Translate

Saturday, October 28, 2017

Teknologi

"Bila ada 'wifi' baru kita 'download'," kata angah kepada abangnya dan sepupunya.
         Ini kata-kata budah tahun 2017. Yang pastinya zaman anak-anak hari ini  jauh meninggalkan zaman kanak-kanak mak ayah.
        Zaman ayah dulu, elektrik pun tak ada lagi masa tu. Guna bateri sahaja untuk menyalakan lampu. Telefon rumah pun apatah lagi. Zaman itu orang pakai telegram jika ada kecemasan atau hal-hal yang begitu penting. Bukannya aplikasi telegram seperti dalam telefon bimbit hari ini.
        Telegram sekarang dikendalikan oleh TM (kali terakhir ayah menggunakan untuk menghantar pesanan penting untuk ibu bapa pelajar dan ayah tidak tahu sewaktu ayah menulis ini masih wujud atau tidak perkhidmatan ini).
        Akan datang, kita tidak tahu lagi istilah teknologi yang akan bermain di bibir anak-anak kita kerana teknologi sekarang begitu cepat berkembang.
       Celik mata sahaja, teknologi di hujung jari dan kadang-kadang tertidur, telefon pintar masih di tangan.

Tuesday, October 24, 2017

Ulang

Along dan angah terkekek-kekek mendengar dialog yang dilontarkan semasa latihan teater di bawah kendalian AK Hidayat.
     Apa tidaknya, dialog itu perlu diulang banyak kali dan gaya lakonannya juga perlu disesuaikan dialog lucu tersebut. Pengulangan itu perlu untuk menjadikan sebutan dialog lebih jelas dan gaya lakonan atau pergerakan menjadi lebih baik.
    Begitu juga dalam kehidupan kita. Waktu belajar, waktu kerja atau waktu di rumah kita perlu melakukan sesuatu itu berulang kali supaya menjadi satu kebiasaan atau  menjadikan sesuatu itu dapat dilakukan dengan lebih baik.
    Yang membuatkan along dan angah gelak tak habis-habis ialah watak tersebut melepaskan angin berulang kali dan bunyinya begitu kuat. Berulang kali yang ini jika di tempat orang ramai boleh menimbulkan sedikit masalah.
  

Monday, October 23, 2017

Kejut

Kekalahan yang mengejutkan dan kemenangan yang mengejutkan.
          Huddersfield menewaskan Manchester United 2-1. Kekalahan pertama MU musim ini dan kemenangan pertama Huddersfield ke atas kelab utama  Inggeris sejak 1952 menurut laporan Harian Metro (23 Oktober 2017).
          Anak-anak pula apabila sudah seminggu bercuti, cukup susah untuk mengejutkan mereka. Bangun pagi waktu cuti  pun tidak seawal hendak ke sekolah. Dikejutkan pun sudah dua tiga kali, masih menggeliat.
          Ayah mencabut baju abang kedua. Dia menyuruh ayah memakaikannya semula. Jika ayah berkeras tidak mahu memakaikan semula baju kerana telah menanggalkannya,  akan berpanjanganlah cerita. Ayah pun memakaikannya semula. Kemudian, dia mencabut kembali dan dia mengikut ayah ke bilik air.
        Sesuatu yang mengejutkan, Insya-Allah akan berlaku dalam hidup kita. Mengejutkan anak, isteri atau suami serta rakan serumah pada setiap pagi pula ialah kerja sebahagian besar daripada kita.

Saturday, October 21, 2017

Biawak

Ceritanya begini. Abang kedua tidak tahu telefon berada di mana-mana sedangkan dua hari ini ialah Hari Telefon bagi mereka.
      Ayah pun mencari dengannya dan kami temui telefon itu di bawah sofa. Bateri telefon sudah habis dan katanya dia sudah cas semalam. Dia mula meragam kerana mahu main telefon.
       Ayah cuba mengalih perhatiannya. Ayah cakap mungkin tikus besar yang bawa sorok telefon dia. Dia cakap mungkin tikus kecil. Ayah cakap tikus besar yang boleh angkat telefon begitu. Ayah cakap dia tidak perlu risau sebab tikus besar sudah lari keluar rumah dan mungkin sudah mati kerana di luar ada kucing besar menanti.
       Akhirnya dia ke ruang tamu dan dia kembali ke dapur.
     "Mungkin biawak besar semalam masuk ke rumah bawa sorok telefon dia di bawah sofa," katanya merujuk kepada biawak besar yang dilihatnya di belakang rumah dengan ayah.
       Ya, ceritanya sudah jadi lain. Sekurang-kurangnya dia tidak lagi merengek sebab telefonnya habis bateri. Ceritanya sudah mirip lagu Bangau Oh Bangau. Salah siapa?

Kepala

Antara geng yang sama  kepala dengan ayah ialah Dominic Toretto dan Luke Hobbs, tetapi kepala ayah tidaklah 'licin' seperti mereka.
     Anak-anak juga dibawa ayah ke kedai gunting kerana cuti sekolah sudah hampir ke penghujung. Sukar untuk mencari kedai yang sesuai kerana fesyen rambut sekarang bermacam- macam dan rambut gaya budak sekolah ada yang tidak tahu. Fesyen rambut macam ayah cukup senang untuk dibuat.
      Dua abang sudah biasa digunting rambut tetapi abang ketiga yang ketika masih belum serasi dan selesa di kedai rambut. Ayah memegangnya kuat-kuat dan dia meronta-ronta. Badan dan kepalanya tidak duduk diam. Penggunting rambut pun tidak berani ambil risiko kerana dia meronta-ronta. Ayah pun akur.
     Semalam pula ayah mencukur kepala adik dan buat sementara waktu ayah ada geng yang sama kepala di rumah.
     

Wednesday, October 18, 2017

Bau

Tungku tidak dapat dipisahkan daripada ibu-ibu dalam pantang.
         Kebiasaannya, pucuk mengkudu direbus sebagai ulam. Rasanya pahit.  Daun mengkudu pula  menjadi pelapik tungku panas sebelum tungku dibalut dalam kain. Tungku dipanaskan di atas api dapur terlebih dahulu. Daun mengkudu akan mengikut bentuk tungku yang pelbagai. Jika tungkunya bulat, daun mengkudu akan terbentuk seperti itu.
        Bau daun mengkudu yang membalut tungku panas cukup ayah suka. Nak tahu baunya, kenalah cuba sendiri menyediakan tungku.
      

Tuesday, October 17, 2017

Sepit

        Kalau di rumah, angah dan along yang berebut-rebut mengambil daun kari jika umi buat ketam telur masin.
        Ketam berkaki sepuluh, berkulit keras dan sudah tentu ada sepit. Kuat burung kerana sayap, kuat ketam kerana sepit bermakna kuat atau berkuasa kerana sesuatu kelebihannya (Kamus Dewan Edisi Keempat).
      Peribahasa yang paling diingati tentang ketam pula ialah ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Maksudnya ialah orang yang menasihati orang lain tetapi dia sendiri tidak berlaku seperti yang dinasihatinya (Kamus Dewan Edisi Keempat).
     Cuti-cuti begini jika berasa hendak makan ketam bolehlah ke Sajian D'Awan di Tamas Tas. Jalan-Jalan Cari Makan pun datang sini. Kami pernah ke sini sekali makan ketam lembut.
        
     

Pagi

Bersarapan di mana pagi ini? Apakah yang mahu dimakan pagi ini?
     Pertanyaan ini cukup popular apatah lagi jika hari cuti kerana pilihannya cukup banyak. Jika teringin makan buah, boleh mulakan dengan epal pada waktu pagi kerana kulit epal mempunyai serat pektin yang membantu pergerakan usus dan mencegah sembelit (Makanan Yang Betul Pada Masanya, iSIHAT September).
      Tak tahu nak makan apa? Makanlah apa-apa sahaja yang sesuai untuk dimakan pada waktu pagi, sementara ada selera, sementara ada makanan.
      Jika tidak ada selera, susah juga dibuatnya. Kurang satu nikmat pagi ini.

Sunday, October 15, 2017

Buncit

Sebut sahaja teh, pasti ayah teringat Cameron Highland. Seingat ayah, sewaktu tingkatan 6, ayah tidak mengikut rombongan ke Cameron Highland kerana peperiksaan STPM hampir tiba.
     Ayah sampai ke Cameron Highland setelah bekerja. Dek kerana terlalu teruja,  ayah berjalan kaki menuruni puncak Arabella ke Mardi. Disambut dengan bunga-bunga berwarna warni dan mencari-cari pokok teh. Sewaktu pergi bersama dengan umi dan anak-anak berserta opah dan atuk pula, kami singgah di Cameron Valley dan membeli teh hijau Cameron Valley.
      Dalam Mingguan Malaysia hari ini pula menyatakan bahawa jika mengamalkan minum teh hijau kosong setiap masa sebelum makan dapat memberi kesan mujarab untuk menghilangkan masalah perut buncit (Estetik bersama dengan Dr. Rushmini Maris Ismail, Marissa Esthetic, Semenyih Sentral, Semenyih, www.marissaskin.my). Insya-Allah.

Thursday, October 12, 2017

Cepat

Masa berlalu begitu cepat. Ayah sudah masuk kerja hari ini dan pusat adik sudah gugur semalam.
     Murid-murid PT3 pun sudah habis periksa semalam. Masing-masing menunggu hari terakhir persekolahan pada hari esok dan mereka akan bercuti seminggu. Along dan angah pun tidak sabar untuk bercuti dan menunggu sepupu-sepupu balik untuk bermain.
     Sebentar tadi juga Thalhah berlari ke bilik air dengan cepat.  Ayah mencabut  bajunya kerana terkena muntah. Mungkin perutnya sudah penuh susu dan sate.
    Cepat masa berlalu bererti kita semakin cepat tua dan semakin dekat dengan mati.

Wednesday, October 11, 2017

Selamat

Malang tak boleh ditolak, mujur tak boleh diraih bermaksud nasib buruk tidak boleh dielakkan, begitu juga nasib baik tidak boleh dicari-cari (Kamus Dewan Edisi Keempat).
       Kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja. Ayah dahulu sememang gila naik basikal. Pada lutut pun memang ada parut naik basikal. Kalau berdarah, cepat-cepat  berlari ke semak, ambil daun kapal terbang, kemudian kepal-kepalkan dalam  tangan atau digosokkan dengan kedua-dua tapak tangan supaya daunnya separa hancur dan ditepek pada luka yang berdarah.
       Anak-anak pula apabila berjumpa sepupu, bermain tak cukup tanah. Di situlah tempat berlari, di situlah tempat mengayuh basikal dan di situlah tempat main bola.
       Kemalangan? Memang tidak dapat dielakkan. Alhamdulillah selamat, tidak apa-apa.

Kejut

Sudah dua malam angah minta milo ais sebelum tidur. Selalunya dia minta nestum.
      Bercerita pasal ais, Iceland kembali membuat kejutan. Selepas mengejutkan England di suku akhir Euro 2016, Iceland yang populasi penduduknya 330,000, layak ke Piala Dunia (Russia 2018) selepas menumbangkan Kosovo 2-0.
      Along juga nampaknya mengejutkan angah kerana sudah mahir mengayuh basikal. Along juga terkejut pagi tadi kerana beg sekolahnya tidak ada di dalam kereta setelah sampai di sekolah.

Monday, October 9, 2017

Nota

Tinggalkan nota jika mahu ke mana-mana. Itu antara mesej penting dalam kisah besar 127 Hours.
      Ya, perkara ini cukup penting kerana ahli keluarga terutamanya atau kawan perlu tahu untuk mencari kita jika ada apa-apa yang berlaku.
      Ayah pernah dihubungi seorang ayah yang mencari anaknya kerana ada kematian dan anak itu tidak pulang ke rumahnya dan rekod keluar kawasan tidak ditulis. Jenuh menguruskan perkara tersebut dan anak itu didapati berada di rumah kawannya.
      Di samping meninggalkan nota atau pesanan, nota atau pesanan perlu jelas apatah lagi apabila berurusan dengan anak-anak seperti along dan angah.
       Ayah cukup resah dan berdebar jika tidak nampak along di muka pintu sekolah takut-takut salah faham sewaktu menyampaikan pesanan.
       Apa-apa pun jangan lupa tinggalkan nota dan pesanan perlu jelas supaya tidak keliru.

Merah Jambu

"Saya nak air 'jauh'," kata ayah. Itu ayah minta jika sesekali mahu minum air lain selain kopi 'o'.
    "Air apa?"
    "Bandung," terang ayah.
     Bayangkan sirap campur susu dengan air batu yang sudah sebati di dalam gelas diteguk perlahan-lahan dan masuk ke dalam kerongkong terus ke esofogus dan ke dalam perut di waktu betul-betul dahaga dalam cuaca yang membahang.
     Sudah dapat bayangkan? Jika tidak pejamkan mata sekali lagi dan bayangnya warna merah jambunya dan titik-titik air di sekeliling gelas yang berais.
     Masih tidak dapat bayangkan? Fokus kepada warna merah jambu. Ya, merah jambu.
     Gelang pada pergelangan tangan sewaktu di hospital ialah merah jambu. Itu baru ayah perasan, tujuannya untuk membezakan jantina anak yang dilahirkan.

Saturday, October 7, 2017

Syukur

Ayah suka akan fakta seperti mana Sherlock Holmes dalam filem Mr. Holmes. Faktanya, Alhamdulillah anak ayah dan umi sudah empat orang.
      Penantian sudah berakhir. Cuma abang-abang tidak sabar menanti adik pulang ke rumah dari hospital. Petang itu umi bersalin dan tengah malam terpaksa masuk ke dewan bedah kerana pendarahan yang banyak. Syukur  Alhamdulillah, semuanya selamat.
     Sabtu petang, umi dan adik sudah boleh balik. Abang-abang berlari melihat umi dan adik tiba. Tambahan pula, adik berlainan jantina daripada mereka bertiga.

Wednesday, October 4, 2017

Penantian

Menunggu. Sebut sahaja menunggu, ada satu ungkapan popular yang berkaitan dengannya dan dalam lagu pun ada ungkapan itu.
       'Penantian satu penyeksaan' sering meniti di bibir tatkala sedang menunggu atau menanti. Sewaktu di kampung, musim durian cukup seronok. Menunggu durian tak gugur-gugur, namun  bangun pagi  sudah ada di bawah pokok.
       Menunggu bas sekolah juga cukup terseksa jika bas sekolah tak sampai kerana rosak atau tayar pancit di tengah jalan. Pernah juga ayah mengejar bas dua tiga kali di Hentian Puduraya kerana bas yang ditunggu disangka lambat  rupa-rupanya diparkir di tempat lain dan lalu di depan ayah tanpa berhenti.
        Angah dan along pula asyik bertanya bila adik mahu keluar daripada perut umi kerana sudah lama menunggu dan sudah bulan Oktober kata mereka.

Tuesday, October 3, 2017

Dinding

Apakah yang menarik perhatian ayah apabila ke sesuatu tempat? Salah satunya ialah lukisan kerana sebahagian kegemaran ayah ialah melukis.
      Apabila ayah memarkir kereta di Teluk Cempedak, ayah tertarik dengan grafiti di situ. Daripada dinding dibiarkan kosong, amat molek diisi sesuatu seperti itu.
        Zaman ayah belajar dahulu kami diminta menghasilkan karya dengan meniru karya pelukis-pelukis terkenal sebagai satu latihan. Ayah meniru karya Francisco de Goya, iaitu 'Still Life of Sheep's Ribs and Head, The Butcher's Counter'. Cabarannya ialah mencampurkan warna-warna asas untuk mendapatkan warna seperti warna asal lukisan.
       Grafiti yang terpampang di dinding kedai Teluk Cempedak  pula antaranya gambar burung dan anak ayam yang 'besar' (fazzfigura). Di rumah, umi dan ayah masih membiarkan 'grafiti' yang dihasilkan anak-anak di dinding.
      

Sunday, October 1, 2017

Terakhir


         Tahun ini nampaknya juara buat kali terakhir di Litar Antarabangsa Sepang milik pelumba Red Bull Racing. Max Verstappen  berjaya mengetepikan cabaran pendahulu kejuaraan Grand Prix Formula Satu (F1) 2017,  Lewis Hamilton daripada pasukan Mercedes AMG Petronas yang menduduki tempat kedua.
      Pernah sekali ayah menonton perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang. Ternyata ayah lebih selesa menonton di televisyen sahaja. Pada waktu itu, ayah tidak menyangka bunyi deruman enjin kereta-kereta lumba itu begitu kuat. Gegendang telinga ayah berasa  seperti hendak pecah tanpa fon telinga.
      Zaman ayah sekolah, pelumba Ferrari yang banyak menaiki podium. Yang ayah ingat ialah Alain Prost. Dan petang tadi, abang berasa gembira kerana dia mengayuh basikal menggunakan dua tayar.

Mengapakah Masih?

 Kauseperti langsung tak cuba untuk mengerti sedangkan lama sudah kauberjanji memilih diam di tanah suci. Mengapakah  masih  kaunyalaka...