Translate

Sunday, October 11, 2026

Ikut

Interaksi, aktiviti dan kenduri, itu perkara hari cuti  bersama dengan keluarga, rakan dan komuniti.
          "Ayah, ayam ayah beli kat mana?" Angah bertanya. Ayah menjawab, "Kat Shell." Angah gelak, muka macam tak percaya. Adik pun gelak sambil bergurau, "Ayam belanda." Ya, kadang-kadang ayah singgah di stesen minyak Shell untuk beli Ayam Bismi. Sebelumnya, kami  meredah jerebu ke walimatulurus, tahniah untuk Annawawi dan Atiqah, moga kekal bahagia ke sorga. Malam pun ada aktiviti untuk anak-anak menimba pengalaman untuk nampak gambaran masa depan. Pagi, masa untuk anak-anak mengasah bakat dan kata Angah kepada Adik dan Achik, "Ini masa untuk pecah rekod." Rekod sebelum ini tak ada yang pernah menang. Ayah pun tak ada pengalaman di gelanggang, cakap memang senang. Inilah masa mengutip pengalaman, bak kata bijaksana, "Percayalah pada proses atau percayalah pada usaha."  Proses atau usaha itu pula perlu  berterusan.
         Cuti boleh diisi dengan macam-macam, tidur atau  duduk saja pun boleh. Macam telefon, apabila bateri habis, perlu ambil masa berdiam untuk dicas dan akhirnya kembali penuh bertenaga untuk bekerja.  Nikmati cuti dengan keluarga, rakan dan komuniti ikut cara kita sendiri.


Friday, October 9, 2026

Uar-uar

"Uar-uarkan tu apa?" tanya Adik. Jawab Achik, "Sebarkan." Ayah pula jawab, "Hebahkan, bagi tahu orang lain."
       Sudah banyak kali kami tengok Gerobok Rezeki, Upin Ipin di Astro. Itu yang Abang Izz beritahu supaya diuarkan-uarkan tentang Program Gerobok Rezeki kepada orang ramai. Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan menguar-uarkan sebagai meneriak-neriakkan sesuatu untuk memberitahu orang ramai, mengumumkan (memberitahukan) sesuatu dengan suara yang kuat. Maksud keduanya pula ialah menghebahkan atau menyiar-nyiarkan khabar (berita dll). Ada lagi satu perkataan yang berkaitan, iaitu wara-wara yang bermaksud pemberitahuan, pengumuman, pengisytiharan. Perkara dan peristiwa diuar-uarkan dan ditularkan dalam media sosial sudah menjadi trend global pada saat ini.
       Yang sudah terang lagi bersuluh, menguar-uarkan yang benar dan perkara baik itulah yang sebaik-baiknya dan tak pasti jangan kongsi.  Apa-apa yang kita uarkan diharapkan dapat  membantu menambah nilai diri orang lain, begitu jua sebaliknya.


       

Mengusik


         Maka, selepas Maghrib, Ayah dengan penuh keyakinan membawa Achik dan Adik ke Pantai Selamat. Tujuannya untuk mencari  satu balang kuih raya dan seikat kangkung. Mungkin sebab kangkung murah dan banyak dijual, itulah yang dipilih. 
        Sebelum membeli kangkung, Ayah lalu berhampiran rak roti dan Ayah nampak ada kuih baulu dalam bungkusan plastik. "Ya, kuih baulu kan kuih raya, bolehlah!" itu yang Ayah fikir. Seterusnya, kami ke bangunan sebelah, barang basah di situ. Balik singgah di kedai Eco, mencari benih kangkung, memang tak ada atau sudah habis stok. Janji kuih raya dan kangkung sudah ada. Sampai di rumah, sel otak masih berhubung, teringat ada balang kuih. Ayah pun menggunting bungkusan kuih dan masukkan semua kuih ke dalam balang. Kangkung dipotong pada bahagian batang hampir dengan akar sebab esok Adik nak bawa ke sekolah. Petang balik sekolah, Adik beritahu bahawa semua orang bawa satu balang kuih raya kosong tapi adik bawa satu balang kuih raya yang ada kuih baulu. Ayah ingat satu balang kuih raya maksudnya  satu balang kuih raya yang berisi kuih raya. Oh, rupa-rupanya balang kosong itu akan diisi tanah untuk ditanam benih kangkung! Mati-mati Ayah ingat kuih raya tu nak dimakan lepas penat beraktiviti. 
           Tidak fokus, terlalu penat dan sebagainya mungkin boleh buat kita salah faham dan menyimpang dari laluan asal. Kadang-kadang itulah yang menjadikannya kenangan yang mengusik jiiwa dan kangkungnya kita celur untuk  buat yong tau fu.
         

Tuesday, October 6, 2026

Sejuring

"Ayah nak roti bakar?" tanya Achik. "Ayah dah kenyang, Ayah dah makan tiga juring kek," jawab Ayah.
       "Juring tu apa, Ayah?" tanya Adik. "Juring tu... mari kita tengok kamus!" balas Ayah. Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan juring sebagai sepangsa, seulas (maksud pertama). Maksud keduanya ialah kiasan, iaitu sebahagian, sepotong (kata-kata dsb). Contoh ayat yang diberikan berbunyi, "Dengan jalan ini sajalah aku dapat mengembalikan sejuring kebahagiaanku yang telah hilang." Ayah pun tak ingat sejak bila Ayah kenal dan guna perkataan 'juring'. Anak-anak sekarang mungkin lebih kenal perkataan 'sepotong'. Dalam lagu Selamat Hari Raya, nyanyian seniwati legenda, Puan Sri Saloma, ada guna perkataan 'sepotong'. "Marilah bergembira, bersama menikmati hari raya, mintak mak kuih sepotong, saya mahu makan kerna perut kosong," itulah sedikit petikan lagunya.
       Setiap hari ada sesuatu untuk kita nikmati, sejuring atau sepinggan, hidangan mahupun perkataan — sedikit atau banyak tetap memberi kesan. Hidangan mahupun perkataan yang kita hadam akan membentuk diri kita, dari sudut fizikal mahupun mental. Pilihan di tangan kita!

Sunday, October 4, 2026

Secebis

       Bercerita tentang Formula One (F1), Ayah hanya ada secebis pengalaman di Litar Antarabangsa Sepang sewaktu mengiringi anak-anak murid.
       Ayah masih membaca buku Doktor Umum, Memoir Tun  Dr Mahathir Mohamad, versi Bahasa Melayu terjemahan Datuk A Kadir Jasin (Tokoh Wartawan Negara ke-9), terbitan MPH Group Publishing Sdn Bhd. Kali ini, Ayah membaca Bab 54, mengisahkan '1998: Sukan Hebat dan KLIA'. Memetik kata Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad, "Tidak ada gunanya kita membina litar itu kalau hanya untuk F1 kerana ia akan berlangsung selama tiga hari sahaja setahun. Litar itu mesti digunakan untuk acara lain seperti Perlumbaan Formula Asia dan perlumbaan mingguan amatur yang diadakan di litar lumba Shah Alam. Selepas mencapai rekod pembinaan yang mengambil masa hanya 14 bulan, Litar Antarabangsa Sepang dibuka secara rasmi pada awal 1999." Berbalik pada pengalaman Ayah, Ayah tak sangka sewaktu perlumbaan sebenar di Litar Antarabangsa Sepang, walaupun duduk di tempat paling belakang, bunyinya sangat bingit, boleh mencapai 130 hingga 140 desibel (dB). Itu pengalaman tanpa pelindung telinga.
      Secebis pengalaman yang kita ada atau kita tempuhi, ada masanya ada kisah yang sangat besar di sebaliknya. Dari situ kita harus mengerti bahawa secebis pengalaman atau segudang pengalaman itu tetaplah sangatlah berharga kerana pengalaman itu dapat menghubungkan dengan apa-apa yang telah kita baca atau akan kita baca.



       

Friday, October 2, 2026

Membekas

Tanggal 28 September 2026 (Isnin), kita kehilangan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Hasmah Mohamad Ali yang berusia 100 tahun, Al-Fatihah.
      Dulu, waktu Ayah membesar, kami mengenali dari jauh Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali sebagai Peminat Nombor Satu Badminton Malaysia dan semua orang pun tahu hal itu. Tatkala Ayah membelek buku Doktor Umum, Memoir Tun  Dr Mahathir Mohamad, versi Bahasa Melayu terjemahan Datuk A Kadir Jasin (Tokoh Wartawan Negara ke-9), terbitan MPH Group Publishing Sdn Bhd, sebelum halaman kandungan, terakam di situ kata-kata Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad, "Untuk Hasmah dan anak-anak saya, atas kasih sayang, sokongan, tolak ansur dan ketabahan mereka." Memetik pula kata-kata Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam Bab 10 (Masuk Kolej Perubatan) memoir ini, "Saya rasa, faktor yang mengelak kami daripada terlalu kerap bertengkar adalah sifat tolak ansur kami. Ada kalanya kami hilang sabar, tetapi amat manis apabila berbaik semula."
       Kehilangan membekas. Moga Allah SWT memberikan kekuatan untuk kita yang ditinggalkan dan moga Allah SWT menempatkan di tempat yang terbaik untuk yang telah meninggalkan kita.


Saturday, September 26, 2026

Malam Untuk Faham

Malam minggu di Kuantan ada macam-macam. Dari  pandangan mata helang, nampaknya Kuantan sangat bercahaya.
       Malam minggu di Kuantan di Menara 188 malam ini meraikan anak-anak Pembimbing Rakan Sebaya Sekolah Berasrama Penuh se-Malaysia.  Masing-masing segak dan cantik dengan busana. Di  luar menara yang bercahaya, macam-macam yang ada. Di atas jalan utama nampaknya cahaya tak putus-putus dan  tatkala berpaling, dari kejauhan terlihat Kuantan yang bertukar-tukar cahaya dan sesekali bot malam melintas. Bulan 14 Rabiulakhir nampak penuh dan sesekali juga hilang ditelan awan, kemudian muncul diluah kembali. Ke seberang jalan, Kuantan Art Street diberi namanya, memeriahkan malam dengan pengunjung dan penjual di samping menikmati kreativiti grafiti. Hujan sepertinya mahu turun dan kata-kata pejuang tanah air, pahlawan Mat Kilau di dinding harus sering direnungkan, "Jangan sampai bangsaku tiada negara."
        Malam bercahaya, bukan saja untuk dinikmati malah mengajar banyak perkara untuk direnungkan sebagai pelajaran serta pengajaran. Nikmati malam untuk faham lebih mendalam.

Wednesday, September 23, 2026

Tepat

Membaca boleh menjadi perkara yang menyeronokkan apabila sudah menjadi kebiasaan. Untuk menjadi kebiasaan, sudah tentu perlu diulang-ulang dan kadangkala melalui paksaan juga boleh menjadi kebiasaan.
         Membaca itu boleh jadi membaca pengalaman, boleh jadi membaca khayalan, boleh jadi membaca rekaan, boleh jadi membaca kajian, boleh jadi membaca teori, boleh jadi membaca mimpi, boleh jadi membaca alam, boleh jadi membaca manusia itu sendiri dan banyak lagi. Tujuan pula, ada yang hanya membaca untuk tahu, ada yang membaca untuk periksa, ada yang membaca untuk belajar sesuatu, ada yang membaca mengisi waktu, ada yang membaca dengan matlamat tertentu dan ada banyak lagi yang lain.
        Membaca sedikit atau banyak bergantung kepada kita. Yang sangat penting ialah kita faham dan jelas dengan apa-apa yang dibaca supaya kita tak salah faham atau menimbulkan salah faham dan dapat menyampaikan maklumat yang tepat apabila diperlukan atau apabila mahu berkongsi dengan orang lain.

Saturday, September 19, 2026

Baiki

Apabila mahu keluar dari alam mimpi, Achik menyatakan bahawa salah satu caranya ialah dia akan mencari jalan untuk jatuh. Apabila dia jatuh, menurutnya, secara automatik dia tersedar dan mimpinya berakhir.
       Dalam dunia nyata, kita selalu jatuh. Jatuh pun ada kategori, ada jatuh yang biasa-biasa dan ada jatuh yang luar biasa. Bangkit dari jatuh itulah yang paling luar biasa. Ada jatuh yang senang untuk kita bangkit kembali, ada jatuh yang buat kita terlantar lama. Ada jatuh yang melibatkan fizikal, ada juga jatuh yang melibatkan mental. Ada jatuh sebab kita sendiri, ada jatuh sebab faktor sekeliling. Jatuh pada setiap orang pula tidak sama, ada jatuh nampak biasa pada kita, tetapi luar biasa bagi sesetengah orang. Yang paling banyak jatuh sudah pasti ada pandangan lain berbanding yang kurang jatuh.
       Jatuh di alam nyata selalunya menyakitkan, ada meninggalkan parut dan ada juga hilang begitu saja. Yang paling bagus jika jatuh itu dapat menyedarkan kita untuk kembali membaiki diri dan kembali bangkit berjuang untuk matlamat yang ingin kita capai, tak kiralah matlamat jangka pendek atau matlamat jangka panjang. Selamat berjuang dalam jerebu!

Wednesday, September 16, 2026

Tulang Belakang

16 September 2026 sangatlah bermakna.  Marilah kita terus membaca supaya terus celik dalam memahami sejarah. Janganlah kita terpedaya dengan pihak yang mahu kita melupakan sejarah kita sendiri atau mahu kita salah faham dengan sejarah tanah air sendiri.
         Penjajah yang datang dulu melabelkan bangsa kita pemalas. Janganlah kita mengiyakan tuduhan itu dengan benar-benar menjadi pemalas kerana mengabaikan perkara yang sangat penting, iaitu amalan membaca. Sekarang bukan seperti dulu lagi, hanya ada buku saja sebagai sumber utama. Sangat tidak wajarlah pada hari ini untuk kita malas  membaca, hanya membaca tajuk dan hanya membaca daripada sumber yang tidak sahih. Hari ini, banyak musuh di luar dan musuh dalam selimut  pada setiap masa mahu kita terus keliru dan percaya bahawa kita  bangsa yang lemah sedangkan pada abad ke-15, bangsa kita sudah mendunia.
         Sejarah hanya kekal menjadi sejarah jika kita tidak membaca. Jika  kita tidak mencari kebenaran melalui pembacaan, sia-sialah perjuangan orang terdahulu. Kitalah tulang belakang tanah air tercinta ini yang wajib meneruskan perjuangan nenek moyang yang telah menumpahkan peluh dan darah. Selamat Hari Malaysia!


Monday, September 14, 2026

Satu Hari Lagi

Fajar telah tiba
nan menyinsing membawa harapan
Tanah Semenanjung
Tanah Semenanjung
permata nilam.
       Sebentar tadi, Ayah mendengar lagu Bahtera Merdeka diputarkan radio Manis FM. Seperti biasa, Isnin kebanyakan orang mula bekerja dan menghantar anak ke sekolah, ada yang bergerak sebelum fajar dan ada yang bergerak sesudah fajar.
        Setiap pagi kita bergerak membawa harapan walaupun jerebu masih berkeliaran.  Sambil ke tempat yang dituju dengan matlamat yang sudah ditetapkan, kita dapat melihat ada yang sudah berjual beli dan ada yang berhenti mengisi perut kereta serta perut sendiri. Ada juga yang sudah berbasikal dan berjoging. Sedar atau tidak, kita bukan hanya melakukan untuk diri sendiri dan keluarga, bahkan perkara baik yang kita lakukan itu jua melibatkan negara yang tercinta. Rakyat Sihat Negara Sejahtera dan Bahasa Jiwa Bangsa, itu antara slogan yang sering diwara-warakan dan perkara ini pun sering kita ambil berat dan kita praktikkan sepanjang hari sebagai warganegara yang bertanggungjawab.
        Syukur untuk satu hari lagi  yang penuh dengan harapan kerana masih kita dapat melihat indahnya matahari pagi dan pulang petang dapat melihat indah matahari yang hampir terbenam sebab esok tak siapa yang tahu.


Friday, September 11, 2026

Pedoman

Cuaca agak sejuk pagi ini kerana malam tadi hujan lebat dan moga dapat meredakan sedikit jerebu yang datang dari jauh tak diundang.
        Dari tingkap dapur Ayah dapat melihat bunga-bunga liar yang merebak dan berkembangan, merebak dan berkembang seperti kenangan 1980-an di medial sosial. Pada tahun 1980-an, Ayah masih kecil dan di penghujung 1980-an  Ayah masih bersekolah rendah. Yang Ayah ingat  pasal  fesyen 1980-an tentulah tentang Tok Lang yang nampak begitu 'rugged' dengan jaketnya. Sebelum keluar pasti dibelai rambutnya, ditekan dengan tangan dan dipusing-pusingkan bahagian depan rambut untuk mendapatkan jambul seperti yang diinginkan. Kalau pasal lagu pada era itu, Fantasia Bulan Madu (1987) antara yang Ayah suka dan penghujung 1980-an lagu Isabella (1989) pula menjadi fenomena.
       Waktu berjalan dan kenangan pun bertambah. Kenangan lalu tetaplah dipuja dan menjadi pedoman untuk hari ini dan hari-hari yang mendatang supaya yang baik-baik sentiasa mendekati kita dan menjadikan kita lebih bersyukur.


Monday, September 7, 2026

Al-Fatihah

      Ayah kembali menelaah Facebook setelah mengusik Adik pada petang Sabtu 5 September, Ayah berhenti pada satu paparan, kartunis Nud's atau Aminuddin Alias yang berkarya di majalah Gila-Gila sewaktu zaman Ayah membesar telah meninggalkan kita, Al-Fatihah.
         Kemudian Ayah melangkah ke rak buku, membelek-belek buku yang tersusun dan akhirnya Ayah pun mengeluarkan majalah kompilasi Gila-Gila, karya allahyarham Nud's,  'Once Upon A Time Volume 1'. Apabila air mata telah kering, nampaknya Adik berminat pula dengan majalah tersebut. Dia menyelak sehelai demi sehelai dan kejap-kejap datang suruh Ayah baca, mahu berkongsi lucu. Adik tunjuk gambar seekor ayam yang berjaya melepaskan diri pada akhir cerita kerana watak utamanya, seorang anak kecil tidak memegang kaki ayam kuat-kuat sewaktu bapa mahu menyembelih ayam yang ditangkapnya dengan rasa susah payah. Tak macam hari ini, mahu makan, semua main tunjuk saja.
        Dulu-dulu, majalah kartun antara penghibur utama untuk buat kita senyum sendirian. Hari ini, alam maya mengambil alih tempat tersebut. Terima kasih buat yang pernah menggembirakan dan membuat kita tersenyum walau tak pernah bersua. Al-Fatihah untuk yang telah meninggalkan kita dengan kenangan amat berharga dan bermakna.



Saturday, September 5, 2026

Kesan

Dalam tempoh tiga atau empat hari ini, Ayah sempat menonton tiga filem 'Back to the Future'.
      Dalam filem yang ketiga, Marty merentas masa ke masa silam, iaitu zaman 'Cowboy', mencari kembali Dr. Emmett. Nampaknya, pada zaman itu, ada yang lebih suka menyelesaikan masalah menggunakan senjata.  Sebentar tadi pula, Adik mengajak Achik main tembak-tembak. Dia mengacukan pistol mainan ke arah Achik dan Achik terpaksa berpura-pura jatuh setelah terkena tembakan. Ayah pun mengusik, "Achik dah pengsan kena tembak. Achik tengah sidai baju, Adik  ajak dia main. Sekarang, Adik kena ganti Achik sidai baju." Adik pun mengeluarkan senjatanya yang baharu, iaitu air mata sebagai tanda tidak mahu menyambung kerja  itu. Ayah hanya ketawa melihat telatah mereka.
       Dalam dunia sebenar, kita mesti sedar bahawa ada perkara yang mesti kita fikir panjang sebelum tindakan lanjut dan sewajarnya diambil. Semalam, hari ini dan esok sentiasa berkait dan memberikan kesan untuk kita fikirkan. 

Friday, September 4, 2026

Sedar

Minggu ini kita sambut Merdeka dan cuti sekolah pun hampir sudah ke penghujung, sudah Jumaat hari ini.
      Cuti Merdeka dan cuti sekolah menjadi saat yang dinantikan oleh ibu bapa dan anak-anak yang tinggal di asrama terutamanya.  Berehat daripada urusan kerja sebentar dan melepaskan  lelah menelaah pelajaran serta meninggalkan jadual yang padat sekejap satu nikmat yang sangat besar.    Pelbagai aktiviti yang dirancang dan inilah juga masanya untuk mengurus perkara yang sepatutnya  di dalam rumah dan di luar rumah. Ke pantai bersama-sama  untuk bermain air itu juga saat yang dinantikan anak-anak dan tatkala sampai di pantai, begitu  meriah sekali. Pantai tak pernah menjemukan kita dengan pandangan biru dan hijau sejauh mata memandang ditambah dengan angin yang sentiasa menyambut mesra serta hadiran ombak membelai pantai (eh, ini lirik lagu Alleycats, Suara Kekasih). Atuk dan Opah ditemani Mama melihat cucu-cucu bermain air dari jauh dan pengawas yang bertugas untuk memantau sudah tentu Papa, Baba dan Mama. 
        Merdeka itu membuatkan kita bebas ke mana-mana saja untuk tujuan yang murni. Dalam masa yang sama, merdeka seharusnya kita isi dengan kesyukuran serta kesedaran dalam menjaga alam yang indah ini supaya kekal lestari menjadi milik kita dengan berpegang pada Prinsip Rukun Negara.

Thursday, September 3, 2026

Ingat

Minggu lepas kita sambut Maulidur Rasul. Sudah pastinya berjalan aktiviti yang berkaitan untuk mengingati Rasul Junjungan  kita, Nabi Muhammad SAW.
        Perarakan yang mengalunkan selawat kita jalankan saban tahun. Sedar atau tidak sedar juga setiap hari kita berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Bagaimana acuan begitulah kuihnya, begitulah peribahasa Melayu yang membuatkan kita sentiasa mengingatkan anak-anak, juga mengingatkan diri kita sendiri untuk sentiasa berselawat dan melakukan amalan-amalan atau sunah Rasulullah SAW. Mengingatkan ialah kewajiban kita bersama untuk memastikan kita bersama-sama mengutip pahala dalam setiap kebaikan yang kita lakukan pada setiap hari. Kita kerap lupa dan adakalanya tergelincir dari jalan yang sepatutnya, maka mengingatkan dengan  saling menegur salah satu cara terbaik untuk tetap berada di jalan yang sama, iaitu jalan yang diredai Allah SWT.
       Mengingatkan itu tugas bersama-sama, tugas setiap makhluk yang berakal seperti kita supaya kita sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT dan supaya kita istiqamah mengamalkan sunah Rasulullah SAW serta membanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Bersyukurlah bagi kita yang sering diingatkan tentang kebaikan dan jangan lupa untuk mengingatkan tentang kebaikan.

Wednesday, August 26, 2026

Memperbanyak

Malam Isnin subuh yang indah
Dua belas Rabiulawal yang cerah
Dua puluh april tahun Gajah
Lahirlah zuriat dan syahadah.
          Selain lagu Rasulullah nyanyian Hijjaz, Ayah suka lagu Junjungan Mulia daripada kumpulan Al-Mizan.
          Dalam setiap perkara yang kita lakukan, bermula sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara,  semua kita boleh merujuk cara hidup Rasulullah SAW. Makan ada adabnya, main pun ada adabnya dan semua perkara yang baik kita lakukan dengan niat kerana Allah SWT  itu  menjadi ibadah dalam kehidupan seharian kita. Kita yang beragama Islam sangat beruntung kerana mempunyai suri teladan yang sangat hebat untuk kita ikuti dan teladani, iaitu Nabi Muhammad SAW. Jika dilihat, Buku "100 Tokoh Paling Berpengaruh dalam Sejarah" (tajuk asal Bahasa Inggeris: The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History), karya terkenal tulisan astrofizik, sejarawan, dan penulis Amerika Syarikat, Michael H. Hart yang diterbitkan pada tahun 1978, penulis telah meletakkan Nabi Muhammad SAW pada kedudukan pertama dalam senarai tokoh paling besar impak dan pengaruhnya terhadap tamadun manusia.
          Alhamdulillah, beruntunglah kita kerana setiap hari kita begitu dekat dengan Rasul Junjungan kita, Nabi Muhammad SAW melalui sunah  Rasulullah SAW yang kita amalkan pada setiap masa. Marilah kita bersama-sama memperbanyak selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.


Sunday, August 23, 2026

Alhamdulillah

Hari minggu yang setelah sekian lama tidak terjadi, Alhamdulillah Hari Terbuka Asrama kini kembali.
         Sampai saja, sahabat Ayah sudah ada, Cikgu Rofuad dan Cikgu Hashim juga telah kembali, begitu juga yang lain sudah berkumpul. Anak-anak sudah memenuhi padang dan sejak semalam sudah penuh aktiviti sebenarnya. Dunia dibawa ke dalam bilik anak-anak dan secara tidak langsung mereka menikmati pengalaman tentang negara-negara luar di samping menikmati pelbagai juadah jualan yang membuat rambang mata. Anak-anak bertambah teruja melihat kuda meragut di padang dan yang berpakaian lain daripada biasa menunggang kuda turut menambahkan kelainan. Permainan ringkas dan menarik di setiap kamar meriangkan anak-anak bersama dengan para ibu bapa yang hadir memeriahkan. Banyak yang kembali sudah lain benar roman dan penampilan, apatah lagi pengalaman yang dipunyai.
        Hari Terbuka Asrama menjadi tempat berkumpulnya kenangan. Anak-anak yang kembali sudah punya jalan cerita dan hala tuju sendiri. Di Bumi Hidup Berjasa, bersemangat yang sedang mengasah diri dan banyak yang kembali menabur bakti. Alhamdulillah, Syabas dan Tahniah untuk semua!


Saturday, August 22, 2026

Teruskan

Setiap saat berjalan, usia kita pun bertambah. Dihitung-hitung, benarkah usia mendewasakan dan mematangkan kita?
      Di dalam buku Mutiara Kata susunan Adi Alhadi, terdapat kata-kata yang boleh kita renungkan tentang usia. Menurut Francis Bacon, "Orang muda lebih sesuai mencipta daripada menghakimi, lebih sesuai menjalankan hukuman daripada menjatuhkan hukuman, lebih sesuai melakukan sesuatu yang baharu daripada menyempurnakan apa yang ada." Bicara Socrates pula, "Berikan perhatian kepada orang muda dan jadikan mereka sebaik yang mungkin." Plato pula menyatakan bahawa orang yang tenang dan ceria tidak akan merasakan tekanan usianya, tetapi bagi yang sebaliknya, usia ialah masalah." Ujar W. Somerset Mougham, "Usia tua ialah satu nikmat, walaupun dalam keadaan berbeza, ia tiada kekurangannya dengan nikmat yang dikecap orang muda." " Ketuaan dan kemudaan tidak dapat diletakkan bersama; yang muda penuh dengan kegembiraan, yang tua penuh kewaspadaan," begitulah pendapat William Shakespeare.
       Apa-apa pun yang dialami  di sepanjang jalan usia, semuanya bergantung pada diri kita sendiri, bergantung pada apa-apa yang kita kerjakan, bergantung pada apa-apa yang kita lalui dan temui, bergantung pada apa-apa yang kita boleh kawal serta bergantung juga pada apa-apa yang tiada kuasa untuk kita kawal. Bersyukurlah dan teruskan perjalanan.

Wednesday, August 12, 2026

Dapatkan

Ya, dia sedang bekerja. Masakan tidak, walau dikata orang Monday Blues, semangatnya lain macam, pagi dia sudah jerit-jerit.
       Mana kautahu? Ah, Aku punya telinga macam yang lain. Telinga yang boleh mendengar. Kau takada kerjakah? Itukan kerja dia. Buat apa kaudengar orang jerit-jerit. Jerit-jeritnya sampai ke telinga aku. Aku bukan jenis yang boleh sumbat telinga dengar lagu macam-macam atau dengar apa-apa saja.  Telinga aku mau bebas. Jerit-jeritnya dari Senin sampai Jumaat. Jika tidak pagi, mungkin tengah hari, jika tidak tengah hari, mungkin menjelang petang. Ah, sudah persis lagu. Habis apa yang kaumau? Kerja macam dia? Jika kau takmau begitu, kauharus diam. Biar dia yang jerit-jerit, biar dia buat kerja dia, biar yang lain dengar, nampak dan akhirnya, dari hujung sini sampai  hujung sana, semuanya tahu dia sedang buat kerja.  Dia sangat fokus, tak peduli kerja orang, tak peduli orang, fokus dan komited dengan jerit-jerit. Kautak fokus dengan kerjakau! Ya, kauperlu lebih fokus!
       Ya, teh hijau mempunyai L-theanine yang menenangkan tanpa rasa gelisah, membaiki perasaan hati dan keupayaan tumpuan. Dapatkan secawan teh hijau untuk hari yang lebih indah tanpa jerit-jerit pada setiap hari.


Sunday, August 2, 2026

Nilai

Sudut pandang menentukan siapa kita di mata orang dan siapa orang di mata kita.
       Segala tindak-tanduk diri kita mungkin diperhati, sedar atau tidak kita sedar, begitu juga kita memerhati diri orang lain. Orang yang dekat — saling kita berurusan, orang yang jauh — tak pernah berurusan tetapi kita ambil tahu, pastinya kita akan ada sudut pandang sendiri. Sudut pandang itu selalunya berdasarkan pengalaman kita sendiri, berdasarkan pengalaman orang lain, berdasarkan video yang bertebaran, berdasarkan cakap-cakap dan berdasarkan pembacaan kita. Sudut pandang itu mungkin boleh jadi betul dan mungkin boleh jadi salah. Rasional itu benteng yang wajib ada agar tidak salah faham, tidak salah anggap dan tidak merempuh tembok. Sudut pandang boleh menimbulkan sentimen.
       Pastinya akan ada cerita yang berbeza walau bercerita tentang orang yang sama atau orang yang bercerita tentang kita mengikut sudut pandang masing-masing. Melihat dan menilai diri sendiri itu juga satu perkara penting selain sudut pandang orang lain.


Monday, July 27, 2026

Benar


Membaca dan mengkaji sangat penting supaya kita tahu yang benar. Ada anggapan bahawa benar itu  pahit dan menyakitkan, bergantung jua pada sudut yang dilihat dan kepercayaan yang sudah tertanam.
         Benar itu melibatkan fakta. Sebab itu banyak yang cuba menyorokkan fakta dan sering memutarbelitkan fakta kerana ada udang di sebalik batu. Benar itu wajib disebar luas supaya diketahui semua dan akhirnya semua dikelilingi harmoni. Benar yang senantiasa cuba ditutupi dan seboleh-bolehnya mahu dikambus sedalam-dalamnya berpunca daripada niat yang terselindung — cuba disolek agar cantik di luar, jelas buruk dan busuk di dalam.  Bau busuk tetaplah mengapung dan pantas bertebar.
        Benar itu benih yang baik kerana tumbuh subur walau tidak disiram. Benar tak dapat diubah sebab wujudnya fakta atau bukti yang sahih. Bagi yang waras, benar itu menumbuhkan teladan dan buahnya manis untuk dinikmati bersama-sama.

Wednesday, July 22, 2026

Mengusik


         Maka, selepas Maghrib, Ayah dengan penuh keyakinan membawa Achik dan Adik ke Pantai Selamat. Tujuannya untuk mencari  satu balang kuih raya dan seikat kangkung. Mungkin sebab kangkung murah dan banyak dijual, itulah yang dipilih. 
        Sebelum membeli kangkung, Ayah lalu berhampiran rak roti dan Ayah nampak ada kuih baulu dalam bungkusan plastik. "Ya, kuih baulu kan kuih raya, bolehlah!" itu yang Ayah fikir. Seterusnya, kami ke bangunan sebelah, barang basah di situ. Balik singgah di kedai Eco, mencari benih kangkung, memang tak ada atau sudah habis stok. Janji kuih raya dan kangkung sudah ada. Sampai di rumah, sel otak masih berhubung, teringat ada balang kuih. Ayah pun menggunting bungkusan kuih dan masukkan semua kuih ke dalam balang. Kangkung dipotong pada bahagian batang hampir dengan akar sebab esok Adik nak bawa ke sekolah. Petang balik sekolah, Adik beritahu bahawa semua orang bawa satu balang kuih raya kosong tapi adik bawa satu balang kuih raya yang ada kuih baulu. Ayah ingat satu balang kuih raya maksudnya  satu balang kuih raya yang berisi kuih raya. Oh, rupa-rupanya balang kosong itu akan diisi tanah untuk ditanam benih kangkung! Mati-mati Ayah ingat kuih raya tu nak dimakan lepas penat beraktiviti. 
           Tidak fokus, terlalu penat dan sebagainya mungkin boleh buat kita salah faham dan menyimpang dari laluan asal. Kadang-kadang itulah yang menjadikannya kenangan yang mengusik jiiwa dan kangkungnya kita celur untuk  buat yong tau fu.
         

Saturday, July 11, 2026

Terima Kasih

Petang semalam 'kendurian', anak-anaklah yang paling gembira. Pagi ini,11 Julai, sangatlah berbesar hati ke Sungai Lembing bersama dengan anak-anak, terima kasih tidak terhingga buat Majlis Bandar Raya Kuantan (MBK) yang menjemput dan menghantar.
       Angah dan Adik mengira berapa kali sudah mereka naik bas dan nampaknya sangat teruja. Turut menemani anak-anak, Madam Rokiah dan CC Izan berserta suami. Seingat Ayah, kali terakhir ke Sungai Lembing pun bersama dengan anak-anak, juga atas undangan MBK, Alhamdulillah. Pintu gerbang yang berbatu-batu, itu tandanya sampai ke tempat yang dituju dan kali ini tujuannya menonton pementasan teater "The Stories of Sungai Lembing" sempena pembukaan semula panggung wayang terawal di Pantai Timur.  Bertemu ayah kembali dengan sahabat zaman sekolah, 'tauke bijih timah' - Sakri. Man dan Cikgu Lan pun ada sekali. Jutaan terima kasih buat Puan Suhaliah yang sentiasa menjemput dan menyambut,  Puan  Sharifah serta Encik Wan yang  menghantar dan menjemput.
      Menonton secara langsung, sentiasa mengujakan, memerlukan fokus yang sangat tinggi  bagi pemainnya dan yang di sebalik tabir. Setiap yang terlibat dalam pementasan memainkan peranan penting, di atas pentas dan di sebalik pentas saling melengkapi — itulah teater!

Monday, June 15, 2026

Sajak — Ujar Detik Yang Beredar

Pagi ini aku melihat 
pelangi di lantai bukan di langit
pagi lewat bangkit
dan sebelah kasut terselit kalut.
Detik tak berkasut pantas melangkah
tak peduli meninggalkan aku
di pentas lambat bertali leher merah
dan aku menyelak kata di balik kot hitam
'Buona Giornata' — bahasa Italia
Semoga hari anda indah!
Kukira itu ujar detik yang beredar.

Kuantan
15 Jun 2026

Monday, June 1, 2026

Sajak — Kawan Tak Bertangan

Ibarat berjabat tangan
disambut perkenalan
si anak kecil berebut-rebut
menghulur tebu persahabatan
dicapai kawan tak bertangan
yang berkongsi alam hijau
yang wajar kekal lestari
di tangan yang berakal.

1 Jun 2026

Kuala Gandah

Sunday, May 31, 2026

Sajak — Bau Ramah Kopi

Menoleh bot penambang
di tepian sungai lautan manusia 
berpusu-pusu kecil dan besar
di Titik Tengah Semenanjung
di Bandar Ikan Patin
menolak kereta sorong bayi
mengutip sebaris pengalaman
menolak kerusi roda sarat kenangan —
Apam balik Pulau Pinang, sekali makan terkenang-kenang!
lain dialek berbahasa bermesra
dan bau ramah kopi pun bertebar
kasih pun tumbuh di sini
ulang Tok Mami berkali-kali —
Cinta boleh disemai!

31 Mei 2026
Pekan Sehari Temerloh

Wednesday, May 27, 2026

Belajar

Semalam lepas solat raya, banyak yang masuk korban. Anak-anaklah yang paling suka, mahu lihat ibadah korban.
      Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, korban merupakan perkataan Arab.  Maksud korban yang pertama ialah amalan menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan menyembelih binatang ternakan (lembu, kambing, kerbau dan lain-lain) pada 10 Zulhijjah atau tiga hari selepasnya (hari tasyrik) dengan mengagihkan sebahagian daripada daging itu kepada fakir miskin. Sewaktu ibadah korbanlah anak-anak dapat melihat cara lembu direbahkan untuk disembelih.  Yang lebih mendebarkan tentulah tatkala lembu boleh bangun kembali setelah direbahkan. Yang melihat pun rasa nak lari sewaktu lembu bingkas bangun, apatah lagi yang sedang memegang tali yang terikat pada lembu, cemas itu kelihatan kerana banyak yang diluar jangka dan keselamatan tetaplah menjadi keutamaan. Alhamdulillah, akhirnya semuanya berjalan lancar.
        Ibadah korban satu pelajaran dan memberi pengalaman untuk kita. Ibadah korban itu memberi pengajaran yang sangat besar. Sejak kecil lagi kita telah didedahkan dengan peristiwa yang melibatkan Nabi Ibrahim alaihissalam dengan Nabi Ismail alaihissalam. Inilah masa yang tepat untuk anak-anak belajar tentang ibadah korban.

      

Tuesday, May 26, 2026

Salam Aidiladha

Moga Allah SWT menerima segala amal ibadah kita.
27 Mei 2026
10 Zulhijah 1447

Monday, May 25, 2026

Sajak — Di Lantai Siang

Serangga bersayap
yang terhidang di lantai siang
terkapar bergumpal merayap
diintai si anak mengkarung
lapar tanpa susah payah
melulur enak rezeki bawaan
usai lebat hujan malam.
Rezeki serah diri
rezeki hempas-pulas
kitaran alam aturan Ilahi.


25 Mei 2026

Lanchang


Saturday, May 23, 2026

Dengar

Adakah kita pernah terfikir? Kita sering mahu orang mendengar percakapan kita dan adakah kita mahu dan bersedia untuk mendengar perkara yang  disampaikan oleh orang lain?             
           Mendengar ialah satu kurniaan agung Allah SWT kepada kita yang dikurniakan pendengaran. Yang paling hebat adalah apabila kita dapat fokus kepada perkara yang patut kita dengar untuk tambah nilai diri kita dan orang di sekeliling kita turut dapat manfaat hasil daripada tindakan kita selepas itu. Ada kata-kata yang Ayah baca berbunyi, "Apabila kita berkata-kata, kita hanya menyampaikan apa-apa yang kita tahu tetapi apabila kita mula belajar untuk mendengar, kita dapat menambah apa-apa yang telah kita tahu." Maksudnya apabila kita memperuntukkan banyak masa untuk mendengar, banyak perkara kita dapat tahu dan apabila kita bertanya kerana tidak faham, kita akan mendapat jawapan serta ilmu baharu.     
        Sudah pasti kita tidak mahu jadi seorang yang membosankan bagi orang lain kerana asyik mengulang cerita atau  perkara yang sama, maka selain pengalaman yang kita mililki, mendengar dengan baik satu perkara yang wajib kita praktikkan untuk memastikan diri kita terus berkembang dan kekal relevan.

Thursday, May 21, 2026

Sama-sama

Bumi yang mana tak ditimpa hujan?
Lautan yang mana tak bergelora?
Begitu juga dengan kasih kita,
Penuh ranjau berduri.
Sebaik saja Ayah hidupkan enjin, melangkah ke kereta selepas habis majlis,  lagu ini berkumandang, Menyayangimu, nyanyian penyanyi legenda, allahyarham Saleem.
          Hidup ini memang aneh, penuh dengan suka, duka  dan senda gurau. Kata-kata yang sering kita dengar, "Pabila ada sebuah pertemuan, pasti datang sebuah perpisahan." Sewaktu majlis, pesan Tuan Haji Mahadzir, "Ketepikan masalah, sama-sama berdayung, jangan tebuk kapal kita, nanti kita akan sama-sama tenggelam." Pesan yang sangat dalam daripada beliau, untuk sama-sama kita renungkan. Kita semua pun tak pernah tahu dengan siapa kita akan bertemu dan berpisahnya dalam keadaan yang mana. Namun begitu, dalam senda gurau, ada perkara yang perlu kita ambil berat daripada setiap pertemuan.  Setiap yang kita temui pastinya membawa pelajaran untuk dihadam sebagai pedoman  dalam hidup kita. 
        Dalam hidup, yang tua dihormati, yang muda disayangi, maka itu membuatkan  kita saling melengkapi kerana masing-masing ada peranan.  Harus diingat, semuanya mengejar matlamat yang sama, kejayaan di dunia dan di akhirat. Sama-samalah kita mendoakan yang terbaik untuk semua dan moga ukhuwah terus terjalin.

Monday, May 18, 2026

Kongsi

Pelangi petang muncul setelah ayah balik kerja diiringi titisan hujan. Bermula Hari Guru sehingga tiba hari sambutannya, banyak benar warna peristiwa yang berlaku.
      Bersama-sama anak didik setiap hari sehinggalah muncul anak didik yang telah bekerja, ada yang sudah kembali ke sekolah mengajar, ada yang sedang belajar dan ada juga yang sedang meniti hari bahagia, sungguh warni-warni. Dalam masa yang sama, anak-anak bukan saja tekun di kelas, malah sangat lincah di gelanggang. Bertemu pula dengan sahabat-sahabat dari Zon Timur tatkala berlangsung Pertandingan Bola Keranjang Perempuan SBP, warna tertentu yang sudah sebati boleh membuatkan kita kenal pasukan yang bertanding. Sehinggalah hari ini, Isnin, 18 Mei 2026 Sambutan Hari Guru peringkat sekolah berlangsung, warnanya pun mengikut trend semasa.
        Terima kasih anak-anak untuk 'Strawberry Matcha'. Kadang-kadang warna juga boleh buat kita rasa lapar dan dahaga. Tatkala kita berkongsi warna, itulah bahagia kerana warna boleh memberi kita cerita untuk dikenang bersama. Selamat Hari Guru. Terima kasih Cikgu.


Friday, May 15, 2026

Sajak — Terima Kasih Cikgu

Membenderangi bak bulan
menerangi bak matari 
ajar tutur nur
suluh gelap hidup
terima kasih Cikgu
Selamat Hari Guru.

16 Mei 2026
Kuantan

Sajak — Pepatung Renung

Pepatung renung
bebas mengepak
diatur naluri
di simpang  henti
lampu merah resah
berbaris kesah
diatur akal
diakali nafsu.

14 Mei 2026
Kuantan

Saturday, May 9, 2026

Sajak — Suri Murni

Kasih melewati
bak melur wangi
bakti suci
penyubur atma.
Ibu suri murni.


10 Mei 2026
Kuantan

Saturday, May 2, 2026

Sajak — Teguklah Manis Secawan Reda

TEGUKLAH MANIS SECANGKIR REDA

Tiga hari tanpa secangkir kopi
tiada merangkai bait kata
menimbang kata demi kata
menimbang frasa demi frasa
menimbang ayat demi ayat
menautkan serapi mungkin
di hujung lidah petah
berangkai dan berkait
manis atau pahit akhirnya
teguklah manis secawan reda.


Pekan 

30 April 2026


Friday, April 24, 2026

Sajak - Ingatan di Helaian

Seekor gembala kerbau
muncul di muka pintu kelas
melangkah dua tiga tapak 
berpusing  pantas terbang ke langit
aku hanya memerhati sedang anak-anak
baru menarikan pena melepaskan
ingatan di helaian kertas masa depan. 

24 April 2026
Semsas

Saturday, April 18, 2026

Kongsi

Sabtu bertemu Sabtu, banyak peristiwa berlaku dan ada objektif yang telah dicapai. Hari ini Syawal terakhir, masih ada rumah terbuka dan sudah di rumah Opah.
        Setiap hari sudah ada rancangannya dan setiap rancangan harus dilaksanakan untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan. Rancangan itu adakalanya mengikut seperti yang dirancang dan kadang-kadang ada yang perlu diubah suai mengikut kesesuaian walaupun objektif masih sama. Objektif masih sama, ada masanya kita perlukan perkongsian pintar untuk ke tempat yang lebih tinggi. Tanpa objektif yang jelas dan tanpa mengenal pasti masalah yang jelas, hal ini akan terus memerangkap kita. Maka, anak muda yang bersemangat seperti Cikgu Aidil menemui jalan penyelesaiannya.
        Seminggu yang mendatang pasti  ada cerita yang lain. Objektif yang dikongsi bersama-sama untuk dicapai dengan berkongsi cara yang terbaik pastinya memberi manfaat kepada semua dan pahalanya akan terus mengalir dengan izin Allah SWT.

Saturday, April 4, 2026

Bayang-bayang

Seminggu satu masa yang agak panjang, bersama dengan sahabat-sahabat, banyak peristiwa yang dirancang, dirakam dan yang tak terbayang.
        Bermula saja Isnin selepas cuti raya, seperti yang Ayah ceritakan tempoh hari, saat-saat yang mendebarkan, bukan saja buat anak-anak Sagacious, Ayah dan sahabat-sahabat pun sama, tidak dapat membayangkan perkara yang akan berlaku pada keesokannya,  mengharapkan kegembiraan dan yang baik-baik saja berlaku untuk kami. Begitulah setiap tahun saat keputusan SPM diumumkan, mahu bayangkan yang baik-baik, itulah yang mahu ada di fikiran. Maka, setelah keputusan keluar, Ayah dan sahabat-sahabat mula membayangkan dan merancang tindakan susulan, perjuangan perlu diteruskan untuk yang ditinggalkan dan untuk yang meninggalkan, juga ada perancangan sendiri.
         Kata Ustaz Fuad, "Sahabat ibarat bayang-bayang, sentiasa ada di sisi kita, mengikut kita ke mana-mana saja,  dalam suka dan dalam duka, tetap sentiasa bersama." Membayangkan saat suka dan duka, mungkin rasa bersendiri dan berasa sepi, ingatlah sentiasa bahawa kita sentiasa ada sahabat bak kata Ustaz Fuad.

Monday, March 30, 2026

Terbaik

Sewaktu Ayah singgah di bilik rehat lepas balik dari kantin hari ini, Cikgu Aidil sedang menghadap komputer riba sambil melagu, "Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali!"
       Merujuk Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, penyusun Abdullah Hussain, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali bermaksud jika hendak membuat pekerjaan yang baik, janganlah berlebih-lebihan sehingga tidak pada tempatnya, dan pekerjaan yang jahat hendaklah dihindarkan sama sekali. "Sebab tu jangan buat jahat, kalau kita buat jahat hanya satu kali pun, orang akan ingat!" begitulah diingatkan Opah. Pesan Ustaz pula, banyak perkara yang baik telah kita lakukan pada bulan Ramadan, moga kita dapat teruskan amalan baik tersebut di bulan Syawal ini  dan seterusnya di hari-hari yang mendatang. Hari ini juga, diharapkan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) batch Sagacious bersedia dari segi mental dan fizikal untuk hari esok yang mendebarkan. Ada yang membawa buah tangan, Alhamdulillah, terima kasih Rai, Jannah dan Nana.
       Alhamdulillah, hari ini pun banyak yang baik telah berlaku. Esok yang mendebarkan, 31 Mac 2026, keputusan SPM 2025 diumumkan, moga yang baik-baik akan terus berlaku. Usaha yang terbaik pun telah kita buat. Tahniah untuk semua!


          

Sunday, March 29, 2026

Sentiasa

Esok 10 Syawal, 30 Mac, anak-anak kembali ke sekolah. Sedang Ayah menulis, mercun masih berbunyi, meriahnya Syawal mengikut cara masing-masing.
      Meninggalkan yang disayangi, meninggalkan kampung menuju ke kota, meninggalkan kota menuju ke kampung, meninggalkan kampung menuju ke kampung, meninggalkan kota menuju ke kota, semua ada tujuan setelah habis cuti raya. "Yang ditinggalkan lebih terasa," begitulah yang kerap disebut Opah. Meninggalkan dan ditinggalkan, itulah lumrah kehidupan, kadang-kadang ditinggalkan, kadang-kadang kita meninggalkan, dapat bersua kembali, Alhamdulillah. Yang berlaku tatkala bertemu itulah yang menjadi ingat-ingatan untuk kita terus mengingati yang ada di sekeliling dan yang pernah ada serta hadir di sekeliling kita.
        Syawal yang masih ada, bersama-samalah kita meraikannya dengan cara yang terbaik. Sentiasalah kita mendoakan yang sentiasa membuat kita tersenyum dan yang pernah serta sentiasa cuba untuk buat kita tersenyum.

Friday, March 27, 2026

Nikmat


Menyanyi kerana gembira
Menyanyi kerana sedih
Menyanyi kerana rindu
Aduh, siapa dapat membaca hatiku saat ini?
       Alhamdulillah, syukur, sudah 8 Syawal hari ini. Ayah beralih dari satu tempat ke satu tempat di layar Instagram dan berhenti melihat video yang dipos penyanyi yang tak asing lagi, Mawi yang berduet dengan Dato' Dr. M. Nasir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi  bin Md Nor. Sudah tentu Lagu Jiwa Lagu Cinta antara lagu kesukaan Ayah. Pernah satu ketika, Cikgu Aidil dan Cikgu Din berduet mendendangkan lagu ini di Dewan Al-Khawarizmi. Memang sudah terang lagi bersuluh, seperti ayat terakhir lagu yang Ayah petik, "Aduh, siapa dapat membaca hatiku saat ini?" hanya diri sendiri yang tahu apa-apa yang bermain dalam fikiran dan dalam hati. Hanya Allah SWT yang dapat membaca hati dan fikiran. Manusia hanya boleh meneka-neka saja. Menikmati Lagu Jiwa Lagu Cinta sambil menikmati kuih cara Opah, seharusnya kita menikmati saat yang sedang kita lalui saat ini.
     Seharusnya kita menikmati saat yang sedang kita lalui saat ini walau dalam fikiran dan dalam hati kita ada macam-macam. Pilihlah sesuatu yang dapat menggembirakan diri tanpa memudaratkan diri kita. Walau perkara itu mungkin nampak kecil, yang penting kita gembira dengan cara kita.
          

Wednesday, March 25, 2026

Warna-warni

Syawal kelima, ada yang sudah bekerja, ada yang baru bercuti raya, ada yang masih beraya dan ada yang kembali berpuasa.
        Syawal menemukan kita tatkala kita beraya, ada yang menyambut sekali dengan kenduri-kendara di samping meraikan hari bahagia. Kunjung-mengunjungi menghidupkan suasana, berkongsi makanan dan bertanya khabar, semuanya menjadikan Aidilfitri sangat bermakna. Dugaannya tetap ada seperti  panas lit-lit yang melanda dan ujian-ujian yang tak terduga. Perang masih berlarutan, diharapkan ada titik noktah kerana kebenaran sudah jelas dan musuh Islam itu buta zahir dan batinnya. Keamanan itulah yang kita harapkan dan Syawal ini syukur kita titipkan walau di dalam kesesakan lalu lintas, kita masih boleh pulang ke kampung, masih boleh beraya dan masih boleh pulang bekerja.
        Alhamdulillah, Aidilfitri yang berwarna-warni masih boleh kita raikan bersama.  Syukur itu harus sentiasa ada kerana kita masih punya kesempatan bersama dengan orang yang menyayangi dan mengambil berat akan diri kita pada Syawal indah ini.


Friday, March 20, 2026

Salam Aidilfitri 1447

Salam Aidifitri 1447
Maaf lahir dan batin
Taqabbalallahu Minna Wa Minkum Taqabbal Ya Karim

Syukur

Ramadan terakhir Jumaat, esok 1 Syawal Sabtu bersamaan 21 Mac 2026. Sedang dalam perjalanan, sedang menyiapkan juadah untuk esok atau sudah berehat-rehat menanti hari esok?
        Bagi yang suka lemang dan sedang melemang saat ini, ada beberapa peribahasa berkaitan lemang di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Peribahasa yang pertama, bersandar di lemang hangat bermaksud berlindung kepada orang yang zalim akan binasalah akhirnya. Yang kedua, memakan hendak lemang, membeli hendak pelo bermakna inginkan barang yang elok tetapi enggan membayar harga yang sepatutnya. Yang terakhir, menyandang lemang hangat orang didefinisikan sebagai menanggung akibat perbuatan orang lain. Bagi yang sedang merebus nasi himpit pula, pasti tak lengkap tanpa kuah kacang dan nasi himpit juga sebahagian daripada juadah lontong. Tak sabar rasanya nak makan lontong air tangan Nek Su.
        Alhamdulillah, bersyukurlah kita yang sedang melalui saat-saat ini. Moga semua selamat dalam perjalanan dan moga semuanya baik belaka dalam perlindungan dan dilimpahi rahmat Allah SWT.


Wednesday, March 18, 2026

Ladang

Mungkin besok raya atau tidak, di kiri dan di kanan jalan sudah banyak daging yang dijual, bergantungan paha, pilih bahagian yang mana dimahukan.
         Lagu raya tentulah sangat banyak diputarkan di radio dan Angah tanya Ayah, "Tak tengok ke iklan raya macam tahun lepas?" Tahun ini Ayah tak sempat lagi tengok dan malam tadi baru tengok iklan raya yang Pak Su Apit hantar, dibikin Pak Su dan pasukannya untuk Hospital Putra Melaka. Ya, tatkala kita bersiap-siap untuk balik kampung, ada yang bekerja untuk kesenangan kita  semua, ada yang bekerja untuk keselamatan kita semua,  beraya mereka di tempat kerja, itulah tugas dan pengorbanan tatkala menjadi dewasa. Bagi anak-anak pula, menghampiri raya, gembira tak terkata. Bagi yang duduk di asrama, Selasa, 17 Mac sudah pulang ke rumah. Persiapan menyambut raya pula dapat dilihat di mana-mana saja, anak-anak pastilah sangat seronok. Masih lagi Ramadan, yang belum bayar zakat, bolehlah membayar sebelum terlupa.
         Mungkin esok raya atau tidak, kita mengharapkan Ramadan yang masih bersisa ini terus menjadi ladang pahala untuk kita dan moga kita terus istiqamah melakukan amal dan kebaikan, Insya-Allah.
       

Tuesday, March 10, 2026

Besok Tak Tentu

Dari jendela dandelion
memerhati merpati singgah
terbang dan kembali
merapi dan menari
alangkah indah berteman
secangkir kopi malam ini
mengatur besok tak tentu.

10 Mac 2026
Aurelius, Kuantan


Monday, March 9, 2026

Suara Tanpa Bicara

Ada masanya kita menyimpan senyuman dan ada masanya kita melepaskan senyuman. Senyuman boleh ditakrifkan dengan pelbagai maksud.
      Ada yang sangat pemurah — sentiasa menjungkitkan bibir melepaskan senyuman untuk sesiapa saja. Ada yang sangat kedekut dengan senyuman sehingga dilihat sentiasa masam catung.
Ada yang memilih-milih senyuman untuk diberikan pada waktu yang sesuai dan senyuman itu satu tugas. Ada juga yang melepaskan senyuman sebab ada makna seperti kata Pak Ali, "Baik ada makna tu." Ada juga yang melepaskan senyuman kerana tidak sengaja dan tatkala berasa teruja. Kadang-kadang ada juga yang melepaskan senyuman ketika melihat diri sendiri di cermin atau melihat diri sendiri dulu dan sekarang. Ada juga yang melepaskan senyuman kerana senyuman itu satu sedekah.
       Senyumlah untuk menggembirakan diri sendiri dan orang lain selagi mampu dan ketika perlu kerana senyuman itu suara tanpa bicara yang memberi makna dan kesan.

Tuesday, March 3, 2026

Sajak — Ingatkan Aku

Sahabat
aku tak minta lebih
tolong hulurkan kopi o
yang di dalamnya ada cengkih.
Sahabat
kita sama-sama letih
melawan nafsu mendidih
dan syaitan gigih tak langsung letih.
Sahabat
Kita sama mujahadah
Ingatkan aku selalu Allah!

3 Mac 2026
Sungai Soi


Ikut

Interaksi, aktiviti dan kenduri, itu perkara hari cuti  bersama dengan keluarga, rakan dan komuniti.           "Ayah, ayam ayah beli k...