Translate

Monday, June 28, 2021

Al-Fatihah

Kartunis Aie meninggalkan kita semalam, 28 Jun 2021.
         'Kegilaan' terhadap karya-karya kartunis Aie tidak dapat dinafikan kerana keunikannya yang tersendiri dan mencipta fenomena luar biasa. Mengumpul koleksi buku dan poster yang kemudiannya dibingkaikan sebahagian daripada 'kegilaaan' tersebut. Sesiapa pun akan mengingati watak dalam karya-karya agungnya bagi yang mengidolakannya.
        Perjalanannya di sini sampai setakat ini, namun karya-karya tetap hidup dalam jiwa, tetap menghiburkan kita dan tetap memberikan kita sesuatu untuk dikenang. Al-Fatihah dibaca untuk Allahyarham Kartunis Aie. Moga Allah SWT menempatkannya di tempat yang terbaik.

Saturday, June 26, 2021

Dahaga

Musim orang tengok bola 'Euro', musim durian pun dah datang, musim panas walau hujan dan musim Covid diharapkan cepat bernoktah.
        Hari Sabtu tetap hari 'kartun' bagi anak-anak. Waktu kecil semua orang tak lepas daripada tengok kartun. Apabila dah besar, mungkin ada yang rasa dah tak sesuai untuk tengok kartun atau mungkin ada rasa seperti sedang membuang masa. Malam tadi kami tengok animasi Upin Ipin Keris Siamang Tunggal lagi. Wujudkah Keris Siamang Tunggal? Itulah yang bermain di fikiran. Setelah merujuk 'https://lescopaque.com/v11/siamang-tunggal-50-fun-fact/', nama asal Keris Siamang Tunggal ialah Keris Panjang Berok Berayon.
       Tengok kartun pun tetap dapat ilmu kerana cerita kartun pun ada mesej yang ingin disampaikan. Kartun tetap memaparkan isu-isu yang relevan dengan kehidupan selagi disampaikan oleh orang-orang yang berilmu dan dahagakan ilmu.


Tuesday, June 22, 2021

Untuk Kita

Kita hidup di zaman yang banyak fitnah.
    Dulu-dulu, tak ada orang peduli kalau kita pakai baju corak pelangi atau apa-apa yang kita buat guna warna pelangi, tapi hari ini ada orang  kata kita LBGT kalau kita guna warna pelangi atau pakai baju warna pelangi. Kalau kita yang bukan LBGT pun cakap warna pelangi itu warna LGBT, ini bermakna kita sedang atau telah memberi pengiktirafan secara sedar atau tak sedar bahawa warna pelangi itu milik LGBT.  Sejak kecil lagi kita cukup kagum dengan pelangi dan memujanya. Sejak kecil lagi, telah kita dengar atau telah kita baca macam-macam cerita legenda dan cerita rakyat di banyak negara tentang pelangi.
     Hari ini, kita tak sepatutnya  jadi serba salah nak guna warna pelangi. Pelangi itu milik kita semua, bukan milik sesiapa. Allah SWT turunkan pelangi untuk kita semua, itu tanda kebesaran Allah SWT.

Wednesday, June 16, 2021

Matang

Memetik kata-kata Cicero (Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi), "Pemimpin politik tidak boleh taksub terhadap sesuatu pandangan. Ia tidak pernah menjadi amalan yang baik dan terpuji."
       Sama ada ahli politik itu mewakili kerajaan atau pembangkang, mana-mana pandangan yang baik seharusnya diambil dan dilaksanakan untuk kepentingan masyarakat. Minta izin dan ucapkan terima kasih atas pandangan bernas, usahlah  berlakon yang bukan-bukan apabila pandangan bernas itu diambil kerajaan atau pembangkang, sepatutnya berbangga kerana orang politik memang berkhidmat untuk masyarakat. Usahlah terlalu ego untuk menggunakan pandangan bernas pembangkang atau  kerajaan  kerana demokrasi tak akan matang tanpa kedua-duanya. Jika satu-satu pandangan itu bernas, tak perlulah mendabik dada kerana tekanan daripada pembangkang dan kerajaan itulah yang menimbulkan pandangan bernas demi memberi perkhidmatan terbaik  untuk rakyat.
      Pembangkang dan kerajaan, itulah demokrasi. Mengkritik itu bagus untuk rakyat jadi lebih baik, untuk negara jadi lebih baik, bukan untuk runtuhkan perpaduan dan runtuhkan negara.


 

Tuesday, June 15, 2021

Perut

Menekuni akhbar Utusan Malaysia (Isnin, 14 Jun), antara yang menarik, rencana 'Kata Saya' oleh Ku Seman Ku Hussain - Biarlah demokrasi datang kemudian.
     Memetik secebis kata Ku Seman Ku Hussain, "Banyak negara mendahulukan pelan pembangunan ekonomi kepada rakyat berbanding menjanjikan demokrasi yang sangat abstrak untuk dipegang, difahami dan dipraktik." Dalam buku Mutiara Kata susunan Adi Alhadi, kata Confucius, "Di sebuah negara yang ditadbirkan dengan baik, kemiskinan adalah memalukan. Di sebuah negara yang ditadbirkan dengan buruk, kekayaan adalah sesuatu yang memalukan. Dalam buku yang sama, ujar  Muhammad Abduh, "Kalau pemerintah mempunyai hak ke atas rakyatnya, iaitu supaya rakyat tunduk dan taat, maka rakyat juga mempunyai hak ke atas pemerintah, iaitu mempunyai hak ke atas pemerintah, iaitu supaya adil dan saksama."
     Dalam keadaan genting seperti sekarang, perut rakyat sepatutnya terlebih dahulu diisi dengan nasi berbanding yang menjanjikan demokrasi ke sana dan ke sini atas kepentingan periuk nasi sendiri atau atas agenda peribadi.

Saturday, June 12, 2021

Bahagia

Bunga berkembang akan layu. Siapakah yang akan peduli tatkala bunga layu?
Adakah kumbang pun peduli?
       Begitulah nasib bunga, tatkala mula berputik sudah ada yang memujanya, apatah lagi pabila berkembangan, ditambah lagi kalau bunga itu wangi semerbak, menjadi pujaan hati yang banyak. Saat bunga layu, saat bunga mengering, masih kekal sebagai bunga, kepedulian itu, keterujaan itu, sanjungan itu sudah meminggir dan entah ke mana-mana mulai menghilang. Bunga gugur dan mereput kembali bersatu dengan tanah, membajai tanah dan kembali sebagai putik yang dipuja, yang dimulia-muliakan tatkala memekar.
     Begitulah juga hidup kita, mungkin suatu masa kita dipuja-puja, mungkin suatu masa kita sepertinya tiada apa-apa. Kita hidup bukan untuk sesiapa, kita hidup hanya untuk Pencipta, maka berbahagialah kita yang menyedarinya.

Wednesday, June 9, 2021

Daki

10 Jun, keputusan sudah di depan mata. Apakah yang bakal berlaku seterusnya?
     Tatkala Ayah menerima keputusan di tangan, Ayah bukanlah orang yang pertama melihatnya, slip keputusan itu berlipat. Bukanlah senang untuk menerima kenyataan walaupun keputusan itu hasil usaha sendiri, walaupun kita sendiri tahu sebanyak mana usaha yang telah kita kerjakan. Ayah menuruni anak-anak tangga  astaka di padang dengan menjinjing beg balik kampung. Seorang kawan menahan Ayah dan dia yang melihat slip keputusan pada tangan Ayah, Ayah kembali menaiki anak-anak tangga.
     Untuk menuju ke puncak jaya, anak-anak tangga harus dinaiki, kadang-kadang anak-anak tangga pun tak ada tapi  untuk sampai ke atas sana, tetap harus mendaki kerana apa-apa yang kita ingini ada di puncak sana. Alhamdulillah, tahniah untuk semua anak-anak SPM 2020! Bukalah mata dan hati seluas-luasnya, jalannya sudah terbentang, Insya-Allah!

Harapan

10 Jun, keputusan SPM bagi pelajar tingkatan 5 yang belajar pada tahun 2020 dan 2021 serta lebih banyak belajar di rumah.
      Saat ini, sedang menunggu hari esok, perasaannya sudah bergaul dengan bermacam-macam rasa. Ayah cuba mengingati semula perasaan itu dan sewaktu itu yang pastinya ayah berada di rumah nenek. Opah pun tak tahu pada keesokannya dengan beg baju balik kampung ayah ke sekolah mengambil keputusan SPM. Sebagai seorang murid yang gagal sewaktu percubaan SPM, harapannya tetaplah setinggi Gunung Everest, tetap mengharapkan keputusan itu mampu membawa Ayah ke tempat lain untuk menyambung pelajaran.
     Selagi harapan itu hidup dalam diri seseorang, Insya-Allah harapan itu akan membawa kita menemui jalan walaupun kita masih tidak tahu cabang yang mahu kita lalui, percayalah ada sesuatu yang baharu sedang menanti kita. Moga maju jaya untuk SPM 2020.

Saturday, June 5, 2021

Pukul 7

      Makin dekat dengan raya, bahkan di hari raya pun makin banyak konflik berlaku macam dalam drama pukul 7, 7 pagi ke? Tentulah bukan, tentulah 7 malam. 
   "Pukul 7 tu waktu Maghrib," kata Husin kepada Pak Din. Waktu dulu-dulu, waktu Maghrib kena tutup tv. Dalam suasana menyambut hari raya yang seharusnya meriah, setiap orang tetap diuji dengan pelbagai cubaan, tetap ada konflik dalam diri walau bukan dengan orang lain. "Dalam kesedihan ada kegembiraan," itu dinyatakan Barkoba. Isi hati disampaikan melalui lagu-lagu yang menghimpunkan perasaan dan harapan. Pak Dinlah tempat meluah perasaan dan menjadi rujukan walau dirinya juga tak lepas diuji kehidupan. Senang susah hidup sekampung, diharung bersama-sama.
     Menghiburkan dan lucu, membuatkan kita berfikir dan menghargai yang ada di sekeliling kita  serta mengekalkan tradisi yang baik itu sudah pastilah tugas kita semua, itulah istimewanya Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa.
     
     

Baki

Masih 6 hari lagi Syawal, hari ini 24 Syawal, masih boleh puasa sunat Syawal.
       Masih lagi kita berperang dengan wabak yang tak nampak. Boleh direnung-renungkan ungkapan Mahatma Ghandi, "Kekayaan sebenar ialah kesihatan, bukannya kepingan emas ataupun perak." Kata-kata ini tak pasti pula siapa yang mengungkapnya,"Duit bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan duit." Untuk hidup mengikut logik akal, sihat perlu, duit pun perlu. Sebenarnya, Allah SWT kurniakan rezeki macam-macam bentuk, tak sama setiap orang. Ada yang sihat, duit tak banyak. Ada yang duit banyak, kurang sihat. Ada yang duit banyak rasa bahagia, ada yang tak banyak duit pun rasa bahagia. Ada yang tak sihat, tetap rasa bahagia, ada yang sihat, tetap tak rasa bahagia. 
      Syukur, itulah yang kita perlukan di saat Syawal masih berbaki, di saat usia masih bersisa, di saat wabak masih membengis. Ujian untuk kita semua, untuk menaikkan tahap sabar, Insya-Allah.

Tuesday, June 1, 2021

Saling Perlukan

Semalam 1 Jun, 20 Syawal 1442 Hijrah, hari pertama pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (fasa pertama - 14 hari).
      Semalam kes naik kepada 7105 dan di saat-saat begini kita amat memerlukan perkataan keramat  'turun'. 'Turun' memberi petanda yang baik  bagi kita yang sudah lama terbelenggu dengan Covid. Tidak kira sesiapa pun kita, kita boleh membantu dengan cara sendiri mengikut kemampuan masing-masing seperti yang berduit boleh menyumbang wang dan barang-barang, yang berkudrat boleh menumpahkan keringat dan yang berilmu mencari jalan tanpa jemu. 
     Selagi ada naik turun nafas, tak kira siapa-siapa  pun kita, kita ada peranan masing-masing, tak kira kecil atau besar, tetap penting untuk menghapuskan wabak. Kita semua saling memerlukan, tak perlulah menaikkan rasa sangsi dan prasangka dengan mengepos perkara yang boleh mewujudkan jurang antara kita.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...