Translate

Wednesday, January 26, 2022

Al-Fatihah

21 Disember 2021, hujan, kami berada di Tanjung, di rumah Tok Mamu dan Tok Mami.
      Tak ada yang menyangka, semua ketentuan-Nya, tarikh inilah (20 Disember 2021) menjadi kali terakhir kami bertemu Tok Mamu. Selalunya ralit mendengar setiap kali Tok Mamu bersembang, bercerita tentang pengalamannya berjumpa doktor, bercerita tentang penyakit yang nampak macam sama tetapi sebenarnya tak sama menurut ilmu perubatan. Siang tadi, kami mendapat perkhabaran dukacita, Tok Mamu (gambar: duduk di atas kerusi) kembali kepada Yang Maha Pencipta . Al-Fatihah.
    Tatkala kita kehilangan, kita pasti terkenang saat pertemuan. Bagi yang duduk bersama dan bertemu setiap hari, lagilah terasa apabila kehilangan. Moga diberi ketabahan dan moga roh ditempatkan Allah SWT di tempat yang terbaik.

      

Wednesday, January 19, 2022

Aur

Di sinilah Homestay Kota Aur, boleh juga melayari https://homestaykotaaur.blogspot.com bagi yang belum sampai. 
          19 Disember 2021, pagi pertama di Kota Aur (sebutannya dalam loghat Utara tidaklah berbunyi seperti dieja). Nasi lemak daun pisang dihantar Kak Siti, Alhamdulillah. Menikmati di serambi atau menikmati bersila di pangkin atau menikmati di bawah khemah, itu pilihan yang boleh dibuat. Baulu Opah tetap menjadi pilihan Emir. Dari atas serambi depan, boleh nampak sawah terbentang dan pohonan kelapa tegak berdiri. Rimbunan aur atau bambu melambai-lambai ditiup angin pagi. Makan beramai-ramai begitu mengasyikkan di kota di tengah sawah sedang menghijau. 
         Berjalan akan membawa kita ke arah yang ingin ditujui. Yang ingin ditujui tentulah ada sesuatu  yang akan menanti dan pastinya kita perlu siap siaga serta bersama bagai aur dengan tebing kerana itulah pilihan kita.

Sunday, January 16, 2022

Nikmat

Sudah lama tidak bersama-sama, di serambi depan terakam banyak kisahnya walau baru malam pertama.
        Setelah Umi dengan Kak Siti berbincang, akhirnya pengantin musim PKP, Nana dan Hasrul dapat bilik khas, Alhamdulillah. Duduk beramai-beramai di serambi depan rumah tradisional, satu perkara yang jarang-jarang berlaku dan harus tidak dilepaskan walau sudah hampir tengah malam. Rumah tradisional seharusnya dipelihara dan dipulihara, tidak lapuk dek hujan, tidak usang dek panas. Letih ditolak tepi sebentar, menikmati suasana malam dikelilingi bendang, makan, minum borak dan gelak.
       Bersama-sama berkonvoi seharusnya dinikmati dan menjadi detik  indah kerana saat-saat seperti itu tidak datang selalu walau kerap bertemu, Insya-Allah.

Saturday, January 15, 2022

Atasi

Umi dan Ayah bergegas terlebih dahulu ke tempat penginapan kerana masih belum daftar masuk.
         Akhirnya sampai, rumah penginapan yang betul-betul di depan petak-petak sawah, Alhamdulillah. Umi bertemu pemiliknya, Kak Siti. Setelah dibawa ke bilik-bilik penginapan, kepala Umi kembali  ligat berfikir, ruang-ruang bilik yang sesuai untuk setiap keluarga mengikut bilangan supaya terbit keselesaan. Satu bilik lagi diperlukan lagi, itu seperti yang dirancang sejak awal. Setelah semua sampai, riuh tak terkata, anak-anak berlari apatah lagi lantai yang dipijak lantai kayu, lain iramanya, macam tak letih langsung. Berkumpul di serambi luar, macam-macam topik timbul, ditambah dengan banyak makanan terhidang di atas meja. Pak Su Apit dan Mak Su Zyma pergi beli makan malam.
        Kadang-kadang,  kegembiraan bersama-sama itu dapat mengatasi segala keletihan walau letih jelas kelihatan pada wajah. Bersama-sama itu boleh menggembirakan, Insya-Allah.

Tuesday, January 11, 2022

Inspirasi

       Kami meneruskan perjalanan. Sepatutnya Mbah Man dan Tok Chik Liza   bersama dengan kami, namun sudah terlajak.
       Kami menuju ke rumah Tok Chik Aziz, bertemu di sini, rumah di tepi bendang yang sedang menghijau, menghampiri Maghrib tibanya. Pengalaman dan kemahiran yang banyak dikongsi, menguasai bahasa lain selain Bahasa Melayu satu kelebihan, apatah lagi Pulau Mutiara yang menjadi tumpuan pelancong asing, begitu juga negeri Utara yang lain. Komunikasi berkesan menjadi amat penting dalam berhubung, itu antara ilmu yang dikongsi.
      Berkongsi pengalaman dengan yang lain satu perkara yang baik dan menarik. Setiap insan akan sentiasa menjadi panduan dan teladan serta sumber inspirasi kepada orang lain untuk melalui kehidupan dengan lebih baik, Insya-Allah.

Monday, January 3, 2022

Dangkal

Sewaktu kami di Pasar Kemboja, Alhamdulillah, cuaca cerah.
       18 Disember 2021, tengah hari kami di Pasar Kemboja, sudah ada tempat di negeri lain dinaiki air. Sesungguhnya kita milik Allah SWT dan kepada-Nya kita kembali (إنا لله وإنا إليه راجعون). Khamis, kami masih di Kuantan, keadaannya seperti tak akan bah, itu sekadar pemerhatian Ayah berdasarkan logik akal. Selesai makan, bergerak ke rumah Tok Cik Tijah. Sudah nampak petak sawah yang menghijau. Di tepi rumahnya, ada anak sungai dan paras air nampak biasa kerana tak ada limpahan hujan luar biasa seperti di sebahagian tempat yang lain. 
        Setiap hari, kita berdepan dengan perkara yang masuk akal dan ada juga yang dirasakan tak masuk akal, ada yang rasa munasabah, ada yang rasa tak munasabah. Itu bersandarkan pemikiran kita yang dangkal. Jangan kita lupa, segalanya dalam pengetahuan dan genggaman Allah SWT!
       
      
         
      

Saturday, January 1, 2022

Episod

2 Januari 2022,  Selamat Bersara buat Puan Yunnalis. 
         Tempoh hari, 4 Disember 2021, Majlis Limpahan Budi, Kasih Terpateri, Jasa Abadi Semsas diadakan. Yang diraikan, Puan Hajah Hasmawati Abu Bakar dan Puan Yunnalis Mohammad Karoni. Lama di Semsas, sejak mula mengajar dan berakhir mengajar pun di sini, 'Hidup Berjasa' inilah gambaran yang paling tepat dan sinonim dengan warga Semsas. Puan Hasmawati, pernah belajar dua tahun di sini dan kembali mengajar selama 31 tahun di sini, tentu panjang kisahnya. 30 tahun 7 bulan berkhidmat di Semsas bagi Cikgu Yunnalis atau  dengan nama Kak Yun dalam  kalangan cikgu junior, pasti banyak ceritanya. 
          Sesungguhnya pertemuan itu milik perpisahan. Namun sebenarnya, setiap pagi dalam hidup kita, setiap hari dalam hidup kita ialah episod baharu yang harus dilalui dan disyukuri. Kita berpisah dengan semalam,  kita bertemu dengan hari ini, Insya-Allah.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...