Translate

Saturday, November 30, 2019

Lalui

Kami sampai awal. 9.18 pagi kami sudah sampai di klinik.   Klinik akan dibuka pada 9.30 pagi.
    Hujan sudah reda. Trafik nampaknya berjalan lancar. Restoran Amir Zayyan masih belum banyak pengunjung. Kedai pun masih banyak yang belum buka, hari Ahad, permulaan Disember. Dua ekor merpati melompat menuruni anak tangga mencari makanan.
Tepat 9.30 pagi klinik dibuka. Kami berempat melangkah masuk. Angah tidak duduk diam seperti biasa. Along duduk di sebelah ayah, entah apa-apa yang difikirkannya. Kad pengenalan dipulangkan, angah dan along diminta memakai kain pelikat.
    Jam menunjukkan 9.41 pagi, nama Along dipanggil, Angah bersemangat, dia masuk dahulu. Banyak perkara yang perlu kita lalui untuk menjadi dewasa dan lebih matang.

Friday, November 29, 2019

Virus

Alhamdulillah, Umi berjaya menganjurkan program senam robik, dibantu rakan dan anak muridnya pada hari semalam. Sebagai seorang guru atau pemimpin, guru atau pemimpin yang bagaimana mahu kita jadi?
      Tidak jemu menonton 3 Idiots. Watak Virus pasti akan terus diingati. Lihat reaksinya apabila anak muridnya bertanya atau memberi pandangan. Adakah dia mahu mendengar pendapat anak muridnya atau sekadar mendengar serta mahu jawapan yang keluar itu sama dalam fikirannya, seperti yang difikirkannya? Dilihat dari satu sudut, dia mahu anak murid menjadi sepertinya, semalam anaknya meninggal dunia, hari ini dia sudah bekerja seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.
       Sebagai guru atau pemimpin, tidak perlulah menjadi Virus yang seterusnya. Kita sudah  dapat belajar sesuatu daripada Virus. Terima kasih Virus.

Wednesday, November 27, 2019

Berlabuh

Mungkin Angah yang paling letih antara kami semua. Seliparnya terjatuh tiga hingga empat kali sewaktu kami mengayuh basikal.
    Pada mulanya, kami menunggunya, kemudian kami mengayuh meninggalkannya. Dia mengejar kami diiringi gelak tawa semua. Kami berjalan ke Laman Teruntum semula. Alhamdulillah, kami menemui surau. Sebelumnya, ayah sudah menghidu bau kopi. Selepas itu, ayah memesan Americano sambil menghadap Menara Teruntum yang bercahaya pada waktu malam  tetapi masih belum dibuka untuk pengunjung. Tidak pernah pula ayah berjumpa Malaysiano.
    Senja berlabuh, menikmati kopi sebentar, berlatarbelakangkan Menara Teruntum, anak-anak yang tidak duduk diam tatkala mengambil gambar, harus dinikmati saat-saat ini.

Asyik

Dua hari lepas, ada temu duga murid tingkatan 1 tahun 2020  kuota Pengetua. Umi macam biasa, jaga pelajar SPM.
     Balik ke rumah, Along beritahu Umi bahawa sudah lama tidak ke Taman Teruntum.  Ayah dan umi bertanya untuk kepastian, "Taman Teruntum atau Laman Teruntum?" Setelah mendengar, sebenarnya yang dimaksudkan Along ialah Laman Teruntum. Kami tidak pernah berjoging di sini. Kereta diparkir di tepi Laman Teruntum. Arah main buih sabun, kemudian kami berjalan di trek di sepanjang Sungai Kuantan sehingga sampai ke kawasan arca besi berhampiran taman permainan yang menghadap HTAA. Kemudian, kami menyewa dan mengayuh basikal yang memuatkan kami berenam sambil dibelai angin Sungai Kuantan.
    Selesai mengayuh, kami asyik menyaksikan panorama senja Sungai Kuantan dan helang yang melayah pulang ke sarang.

Tuesday, November 26, 2019

Pergi

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud memprovokasi yang pertama ialah membangkitkan kemarahan.           
      Salah satu tujuan provokasi adalah untuk melihat reaksi pihak tertentu dalam menangani provokasi yang dicetuskan. Apabila timbul tindak balas, sering kali  pihak yang mencetuskan provokasi cuba mewujudkan simpati atau mengingatkan pihak yang memberi tindak balas agar tidak menjadikan isu yang ditimbulkan sebagai satu isu besar kerana isu tersebut tidak disengajakan. Mereka pula cuba mengajar pihak yang memberi tindakan supaya mengikut persepsi yang dicipta mereka kononnya itu satu kesilapan yang tidak disengajakan.
      Provokasi menimbulkan kesan buruk. Keamanan yang dinikmati selama ini tidak seharusnya dimusnahkan oleh provokasi. Jika tidak suka Malaysia, pergi ke tempat lain.

Sunday, November 24, 2019

Planet

Umi dari planet Venus, ayah dari planet Marikh.
    Begitulah yang dikatakan John Gray, lelaki dari planet Marikh dan perempuan dari planet Venus. Memanglah berbeza, umi suka makanan Barat, ayah lebih suka makanan kampung, tetapi durian kegemaran kami, terutamanya Umi. Umi suka kentang goreng, ayah pula suka kentang putar. Apabila Umi suruh ayah membeli anak ayam kampung, ayah pergi membeli anak ayam mutiara (api-api). Umi suka menggunakan pengering pakaian, ayah lebih suka sidai pakaian di bawah cahaya matahari walaupun ayah tahu jika pakaian dikeringkan, ayah boleh melakukan kerja yang lain pada masa yang sama.
    Walaupun Marikh dan Venus berbeza, bukanlah bermaksud tidak ada langsung garis pertemuan. Berbeza itu maksudnya saling melengkapi antara satu dengan  yang lain.

Pejuang

Ayah tidak pasti waktu bila kakak Fatin muncul dalam hidup Umi.
    Yang ayah tahu,  kakak Fatin muncul setelah tingkatan 5, sebelum ini ayah tidak tahu dia tinggal di planet mana. Sewaktu ayah tingkatan lima ayah bukanlah pemimpin sepertinya, ayah lebih banyak dikelilingi buku di perpustakaan. Ayah tidak mengenal 'Instagram' atau 'Boomerang' sepertinya kerana pada zaman itu, tidak ada telefon bimbit, yang ada hanyalah pondok telefon awam, beratur menunggu giliran. Di sekolah sudah ada bilik komputer, tetapi komputer tidak secanggih hari ini.  Kakak Fatin akan menghadapi peperiksaan SPM yang tinggal lagi seminggu, Umi pula bertugas sebagai pengawas peperiksaan SPM.
      Teruskan perjuangan bagi yang menghadapi peperiksaan SPM. Setiap daripada kita ialah pejuang dalam hidup ini. Pejuang tidak sesekali pernah mengalah dalam kehidupan.

Saturday, November 23, 2019

Pupus

Ayah membaca Berita Harian pagi ini. Semalam (23 November 2019), badak sumbu Sumatera betina terakhir (Iman) sudah mati. Kita perlu menerimanya. Tidak ada lagi badak sumbu Sumatera di Malaysia.
    Pupus, itulah yang berlaku. Pupus itu melibatkan kita semua yang dikurniakan akal. Kita berkongsi bumi dengan flora dan fauna. Kita yang berakal menjadi khalifah dan menguruskan segala-galanya. Hilang pertimbangan, maka alam ini akan terganggu dan ekosistem terjejas kerana ketamakan dan hilang perikemanusiaan.
    'Kepupusan' adab, 'kepupusan' sikap yang baik akan memberikan kesan kepada semua yang ada di dalam perut bumi. Ya, kitalah puncanya. Kita perlu mengubah perangai kita sebelum segala-galanya musnah.

    

Gema

Alhamdulillah, selesai sudah Konsert Gema Ekspresi Jasa Winds ke-2 2019. Tahniah untuk semua Warga Semsas.
      Tahniah anak-anak Jasa Winds di bawah bimbingan Puan Zanariah Azhar dan Puan Nidzra Radzwan. Begitu juga anak-anak yang menjayakan 'Lighting Dance' di bawah bimbingan Puan Nadzirah Abd Rashid dan Puan Ainey Suraya Zainal Rahim. Latihan telah dijalankan begitu lama. Ayah dapat melihat kesungguhan anak-anak berlatih di belakang pentas, menggunakan alat tiupan yang pelbagai. Ada masanya bersendiri, ada masanya berkumpulan. Kebiasaan ayah berada di belakang pentas juga, melihat anak-anak yang menghafal skrip dengan cara tersendiri untuk persembahan teater.
     Kegigihan dan kesungguhan sahabat rapat kita. Kegigihan dan kesungguhan akan membawa kita ke mana-mana sahaja yang kita mahukan. Percayalah! Insya-Allah.

Pincang

Hari ini umi membawa Angah dan Along ke sekolah. Adik dan Achik pula duduk rumah kakak Fatin. Ayah ke RTM.
     Angah dan Along kena naik pentas. Suhu badan Umi pula tiba-tiba naik. Ayah memang kena naik pentas lebih awal, tetapi di balik tabir sahaja, di tepi pentas  untuk memastikan orang yang 'betul' masuk ke pentas membuat persembahan mengikut giliran yang ditetapkan.
     Tidak kiralah di mana-mana pun posisi kita, di pentas utama, di hadapan pentas, di belakang pentas, di tepi pentas, di tempat penonton, di luar auditorium atau di luar dewan, di tempat utama, di tempat biasa, kita saling memerlukan antara satu sama lain. Jika tidak, pincanglah bagai irama tanpa lagu.

Tuesday, November 19, 2019

Sengsara

Matlamat lebih jelas dengan adanya cita-citanya.
     Waktu zaman sekolah rendah, ayah mahu jadi Cikgu. Waktu zaman sebelum sekolah, ayah mahu jadi pemandu lori balak. Apabila di sekolah menengah, ayah  seperti meraba-raba di dalam gelap. Pada mulanya, ayah mahu jadi kartunis sebab suka melukis kartun, akhirnya tidak berani mengambil mata pelajaran seni lukis sebab tidak pandai mewarna. Disebabkan ayah 'main' tulis sahaja cita-cita ayah, iaitu akauntan, maka ayah dimasukkan ke kelas akaun.   Dua tahun yang dirasakan begitu lama dan begitu sengsara, itu bukanlah minat dan kecenderungan ayah yang sebenar.
     Memilih jurusan yang kita minati membuatkan kita seronok untuk belajar. Memilih untuk mengikut kawan semata-mata bukan berdasarkan minat atau kerana dipaksa membuatkan kita begitu terseksa.

Monday, November 18, 2019

Ketentuan-Nya

Semua orang mahu berjaya.
     Kita akan bergembira jika kita berjaya atau mencapai kemenangan. Apabila sudah berjaya, kita tidak boleh rasa selesa. Suatu ketika ayah cukup terpukau dengan deejay dan mahu ke ITM (masa itu belum dinaik taraf menjadi Uitm) untuk mengambil jurusan Diploma Komunikasi Massa. Sewaktu percubaan SPM, ayah mendapat kredit dalam bahasa Inggeris, sangat gembira. Sewaktu peperiksaan sebenar SPM, keputusan mengecewakan ayah, ayah tidak mendapat kredit. Allah SWT lebih tahu segalanya. Akhirnya, Ayah jadi Cikgu, bukan setakat deejay, semua ayah boleh jadi.
      Ingatlah bahawa kejayaan itu bukanlah semudah anak-anak tidur di dalam kelas. Kejayaan itu banyak datangnya setelah mengharungi kegagalan, kepayahan dan kesengsaraan.

Sunday, November 17, 2019

Al-Fatihah

Daripada Allah SWT kita datang, kepada Allah kita kembali. Al-Fatihah, Ibu kepada Mak Su Zyma telah meninggalkan kita hari ini.
     Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, begitulah peribahasa Melayu. Dugaan datang silih berganti menguji kita walaupun sangat pahit untuk diterima. Dugaan  datang bukan untuk memusnahkan kita tetapi sebenarnya untuk  menguatkan kita lagi. Jika kita masih ada usia, kita masih boleh membetulkannya. Jika tidak, kita masih ada masa untuk berdoa agar segalanya dipermudah dan dilapangkan segalanya oleh Allah SWT. Kita boleh berdoa untuk yang hidup dan juga yang telah meninggalkan kita.
     Al-Fatihah untuk semua yang telah meninggalkan kita. Sama-samalah kita berdoa agar semua ditempatkan di tempat yang terbaik oleh Allah SWT.

Usia

Sebelum balik, kami  singgah di rumah Mak Su Zima melawat ayahnya. Ibunya masih di Unit Rawatan Rapi, sama-samalah  kita mendoakan kesihatannya.
     Kemudian, bergerak meninggalkan Tangkak. Sebelum sampai Rompin, Negeri Sembilan, kami singgah makan. Angah jumpa lauk kegemarannya, ikan kering. Singgah di Rompin, di kedai baju, angah menyatakan kepada Opah bahawa yang pertama sudah selesai. Opah tidak faham. Yang pertama sudah selesai, dia sudah makan nasi dengan ikan kering sempena hari lahirnya. Ya, yang kedua, Opah belanja pula baju Spiderman dan beg sekolah untuknya. Setelah menghantar Opah dan Atuk, berjumpa nenek dan Tok Chik, kami bergerak. Yang ketiga, sampai di Kuantan, Umi belanja Angah makan kek.
      Meningkat usia, bertambah tanggungjawab dan diuji gelombang kehidupan.


 

Saturday, November 16, 2019

Doa

Kami bukan di Tanjung Piai malam ini, kami di Tangkak. Rudy Habibie sedang ditayangkan di TV2. Sudah masuk hari yang dinantikan Angah.
      Pagi tadi kami bertolak, malam sebelum pagi tadi, kami menerima berita dukacita, bapa mentua dan ibu mentua Pak Su Apit ditimpa musibah, kemalangan jalan raya, dilanggar. Kami singgah di kampung mengambil Opah dan Atuk. Sampai di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Alhamdulillah, sempat kami bertemu dengan ayah Mak Su Zyma yang baru keluar hospital. Ibu Mak Su Zyma berada di Unit Rawatan Rapi.   
     Bukanlah mudah untuk menerima perkara sebegini, mengejutkan. Doa dipohon agar semuanya baik-baik belaka. Doa dipohon agar yang ditimpa ujian kembali sihat seperti sedia kala, marilah kita berdoa untuk kesihatan semua bersama-sama.

Thursday, November 14, 2019

Tidak Lama

Al-Fatihah, semalam ayah ke Sungai Tekam, Mak Long meninggal dunia.
     Hari ini setelah ayah membuka 'Facebook', Cikgu Fazlin, kawan sekolah ayah dulu juga telah meninggalkan kita. Kita juga  akan ke sana, cuma tidak tahu masanya. Gelak tawa senda gurau semua akan menjadi kenangan suatu masa nanti bagi kita semua. Masa yang kita ada inilah untuk kita isi dengan bersilaturahim. Seharusnya dalam hidup ini kita menyenangkan hati semua orang kerana begitu menyakitkan apabila bermasam muka, pasti mengganggu perasaan kita.
    Bersilaturahim selagi kita mampu kerana hidup ini tidaklah lama dan nikmatilah hidup ini bersama dengan keluarga dan rakan taulan.


Tuesday, November 12, 2019

Kembar

Tempoh hari sewaktu ayah bawa Along pergi ke pertandingan catur, ayah jumpa kawan ayah.
      Sudah lama tidak bertemu, dulu duduk di asrama yang sama. Dia juga Cikgu. Sudah lama ayah kenal dia, dia mungkin tidak kenal ayah sebab ayah muda setahun daripadanya. Apabila duduk di asrama, kami mula mengenali. Kadang-kadang, apabila waktu keluar ke bandar, kami semua akan keluar ke bandar Ikan Patin (Temerloh). Di sini dulu,  pasar raya yang terkenal ialah pasar raya Pelangi (sekarang sudah tidak ada lagi). Ada yang balik yang bercerita, dia terjumpa kawan ayah tetapi dia tidak peramah seperti sewaktu di sekolah. Tidak semua orang tahu, Cikgu Ahmad ada kembar seiras.
      Di asrama tempat kita mengenali kawan-kawan dan mengenal erti persahabatan. Suatu masa, pergi ke mana-mana pun tidak menjadi masalah, kerana kawan kita ada di mana-mana.

Saturday, November 9, 2019

Tujuh

Semalam Maulidur Rasul. Petang semalam, ayah ada 'hi tea'. Malam semalam umi ada jamuan.
     Pagi ini kami berpecah, Umi bawa Adik ke program kepimpinan, Achik dan Angah ikut Ayah bawa Along pertandingan catur. Kali pertama Along bertanding. Tujuh kali perlawanan setiap orang, patutlah dari pagi sampai petang. Semua pasukan bentang tikar, selepas satu pusingan berehat dan kembali berlawan catur. Angah dan Achik pun bermain catur dibantu kakak-kakak di tepi dewan. Apabila buah caturnya 'dimakan' Angah, Achik mula meragam, itu tandanya dia sudah letih. Ya, ini masa yang paling  sesuai untuk Umi datang, bawa mereka balik.
     Pengalaman bertanding bagus untuk kita semua. Kalah dan menang perasaannya tentu tidak sama. Dapat kawan baharu, dapat pengalaman baharu itu yang akan mendewasakan kita.

Friday, November 8, 2019

Andaian

Sering menemui kekurangan, kesalahan, kesilapan dan sesuatu yang tidak kena atau mencurigakan tidaklah bererti kita gagal atau seorang yang teruk dalam kerja atau hidup kita. Hal ini sebenarnya bermaksud kita sedang menjalankan tugas dan menemui sesuatu untuk dibetulkan walaupun melukakan hati sendiri dan orang lain. Persepsi kita terhadap diri sendiri bahawa kita gagal atau seorang yang teruk harus dihindarkan jika sudah menjalankan tanggungjawab dengan sebaik-baik mungkin kecuali kita benar-benar mengabaikan amanah yang diberikan.
     Persepsi orang lain bahawa kita seorang yang teruk atau gagal pula hanya satu andaian jika mereka langsung tidak mengenali dan rapat dengan kita kerana hari ini ramai mengaku bijak pandai di media sosial sedangkan permulaan kata mereka pun dimulakan dengan kata cacian.


Isnin

Esok 12 Rabiulawal, hari kelahiran Nabi Muhammad SAW.
     Dalam Biografi Lengkap Rasulullah s.a.w, Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki (Karya Asal: Tarikh al-Hawadits wa al-Ahwal an-Nabawiyyah), terjemahan dan kemas kini oleh Ustaz Muhadir Haji Joll, terbitan Galeri Ilmu (2014), Ibnu Abbas berkata,"Rasulullah SAW dilahirkan pada hari Isnin, diangkat menjadi Nabi pada hari Isnin, berhijrah dari Makkah ke Madinah pada hari Isnin dan mengangkat Hajarul Aswad pada hari Isnin."
     Isnin mungkin sering dikaitkan dengan 'monday blues', tetapi sebenarnya banyak peristiwa yang hebat berlaku pada hari Isnin jika kita menekuni kisah Rasulullah SAW. Isnin seharusnya menjadi hari yang hebat untuk kita, Insya-Allah. Salam Maulidur Rasul.

     

Tuesday, November 5, 2019

Kenang

Selesai sudah peperiksaan Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia.
      Hujan pun sudah reda dan mungkin akan datang kembali. Mengharapkan sesuatu itu kembali adakalanya sesuatu yang tidak pasti. Ya, kami mengharapkan Oren kembali, kembali menerjah masuk ke muka pintu, kembali seperti biasa. Betullah kata orang tua-tua, sewaktu ada adakalanya seperti tidak dihargai, sesudah kehilangan, rindu mula menyapa dan terkenang-kenang, mengharapkan saat itu berpusing kembali. Ya, tetap masih keanak-anakan seperti mula-mula hadir di muka pintu.
     Kali terakhir ayah mahu membeli makanan untuk teman berbulu sebelum tidak nampak kelibatnya sehingga saat ini,  kata Angah, "Ayah beli makanan untuk kita, jangan pentingkan diri kita saja, beli juga makanan untuk Oren!"


Monday, November 4, 2019

Gesel

Sudah dua hari Oren tidak nampak muka. Semalam ayah borak dengan jiran sebelah, kucingnya juga hilang.
       Biasanya, buka muka pintu, mukanya sudah ada. Umi cakap  musim mengawan, mungkin ikut jantan. Kalau buka pintu, mesti meluru masuk ke rumah, masuk ke dalam bilik, menyondol-nyondol, menggesel-gesel. Minggu lepas, ayah panggil umi suruh tengok, Oren ada dalam kereta, entah bila masuk, ada di dalam kereta yang berkunci. Minggu lepas juga, buka sahaja pintu waktu balik kerja, Oren keluar dari dalam rumah. Kalau ayah duduk di kerusi luar, Oren akan melompat naik, menggesel-gesel dan suka benar digosok-gosok kepala dan di bawah dagu.
      😭Rasa kehilangan, walau kadang-kadang rasa rimas, buka pintu dia masuk, buka tingkap pun dia melompat masuk. Kejap-kejap, datang menggesel. Kucing teman baik kita semua.


Saturday, November 2, 2019

Pahit

Pagi ini, ayah membancuh kopi, tidak tahu apa rasanya. Ada  yang tidak suka kopinya manis, mahu rasa ada pahit. Serbuk kopi kampung  cap Adik dan Abang, Opah beli sewaktu menghantar Tok Teh balik ke Sungai Petani tempoh hari.
       Kedah tewas, JDT menjulang Piala Malaysia 2019. England tewas, Afrika Selatan menjadi Juara Piala Dunia Ragbi. Tidak ada orang mahu yang pahit, semua orang mahu yang manis. Bukanlah mudah menerima kekalahan atau kegagalan, namun asalkan kekalahan atau kegagalan itu kita ambil sebagai satu pelajaran, teladan dan pengajaran, Insya-Allah kita mampu bangkit kembali.
     Untuk sampai ke satu tempat yang tinggi, sudah tentulah banyak pahit manisnya. Sudah hampir sampai pun, kadang-kadang tersungkur. Selagi ada nyawa, selagi ada cinta dan cita, walau tersungkur, pasti bangkit kembali!

Friday, November 1, 2019

Bonceng

Naik basikal memang seronok, apatah lagi membonceng di tempat duduk belakang.
    Petang semalam, ayah ajak Along dan Angah pusing taman. Lama juga tidak mengayuh. Taman perumahan baharu sudah siap, ada yang sudah diduduki, akan makin bertambah kenderaan. Paya sudah bertukar menjadi taman perumahan. Pagi ini, umi membawa angah dan along ke kelas tae kwan do. Ayah, Achik dan Adik, main di depan rumah sahaja. Adik membonceng di belakang ayah, Achik mengayuh basikal roda empatnya. Apabila sudah seronok, disuruh ayah mengayuh jika ayah berhenti, apabila berhenti,  tidak mahu turun. Sudah diturunkan secara paksa, mahu naik lagi sebab seronok.
     Keseronokan membuatkan kita tidak mahu berhenti. Jika kita seronok, tidak perlu disuruh, malah marah apabila disuruh berhenti. Rajin pun makin bertambah.


Mengapakah Masih?

 Kauseperti langsung tak cuba untuk mengerti sedangkan lama sudah kauberjanji memilih diam di tanah suci. Mengapakah  masih  kaunyalaka...