Translate

Saturday, December 31, 2022

Ingati

Hari ini, hari pertama tahun baharu. Semalam, hari terakhir tahun 2022. Semalam yang ditinggalkan masih segar di fikiran.
             Semalam sewaktu dalam perjalanan ke rumah Atuk Dan Wan, Angah dan Adik menikmati telur rebus. Malam tadi, sebelum tidur, Adik mahu telur rebus lagi. Sebelum ke rumah Atuk Dan Wan, kami ke walimatulurus di rumah Cikgu Hamdan. Alhamdulillah, Tahniah dapat menantu! Moga bahagia ke sorga. Sebelum itu, Cikgu Khair menghubungi Ayah, menghantar gambar di rumah kenduri. Dia terlebih dulu sampai, walaupun ke tempat sama, tidaklah dapat bersua muka. Bunga telur dan baulu bertukar tangan sebelum balik. Dulu-dulu, memang bunga telur menjadi bekalan dibawa balik. Orang Melayu sememangnya tahu dan seharusnya tahu, bunga telur itu simbol kesuburan, satu doa bagi tetamu yang hadir buat pasangan pengantin moga dikurniakan zuriat.
              Semalam telah berlalu, hari ini yang sedang dilalui, hari baharu bagi kita. Moga semalam dan hari ini serta esok menjadi hari yang kita ingati kerana kegembiraan dan kebaikan yang kita dapati, Insya-Allah. Selamat Tahun Baharu 2023.


              

Masuk Gua


 Di luar nampak batu-batu saja, di dalam ada harta, itulah Bukit Kurma dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Yang ini, di luar pun nampak batu-bata saja, Ayah sudah tertanya-tanya.
            Tak perlu baca mantera untuk masuk, perlu menunggu sebentar. Di dalamnya tak sama dengan gua batu pun, cukup unik. Pilih mahu makan yang mana, pesan saja. "Macam malam," kata anak-anak. Filem ditayangkan hitam putih, tak bersuara. Penggemar 'salted egg' boleh ke sini. Ada juga menu lain. Dua hari lepas kami ke sini, bukan dirancang terlalu awal, hanya bertanya Encik Google, Umi bersetuju, maka, Alhamdulillah, sampai. Sepotong kek dan makanan lain, makan tengah hari sempena hari lahir Umi. "Kenapa tak cakap awal? Kalau tak, boleh pasang lagu," ayat itu timbul di kaunter.
           Ada masa kita pun perlu masuk gua untuk dapatkan sesuatu kerana di dalamnya ada sesuatu yang tidak ada di luar. Renung-renungkanlah!
 

Friday, December 23, 2022

Banyak

Cuti hujung tahun, musim banjir melanda, juga musim kenduri dan musim kendurian (kenduri durian).
      Banyak kerisauan tatkala hujan tak henti-henti, air melimpah di sana di sini dan mentari pun muncul membawa sinar, membawa lega bagi yang mengadakan kenduri, bagi yang mahu makan kenduri. Semalam, Pak Teh memborong durian Raub, di bawa ke rumah Atuk dan Wan. Tak sempat habis mengopek durian, di dalam pinggan sudah habis, penangan anak-anak dan sepupu-sepupu yang selesai riang bermain kerana tiada hujan petang. Hari ini yang cerah, ke kenduri Pak Su dan Mak Su, seterusnya ke rumah Atuk dan Opah menghantar Aidil, Ziyad dan Haras yang sudah seminggu di sini. 
         Cuti masih berbaki, masih ada yang belum selesai, perlu diselesaikan. Cuti hujung tahun, banyak yang perlu diteliti  dan disemak kembali, banyak yang perlu disediakan untuk menghadapi hari esok. Hujung tahun, banyak yang mesti dikenangkan dan difikirkan.

Sunday, December 18, 2022

Angka

Sebut saja 'The Hand Of God', peminat bola sepak pasti terbayang orang dan nombornya.
           Malam tadi, bukan lagi 'The Hand of God',  pertembungan menjadi lebih genting, rancak dan penuh debaran selepas penyamaan gol ketiga yang berpunca daripada tangan. Di luar padang dan di dalam padang tak senang duduk sehinggalah ke sepakan penalti yang menamatkan kemarau 36 tahun. Dulu-dulu banyak yang memilih nombor 10 kerana nombor ini mewakili pemain legenda Maradona.
         Setiap angka mewakili kesungguhan dan ketabahan.
Kesungguhan dan ketabahan dalam melakukan sesuatu itulah yang menjadikan diri kita lebih bernilai daripada emas dan permata serta lebih bersinar daripada bintang kejora.


Saturday, December 17, 2022

Bisik

Masa sentiasa berbisik, berlari dan tak berpaling lagi. Kita tertinggal sangat jauh di belakang.
       Setahun hampir berlalu ke Utara, malam tadi Mak Teh singgah di rumah selesai menziarahi adik iparnya yang diuji kesakitan, moga Allah SWT memberikan perlindungan dan kesihatan. Rasanya macam baru saja ke Utara, rupanya hampir setahun. Ada tragedi yang tak dapat dilupakan, semuanya meluncur ke ingatan. Tersekat dek banjir tak lepas balik itu antaranya. Ke Negeri Jelapang Padi sempat ke Pantai Merdeka, sempat ke Pantai Bisik. Di Pantai Bisik, memang banyak yang berbisik, cukup menarik dan bisik ada makna, mencari kata setuju atau tidak. Berbisik, mendengar dan tawar-menawar itu caranya.
          Setahun berlalu, kita perlu ambil masa untuk berbisik kepada diri sendiri, bermonolog, secara luaran atau dalaman. Itu antaranya untuk kita belajar muhasabah diri, belajar mensyukuri, belajar untuk menerima hakikat dan belajar untuk memperbaiki diri, Insya-Allah.
        

        

Thursday, December 15, 2022

Akar

Semakin moden, banyak perkara yang harus dikekalkan dan tak ditinggalkan.
       Seni budaya tak harus dipandang sebelah mata. Seni budaya dapat dilihat dalam kaum yang pelbagai seperti cara hidup, penulisan, bangunan, seni pertahanan diri dan makanan. Sebut pasal makanan, awal pagi lagi, Opah sudah membuat lempeng kelapa, Nenek menyebutnya sebelum tidur sebab ada kuah gulai dan cucu-cucu Opah gemar sangat. Dalam filem animasi Mechamato pun ada karipap yang lazat, sarat dengan seni budaya serta aksi yang membuatkan kita bangga dan terpesona.
        Seni budaya akan terus bernyawa sekira adanya kita yang teguh dengan jati diri. Setiap daripada kitalah yang harus menjaga seni budaya kerana sesebuah tamadun akan terus berdiri teguh dengan adanya rakyat yang mencintai negara daripada akar umbi.


Tuesday, December 13, 2022

Kering

Musim hujan, salah satu perkara yang dimahukan ialah pakaian cepat kering.
          Kering itu banyak makna, perkara dan cerita. Musim hujan pun kalau dapat nasi panas dan ikan kering goreng terasa sangat sedap. Nak makan yang mewah-mewah kena ada duit dan yang selalu cepat kering jika tak diurus dengan elok walaupun musim hujan ialah duit. Lima puluh ringgit hari ini jika dipecahkan sekejap saja boleh habis. Yang selalu tak diinginkan ialah musim kering, iaitu musim kemarau dan tetap kena dilalui serta disyukuri. Musim hujan begini tak sempat kering embun sebab dari malam sudah hujan. Kering embun dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pagi hari kira-kira pukul 8 hingga 9 pagi.
         Kita memerlukan kering, kita memerlukan basah. Untuk mendapatkan kering, pakaian perlu dibasuh dan menjadi basah. Kering idea itu harus didahulukan dengan membaca sering supaya akal sentiasa boleh diasah.


Friday, December 9, 2022

Harung

Semalam 9 Disember 2022, Along balik, diambil Umi dan pagi ini Umi ke ibu kota.
        Malam tadi, bertemakan hitam,  Ayah serta kawan-kawan mengopi dan makan-makan, diiringi lantunan suara Cikgu Kahar, dihiburkan Cikgu Zaidi dengan pantun nanas dan usikannya, dimeriahkan dengan cabutan bertuah. Malam tadi juga, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 27 timbalan menteri Kabinet Baharu dan kemudiannya penyokong Brazil banyak yang kecewa, kalah penalti kepada Croatia,  4 berbalas 2. Mahu dirakamkan, begitu banyak yang berlaku walau sesaat berlalu. Saat demi saat merakam ribuan perasaan,  jutaan kisah dan kenangan mengusik atma.
         Musim hujan pun tetap panas ceritanya, perlu diteruskan segala yang dirancang dan yang tak dirancang pun tetap datang dan perlu ditatang. Dengan secangkir kopi, harunglah apa-apa pun yang mendatang, Insya-Allah.

Tuesday, December 6, 2022

Kuasa Berkat

Banyak yang menginginkan kuasa, ada yang akhirnya dapat, ada yang tak dapat-dapat.
        Ada pula yang tak berminat dengan kuasa, tetapi mendapat kuasa. Kuasa bermakna tanggungjawab. Kata-kata popular yang selalu diingati tentulah ungkapan pak cik Ben, "Kuasa yang besar datangnya dengan tanggungjawab yang besar." Edmund Burd dalam buku Mutiara Kata susunan Adi Alhadi pula berkata, "Semakin besar sesuatu kuasa, semakin besar bahaya penyalahgunaannya." Sudah ada kuasa, sudah ada tanggungjawab, maka perlulah dilaksanakan seperti yang dirancangkan dengan niat yang betul dan cara yang betul. 
         Kuasa perlulah digunakan dengan bertanggungjawab.            Niat yang betul dan cara yang betul, Insya-Allah hasilnya menjadi berkat. Jika sebaliknya berlaku, kuasa yang ada selalunya tidak akan kekal lama kerana berkat itu rahmat daripada Allah SWT.

Saturday, November 26, 2022

Bina

Dalam Buku Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi, "Seminggu ialah masa yang panjang dalam politik," begitulah ujar Harold Wilson.
           Merujuk buku yang sama, Thomas Babington Macaulay menyatakan bahawa ahli politik yang rakus lebih banyak berfikir tentang keselamatan kerusi mereka daripada keselamatan negara mereka. Tambah Ralph Waldo Emerson, "Sebuah parti selamanya dirosakkan oleh perwatakan dan peribadi." Kewajipan telah  ditunaikan. Pemimpin-pemimpin yang terpilih bukanlah calang-calang orang yang memilih, yakni yang bernama Rakyat itu sendiri. Akhirnya, untuk jawatan tertinggi dilantik dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
           Tiba masanya untuk semua bekerja dengan lebih gigih. Marilah bersama-sama kita membina negara yang aman, damai, harmoni dan sentosa tanpa persengketaan yang panjang kerana kita tidak mahu menjadi seperti disebutkan peribahasa Melayu,   kalah jadi abu, menang jadi arang.
        

Monday, November 21, 2022

Kita Pernah Bersatu

Di jeriji pagi ini

seekor kucing muncul

menawarkan aku

sebagai sahabat tanpa pilih bulu

tatkala hari ini yang masih panjang

dengan tipu daya belum habis

banyak musuh yang memilih diam

kauanggap sahabat kudus

dan yang kaulihat seakan-akan

membenci kerenahmu belumlah pasti

benar-benar musuhmu yang jelas.

Kurungan ini

tiada hirau manusia mana

dan tiada hirau kaum yang mana

kita pernah bersatu kerananya

tanpa perangkap prejudis

tanpa jebak muslihat.

Ternyata dunia ini

sulit dengan putar belit

selagi belum di penjara azab!


Friday, November 18, 2022

Kota Bukti

Media sosial nampaknya terlalu meriah dengan kata-kata sejak tarikh PRU ke-15 diumumkan.
         Yang di sana katanya begitu begini, yang di sini katanya begini begitu. Yang sulitnya, yang mendengar dan yang membaca. Cuba untuk memahami dan mentafsir, kadang-kadang betul tafsirnya, kadang-kadang ke laut tafsirannya. Yang di sini katanya demi agama, bangsa dan negara, yang di sana pun begitu juga penegasannya. Hanya yang berkata-kata tahu akan niat dan tujuan sebenar atau tujuan di sebaliknya, yang mendengar dan yang membaca hanya dapat maklumat secara tersurat seperti yang dinyatakan kepada khalayak secara terbuka.
         Kita mungkin percaya dan terpedaya dengan kata-kata. Namun begitu, sepatutnya kita  lebih percaya dan terpesona dengan kata-kata yang dikotakan atau dibuktikan, iaitu hasil melalui tindakan. Timbang-timbangkanlah!


Thursday, November 17, 2022

Pantun Melayu

Padi sudahlah berbuah,
Berhuma Wak Empuk Wan Malini,
Diberi amanah tolak rasuah,
Maruah terjaga negara disegani.


Pantun Melayu

Dipanggil padi tatkala berkulit,
Dibuang sekam bertanak nasi,
Mahu memilih terasa sulit,
Rakyat memilih inilah demokrasi.

Wednesday, November 16, 2022

Pantun Melayu

Di Bukit Si Guntang padi berbuah,
Asalnya padi dari Palembang,
Jangan memilih dek amarah,
Guna akal bertimbang-timbang.


Sunday, November 13, 2022

Pantun Melayu

Banyak lopak di sana di sini,
Hujan turun mencurah lebat, Amarah pun banyak di sana di sini,
Salah dekat undang akibat.

Wednesday, November 9, 2022

Pantun Melayu

Siang malam bila-bila,
Tiba bawa oleh-oleh,
Bantuan datang tak tahu bila,
Wajib bekerja selagi boleh.


Tuesday, November 8, 2022

Pantun Melayu

Elok-elok memilih beras,
Padi sawah padi huma,
Semua mendabik hatinya ikhlas,
Salah pilih tidur tak lena.


Monday, November 7, 2022

Pantun Melayu

Semua mengaku baik-baik,
Mana satu pilihan hati,
Hati mula berbolak-balik,
Salah pilih janji dikhianati.


Saturday, November 5, 2022

Pantun Melayu

Dari rumah ke satu rumah,
Senyum terukir di bibir sentiasa,
Manis kata terlajak ramah,
Ambil berat luar biasa.

Friday, November 4, 2022

Pantun Melayu

Di sana kawan  di sini pun kawan,
Duduk semeja lain pendapat,
Lawan tetap kena lawan,
Jangan sekali putus sahabat.


Tuesday, November 1, 2022

Baik Benar

Waktu kecil, Ayah tak suka sangat makan roti inti kelapa dan pau inti kelapa.
         Waktu berlalu, roti inti kelapa dan pau isi kelapa sudah berasa sedap, kena dengan tekak. Tambah-tambah hari hujan, kena pula dengan kopi 'o' cap Televisyen, fuh! Ada satu peribahasa berkaitan kelapa atau nyiur yang bermaksud mendengar perkataan orang hendaklah dipilih mana-mana yang baik dan benar, dan yang buruk dibuang. 'Umpama memerah nyiur,  santan diambil hampas dibuang', itu peribahasanya. Dulu, kata-kata hanya berlegar di sekitar kita dan dalam media massa yang masih terhad. Sekarang, ditambah  dengan internet dan media sosial, untuk memilih yang baik dan benar sangatlah sulit, namun memilih yang baik benar tetaplah menjadi keutamaan.
         Jika kita sudah terdedah dengan soal memilih yang baik dan benar sejak awal, Insya-Allah moga kita terus istiqamah dalam mencari yang  baik dan benar, seterusnya itulah yang menjadi pilihan kita. 

Monday, October 17, 2022

Anugerah

Masa semakin pantas berlari tanpa rasa lelah, kita semakin bertambah usia.
        Bertambah usia bererti meningkat dewasa dan semakin tua. Semakin tua, masih dikurniakan kesihatan, itulah nikmat yang paling besar. Masih dapat menikmati dan melalui hari lahir itu pun nikmat yang sangat besar. Terima kasih untuk semua, abah dan mak yang melahirkan, ayah dan mak mentua, isteri dan anak-anak, saudara-mara, sahabat-sahabat di alam nyata dan di alam maya, anak-anak murid, sahabat yang jarang bertemu dan selalu mengingati seperti LHDN, makhluk Allah SWT yang lain seperti kucing, terima kasih atas doa kalian. Moga semuanya dalam perlindungan Allah SWT,  diberkati umur, dilimpahkan rezeki dan dikurniakan kesihatan.
        Insya-Allah, bertambah usia, diharapkan bertambah pahala kita dan dikelilingi insan yang mengambil berat di sekeliling kita merupakan satu anugerah yang tak ternilai, Alhamdulillah.

 

Saturday, October 15, 2022

Jati Diri

       "Seri Pekan, nama diberi,
      Zapin Pekan, namanya tari,"
Memetik sedikit lirik lagu,  sudah tentunya lagu ini mengiringi tarian Zapin Pekan.
        Seni budaya ada tempatnya dalam setiap tamadun. Seni itu sesuatu yang halus dan kehalusan itu terserlah dalam budaya yang diwarisi dari generasi ke satu generasi. Seni budaya itu sedikit sebanyak akan memberi maklumat dan kefahaman tentang sesuatu bangsa atau tamadun kepada orang yang melihat atau menontonnya. Semalam, Sabtu, 15 Oktober 2022, anak-anak didedahkan dengan Zapin Pahang di Dewan Bandaraya, Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan melalui Bengkel Tatih Zapin Pahang.
      Ilmu itu ada di mana-mana dan seharusnya kita menggali ilmu untuk mengenali bangsa atau tamadun kita sendiri. Seni budaya itu boleh membentuk jati diri, Insya-Allah.


       

Friday, October 14, 2022

Budi Bahasa

Ben atau Abdul Aziz muncul pada hari Khamis, agak lama tak berjumpa.
       Ayah lebih banyak bertukar senyuman dengan Pak cik Ben. Tak pandai sangat nak bercakap. "Itulah pentingnya English Education," begitulah kata-kata yang mengingatkan kita kepada Usop Wilcha . Bab ini kena serah kepada Ustaz Fuad,  senyum lebar Ben dengar Ustaz berceloteh dan bertanya. Semalam, hari Jumaat, kami bersama-sama berarak sambil sempena sambutan Maulidur Rasul. Sudah boleh dikira pengantarabangsaan, warga Jerman turut sekali dalam perarakan kali ini setelah lama tidak berarak. Waktu makan, bertukar-tukar cerita, mendengar khabar dari Jerman, Jumaat yang meriah.
        Globalisasi sudah tidak ada sempadan, bukan setakat di alam maya, di alam realiti pun kita dapat berkawan dengan sesiapa saja tanpa mengira bangsa. Budi bahasa menyatukan kita, Alhamdulillah.


Friday, September 30, 2022

Pahit Manis

Dulu-dulu, kalau kopi habis, pasti Opah suruh beli, stok kopi tak boleh putus.
         Hujan-hujan, pekena kopi 'o', ada pula biskut mayat, itu sudah sangat sedap dan cukup terasa nikmat. Dekat rumah kenduri, pagi-pagi atau malam-malam, kopi 'o' mesti ada, sama berasap dengan asap rokok pucuk, jadi teman berborak. Apa-apa pun topik, ada kopi, sembang boleh jadi panjang. Penat-penat bekerja, di pejabat atau di ladang sawit, kopi pun boleh jadi ubat penghilang penat. Pernah dengar kopi bujang? Kopi bujang maksudnya hidangan kopi saja (tanpa atau tidak disertai  kuih-kuih).
         Kopi banyak ceritanya, tak akan habis. Kopi itu pahit manis dalam kehidupan, pengajarannya pasti ada pada setiap rasa. Selamat Hari Kopi Sedunia buat pencinta kopi dan bakal pencinta kopi. 

Tuesday, September 27, 2022

Empunya

Setiap hari ada saja tragedi berlaku dalam hidup kita dan hidup orang lain.
        Tragedi pasti meninggalkan kesan, kesan  yang menyedihkan. Kesedihan sudah menjadi lumrah, sebahagian daripada hidup kita. Sedih datang, tak perlu diundang. Pasti tak ada yang mahu bersedih-bersedih, namun sedih kadang-kadang puncanya daripada diri sendiri dan ada  juga orang lain buat kita sedih. Takdir juga selalu buat kita sedih. Mahu tak mahu, dalam sedih pun perlu meneruskan hidup. Sedih tetap akan datang dari masa depan, sedih juga pasti kembali dari masa silam kalau selalu sangat mengenangkannya.
       Apa-apa pun, banyak juga yang dapat kita belajar daripada tragedi. Daripada tragedi, kita belajar muhasabah diri, kita belajar mengenal diri dan kita belajar mengenal serta mendekati Empunya diri ini, Insya-Allah.


Saturday, September 24, 2022

Juang

Sabtu dan Ahad atau hujung minggu yang bercuti buat apa?
        Ada yang menghabiskan hujung minggu sendirian, ada yang menghabiskan hujung minggu dengan kawan- kawan dan ada yang menghabiskan hujung minggu dengan keluarga. Walau di mana-mana pun, di tepi pantai tetap tak pernah membosankan dengan nyanyian alam. Tak cukup dengan nyanyian alam, ditambah pula dengan nyanyian lagu secara langsung, sambil menikmati suasana dan kesejukan rasa di tekak serta kunyahan demi kunyahan, ralit dibuatnya. Yang datang bertali arus, mencari tempat serta beratur dan yang melayani terus bersabar melayani permintaan dan kerenah kita.
       Sentiasalah bersyukur kerana di saat kita sedang santai, sedang berehat dan menikmati masa cuti atau masa libur, ada yang sedang gigih bekerja, ada yang sedang gigih berjuang untuk keselesaan kita semua!
        

Thursday, September 15, 2022

Selagi

Mempertahankan agama, bangsa dan tanah air ialah tugas kita semua.
         Mempertahankan agama, bangsa dan tanah air bergantung  kemahiran yang kita miliki. Ada yang memang kerjayanya sebagai anggota keselamatan, siang dan malam memastikan semuanya selamat. Ada yang kerjanya terlibat dengan perniagaan dan perusahaan, memberi peluang kepada orang lain untuk bekerja serta memastikan ekonomi negara terus berkembang. Ada yang berkecimpung dalam pendidikan, memastikan pewaris negara berilmu dalam pelbagai bidang untuk negara terus maju ke depan.
        Selagi bernyawa, apa-apa pun tugas yang sedang kita lakukan pada saat ini, besar ataupun kecil pada pandangan kita sendiri,  kita sebenarnya sedang menyumbang khidmat bakti untuk negara kita. Inilah caranya kita mempertahankan agama, bangsa dan tanah air tercinta!

Wednesday, September 14, 2022

Abata

"Jangan manja sangat." Mak ayah dulu jarang beri muka dalam hal disiplin walaupun anaknya memang manja.
        Kalau balik dari sekolah, cerita kena denda, cubit, rotan dan sebagainya, mak ayah akan tambah. Kalau dekat rumah malas mandi, getah paip dan penyangkut baju besi boleh jadi  'makanan'. Kadang-kadang akad penyerahan anak-anak boleh berlaku di kedai kopi. Cikgu-cikgu jadi kawan ayah, mengopi sekali. "Tak dengar cakap, rotan!" Cakap cikgu, itu cakap mak ayah juga. Mak ayah tak nak kita jadi manja sangat kerana mereka dulu lagi susah.    
          Manja memang perlu, perlu ada perlu tempat kerana apabila diperlukan nanti, anak-anak kita sudah ada disiplin dan keberanian untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.    
         

Saturday, September 10, 2022

Sepetang

Setelah menemui Aidil, kami bergerak ke stesen yang seterusnya, rumah Ateh.
        Dalam perjalanan, menikmati cempedak goreng yang masih panas, sedap sungguh. Sampai di rumah Ateh,  anak-anak sambung bermain. Selesai di rumah Ateh, menghala ke satu lagi tempat, agak jauh dan agak  mendebarkan kerana jalan yang tak dijangka. Tempat yang ditujui terkenal dengan arang kayu bakau, destinasi makan malam walau hari belum malam. Sepetang di Kuala Sepetang untuk makan malam, perjalanan yang agak panjang untuk Mi Udang Mak Jah. Apa-apa pun cukup berbaloi, Alhamdulillah!
         Hidup ini memang satu perjalanan. Pagi, tengah hari, petang dan malam, manis dan pahit akan kita temui. Manis dan pahit mendewasakan kita, mematangkan kita dan membuatkan kita menyedari serta memahami erti rasa dalam hidup.
         
         
         
           
        

Friday, September 9, 2022

Sekelip

Opah beli laksa. Ada gerai di depan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pasir Panjang, Segari. Yang lain menikmati dan mengamati suasana.
         Masa untuk makan tengah hari. Tidak ada perancangan awal di mana-mana untuk makan dan akhirnya bergerak ke tempat yang tak dirancang, Teluk Senangin.  Banyak sungguh pengunjung, walaupun tengah hari, penuh orang mandi laut, jarang sekali jumpa suasana begini, meriah! Kerusi dan meja boleh disewa untuk lebih selesa, bertambah nikmat sambil menikmati laksa, sambil menikmati suasana. Di bawah pohon ru, di bawah pohon ketapang yang berehat dan berkelah berteduh. Di pangkal pokok, seekor ciak rumah kelihatan sedang menyuap makanan ke paruh ciak rumah yang seekor lagi.
      Di sekeliling kita sebenarnya penuh dengan nikmat, nikmat yang tak terhitung. Terlalu banyak yang kita dapat, seharusnya tidak membuatkan kita leka kerana nikmat boleh hilang sekelip mata!
        

Kekal

31 Julai 2022 bersamaan 2 Muharam 1444 Hijrah, pilihan telah dibuat.
         Pagi bertenang-tenang dulu, Mbah Man mencari sarapan, dibawa balik ke tempat penginapan. Lebih kurang pukul 11.00 pagi, kami sudah di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pasir Panjang, Segari. Mahu ke sini, tertanya-tanya kerana sepertinya tidak akan bertemu kawasan pantai, melalui kawasan ladang sawit, persoalan terjawab, memang ada kawasan pantai. Sudah lama tak bertentang mata dengan penyu. Merujuk laman buzzkini.com yang merujuk Dr. Fitri Yusof, penyu digelar fosil hidup. Penyu hidup sejak zaman dinosaur lagi, kira-kira lebih  200 juta tahun dulu. Teruja pastinya melihat ada penyu yang besar dan berenang-berenang beriringan.
        Apa-apa pun pilihannya, tetap menemukan kita dengan sesuatu. Semua ini tentang kita, alam dan manusia yang saling memerlukan, yang saling melengkapi, tanggungjawab kita untuk mengekalkannya.



Sunday, August 14, 2022

Panduan

Malam, setelah bertanya Pak Su Tarmizi, misi mencari makan malam diteruskan.
       Restoran Razak Rasaria (3R) menjadi destinasi yang seterusnya. Meja agak penuh, tetapi santai kerana tidaklah berasa seperti di kedai makan dengan suasana yang tenang, masing-masing menunggu juadah dengan sabar. Umi menunggu 'udang lipan platter' dan ayah menunggu siakap bakar. Fuh, air asamnya cukup menyelerakan! Umi kelaparan, menikmati juadah, tak sempat nak ambil gambar pun. Nampaknya ada artis juga pernah makan di 3R. Alhamdulillah, kenyang.
      Esok masih dalam perancangan,  namun esok tetap akan datang. Banyak yang dirancang, yang menjadi pilihan pastilah sesuatu yang boleh dikenang serta dijadikan panduan di kemudian hari, Insya-Allah.

       

Ruang

Sepanjang perjalanan ke Pantai Remis, Opah asyik menyebut tentang Trong dan Temerloh.
       Ayah pun tak pasti sebutan atau nama yang sebenar sebab ada pada papan tanda yang ditulis 'Temerloh', ada pada bangunan yang ditulis 'Temerlok'. Melalui Pengkalan Baharu, menurut Opah, di sinilah tempat lahir arwah Wan Dolah. Sungai Tinggi,  inilah tempat tujuannya. Di sinilah  buat pertama kali Ayah dan Umi bertemu sepupu arwah Wan Dolah. Opah, Atuk dan Nenek telah bersua beberapa kali. Kami berhenti di rumah Tok Njang Halimbi yang ditemani Pak Su Tarmizi, di sebelahnya rumah Tok Long dan tidak berapa lama kemudian, Tok Mamu pun muncul. Lama tak jumpa, tentulah banyak cerita, tentulah banyak persoalannya.
         Dalam hidup ini, sentiasa ada ruang untuk hubungan silaturahim. Dengan bersilaturahim, kita dapat mengenal asal usul kita dan dapat mengenal hati budi antara satu dengan yang lain, Insya-Allah.

Tuesday, August 2, 2022

Guna

1 Muharam 1444 Hijrah bersamaan 30 Julai 2022 perjalanan bermula.
      Kali ini tidak melalui Batang Kali. Berhenti di perhentian Behrang, menjamah bekal yang disediakan Opah, berjanji temu Tok Chik Liza dan Mbah Man di situ. Makan nasi berlaukkan ikan kering dan lauk lain, sudah lama tidak berkelah begini. Ada pula ular  yang bermain-main di tepi bukit berhampiran, menimbulkan 
rasa cemas dan ingin tahu anak. "Ular lidi" kata Atuk. Ada satu peribahasa Melayu yang berbunyi 'naga ditelan ular lidi', maksudnya ialah anak orang bangsawan berkahwin dengan anak orang kebanyakan. Jadi, sambil makan, anak-anak ralit tengok ular lidi yang sekejap muncul sekejap menghilang.
      Perjalanan selalu menemukan kita dengan sesuatu yang baharu. Sedikit atau banyak sesuatu yang ditemui, tetap akan menjadi pengalaman yang bernilai kerana pengalaman sentiasa ada gunanya untuk kita.

Friday, July 29, 2022

Gantung

       Untuk menjadi lebih kuat, kita perlu bersatu serta berkolaboratif dan kadangkala itu tidak menjadi nyata seperti yang dirangka. 
        Maka, apabila sendiri, kita terpaksa menjadi lebih kuat kerana kita hanya perlu bergantung kepada diri sendiri. Apabila kita sendiri, segala-gala perlu kita tentukan, daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara kerana masa yang banyak amat diperlukan. Sendiri itu kadang-kadang bukanlah tiadanya satu hati tetapi masing-masing ada kekangan dan tanggungjawab yang lain.
Kadang-kadang apabila kita sudah sendiri, orang lain pula nampak kita lebih kuat dan rasa kita lebih kuat sedangkan kita sendiri rasa kita pun sedang bergelut untuk menjadi lebih kuat dalam menangani satu-satu perkara. 
    Bersama-sama atau sendiri, Insya-Allah kita akan menjadi lebih kuat, asalkan kita menggantungkan segala kepada Yang Maha Kuasa setelah berikhtiar sehabis baik.

Monday, July 11, 2022

Korban

Hari Raya Korban, 10 Zulhijah jatuh hari Ahad, semalam 11 Zulhijah 1443H, hari Isnin bersamaan 11 Julai, juga hari lahir Baba.
         Semalam juga berlangsung hari kenduri Baba dengan Mami Fazi, Alhamdulillah, tahniah, moga kekal bahagia ke sorga, Insya-Allah. Hidup ini sememangnya perjuangan dan pengorbanan. Dalam perjuangan ada pengorbanan, dalam pengorbanan juga ada perjuangan. Perjuangan untuk ke sana pastinya menuntut pengorbanan yang besar daripada kita kerana kita akan sentiasa diuji dengan sekecil-kecil ujian dan sebesar-besar ujian. 
         Kita tak boleh lari daripada perjuangan dan pengorbanan, itulah yang mesti kita hadap. Kisah Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS, itu salah satu panduan untuk kita ambil dan sentiasa kita renungkan, Insya-Allah.

Friday, July 8, 2022

Bangkit

Pagi, 9 Zulhijah, selepas solat subuh, takbir raya bergema. Esok Aidiladha.
       Malam tadi, penuh kehangatan, di luar dan di dalam. Di luar pawagam, orang  yang ramai, ada yang bertanjak, ada yang bercapal. Di dalam pawagam, bertambahlah kehangatan, seperti mana juga kehangatan di media sosial, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menjadi perhatian dan sebutan. Filem yang baik seperti mana juga penulisan yang baik, akan menimbulkan atau mencetuskan rasa ingin tahu yang tinggi kepada penonton dan pembaca. Rasa ingin tahu yang tinggi membuatkan sesiapa saja yang menonton atau yang membaca akan menyelongkar kisah di sebalik penceritaan atau di sebalik penulisan serta kembali membaca untuk lebih tahu.
       Maka, sejarah perjuangan akan terus hidup selagi mana kita disajikan filem yang digarap dengan hebat dan disajikan penulisan atau kata-kata yang berkesan untuk membangkitkan semangat, Insya-Allah.


Monday, July 4, 2022

Bijaksana

Apabila harga minyak naik, semua orang berbunyi dan tertanya-tanya.
         Menurut pandangan orang awam, harga minyak masak dan minyak kenderaan tak patut naik harga. Kita ada banyak minyak, kenapa harga boleh naik? Apabila minyak naik, harga barang-barang akan naik. Apabila harga barang naik, tentulah perbelanjaan bertambah. Minyak tetap satu liter, harga makin mahal. Sebiji kuih karipap pun seharusnya masih sama besar, bukan semakin kecil atau intinya semakin kurang dan harga sudah pastilah akan makin mahal. Orang yang pakar dalam ekonomi sepatutnya memberi penerangan yang jelas supaya orang  awam faham serta memikirkan kaedah yang terbaik untuk menstabilkan harga barangan.
           Kenaikan harga bukanlah saja mencetuskan rasa panik, bahkan membabitkan perbelanjaan isi rumah atau keluarga serta melibatkan kuasa beli pengguna. Kebijaksanaan dalam penyelesaian masalah  diperlukan ketika ini dan bukannya jawapan yang menjengkelkan hati.


        

Friday, July 1, 2022

Diburu

Bangun pagi, ada dua ekor anjing putih bertompok di dalam kawasan pagar rumah.
       Ayah buka pintu, seekor anjing lari dan diikuti yang seekor lari ke arah belakang rumah. Sah, seekor ayam mutiara baru sangat diratah dua ekor anjing tersebut. Bulu-bulu ayam berserakan. Hanya tinggal sedikit bahagian dada termasuk kepala. "Patut ada bunyi pelik," kata Umi. Tak pernah lagi anjing masuk dalam kawasan rumah. Ayah masuk rumah. Sebentar, ada bunyi dari arah pokok mempelam. Yang seekor lagi baru terjun, selamat daripada buruan. 
      Tak ada yang mahu menjadi subjek buruan dalam hidup. Namun, kadang-kadang hidup ini diburu  rasa yang pelbagai seperti rasa resah dan rasa bersalah, maka hati ini perlu diisi segera dengan sesuatu yang sentiasa dapat mendekatkan diri kita dengan Maha Pencipta serta memilih tindakan yang sepatutnya.

Saturday, June 18, 2022

3H

Hidup, hadap dan hidap, 3H dalam kehidupan kita.
         Bagi kita yang sedang  hidup, Alhamdulillah. Pabila sudah hidup, perlulah kita hadap segala yang datang, baik ataupun buruk. Datang yang baik, ini pun ujian. Datang  yang buruk pun bawa hikmah. Hidap penyakit pun sebahagian daripada hidup, tetap perlu dihadap. Setiap detik yang sampai, mahu tak mahu, perlu dihadap dan perlu diisi dengan sesuatu serta telah terisi dengan sesuatu. Perlu direnungkan juga yang telah berlalu sebagai ingatan atau teladan untuk menghadap yang bakal tiba.
       Kitalah watak utama yang menghidupkan drama kehidupan ini. Menghadapi dan menghidapi di sepanjang jalan hidup ini, itulah yang menghidupkan kita.

Thursday, June 16, 2022

Ada

16 Jun 2022, keputusan sudah di tangan.
         Alhamdulillah, tahniah dan syabas untuk semua.  Anak-anak boleh mengutamakan minat, beruntunglah jika keputusan seiring dengan minat. Jika tidak, janganlah risau, jalan tidaklah hanya satu, anak-anak perlu melihat dan  merenung satu demi satu,  Insya-Allah, pasti akan ditemui jalan yang dihajati asalkan ada usaha ke arah itu. Bertanya,  merujuk dan fikir habis-habis sebelum membuat kata putus kerana realiti tak semestinya seiras imaginasi.
         Insya-Allah, cikgu-cikgu akan sentiasa ada untuk membimbing, mak ayah akan sentiasa menyokong anak-anak dan yang paling penting,  anak-anak sendiri ada kemahuan yang kuat untuk menawan impian.

Wednesday, June 15, 2022

Abaikan

Esok 16 Jun, keputusan SPM akan diumumkan.
       Menanti hari esok, malam ini apa fikirnya? Memikirkan perkara yang bakal berlaku esok kadang-kadang amat memenatkan dan menyeksakan. Apa kata saat  yang  ada ini, kita nikmati saja. Ingat saat yang menggembirakan kita. Semalam Harimau Malaya menamatkan kemarau yang panjang, layak ke Piala Asia 2023 setelah mengalahkan Bangladesh, lebat hujan gembira. Sesuatu yang menggembirakan kita mungkin ada di sekeliling kita atau kita sendiri sebenarnya boleh menjadi pencetus kegembiraan buat orang lain tanpa kita ketahui.
        Bergembiralah dan raikan saat yang kita ada ini walau kadang-kadang kita selindungkan duka lara dengan senyuman yang cukup manis untuk menggembirakan orang yang menghargai kita. Abaikan esok sebentar.


Monday, June 6, 2022

Pijak

Ada mak ayah nak anak masuk kerajaan, ada yang sendiri mahu.
        Tak salah pun nak kerja dengan kerajaan sebab ada peluang dan layak. Salah satu syarat nak masuk kerajaan memerlukan Bahasa Melayu. Yang dapat Kepujian dalam Bahasa Melayu, peluang terbuka. Banyak mak ayah suruh anak-anak masuk kerajaan sebab dia percaya anak dia layak dan boleh lepas syarat, tambah-tambah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, boleh menulis, bertutur dan mendengar dengan baik. Jika mahu masuk kerajaan, perlulah ada usaha untuk menguasai bahasa Melayu dengan baik, kita semuakan rakyat Malaysia.
       Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung, begitulah cantiknya peribahasa Melayu yang bermaksud hendaklah menurut adat dan resam tempat yang kita diami. Jalan di depan mata, terpulang kepada kita mahu melangkah ataupun tidak!

Tak Perlu Tunjuk

Setiap hari, mungkin kita terpaksa berhadapan dengan yang bodoh sombong dan terpaksa menjaga hatinya, entah berapa banyak kesabaran yang kita perlukan, kita pun tak pasti.
          Orang bodoh selalu menemui orang yang lebih bodoh untuk mengaguminya," ujar Nicolas Bolleau-Despreaux. Yang lebih parah, ada si bodoh berpakat untuk membodohkan orang lain dengan kebodohannya untuk menutup salah silapnya sendiri serta disebabkan hasad dengki. "Orang yang bijaksana sedar betapa sedikitnya yang dia tahu; hanya yang bodoh menyangka dia tahu segala-galanya," itu kata-kata daripada Jawarhalal Nehru.
        Bodoh tak perlu tunjuk pun boleh orang nampak, begitu juga bijak. Maka, berhatilah dengan kata-kata dan tindak-tanduk kita kerana bukan hubungan dengan Pencipta saja yang perlu kita jaga, dengan manusia pun sama.


Friday, June 3, 2022

Budaya


Nak jadi budaya, perlukan komitmen, masa dan konsisten.
       Untuk membentuk budaya cemerlang dalam apa-apa jua bidang atau lapangan, putus asa perlu dihindari sama sekali. Tidak berputus asa wajar dipegang dan digenggam erat kerana bukanlah hanya ada satu jalan untuk berjaya. Bukalah minda kita, cemerlang itu tidak bermaksud mesti berada di tempat yang paling atas dan wajib menewaskan atau menumbangkan sesiapa saja, namun jika ada sebarang peningkatan (walaupun sedikit) ke arah yang lebih baik dalam diri, kumpulan dan organisasi, itu sudah dikira cemerlang. Yang  paling penting, komitmen, masa dan konsisten telah dilabur untuk mendakap cemerlang.
       Kita ialah juara selagi mana kita tidak berputus asa! inilah yang perlu dibudayakan, Insya-Allah.


Saturday, May 28, 2022

Di Sana

Kaki banyak maksudnya. Salah satu maksud 'kaki' menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah maksud kiasan, iaitu orang yang suka melakukan sesuatu.
         Setiap orang mesti ada tabiat kegemaran atau kesukaan masing-masing. Ya, anda 'kaki' apa? Tak kiralah kita 'kaki' apa-apa pun, yang penting, kesukaan atau kegemaran kita itu dapat memberi faedah kepada kita dan lebih bagus, kepada orang di sekeliling kita. Kesukaan atau kegemaran yang elok akan memberi nilai tambah kepada diri sendiri dan orang lain, sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan. Kualiti kehidupan tidak meningkat kadang-kadang disebabkan kesukaan atau kegemaran kita yang membawa mudarat tanpa kita sedar, lantas mengurangkan berkat atau tidak menghadirkan berkat dengan izin Allah SWT.
       'Kaki' boleh membawa kita melangkah lebih jauh, adakalanya 'kaki' juga boleh tersalah langkah dan tersadung. Moga 'kaki' kita membawa bahagia di sini dan bahagia di sana, Insya-Allah.

Subur

Kita semua mahu jadi lebih baik. Tak tahulah kalau ada yang tak mahu jadi lebih baik.
        Merujuk buku Mutiara Kata susunan Adi Al-Hadi, kata William Faulkner, "Jangan fikir untuk menjadi lebih baik daripada mereka yang lebih lemah atau lebih hebat daripada anda. Cubalah menjadi lebih baik daripada diri anda sendiri." Kita semua tahu bahawa tidak ada batasan atau sempadan untuk kita menjadi lebih baik. Setiap detik yang datang pastinya ada saja perkara yang sedang kita lakukan sama ada seorang diri atau dengan orang lain. Mencabar diri melakukan sesuatu dengan lebih baik cukup menyeronokkan, dengan syarat tidak putus asa kerana kadang-kadang badai yang kuat itu bukanlah datangnya dari luar tetapi datangnya dari dalam diri sendiri.
         Benih 'lebih baik' itu perlu disemai ke dalam tubuh supaya tumbuh dan subur sepanjang masa dalam jiwa kerana kita semua mahukan sesuatu yang lebih berlaku pada setiap detik dan detak yang akan ditinggalkan.


Friday, May 27, 2022

Dengar

"Malas nak dengar!" tiba-tiba Adik berbunyi sewaktu keluar dari rumah.
        "Dengar apa?" Ayah bertanya. Dia tak menjawab pun soalan Ayah. Kadang-kadang ada perkara yang malas kita nak dengar dan kita boleh memilih untuk tak mendengarnya, ada juga perkara yang terpaksa kita dengar kerana sangat berkaitan dengan kita dan ada juga yang boleh kita pilih mana-mana saja  bahagian yang kita nak dengar daripada semua yang diperkatakan. Mendengar satu proses penting dalam menerima maklumat untuk menyebarkan kebaikan dan kebenaran.
         Sesuatu yang didengari seharusnya memberi kebaikan walaupun pahit, memberi kegembiraan walaupun sakit dan memberi semangat walaupun penat selagi mana jantung berdenyut.


Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...