Translate

Friday, March 24, 2023

Bak Zuhrah Di Samping Bulan

Aku mahu sering menatap
merah seluruh bujur sirih wajahmu tika diusik,
aku mahu menikmati seluruh gembira
di matamu tatkala tersenyum
menikmati selera,
yang kauulangi yang kauingini,
kausuap ceria ke mulut bibir tipismu:
nasi Arab dan kunafa,
Kentang goreng McD dan burger di jalanan,
puding Raja dan ketam telur masin,
roti tempayan Kassim Baba dan putu mayam,
sushi dan durian,
air avokado dan kopi Juna.
Aku mahu rindu yang berlarut-larut
bak Zuhrah di samping Bulan sekian-sekian,
malam tadi di Ramadan indah.





Wednesday, March 22, 2023

Amal

Setelah tiga hari bersekolah, hari ini, 23 Mac 2023, Ramadan pun bermula, Alhamdulillah.
          Bermula sekolah, bermula puasa, rutin sudah tentulah sedikit berubah. Mak-mak, ayah-ayah, anak-anak ada amanah yang perlu dibuat. Anak-anak kecil akan kerap bertanya, "Dah boleh berbuka?" Mak-mak pula mula memikirkan menu yang sesuai untuk berbuka dan bersahur di samping kerja utama yang perlu dijalankan. Kata Ustaz, "Ini bulan untuk menambahkan amal ibadat."  Sebulan yang lepas, Aidil dan Shahid teruja dengan suasana berbuka puasa di Masjidilharam. Bagi yang berbuka puasa, melalui pintu 89, di situ dihamparkan plastik memanjang mengikut saf. Setiap yang menanti untuk berbuka, dihidangkan dengan kurma, roti, yogurt dan ada juga makanan yang diletakkan di dalam beg kecil. Selesai makan sebelum bersolat, plastik yang terbentang dilipat untuk memastikan tidak ada sisa makanan atau sampah yang terkeluar, seterusnya digulung oleh setiap orang sehinggalah ke hujung saf.
               Alhamdulillah, bagi kita yang masih diberi kesempatan bertemu Ramadan, ini salah satu nikmat yang cukup besar. Bersyukurlah kita dan marilah bersama-sama kita melalui Ramadan ini dengan segala amal kebaikan, Insya-Allah. Selamat Berpuasa untuk semua.


Sunday, March 12, 2023

Sentosa

Duduk mengopi, sentosa rasanya. Perkara yang  lepas datang menyapa, maka bermulalah imbas kembali.
           Alhamdulillah, sentosa membolehkan kita bebas ke mana-mana tanpa sebarang ancaman. Seperti air dalam talam, begitulah peribahasa Melayu yang bermaksud dalam keadaan sentosa. Sewaktu Rasulullah SAW berdakwah ke Taif, begitu tinggi kesabaran Baginda. Begitulah antara penerangan Ustaz sewaktu perjalanan ke Taif. Tidak sama keadaan dulu dan sekarang. Lawatan ke sini, rombongan ziarah dibawa menikmati makan tengah hari. Ya, nasi Arab, itulah hidangan. Semua duduk bersila, teringat sewaktu menikmati moreh waktu kanak-kanak. Plastik lutsinar dibentang, juadah dihidang, selera sejak awal berasak-asak bertandang. Hidangan di dalam talam, tidak ingat langsung kali terakhir menikmati makanan di dalam talam bersama-sama. Alhamdulillah, semuanya berselera!
           Kesentosaan itu tanggungjawab bersama-sama. Sentosa itu akan lahir, membiak dan membesar hasil daripada kecaknaan kita semua. Sikap ambil peduli setiap orang daripada kita dengan mementingkan keselamatan dalam sebarang isu akan menyumbang kepada kesejahteraan negara. Itulah kewajiban kita!


Thursday, March 9, 2023

Punya

Kadangkala sambil minum kopi atau duduk merenung, kita tercari-tercari kelebihan kita. Kadangkala kita juga sering merendah diri kerana menganggap kita tak punya kelebihan berbanding orang lain.
          Unta pun ada kelebihan, apatah lagi kita manusia. Merujuk buku Teroka Sains 2, karya Wan Fahmi, Ph.D & Nur Annies, Ph.D, unta ada 3 kelopak mata, kening yang tebal, 2 baris bulu mata yang panjang dan lubang hidung tertutup. Semua kelebihan ini membuatkan unta boleh hidup di padang pasir yang terik. Kelebihan atau keunikan ini melindungi mata dan hidung unta daripada dimasuki pasir. Ayah teringat pula cerita yang ditampal di meja tempat kerja tentang anak unta mengingatkan ibunya akan kelebihan yang dimiliki dan diakhiri dengan satu soalan, "Adakah kelebihan ini berguna apabila kita berada di zoo?" Sepanjang perjalanan ke Makkah tempoh hari, boleh dilihat unta yang bebas mencari makanan dan boleh juga dilihat unta naik lori entah mahu dibawa ke mana-mana.
             Sedikit pembacaan mungkin dapat menemukan kita dengan kelebihan diri serta menambah kelebihan kepada diri kita.  Janganlah kita runsing kerana banyak antara kita yang tidak menyedari kelebihan diri sendiri sedangkan orang yang sentiasa mengambil berat akan diri kita sentiasa nampak kita punya kelebihan untuk dicontohi, Insya-Allah.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...