Translate

Saturday, January 28, 2023

Hidup Berjasa

Sepanjang 2022 terlalu banyak yang berlaku. Maka, penutupnya tentulah mengimbau kembali perkara yang telah berlaku hasil daripada kerjasama semua orang.
       Setiap orang daripada kita amatlah penting kerana tanpa sumbangan kita sesuatu yang dirancang itu tidak akan lengkap. Satu-satu organisasi itu akan berfungsi dengan baik disebabkan sumbangan setiap orang. Kecil atau besar satu-satu sumbangan itu hanya dibentuk oleh pandangan atau perspektif dan setiap yang  disumbangkan itu sebenarnya  tidak ternilai harganya. Contoh yang cukup mudah, tepukan yang gemuruh hanya akan terhasil daripada tepukan tangan 600 orang, jika hanya 6 orang yang menepuk tangan di dalam majlis yang dihadiri 600 orang, kita sendiri boleh bayangkan hasilnya. Setiap orang memainkan fungsi masing-masing, itulah yang dipanggil saling melengkapi. Seperti kita menyusun permainan susun suai gambar (jigsaw puzzle), jika hilang satu, sudah tidak lengkap dan yang satu itulah selalu dikenang orang atau kita sendiri berbanding yang banyak itu. Pentingnya kita bagai satu yang hilang itu, kerana kita semuanya amat penting walau ada antara kita tidak rasa begitu.
         Tahniah untuk semua yang telah menyumbangkan segalanya-galanya. Segala yang disumbangkan akan menjadi memori indah untuk kita supaya terus menyumbang tenaga serta pemikiran sebagaimana motto keramat yang kita pegang dan julang, iaitu Hidup Berjasa.


Tuesday, January 24, 2023

Semangat

Sibuk sangat! Adakah kita benar-benar sibuk? Kadang-kadang kita perlu berhenti sekejap daripada kesibukan untuk lebih bersemangat.
           Apabila kita terlalu sibuk, kita mula rasa hilang semangat, momentum untuk melakukan perkara yang sedang kita lalui mulai menurun dan apa kata kita berhenti sebentar. Ambil masa sekejap untuk memberi tumpuan kita kepada minat yang telah kita tinggalkan agak lama kerana kesibukan. Minat membuatkan kita hilang penat walau pada asalnya kita memang pun  sedang penat dengan kerja yang sepertinya tidak mahu habis. Pilih satu minat yang memang mengasyikkan kita kerana kadang-kadang kita ada lebih daripada satu minat.
            Kesibukan kadang-kadang membataskan kita melakukan perkara yang kita minati. Namun meninggalkan terus minat itu bukanlah satu pilihan yang terbaik kerana minat itu boleh mendorong kita lebih bersemangat melakukan kerja-kerja yang lain dengan lebih baik, Insya-Allah.

Saturday, January 14, 2023

Matang

         Sekapur sirih sekacip pinang,
         Makan sirih tanda setuju,
         Banyak perkara terkenang-kenang,
         Tutur bicara mengusik kalbu.


Sambutan Jubli Emas Semsas Dan Jubli Perak Exsas membawakan tokoh-tokoh berjasa kembali ke Semsas. 
       Dua tokoh Hidup Berjasa kembali ke Semsas,  Yang Hormat Dato' Abdul Rahim bin Abdul Hamid,  Pengetua Pertama Semsas dan Tan Sri Dato' Seri Abdul Ghafar bin Mahmud, merupakan Guru Semsas,  Pengetua ke-9 Semsas dan Mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia. 50 tahun satu masa yang cukup bersejarah. Banyak perkara yang dikenangkan, yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan hari ini.  Ada sesuatu yang dikatakan oleh  Yang Hormat Dato' Abdul Rahim bin Abdul Hamid berkenaan masalah yang  datang atau muncul. Beliau berkata, "Ini bukan masalah, ini cabaran!" Ya, setiap hari cabaran datang, maka menjadi tugas kita untuk mengatasi atau menyelesaikannya.
       Mengenang kembali sejarah, banyak perkara yang dapat memberi pengajaran  untuk digunakan pada saat ini dan hari-hari yang mendatang. Cabaran yang datang menguji kita dan  Insya-Allah akan mematangkan kita dalam  membuat segala keputusan.


Sunday, January 8, 2023

Sukses

Hari ini Ahad. Minggu lepas, Ahad permulaan tahun baharu, sekejap saja sudah  seminggu.
           Selasa lepas permulaan sekolah, perhimpunan rasmi, amanat terakhir Tuan Pengetua, Encik Mazlan, untuk anak-anak Semsas. Beliau mengingatkan bahawa kecemerlangan itu bermula di asrama. Jumaat, hari terakhir Cikgu Nadzirah di Semsas. Kita sememangnya tidak tahu. Kita tak tahu tempat yang akan kita mulakan sesuatu dan kita pun tak tahu pengakhirannya bagaimana dan di mana. Dalam perjalanan ini akan menemukan kita dengan banyak perkara, perkara yang akan menguji kesabaran kita, perkara yang menggembirakan kita, perkara yang menyedihkan kita dan perkara yang kita tak sangka-sangka. Pilihan yang kita ada adalah dengan melaluinya. "Kerana yang berlalu itu tidak akan kembali, maka hidup ini menjadi sangat indah," begitulah kata-kata Emily Dickinson.
          Ahad bertemu Ahad, seminggu yang panjang dan penuh cerita yang mungkin ada sesuatu terakam di memori dan menjadi ingatan indah. Moga kita sentiasa sukses walau berada di mana-mana pun, Insya-Allah.


Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...