Translate

Friday, May 31, 2019

Terasa

Ramadan di penghujung dan akan meninggalkan kita. Raya semakin terasa.
      Waktu menjadi kanak-kanak, rayalah yang ditunggu-tunggu. Walaupun begitu, iklan jualan hari raya sebelum puasa pun sudah beribu-ribu. Di pasar raya, awal puasa, sudah berhari raya dengan lagu-lagu raya.  Kuih raya, sebelum puasa, sudah  tersedia di atas meja untuk dirasa. Siapa-siapa berkenan, boleh pesan. Hanya sediakan duit 'secukup rasa'. Ayah pun waktu bulan puasa, sambil buat kerja suka dengar lagu raya dan lagu Ramadan yang ayah suka, lagu 'Harapan Ramadhan', nyanyian Man Bai dan Raihan.
      Raya sentiasa mencipta rasa. Raya sentiasa mencipta warna. Rasa yang pelbagai, warna yang pelbagai. Namun begitu, jangan dilupa kepada yang tiada, jangan dilupa kepada yang ada. Zakat fitrah? Zakat fitrah pun jangan dilupakan.

Thursday, May 30, 2019

Kenang

Tatkala ayah masih lagi menanda, bau baulu mengapung di segenap ruang rumah.
      Petang semalam, anak-anak menolong opah membuat bangkit bunga Cina untuk mereka makan nanti. Minggu ini, kita dikejutkan dengan berita kematian Tam, badak sumbu Sumatera jantan terakhir di Malaysia. Kemudian, kita menerima berita sedih, iaitu pemergian Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan Datuk Dahlan Zainuddin. Peribahasa Melayu menyatakan bahawa patah tumbuh hilang berganti. Namun, yang berganti sudah pastilah tidak sama. Peribahasa Melayu juga ada berbunyi, "Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading."
      Kita semua akan pergi, apakah yang bakal kita tinggalkan? Apakah yang bakal kita bawa? Diharapkan apa-apa yang ditinggalkan kita memberi manfaat dan memberi sesuatu untuk dikenang kepada yang masih bernafas.

Wednesday, May 29, 2019

Ikat Tepi

Baiklah anak-anak, hari ini ayah nak bercerita pasal ketam.
    Dalam kamus Dewan Edisi Keempat, maksud 'ketam' yang pertama ialah tertutup (terkatup) rapat-rapat atau kuat-kuat. 'Ketam' yang kedua bermaksud menuai atau memotong padi dengan ani-ani dan lain-lain. 'Ketam' yang ketiga bererti sejenis alat untuk melicinkan kayu (papan dan lain-lain). 'Ketam' yang keempat bermakna sejenis binatang, kulit luarnya keras, berkaki sepuluh dan bersepit. Antara peribahasa Melayu berkaitan ketam (maksud keempat) ialah kuat burung kerana sayap, kuat ketam kerana sepit. Definisinya ialah kuat atau berkuasa kerana sesuatu kelebihannya.
     Semalam ayah mengekori atuk ke Mempagar Segar, ayah menjumpai sesuatu yang diikat tepi, 'ketam ikat tepi'.

Tuesday, May 28, 2019

Manis

"Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain," begitulah kata peribahasa Melayu.
       Semua orang akan terkenang, akan mengingati zaman persekolahan, sama ada pahit ataupun manis. Banyak ilmu dan pengalaman dikutip sewaktu di alam persekolahan. Ilmu dan pengalaman inilah yang mewarnai sebahagian daripada diri kita sekarang ini. Kita dapat belajar banyak perkara daripada guru-guru dan kawan-kawan kita. Ada yang memberi kesan sehingga kini dan ada yang sudah kita lupakan.
       Sekolah mengajar kita erti pengetahuan, erti pengalaman, erti persahabatan dan erti keberkatan dalam kehidupan. Sekolah mengajar kita segala-galanya. Anda bersekolah di mana?

Saturday, May 25, 2019

1992

Tahun 1992 ayah baru naik tingkatan satu dan pada tahun tersebut penyanyi nombor 1 Asia meninggalkan kita semua.
    Bulan Ramadan seperti ini sudah tentu kedengaran lagu yang tidak asing lagi bagi kita, iaitu 'Balik Kampung'.

"Perjalanan jauh tak kurasa
Kerna hatiku melonjak sama
Ingin berjumpa sanak saudara
Yang selalu bermain di mata"

     Kita sedang mengharungi perjalanan di sini. Sebahagian daripada kita sedang mengharungi perjalanan di sana. Perjalanan kita masih jauh.  Banyak bekalan yang masih perlu dikumpul untuk dibawa ke sana. Berdoalah untuk yang di sini dan berdoalah untuk yang di sana. Al-Fatihah.

Wednesday, May 22, 2019

Uji

Kami menerima berita kemangkatan  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah sewaktu berada di Pekan Bandar Diraja Pahang.
       Alhamdulillah, Achik semakin baik, Insya-Allah, Achik akan keluar dari wad hari ini. Semalam, sewaktu mahu mengambil umi dan anak-anak, tayar kereta pancit. Alhamdulillah, dipermudahkan. Atuk dengan wan pun datang. Wad  achik duduk menerima lawatan daripada Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang Daerah Pekan semalam. Achik suka dapat hadiah dan ayah berbuka dengan bubur lambuk yang diberi.
      Hidup sebagai manusia sering diuji, ada masa dapat menangani, adakalanya tewas dan pastikan bangkit kembali, Insya-Allah. Al-Fatihah untuk yang meninggal kita di bulan mulia ini.

Al-Fatihah

Hari mulia, bulan mulia, semalam, kita dikejutkan dengan berita kemangkatan  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah (Astro Awani, 22 Mei 2019).
       Merafak sembah takziah ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Kerabat Diraja Pahang serta ucapan takziah kepada seluruh rakyat Negeri Pahang Darul Makmur atas kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah.
       Al-Fatihah.

Tuesday, May 21, 2019

Rancang

Hari ini cuti Nuzul Al-Quran.
Pagi-pagi lagi Ayah dan Achik sudah di hospital.
       Malam tadi sudah datang, pagi ini masih laju nafasnya. Dia tanya ayah,"Dah boleh balik ke?" Ayah pun kalau boleh nak tanya perkara yang sama kepada doktor, tapi doktor dah cakap, nafas dia masih laju, kena tahan di wad. Setelah berbincang dengan umi, biar Achik di sini saja, tidak ke Kuantan. Masa terus berjalan. Achik masih bertanya, "Dah ke belum?" Menunggu untuk dix-ray sebelum ke wad. Tadi dia tengok Tobot. Giliran ayah pula membaca di Astro Awani.
     Setiap hari, hari cuti atau hari bekerja, ada perkara yang dirancang, berlaku, tidak berlaku atau tidak seperti yang diharapkan. Ada perkara yang tidak dirancang, berlaku. Kita hanya merancang, Allah s.w.t menentukan segalanya. Bersyukur dan bersabarlah!

Sunday, May 19, 2019

Berpada-pada

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, peribahasa Melayu 'diberi betis hendak paha' bermaksud diberi sedikit, kemudian hendak banyak.
      Dalam kamus yang sama, ada juga peribahasa yang berbunyi 'melepaskan anjing yang tersepit'. Maknanya ialah menolong orang yang tidak tahu membalas budi. Bagai Belanda minta tanah pula didefinisikan sebagai (sesudah) diberi sedikit minta lagi banyak.
      Berpada-padalah meminta. Berpada-padalah memberi. Tidak semua boleh diminta sesuka hati. Tidak semua boleh diberi sesuka hati. Hanya si tamak haloba dan yang lupa diri tidak tahu mengenang budi dan sanggup menggadai maruah diri.


Saturday, May 18, 2019

Ubah

Ayah dengar along dan angah bersembang tentang bas. Sudah berapa kali mereka naik bas?
       Berbeza dengan ayah dulu, kami adik-beradik menghitung berapa kali kami menaiki kereta. Atuk hanya ada honda c70 lampu petak. Pengalaman yang berbeza dialami, ayah dahulu duduk di felda, anak-anak ayah duduk di taman perumahan. Kalau bulan puasa, ikut atuk pergi beli air batu, sempat ada pengalaman membeli air batu yang disalut habuk kayu dan dipotong menggunakan  gergaji. Sekarang, air batu atau air sejuk ada di dalam rumah sahaja. Petang,  ayah dan adik-adik berebut untuk menghantar juadah ke rumah jiran. Sekarang, petang jika tidak di rumah, berebut mahu membeli juadah di bazar Ramadan.
       Zaman berubah, banyak perkara yang telah berubah. Diharapkan perangai kita juga berubah menjadi semakin baik, Insya-Allah.

Friday, May 17, 2019

Pelangi

Manusia bagaikan pelangi.
Penuh dengan warna-warni.
      Semalam Hari Guru. Kisah guru dan anak murid juga bagaikan pelangi, dipenuhi warna-warni. Banyak kisah yang terjadi, pahit dan manis. Guru manusia, anak murid pun manusia. Tidak ada yang sempurna. Selalu ayah cakap, hidup ini kena ada A, baru B dan C akan datang. A untuk 'akhlak', A untuk 'adab'. Apabila ada 'akhlak', apabila ada 'adab', Insya-Allah, B  dan C akan datang. B itu 'bijaksana' dan C itu 'cerdik'.
     Pelangi mewarnai hidup kita. Kisah anak murid dan cikgu tak pernah berakhir. Sentiasa ada kisah untuk dikenang,  kita manusia biasa, ada lebih dan ada kurang.

Monday, May 13, 2019

13 Mei

13 Mei akan terus dikenang dalam sejarah .   
          Bagi anak merdeka yang tidak melalui detik 13 Mei 1969 seperti ayah, hanya dapat mendengar ceritanya sahaja. Bagi yang merasai dan melalui saat-saat itu, pasti sukar untuk melupakannya dan memberi kesan dalam hidup mereka. Penting bagi setiap rakyat Malaysia bersatu padu dan bersatu hati. Penting bagi setiap rakyat Malaysia memahami sejarah dan memahami perlembagaan yang ada. Penting bagi setiap rakyat Malaysia menghormati kepelbagaian budaya, kepelbagaian bangsa dan kepelbagaian agama.
      Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Maksudnya hendaklah menurut adat dan resam  tempat yang kita diami (Kamus Dewan Edisi Keempat). Ingatlah bahawa kita rakyat Malaysia.

Sunday, May 12, 2019

Ibu dan Jururawat

Semalam, Hari Ibu. Semalam juga Hari Jururawat.
         Ibu tak pernah lekang dalam ingatan kita pada setiap waktu. Ibulah juga jururawat kita sejak dilahirkan, menjaga sakit demam kita dan mendengar luahan kita. Begitu juga ingatan kita terhadap  ayah. Membesarkan kita bukanlah perkara yang mudah, cukup  menguji kesabaran ayah dan ibu. Doakan ibu dan ayah kita sepanjang masa, Insya-Allah.
        Selamat Hari Ibu, Selamat Hari Jururawat walaupun terlambat sehari.

Thursday, May 9, 2019

Rakyat

Setahun yang lepas, pada tarikh keramat ini, 9 Mei, rakyat memilih.
     Demokrasi, kita mesti memilih. Dalam tempoh setahun ini, banyak perkara yang berlaku dan mempengaruhi kepercayaan rakyat terhadap pilihan mereka. Ramai yakin pilihan mereka tepat. Ada yang mula rasa was-was dan sangsi dengan pilihan mereka. Ada pula yang rasa tersalah langkah memilih. Ada  juga yang rasa pilihan mereka tidak mengubah apa-apa. Ada yang pada mulanya gembira dan akhirnya kecewa dengan yang dipilih. Adanya yang pada mulanya kecewa dan akhirnya gembira dengan yang dipilih.
      Pilihan pastinya memberikan kesan. Kesan itu boleh jadi kesan jangka masa pendek atau kesan jangka masa panjang. Pilihan itu juga boleh memberi manfaat dan boleh memberi mudarat. Fikirlah secara waras sebelum memilih.

Wednesday, May 8, 2019

Bangkit

Bangkit! Itu yang boleh ayah katakan setelah melihat keputusan antara Liverpool menentang Barcelona dalam Instagram Faizal Tahir waktu bangkit sahur tadi.
        Melihat keputusan 3 gol tidak berbalas sewaktu perlawanan pertama, pelbagai andaian telah dibuat. Realitinya, tidak ada yang mustahil selagi boleh berusaha, selagi ada masa, selagi ada ruang dan peluang. Kerjasama pula memainkan peranan  penting dalam merebut ruang dan peluang. Selagi berpegang pada matlamat yang sama dan mencapai kata sepakat, Insya-Allah kerjasama akan terus berlangsung.
       Jika kata sepakat tidak dicapai, tujuh kali pusing bazar Ramadan pun belum tentu beli apa-apa kerana tidak tahu juadah yang ingin dibeli. Selamat membeli bagi yang membeli!

Monday, May 6, 2019

Nafsu

Opah membekalkan Vitagen dan kuih baulu untuk Achik.   
       Mak Long Pah membekalkan sambal hitam sebab umi suka makan, boleh makan waktu berbuka. Maka cabaran pun bermula tatkala menuju ke Kuantan. Achik belum makan, jadi dimulakan dengan Vitagen dan seterusnya kuih baulu. Angah berbunyi tetapi tidaklah sampai mahu berbuka. Along membaca buku.
       Hidup ini penuh cabaran dan sentiasa diuji. Jika tidak diuji, bukan kehidupanlah namanya. Besar atau kecil sesuatu cabaran atau ujian akan menguji kesabaran kita.  Cabaran atau ujian sentiasa menguji kesabaran. Jika tidak ada syaitan, nafsu masih ada.







Lapar

Apabila hari pertama puasa cuti, ramai yang balik kampung.
      Anak-anak yang tinggal di asrama cukup gembira kerana dapat bersahur dan berbuka dengan keluarga. Banyak perkara yang boleh dibuat sementara menanti waktu berbuka. Banyak juga permintaan daripada anak-anak sempena Bulan Puasa. Achik dari semalam sudah minta baulu Opah. Semalam tidak ada  stok, hari ini Opah sudah buat kerana ada orang tempah kuih baulu. Pagi-pagi tadi pula apabila nampak Opah dan Atuk mahu membeli barang, Angah sudah buat permintaan, dia mahu Buah Melaka. Tadi, dia tolong Opah buat kuih Buah Melaka ditemani Achik.
      Masa terluang  boleh diisi dengan sesuatu untuk mengalihkan perhatian anak-anak daripada menyebut 'lapar' sepanjang masa. Jika tidak, ayah pun akan asyik menyebut 'lapar'😅. Jangan abaikan sahur.

Saturday, May 4, 2019

Amal

Umi ke tempat kerja menguruskan hari sukan. Dalam pukul 9, ayah hantar Along dan Angah, mereka mahu tengok sukan.
      Ayah tinggal di rumah dengan Achik dan Adik. Menghabiskan waktu cuti, memang banyak perkara yang perlu dibuat. Sambil itu, melihat ragam anak-anak Oren di sebalik cermin pintu. Membuka reban ayam mutiara, membiarkan ayam-ayam itu bermain di luar reban. Membancuh kopi Hang Tuah, ayah menekuni Mingguan Malaysia. Banyak cerita tentang Ramadhan dan semalam berlangsungnya Himpunan Pertahankan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan berhampiran Kompleks Sogo.
       Ramadhan yang datang seharusnya menguatkan lagi hubungan antara kita dan bersama-sama kita mengamalkan ajaran Islam untuk kesejahteraan kita semua, Insya-Allah.

Friday, May 3, 2019

Selamat

Ayah membaca dalam 'Twitter' Rasmi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, hari ini ialah Hari Anggota Bomba Sedunia (4 Mei).
        Selamat Hari Anggota Bomba Sedunia diucapkan. Begitu cantiknya Bahasa Melayu. Apa-apa ucapan melibatkan hari-hari yang istimewa dimulakan dengan 'selamat'. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ada empat maksud 'selamat'. Maksud 'selamat' yang ketiga ialah ucapan atau doa dengan harapan supaya sejahtera (terhindar daripada segala bencana, sampai hajat dan lain-lain) atau sebagai tanda bersyukur.
       Secara tidak langsung, sedar atau tidak sedar, kita telah mendoakan seseorang apabila meggunakan perkataan 'selamat' apabila memberi ucapan sempena hari istimewa yang diraikan oleh sesiapa sahaja.

Al-Fatihah

Hari ini Jumaat terakhir sebelum masuknya bulan Ramadhan (ejaan mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat - Ramadan).
        Dua hari lepas, 1 Mei (Rabu), kita kehilangan insan yang kita kenali dan sayangi, iaitu Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, 73 tahun. Kehilangan sesuatu yang menyedihkan dan menyakitkan. Walau bagaimanapun, inilah lumrah kehidupan dan kita semua akan melaluinya. Sama ada kita yang pergi dahulu atau orang lain yang pergi dahulu, kita tetap kena bersedia kerana giliran itu pasti akan sampai.
      Mungkin di saat ini kita tidak sabar untuk bertemu Ramadhan. Walaupun Ramadhan akan muncul beberapa hari sahaja lagi, kita pun tidak tahu sama ada kita sempat atau tidak berjumpa Ramadhan. Al-Fatihah untuk yang telah meninggalkan kita.

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-gal...