Translate

Friday, August 30, 2019

Kongsi

Umi menyertai Perbarisan Hari Kemerdekaan. Kami semua di rumah, tengok perbarisan di televisyen.
       Membeli sarapan, singgah membeli Utusan Malaysia yang berumur 80 tahun. Sambil bersarapan, menonton 'Tanyalah Ustaz'. "Jagalah perhubungan," kata Ustaz. Ayah setuju, hidup berbilang bangsa, kita mesti jaga perhubungan, perhubungan membentuk perpaduan. Dahulu, kita berhubung di mana-mana sahaja, bertentang mata dan bertegur sapa. Sambil menunggu makanan di kedai makan, sambil menunggu bas, kita dapat mencipta kawan pelbagai bangsa.
      Sekarang? Cabarannya ialah telefon pintar, membuatkan kita masing-masing ralit dan kurang berkomunikasi dengan orang sekeliling. Dahulu, kita berkongsi surat khabar untuk dibaca. Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-62.

Lidi

Hari ini, Jumaat terakhir 1440 Hijrah dan kita tidak tahu di mana akan berakhirnya kita.
     Esok pula 31 Ogos 2019. Kemerdekaan bukan semudah kita menyebut aksara 'merdeka'. Untuk mendapatkannya bukanlah perkara yang mudah, pelbagai pengorbanan telah dilakukan. Tidak seharusnya kita melupakan sejarah, kita berada di sini hari ini atas pengorbanan nenek moyang kita dahulu. Kita perlu mengambil tahu sejarah negara kita, segala isu yang berlaku kerana kita yang menentukan jatuh bangunnya negara ini.
     Masih ingat tentang sebatang lidi yang cukup mudah untuk dipatahkan? Mudahkah untuk mematahkan seberkas lidi? Kita semua penting untuk negara ini. Sayangi Malaysia kita.

Monday, August 26, 2019

Sepatu

Apabila kereta dibasuh, di dalam kereta turut dikemas. Sudah tentu segalanya dikeluarkan.
      Sampai di sekolah esoknya, kasut tiada di dalam kereta, yang ada hanya selipar. Sudah pasti, malu, takut kena marah akan memainkan perasaan. Boleh sahaja ikut ayah atau umi ke tempat kerja, tetapi masih ada selipar untuk dipakai. Hari ini, anak  itu, tidak berkasut, berair mata, malu menghiris kulit perasaan, di sekolah pengalaman. Malu itu, sedang menguatkannya, untuk melangkah
tanpa sepatu yang menjaga kakinya, kerana suatu masa, ilmu itu akan menjaga dirinya.
      Ilmu lebih penting daripada sepatu. Sepatu juga penting untuk menuntut ilmu. Teringat filem Iran 'Children of Heaven' yang cukup mengesankan.


Sunday, August 25, 2019

Indah

Selesai pertandingan melukis di perpustakaan, kami ke rumah Abang Jaafar makan kenduri. Sampai sahaja, ada kereta kuda yang sedang membawa penumpang melintas.
        Makan malam, umi memilih 'Papa Zolla Western' sempena ulang tahun perkahwinan. Sementara menunggu, ayah memujuk  Achik, membawanya ke kedai  runcit berhampiran, pemiliknya berbangsa India. Sempat ayah membeli Utusan Melayu. Pagi ini pula, ayah dan anak murid menaiki bas yang dipandu Pak Cik Chan ke Kolej Widad. Seminar Bahasa Melayu tentang tatahahasa disampaikan Dato' Eswaran E. Perumal.
        Berbilang bangsa itu satu keindahan. Keindahan tidak harus dirosakkan dengan salah faham dan salah erti. Keindahan harus dikekalkan dengan saling memahami dan saling mengerti.

Pohon

Sewaktu mahu pergi membeli sarapan, Oren bergerak, berbaring seperti biasa, menyusukan anaknya jauh dari kereta, anaknya dulu pernah digilis kereta.
    Di tepi jalan, dua ekor anjing sedang berlari-lari. Ayah ke kedai Pak Man. Kemudian, ayah bergerak ke sekolah dan umi membawa anak-anak ke tempat latihan tae kwan do. Usai di sekolah, ayah menyertai umi dan anak-anak yang sudah di perpustakaan mengikut Mak De dan Pak De yang membawa Aqil ke pertandingan mewarna sempena Bulan Kemerdekaan.
      Pertandingan  itu disertai anak-anak Melayu, Cina dan India. Malaysia bagaikan pohon rimbun dan  rendang yang menjadi tempat  bernaung untuk semua. Indahnya Malaysia.

Friday, August 23, 2019

Bisu

Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, bisu bermaksud tidak dapat bercakap (kerana rosak alat pertuturan atau kerana tuli sejak lahir).
        Membisu pula bermakna berdiam diri, tidak mahu bercakap, tidak memberi khabar. Ada yang membisu kerana pendengar tidak mahu langsung menerima kata-katanya kerana pendengar hanya mahu kata-katanya didengari dan diikuti. Kalau zaman dahulu, anak gadis  diam atau membisu jika dipinang, itu dikatakan tanda setuju. Ada juga yang 'dibisukan' kerana ada yang tidak mahu  menerima kebenaran. 'Membisukan' mulut seseorang dengan kuasa yang ada dan membiarkan dua telinga mereka terbuka kerana tidak mahu mendengar kebenaran.
      Ramai yang sanggup menelan ubat yang pahit untuk sembuh daripada penyakit. Tidak ramai yang sanggup menelan pahitnya kebenaran untuk jadi lebih baik.

Wednesday, August 21, 2019

Tanak

Nasi lemak dalam Kamus Edisi Keempat bermaksud nasi yang ditanak dengan santan.
        Dulu, waktu sekolah rendah belanja 30 sen. Nasi lemak 20 sen, air 10 sen. Sekarang? Nasi lemak bergantung kepada tempat dan bergantung kepada jenis lauk. Di pinggir jalan, di gerai, di restoran dan di hotel tentu harga berlainan. Sewa tempat mempengaruhi harga makanan seperti nasi lemak. Cara persembahan atau seni hiasan nasi lemak juga berbeza jika bukan layan diri atau ambil sendiri. Yang terkilan apabila nasi itu dinamakan nasi lemak tetapi hanya nasi biasa, ditambah sambal 'bawang' dan bukan sambal ikan bilis.
       Nasi lemak yang sebenar cukup memikat hati baunya kerana ditanak dengan santan dan ditambah pula bau daun pandan serta dibalut dengan daun pisang. Sambalnya ikan bilis. Sila bayangkan.

Saturday, August 17, 2019

15 Zulhijah

15 Zulhijah 1440H (16 Ogos 2019), petang Penghulu Segala Hari, Tok Som meninggalkan kami.
     Kami bergegas dari rumah Opah ke rumah Tok Som. Yang menjaga sehari suntuk, siang dan malam, Chik Kob dan Chik Ani pasti cukup terasa dengan pemergian ini. Begitu juga kami semua. Kita semua pun menanti saat dan ketika, tidak tahu masanya. Bukan kelapa tua sahaja yang gugur ke tanah, putik dan kelapa muda pun gugur jua. Kematian sentiasa hampir dengan kita, siapa pergi dahulu, kita tidak tahu. Anak-anak kecil ada yang faham, mungkin ada yang masih tidak faham tatkala melihat jenazah diusung, dibawa masuk ke liang lahad.
     Asal tanah menjadi tanah, itulah kita semua. Al-Fatihah buat arwah Tok Som yang baru meninggalkan kita, Al-Fatihah juga buat arwah Wan Suri dan Wan Dolah yang telah lama meninggalkan kita.

Thursday, August 15, 2019

Kemang

Kami  menuju ke Tanjung Tuan. Anak-anak masih menagih janji umi untuk membeli cermin mata renang.
      Kami berjumpa papan tanda Sempadan Negeri Sembilan-Melaka.  Pemanduan diteruskan  hingga ke hujung, nampak pintu Hutan Rekreasi Tanjung Tuan. Rupa-rupanya, rumah api ini dikelilingi hutan simpan, dibina Belanda pada tahun 1817 dan rumah api yang tertua di Malaysia (Portal Rasmi Majlis Perbandaran Port Dickson). Kami tidak ke situ, tidak tahu pun rumah api ada di situ, hanya berhenti di Pantai Tanjung Biru (Blue Lagoon). Kami berpatah balik, singgah di Pantai Cermin, meneruskan perjalanan, akhirnya, berhenti lama di Pantai Telok Kemang.
      Kami berjumpa Mickey di Pantai Telok Kemang, umi berjumpa dengan 'rotan' . "Beli umi," kata mereka yang asyik berperang mulut sepanjang masa. Cermin mata renang ditemui.

Thanos

"Pilihan yang sukar memerlukan hati yang cekal," kata Thanos.
        Untuk ke Negeri Sembilan, dalam memilih jalan, umi lebih suka guna lebuh raya dan melihat anggaran masa, cepat atau lambat sampai, apatah lagi apabila membawa anak-anak. Ayah pula lebih suka guna jalan kampung, lebih suka tengok pemandangan, suka tengok rumah tradisional. Akhirnya, kami ikut umi dan ayahlah orang pertama turun di stesen minyak kerana perut ayah meragam. Pilihan sememangnya mengikut pandangan masing-masing dan masing-masing ada alasan  atau rasional tersendiri.
     Ada  jalan yang nampak senang pada seseorang, tetapi sukar bagi orang lain kerana pertimbangannya tidak sama, begitu juga sebaliknya. Apa-apa pun teruskan perjalanan, jangan berhenti dan pilihan tetap perlu dibuat.

Wednesday, August 14, 2019

Nam-Nam

"Tu dia, lebat buah! Boleh buat cerita," tunjuk Tok Lang kepada ayah sebelum berangkat membawa nenek pulang. Pokok itu di rumah Tok Harun.
      Orang kampung panggil asam katak puru. Namanya nam-nam. Sudah lama ayah tidak makan buahnya. Sebut pasal asam, kecur air liur. Waktu kecil, suka makan asam masin atau asam ko. Asam masin merah dimasukkan ke dalam limau kasturi dan disedut. Rasanya? Cubalah! Peribahasa 'sudah makan banyak asam garam' pula maksudnya sudah banyak pengalaman (Kamus Dewan Edisi Keempat).
      Bukan sahaja masam, segala rasa akan kita rasa dalam perjalanan hidup kita ini. Rasa yang sama akan kita lalui, mungkin pada waktu yang sama atau di lain waktu. Namun, tujuan tetap sama, tidak pernah berubah.


     
       

Monday, August 12, 2019

Indah

Semalam kenduri akikah anak Pak Ngah dan Mak Ngah, anak Pak Su dan Mak Su.
       Agak lama tidak makan kenduri. Sekarang, semua bufet. Dulu, lauk-pauk dihidang guna talam. Lauk ambil sendiri dan kita tahu sendiri kuantiti yang perlu untuk kita nikmati. Dulu, jika lauk itu sudah disentuh walaupun sedikit, lauk di dalam mangkuk akan dibuang, berlaku pembaziran. Pinggan polesterin terus dibuang. Lauk seperti gulai kawah diletak di atas dapur, sentiasa panas, menggamit selera, ada pula masak tempoyak, sambal belacan, petai rebus dan sambal telur rebus. Tapai juga membuka selera.
       Pelbagai cerita keluar sambil menikmati juadah. Yang lama tidak bertemu, bertemu, yang selalu bertemu bergurau senda dan menggamatkan suasana. Indahnya kenduri dan raya.

Sunday, August 11, 2019

Potong

Dalam kegembiraan kita beraya, jangan lupa kita  titipkan doa buat sahabat-sahabat kita yang diuji dugaan ribut taufan Lekima dan dugaan-dugaan lain.
      Alhamdulillah, hampir pukul 12 kami tiba. Perjalanan lancar dan nampaknya ramai juga orang yang menghala ke Kuala Lumpur tetapi tidaklah sebanyak sehari sebelum raya. Sesekali umi memanggil ayah untuk memastikan ayah tidak mengantuk. Tatkala sampai, Atuk, Opah, Pak su dan Pak Ngah baru sahaja  mula memotong daging.  "Langkah kanan," kata Pak Su tersengih.  Achik yang sudah sedar daripada tidur turut sekali. Daging yang dipotong direbus. Hampir 2.30 pagi,  baru kami masuk ke rumah termasuk Achik.
       Salah satu keseronokan raya korban ialah memotong daging. Waktu ini selalunya masing-masing menunjukkan 'senjata', iaitu parang atau pisau yang pelbagai bentuk.

Saturday, August 10, 2019

10 Zulhijjah

Esok Raya Korban.
     Menghala ke Kuala Lumpur, Alhamdulillah, kurang sesak daripada biasa. Adik ayah dari Setia Alam ke Lanchang, 9 jam lamanya, Alhamdulillah sampai juga. Itu pengorbanan pulang ke kampung. Pengorbanan ada di mana-mana. Korban itu satu perkara yang cukup besar dan bererti. Mari kita ulang kaji. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan 'korban' ialah bahasa Arab. Maksud korban  yang pertama ialah amalan menghampirkan diri kepada Allah dengan menyembelih binatang ternakan (lembu, kambing, kerbau dan lain-lain) pada 10 Zulhijjah atau tiga hari selepasnya ( hari tasyrik) dengan mengagihkan sebahagian daripada daging itu kepada fakir miskin.
      Seharusnya kita mengerti sedalam-dalamnya makna korban dan pengorbanan. Selamat Hari Raya Korban. Maaf zahir dan batin.

Friday, August 9, 2019

Pandai Baca

Malam tadi, asap rokok  ada di dalam kedai walaupun tanda 'Dilarang Merokok' di dalam kedai, di luar asap jerebu. Ayah tidak pasti hal ini berlaku di semua kedai atau di kedai yang kami singgah  untuk makan pada malam ini."Tulis 'Dilarang Merokok' tapi jual rokok," kata Along.
        Sewaktu membayar, ayah menunjukkan Berita Harian dalam talian kepadanya tentang  Kementerian Kesihatan melanjutkan tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan di tempat makan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok selama enam bulan lagi hingga Disember ini (25 April 2019). Katanya, dia tidak boleh membaca dalam bahasa Melayu.
       Tinggal di Malaysia bukan sekadar perlu pandai bercakap tetapi perlu juga tahu membaca dalam bahasa Melayu. Kalau tahu, jangan pura-pura tidak tahu.

Wednesday, August 7, 2019

'Mangostana'

Musim buah, balik kampung boleh kait buah manggis.
     Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, manggis bermakna mesetor, sementah dan semetah. Nama saintifiknya,
garcinia mangostana. Peribahasa 'ingin di buah manggis hutan, masak ranum tergantung tinggi' didefinisikan sebagai menginginkan sesuatu yang sangat susah hendak mendapatnya. Namun, kata orang tua-tua, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika Sir Edmund mengalah setelah gagal menawan Everest kali pertama, beliau dan Tenzing Norgay tidak akan menjadi pendaki pertama menawan Everest.
      Mengait manggis menggunakan galah salah satu cara. Jika galah pendek atau patah, cara yang lain adalah dengan mendapatkan tangga atau panjat pokok manggis untuk mendapatkan lebih banyak manggis. Yang penting jangan mengalah.

Tuesday, August 6, 2019

Sebentar Cuma

Biasa ayah tengok burung ciak rumah dan pipit sahaja, tetapi petang ini ada enggang melawat kawasan.
     Enggang hinggap di  pagar, belum sempat ayah menangkap gambar, terbang dan hinggap di wayar elektrik. Enggang juga telah lama menjadi sahabat manusia. Buktinya? Ada peribahasa tentang enggang. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, antara peribahasa ialah enggang apa kepada enggang, orang apa kepada orang. Maknanya ialah susah senang kita, kita yang merasakannya, susah senang orang tinggallah pada orang (masing-masing menjaga sendiri). Kali kedua ayah mahu menangkap gambar, enggang pun terbang.
    Dalam kehidupan, ada yang datang menyerikan hidup kita sebentar cuma, mungkin datang lagi atau terus menghilang daripada hidup kita.

     
   

Sunday, August 4, 2019

Rindu

Rindu kepada hujan terubat. Di seberang Pantai Regal Boutique Hotel, ayah membiarkan air hujan memercik pada ayah sambil menunggu burger Akie siap.
      Apabila hujan, kita rindu pada  panas. Apabila panas, kita rindu pada hujan. Begitu cantik kehidupan disusun Allah s.w.t. Jerebu melanda, hujan pun hadir menjemput jerebu pergi. Waktu kecil, seronok sangat dapat main hujan. Jika ada kilat atau guruh, semua lari masuk rumah. Seperti yang ayah selalu sebut, ayah suka apabila hujan turun menimpa tanah, ada satu bau yang cukup disukai ayah.
       Rindu itu ibarat perginya hujan, hadirnya panas, perginya panas, hadirnya hujan.

           

Saturday, August 3, 2019

Malu

Malu bertanya sesat jalan bermaksud kalau tidak mahu berusaha tentulah tidak akan mendapat kejayaan (Kamus Dewan Edisi Keempat).
     Salah satu perkara penting untuk berjaya adalah dengan bertanya.  Salah satu sebab kita tidak mahu bertanya kerana takut dikata, takut dicerca atau takut dilabel 'bodoh'. "Itu pun tak tahu ke?" "Soalan bodoh macam tu pun nak tanya ke?" Kita tidak perlu mendabik dada apabila mengetahui sesuatu sedangkan orang lain yang bertanya itu tidak mengetahuinya. Adakah kita mengetahui semua perkara?
       Bertanya anak kunci kejayaan. Bertanya jika mahu jawapan, pedulikan kata-kata orang lain kerana kita bertanya untuk diri sendiri bukan untuk orang lain. Kita akan rugi jika malu bertanya. Malu apa bosku? Hanya kita yang boleh menolong diri kita sendiri.

Friday, August 2, 2019

Jerebu

Sudah dua tiga hari agak ketara, nampak asap angkara jerebu.
        Dalam jerebu, petang semalam, ayah bawa Angah dan Along ke klinik gigi di UTC. Ramai sungguh orang. Doktor hanya memeriksa gigi Angah. Sebelum ini gusi Angah pernah bernanah. Along pula gigi geraham susu perlu dicabut kerana sudah tumbuh gigi yang baharu. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, peribahasa  'tinggal gigi dengan lidah sahaja' bermaksud habis segala harta. Lunak gigi daripada lidah (kiasan) pula bermaksud sangat lemah lembut.
        Sepatutnya pagi ini ayah pergi semula untuk buat rawatan kerana semalam masa tidak cukup kerana melibatkan gigi geraham.  Ayah tidak  ke klinik pagi ini. Alasan? Mari mencipta alasan, yang pertama, memang tidak gemar ke klinik, yang kedua, rasa tidak terdesak dan yang ketiga, jerebu😩. Senang sungguh mencari alasan😜. Muhasabah diri!







     

Thursday, August 1, 2019

Jawi

Zaman ayah dahulu, darjah 3 baru masuk sekolah agama pada waktu petang.
     Banyak ayat al-Quran perlu dihafal, termasuk hadis dalam bahasa Arab. Jika tidak menghafal dalam tempoh yang diberi, berdiri di luar kelas atau berdiri di atas kerusi. Jika nakal atau ganggu orang lain, kena cubit. Tidak perlu beritahu atuk atau opah jika kena denda atau kena cubit sampai lebam, pasti opah tambah lagi. "Itu salah kamu, bukan salah cikgu." Di sekolah agama, nota disalin guna tulisan jawi. Paling suka apabila asah pensel untuk buat tulisan khat. Masing-masing mahu hasilkan yang paling cantik.
     Ada yang tidak senang dengan tulisan jawi seperti seni khat. Tulisan Jawi telah sebati dengan masyarakat Melayu dan Tanah Melayu. Tulisan jawi perlu dipertahankan dan diperluas. Tulisan jawi untuk semua, bukan 'masuk jawi' untuk semua. Jangan salah faham.


Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...