Translate

Friday, January 31, 2020

Curah

Hari Sabtu pun Cikgu ada. Itulah Cikgu.
       Cikgu ada apabila diperlukan, seperti juga ibu bapa. Seperti juga ibu bapa, Cikgu juga pelbagai ragam. Ada yang garang tetapi  penyayang, ada yang lemah lembut  tetapi tetap berasa takut, ada yang menakutkan tetapi rasa seperti kawan, ada yang selalu marah-marah tetapi pemurah, ada yang macam ibu ayah, melayan segala kerenah.
      Sabtu bersejarah, cikgu masih di kelas sejarah, ilmu dicurah. Keluarga di rumah, cikgu di sekolah dirai teman sekolah. Selamat Hari Lahir Cikgu.

Thursday, January 30, 2020

Beban

Kita sebenarnya masih terlalu banyak masa jika kita masih punya masa mencari salah orang lain tanpa cuba memahami dan meneliti sedangkan kita sendiri masih punya kerja yang belum selesai.
       Kadang-kadang kita seperti anak hingusan yang perlu kerap diberitahu, perlu kerap diingatkan tentang sesuatu,  akhirnya terpaksa dilibas dengan rotan, barulah mahu bergerak. Yang bernama dewasa itu tidaklah perlu dirotan dan kadang-kadang terasa juga seperti dirotan atau dipukul  setelah menyedari kerja kita telah diselesaikan. Kita perlu memahami hakikat sesuatu kerja,  iaitu perlu diselesaikan dalam tempoh yang  ditetapkan.
      Bersifat keanak-anakan bukan pada tempatnya  sebenarnya tidak dapat membantu sesuatu kerja  itu disempurnakan dan hanya akan menjadi suatu beban.

Tuesday, January 28, 2020

Tetamu

Adik mahu roti disapu mentega kacang. Ayah boleh faham walaupun dia tidak pandai menyebutnya sebab dia boleh menunjuk.
     Seperti biasa, roti ayah potong separuh, bahagian di keliling roti, ayah makan. Dia hanya makan bahagian yang tengah, tidak seperti abang-abang yang makan semuanya. Diambilnya roti yang dihulur ayah, diletaknya di dalam pinggan plastik. Kemudian, dia menyiat roti menjadi cebisan kecil. Pada mulanya ayah ingat dia yang lapar, rupa-rupanya cebisan roti kecil itu untuk  dinosaur yang berada di dalam pinggan. Dia seolah-olah sedang menjamu dinosaur itu makan, mungkin dinosaur itu tetamunya  yang perlu dilayan dan diberi perhatian saat itu.
    Anak-anak membesar dengan memerhati, mengikuti dan berimaginasi, bukan semata-mata  dengan menjamah nasi, roti dan spageti.

Selamat

Tempoh hari Harraz kena Influenza A, kemudian babanya pula kena Influenza B.
    Sekarang, wabak 2019 Novel Koronavirus pula menjadi perhatian. Kita boleh mengikut tiga  langkah pencegahan yang disarankan Kementerian Kesihatan, selebihnya kita   berserah kepada Allah SWT. Dalam portal berita Astro Awani (Bernama, 28 Januari 2020), Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kesemua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah S.W.T agar memelihara rakyat daripada sebarang penyakit yang tidak diingini.     
      Semuanya yang  berlaku pasti ada hikmahnya. Hari ini orang yang kita sayang, orang di sekeliling kita diuji. Kita pun tidak tahu saat kita akan diuji. Marilah sama-sama kita berdoa untuk kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan semua.

Saturday, January 25, 2020

Selesai

Apalagi yang ditunggu kalau  bukan mandi kolam, celik mata, kolam di depan mata, keluar dari bilik terus nampak air.
      Maka bermulalah cerita di dalam kolam, sejuk bukanlah penghalang. Penghalang itu hanya berada dalam minda. Itulah kata-kata bijaksana. Sejuk pagi, sejuk air dikalahkan rasa seronok, rasa gembira bermain bersama-sama. Terjun dan naik, naik dan terjun, riuh dengan suara keceriaan. Kalau membuat sesuatu biarlah sampai selesai, jangan berhenti separuh jalan, begitulah maksud peribahasa Melayu yang berbunyi 'alang-alang (mati-mati) mandi biar basah' (Kamus Dewan Edisi Keempat).
       Alhamdulillah, semuanya berjalan seperti yang dirancang. Hari Keluarga hampir selesai. Jangan dilupakan, buat sesuatu biarlah sampai selesai. Anak-anak sahaja yang entah bila mandinya akan selesai.

Jangan

Hari Keluarga, berkumpul semua untuk mengeratkan ukhuwah dan menjalankan aktiviti bersama. 
     Kami melalui Kampung Jenderam Hilir. Merujuk artikel yang disiarkan dalam Harian Metro (10 Januari 2018), tulisan Nur 'Asyikin Mat Hayin, Kampung Jenderam Hilir menjadi bukti penempatan terawal manusia di negara ini dan Asia Tenggara pada Zaman Neolitik (Zaman Batu Baru). Tapak itu terletak di kawasan perlombongan bijih timah di selatan Sungai Langat, kira-kira enam kilometer dari pekan Dengkil. Menghampiri pukul 3, kami bergerak dari Jenderam ke Bukit  Changgang. Anak-anak tidak sabar, khabarnya ada kolam besar.
     Hari Keluarga ialah peristiwa bersejarah. Anak-anak pasti mengingati saat-saat ini, mandi kolam bersama dan bermain seperti tidak mahu berhenti. Jangan sesekali pernah kita melupakan sejarah.

Friday, January 24, 2020

Tegak

Kami mengharung panas petang Khamis ke rumah Opah.
    Bergerak petang, memanglah keadaan lebih redup, cahaya matahari petang pula menghadap ke arah kami. Petang Jumaat begitu juga, menghala ke Kuala Lumpur. Pemandangan waktu petang mengasyikkan kami walau mata dipanah silau, sesekali dilindungi bayang-bayang bukit. Antara peribahasa tentang matahari dalam Kamus Dewan, bagai menentang matahari, iaitu melawan atau membantah pendapat orang berkuasa itu akhirnya menyusahkan kita juga. Matahari itu bolehkah ditutup dengan nyiru? pula ertinya sesuatu kebenaran itu tidak dapat disembunyikan.
     Matahari itu diibaratkan seperti kuasa dan kebenaran. Jika kuasa digunakan untuk menegakkan kebenaran, tidak akan ada sebarang penentangan kecuali yang tidak senang dengan  kesejahteraan.

Ayam

"Umi, gembira ayam tu tengok Arah!" kata Achik.
     Itu pemikiran Achik, bukan dia yang gembira tengok ayam, ayam yang gembira tengok dia. Gembira boleh membawa kita lebih jauh. Gembiralah  yang membuatkan kita terus istiqamah untuk melakukan sesuatu perkara. Bayangkan setiap hari melakukan sesuatu kerja tanpa rasa gembira, bukanlah itu menjadi sesuatu yang memenatkan? Gembira itu boleh menghilangkan rasa penat walaupun memang betul-betul penat. 
      Jika ayam pun boleh gembira, mengapakah kita sengaja memilih duka? Kegembiraan itu tetap ada, kadang-kadang kita tidak nampak. Dalam kepahitan selalu ada kemanisan.

Wednesday, January 22, 2020

Mencomel

Pasti sebahagian daripada kita tersenyum apabila dikatakan comel, Alhamdulillah.
     Apabila dikatakan suka mencomel pula, ini tidaklah bermaksud sentiasa nampak comel atau suka mencomelkan diri. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, mencomel bermaksud mengucapkan perkataan yang tidak tentu biji butirnya (seperti orang yang sedang berleter, menggerutu, dsb),merungut, mengomel. Juga disebut orang sebagai menyungut. Tidak perlulah kita sentiasa mencomel tentang diri kita yang dirasakan kurang comel atau dirasakan serba kekurangan kerana hal itu tidak dapat membantu kita untuk hidup dengan lebih tenang.
     Dengan bersyukur sebenarnya sudah membuatkan kita lebih comel dan hidup kita lebih indah serta bahagia, Insya-Allah.

Tuesday, January 21, 2020

Bayang

Bayang-bayang pun boleh jadi satu permainan.
    Waktu kecil dahulu, apabila pelita dipasang ketika malam, mulalah pakat berkerumun. Salah satu perkara yang dibuat adalah  dengan menghasilkan bayang mirip binatang atau serangga tertentu. Zaman budak-budak, dalam fikiran banyak berfikir tentang bermain, apa-apa sahaja boleh jadi permainan dan permainan sentiasa tercipta. Tidak ada istilah bosan seperti sebahagian anak-anak hari ini yang permainannya amat bergantung pada teknologi, tidak ada peranti elektronik seperti telefon pintar, pasti 'bosan' bermain di bibir. 
   Bayangkan indahnya berteman, berborak dan bergurau senda tanpa telefon pintar di genggaman!

Saturday, January 18, 2020

Nilai

Setiap daripada kita ialah pemimpin. 
     Setiap gerak geri pemimpin diperhati dan diteliti. Di rumah, diperhati ahli keluarga, di tempat kerja, diperhati rakan sekerja atau yang di bawah pimpinan, dalam masyarakat, diperhati jiran tetangga, anggota masyarakat. Segala tindakan pemimpin diambil kira, dihitung-hitung. Begitulah sifat kita manusia, suka memerhati dan kadang-kadang tidak sedar diri turut diperhati. 
    Pemimpin sentiasa akan dinilai melalui tindakan yang diambil dalam membuat keputusan atau menangani sesuatu. Mahu tidak mahu, kita tetap akan dinilai kerana kita juga menilai tindakan orang lain.

Friday, January 17, 2020

Membunuh

Achik suruh ayah buka botol air, ayah pun buka. Selepas itu ayah hulur kepadanya dan  kata,"Tudung." "Cakaplah penutup," kata Achik.
     Tudung dan penutup sama maksudnya. Ada yang boleh faham kedua-duanya, mungkin ada yang tidak. Zaman dahulu, main jentik tudung oren sangat popular dimain bersama-sama. Kadang-kadang sanggup jalan kaki ke kedai semata-mata untuk mengutip tudung oren, mahu main jentik dan dibuat buah dam papan. Sanggup juga kumpul duit untuk beli air 7UP, kickapoo, mirinda dan lain-lain untuk dapatkan tudung botol .
    Dahulu, main jentik tudung oren mengisi masa senggang itu perkara biasa. Sekarang, mungkin sudah jadi luar biasa atau dianggap ketinggalan zaman. Ternyata teknologi  'membunuh' kita dalam senyap.

Thursday, January 16, 2020

Kemudian

 Sudah dua pagi Achik tidak menyebut "tak nak pergi sekolah," Alhamdulillah.
      Semalam, tiba-tiba datang dekat ayah, menyebut nama dua orang kawannya sebab hari sebelumnya ayah bertanya. Sudah dua petang juga keluar dari kelas menghulur beg kepada ayah, kemudian pergi memanjat dan bergayut pada besi, dari besi ke besi. Seronok berkawan dan seronok bermain atau beraktiviti mungkin itu sebabnya tidak lagi menyebut "tak nak pergi sekolah".
     Keseronokan atau kegembiraan boleh menghilangkan rasa tidak seronok, rasa bosan, rasa sedih  dan sebagainya. Hidup ini adakalanya pahit datang dahulu, manisnya datang kemudian.

Monday, January 13, 2020

Babi

Selalu orang tanya, kenapa pintu belakang sebelah kanan Alza lekuk dan bergaris panjang ? Kalau ayah jawab satu patah kata, iaitu 'babi' dengan intonasi
yang salah, itu boleh jadi bahaya.
     Di kampung, ada yang memanggilnya kerbau pendek, biasa disebut babi, jarang sangat yang menyebut khinzir.  Dulu-dulu, sebelum ada rumah tambahan, kawasan di bawah bukit dekat rumah Opah semak samun. Kadang-kadang, Cina datang memburu babi, bawa anjing dan datang naik jip. Pagi-pagi, jika mahu  ke tempat bas, jika dengar bunyi semak dilanggar sesuatu, kami berhenti dulu, sekejap lagi babi melintas. Teka-teki pasal babi pun ada, kenapa anak babi jalan menunduk? Sekarang pun masih ada, habis tumbang pokok pisang yang ditanam Atuk dan Opah, dikoreknya tanah di sekeliling perdu pokok pisang.
     Di jalan raya, dilanggar sesuatu atau melanggar sesuatu ialah perkara yang mahu dihindari. Alza dilanggar babi yang  melulu keluar dari semak, jika hilang sabar, 'babi' pun boleh keluar dari dua bibir.

Perhati

Salah satu maksud 'perhati' dalam Kamus Dewan Edisi Keempat mempedulikan, mengendahkan, menaruh minat.
    Menaruh minat pada sesuatu perkara membuatkan kita memberikan perhatian. Menaruh minat kepada seseorang juga membuatkan kita memberikan tumpuan. Apabila kita menaruh minat, kita akan memberikan komitmen. Komitmen akan datang dengan sendiri jika menaruh minat. Jika tidak menaruh minat, sukar untuk berkomitmen dengan sepenuh hati walaupun dipaksa. 
     Menaruh minat itu memberikan semangat. Menaruh minat membuatkan kita memerhati dengan teliti, merangka strategi dan bersinergi.

Saturday, January 11, 2020

Pinjam

Alam tidak pernah menjemukan kita. Alam tidak pernah mengecewakan kita.
     Lihatlah langit yang terhampar setiap hari, pelbagai bentuk, pelbagai corak, pelbagai garisan dan pelbagai warna. Lihatlah tumbuh-tumbuhan, menghijau dengan daunan yang berbeza, ada yang berbunga, ada yang tidak, ada yang berbuah, ada yang tidak, garis-garis pada kulit pohonan dan menjadi perlindungan unggas yang pelbagai. Lihatlah ombak di lautan, datang membawa pepasir dan cangkerang, kemudian menariknya semula ke lautan.
      Kebesaran Allah SWT ada di mana-mana. Kita meminjamnya dan adakah kita akan memulangkan dalam keadaan sedia kala? Sudah berapa banyak flora dan fauna yang pupus? Pencemaran juga ada di mana-mana. Seharusnya kita menjadi peminjam yang sedar diri.

Friday, January 10, 2020

Sepetang

Kuala Sepetang yang dulunya dikenali sebagai Port Weld sering menjadi tumpuan. Ingat arang, ingat Kuala Sepetang. Kami belum pernah lagi sampai ke sana. 
     Dapur kayu api dan dapur arang  digunakan untuk memasak sebelum gas dan elektrik digunakan. Sekarang sudah jarang-jarang, jika mahu bakar sate atau membarbeku barulah arang digunakan. Cerita pasal arang, banyak peribahasa Melayu tentangnya. Antaranya, arang itu jikalau dibasuh dengan air mawar sekalipun tiada akan putih (Kamus Dewan Edisi Keempat). Maksudnya ialah orang yang bertabiat jahat itu, walau bagaimanapun tidak akan hilang perangainya.
     Pada saat ini, cukuplah arang digunakan untuk membakar, tidak perlulah sebahagian daripada kita menjadi 'arang' yang membakar perasaan bangsa sendiri. Banyak yang sudah lupa sejarah dan berperangai seperti penjajah.

Thursday, January 9, 2020

Bangkit

Sesekali bertemu pastinya memberi khabar antara satu dengan yang lain.
    Mendengar dan bercerita, menggamatkan suasana. Bergebang tentang apa-apa sahaja yang boleh dikongsi, tentang kerja, tentang keluarga, tentang kawan,  tentang minat dapat mengeratkan ukhuwah. Banyak topik yang boleh menjadi bahan bualan, apatah lagi jarang bersua. Kisah silam terutamanya, menjadi segar kembali di ingatan. Terasa cepat benar masa berlalu dan sebenarnya banyak perkara yang telah dilalui bersama-sama.
      Pertemuan itu membangkitkan kenangan. Kenangan itu mengeratkan hubungan dan  meninggalkan kesan.

Monday, January 6, 2020

Mahal

Sampai waktunya, semakin kehilangan deraian ketawa  anak-anak di rumah.
     Anak-anak semakin dewasa, meningkat usia, menyambung cita-cita, mungkin memilih untuk meninggalkan ayah ibu tercinta demi mengejar impian dicita, tinggal di asrama atau ibu ayah sendiri mahu anak-anak berdikari seiring dengan usia yang semakin meningkat. Sama ada perpisahan sementara ini pilihan sendiri atau kehendak keluarga, yang meninggalkan, yang ditinggalkan pastilah merasa kehilangan, merasa kesunyian. Inilah antara harga yang perlu dibayar untuk teru


meneruskan kehidupan.
     Kesedihan ini, kegembiraan ini,  perpisahan ini, air mata ini sangat mahal harganya dan jadikannya satu kekuatan, satu semangat  untuk mengejar kejayaan di dunia dan di akhirat, Insya-Allah.

Saturday, January 4, 2020

Bento

Zaman sekolah dahulu, salah satu cara untuk berjimat adalah dengan membawa bekal dari rumah.
     Waktu rehat, ada geng yang membawa bekal, jadi boleh makan sama-sama, boleh rasa sedikit seorang atau berkongsi lauk yang dibawa. Duit yang dibawa boleh disimpan atau dikumpul untuk membeli sesuatu. Waktu itu, kehendak tidak banyak sangat, waktu sekolah menengah pun berjimat duit untuk membeli majalah Gila-Gila. Ada sekali, duit dikumpul untuk membeli jam, mudah untuk melihat jam sewaktu peperiksaan SPM. 
    Dahulu, bekal bukan setakat dapat menjimatkan wang, dapat juga menjimatkan masa, tidak perlu beratur untuk membeli makanan. Zaman sekarang, bekal boleh dibeli sahaja, penggemar makanan Jepun, boleh menikmati bento.
      

Friday, January 3, 2020

Kejutan

Merujuk Astro Awani bertarikh 3 Januari yang dilaporkan Hilmi Malik, Dr. Maszlee Malik pada Khamis mengumumkan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan dalam satu sidang media khas di kementeriannya sebaik sahaja menerima nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
    Perkara ini antara satu kejutan yang berlaku pada permulaan 2020. Adakalanya kejutan itu kita perlukan. Kejutan seperti peletakan jawatan ini pula  lebih banyak menimbulkan spekulasi dan menjadi bualan hangat, terutamanya bagi guru-guru. Pelajaran dan kesihatan antara dua perkara paling penting yang perlu dititikberatkan. Seharusnya yang terlibat atau yang menguruskan pendidikan ini ialah yang memahami bahawa pendidikan ini bukan perkara main-main, hal ini melibatkan masa hadapan negara.
     Rakyat sememangnya memerlukan 'kejutan' yang membangkitkan semangat bukannya yang sentiasa memperlekeh atau mempersendakan rakyat kerana perlu diingati bahawa kerajaan ini diperintah oleh rakyat.

Thursday, January 2, 2020

Bau

Malang tak berbau dan geruh tak mencium bau, begitulah peribahasa Melayu. Kadang-kadang, tanpa persetujuan, telefon bimbit pun boleh 'terjun' ke dalam lubang jamban.
      Pagi ini, kami keluar sebelum 7.00 pagi. Semalam hari pertama sekolah, jalan sesak, hari ini bertambah sesak kerana ada kemalangan kecil. Hujan pun mula 'terjun' di pertengahan jalan, bertambah perlahan perjalanan. Walaupun semakin lambat namun tetap perlu bersyukur kerana tidak basah berbanding yang menaiki motor, terpaksa berteduh dan berhenti memakai baju hujan, ditimpa hujan.
       Perkara yang kita tidak mahu selalu terjadi kepada kita. Perkara yang kita mahu, belum pasti akan kita dapat. Walaupun kita selalu mahu yang terbaik terjadi dalam hidup kita, Allah SWT  lebih mengetahui perkara yang terbaik untuk hidup kita. Bersyukurlah.

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-gal...