Translate

Tuesday, March 31, 2020

Rindu

Bila kurindu padamu,
terasa kuatnya cintaku,
terbangkit resah terpandang wajahmu,
tertambahlah kasih sayangku.
     Inilah permulaan lagu Sepi Seorang Perindu, nyanyian Datuk Jamal Abdillah.
    Mungkin saat ini, ramai yang sudah menjadi perindu. Rindu itu datang tanpa diundang. Rindu  keluarga,  rindu sahabat dan rindu untuk kembali bertugas. Rindu itu pastinya membangkitkan banyak rasa. Rasa itu mungkin dapat diluah, rasa itu mungkin tersekat di halkum atau sukar untuk dilepaskan. Rasa itu mungkin dapat difahami, rasa itu mungkin tidak dapat diselami.
     Kemesraan itu menganyam rindu. Rindu itu menenun ikatan. Rindu itu menjalin kasih sayang. Cintailah  Yang Satu, yang menganugerahkan rindu.

Monday, March 30, 2020

Bulan Madu

Dalam portal berita Astro Awani (Gempak, teks ditulis Maliah Surip, 29 Mac, 20:00 ), penyanyi utama Search, Amy atau Suhaimi Abdul Rahman mengumumkan keluar daripada kumpulan  itu.
   Pengumuman itu dibuat Amy sewaktu bersiaran secara langsung dengan Astro Gempak dalam segmen #ArtisDudukDiam sekitar pukul 3.30 petang. Ayah membesar dengan lagu Search seperti Fantasia Bulan Madu. Liriknya puitis, melekat di jiwa. "Andai dipisah, Laut dan pantai, Musnahlah ilham, Hilang pedoman!" Sedikit liriknya, yang membangkitkan kenangan kita semua.
     Ilham ada di sekeliling kita, ada dalam diri kita. Pedoman pun ada di sekeliling kita, ada dalam diri kita. Duduk di rumah, ilham dan pedoman tetap menemani kita. Sebahagian besar daripada kita sedang berbulan madu di rumah. Nikmatilah!

Saturday, March 28, 2020

Anugerah

Seperti yang kita semua tahu, setiap saat kita semakin tua. 
     Ketuaan ini perlu diisi dengan sesuatu yang memberi kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain. Sedikit atau banyak mungkin penting bagi seseorang, yang lebih penting, kita istiqamah atau berterusan melakukan kebaikan. Gunakanlah segala kelebihan yang kita ada. Yang suka makan, boleh berkongsi makanan, yang suka kata-kata, boleh berkongsi kata-kata, yang suka ilmu, boleh berkongsi ilmu, sebarkan kebaikan antara kita.
     Menjadi tua sepatutnya menjadikan kita lebih matang. "Menjadi tua adalah satu anugerah," kata Eddie kepada cucunya, Spencer di akhir filem 'Jumanji: The Next Level'.
   

Sirih Pinang

Sireh pinang di dalam puan,
Untuk hidangan putera perkasa,
Selamat jalan duhai pahlawan,
Tabah hatimu semangat waja.
Ini sebahagian lirik Sireh Pinang,  nyanyian Azlina Aziz.  
     Lagunya dimulakan dengan lirik yang berbentuk pantun.  Ejaan terkini 'sireh' ialah 'sirih'. Apakah maksud 'puan' di baris yang pertama?  Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat,  puan bermaksud sejenis tempat sirih yang diperbuat daripada emas atau perak (biasanya dipakai oleh permaisuri, pengantin perempuan atau sebagai tanda kekuasaan raja). Dalam kamus yang sama,  sirih pinang bermakna barang-barang yang dibawa kepada seseorang (sebagai tanda penghormatan). 
     Sirih dan pinang penting dalam masyarakat Melayu. Jadilah kita seperti sirih dengan pinang dalam apa-apa situasi sekali pun.  

Friday, March 27, 2020

Menghidupkan

Hari ini 'Earth Hour'. Ayah baru 'membelek' laman Instagram,  di laman Instagram 'majalahdewan'    mengucapkan Selamat Hari Teater Sedunia.  Semalam rupanya,  27 Mac. 
     Pada pendapat ayah,  semua orang penting dalam pementasan teater,  yang di atas pentas dan yang di belakang belakang pentas atau di belakang tabir. Walaupun bertugas sebagai pemetik suis lampu,  pementasan tidak dapat berjalan tanpa kita.  Semua orang adalah penting. Masuk teater tidak semestinya kita akan jadi pelakon,  boleh berimpian untuk menjadi pelakon yang hebat dengan mengasah bakat yang ada.      
     Yang lebih penting dalam teater,  teater mengajar kita lebih berdisiplin. Disiplin ini akan membawa kita ke mana-mana sahaja. Teater menghidupkan kita. Terima kasih AK Hidayat dan anak-anak teater Semsas. Moga maju jaya. 

Lebih

Jumaat kedua tanpa solat Jumaat. 
    Saat ini,  nampaknya nama Mak Cik Kiah sedang mencanak naik. Mungkin minggu ini akan jadi milik Mak Cik Kiah. Petang tadi ayah ke Lanchang, ke Mempaga Segar membeli barang, susu Hana yang dibeli sebelum Perintah Kawalan Pergerakan sudah habis. Kena beratur,  ikut giliran,  tidak boleh bersesak-sesak seperti biasa.  Maghrib, Umi suap Hana makan. "Hana nak makan sayur?" sekali dengar macam Umi cakap Korea😅. Sebelum tidur setiap malam pula,  sudah jadi macam drama. "Macam magnet," kata Along kepada Angah yang mengekor ke mana-mana untuk tidur dekat dengan Along. Ada masa Along tidak kisah,  ada masa jadi drama sedih.
    Esok Sabtu,  kita mengharapkan keadaan lebih baik dari hari ini.  Kita mengharapkan yang duduk di rumah sihat , yang bekerja pun sihat. Semoga Allah SWT melindungi kita semua. 

Wednesday, March 25, 2020

Angkat

Di rumah pun boleh belajar, asalkan ada disiplin.
     Waktu pagi antara waktu terbaik untuk kita belajar. Sebelum itu, tidur perlukan cukup supaya dapat bangun awal. Di asrama ada jadual yang ketat supaya kita dapat membiasakan diri, supaya kita dapat menyesuaikan menjadi orang yang cemerlang. Sudah bangun awal, boleh buat kerja sekolah. Jika letih, berehat. Jika tidak faham, boleh tanya ayah dan emak. Ayah dan emak bekerja, boleh tanya abang atau kakak. Abang dan kakak tidak ada, boleh tanya cikgu. Tidak perlu angkat tangan, angkat jari sahaja dan tekan papan kekunci, semua di hujung jari. Malu makan perut lapar, begitulah peribahasa Melayu. Maksudnya ialah kalau tidak mahu berusaha tentulah tidak akan mendapat kejayaan (Kamus Dewan Edisi Keempat).
     Orang yang cemerlang bangun awal pagi. Orang yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk diuji, Insya-Allah.
      

Bisa

Duduk di rumah, jangan lupa buat kerja sekolah.
     Biasa pagi-pagi lagi, jika keadaan kelas tidak memuaskan, pasti Cikgu suruh bersihkan lagi. Jika sudah biasa bertugas di kelas dan di kamar, pasti balik rumah juga begitu sebab sudah jadi rutin dan tabiat. Di sekolah bertugas dengan kawan-kawan, di rumah dengan adik-beradik. Jika hanya seorang, tetap dibuat sebab sudah biasa. Boleh juga belajar buat perkara lain seperti menyiang ikan. Takut luka? Berhati-hatilah.
Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa alah bisa, tegal biasa. Maksudnya bahaya hilang kerana kebiasaan (Kamus Dewan Edisi Keempat).
     Jika sudah ada disiplin dalam melakukan sesuatu, pastinya di mana-mana pun kita begitu. Insya-Allah, disiplin dapat membantu walaupun duduk di rumah.

Tuesday, March 24, 2020

DR

Hari ini 25 Mac, Hari Polis. Selamat Hari Polis.
     Hari ini masih di rumah. Selain membaca, ayah keliling rumah Opah. Kait kelapa muda boleh dikatakan selang sehari. Hari ini ayah tebang tebu. Sudah lama tidak kunyah tebu. Selain dikunyah dan diminum airnya, tebu juga gunanya untuk baling penyamun. Belalang guna tebu untuk baling penyamun, Badan dan Nyawa yang mencuri lembu dan kambing orang kampung. Peribahasa Melayu yang sohor tentang tebu,  tanam tebu di bibir mulut, maksudnya, mengeluarkan kata-kata yang manis untuk memujuk (memuji dan lain-lain)(Kamus Dewan Edisi Keempat).
     Dalam keadaan sekarang, duduk rumah (DR) atau duduk di rumah (DDR), sesuai digunakan peribahasa  Melayu 'seliang bagai tebu, serumpun bagai serai' yang bermakna (orang yang) seia sekata. Seia sekata kita mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April 2020.

Tangggungjawab

Duduk di rumah, menyambut hari lahir, Achik tidak sabar menunggu kek hari lahirnya yang ditempah.
     Bukanlah kek sahaja yang ditunggu rupa-rupanya, permainan Spiderman yang berdiri di atas kek itu yang buat dia tidak sabar. Menyambut hari lahir dengan parut 'chickenpox' masih di muka, Spiderman masih tidak lepas daripada genggaman,  makan kek mahu  Umi suapkan. Permainan tidak ada di rumah Opah, anak-anak Opah semua sudah tua😂. Yang dipanggil 'adik' pun sudah ada anak tiga.
     Seperti kata Pak Cik Ben, Ingat, dengan kuasa yang besar, datangnya tanggungjawab yang besar! Duduk di rumah pun Achik dapat belajar sesuatu, duduk di rumah satu tanggungjawab yang besar untuk kita semua. Selamat Hari Lahir Achik!

Monday, March 23, 2020

Payang

Pergi ke Terengganu, antara tempat wajib singgah ialah Pasar Payang. 
     Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, payang atau pemayang ialah sejenis pukat (untuk menangkap ikan). Orang payang pula merujuk kepada penangkap ikan yang menggunakan payang. Perahu payang  bermaksud sejenis perahu nelayan (untuk menarik pukat). Dalam kamus yang sama, salah satu peribahasa Melayu tentang perahu ialah terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik. Maknanya ialah
sebelum mengeluarkan perkataan hendaklah berhati-hati, kalau sudah terlanjur tidak dapat ditarik balik. 
     Duduk di rumah, boleh menelaah Syair Perahu, karya Hamzah Fansuri. Di sebalik perahu kata-kata, begitu banyak cetera, tokok ilmu di dada, buka mata dan  buka minda.
    
    

Sunday, March 22, 2020

Inspirasi

Hanya nama-Mu kupuji kusanjung,
dilafaz pertama suara azan fajar,
langkah kananku seperti dilindung,
andainya tersandung rebahku bersujud,
dan hanya nama-Mu kupuji kusanjung.
Lagu nyanyian Caliph Buskers ini bagi ayah ada 'roh', begitu mengesankan.
      Apabila rasa perlukan sesuatu, mahu berehat daripada penat, diuji kehidupan, ayah suka dengar lagu atau baca sesuatu yang memberi ayah inspirasi seperti lagu ini. Ayah selalu ingat sahabat ayah, pak cik Farihan Md. Sih yang tabah menghadapi kehidupan, ayah melihat Mohd. Sukur Ibrahim, ayah melihat Nick Vujicic dan ayah membaca tentang As-Syahid Syeikh Ahmed Yassin yang berjuang untuk Islam dan Palestin. 
        Kata Ustaz,dunia tempat berpenat, sorga tempat berehat. Di sekeliling kita banyak insan yang hebat, yang Allah SWT kurniakan kehebatan, menjadi inspirasi untuk kita, Alhamdulillah.

Kerjasama

Hari Israk Mikraj, masih duduk di rumah.
    Ayah keluar sekejap, beli barang di kedai runcit, sunyi tidak ada kenderaan, sampai di kedai barulah ada, itu pun boleh dibilang, tak sampai sebelah tangan. Rasa ngeri pun ada, tidak sengeri para doktor dan jururawat yang berhadapan dengan pesakit  yang boleh dilihat dan virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Bosan kita di rumah umpama langit dengan tanah yang dipijak berbanding barisan hadapan yang mempertaruh nyawa menguruskan secara langsung wabak Covid-19.
     Bersyukurlah, duduk di rumah masih ditemani keluarga, ditemani kucing Opah yang tiada bernama. Saat yang sama, barisan hadapan sedang berjuang untuk kita semua tanpa keluarga di sisi! Ingatlah, jika tidak boleh membantu, berilah kerjasama, jangan menyusahkan orang lain! Kucing pun boleh duduk di rumah!

Friday, March 20, 2020

Puisi

Ayah baru buka 'Twitter'. 'Twitter' Dewan Bahasa dan Pustaka mengepos informasi tentang Hari Puisi Sedunia, iaitu pada 21 Mac.
       Agak lama juga tidak menulis puisi, puisi yang ayah tulis biasanya sajak. Ayah lebih suka menulis sajak yang rima hujungnya hampir sama bunyinya. Contoh mudah, 'Dunia makin resah, wabak  belum menyerah, sedaya upaya dan berserah, seluruh ada hikmah.' Menulis sajak memerlukan kita memilih perkataan-perkataan yang sesuai dengan perkara yang ingin kita sampaikan dan dapat menambah kosa kata.
      Menulis puisi atau apa-apa sahaja, asalkan dapat memberi manfaat kepada pembaca, dapat kita sumbangkan sesuatu yang bermakna. Yang tidak tahu dapat tahu, yang sudah lupa dapat diingatkan, yang sudah tahu, boleh sampaikan kepada yang lain. Ini satu rantaian yang baik.

Masin

Masuk hari yang ke-4 di rumah, mesti sudah ada rasa yang pelbagai. 
    Rasa manis ada, rasa pedas pun ada, rasa pahit pun ada, rasa masin pun ada. Rasa bagi yang bekerja pada saat genting begini, lagilah banyak. Sudah duduk di rumah, carilah sesuatu untuk dilakukan. Pasti ada sesuatu yang menjadi minat kita atau boleh menjadi minat baharu bagi kita selain makan dan tidur.  Peribahasa Melayu ada berbunyi 'belum tahu dimasin garam', maksudnya masih belum mempunyai pengalaman (Kamus Dewan Edisi Keempat). 
     Jika sudah dibuat berulang kali sesuatu yang baharu, mungkin menjadi pengalaman yang menyeronokkan tatkala duduk di rumah. Dalam masa yang sama, sentiasa berdoa agar keadaan pulih seperti biasa, Insya-Allah.

Paha

Hari ini 20 Mac 2020, Jumaat yang tidak ada solat Jumaat.
      Jumaat  lepas belum ada lagi Perintah Kawalan Pergerakan. Tun Dr. Mahathir Mohamad pun sudah kuarantin diri di rumahnya. 14 hari masa kuarantin diperlukan. Menteri Kesihatan Belanda pun sudah letak jawatan. Dalam masa seminggu pun macam-macam boleh berlaku. Oleh sebab itu,  kita memerlukan masa 14 hari untuk memutuskan rangkaian jangkitan virus covid-19.
      Kesabaranlah yang diperlukan saat-saat ini dan memerlukan kita cakna untuk merujuk pihak yang betul jika memerlukan sebarang bantuan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Covid-19 sudah menjadi masalah kita bersama, cubit paha kanan, paha kiri sakit juga.

Thursday, March 19, 2020

Mimosa

Diam diam berpandangan,
Mata bertentang mata,
Malu malu aku malu,
Kaubuat begitu.
Secebis lagu yang tidak asing bagi yang sudah tua seperti ayah, Diam-Diam Jatuh Cinta, nyanyian Ramlah, cukup mengasyikkan.
      Cukup baik ada  perasaan 'malu' apabila melibatkan hubungan antara lelaki dengan perempuan.   'Malu' ini harus dijaga seelok-eloknya. Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa malu berkayuh, perahu hanyut, maksudnya, kalau segan berusaha tidak akan mendapat kemajuan (Kamus Dewan Edisi Keempat). Sudah duduk di rumah pula, ayah menunjukkan kepada Angah tumbuhan yang amat pemalu. Semalu atau nama saintifiknya mimosa pudica' yang pemalu, disentuh terus menguncup daunnya. Ditinggalkan dan datang semula, daunnya kembali terbuka.
    Apabila ingin belajar tentang sesuatu, 'malu' harus diletak ke tepi buat sementara waktu. Apabila melibatkan perhubungan  lelaki dan perempuan, 'malu' wajib menjadi benteng yang kukuh, Insya-Allah.

Siti

Siti bilang,
Siti bilang,
Siti bilang 
dia mahu cuti.
Begitulah sedikit petikan lagu Danial Zaini, lirik lagu oleh Harry Khalifah.
     Dalam keadaan sekarang, kita berdoa bukan sahaja   untuk Siti, untuk kawan-kawan Siti juga agar keadaan kembali tenang seperti biasa. Sekarang, Siti dan kawan-kawannya pasti terlalu sibuk dan letih. Kita berharap Siti dan kawan-kawannya dapat meluangkan masa dengan lebih lama bersama keluarga tercinta. Buat masa sekarang, kita perlu menyokong Siti dan rakan-rakannya menjalankan tugas untuk negara dan kita kekal duduk di rumah. 
    Walaupun hanya duduk di rumah, ini dapat membantu Siti, rakan-rakannya serta kita semua. Duduk di rumah demi kesejahteraan negara tercinta.

Wednesday, March 18, 2020

Mr. Wallace

Waktu sekolah rendah dahulu, semua memanggilnya Mr. Wallace, itulah guru bahasa Inggeris Opah.
      Bagi Ayah pula, waktu di sekolah rendah, jika ada yang minta izin untuk keluar ke tandas walaupun sekadar menyebut,"May i go out," itu sudah dikira amat hebat. Mesti cakap dalam bahasa Inggeris (waktu bahasa Inggeris)  jika mahu keluar dari kelas. Umi dengan Ateh pula sudah hafal ayat dalam bahasa Inggeris siap-siap dari rumah sebagai persediaan. Jika Umi mahu berjumpa Mak Ngah di kelasnya untuk mengambil pensel warna, jika waktu itu waktu bahasa Inggeris, maka ayat yang sudah dihafal boleh digunakan.
      Tanpa kita sedar, guru bahasa Inggeris membuatkan kita berdoa hampir setiap hari. Sentiasa berdoa agar tidak terasa atau tidak perlu ke tandas sewaktu cikgu bahasa Inggeris sedang mengajar. Itulah hebatnya guru Bahasa Inggeris. Habis tu, bila mahu jadi mahir bercakap dalam bahasa Inggeris?

Bahaya

Pada saat ini, kita resah gelisah disebabkan sesuatu yang kita tidak nampak dengan mata kasar dan cukup berbahaya.
    Kita semua menjadi lebih sensitif atau beremosi disebabkan Covid-19 yang melibatkan kita semua. Yang menguruskan secara langsung hal berkaitan Covid-19 pastinya lebih letih, bukan setakat mental, malah juga fizikal. Media sosial penuh informasi berkaitan wabak ini dan pastikan kita mengepos informasi yang benar-benar sahih.
     Tidak perlulah kita menambah gelisah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan cacian atau makian disebabkan tidak puas hati dengan tindakan individu atau pihak tertentu kerana kita sendiri pasti tidak mahu menerima nasihat dalam bentuk kejian atau hinaan. 

Tuesday, March 17, 2020

Doa

Pada saat kita menikmati nikmatnya sarapan, banyak yang bertugas demi kita semua.
    Saat ini bukannya seperti kita menonton filem, menunggu penyelamat atau adiwira menyelamatkan dunia yang diancam kemusnahan. Saat ini kita sememangnya dikelilingi wira dan wirawati yang bertungkus lumus siang dan malam untuk memastikan  hidup kita lebih baik dan lebih selamat dengan menggadaikan nyawa mereka sendiri. Dalam masa yang sama, sebahagian daripada kita dapat bersama dengan keluarga yang tercinta.
      Duduk di rumah, Insya-Allah dapat kita membantu semua orang yang sedang bertugas pada saat ini, merekalah wira dan wirawati yang harus sentiasa kita titipkan doa agar diberikan kesihatan, dilimpahi rezeki dan diberkati umur oleh Allah SWT.
    

Hikmah

Dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan, Adik pun perlu dibataskan pergerakan, perlu dikuarantin. 
    Tempoh hari, Achik yang kena, sekarang Adik pula. Jenuh Umi sepanjang malam melayan Adik yang gatal menggaru di sana sini disebabkan 'chickenpox'. Rumah Opah meriah, sepupu-sepupunya balik. Semalam ayah ke Mempaga Segar, masih banyak barang seperti biasa. Kedai Cendol Lily pun masih ramai orang. Kuala Gandah  sudah ditutup sejak semalam  buat sementara waktu. Opah pula masih tak menang tangan menerima tempahan kuih. 
     Tiga bulan pertama tahun 2020 mungkin di luar pemikiran kita atau bukan seperti yang kita bayangkan sebelum ini jika direnung  perkara yang telah berlaku. Kita hanya mampu merancang Allah SWT menentukan segalanya. Hikmah sentiasa bersama-sama kita.
      

Monday, March 16, 2020

Suri Teladan

     Kita ialah rakyat. Ahli politik juga rakyat.
    Ahli politik yang mewakili pihak kerajaan dan pihak pembangkang bertanggungjawab terhadap negara tercinta ini. Dalam menangani Covid-19, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas pada Isnin malam berkata bahawa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac hingga 31 Mac ini (portal berita Astro Awani, Isabelle Leong, 16 Mac 2020, 23:01). 
     Ahli politik tidak perlulah saling menuding jari sepanjang masa mencari salah dalam apa-apa isu sekali pun kerana akan menyulitkan keadaan. Yang harus dicari dan disepakati ialah jalan penyelesaian. Ahli politik seharusnya menjadi suri teladan, menjadi contoh kepada rakyat.

Sunday, March 15, 2020

Doa

Di rumah Atuk dan Opah pun ada sudah pokok anggur.
     Tempoh hari, Along bertanya pasal pengangguran. Susah tentu kata dasarnya 'anggur'. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, pengangguran ialah perihal (keadaan) menganggur, keadaan (ramai) orang tidak mempunyai pekerjaan. Pengangguran bermusim pula bermaksud pengangangguran yang terdapat (berlaku) pada jangka masa tertentu disebabkan keadaan cuaca yang tidak membolehkan sesuatu pekerjaan dilaksanakan dan lain-lain). Covid-19 yang melanda menyebabkan ada yang perlu bercuti tanpa gaji. Mungkin juga ada yang kehilangan pekerjaan.
     Di samping kita mengikuti langkah pencegahan, seharusnya kita berdoa kepada Allah SWT agar semuanya selamat kerana Covid-19 turut menjejaskan ekonomi negara, terutamanya kita,  rakyat yang bekerja.

Rasional

Kita sedang hidup pada zaman fitnah berleluasa.
    Media massa dahulu terhad kepada media cetak seperti surat khabar dan majalah media elektronik seperti radio dan televisyen. Sekarang? Semuanya di hujung. Dalam portal Berita Astro Awani (Bernama, 16 Mac 2020, 00:42) Kementerian Kesihatan menafikan mesej yang tular dalam media sosial hari ini bahawa Malaysia akan dikenakan perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar (lockdown) esok ekoran penularan COVID-19. 
'Lockdown' itu dikatakan pada hari ini. Cukup bahaya jika  tanpa berfikir, kita terus menularkannya.  Kita semua perlu rasional sebelum menyebarkan sesuatu berita atau perkara.
      Sama-samalah kita berdoa supaya kita dapat kembali hidup seperti biasa. Tidak perlulah kita menularkan sesuatu berita atau perkara yang kita sendiri tidak sahih atau dicurigai kebenarannya. Moga Allah SWT melindungi kita semua.

Kulit

Sebelum mengopi, ayah makan kacang.
    Ralit makan kacang, kacang cap Tangan. Sebut tangan, sekarang, sanitizer laku di pasaran, begitu juga penutup muka. Cuti, di rumah sahaja, hari ini cuaca panas, hujan turun beberapa kali dan berhenti. Makan kacang, teringat peribahasa 'panas hari, lupa kacang akan kulitnya (Kamus Dewan Edisi Keempat). Maksudnya, orang yang lupa akan asalnya (orang yang telah menolongnya dll) setelah menikmati kesenangan dan lain-lain. 
     Dalam kehidupan, kita mungkin kulit kacang, kita mungkin juga isinya. Sedar  tidak sedar, sudah banyak kacang ayah makan. Menjadi kulit kacang pasti hati tidak tenang.

Friday, March 13, 2020

Ubat

Di saat Covid-19 sudah menjadi pandemik, seluruh dunia berbicara tentangnya, kita masih menyimpan hati yang hitam.
      Kita masih mencari salah orang, kita masih menganggap kita sahaja yang betul. Kita tidak senang melihat orang melakukan kerja yang betul, kita tidak senang duduk diam melakukan kerja kita sendiri. Apabila kita rasa terganggu melihat orang melakukan kerja dengan betul, ternyata kita ada masalah hati yang iri. Jika kita tidak mahu melakukan kerja kita sendiri, jika kita tidak mahu menolong orang lain supaya lebih senang, kita perlu duduk diam-diam dan jangan pedulikan orang lain.
      Covid-19 dihantar untuk kita sebagai ujian, kita sedang melalui hari-hari yang hitam. Hati yang hitam, istighfarlah ubatnya.

Wednesday, March 11, 2020

Suci

Umi terlibat menguruskan hal Mailofa, eh Mai, Neelofa turut berkongsi cerita tentang Mai di Twitter.
     Cerita fasal Mai mungkin satu Malaya sudah tahu. Sewaktu SPM tempoh hari, cerita Mai bermain di bibir Umi, selalunya cerita kakak Fatin sahaja😂. Sesungguhnya, malang tidak berbau. Kisah Mai mengingatkan ayah sewaktu ayah di semester akhir. Mai terlibat dengan kemalangan dan semalaman berada di hospital, waktu itu peperiksaan SPM masih berlangsung. Ayah kagum dengan ketabahannya, Allah SWT memberinya kekuatan dan dia tetap fokus dengan peperiksaannya. Alhamdulillah, sekarang dia boleh fokus mengejar impiannya.
     Setiap daripada kita ada kisahnya. Kisah Mai boleh menjadi inspirasi untuk kita semua. Sebarkanlah kasih sayang antara kita, semuanya bermula dari hati yang suci.

Taksub


Kadang-kadang kita perlu memilih kerja atau memilih sesuatu dengan  teliti.
     Ayah masih mengingati kata-kata Hajah Safiah yang menyatakan bahawa kita perlu memilih program berimpak tinggi atau memberikan kesan yang besar, kesan yang maksimum,  kesan yang terbaik.  Apabila kita memilih sesuatu yang memberi impak maksimum, Insya-Allah kita akan mendapat hasil yang berkualiti, hasil yang betul-betul memuaskan hati. Memilih bukanlah bermaksud kita terlalu berkira-kira tetapi kita perlu memilih perkara atau program yang berimpak tinggi supaya berbaloi dengan kerja keras yang telah kita lakukan. 
     Kita perlu memilih sesuatu yang berbaloi dalam hidup kita dan orang di sekeliling kita. Kita tidak boleh terlalu taksub dengan sesuatu, menganggap kita tidak ada pilihan lain dan kepercayaan itulah yang akan membunuh kita perlahan-lahan.

Monday, March 9, 2020

Pujian

"Limpahkan aku dengan kegembiraan dan aku akan melakukan apa sahaja tanpa sebarang sebab," begitulah kata-kata Frank Llyod Wright dalam buku Mutiara kata susunan Adi Alhadi.
     Antara sifat manusia ialah mereka tidak suka diberi arahan atau diarah-arah. Kata Dr. Nizam,"Guna kata 'tolong'. Contoh ayat, "Tolong buang sampah."Kata ayah,"Guna ayat tanya." Contoh ayat,"Sampah dah buang?". Ayah bersetuju dengan Cikgu Hamdan. "Gunakan pujian," kata Cikgu Hamdan. Contoh ayat,"Ayah tahu abang rajin buang sampah, Ayah tahu kakak rajin kemas rumah. Kakak baik suka sebab suka tolong emak kemas rumah." Gabungkan pula ayat tanya dengan kata pujian (kata adjektif pancaindera) berserta kata perintah 'tolong'. Contoh,"Kakak yang cantik boleh tolong ayah?"
Sesiapa pun pasti suka akan pujian. Kita semua akan gembira.
     Insya-Allah, apabila kita  gembira, kita akan buat tanpa dipinta, kita  tidak berasa dipaksa, kita akan buat dengan gembira.

Alhamdulillah

Semalam Hari Wanita Sedunia. Hari ini hari lahir Opah. Minggu lepas hari lahir Atuk.
      Kata Opah,"Dah tua." Kalau Opah tua, ayah pun tua juga. Setiap saat kita bertambah tua. Tua mengajar kita sesuatu walaupun mungkin kita merasa kita masih muda. Ayah selalu sebut kalau mahu jadi tua tengok orang yang lebih muda, kalau mahu jadi muda tengok orang yang lebih tua. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, tua dimaknakan sebagai sudah lama hidup, sudah lanjut usia (tidak muda lagi), sudah berumur.Tua-tua pula membawa maksud kiasan, iaitu kepala, pemimpin, penghulu (orang yang tua yang dianggap berpengetahuan dan berpengalaman). 
    Selamat Hari Lahir Opah! walaupun Opah cakap sudah tua, semangat Opah mengalahkan orang muda, masih bekerja di hari tua-tua kerajaan baharu diumumkan. Opah masih sihat, masih kuat, bisnes tetap jalan, Alhamdulillah.

Saturday, March 7, 2020

Alhamdulillah

Sabtu, Umi ke UMP Pekan, Hana di rumah pengasuh, Ayah, Angah, Along dan Achik ke sekolah.
      Hari ini sukan di sekolah Ayah. Angah dan Along sudah biasa di sini, tinggal Achik 'berkepit' dengan Ayah. Kerja ayah bercakap hari ini. Hari sukan hari yang ditunggu-tunggu. Hari yang cerah, hari yang meriah, persaingan yang sengit. Senamrobik sebelum acara sukan begitu rancak dengan lagu-lagu rancak. Acara bermula, riuh bertambah. Sudah lama tidak berlari, ayah berlari hari ini. Di penghujungnya, Skylab Juara Kosas ke-44 2020, Alhamdulillah!
    Menang atau kalah selalu diambil kira. Yang paling penting, kerjasama menggerakkan segalanya. Alhamdulillah, tahniah kepada semua! Menang atau kalah, yang paling utama, kita telah pun berusaha!

Thursday, March 5, 2020

Ghairah dan Tahniah

Saat ini ayah menunggu mi kari, air barli panas sudah sampai.
     Ayah seorang sahaja di sini. Umi mengambil anak-anak ditemani kakak Fatin yang baru mengambil keputusan SPM pagi tadi. Kakak Fatimah pula tidak dapat mengambil keputusan SPM hari ini kerana berada di Acheh. Sewaktu ayah meronda asrama petang tadi, ayah terjumpa kata-kata Sir Winston Churchill,"Success is going  from failure to failure without loss of enthusiasm." Keputusan peperiksaan di tangan, mungkin ada yang sudah merencana sesuatu, mungkin ada yang merasakannya satu bencana. Kejayaan akan  mengajar kita, begitu juga kegagalan yang akan lebih mengajar kita. 
   Selagi ada keghairahan untuk menggapai bintang di langit, gagal atau berjaya bukanlah persoalannya. Keghairahan pasti membantu kita mencari jalan dan mengetepikan alasan. Tahniah untuk semua yang kekal  ghairah mengejar impian!

Tuesday, March 3, 2020

Temu Kata

Ada perkara yang  kita rancang, ada perkara yang dirancang orang lain, yang paling hebat, perancangan Allah SWT.
     Setahun sekali kami bertemu, kadang-kadang dua tahun sekali. Bertemu untuk mendengar kata-kata, menambah ilmu, bertukar fikiran, menambah pengalaman dan mematangkan fikiran. Di kelilingi kata-kata, kami menilai perkara yang telah ditetapkan untuk dinilai. Kami duduk bersama, berbincang, ada perkara yang perlu dielakkan atau dibuang terus, ada perkara yang boleh teruskan dikekalkan dan diamalkan, ada penambahbaikan.
       Alhamdulillah, semuanya seperti yang dirancang. Bertemu dan berkata-kata. Bertemu untuk jadi lebih baik, untuk lebih menghargai satu dengan yang lain.

Pagi

Ada masanya pagi tidak dimulakan dengan kopi.
    Pagi ini kita mulakan dengan kata-kata. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, peribahasa 'usahlah teman dimandikan pagi' bermaksud janganlah dipermainkan dengan pujian yang berlebih-lebihan. Manusia memang suka akan pujian. Kadang-kadang dengan sedikit pujian boleh mengubah keadaan, terutamanya bagi  si anak kecil. Kadang-kadang dengan sedikit pujian boleh membuat seseorang tersenyum.
     Segala pujian hanya untuk Allah SWT. Sedikit pujian di waktu pagi, Insya-Allah dapat membangkitkan motivasi.

Sunday, March 1, 2020

Nikmat

Along dan Angah cuti. Achik pula bangun pagi banyak bintik-bintik pada badan.
     Umi ada perkhemahan, awal pagi, ayah bawa Achik ke klinik. Dia teruja tengok banyak bola. Ayah cakap tunggu dia sihat baru boleh masuk. Apabila Achik tidak dapat bermain dan melihat abang-abang bermain, tidak  duduk diam di atas kerusi. "Kena cucuk tak? Lepas jumpa doktor boleh main tak?" itu pertanyaannya. "Chickenpox," kata doktor. Ya, Achik perlu diasingkan, dapat cuti seminggu. Mahu diasingkan itulah cabarannya, apatah anak kecil yang tidak boleh duduk diam.
     Sihat satu nikmat. Kita harus bersyukur dan menghargai nikmat sihat, menjaga diri kita, orang yang kita sayang supaya sihat, Insya-Allah.

Tanda Tanya

Banyak perkara yang tak dijangka, banyak perkara yang tak mungkin difahami.
      Satu Mac, malam, ayah mengopi, kopi yang pertama untuk hari ini. Pagi tadi, Umi membawa Along ke sekolah, kejohanan sukan, Along masuk perbarisan dan acara lari. Ayah di rumah dengan yang lain, sambil mengambil tahu isu semasa yang sehangat kopi dan tidak tahu bila akan reda. Kopi pun akan suam dan sejuk. Media sosial pun begitu hangat, kita perlukan sesuatu yang membina,  bukan sumpahan, bukan kecaman dan penghinaan.
   Ya banyak perkara yang tak dijangka, kita mengharapkan segala-galanya baik. Walau kadang-kadang di luar kotak fikiran kita, permainan pemikiran  orang dewasa dan anak-anak tetap mencetus tanda tanya.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...