Translate

Thursday, April 29, 2021

Suruhan

Hari ini Nuzul Al-Quran,  17 Ramadan 1442 Hijrah bersamaan 29 April. Lima ayat pertama mula-mula diturunkan daripada Surah Al-Alaq.
     Rabu lepas kita dikejutkan dengan kapal selam KRI Nanggala 402 yang tenggelam, mengorbankan 53 nyawa (Al-Fatihah dibaca). Kemudian, kita mendapat berita UPSR pula dimansuhkan dan PT3 2021 dibatalkan. Kes Covid pula semakin meninggi, melebihi 3000. Itu antara yang berlaku. Tujuh hari seminggu merakam pelbagai kisah, setiap hari ada saja peristiwa penting, manis dan pahit berlaku.
    Apa-apa pun yang berlaku: Bacalah Al-Quran, fahamilah dan amalkanlah - itulah juga yang sering dipesan-pesan. Ingatlah suruhan-Nya yang pertama.

Monday, April 26, 2021

Mengalir

18 Puasa di Kampong Pisang sudah mengaut 3 juta setelah 10 hari tayangan di Astro First, Alhamdulillah.
      Mengandungi teladan, itulah yang sering disampaikan dalam setiap  filem arahan pengarah kesayangan kita semua, Mamat Khalid. Kali ini, terarah kepada Barkoba. Jika dilihat dari satu sudut, Barkoba sebenarnya mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin. Salah satu ciri pemimpin ialah mampu memberi dorongan untuk orang lain atau pengikutnya melakukan sesuatu. Dorongan ini jika dihalakan kepada kebaikan, sudah pastinya kebaikan itu akan tersebar luas dan memberi impak yang besar dalam masyarakat (Barkoba selalu menyebut 'masyarakat'). Barkoba ialah pemimpin yang dekat dengan hati masyarakat. Barkoba insan yang terpilih kerana kepemimpinan itu cukup berguna untuk kemakmuran masyarakat.
      Menghiburkan dalam menyampaikan pesan, itulah 18 Puasa di Kampong Pisang. Pesannya mengalir di sepanjang cerita dan anak-anak pun boleh faham walau ada watak yang sentiasa tak faham keluar daripada mulutnya. Rugi kalau tak melanggan, rugi kalau tak tengok!

Friday, April 23, 2021

Awan-gemawan Harapan

Langit dan awan selalu mengasyikkan kita, Alhamdulillah.
     "Potok," itu yang selalu Adik sebut, masih ada pelatnya. Tatkala melihat tumbuhan-tumbuhan yang menghijau, langit dan awan turut tak lepas daripada pandangan kita. Kombinasi warna tumbuh-tumbuhan dan warna langit, membuai kita sepanjang hari. Awan-gemawan bermain di langit terbentang. Ada yang berarak-arakan, ada yang berpindah-pindah dibawa angin, kadangkala muncul awan hitam yang menggerunkan, kadangkala awan-kemawan bertamu riang, dan kadangkala seperti tiada berawan, entah menyorok di mana-mana.
       Langit impian dan awan-gemawan harapan sentiasa ada untuk kita dalam cerah siang dan dalam gelap malam. Lihatlah awal keluarnya unggas-unggas pagi dan pulangnya perut berisi menghampiri malam, tak pernah kecewa, Insya-Allah.

Tuesday, April 20, 2021

Suluh

    Hari sebelumnya kami di rumah Opah. Boleh tahan panasnya.
   Semalam lain jadinya,  hujan lebat dan ribut mengamuk. Pokok bacang di seberang jalan rumah Opah, patah dan tumbang. Dulu, Pak Usop yang menanamnya, kemudian Cik Din dan Cik Nor duduk di situ. Sekarang, di situ sudah jadi kebun sayur. Sudah berpuluh tahun pohon bacang tegak di situ, memberikan buahnya, menjadi teduhan unggas dan sebagainya, Ramadan kali ini tewas dek amukan ribut. 
     Amuk ribut  meninggalkan kesan, meninggalkan ingatan. Hapus ribut, hapus hujan yang banyak lagi tebal, Insya-Allah, mentari  menyuluhi kembali. 

Saturday, April 17, 2021

Selagi

     Dulu, Ayah suka dengar celotehannya di dalam bas, macam pengacara radio cara bercakapnya sambil memandu.
     Waktu itu, Pak Usop cukup aktif dalam Persatuan Radio Amatur Negeri Pahang (Peramah). Menurut Pak Usop, kena ambil periksa dalam bahasa Inggeris untuk sertai radio amatur. Pak Usop hampir sebaya dengan Ustaz Mad Ali. Ke mana-mana saja asalkan di Semenanjung Malaysia, jika ada program, Pak Usop dan Pak Jamal yang membawa kami. Pak Usop sudah agak lama bersara, kini kembali menyumbang khidmat, bukan lagi sebagai pemandu. Apabila Ayah sampai di tempat kerja, Pak Usop sudah ada, masih seperti dulu juga.
    Yang memandu, yang di tempat penumpang, pastinya banyak kenangan. Jasa tetap ditabur walau dalam bidang berbeza. Selagi hayat ada, selagi berdaya, Hidup Berjasa!

Ukhuwah

     Beberapa hari lepas,  Ayah berjumpa pak cik Azmy. Beberapa hari sebelumnya, Ayah berjumpa dengan cikgunya.
     Cikgu pak cik Azmy rakan setugas Atuk dan Cikgu Khair satu ketika dulu. Atuk guru Bahasa Melayu, Ustaz Mad Ali guru Pendidikan Agama Islam. Setelah Ayah ditempatkan di tempat yang pernah Atuk bertugas, Ayah pula jadi rakan sekerja Ustaz Mad Ali. Waktu itu Ayah belum kenal Umi. Ingat lagi pada satu malam, setelah habis bertugas, Ustaz Mad Ali ajak mengeteh dan makan kerang bakar di Kedai Makan Azizah, di sebelah kanan jalan besar menghala ke Jaya Gading. Itu kali pertama ke situ,  Ayah suka kuetiau supnya.
      Kadang-kadang kita mengenali orang yang sama di tempat yang berbeza, pada waktu tak sama  dan dalam situasi yang tak terjangka. Hidup ini untuk bersilaturahim dan mengeratkan ukhuwah.

Friday, April 16, 2021

Janji

    Janji terpateri, bersemuka di kawasan Masjid Al-Hidayah Permatang Badak.      
    Pak cik Azmy hebat dalam buat skrip dan lakonan teater. Satu ketika, kami bertugas bersama sebagai Fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Jabatan Latihan Khidmat Negara. Waktu itu, Ayah nak jumpa Opah dan Atuk di masjid Rompin. Pak cik Azmy dan kawan yang lain hantar Ayah ke sana. Di sana, agak lama menunggu, padahal dah berjanji. Ayah hubungi Opah, sudah betul tempatnya di Masjid Rompin, rupa-rupanya yang pisahkan kami  ialah negeri  berbeza. Atuk dan Opah di Masjid Rompin Negeri Sembilan. Ayah, pak cik Azmy dan kawan yang lain di  Masjid Rompin Negeri Pahang.
     'Apa', 'siapa' dan 'di mana' ialah perkara penting dalam perhubungan. 'Sebab apa kita bertemu', 'dengan siapa kita bertemu' dan 'di mana kita bertemu' akan beri pengaruh dalam diri kita sama ada sedar atau tak sedar. Yang penting, pastikan bertemu di tempat yang samašŸ¤­!

Erti

"Betapa berertinya hidup ini walaupun dalam keadaan paling buruk," kata Stephen Phillips (Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi).
     Bangun setiap pagi, ada kalanya mungkin kita merasakan itu merupakan satu pagi atau satu hari buruk lagi yang perlu kita lalui. Kalaulah begitulah setiap pagi, kalau begitulah permulaan hari, apakah ertinya hidup ini? Jadi, kembali semula kepada kata-kata Stephen Phillips, walaupun kita menghadapi situasi paling buruk dalam kehidupan, jika kita masih bernyawa, itu amatlah bermakna. 'Bererti' dari segi maksud kiasan bermaksud berguna, berfaedah, mustahak dan penting. Mengapakah Allah SWT masih izinkan  aku hidup hari ini? Imam Al-Ghazali menjawab, "Kerana dosaku terlalu banyak dan Allah SWT masih izinkan aku untuk bertaubat." 
      Hidup ini ada masa manis, ada masa pahit. Yang buruk datang, yang baik pun datang. Maka, bertuahlah kita yang  masih diberi peluang untuk bertaubat, jadilah yang memberi manfaat dan bukan yang memberi mudarat.

Saturday, April 10, 2021

Menyakitkan

Hidup ini penuh dengan ranjau, luka dan duka.
    Setiap hari kita disajikan dengan  tragedi, kadang-kadang sudah rasa dunia ini tidak selamat, hampir setiap hari ada yang  dibunuh (di Palestin terutamanya), ada juga yang membunuh kerana cemburu, curang, dendam, dikhianati, desakan hidup dan ada juga mengambil jalan dengan membunuh diri kerana sudah putus asa dengan hidup. Setiap ujian akan ada hikmahnya, begitulah yang sering diulang-ulang. Apabila kita sudah hilang pertimbangan, hilang kawalan, maka celakalah jawabnya. 
    Hakikatnya, walaupun cukup pahit dan terlalu menyakitkan,  kita yang masih hidup tak boleh lari daripada ujian. Sejauh mana kita dapat menahan segala badai taufan ujian yang datang, moga Allah SWT memberikan segala kekuatan kerana kita insan yang hina penuh dosa lagi lemah.

Thursday, April 8, 2021

Tanggung dan Jawab

Menjadi anak sulung bukanlah boleh dipilih-pilih.
    Menjadi anak sulung begitu beruntung dan istimewa kerana kita buah hati pertama ayah ibu dan kasih sayang ditumpahkan sepenuhnya  kepada kita. Setelah ada adik, tanpa disangka, banyak pula yang tak terjangka. Kerana ada adik, kita mula ada tugasan untuk dilakukan. Sedikit tugas ayah ibu mula kita ambil alih, membasuh kain, membasuh pinggan mangkuk dan mengemas rumah itu antaranya. Menjaga adik juga menjadi sebahagian tugas kita tatkala ayah ibu menguruskan sesuatu. 
     Menjadi anak sulung memang agak memenatkan, namun sedar atau tak sedar, banyak pengalaman kita dapat dan yang paling penting, kita belajar tentang tanggungjawab. Inilah yang cepat mendewasakan kita, Alhamdulillah. 

Wednesday, April 7, 2021

Pedoman

Lepas makan tiga ketul tauhu, dua ketul ayam dan mengopi, Ayah ke bilik komputer, jumpa pak cik Hafiz, ambil buku kegemaran ayah. Pak cik Hafiz peminat tegar Ramlee Awang Murshid.
     Dalam Buku Mutiara Kata, susunan Adi Al-Hadi, Martin F. Tupper menyatakan bahawa buku yang baik ialah kawan yang baik, hari ini dan selama-lamanya. Paxton Wood mengatakan bahawa berhati-hatilah dengan buku yang anda baca sebagaimana berhati-hati dengan rakan anda, sebab tabiat dan watak anda sering dipengaruhi oleh kedua-duanya. Walaupun hari ini, banyak yang memilih untuk membaca di alam maya, Ayah lebih suka membaca buku biasa, yang boleh diselak-selak helaiannya, rasa lebih puas. 
    Buku dan sahabat memang tak dapat dipisahkan, tak dapat dijauhkan daripada kita dalam mengharungi gembira sedih dan pahit pahang kehidupan. Buku dan sahabat silih berganti menemani kita sepanjang masa, dihantar Allah SWT menjadi pedoman buat kita.
      

      

Monday, April 5, 2021

Al-Fatihah

Bagi kita yang masih hidup, kita sentiasa hidup bersama dengan kenangan. 
     Sejak sekolah rendah  Ayah suka baca majalah kartun. Sebelum membeli majalah Ujang, duit belanja sekolah atau apa-apa duit yang dapat, dikumpul untuk membeli majalah Gila-Gila. Waktu belajar di Tanjong Malim, barulah beli majalah Ujang. Sebelum itu, hanya pinjam dan baca saja. Bekas pensel ayah sewaktu di tingkatan dicat dengan warna merah jambu dan ditampal kartun Kartini, Allahyarham Tembakau antara kartunis kegemaran Ayah. Waktu itu juga suka melukis kartun wanita bertudung dengan merujuk karya Allahyarham Tembakau. Sampai sekarang tak boleh nak 'move on' (pinjam ayat budak-budak sekarang) dengan kartun-kartun dan kartunis pada waktu zaman Ayah membesar. Terima kasih Umi tolong belikan.
   Al-Fatihah (dibaca) untuk insan yang pernah hadir dan memberi kesan dalam hidup kita, menjadi guru dan mengajar kita walau tak pernah bersua. Ya Allah, tempatkan mereka di tempat yang terbaik!

Friday, April 2, 2021

Bahagia

Selain baulu, peneram dan karas yang sekarang ini dimakan tidak kira musim, acar buah juga dibuat Opah.
    Menjelang Ramadan, banyak orang teringin untuk menikmati acar buah, tambah-tambah waktu sahur, nasi panas dan acar buah pun sudah sangat menyelerakan, menambah nasi dalam tak mahu. Setelah kami singgah membeli bahan-bahannya, bahan-bahannya telah cukup, Opah memulakan operasi, memotong buah-buah yang telah dijerukkan. Warna-warni buah sudah nampak menyelerakan, apatah lagi baunya dan dapat menikmatinya. Kenduri-kendara pun acar buah boleh menjadi pemikat selera untuk tetamu yang hadir. Setelah siap Opah memasak, Umi memasukkan ke dalam bekas, tak perlu tutup rapat   penutupnya sebab baru keluar dari kawah, segar dari ladang kata orang sekarang.
      Dapat menikmati sesuatu, satu nikmat yang cukup besar, apatah lagi air tangan ibu,  diadun dengan kasih sayang, nikmat dan bahagianya cukup terasa. Acah buah Opah tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas! 

'Globo'

Singgah membeli bahan-bahan untuk membuat acar buah, Umi ambil sekali belon.
     Biasanya sepeket plastik kecil diisi tiga belon, ini seplastik besar, Ayah pun tak tengok bilangan di dalamnya. Maka, satu rumah Opah diisi dengan belon, selagi tak habis, Adik menyuruh yang ada meniup belon, meniup belon masih belum mahir, bantuan diperlukan. Ayah bukannya boleh tengok belon yang ditiup terlalu besar, risau. Takut belon? Merujuk artikel dalam laman web Iluminasi (https://iluminasi.com/bm/10-jenis-fobia-unik-yang-wujud-dalam-dunia.html), salah satu fobia atau ketakutan yang wujud ialah 'globophobia', iaitu ketakutan  kepada belon. Dalam laman web Hello Doktor (https://hellodoktor.com/keibubapaan/kesihatan-anak/jenis-fobia-belon-kanak-kanak/) menyatakan bahawa 'globo' berasal daripada perkataan Greek maksudnya bentuk bulat belon.
    Belon berwarna-warni terbang ke sana dan ke mari ditiup kipas angin dan dimain anak-anak. Belon boleh meletup bila-bila masa saja. Kadang-kadang, letupan lebih diingati berbanding gembira yang diberi.


Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...