Translate

Wednesday, May 31, 2023

Simpan

Kita semua ada kebiasaan. Ada yang suka duduk tempat yang sama, mungkin sudah jadi tabiat atau rutin.
          Antara baris ayat yang perlu sentiasa ada dan segar dalam pemikiran kita, "Betulkan yang biasa, biasakan yang betul." Jika kita sentiasa mengingati ayat ini, ayat ini mampu membuatkan kita sentiasa muhabasah diri, sentiasa meneliti perangai kita sendiri. Setiap hari sudah pasti tabiat atau rutin yang kita buat.  Adakah rutin atau tabiat kita itu memberi pahala kepada kita atau sebaliknya? Rutin atau tabiat seharusnya memberikan kebaikan kepada kita dan kebaikan kepada orang di sekeliling. Kadang-kadang, ada tabiat yang kita rasakan betul sebenarnya tidak betul. Tambahan pula,  tindakan untuk menegur pada hari ini semakin terpinggir kerana yang menegur pada hari ini sering pula disalah erti dan dipersalahkan. Oleh sebab itulah kita perlu sentiasa renung-renungkan tabiat kita sendiri atau muhasabah diri untuk jadi lebih baik pada setiap hari.
           Kebiasaan yang baik akan membantu kita  pada setiap masa untuk melalui hidup yang lebih bererti. Kebiasaan yang baik itu ada pada setiap orang dan ada pada diri kita jika kita amati. Yang baik itu harus disimpan dan terus menjadi amalan, Insya-Allah.
            
          
         

Sunday, May 28, 2023

Perhati

Kadang-kadang, kita sering memerhatikan kucing. Kadang-kadang, kita yang menjadi perhatian kucing.
          Kucing mencuri perhatian kita dalam pelbagai gaya, kadang-kadang nampaknya seperti lapar perhatian pada sepanjang masa. Pagi-pagi pintu dibuka sudah membuatkan kita terkejut, terjengul kepalanya di celah-celah pintu pagar besi dan mula beraksi. Apabila turun ke bawah, nak melangkah pun susah, menggesel-geselkan kepala dan badan pada kaki. Mungkinkah aksi lahir ini daripada hati? Ya, 'perhatian' itu kata dasarnya ialah hati. Hati itu pula banyak maksudnya. Di dalam tubuh kita, ada hati. Ya, hati itu organ, hati itu juga tempat perasaan. Selain 'perhati'  dan 'memerhati', 'hati' juga melahirkan 'hati-hati' dan peribahasa seperti 'hati bagai baling-baling' yang bermaksud fikiran atau pendirian Yang tidak tetap.
           Sepanjang masa Allah SWT memerhatikan kita semua. Kita pula asyik memerhatikan banyak perkara di sekeliling kita yang menarik perhatian kita. Diharapkan kita sama-sama dapat melihat kebesaran dan kebenaran yang disediakan Allah SWT di muka bumi ini melalui pemerhatian yang mendalam, Insya-Allah.

Thursday, May 25, 2023

Hidup Berjasa

Musim bunga kembali, bunga kembali mekar dan Ibu kembali menjejakkan ke sini sebagai Tetamu Kehormat.
           Dikenali sebagai Ibu di Semsas,  Puan Roslina binti Abd Aziz meneruskan Hidup Berjasa, kini beliau merupakan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid dan Kepimpinan, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia. Ibu kembali ke sini menitipkan pesan untuk anak-anak, pesan untuk mendakap kecemerlangan. Perjalanan menuju kejayaan itu memang sangat panjang dan pastinya berliku-liku. Peribahasa Cina ada menyatakan bahawa sebutir permata tak akan berkilat tanpa digosok, begitu juga dengan seorang manusia yang tak akan sempurna tanpa ujian kehidupan. Dengan segala daya upaya dan cara, ilmu seharusnya dituntut dan dipelajari untuk mencapai apa-apa yang kita cita-citakan. Kata Ibnu Mubarak, "Aku hairan orang yang tidak menuntut ilmu! Bagaimanakah ia mahu membawa dirinya kepada kemuliaan?"
           Umpama bunga-bunga yang berkembang mekar, begitulah impian kita untuk mengecap kecemerlangan dalam kehidupan, sentiasa mekar di dalam taman jiwa kita. Ingatlah, sudah menjadi tugas dan kewajiban kita, mengejar kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Hidup Berjasa!

 

Sunday, May 21, 2023

Percaya

Ayah tak sepandai Umi buat roti telur. Maka, dengan kepercayaan yang ada, dan sedikit bantuan ilmu daripada Encik Google, Ayah mula bertindak.
           Kepercayaan sentiasa harus ada dalam diri kita. Kepercayaan ini banyak mendorong kita dalam meneruskan kehidupan seharian. Kepercayaan yang sedikit biasanya akan disertai tindakan yang lambat, ditambah pula dengan kurangnya ilmu, akan bercambahlah ketidakyakinan dalam diri. Jika sudah ada ilmu perlu pula diamalkan kerana jika tidak diamalkan, kita akan tidak nampak atau merasa hasil daripada tindakan atau amalan tersebut.  Tentu kita pernah mendengar peribahasa Melayu yang sering disebut orang, "Alah bisa tegal biasa." Begitu juga kata-kata dalam bahasa Inggeris yang berbunyi, "Practice makes perfect." Sekecil-kecil kerja hinggalah sebesar-besar kerja memerlukan percaya sebagai pemula.
            Bermula dengan percaya dan berakhir dengan tindakan, itulah antara cara untuk menambah baik diri kita sendiri. Kepercayaan yang banyak dan didorong ilmu yang cukup serta  tindakan yang cepat membuatkan kita lebih cepat dapat melihat kesan atau hasilnya, kemudian dapat menambah baik atau mengubah suai jika ada kekurangan. Percayalah!


Thursday, May 18, 2023

Senyum

Ayah terjumpa kata-kata yang lebih kurang begini maksudnya mengikut pemahaman Ayah dalam laman Instagram @joker.qu0tes, " Sesiapa saja boleh buat anda tersenyum tetapi tidak semuanya atau tidak setiap orang boleh membuatkan anda gembira."
            Jika kita perhatikan dalam kehidupan seharian yang kita sedang lalui dan yang telah berlalu, pastinya ada yang membuat kita tersenyum. Dari orang tua sehingga ke anak kecil, semuanya boleh membuat kita tersenyum. Kadang-kadang, binatang seperti kucing pun boleh buat kita tersenyum walau kucing tidak boleh bercakap dan banyaklah pula yang suka bercakap dengan kucing. Tersenyum mungkin juga itu tandanya gembira, mungkin juga tidak, itulah kemungkinannya. Gembira itu tidak boleh disorok, boleh dilihat pada wajah. Banyak perkara boleh membuatkan kita tersenyum, banyak juga perkara yang boleh membuat kita gembira. Anak-anak selalunya membuat kita gembira, kadang-kadang tak jadi nak marah dengan keletah mereka, dengan kata-kata mereka. Itu antara kuasa yang ada pada anak-anak. Kita marah macam mana pun, dia akan tetap datang dekat dengan dia.
            Tersenyum dan gembira, lihatlah diri kita, nilailah diri kita. Pastilah senyum dan gembira kita mahukan  untuk menceriakan hidup kita. Jika tidak boleh buat orang lain gembira, jika tidak boleh buat orang  lain tersenyum, senyumlah kerana senyumanmu begitu menawan.
            

Monday, May 15, 2023

Selamat Hari Guru

Pantun Melayu.
Bunga Cempaka bunga Melati,
Dibawa orang ke Bukit Sagu,
Moga Cikgu dirahmati diberkati,
Selamat Hari Guru Cikgu.

Sebab

Kucing memang suka menjilat. Hidung sendiri pun kucing jilat. Setiap tingkah laku, setiap tabiat sudah tentu bersebab.  Begitu juga dengan manusia.
            Setiap orang ada tingkah laku tersendiri.  Setiap tingkah laku, hanya tuan punya badan yang jelas dengan sebabnya.  Orang lain boleh meneka, boleh jadi betul, boleh jadi salah. "Ya, baik! Baik ada makna tu!" kata Pak Ali merujuk kepada Abang Jamil yang menyuruh Rohani memanggilnya dengan panggillan tersebut. Itu antara dialog yang kita ingati dan tingkah laku boleh berubah sekelip mata kerana sebab tertentu. Ada tingkah laku yang sudah menjadi tabiat . Ada juga tingkah laku mengikut keadaan   atau situasi dan ada juga tingkah laku disebabkan pengalaman serta peristiwa.
           Kita tidak boleh lari dari sebab.  Sebab boleh menbentuk diri dalam melalui hidup sehari-hari. 'Sebab' seharusnya menambah kualiti hidup kita pada setiap masa kerana hidup yang lebih baik memerlukan sebab yang betul. Sebab yang betul dapat menggerakkan tingkah laku kita dan seterusnya tingkah laku itu sebaik-baiknya dapat menjadi ikutan orang lain.


           
             

Saturday, May 13, 2023

Pantun Melayu - Hari Ibu

Di mana-mana kita berada,
Hari Ibu sama-sama di rai,
Jasa ibu mengalir sentiasa,
Tak terbalas walau berbakti.

Tuesday, May 9, 2023

Waras

Apakah yang kita cari-cari dalam hidup ini? Apakah yang kita tunggu-tunggu selama ini?
           Ada yang suka mencari dan kemudian menanti. Ada yang suka menanti dan kemudian mencari. Kadang-kadang, apa-apa yang kita cari  sudah ada di depan mata, tapi kita masih tak sedar kerana fokus kita mungkin bercabang-cabang. Kadang-kadang, apa-apa yang kita tunggu tak terpacul pun sampai sudah, mungkin sudah ada, tapi kita yang tak perasan. Apabila sudah cari tak jumpa, sudah tunggu tak kunjung tiba, maka mulalah timbullah pertanyaan. Daripada pertanyaan, mulalah berkembang andaian. Andaian yang beranak-pihak kadang-kadang boleh menjadi sesuatu yang menyulitkan dan boleh jadi juga sangat menyenangkan, bergantung kepada prasangka, persepsi dan keadaan sekeliling .
            Hidup sememangnya penuh dengan pencarian dan penantian. Segala-galanya perlu dilalui dengan fikiran rasional kerana kewarasan amat diperlukan dalam apa-apa jua situasi walaupun ada yang sangat menyakitkan.


Friday, May 5, 2023

Syukur

Seperti biasa, baru saja melabuhkan punggung, ada yang datang seolah-olah diundang. Walaupun sebentar tetap menarik perhatian, menikmati sejuk dan tempias, kemudian beredar.
         Musim panas, hujan lebat yang datang satu nikmat  yang sangat besar. Walaupun mungkin sekejap, hadirnya tetap memberikan kesan. Kadang-kadang yang sekejap itu meninggalkan kesan yang besar. Yang datang besar atau kecil, sebentar atau sekejap, yang memberikan manfaat, yang dapat membahagiakan kita, itulah nikmat yang tak seharusnya kita lupakan. Setiap hari kita mendapat nikmat, di saat kita mahukan jalan untuk melintas, ada yang memberikan ruang. Di saat kita memerlukan pertolongan di tempat kerja, ada yang muncul dan masalah kita dapat diselesaikan. Kadang-kadang di saat kita makan pun, makan itu pun sudah nikmat, ada yang menegur dan tolong bayarkan pula.
         Nikmat itu datang setiap hari. Masih bernafas itu pun nikmat yang paling besar kerana tidak ada bil oksigen yang perlu dibayar dan sememangnya kita harus menjadi hamba yang sangat bersyukur. Besar atau kecil, sebentar atau panjang nikmat yang datang itu bukanlah perkara yang perlu diukur, yang diukur sejauh manakah kita bersyukur dengan yang segala kita nikmati pada saat ini.

                 

Thursday, May 4, 2023

Bahagia


Berdua denganmu
Pasti lebih baik,
Aku yakin itu,
Bila sendiri,
Hati bagai langit,
Berselimut kabut.
             Itu lagu yang penuh kenangan, yang dinyanyikan Acha Septriasa. Semua orang mahukan bahagia, tak kira sesiapa.
            Bahagia itu banyak caranya, mengikut persepsi masing-masing. Ada orang bahagia bersendiri, ada orang bahagia berdua, ada orang bahagia berlima dan bahagia itu sangat subjektif serta abstrak. Ada orang bahagia bersama dengan isteri, ada orang bahagia dengan suami, ada orang bahagia bersama dengan anak-anak, ada orang bahagia bersama dengan mak ayah dan banyak lagi. Banyak yang mencari bahagia dalam hidup ini, ada yang sudah jumpa, ada yang sedang melalui dan ada yang masih tercari-cari. Ada orang dapat mengeteh, sudah 'rasa dunia ana yang punya',  ada orang dapat ruang untuk membaca pun sudah rasa bahagia, ada orang rasa bahagia dapat membeli-belah, ada orang rasa bahagia dapat membuatkan orang lain gembira dan macam-macam lagi.
          Bahagia diperlukan selagi hidup. Untuk bahagia, kita tidak boleh lari daripada muhasabah diri dan memperbaiki diri kerana untuk bahagia kita perlu mulakan dalam diri sendiri. Kata Ustaz, "Nak bahagia banyak, banyaklah baca Al-Quran." Semakin kita dekat dengan Allah SWT., Insya-Allah, kebahagiaan semakin menghampiri kita.
        

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...