Translate

Wednesday, February 28, 2024

Syukur

 Pagi ini di laman carian Google  hadir seekor katak sempena tahun lompat, malam tadi pun Angah mengingatkan Ayah. Yang menyambut hari lahir, pasti lama menunggu, pasti banyak yang juga mahu mengabadikan hari ini, 29 Februari, Khamis dengan sesuatu. Anak-anak Al -Imtiaz pun habis berjuang hari ini, Insya-Allah.
       Sekejap masa berlalu, dua hari lagi akan bertemu Sabtu dan Sabtu minggu lepas, 24 Februari Ayah ke Kuantan, kenduri rumah Cikgu Asmui dan Kak Yah. Sampai-sampai, beriring dengan Adi,  banyak wajah yang dikenali dan lama tak jumpa, Ustaz Izalludin baru nak balik. Sebelum ambil juadah, sempat bertemu dengan Rofuad dan Tuan Haji Rahim, sambil mencedok lauk menyapa Puan Hasmawati yang setia menemani Cikgu Jafri menjamu selera. Tuan Haji Nordin baru hendak beransur dan Ustazah Maizom sudah ada. Kemudian, duduk di tepi Cikgu Zul yang sedang makan bersama dengan Cikgu Kamsiah.  Lauk-pauk menyelerakan hasil air tangan Encik Sahak dengan isteri.  Ustaz J, Ustazah  Zainab, Cikgu Norsiati dengan suami, Ustaz Mad Ali dengan isteri, Cikgu Hamir dengan isteri, Cikgu Hashim sekeluarga, Cikgu Bob, Encik Ismail, Ustaz Fakhzan, itu antara yang ada pada waktu itu. Tuan Haji Zaimi pun hadir.
        Masa berlalu, terlalu banyak yang berlaku, ada yang ingat, ada yang lupa. Yang berlalu sudah pergi, yang bakal datang belum pasti, yang sedang dilalui saat ini, harus kita nikmati, hargai dan syukuri, Alhamdulillah.

          

Saturday, February 17, 2024

Tumbuh

Dalam perjalanan,  sekejap mendung, sekejap cerah.  Menghampiri Peramu, seekor bangau mendarat di tepi jalan, entah dari mana agaknya.
          Antara peribahasa yang sering kita dengar pasal bangau ialah berapa tinggi terbang bangau, akhirnya hinggap di belakang kerbau juga yang membawa maksud walau ke mana juga kita pergi akhirnya akan balik ke negeri asal juga. Sabtu minggu lepas, cuti sekolah dan Cuti Tahun Baharu Cina, Ayah ambil jalan menghala ke Teluk Chempedak, maka terpaksalah menghadap kesesakan dan hari ini, 17 Februari, ambil jalan lainlah walau banyak lampu trafik untuk ke tempat yang sama, Rumah Abang Jamil Balok. Sampai, beratur ambil makanan, mencari tempat duduk dan disapa pengantin baharu minggu lepas, Amalia dan Haikal. Tak lama kemudian, muncul pengantin baharu, Nazrul dan Nawal. Ketemu anak-anak bahagia yang sudah dewasa, tatkala mahu melangkah pulang dikeloi orang jauh, Cikgu Aisyah bersama dengan suami dan anak cucu. Lama sungguh tak jumpa.
       Masa cepat sungguh berlalu. Silaturahim tetap terjalin. Banyak yang telah berlaku dan kita tinggalkan, terakam sebagai kenangan dan pengajaran. Kenangan dan pengajaran mendewasakan kita, menumbuhkan kita bagai pohon rendang yang memberi teduh untuk semua.
        
     

Wednesday, February 14, 2024

Bangga

Anak kecil main api,
Terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat,
Bumi dipijak milik orang,
Nenek moyang kaya-raya,
Tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa sesamalah kita,
Cinta lenyap di arus zaman.
       Memetik sedikit lirik lagu yang berkesan di hati Ayah, mungkin di hati yang lain juga, yang membesar dengan lagu ini.
       Perang masih berlarutan di Palestin, angkara penjajah durjana. Mulanya datang mohon belas kasihan untuk menumpang, akhirnya naik tocang dan melampaui batas perikemanusiaan.  Sampai saat ini, setiap hari ada rakyat Palestin yang dibunuh oleh yang asalnya datang menumpang. Yang di luar sentiasa mencari jalan untuk mengancam keharmonian, yang di dalam tak seharus bersekongkol kerana banyak tamadun yang runtuh bermula dari dalam. Di sepanjang sejarah tamadun, pengkhianatan sentiasa terjadi, bangsa yang tak henti bersengketa akhirnya punah.
       Tak ada belas kasihan bagi yang menjajah. Yang benar-benar mencintai tanah air, akan menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi,  bangga menguasai bahasa Melayu dan bertutur  dalam Bahasa Melayu, sentiasa mencari jalan untuk berganding bahu dan bersatu padu serta menghormati antara satu dengan yang lain.

Tuesday, February 13, 2024

Rindu

Pagi tadi, Ayah sempat tengok sekejap di Tik Tok Linda Onn, temu bual di Bernama Radio bersama dengan Linda Onn, Halim Othman dan Krill Rashid.
           Hari ini 13 Februari, Hari Radio Sedunia. Awal-awal dulu layan Best 104, waktu itu  slogannya Sensasi Selatan. Apabila muncul Era, Era Rentak Muzik Terkini, memang suka dengar celotehan Linda Onn dan Halim Othman. Membesar dengan lagu-lagu di radio, sambil kemas rumah Opah, sambil dengar lagu waktu hari cuti. Masa darjah 5 pergi rombongan ke Kuantan, salah satu tempat lawatannya RTM Kuantan. Masih ingat waktu itu sedang berlangsung segmen yang dikendalikan Adnan Majid. Antara segmen petang paling disukai  yang dikendalikan Aki, banyak pendengar yang dia kenal dan pernah sekali dia beritahu dia singgah makan di kedai pendengar yang sering menelefonnya dan pendengar tersebut tak tahu pun itu dia.
            Tetap masih terkesan dengan DJ zaman waktu masih belajar dan membesar,  rindu dilepaskan dengan mendengar dan menonton  mereka bersiaran langsung di Tik Tok. Radio tetap relevan, masih jadi medium menyampaikan maklumat penting dan penghubung silaturahim.
         

 

Sunday, February 11, 2024

Mutiara

 Alhamdulillah, Ayah sedang menunggu semangkuk laksa Penang sampai, tak pernah dengar pula orang memanggilnya laksa Pulau Pinang.
       Dulu waktu kecil, Ayah tanya Atuk dan Opah setelah menjejak kaki di Pulau Mutiara, "Kata Pulau Pinang, kenapa banyak pokok nyog?" Sambil menunggu, sambil menulis. Ayah masih menulis cerita di khm79.blogspot.com dan dibukukan di Wattpad melalui Cerita Ayah, Cerita Ayah Lagi, Cerita Ayah: Covid-19 Duduk Di Rumah, Cerita Ayah Kembali dan Ayah Meneruskan Cerita. Saat ini,  masih Ayah teruskan cerita di blog dan di Wattpad dengan judul yang keenam, iaitu Ayah Masih Bercerita. Di hadapan Ayah, di meja berlainan, ada tiga orang Indonesia sedang berborak dan kemudian tiba nasi Ayam Penyet yang dipesan mereka.
        Di mana-mana pun tetap ada cerita, tetap ada sesuatu yang akan diperkatakan. Yang memberi pengajaran itulah yang dipanggil Mutiara Kata. Kutiplah mutiara-mutiara yang ada di sekeliling kita, apa-apa yang kita nampak, dengar, kata, rasa, bau dan sentuh, semua boleh jadi pedoman untuk hidup yang lebih baik, Insya-Allah.

            

Saturday, February 10, 2024

Bahagia

Cuti sekolah dan kenduri kahwin tak dapat dipisahkan. Alhamdulillah,  sambil meraikan yang menempuh alam baharu, perut diisi dan masing-masing yang bertemu menyelongkar kenangan.
          Tengah hari di Timorra  Tanjung  Lumpur,   dah sampai, tentulah ramai, ada yang kenal dan ada yang tak kenal, dimakan waktu, usia bertambah, yang berusia tidaklah banyak sangat yang berubah, yang remaja menjadi dewasa, banyaklah yang berubah, dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Banyaklah cerita sambil makan, lepas makan gebang pun masih bersambung. Bukan setakat berjumpa teman seperjuangan, anak murid pun banyak, yang berkahwin pun anak murid, Cikgu zaman sekolah menengah pun dapat ketemu, bertamu nostalgia.  Selepas itu, singgah di Permatang Badak dan senja sudah di Rumah Abang Jamil Balok. Senja pun diisi dengan cerita dan kisah lampau.
          Meraikan itu bahagia, apatah lagi di hari berbahagia. Indah pabila bertemu, apatah lagi pernah menganyam kenangan bersama, moga silaturahim berkekalan dan moga semuanya kekal berbahagia hingga ke sorga.
           

Friday, February 9, 2024

Pantun Melayu

Bunga raya bunga kertas,
Tidak berbau memikat atma;
Kadang di bawah kadang di atas,
Hidup bagai pusingan roda.

Wednesday, February 7, 2024

Pantun Melayu

Bubur bukan sebarang bubur,
Bubur Asyura dimakan bersama;
Jasa Cikgu hidup menyubur,
Dalam doa sentiasa berserta.


Tuesday, February 6, 2024

Pantun Melayu

Banyak perkara boleh dibilang,
Ada juga tetaplah rahsia;
Mahu jadi cemerlang terbilang,
Mesti tawakal dengan usaha.

Monday, February 5, 2024

Pantun Melayu

Mari kutip biji saga,
    Bawa pergi rumah Tok Abah;
Minggu akhir sesi dua ribu dua puluh tiga, 
    Moga amal kita bertambah.

Friday, February 2, 2024

Ambil

30 Januari 2024, bermula ujian menulis, bermula dengan senyuman, Alhamdulillah. Diharapkan berakhir pun dengan senyuman dan kegembiraan sampai penghabisnya.
       Selasa yang indah, Selasa yang menguji anak-anak, namun ketenangan haruslah sentiasa berdamping. Sokongan sentiasa ada, yang dekat, yang jauh dan berkelapangan mengiringi dengan doa dan kata-kata semangat. Kita tak tahu di mana pengakhirannya dan yang sedang kita lalui sekarang perlu kita hadap dengan segala persediaan yang sepatutnya. Di saat anak-anak sedang berjuang, ada anak-anak yang sedang bersedia, menanti untuk melambai di sepanjang jalan, lambaian kasih, menunggu Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Sabtu, meriah di Majlis Bandar Raya Kuantan. 3 Februari 2024, malam ini ada acara kemuncak Karnival Rakyat Pahang sempena Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
        Seminggu yang panjang seharusnya diserikan dengan banyak senyuman. Banyak yang berlaku, banyak yang perlu direnungkan, banyak yang perlu diambil kisah kerana pelajaran  tentang kehidupan berlegar-legar di sekeliling kita dan jangan biarkannya melambai pergi.


Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...