Translate

Saturday, April 29, 2023

Gembira

 Sakit gigi sememangnya akan mengganggu kita selagi mana sakit itu tidak pergi. Ayah agak gerun dengan hal yang melibatkan gigi.
            Apabila Adik sakit gigi sebelum raya, maka bergegaslah Ayah dan Adik ke klinik berhampiran setelah disuruh Umi dan diberitahu lokasinya. Macam manalah agaknya dan ternyata bukanlah seperti yang Ayah bayangkan sebelum ini. Setelah dipujuk doktor, Adik diberi pilihan, ada dua kaca mata hitam yang comel, mahu yang mana satu. Kemudian, diberi pilihan untuk menonton animasi pilihan. Adik diberikan pengalaman, memegang alatan-alatan yang digunakan untuk merawat gigi berlubangnya. Ada masanya, Ayah ditunjukkan melalui skrin dan diberi penerangan oleh doktor. Nampaknya Adik rasa selesa dan selamat. Sebelum masuk lagi, dia sudah gembira sebab ada tempat untuk bermain. Balik ke rumah, dia sangat gembira, menunjukkan Sijil Keberanian yang diterimanya dan permainan susun suai gambar (jigsaw puzzle) kecil yang dipilihnya. Hari ini kami ke sana lagi untuk janji temu.  Sememangnya dia sangat gembira dan kali ini memilih stiker sebelum balik.
              Masa pantas berlalu, begitu juga dengan teknologi dan komunikasi. Pengalaman baharu pada masa ini tidaklah seperti pengalaman lama yang ditempuhi mak ayah. Rasa selesa dan selamat buat anak-anak rasa gembira dan buat mak ayah rasa lega.

Thursday, April 27, 2023

Al-Fatihah

C - cintaku yang satu
I - impian kan nyata
N - nikmat yang berbeda
T - tanpa pengertian
A - antara kauaku
          Pastinya diingati, bagi kita yang membesar dengan lagu ini. Itulah sedikit petikan lagu C.T. Cinta Kenangan Silam, ciptaan J.S Kevin, alunan kumpulan XPDC. Kebanyakan lagu,  banyak bercerita tentang kehidupan, terutamanya perihal cinta yang begitu luas maknanya dalam melayari luasnya laut kehidupan.
           Malam Jumaat tadi, kita dikejutkan dengan pemergian ke negeri yang abadi, vokalis XPDC, Mael. Al-Fatihah untuknya. Perjalanan kita untuk cinta-Nya sedang kita lalui. Bait-bait lagu yang kita dengar jika kita amati sebenarnya banyak mengajak kita mengingati Empunya segala-gala yang kita nampak dan yang kita tidak nampak serta yang tak terjangkau dek pemikiran kita. Merenung kembali sedikit lirik 'Titian Perjalanan'  yang berbunyi, "Seminit kita berlagu, ada lagi waktu, dengan ingatan tulus insan, kita makhluk Tuhan, kita dijadikan," bait ini mengingatkan kita tentang siapa diri kita dan sebagai makhluk Tuhan sudah tentu bersebab kita dijadikan. Selagi ada waktu, selagi itu kita perlu mengejar cinta yang Satu.
            Perjalanan kita tak pernah berhenti selagi waktu berjalan sesaat demi sesaat. Apa-apa yang kita isi di sepanjang perjalanan, itulah penentunya. Kita mempunyai lagu kita sendiri yang menyimpan segala pengalaman dan pengajaran  untuk dinikmati diri sendiri dan diikuti orang lain. Moga segalanya menjadi amal kebaikan. Al-Fatihah untuk yang telah pergi.


          
          

Wednesday, April 26, 2023

Sama-Sama

Raya menemukan jauh dan dekat. Sekejap atau lama, dapat bersua muka dan bertentang mata, Alhamdulillah.
            Banyak cerita dan banyak ragam, itulah raya. Musim panas, lebih banyak berada di dalam rumah, sesekali ke luar untuk  mengabadikan kenangan. Dulu satu televisyen, dikongsi beramai-ramai, sekarang pun sama tatkala bermain permainan video. Jika tidak, masing-masing di tangan, bermain permainan yang sama walau asing-asing. Zaman sudah berubah, cara pun sudah tak sama. Waktu makan tetap berhenti, menyerbu makanan. Macam-macam juadah, kan hari raya! Ada pula nasi daging air asam Utara air tangan Kak Long,   tambah selera.
          Semaju mana pun teknologi, yang paling penting, ada peluang dan ruang, kita boleh pilih untuk  beraya bersama-sama, bercakap depan-depan, berkongsi cerita dan mengimbas kenangan serta ketawa bersama-sama, barulah raya!

Thursday, April 20, 2023

Baik-Baik

Tahun ini Opah lebih awal berehat, tempahan kuih telah disiapkan. Tahun lepas, sewaktu 'raya terkejut' diumumkan, Opah pun terkejut sebab masih kerja keras buat kuih karas.
           Semalam gerhana matahari, pagi ini, bukit di depan  rumah Opah masih berkabus. Cucu-cucu Opah terus bermain, yang kecil dengan anak patung, yang besar dengan permainan video. Berbuka semalam, laksa dicampur kuah yang pekat lengkap dengan bunga kantan dan daun kesum, cukup menyelerakan. "Ada kuah?" Achik tanya Opah. Beberapa hari lepas, dia makan laksa berkuahkan kicap. Ayah pun tidak periksa sewaktu membeli laksa, kuah tak ada di dalam bungkusan plastik. Menambah Achik makan laksa, melepaskan  geram. Hari ini hari terakhir puasa, Opah mahu buat bihun sup, esok Sabtu 22 April 2023 sudah 1 Syawal. Malam tadi, baju raya Ayah keluarkan daripada beg. Nampaknya baju raya Adik tak ada, Ayah pun tak tahu ke mana  perginya bungkusan plastik yang berisi baju adik. Umi pun tak tahu, Umi cakap baju warna hijau yang lain ada di dalam almari. Adik datang dekat Ayah lepas Ayah cakap Adik dah ada baju raya. Adik cakap, "Yang itu baju kenduri, bukan baju raya. Ayah belilah baru!"
           Alhamdulillah, tahun ini, Aidilfitri sudah tidak terkejut. Apa-apa pun, dalam melalui Ramadan dan Syawal yang bakal muncul esok, banyak kejutan yang telah berlaku dan yang akan berlaku, ada yang menggembirakan, ada yang menyedihkan. Mahu atau tidak mahu, berdoalah yang baik-baik, moga kita masih diberi kesempatan bertemu Ramadan yang akan datang.


        

Wednesday, April 19, 2023

Sejauh

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung bermaksud  hendaklah menurut adat dan resam tempat yang kita diami dan begitulah kita yang sepatutnya.
         Di mana-mana pun kita berada, sudah tentulah ada adat dan resamnya walaupun tidak lama kita di situ, perlulah kita menyesuaikan diri. Setiap tempat ada adab dan resamnya, ada  juga aturannya, tambah-tambah di jalan raya, sama-samalah kita bersabar dan bertolak ansur kerana semuanya ada tujuan yang satu, ingin selamat sampai ke tempat dituju. Maka, yang  sudah mula bercuti, rezeki  datang awal untuk berpuasa di rumah atau di kampung dan seterusnya menyambut raya. Anak-anak yang di asrama, Selasa, 18 April 2023 sudah pulangnya dan teka-teki hari jatuhnya hari raya masih berlarutan kerana semuanya berharap bukan 'raya terkejut' seperti tahun lepas. Terlebih dulu, mari kita terus meraikan Ramadan berkat yang masih bersisa.
          Sejauh mana pun kita melangkah, sejauh mana pun kita berlari, sejauh mana pun kita terbang, jangan dilupakan asal usul kita. Pasti ada yang mengharap khabar daripada kita, pasti ada yang sedang menunggu kita, pasti ada yang sedang menantikan doa daripada kita. Moga selamat semuanya walau ke mana-mana pun hala tujunya.


Friday, April 14, 2023

Kurnia

Buka puasa dinanti anak-anak. Sekejap-sekejap bertanya, bukan sebab puasa saja kena sabar, sebab anak-anak lagi banyak kena sabar.
            Berbuka puasa tak sah kalau tak ada kurma. Salah satu tugas anak-anak ialah membasuh buah kurma atau tamar.  Para sarjana perubatan mendapati tamar mengandungi glukosa yang paling tinggi antara buah-buahan yang terdapat di dunia serta menyumbang tenaga dengan serta-merta (buku Madinah Munawwarah, Kelebihan  & Sejarah, Dr. Abd. Basit Abd. Rahman, Telaga Biru). Cukup gembiralah anak-anak dan semua sewaktu ke ladang kurma dulu, boleh rasa macam-macam jenis kurma. Sudah ada kurma, lebih indah dapat berbuka puasa dengan anak-anak,  seisi keluarga dapat bersama-sama, tak kira di mana-mana.
             Semakin anak-anak membesar, dapat berbuka puasa bersama-sama, satu perkara yang sangat membahagiakan. Pastinya banyak kenangan yang dirakam sementara menanti berbuka puasa dan sewaktu berbuka puasa kerana Ramadan itu antara kurniaan yang cukup  besar untuk kita semua.


Friday, April 7, 2023

Kongsi

Pantang nampak makanan itulah anak-anak, tambah-tambah di bulan puasa, semuanya terliur.
         Sentiasa lapar, seperti macam tak kenyang walau sudah makan, balik bilik sambung pula makan, itu sewaktu di Madinah dan Makkah. Sampai saja di bilik, sambung makan Indomie. Sepanjang perjalanan ke Masjid Nabi dan Masjidilharam, rezeki anak-anak murah, ada saja yang menghulur makanan seperti biskut, kurma, coklat dan gula-gula. Menghala ke masjid dan balik dari masjid pun melalui kedai-kedai, tambah-tambah ada kedai askrim, tak mungkin dilepaskan anak-anak. Ke ladang kurma pun, bukan setakat kurma dan coklat, bakso pun ada, pastinya perut diisi sebelum balik. Alhamdulillah, rezeki perut selalu kenyang dan mengenyangkan perut yang memerlukan dan yang lalu lalang di hadapan hotel juga salah satu perkara dilakukan oleh ahli-ahli rombongan umrah. Air dan makanan seperti kebab diedarkan kepada yang mahu ke masjid dan yang balik dari masjid.
            Sewaktu kita menikmati juadah atau makanan, pastinya ada anak-anak dan keluarga yang sedang berlapar. Menjadi tugas  kita untuk membantu yang memerlukan, banyak atau sedikit bergantung kepada kemampuan masing-masing. Yang penting, kita telah berkongsi rezeki yang Allah SWT kurniakan, Alhamdulillah.

Monday, April 3, 2023

Cari


Anak-anak sentiasa bersemangat, apatah lagi apabila tiba di tempat baharu, anak-anak sememangnya cepat belajar dan perasaan ingin tahu sentiasa membuak-buak dalam diri mereka.
            Di dalam bas, masing-masing pantas mengecas telefon pintar  menggunakan tempat cas yang ada di sisi kerusi. Masing-masing ada telefon pintar kerana setiap orang wajib ada untuk pendaftaran masuk ke Raudhah menggunakan aplikasi Nusuk. Sewaktu Di Taif yang sejuk seperti di Madinah, yang dewasa teruja dengan minyak wangi, anak-anak teruja dengan persekitaran. Naik turun tangga satu keseronokan bagi anak-anak. Banyak pokok bunga ros, namun bukan musim bunga. Di Madinah dan Makkah, merpati kerap menarik perhatian anak-anak, disergahnya kumpulan merpati yang sedang makan. Membeli makanan kadang-kadang diserahkan kepada anak-anak, biar mereka bercakap, tak pasti pula bahasa apa yang digunakan mereka. Ada saja pertanyaan, kadang-kadang Umi dan Ayah pun tak dapat jawab kerana soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), soalan ditanya aras kayangan.
            Ada masanya kita perlu menjadi seperti anak-anak yang penuh tenaga dan semangat untuk memulakan hari walaupun kadangkala permulaan hari tidaklah seperti yang kita harapkan. Carilah sesuatu yang boleh buat kita gembira kerana anak-anak sentiasa ada jalan untuk mereka gembira.


           

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...