Translate

Friday, June 30, 2017

Indah

Kadang-kadang hidup tidak datang seperti yang kita mahukan.
     Hidup seperti yang kita mahukan mungkin akan melalaikan kita atau memusnahkan kita dalam diam.
     Hidup seperti yang kita tidak mahukan mungkin akan menjadikan kita kuat dan tabah dalam mengharung ombak masalah walaupun masalah  itu amat menyakitkan kita.
     Hidup ini bukanlah mudah kerana masalah sentiasa akan datang tanpa dijemput tetapi tindakan kita terhadap masalah yang datang akan menentukan hidup kita pada masa hadapan.
    Jika kita mahukan keindahan dalam setiap dugaan atau musibah yang datang, sentiasalah ingat Allah dan sentiasalah bergantung kepada Allah, Insya-Allah.
     Bersama-samalah  kita mendoakan agar Allah memberi jalan yang terbaik untuk kita, ibu bapa kita serta orang lain.

Thursday, June 29, 2017

Alam

Kuih raya antara penyeri hari raya. Kuih raya tradisional jika diteliti, seperti juga pantun, banyak menggunakan unsur alam dari segi nama atau bentuknya.
     Ayah dan adik-adik akan menolong opah membuat buah rotan dan kuih siput. Kuih loyang juga ada yang memanggil kuih bunga ros kerana bentuknya. Bahulu juga ada yang berbentuk ikan. Ayah memerhati kuih putu, ada bentuknya seperti ayam bapak.
      Itulah antara keunikan kuih raya tradisional dan belum lagi bercerita tentang  rasanya kerana rasanya juga seribu satu rasa.
      

Wednesday, June 28, 2017

Setem

                    Yang jauh berkirim salam
             Yang dekat berkunjung-kunjungan

Sekarang, yang kecil sehingga yang besar menggunakan medium seperti 'Facebook', 'Whatsapp' dan 'Wechat' untuk berhubung dengan cepat di musim perayaan dan pada setiap hari.
         Ayah dulu, banyak menghabiskan masa menulis surat. Apakah keunikan menulis surat? Salah satunya ialah setem diperlukan untuk mengepos surat. Setem mempunyai maklumat yang bernilai seperti menggambarkan kegiatan ekonomi sesebuah negara atau negeri, terdapat gambar pemimpin, gambar-gambar haiwan atau tumbuhan, gambar seni budaya, gambar perayaan kaum-kaum dan peristiwa penting yang berlaku.
            Kami juga dapat mengenali negeri di Malaysia dan negara luar melalui pemerhatian terhadap setem selain daripada membaca surat khabar atau majalah.
           Selamat hari raya.

Tuesday, June 27, 2017

Lebaran

Ada yang sudah bekerja, ada yang masih beraya, ada yang belum bercuti dan ada juga yang baru beraya.
     Ada yang sudah lama tidak bertemu, ada yang bertemu pertama kali, ada yang baru bertegur sapa walau berkali-kali bertukar senyuman dan lebaran ini menjalinkan silaturahim.
      Ada yang selalu tak sependapat, ada yang  selalu bertengkar dan bertelagah, ada yang kerap kali bermasam muka dan mencuka, ada yang terluka dalam diam dan dalam terang, kini pintu kemaafan kembali terbuka.
       Salam lebaran.

Meriah

Sama ada orang datang rumah kita atau kita pergi rumah orang, beraya tetap meriah.
      Anak-anak pula bukan boleh duduk lama, setengah jam sudah dikira lama. Asyik bertanya atau mengatakan sudah penat. Beraya di kampung, masih ada anak-anak yang datang beraya. Ada yang berkumpulan dan juga yang berseorangan. Sesi temu ramah akan berlaku. "Hang anak siapa? Hang cucu siapa?"  antara soalan wajib yang akan ditanya.
      Ada yang disuruh balik ke rumah terus setelah diberi duit raya kerana datangnya seorang diri dan jantinanya, perempuan.

Monday, June 26, 2017

Syukur

Warna-warni di Aidilfitri bukan sahaja dari segi berpakaian tetapi angpau juga berwarna-warni.
     Dulu-dulu, zaman ayah kecil, duit raya yang banyak diberi sepuluh sen atau dua puluh sen. Ada masa tak dapat pun. Kadang-kadang ada 50 sen dan jarang-jarang duit seringgit. Dapat  lima puluh sen pun sudah heboh dekat budak-budak lain.
      Macam yang pernah diberitahu ayah, opah dan atuk dah pesan siap-siap. Pergi beraya bukan tujuan utama untuk dapat duit raya. Tak dapat jangan mengata. Dapat sikit pun patut bersyukur. Pergi beraya untuk bermaaf-maafan kerana mungkin kadang-kadang kita pernah mengata orang tanpa kita sedar.
         Satu kampung kami pusing dan kadang-kadang atuk datang naik motor cari  kami kerana lambat sangat balik.

Sunday, June 25, 2017

Letupan

Letupan  berlaku di sana sini. Letupan dimaknakan mengikut pengalaman dan kepercayaan masing-masing.
     Letupan di sini sejak Ramadan lagi mungkin bagi segelintir orang dilambangkan dengan keseronokan atau kegembiraan. Malam tadi angah  pula lari masuk ke dalam rumah kerana takut mendengar bunyi mercun.
      Bunyi letupan di Palestin pula  lain maknanya bagi masyarakat dan anak-anak Palestin walaupun anak-anak kecil nampak seperti gembira bermain pada waktu-waktu tertentu.
      Oleh itu, letupan itu mungkin menghiburkan bagi sesetengah dan mungkin juga trauma bagi sesetengah orang.
       Selamat berhari raya dan bersama-sama menjaga keselamatan keluarga.

Peluang

Alhamdulillah, masih menemui Syawal.
     Satu peluang untuk beraya dengan sanak saudara. Satu peluang untuk merasai makanan yang pelbagai. Satu peluang merapatkan ukhuwah. Satu peluang bermaaf-maafan.
      Yang paling gembira anak-anak, walau jarang bertemu sepupu-sepupu atau yang lain, tetap bermain dan beraya bersama-sama tanpa sebarang prejudis.
        Salam Aidilfitri.

Saturday, June 24, 2017

Aidilfitri

                    Aidilfitri hari raya,
           Ampun maaf salah dan silap,
             Marilah kita pergi beraya,
          Memandu kereta jangan terlelap.

Nikmat

Hari ini ada bau yang macam-macam. Pagi-pagi lagi sudah bau baulu baru keluar dari ketuhar.
      Asap ada di mana-mana. Asap lemang di kiri kanan jalan.Tambah-tambah lagi, di bazar Ramadan, macam-macam bau ada dan masih dipenuhi orang.
        Alhamdulillah, kita masih dapat mengecap nikmat kerana di negara luar pelbagai tragedi yang berlaku.  Quetta, Pakistan (Sinar Harian) dicemari bau darah kerana 11 terbunuh. Seramai 20 yang lain cedera dalam satu letupan kuat berhampiran pejabat ketua polis.
       Walaupun berlainan pendapat, marilah bersama-sama kita menjaga nikmat yang sedang kita kecap dan nikmat keamanan ini, Insya-Allah.
        Bau rendang ayam sudah memanggil-manggil.
     

Friday, June 23, 2017

Lelap

Ramadan semakin ke penghujung, yang bercuti mula banyak menghabiskan masa dalam kenderaan masing untuk perjalanan jauh ataupun dekat.
    Ismaweb.net ( Gua Musang, 28 Ramadan 1438H, Jumaat) melaporkan bahawa Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kelantan menganggarkan lebih sejuta kenderaan akan memasuki negeri ini berikutan kepulangan perantau sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini.
     Keadaan sesak pasti berlaku dan pemandu perlu cukup rehat untuk mengelakkan daripada terlelap sewaktu memandu. Mengantuk atau terlelap bukan sahaja berlaku kepada pemandu, malahan adik yang sedang bermain pun boleh terlelap dalam keadaan separuh berdiri.
      Semoga semua sampai dengan selamat ke tempat yang dituju, Insya-Allah.

Zakat

Menjelang Syawal, kenderaan di jalan pun bersusun-susun. Di kiri kanan jalan, tumbuh banyak gerai menjual lemang.
     Orang beratur di ATM pun panjang.  Begitu juga di bazar dan pasar raya, berasak-asak orang. Dalam masa yang sama,  jangan kita lupa bersedekah untuk  orang yang lebih memerlukan.
      Yang paling penting, zakat fitrah jangan dilupa.

Thursday, June 22, 2017

12 Malam

Bulan Ramadan macam-macam yang berubah. Waktu pasar raya beroperasi pun berubah. Pasar raya Giant  pun tutup pukul 12 malam apabila menghampiri 1 Syawal.
     Orang boleh tahan ramai. Adik sekarang cukup pantas. Kami perlu memerhatikannya sentiasa. Abang-abangnya pun perlu pantas kerana adik berlarinya lebih banyak daripada berjalan.
      Tempat yang agak lama anak-anak berhenti ialah tempat permainan. Di tempat inilah bermacam ragam anak-anak kecil. Ada yang merengek, ada yang mengambil dua tiga permainan dan ada yang menyentuh semua permainan yang ada.
        'Dahaga' dan 'lapar' bermain di mulut angah. Adik mengambil sepaket air yogurt dan begitu juga angah. Akhirnya, ayah menukarkannya dengan air yogurt botol besar kerana selalu ayah tengok airnya masih tidak habis, diambil pula botol kecil yogurt yang lain.
        Di dalam kereta, angah mahu air yogurt kerana benar-benar  dahaga dan umi pun  dahaga sama. Akhirnya, kami singgah di 7 - 11 untuk mendapatkan air.

Wednesday, June 21, 2017

Doa

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui laman sesawangnya secara infografik menyatakan bahawa harga runcit petrol masing-masing turun tujuh sen iaitu RON95  kepada RM1.91 seliter manakala RON97 kepada RM2.17 seliter bagi tempoh 22 hingga 28 Jun ini.
       Banyak orang sudah pulang ke ke kampung. Harga minyak turun, hampir semua orang gembira. Kata bijaksana, perjalanan yang jauh bermula dengan satu langkah. Dalam keghairahan pulang beraya, ada juga yang tidak bercuti kerana menjalankan tugas-tugas bagi memudahkan urusan orang-orang yang bercuti.
        Oleh itu, kita seharusnya berterima kasih kepada insan-insan dan rakan-rakan yang tidak bercuti dan doakan yang terbaik untuk mereka.

Tuesday, June 20, 2017

Besi

Selagi tenaga belum habis, selagi itu aktiviti berjalan.
     Menanti waktu tidur, terlalu banyak perkara yang akan berlaku. Adik sekarang suka mencampak, memunggah atau membaling barang. Satu rumah abang-abang berlari kerana dia mengejar abang-abang sambil menghayunkan penyangkut baju di tangan.
      Penyangkut baju zaman dulu besi tetapi  kebanyakan penyangkut baju sekarang plastik. Jika terkena libasan, sudah tentu berbirat.

Cuti

Nampaknya anak-anak tidak bersabar untuk bercuti. Masuk sahaja ke dalam perut kereta,  angah pun berkata,"Satu hari je lagi kan ke sekolah." Ayah mengangguk.
      Cuti memang dinantikan, apatah lagi cuti raya dan dapat beraya di kampung. Bagi yang masih mempunyai ibu bapa, Alhamdulillah. Bagi yang sudah tiada, ternyata satu kehilangan besar. Hidup ini penuh dengan ujian, apa-apa pun perlu kita laluinya.
        Selamat bercuti dan berhati-hati di jalan raya.

Saturday, June 17, 2017

Abah

Ayah tak pernah jemu bermain dengan kita.     
         Waktu kita kecil, macam-macam kita lakukan dengan ayah. Didukung dan 'dikokkong' itu tidak terhitung banyaknya. Itu tidak termasuk duduk di atas bahu ayah atau batang tengkuk ayah.
       Ayah juga yang berulang-ulang kali bercakap perkara yang sama kerana kita mengulangi soalan yang sama seperti mana iklan raya Petronas yang menunjukkan ayah, anak dan burung murai.
     Ayahlah yang cukup bersabar merangkak membawa kita berpusing di tengah ruang tamu.  Ayah juga tempat kita gigit melepaskan geram ketika belum reti bahasa.
      Terlalu banyak jasa ayah. Selamat Hari Bapa buat semua ayah. Selamat Hari Bapa  Abah.

Mahkota

Sudah dua tiga kali along bertanya tentang mahkota yang diletak ayah di meja kerja ayah.
    Sebelum sampai rumah, ayah bawa along pergi DIY untuk membeli peralatan membuat mahkota raja. Waktu malam, kami rujuk internet, cari gambar mahkota.
      Along menolong ayah menyiapkan mahkotanya. Apabila sudah siap, dia mengambil selimut untuk menutup badannya. Selimut warna merah tidak ada, yang ada hanya warna kelabu.
         Abang berlari mendapatkan angah yang sedang tidur apabila mendengar angah menyebut 'abang' untuk menunjukkan mahkotanya yang sudah siap.
         Rupa-rupanya angah bercakap semasa tidur.

Friday, June 16, 2017

Gurau

Along selalu cakap,"Ayah ni suka berguraulah." Ayah memang suka mengusik.
    "Bergurau pun tak boleh ke?," kata along apabila melihat ayah tidak memberi respon terhadap perkara yang dikatakannya.
      Bergurau  perlu ada dalam kehidupan. Bergurau menceriakan suasana dan dapat mengurangkan ketegangan setelah seharian bekerja atau belajar bagi anak-anak.
      Kuda pun pandai 'bergurau' dengan ayah.

Thursday, June 15, 2017

Kesabaran

Kesabaran yang paling penting apabila bersama dengan anak-anak. Hal inilah yang agak sukar untuk dipertahankan apabila berurusan dengan anak-anak.
      Kadang-kadang mereka bertelagah kerana saling berebut untuk bercerita kepada ayah dan emak. Ada masanya mereka berebut tempat duduk depan di sebelah pemandu. Ada kalanya mereka bergaduh pasal perkara yang tidak logik bagi kita seorang dewasa.
     Yang paling penting, kita sentiasa perlu berdoa supaya diberikan kesabaran kerana kita berurusan dengan anak-anak kecil yang masih memerlukan banyak bimbingan dan perhatian
    Banyak masa kita bertanya, kenapa sikap mereka begitu dan begini? Sebenarnya  sebahagian besar daripada sikap mereka sama ada kita sedar atau tidak,  mereka belajar daripada kita dari segi percakapan mahupun tindakan kita terhadap sesuatu perkara.
     "Wahai Tuhan kami, berikan kepada kami kesabaran yang banyak dan matikan kami dalam agama Islam."

Tuesday, June 13, 2017

Sabar

Sudah lama ayah tidak dengar ayat 'tak nak mandi' pada waktu pagi. Hari semalam bermula sekolah. Ayah terpaksa menangkap angah.
     Dia tidak sempat mengeluarkan ayat yang agak kerap  digunakannya. Mungkin dia selalu dengar muallimahnya mengucapkannya. Ayat yang dia selalu guna dalam bahasa Arab. 'As sobru minal iman' yang bermaksud sabar separuh atau sebahagian daripada iman.
     Ayah juga  tidak sempat bersabar  pagi ini kerana jika ayah tidak menangkapnya, sudah tentu  kami lambat ke sekolah.

Monday, June 12, 2017

Toyu

Sejak ayah kecil lagi apabila makan nasi, rasa tak lengkap kalau tak kicap. Ada yang memanggil toyu.
     Kicap yang popular dahulu sudah tentu Kicap Tiga Ayam keluaran syarikat SM Nor. Sewaktu ayah darjah lima, ayah pernah mengikuti rombongan sekolah ke kilang kicap ini di Perak. Kami juga melawat Taman Tasik SM Noor di Batu Gajah.
      Bukan sahaja apabila makan nasi, sewaktu makan laksa 'Penang' pun ayah akan memasukkan kicap.
     Apa rasanya? Cubalah.

Saturday, June 10, 2017

Cakap

Alam haiwan semestinya tak dapat dipisahkan dengan kita.
      Ayah selalunya bercakap dengan kucing. Walaupun ayah tahu kucing tak faham cakap ayah, kadang-kadang ayah tanya juga kepada kucing jika tidak nampak kawan-kawannya yang lain. Kucing pun mungkin dah ingat pesanan yang selalu dicakap ayah, "Pergi berak jauh-jauh, aku dah bagi engkau makan."
      Opah pun selalu bercakap dengan semut yang merata dan melata di dinding atau di lantai tidak mengira masa. Begitu juga umi pagi ini yang bercakap dengan semut. Semut-semut suka menghurung pada muncung tempat air masak keluar.

Friday, June 9, 2017

Idea

Apabila mahu menulis atau melukis, persoalan utama yang berlegar-legar tentulah idea. Tanyalah  kepada siapa-siapa pun, idea itu ada di sekeliling kita dan ada pada kita.          
      Sementara ayah menanti bateri telefon penuh, ayah membelek buku-buku  yang tersusun di rak. Ayah mengambil majalah kartun arwah Pak Jab, Raja Kartun Malaysia.
        Ayah memetik kata-kata Mansasar dalam Geromal, siri Gila-Gila produksi dengan Rejabhad di muka surat 3 yang berbunyi:
         "Yalah, idea bukan turun dari langit. Bukannya idea tu tahi bintang atau tahi burung. Idea tu adalah catatan pengalaman. Kalau cetek pengalaman, ceteklah pemikiran, lalu kuranglah idea."

Moreh

Apakah yang menarik bagi kanak-kanak tentang waktu malam di bulan Ramadan?
     Yang pertama, waktu ayah kecil, apabila atuk ajak bertarawih, sudah tentu dapat jumpa kawan-kawan. Atuk dah pesan awal-awal, tak boleh main-main. Kami membonceng motor honda c70 lampu petak ke surau kayu.
      Kadang-kadang, tengah solat, ada sahaja kawan yang akan kacau. Ada masa, ayah yang kacau orang. Sesekali atuk menjeling ke belakang, nak pastikan solat atau bermain.
      Kemudian, paling tak sabar tunggu moreh. Makanan ada macam-macam sebab masing-masing bawa makanan dari rumah. Masing-masing duduk bersila. Air kopi atau teh dalam cerek besi dituang di dalam cawan.
       Bunyi mercun kedengaran. Ada juga yang main kejar-kejar. Orang tua mengopi,  mengeteh dan bergebang sambil menjamah kuih-muih serta macam-macam lagi.

Thursday, June 8, 2017

Meletup

Buah ini banyaknya pada bulan Ramadan. Warnanya hijau dan tidak bertangkai.  Pada bulan puasa, buah ini banyak dijual.
       Itulah buah melaka atau dipanggil onde-onde. Dalam Wikipedia Bahasa Melayu menyatakan bahawa di Brunei kuih ini dipanggil
'kuih pancit' dan di Indonesia pula disebut 'klepon'.
      Saat yang paling disukai ayah apabila buah melaka meletup di dalam mulut dan air gula melimpah di dalam mulut.

Dinding

Berita yang disiarkan  pada Khamis, 23 Jun 2016 ini dibaca ayah dalam laman web Harian Metro.
         Di Kuala Lumpur, seorang pelukis grafiti warga Belanda ditahan kerana menceroboh dan cuba merosakkan tren di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Chan Sow Lin di sini, awal pagi semalam.
         Di rumah kami pula,  dinding ada macam-macam contengan. Tidak cukup kertas, dinding menjadi satu daya tarikan untuk anak-anak berkarya. Pantang lepa, jika jumpa pensel atau pen, tetapi tidak jumpa kertas, maka dindinglah tempat yang paling sesuai.
        Mungkin bagi anak-anak, dinding yang kosong ialah satu pembaziran sebagaimana juga yang dilihat oleh penggiat grafiti, dinding bukan sekadar dinding tetapi menjadi satu medium untuk menyampaikan sesuatu perkara.

Wednesday, June 7, 2017

Bayar

Semalam kali pertama ayah membawa along dan angah pergi bazar Ramadan. Orang cukup ramai.
   Semua juadah nampak menyelerakan .  Martabak sahaja pun sudah ada empat lima tuan yang menjualnya. Harga pun berbeza mengikut besar kecil serta kandungan di dalamnya. Ada yang RM 4 dan ada RM 5. Ada juga harga lain. Ayah menggunakan duit di dalam poket ayah.
    Along menyatakan bahawa dia mahu menggunakan duit yang diberi umi kepadanya.
Ayah menyuruhnya membayar. Dia tersengih gembira.
       Selalunya bayar sendiri di kantin sekolah sahaja. Kali ini belajar membeli dan membayar di bazar Ramadan.
    

Hitam

Cerita opah, masa ayah kecil, ayah suka naik kuda beroda di rumah jiran nenek.
     Pada satu hari, arwah wan (datuk dipanggil wan) membeli dan membawa balik kuda hitam. Ayah tidak mahu naik kuda hitam kerana takut. Akhirnya, wan terpaksa memulangkan balik kuda tersebut  ke kedai.
    Lain pula dengan adik, dia memakai selipar kanan di kaki kiri dan selipar kiri di kaki kanan, seterusnya menaiki kuda merah dengan gembiranya. Sebelum dia naik, dia menggosok-gosok muka kuda.
"Uda, " sebutnya.

Tuesday, June 6, 2017

Rindu

Rindu. "Rindu nak main robot," kata angah.
"Mesti ayah pun rindu nak main  robot ayah," kata angah lagi.
     Sampai sahaja di rumah, robot-robotnya memang sudah ada di atas meja. Maka dilepaskan rindunya itu dengan bermain robot. Bukanlah lama pun dia bermain. Sahur ini baru ayah dapat kenal pasti yang dirindui ayah tatkala melihat kopi yang dibancuh umi ada di atas meja.
       Rindu itu ada banyak. Ada orang rindu pabila berjauhan. Pabila dekat bagai anjing dengan kucing. Ada orang rindu kepada yang telah pergi, pabila di depan mata dihargai dan dipeduli.
         Rindu yang paling agung tentulah kepada Allah swt.
     

Monday, June 5, 2017

'Tray'

Salah satu perkara yang diingati ayah tentang berbuka ialah ayah belajar makan nasi sewaktu berbuka di asrama.
     Berbuka di kampung, juadah  berbuka kebiasaannya kuih-muih dan makanan-makanan lain selain daripada nasi berserta lauk-pauk. Apabila makan nasi, dirasakan terlalu kenyang dan juadah nasi memang sesuai dengan pelajar asrama yang selalu rasa lapar.
      Seperti biasa, makanan diisi di dalam 'tray' dan selesai makan, 'tray' dibasuh sendiri dan dibawa balik ke bilik. Tempat simpan  'tray' yang paling selamat adalah di dalam lokar yang dikunci. Yang paling penting, pastikan kunci tidak disimpan di atas lokar, di bawah bantal atau di bawah tilam atau di tempat yang mudah temui.
       Jangan pula lupa tempat kunci disimpan. Yang ini selalu terjadi kepada ayah.

Sunday, June 4, 2017

Tabuh

Kata-kata yang biasa didengari, penantian satu penyeksaan. Sementara menanti berbuka, ayah membaca Berita Harian Ahad (4 Jun 2017).
       Artikel Tradisi Unik Ramadan yang disusun oleh  Suzan Ahmad dibaca. Di negara Brunei Darussalam, tembakan meriam dilepaskan diikuti laungan azan sebagai tanda masuk waktu berbuka atau 'sungkai'.
       Di kampung ayah pula,  pada satu ketika, paluan beduk atau tabuh berulang kali sebaik sahaja masuk waktu berbuka dan diikuti azan. Ayah cukup suka dengan lagu Raihan yang ini.
               
       tabuh berbunyi gemparkan alam sunyi
               berkumandang suara azan
                 mendayu memecah sepi
                 selang seli sahutan ayam
      

Saturday, June 3, 2017

Capai

Nampaknya Juventus kempunan  menjadi juara Liga Juara-Juara pada kali ini. Kali terakhir menjuarai Liga-Liga Juara sejak 21 tahun lalu ( Harian Metro, 3 Jun 2016).
        Read Madrid berada di kemuncak lagi dengan kemenangan bergaya 4-1 dan mengulangi pencapaian musim lepas. Kemenangan ini hadiah untuk mereka dan Zinedine Zidane yang baru   bergelar  ketua jurulatih selama 17 bulan (Harian Metro, 3 Jun 2016). 

       Mengekalkan sesuatu kejayaan bukanlah sesuatu yang mudah tetapi tidak mustahil untuk dicapai. Apakah yang mahu  kita capai pada hari ini?

Legenda

Ayah sebaya dengan Valentino Rossi. Dia yang merupakan juara tujuh kali disahkan cergas untuk berlumba di Mugello.
       Gianluigi Buffon pula tua setahun daripada ayah.  Iker Casillas menyatakan bahawa Buffon berhak menjulang Liga Juara-Juara sekurang-kurangnya sekali sebelum bersara.
        "Keupayaannya langsung tidak mencerminkan usianya yang sebenar. Penjaga gol yang lebih muda daripadanya patut berasa malu dengannya. Gianluigi boleh dianggap sebagai legenda yang masih hidup," kata Andrea Pirlo.
          Kita tidak pernah tahu potensi kita yang sebenar selagi kita tidak mencuba atau mencabar diri kita melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan penuh keghairahan.

Friday, June 2, 2017

Langit

Malam tadi ayah tengok dokumentari 'Home' di Astro. Ceritanya tentang sebuah keluarga yang tinggal di Tasik Inle, Myanmar.
        Mereka tinggal di sebuah rumah buluh beratapkan daun seperti daun nipah di dalam kawasan tasik. Salah satu bilik telah dimasuki air. Sampan pengangkutan utama mereka. Dia tinggal di rumah mentuanya bersama isteri serta dua orang anaknya. Sembilan orang tinggal di rumah itu.
        Mereka menanam tomato di sekitar tasik dan menjualnya di pasar. Sewaktu dokumentari ditayangkan, mereka  hanya mampu membeli dua batang buluh hasil daripada jualan tomato untuk membaiki rumah kerana harga tomato tidak begitu baik. Mereka benar-benar bekerja keras.
         Ada masanya, isteri serta anak kecil mengayuh perahu ke kampung sekitar tasik untuk menemui kawan serta mengecas bateri kerana tiada sumber elektrik. Dia singgah di rumah kayu untuk berjumpa rakannya.
        Si suami cukup suka dengan pemandangan tasik dan pada musim tertentu sang camar berterbangan.  Antara impian mereka adalah memiliki rumah kayu bagi menggantikan rumah buluh.
           Kata Soekarno,"Gantungkan cita-citamu setinggi langit! Bermimpilah setinggi langit! Jika engkau jatuh, engkau akan jatuh di antara bintang-bintang!"

Thursday, June 1, 2017

Sama-Sama

       '1860 Munich relegated to 3rd division
                       amid fan  trouble'

                   'THE ASSOCIATED PRESS
                    MAY 30, 2017 4:31 PM'

Ini tajuk berita yang dirujuk ayah dalam 'www.nydailynews.com'  tentang Kelab Bola Sepak 1860 Munich di Jerman.
        Berlainan pula situasinya bagi Kelab Bolasepak Huddersfield Town. Huddersfield Town kembali ke liga utama bola sepak Inggeris buat kali pertama dalam tempoh 45 tahun selepas menang menerusi penentuan penalti ke atas Reading  pada 'play-off' Liga Kejuaraan di Wembley. Ayah membaca kembali Harian Metro bertarikh 31 Mei 2017.
         Ayah teringat satu peribahasa Afrika yang berbunyi 'If you want to go fast, go alone. If you want to go far, go together'.
        
       

Puntung

Macam yang pernah diberitahu ayah, adik cukup gemar menyusup dan  merangkak di bawah meja apabila ke kedai makan.
      Satu hari, agak lama dia berada di bawah meja,  ayah membongkokkan badan dan nampak dia sedang memasukkan puntung rokok yang dikutipnya ke dalam mulut.
        Menurut artikel yang ditulis Shuhada Mansor, dianggarkan 50 orang terjebak dengan merokok pada setiap hari. Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, kira-kira 100,000 rakyat Malaysia  mati setiap tahun disebabkan penyakit yang berkaitan tabiat ini. Kematian ini tidak termasuk individu yang mati kerana terdedah dengan asap rokok atau digelar 'environmental tobacco smoke' (ETS).
         Setelah ayah membelek Harian Metro  hari ini, barulah ayah tahu  bahawa setiap tahun pada 31 Mei, dunia  menyambut dan meraikan 'Hari Tanpa Rokok'.
       

Mengapakah Masih?

 Kauseperti langsung tak cuba untuk mengerti sedangkan lama sudah kauberjanji memilih diam di tanah suci. Mengapakah  masih  kaunyalaka...