termakbul. Ayah yang kurang rajin mengemop  terpaksa mengemop satu ruang tamu sebab Ayah tidak tahu tempat bermulanya Adik yang kebasahan.

Protes

Petang semalam Along merujuk buku 'Box!' (Noel Macneal) setelah ada dua kotak besar kosong yang ditinggalkan Umi.
     Peti televisyen dihasilkannya bersama dengan adik-adik. Belajar jadi pembaca berita terkini, hanya seorang yang muat masuk ke dalamnya dan bersambung pula bermainnya pagi ini. Di negara Uncle Sam, presidennya, Donald Trump telah mengerahkan tentera bagi membendung protes yang bertukar menjadi ganas di seluruh negara itu, berikutan kematian George Floyd. Di negara kita pula agak hangat dengan isu pemandu mabuk.
     Ayah pula hampir sepuluh kali berulang alik ke tandas kerana cirit-birit. Ayah menikmati teh hijau yang agak 'keras' sedikit rasanya sambil melayari portal berita Astro Awani. Alhamdulillah, perut semakin lega.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...