Translate

Sunday, December 31, 2017

Lupakan

      Anak-anak perlu ada aktiviti lain untuk mengurangkan mereka daripada menghadap telefon pintar atau sepanjang masa merengek- rengek meminta telefon bimbit atau asyik menyebut 'bosan' yang maksud secara tersiratnya mahu bermain telefon bimbit.
      Maka, macam-macam aktiviti perlu dibuat seperti mewarna, membaca, membina, bergumpal dan anak-anak mahukan penglibatan ayah emak juga.
       Ayah selalu ingat cakap Cikgu Hamdan, "Nak layan anak bukan lama pun, sampai mereka 12 tahun. Lepas itu mereka mungkin di asrama atau sudah kurang bermain dengan kita kerana makin membesar dan sudah banyak kawan."
       Cabaran untuk ayah emak juga kerana perlu melupakan telefon pintar untuk melayan anak-anak. Selamat datang 2018.

Balut

Esok tahun  2018.
     Apa yang mahu dibuat? Buatlah apa-apa yang belum dibuat. Balutlah buku- buku teks yang belum dibalut.
      Boleh balut sekali perangai-perangai lama yang kita tak mahu lagi dan campak ke Jurang Mariana.
    Jurang Mariana ? Ya, Jurang Mariana ialah jurang paling dalam di dunia, dengan kedalaman sehingga 11 km (6.8 batu), dan merupakan lokasi paling dalam pada permukaan kerak bumi (Wikipedia Bahasa Melayu).
     Balutlah buku diri kita dengan pembalut yang baharu dan yang lebih baik serta dapat bertahan dengan lebih lama, Insya-Allah. Selamat Tahun Baru 2018.

Saturday, December 30, 2017

Lambuk

Angah asyik sebut 'lapar'. Orang lain makan, dia main tak ingat nak makan.
    Balik dari bandar, kami singgah di Serambi Teruntum. Makanan berat ada, makanan yang tak berat sangat pun ada. Umi minta mi rebus, along minta laksa Pahang dan angah minta laksam. Makanan sampai, mereka masih juga bermain. Taman permainan depan kedai makan.
     Ayah pula berselera menikmati bubur lambuk yang ayah suka rasanya kerana ada rasa lada hitam. Bagi ayah rasanya sangat sedap seperti sedapnya cerita kartunis Lambok.

Kayuh

Biasanya kami kayuh di kawasan rumah sahaja.  Ayah bawa dan membonceng di belakang ayah, angah dan achik. Along naik basikal juga.
        Hari ini pula kami mengayuh basikal yang boleh memuatkan empat orang. Terlajak jugalah ke tepi jalan yang berlumpur.   Ayah cakap along perlu makan banyak baru cepat jadi besar. Baru boleh duduk sambil kayuh basikal, taklah kayuh sambil berdiri. Angah cakap kalau makan banyak jadi gemuk. Nak tinggi kena banyak minum air. Ayah pun gelak dan mengiyakan sahaja.
        Jom mengayuh di Serambi Teruntum!
       

Sempat

Esok tinggal satu hari lagi 2017. Bermakna tinggal satu hari lagi Tahun Melawat Pahang 2017.
      Bagi yang berada di Kuantan atau yang masih belum ke Serambi Teruntum bolehlah singgah. Macam-macam ada. Boleh suruh anak-anak tinggalkan sekejap telefon pintar dengan mewarna batik atau bawa anak- anak makan durian di gerai tepi  jalan di luar bangunan Serambi Teruntum. Durian kampung RM 8 sekilo tetapi kenalah pilih-pilih.
       Masih sempat dapatkan pelekat magnet peti ais ( fridge magnet) yang cantik-cantik di tingkat 1 Serambi Teruntum.


Friday, December 29, 2017

Ceria

Hari ini hari lahir umi. Jika ikut tahun, dua hari lagi, umur umi bertambah lagi.😅
    Teringat kata-kata Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, saya bukanlah tua, cuma dilahirkan lebih awal. Plato pula mengatakan bahawa orang yang tenang dan ceria tidak akan merasakan tekanan usianya, tetapi bagi yang sebaliknya, usia ialah masalah.
     Cikgu pula tidak merasakan dirinya tua kerana dikelilingi anak-anak murid yang sedang membesar dan mula berasa tua apabila menerima kad kahwin anak murid atau berada di wad bersalin dengan anak murid yang juga bersalin.
      Selamat hari lahir sayang.
     


Wednesday, December 27, 2017

Berjalan

Anak-anak memang suka pergi berjalan.
      Kadang-kadang malas nak beritahu lebih awal, sebab tanyanya tak habis-habis sampailah waktu nak pergi. Cakap nak pergi taman pun anak-anak dah suka sangat.  Bermain sambil belajar itulah perkataan yang sesuai untuk anak-anak.
       Kata Francis Bacon, "Pengembaraan, pada usia muda ialah pelajaran, pada usia tua ialah pengalaman."

Tuesday, December 26, 2017

Sempurna

Kadang-kadang kita mengharapkan sesuatu itu dilakukan dengan sempurna.
     Bagi ayah, kita hanya boleh lakukan sesuatu dengan sebaik yang mungkin. Lakukan sesuatu dengan sepenuh hati. Dengan sepenuh hati itu sudah dikira satu kesempurnaan. Untuk melakukan sesuatu memerlukan keupayaan tertentu dan kemahiran tertentu. Untuk melakukan sesuatu memerlukan latihan dari masa ke masa secara berterusan. Apa-apa pun jangan jadikan alasan tidak sempurna untuk tidak mahu melakukan sesuatu.
      Akhirnya,  boleh renungkan kata-kata  Napoleon Bonaparte, "Jika anda mahu sesuatu itu dilakukan dengan sempurna, lakukan sendiri."

Hari ini

Ayah kenal Robert Downey Jr. setelah tengok filem 'Iron Man'.
     Petang ini, ayah baru tengok dia berlakon dalam filem Chaplin. Filem ini pun sudah lama rupanya, tahun 1992. Setiap orang ada cara masing- masing untuk menyampaikan sesuatu perkara atau membicarakan sesuatu isu atau sesuatu kritikan. Dulu-dulu Charlie Chaplin banyak juga ditayang di televisyen. Itulah satu  hiburan lucu yang ada pada waktu itu. Di Malaysia, budak kecil pun kenal Tan Sri P. Ramlee.
      Hari ini juga kita menerima berita sedih, Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad meninggal dunia di Hospital KPJ Kajang, jam 8 pagi tadi. Al-Fatihah.
    

Monday, December 25, 2017

Warna

Ziyad dah balik hari Ahad. Tinggallah along, angah dan Aidil. Semalam kami pula balik, tinggallah opah, atuk dan Aidil.
      Hari ini umi dah mula mesyuarat. Tinggallah ayah, Shahid dan Naufal. Oren pula tak habis- habis menggesel pada ayah yang tengah buat kerja.  Dua tiga kali ayah hantarnya ke luar dan  Oren masuk balik ikut tingkap.                                         Shahid dan Naufal dari malam tadi main kereta. Pagi ini, mewarna. Ayah mencetak watak kartun Ben 10. Untuk lebih tahan lama, ayah gunakan lapisan perlaminaan (laminating sheet).

       

Sunday, December 24, 2017

Kenduri

Kenduri memeriahkan cuti sekolah. Di felda, selalunya pukul 11.30 pagi orang dah makan kenduri.
    Dulu-dulu berhidang angkat guna talam, sekarang dah banyak guna khidmat katering dan dihidang cara bufet. Apa bezanya? Lauk dah tak membazir. Dulu lauk yang dah bersentuh walaupun sikit, dah ditolak ke tepi. Hidang lauk dalam mangkuk atau pinggan lain pula. Sekarang, ambil sendiri ikut selera perut.
    Anak-anak paling suka jika ada aiskrim dan achik baru sampai tak sempat makan apa-apa dah terlelap.

Kaktus

Dalam Wikipedia Bahasa Melayu, kaktus ialah sejenis pokok atau tumbuhan daripada famili  Cacta­ceae.
      Kaktus berasal dari Benua Amerika. Kaktus berbatang hijau, berisi, dan berduri serta  banyak terdapat di kawasan panas dan kering. 
      Apabila angah dan achik berjumpa kaktus, mereka berasa pelik kerana jarang berjumpa tumbuhan ini. Lama duduk memegang  kaktus yang sudah tidak ada duri di dalam pasu.
      Tidaklah mereka kenal Cattus dalam Boboiboy Galaxy sahaja.

Saturday, December 23, 2017

Pintu

Lagu Antara Sutra dan Bulan, kumpulan Damasutra juga ayah suka.

               Ketuk bukalah pintu
               Atau jendela waktu
               Buka pintu kasihmu
               Agar kasih bertemu
      Restulah hulurkan tanganmu

      Bukan senang nak buka pintu hati.  Pintu bilik pun susah nak dibuka apabila adik sudah tidur. Achik pula suka sangat cium adik. Adik tidur pun dia cium.
      Dia pun menunggu di depan bilik umi dan akhirnya balik bilik bergumpal dengan abang-abang.

Cencaluk

Masuk simpang yang ada tulis Bert's Garden, akan jumpalah Mabohai.
     Pagi ayah pergi cari sarapan. Ayah singgah di  Kampung Pinang, tak silap itu yang dikatakan oleh kakak yang menjual roti canai dan roti jala di kedai tepi jalan sebelum lampu trafik. Yang menariknya di kiri kanan jalan banyak gerai yang ikan jual kering, sotong kering, belacan, cencaluk dan lain-lain. Berwarna-warni bergantungan barang yang dijual.
     Meninggalkan Mabohai, kami berhenti di simpang masuk Mabohai. Opah memborong cencaluk dan lain-lain di gerai berhampiran.

Tepi Laut

Mabohai di tepi laut. Ada bilik menghadap laut. Ada bilik menghadap jalan.
      Bilik yang menghadap jalan, boleh parkir kereta depan bilik saja. Bilik taklah luas sangat tapi selesa. Muat untuk solat. Lagipun, kita cuma nak tidur sahaja. Dinding,  lantai dan siling menarik sebab kayu. Yang nak memasak, boleh buat 'bbq'sambil menghirup angin laut dan yang nak lepas 'gian' memancing, boleh memancing  di depan bilik sahaja. Yang penting bagi anak-anak, ada kolam mandi.
      Insya-Allah selamat sebab 'cctv' pun banyak di Mabohai.

Mabohai

Jika tak mahu  terlalu menghadap kesibukan bandar, boleh pilih Mabohai Resort Klebang.

       Tak jauh sangat dari Muzium Kapal Selam. Malam boleh pergi makan dekat Asam Pedas Claypot Klebang. Sate pun ada di situ. Kalau anak meragam, boleh bawa main buai atau permainan di tepi kedai makan. Malam pun terang sebab ada lampu.

    Malam balik dari makan, anak-anak duduk dulu di luar bilik  Mabohai menikmati 'coconut shake' yang dibeli di Dataran 1 Malaysia Klebang.

Terapung

Terapung-apung tak hanyut, terendam tak basah bermaksud tidak ada keputusannya ( mengenai sesuatu perkara) (Kamus Dewan Edisi Keempat).
        Namun, keputusan telah dibuat untuk ke Masjid Selat  Melaka, Kampung Bandar Hilir yang  juga dipanggil Masjid Terapung Melaka. Waktu kami sampai, pelancong bukan Islam pun mengambil peluang ke sini.
        Masjid ini terletak di Pulau Melaka yang berhadapan Selat Melaka dan dibina di atas pulau buatan. Sampai sahaja sudah sudah nampak laut yang terbentang.
       Jika sudah ke Melaka dan masih   'terapung-apung' tidak tahu mahu ke mana,  bersolatlah di Masjid Selat Melaka (Masjid Terapung Melaka).
       

Friday, December 22, 2017

Berdua

Ayah dengan umi cukup suka lagu ini. Menggamit nostalgia. Berdua Lebih Baik, nyanyian Acha Septriasa.

      Berdua denganmu pasti lebih baik
                       Aku yakin itu
                         Bila sendiri
                      Hati bagai langit
                   Berselimut kabut

Jikalau nak berdua, banyak tempat boleh pergi. Bagi yang dah berkahwinlah. Nak 'dating' bawah Jet Pejuang F-5 Tiger II dan A-4 Skyhawk pun boleh. Ini pun di Muzium Kapal Selam.

Selam

Ayah cukup suka lagu yang satu ini. Lagu Jika Kaurasa Getarnya, kumpulan Slam.

                 Jika kau selam hati ini, 
          Pastinya engkau kan mengerti, 
                Betapa sucinya kasihku, 
                        Jangan diragu.

        Waktu bercinta memang boleh buat macam-macam. Menyelam dalam hati 'awak' pun boleh.

        Waktu  dah  ada anak-anak, umi yang bawa kami pergi tengok kapal selam. Ayah pun tak tau ada Muzium Kapal Selam di Jalan Klebang Besar, Tanjung Kling.

Mai

Semalam di Lomang Apak. Hari ini pula Jalan-Jalan Singgah Makan diteruskan.
      Akhirnya, berhenti di Telok Mas setelah kali pertama berhenti naik semula kereta sebab silap tengok papan tanda kedai.
      Kedainya di sebelah SK Telok Mas. Lauknya banyak sungguh. Asam Pedas Melakanya pun banyak sebab banyak jenis ikan. Ayah tak kenal sangat, yang ayah kenal ikan pari masak asam pedas.
      Yang ke Telok Mas boleh singgah di Kedai Makan Osamin. Kedainya juga di tepi jalan sahaja.

Mai

Kami berhenti makan di Lomang Apak, Kampung Rusa Pelangai, Kuala Pilah.
     Letaknya di tepi jalan sahaja. Di seberang jalannya tanah perkuburan. Di sebelahnya ada kedai yang menjual itik salai. Ayah makan daging salai, cencaluk dan timun. Sampai sini kenalah tahan pedas. Apa-apapun, memang sedap.
      Bolehlah singgah makan. Pilihan TV3. Jalan-Jalan Cari Makan pun mai sini.

     
   

Thursday, December 21, 2017

Sama

Pagi-pagi lagi sebelum sarapan, persetujuan yang diambil ialah mandi kolam setelah umi bertanya mahu mandi kolam atau tidak.
        Besar atau kecil tak menjadi masalah, yang penting boleh main air. Ayah buka beg along semalam dan ayah tengok ada dua biji bola. Along, angah, Aidil dan Ziyad memang ada misi yang jelas sejak awal.
        Matlamat yang sama boleh menolak segala perbezaan walaupun sepanjang malam asyik mengadu dan berperang mulut.

Beza

Jalan yang berbeza, akan menemukan kita dengan perkara yang berbeza.
      Ikut jalan Karak menemukan kami dengan dusun durian dan durian yang merenduh di kiri kanan jalan. Akhirnya, kami berhenti di seberang jalan berhadapan dengan Balai Polis Telemong. Durian kampung RM 10 sekilo. Kami makan di situ terus.
       Walaupun jalan yang diambil tidak sama, tujuannya tetap sama. Itu yang akan menyatukan kita semua, Insya-Allah.
     
    


Wednesday, December 20, 2017

Bola

Asyik tengok televisyen. Jadi sudah dua petang ayah suruh mereka main bola apabila waktu petang.
     Meriah dengan suara. Yang mainnya empat orang sahaja. Ada seorang pemain dan seorang penjaga gol. Dalam kepala ayah, ayah ingat mereka main tanpa penjaga gol atau hanya guna satu gol sahaja.
     Sekurang-kurangnya dapat juga keluar peluh.

Tuesday, December 19, 2017

Rekod

Merujuk dalam laman sesawang Jelita (www.jelita.com.my) bertarikh 23 Ogos 2016, artikel yang bertajuk  15 Fakta Comel Dan Menarik Tentang Kucing, kucing menyimpan tenaga dengan tidur sehingga 13-14 jam sehari.
       Dalam artikel yang sama, dalam bahasa Inggeris, kucing jantan dipanggil ‘Tom’, kucing betina pula digelar ‘Molly’ dan anak kucing seperti yang anda semua tahu dinamakan ‘Kitten’. Dalam bahasa Melayu, ayah tidak tahu ada atau tidak panggilan sebegitu.                                                    Kita boleh menyamai rekod kucing jika berjaya tidur 13-14 jam sehari.

Monday, December 18, 2017

Menyinari

Masihkah kauingat? Ya masih ayah ingat.
      Waktu di sekolah rendah, masa Bahasa Melayu masih ayah ingat. Salah satu, satu rotan. Soalan objektif. Tak tahan tapak tangan kanan, tadah tapak tangan kiri.
       Masa Hari Guru, nak juga bagi hadiah. Sabun mandi pun boleh jadi hadiah. Kadang-kadang, atuk lambat ambil balik sekolah. Cikgu tengok ayah jalan kaki, dia hantar balik rumah naik motor.
        Jasa Cikgu sentiasa menyinari hidup kita dan harum dalam hidup kita.

Tidur

Banyak aktiviti yang boleh dibuat di kampung.
     Selain mengejar ayam, anak-anak sibuk mengacah-acah angsa. Tak apalah, angsa duduk di dalam pagar. Kalau tidak, tak cukup tanah lari.
Musim kuini pun dah di penghujung. Jika tidak, pakat berebut mengutip kuini.
     Akhirnya baru ayah perasan, anak ayah yang seorang ni tidak ada dengan abang-abang. Sudah tertidur di dalam kereta. Pintu kereta memang tak tutup pun.

Rambutan

Lepas balik melawat mak long, kami balik kampung sekejap.
     Sampai sahaja, sudah nampak rambutan. Anak-anak melompat untuk mencapai rambutan yang berada pada dahan rendah. Pak cik Kob mengait rambutan dan anak-anak berebut mengutip rambutan. Riuh tak usah kira. Rumah taman mana ada pokok rambutan.
      Along pula gembira setelah berjaya kait rambutan guna galah buluh.

Sunday, December 17, 2017

Kenanglah

     Banyak perkara yang kita tempuh setiap hari. Ada yang pahit macam peria, ada yang semanis tebu.
       Menang atau kalah itu satu pengalaman yang cukup baik. Pengalaman itu mendewasakan kita. Pengalaman itu mematangkan kita. Pengalaman itu cukup bermakna walaupun anda melihatnya begitu kecil kerana yang besar bermulanya daripada kecil.
      Semuanya penting untuk kita. Kenanglah saat lepas kerana saat itu tidak akan berulang. Jadikannya pedoman dan  kekuatan untuk melangkah lebih jauh dan melompat lebih tinggi.

      

Kenanglah

     Banyak perkara yang kita tempuh setiap hari. Ada yang pahit macam peria, ada yang semanis tebu.
       Menang atau kalah itu satu pengalaman yang cukup baik. Pengalaman itu mendewasakan kita. Pengalaman itu mematangkan kita. Pengalaman itu cukup bermakna walaupun anda melihatnya begitu kecil kerana yang besar bermulanya daripada kecil.
      Semuanya penting untuk kita. Kenanglah saat-saat kerana saat itu mungkin berulang dan mungkin juga tidak. Jadikannya pedoman dan  kekuatan untuk melangkah lebih jauh dan melompat lebih tinggi.

      

Gunung

Ayah tak pernah lagi mendaki gunung. Bukit Panorama Sungai Lembing lepaslah ayah panjat.
       Salah satu peribahasa tentang gunung ialah tak ada gunung yang tinggi yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang dalam yang tak dapat dituruni membawa makna tidak ada usaha yang tidak akan berhasil (asalkan keras kemahuan) (Kamus Dewan Edisi Keempat), Insya-Allah.
        Apa-apa yang kita mahu tentulah bermula dengan kemahuan. Kemahuan akan menunjukkan jalan.

Nyata

Langit tak pernah jemu untuk dilihat. Begitu hebatnya Allah swt.
    Disangkakan langit itu rendah, dipandang dekat, dicapai tak boleh bermaksud sebelum mencuba sesuatu pekerjaan itu janganlah  dikatakan mudah atau senang (Kamus Dewan Edisi Keempat).
    Itu bermakna kita perlu menempuh sendiri pengalaman barulah boleh membuat kesimpulan terhadap perkara yang telah kita alami.
     Marilah bersama-sama  memberi anak-anak kita pengalaman supaya mereka benar- benar hidup di alam nyata bukan hanya  bermain di alam maya.

Friday, December 15, 2017

Istiqamah

Banyak fokus boleh 'lari' apabila musim cuti. 

          Malamnya mungkin tidur lambat, paginya satu bonus jika dapat istiqamah jika dapat bangun awal macam hari-hari biasa. Sebab itu ada kata-kata bijak pandai, betulkan yang biasa, biasakan yang betul.

         Tatkala yang lain masih dibelai mimpi, achik sudah bangun bermain walau lewat tidurnya. Kejap-kejap pergi cium adik.

Istirahat

Kita sudah terbiasa menyebutnya 'istirehat' sedangkan ejaan sebenarnya ialah istirahat.
     Dua minggu along, angah, Aidil dan Ziyad duduk di kampung beristirahat bersama dengan opah dan atuk. Riuh rendah macam ada 30 orang kata Pak Long Li.
      Macam-macam mereka buat tanpa telefon bimbit. Televisyen masih ada. Salah satu yang mereka buat ialah menonton siaran 808. Tengok orang main permainan video Dota. Mungkin teringat Mobile Legends.
      Cuti masih panjang. Pastikan cukup tidur. Pastikan juga muka tidak bercahaya di tengah-tengah malam. Pastikan cukup istirahatnya.

Thursday, December 14, 2017

Pilih

Nak ambil aliran apa? Itu akan jadi persoalan utama nak naik tingkatan 4.
    Yang pertama? Kalau ada cita-cita cukup senang. Sebelum tu, tengok dalam Youtube dulu macam mana cita-cita kita tu. Kalau nak jadi doktor, tengok doktor buat pembedahan. Boleh terima tak kerja macam tu? Yang penting, matematik dan sains minatlah. Keputusan baik, boleh terima cara kerja,  jadi pilihlah  aliran Sains Tulen.
     Ayah dulu, tak tahu nak jadi apa. Dah tulis cita-cita akauntan, cikgu masukkan kelas akaun. Akauntan kerja macam mana pun tak tau. Lagi satu, jangan pilih aliran sebab kawan melainkan memang minat. Bukan minat dekat kawan tapi aliran.   
    Apa kesan salah pilih aliran? Anda boleh menderita selama dua tahun atau selama-lamanya. KECUALI anda fokus dengan apa yang anda dah pilih kerana minat boleh dipupuk ( Terima kasih Cikgu Zaiton- ini kata-katanya yang saya pegang sampai sekarang), Insya-Allah.


Tuesday, December 12, 2017

Terus

Ayah tak pandai main boleh boling. Tak tun tuang. Tak tun tuang. 

         Pernah juga ayah  pergi kursus. Teori nampak senang, apabila main, taklah ke laut, tapi merasalah juga ke longkang.

         Kawan ayah, Cikgu Khair mahir main boling ni. Bukan dia tak pernah ajar, tapi anak murid tua ni agak keras macam kayu balak. Main pun kena ada seni. Yang penting, jangan jemu untuk belajar.        

              Walaupun esok keputusan PT3 keluar, itu baru permulaan. Permulaan untuk pergi lebih jauh. Teruskan belajar. Jangan mudah patah semangat. Belajar dan terus belajar sebab cuti masih panjang. 

    

Monday, December 11, 2017

Tok Gajah

Ooo ale ale ale ale Tok Gajahku
Ooo ale ale ale ale Tok Gajahku
Ooo ale ale ale ale Tok Gajahku
Ooo ale ale ale ale Tok Gajahku

Kulihat kusokong kubanggakan
Untuk Negeri Pahang
Teruskan berjuang

      Ayah cukup suka lagu-lagu yang ada semangat. Salah satu fungsi lagu adalah untuk memberi semangat atau tanda sokongan kepada individu atau pasukan.
       Kadang-kadang kita  tidak mampu untuk memberi sumbangan tetapi sorakan kita atau tepukan kita  boleh mengubah keadaan. Walaupun nampak kecil, itu lebih bermakna daripada tidak buat apa-apa.
       Nampaknya achik juga cukup bersemangat setelah jumpa 'Tok Gajah' di Serambi Teruntum.

Saturday, December 9, 2017

Pundak

Bahu juga seerti dengan pundak. Peribahasa yang sering disebut ialah berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
      Ada juga peribahasa lain seperti memikul di bahu, menjunjung di kepala yang bermaksud mengerjakan sesuatu pekerjaan haruslah menurut peraturannya supaya selamat (Kamus Dewan Edisi Keempat).
      Kadang-kadang kita tidak memikul  apa-apa tetapi  yang ini cukup buat ayah terkejut kerana secara tiba-tiba  hinggap di bahu  ayah.

Takut

Takut. Bermacam-macam ketakutan yang ada.
      Musim cuti, ramai yang takut bersunat sebab ada yang menokok perkara yang bukan-bukan tentang bersunat. Ada yang takut bercakap kerana takut dikata peramah. Ada juga yang takut mencuba kerana takut gagal.
       Di sebalik ketakutan, ada banyak yang boleh diperoleh. Ada orang takut air, tetapi dia pergi belajar berenang. Ada orang yang takut air, sepanjang hidup dia lari dari sungai, laut dan tasik. Mana yang lebih baik?
       Jangan takut untuk mencuba perkara-perkara baharu yang boleh membuatkan kita lebih menikmati kehidupan ini.
        

Thursday, December 7, 2017

Doa

Amerika Syarikat telah mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara  Israel.
       Lyndon B. Johnson, salah seorang Presiden Amerika Syarikat pernah mengatakan bahawa tugas paling berat presiden bukanlah membuat apa yang betul tetapi untuk mengetahui mana yang betul.
       Itulah yang berlaku kepada Donald Trump yang secara terang-terangan dari awal menunjukkan sikap prejudisnya terhadap Islam dan umat Islam.
       Marilah kita sama-sama berdoa untuk keselamatan umat Islam di Palestin dan Baitulmaqdis serta mendoakan agar musuh-musuh Islam diberikan hidayah oleh Allah swt.

Tuesday, December 5, 2017

Bedak

Apakah yang anda sedang buat saat ini? Apakah yang sedang berlaku saat ini?
    Ya, sekarang ayah tengah minum kopi.  Burung tekukur galak berbunyi di luar. Tiba-tiba ayah teringat pasal bedak. Zaman sekolah dulu ayah pakai bedak  Enchanteur. Bau  bedak Enchanteur wangi sungguh.
     Tiba-tiba ayah teringat pasal bedak sebab nampaknya achik gembira benar menuang dan menepuk-nepuk bedak di atas sofa. Ayah lupa nak simpan semula bedak.

Monday, December 4, 2017

Ada

"Mereka yang menyayangi kita tidak pernah pergi. Mereka ada dalam hati awak," kata Sirius kepada Harry Potter.
      Beruntunglah kita yang masih mempunyai emak dan ayah. Tanyalah kita kepada yang sudah kehilangan orang tua, sudah tentu tidak sama rasanya tetapi kasih sayang itu tetap mengalir dan dirasai.
     Marilah kita sama-sama menghargai  dan menyayangi ibu bapa dan ahli keluarga kita.

Makhluk

Masih lagi pasal makanan. Apabila kita makan di kedai, selalunya kita tidak suka diganggu.
      Walau bagaimanapun, suka atau tidak suka, kita kena faham, kita tidak hidup seorang diri di dunia ini. Akan ada orang yang datang menjual sewaktu kita tengah makan sebab itu kerja mereka. Kita boleh membeli dan juga tidak. Kita juga boleh memilih untuk memasamkan muka atau untuk memberi senyuman.
       Kadang-kadang yang datang itu bukan manusia tetapi makhluk Allah macam kita juga. Yang ini datang bukan untuk menjual.

Merah

Cuti sekolah hujung tahun bukan sahaja musim hujan tetapi juga musim makan kenduri.
      Sebut pasal makan, tolak kayu dan batu yang selalu orang cakap. Lagu pasal makan yang paling popular tentulah dinyanyikan oleh Jalil Hamid.

    Makan pokok meniaga jadi lingkup
    makan bunga itu haram dan
    terkutuk
    makan hati boleh membawa mati
    makan suap tidak boleh dibiarkan

      Antara menu yang ayah suka ialah nasi goreng daging merah. Selalunya ayah  makan  di Restoran Hasri dan yang ini ayah makan di  Restoran Patani yang sebaris dengan Maybank berhampiran Mydin Kuantan.

      
         
      

Sunday, December 3, 2017

Paya

Semalam kami ke bukit, hari ini kami ke paya.
     Dalam perjalanan ke Paya Bungor, kami melalui Pekan Gambang yang di kiri kanan terdapat bangunan kayu seperti mana Pekan Lanchang juga.
     Di sebelah kanan jalan menghala ke Paya Bungor juga ayah dapat melihat kenderaan di Lebuh Raya Pantai Timur.
     Pekan dan lebuh raya mengingatkan ayah kepada filem 'Cars'. Pekan Radiator Springs  sunyi daripada pengunjung setelah ada lebuh raya baharu. Di sinilah bertemunya Lightning McQueen dengan Doc Hudson, Sally, Mater dan yang lain-lain.
     Namun, pekan ini masih meriah  kerana untuk ke Bukit Gambang Resort City, Agro Semuji, Kolej Matrikulasi Gambang, Air Terjun Jerangkang dan yang lain-lain boleh melalui jalan ini.
     Bagi penggemar durian, di tepi-tepi jalan ada penjualnya dan harganya berapa? Kenalah berhenti dan tanya. Jangan lupa bawa payung, sekarang musim hujan.

Friday, December 1, 2017

Rancang

Perjalanan harus diteruskan. Berhentinya di mana kami belum pasti. Perancangan Allah itu pasti.
       Perjalanan kami ke Bukit Ibam akhirnya membawa kami ke Keratong 3. Berhenti sekejap di depan masjid sebelah stesen minyak. Memang sudah tersilap arah. 'Waze' ciptaan manusia.
       Berpatah balik dan singgah beli keropok lekor buatan Mersing. Sedap juga rasanya. Akhirnya, berhenti di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Bandar Satelit Muadzam Shah.
      Akan kami teruskan pencarian kerana kita hanya merancang dan ada masanya pengantin terlupa sertakan nombor telefon dalam 'muka buku' jemputan.

Pesan Datuk Nenek

Waktu kita kecil, antara hiburan kita semua ialah lagu rakyat.
     Adik kita menangis, ada masanya akan keluar lagu, 'susu lemak manis, santan kelapa muda, adik jangan nangis, emak ada kerja'.
      Mula-mula ayah kerja dulu, sempat ayah tengok Dato' Aripin Said buat persembahan. Seronok juga. Agak lama tidak tengok dia buat persembahan dan akhirnya kami dapat tengok persembahannya di majlis yang dikelolakan 'Hot Catering' di 'The Club Bukit Utama'.
      Antara lagu yang selalu dialunkan Dato' Aripin Said ialah Burung Kenek-Kenek.

             Burung Kenek-kenek
           Terbang tinggi di awan
               Pesan datuk nenek
        Pandai-pandai cari kawan

             Burung kenek-kenek
           Hinggap di atas dahan
               Pesan datuk nenek
             Sujudlah pada Tuhan

Bersatu


Banyak atau sedikit, mereka telah hadir dalam hidup kita. Sedikit sebanyak mereka memainkan peranan dalam hidup kita.

                  KepadaMu Allah
                    Kupohon restu
           Agar kita kekal bersatu
                 Kepadamu teman
              Teruskan perjuangan
       Pengorbanan dan kesetiaan

      Itulah sahabat. Itulah sebahagian lirik 'Teman Sejati'. Sama ada kita yang memilih mereka sebagai sahabat atau mereka yang memilih kita sebagai sahabat, banyak pahit manis yang telah kita tempuh sama-sama.
      Apa-apa pun, marilah kita menjadi sahabat yang sentiasa mengingatkan sahabat kita kepada Allah, Insya-Allah.
     

Thursday, November 30, 2017

Selawat

Malam isnin subuh yang indah
Dua belas Rabiul’awal yang cerah
Dua puluh april tahun gajah
Lahirlah zuriat dan syahadah

     Di sekolah dulu, lagu kumpulan Al-Mizan kami nyanyi. Melalui nyanyian, kami dapat ingat maklumat yang ada dalam lagu tentang Nabi Muhammad saw.
    Marilah kita berselawat pada setiap hari dan pada hari kelahiran nabi kita, Nabi Muhammad saw.

Lantai

Untuk buat achik lebih tenang, ayah beli buku dan pensel warna di SMO. Khusyuk dia mewarna di atas kerusi di tepi Parkson.
       Masuk ke Aeon Big, sebelah tangan memegang buku dan sebelah lagi menggenggam pensel warna. Sempat lagi masa berdiri dia pegang buku dan mewarna. Bagus juga Aeon Big buat ruang untuk anak-anak sebab ayah tengok masih banyak ruang kosong. Mesti lagi ramai orang datang sebab ayah-ayah boleh tunggu anak dan emak-emak boleh membeli-belah.
        Apabila kita suka sesuatu, kita akan lakukan di mana-mana sahaja tanpa mengira tempat walaupun di atas lantai Aeon Big, tempat orang lalu-lalang.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...