Translate

Saturday, February 26, 2022

Temu

Apabila bertemu di Padang Temu dan bermalam, membarbeku salah satu aktiviti mengenyangkan. Menghadap Sekolah Kebangsaan Padang Temu, di Jalan Hj. Mahmod, di sini kami berkumpul.
       Apabila semuanya ada, pastilah meriah, meriah dengan orang, meriah dengan barbeku. Ada yang membakar, ada yang dibakar, berasap, Alhamdulillah. Lama tak berkumpul semua, inilah masa yang dinanti. Yang anak-anak dengan anak-anak, yang dewasa dengan dewasa, tentu banyak aktivitinya, tentu  banyak ceritanya sambil menghadap kolam, duduk menikmati hidangan. Bunyi air jatuh ditambah dengan riuh, menghidupkan malam bertamu. Petangnya dihidupkan dengan main air dan main bola di dalam kolam, naik apabila sudah kecut dan sudah lapar.
       Bertamu dan bertemu, itu salah satu perkara yang amat berharga dalam hidup dan menghidupkan kehidupan. Bertamu dan bertemu salah satu kunci kebahagiaan andai niatnya kerana Allah SWT untuk mengeratkan ukhuwah.
        

Wednesday, February 23, 2022

Disayangi

Hujan tak henti-henti, kami yang berhenti singgah untuk sarapan, perut perlu diisi sebelum divaksin.
       Giliran Angah dan Achik pula, Umi, Ayah dan Along  selesai divaksin. Selesai bersarapan, hujan masih rancak dan perjalanan diteruskan. Sampai, Alhamdulillah masih ada parkir yang kosong. Anggota Rela setia bertugas melancarkan lalu lintas. Meredah basah dan lecah berpayung, sudah agak banyak yang awal tiba. Mendaftar di kaunter, dapat dapat nombor, duduk dan tunggu nombor dipanggil. Setelah nombor dipanggil, menunggu dan dipanggil sekali lagi. Ditanya tentang keadaan kesihatan dan diberikan maklumat yang berkaitan setelah divaksin, maka tibalah saat yang mendebarkan untuk dipanggil sekali lagi.
       Rezeki sihat anugerah yang tak ternilai. Musibah yang tak diundang memerlukan ikhtiar untuk menanganinya. Akhirnya, serahkan segala kepada-Nya kerana ujian itu tandanya kita disayangi.

Tuesday, February 22, 2022

Istimewa

Selasa, 22 Februari 2022 (22222 secara ringkasnya atau 22022022), tarikh yang cukup cantik, Alhamdulillah.   Dalam masa yang sama, tarikh turut  menyimpan suka dan duka.
       Umi pun mula ke sekolah, Along hanya seorang ke sekolah (minggu terakhirnya di sekolah rendah) dan Ayah ke sekolah yang lain untuk urusan rasmi. Banyak perkara yang perlu diselesaikan, tentang borang-borang, Umi yang banyak tolong. Begitu cepat masa  dirasakan berlalu. Masa tak pernah peduli akan kita, kita  yang harus peduli akan masa. Omicron nampaknya juga semakin sibuk, kitalah yang kena sentiasa sedar dan mengingati antara satu dengan yang lain sebagai ikhtiar, Insya-Allah.
        Secantik mana pun sususan angka yang membentuk tarikh, tentulah perlu diisi dengan sesuatu yang istimewa seperti angka yang terbentuk selagi bernafas. Sesuatu yang istimewa yang tak perlukan pengiktirafan orang lain, cukuplah diri sendiri yang merasakan istimewa kerana kita memang sering tak sependapat.

Friday, February 18, 2022

Istimewa

Jumaat, 18 Februari 2022, kami kehilangan seorang lagi warga di sini. Dr. Nizam terus mengayuh lebih jauh, terus terbang lebih tinggi, moga terus sukses, Insya-Allah.
        Meninggalkan jasa di bumi Semsas, tetap dekat di hati kami walau ini hari terakhirnya. Cintanya kepada ilmu membawanya ke merata-rata tempat, begitu juga dalam menyampaikan ilmu dan berkongsi ilmu. Cintanya kepada ilmu seharusnya menjadi ikutan, ke Belanda sampainya demi mendekati ilmu. Susah payahnya menuntut ilmu itu harus menjadi inspirasi buat kita yang sentiasa laparkan ilmu.
        Bercinta dengan ilmu ialah cinta yang teristimewa. Cinta akan ilmu menemukan kita dan memisahkan kita, namun ukhuwah tetap terjalin selagi hayat ada, Insya-Allah.

Monday, February 14, 2022

Kotak

Kadang-kadang bukan nak  'makan berat' pun, nak ambil angin luar, keluar dari kotak, 'kepala berat' sudah rasa ringan apabila satu-satu kerja telah selesai.
        "Orked Cafe," kata Umi. "Nak Umi bawa," ini trend Adik buat masa sekarang. Orkid atau nama lainnya  Anggerik, Shah Alam kan Bandar Anggerik. Umi nak rasa sandwic, Ayah nak cuba kopi. Alhamdulillah, ada tempat kosong. Musim, keladi, banyak juga pokok keladi. Pilih, pesan, kemudian duduk dan tunggu. Umi memilih air ikut warna kegemaran Adik. Memerhati dekorasi, itu salah satu perkara sementara menanti pesanan sampai. Hitam atau putih selalu menjadi pilihan untuk warna latar.
          Selesai kerja, akan ada kerja yang lain. Kerja sememangnya tak akan selesai, selesai satu datang lagi satu. Selagi mana kita  merasa  seronok membuat kerja, Insya-Allah, kerja itu tak akan menjejaskan kita. Rasa lelah? Keluar dari kotak sebentar!

Friday, February 11, 2022

Ada

Lepas Zuhur 21 Disember 2021, menghampiri pukul dua petang, kami sudah di Komplek Makanan Medan Renong Padang Kota.
        Banyak orang, ditambah dengan hujan, pergerakan tidaklah selancar yang diharapkan. Alhamdulillah, hujan tetap membawa rezeki, ada juga tempat kosong. Hujan, mulalah perut lapar kembali walau sudah dijamu di rumah Tok Mami dan arwah Tok Mamu. Beratur di kedai Hussain Penang Famous untuk menapau pasembur, ralit dan rambang mata mahu memilih bahan yang bersusun-susun untuk dipotong dan disatukan menjadi pasembur.
Di sebelahnya kedai Sabina Makanan Laut, sotong kangkung dan kerang bakar  dipesan. Acara makan bermula, anak-anak gembira benar mengopek kerang bakar.
          Adanya lapar, adanya kenyang, adanya basah, adanya kering, begitulah juga yang lain, itulah kehidupan yang kita nikmati. Itulah yang akan membuatkan kita untuk terus bersyukur dengan nikmat-Nya.

Monday, February 7, 2022

Pukau

Kuukir namamu
di awang Gunung Jerai,
disaksikan laut,
daun nyiur melambai,
jauh pandangan permai
di situ Tanjung Dawai,
terkenang peristiwa
cinta kita terurai.
Oh, indahnya,
peristiwa, cinta kita di Pantai Merdeka!

    Begitulah sedikit petikan lagu Cinta Pantai Merdeka, nyanyian kumpulan Jinbara. Kerap kali mendengar lagunya, akhirnya sampai ke tempat yang diabadikan dalam lagu. Pantai Merdeka itulah tujuannya, Alhamdulillah, 21 Disember 2021, menjejakkan kaki ke sini. Duduk mengambil angin, melihat bot-bot yang membawa penumpang   dan memerhati anak-anak yang melayani ombak petang, Adik pula lena di ribaan dibelai bayu.
     Begitulah, alam sentiasa memberi dan menjadi inspirasi kepada kita. Yang Maha Esa mengilhamkan melalui kejadian-kejadian-Nya yang memukau kita. Maka, lahirlah kata-kata puitis yang seharusnya dapat mendekatkan kita dengan Al-Khaliq.

Wednesday, February 2, 2022

Angka

Hari ini 2 Januari 2022 (222022). Sudah 20 tahun sejak 2 Januari 2002 (222002). Angka yang menarik. Malam ini pun sudah 1 Rejab.
         Apakah yang ada pada angka? 'Hari Ini Dalam Sejarah' tak akan lengkap tanpa tarikh yang ada angka. Setiap angka yang membentuk tarikh, mempunyai ceritanya. Hari ini, tercapai hajat Opah ke Pesta Ekspo Orkid dan Flora, sehingga 6 Februari di Dataran Temerloh, dulu padang memanah. Keladi yang menjadi trend, kelengkapan diri, karpet pelbagai corak, makanan bersup dan buah-buahan pun ada. Berhampiran Dataran Temerloh, yang mahu menikmati kelazatan Anak Dol Pizza, Piza Kayu Api Jerantut, inilah masanya, begitu juga Mokti's Ice Cream Gula Apong yang sensasi perlu dirasai.
          Angka dapat menyedarkan kita supaya menghargai masa yang kita ada untuk diri kita dan untuk orang yang kita sayangi di sekeliling kita. Syukur itu hanya untuk-Nya yang mengirimkan angka-angka untuk kita renungkan kebesaran-Nya bersama-sama.



Tuesday, February 1, 2022

Hidup Berjasa

 1 Februari 2022 menamatkan tugas sebagai seorang pendidik dan Jumaat lepas, 28 Januari 2022, hari terakhir Puan Hasmawati binti Abu Bakar bertugas di Semsas. Selamat Bersara Cikgu!
      31 tahun 31 hari, itu perjalanan yang sangat panjang berbakti untuk anak bangsa tanah air tercinta. Perjalanan menjadi murid di sini dan kemudiannya berkhidmat di sini tentunya satu pengalaman yang tak dikecap semua orang. Mengajarkan ilmu ialah satu perkara yang amat bermakna. Kata Diogenes Laertius, "Pada suatu ketika Aristotle pernah ditanya," Bagaimanakah besarnya perbezaan antara orang yang berilmu dan yang tidak berilmu?" Dia menjawab, " Bezanya seperti orang hidup dengan orang yang mati." 
       Cikgu sentiasa dalam ingatan kita, sedikit atau banyak, cikgu memberi pengaruh terhadap pembentukan diri. Mengajar dapat memberi kehidupan kepada yang hidup. Cikgu tetaplah cikgu walau sudah bersara. Hidup Berjasa!

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...