Translate

Tuesday, April 23, 2024

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu
di bawah awan putih biru kelabu
ingin kutangkap saat indah
saat hati sedang memandu
kuabaikan kalbu merayu
kunikmati sesekali berpaling
nikmat yang kita rasa bersama
dalam kabus masih bersisa
di hujung ranting mati
hutan paya yang terbakar
hijau kembali.

Jalan Pekan-Kuantan
23 April 2024
Khairul Hakimi Mansor


Sunday, April 21, 2024

Renung

Sejak semalam, entah apa-apa yang dicari anjing putih bertompok coklat, agak besar, dua tiga kali masuk ke  dalam kawasan rumah. Setelah dihalau menggunakan suara, anjing itu lari.
         Ada kesan korekan di tepi pokok jambu. Setelah diamati, didapati dua tempat masuk dan anjing itu lolos menggunakan lubang pada pagar itu. Setelah ditutup lubang, lega pun datang menghalau bimbang. Hari ini, rupa-rupanya masuk lagi. Kerja pun terganggu, kerja pun  terpaksa dihentikan apabila anjing itu mengganggu lagi. Sebelumnya sempat mengintai, dari hujung pagar belakang pula masuknya. Setelah ke luar rumah, didapati
ada dua lagi lubang pada pagar yang perlu juga ditutup selain yang dihujung pagar. Harap tak masuk lagilah, memang sangat mengganggu.
         Ikan yang terkurung di dalam akuarium di dalam rumah boleh menenangkan kita, anjing yang bebas di jalanan dan menceroboh mengundang gelisah dan amarah kita. Kadang-kadang kita perlu ambil masa untuk teliti, untuk merenung, anjingkah kita atau ikankah kita dalam kehidupan ini?

Thursday, April 11, 2024

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-galanya jika kita menonton Iklan RHB Raya 2024 yang berdasarkan kisah benar.
         Semalam menghampiri Maghrib, Baba suruh Ayah tengok di Astro Awani, temu bual dengan Peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar tentang kisah yang telah berlaku. Banyak perkara yang tak terduga dalam kehidupan. Jika diteliti dalam kehidupan, memang banyak momen kecil yang sebenarnya begitu besar dalam ingatan kita. Momen itu tentulah tak sama bagi kita tetapi momen itulah yang mengeratkan ukhuwah antara kita semua. Pada mata kita mungkin momen itu biasa-biasa, tapi bagi orang lain momen itu cukup besar dan mampu mengubah kehidupan.
        Tolonglah yang lain selagi kita mampu, kecil atau besar itu usahlah diukur kerana pertolongan itu mampu membuatkan keadaan menjadi lebih baik, Insya-Allah. Di Aidilfitri ini, banyak yang kita boleh lakukan, berikanlah pertolongan, kurangkanlah beban dan eratkanlah hubungan. Salam Aidilfitri.


Tuesday, April 9, 2024

Doa

Menjelang hari raya, masing-masing menunggu menunggu pengumuman, esok raya atau tidak, persediaan tetap dibuat, Arab Saudi esok raya.
          Di kiri dan kanan ke pekan Lanchang, ada yang berasap, menjual lemang. Menghala ke pekan Lanchang, kenderaan taklah banyak sangat, masih nampak tenang. Tempat basuh kereta pun tak banyak sangat kereta. Mempaga Segar sedikit sibuk, tapi taklah perlu beratur lama. Sampai di rumah, bau rendang ayam merebak, masih di atas dapur, begitu juga kuah kacang, daging sudah siap dimasak Opah. Lepas Asar hujan melebat membawa sejuk, bertambah nikmat, Alhamdulillah, petang semalam pun hujan juga. Anak-anak tetaplah bermain di dalam rumah, selagi bermain dan tak menyebut "lapar" itu satu kelegaan. Jika tidak,  dengar Opah berbunyi, "Baik hangpa tidur."
          Saatnya hampir tiba, teruslah kita beramal walaupun Ramadan hampir meninggalkan kita, banyak yang kita dapat belajar daripada Penghulu Segala Bulan. Teruslah berdoa untuk semua, teruslah berdoa untuk Palestin, moga segala amal kita diterima Allah SWT dan diampunkan segala dosa.

Sunday, April 7, 2024

Renungkan

Setiap daripada kita ada kisah sendiri. Kita ada perjuangan kita sendiri untuk mengubah diri, keluarga, kerja dan yang ada di sekeliling kita mengikut apa-apa kita pandang penting untuk kita serta orang lain atau orang yang kita sayang.
            Ayah sempat menonton tiga filem yang menarik, A Man of Action, Mark Felt: The Man Who Brought Down the White House dan A Taxi Driver. Semua filem ini berdasarkan kisah sebenar.  Tak kiralah sesiapa pun kita, kita ialah watak utama dalam hidup kita dan perlu kita hadap apa-apa yang datang, perlu tanggung apa-apa yang  kita kerjakan. Setiap watak berjuang untuk kehidupan masing-masing menurut pandangan dan pengalaman mereka sendiri.  Masing-masing bergelut di tempat kerja, ada yang bekerja di lapangan sehinggalah di dalam bangunan. Konflik sentiasa ada untuk mencapai tujuan hidup atau walaupun matlamat sudah jelas di depan mata, tetaplah banyak rintangan yang muncul kerana itulah kehidupan, diuji dan terus diuji selagi belum mati. Selepas mati pun akan ada kehidupan yang lain.
            Selagi hidup,  jalan akan sentiasa ada selagi ada kemahuan, jalan yang mana, kita mesti tentukan kerana setiap jalan tak semestinya memberi kesan yang sama. Hidup sentiasa menduga, maka yang terbaik itu sentiasa kita impikan, yang kita dapat, suka atau tidak, tetap akan mengajar kita dan memberi kita sesuatu jika kita renungkan.

Thursday, March 28, 2024

Mengapakah Masih?

 Kauseperti langsung
tak cuba untuk mengerti
sedangkan lama sudah kauberjanji
memilih diam di tanah suci.
Mengapakah  masih  kaunyalakan api?
Kaubukan lagi setahun jagung
apatah lagi darah setampuk pinang
sentimen dan keakuanmu
tak mampu kaujinakkan
atau kausengaja biarkan meliar
untuk menguji dan terus menguji
dengan niat bersembunyi?
Kausewajarnya tahu
tak semua nyala api kan padam
walau berkali-kali disiram!

27 Mac 2024
Sungai Soi
Khairul Hakimi Mansor


Saturday, March 23, 2024

Proses

Dua hari hujan, melenyapkan sebentar api yang merebak di hutan paya sepanjang Jalan Kuantan -  Pekan.  Petang Jumaat panas kembali, bergerak melawan matahari, begitulah musim El-Nino. 
           Bazar Ramadan baru nak mula di Jaya Gading. Ada yang sedang membakar, sudah lama tak makan sata. Sampai di rumah Opah, rak sudah mula dipenuhi kuih raya, sudah banyak yang menempah. Nampak koleksi kuih Opah bertambah, ditunjuknya mazola, kemudian biskut bercampur kelapa berbentuk bulan sabit yang dulunya menjadi kuih wajib ada di rumah Tok Som setiap kali raya,  disuruh rasa selepas berbuka.  Bukan di dalam rumah saja, siang harinya, di luar pun ada kuih raya. Panas memanglah panas, inilah waktu terbaik untuk agar-agar kering. Dijemur di tengah panas, itulah prosesnya untuk mendapatkan hasil yang terbaik. 
           Untuk mendapatkan hasil yang terbaik, bukan kuih saja melalui proses tertentu seperti berpanas dan dibakar, manusia juga begitu. Berpanas berhujan, 'terbakar' dan 'dibakar', itu sebahagian proses mendewasakan kita, supaya dapat menimbang segala keputusan, supaya waras dalam setiap tindakan dan segala-galanya. Tidak ada jalan pintas, proses perlu dilalui untuk menjadi lebih matang dan lebih bersyukur.

Saturday, March 9, 2024

Taat

Menghampiri bulan bulan puasa, Opah sudah bersedia, tempahan mula banyak.
       Sebelum puasa, acar buah sudah siap. Pastinya acar buah pembuka selera waktu bersahur, fuh, kena pula dengan nasi panas berasap! Tempoh hari, waktu cuti sekolah, nampaknya cucu-cucu Opah membesar seperti sangat cepat, sekali hadap, pinggan di atas meja sudah kosong, ada pula yang ke dapur pergi mencari, kot-kot ada lagi. Lempeng kelapa pun habis licin, tak menang tangan. Yang perempuan makan bersuap, bertambah-tambah. Siap makan pagi, sudah ada yang bertanya makan apa pula tengah hari, baulu panas keluar daripada oven juga sebahagian daripada santapan hampir setiap hari. Kadang-kadang kurang riuh, rupa-rupanya ada yang membonceng motor Atuk, ada yang mengikut Opah ke kedai dan kembali riuh tatkala balik dengan aiskrim. Esok sudah penghujung cuti, hari ini sudah Sabtu, Alhamdulillah,  Selamat Hari Lahir Opah!
        Masa terus berlalu membawa usia kita dan semakin bertambah. Moga-moga amalan kita juga bertambah seiring dengan usia yang semakin meningkat. Menemui indah hari ini dan indah hari esok kan kita tatap, moga terus kita taat dalam melakukan kebaikan menuju jalan ke sana, Insya-Allah.

Tuesday, March 5, 2024

Pantun Melayu

Pohon mengkudu rimbun sekali,
Buah dahulu barulah bunga;
Bacalah anakku berkali-berkali,
Menuntut ilmu tadahlah telinga.

Saturday, March 2, 2024

Nikmati

Ahad minggu lepas, Atuk ajak Ayah balik kampung ziarah  jenazah. Dalam perjalanan, Atuk  bercerita tentang saudara-mara, rakan- rakan yang Atuk kenal di kampung waktu Atuk kecil.
         Dulu waktu kami kecil, selain kami pergi ke kedai Atuk Mail, kami juga ke kedai Atuk Nordin. Salah satu makanan yang kami suka beli ialah kuih sabun (dibalut dengan kertas merah jambu) dan antara permainan yang cukup murah dan menghiburkan pada waktu itu belon di dalam tiub kecil, ya, picit tiub, pusing straw kecil yang besarnya lebih kurang satu batang mancis untuk melekatkan belon yang lembek, kemudian ditiup (bukan buih sabun). Atuk cakap, Atuk kenal Atuk Nordin sejak di kampung lagi, di kampung pun dia sudah berniaga. Akhirnya, banyak yang Atuk kenal berhijrah masuk ke Felda, begitu juga dengan Wan Suri, Ayah Atuk. Jadi, apabila Atuk balik kampung, banyaklah yang Atuk kenal dan ada juga yang dah agak lama tak jumpa. Rasa sekejap saja seminggu, hari ini pun sudah Ahad, Selamat Hari Lahir Atuk.
        Banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita, ada yang kita tahu, ada perkara yang kita tak tahu sampai ke sudah dan ada perkara yang baru kita tahu. Daripada sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besar perkara, nikmatilah saat-saat berharga dengan orang yang kita sayang, yang mengambil berat akan diri kita dengan setulus hati dan bukan 'baik ada makna tu' macam dalam filem Madu Tiga.

Wednesday, February 28, 2024

Syukur

 Pagi ini di laman carian Google  hadir seekor katak sempena tahun lompat, malam tadi pun Angah mengingatkan Ayah. Yang menyambut hari lahir, pasti lama menunggu, pasti banyak yang juga mahu mengabadikan hari ini, 29 Februari, Khamis dengan sesuatu. Anak-anak Al -Imtiaz pun habis berjuang hari ini, Insya-Allah.
       Sekejap masa berlalu, dua hari lagi akan bertemu Sabtu dan Sabtu minggu lepas, 24 Februari Ayah ke Kuantan, kenduri rumah Cikgu Asmui dan Kak Yah. Sampai-sampai, beriring dengan Adi,  banyak wajah yang dikenali dan lama tak jumpa, Ustaz Izalludin baru nak balik. Sebelum ambil juadah, sempat bertemu dengan Rofuad dan Tuan Haji Rahim, sambil mencedok lauk menyapa Puan Hasmawati yang setia menemani Cikgu Jafri menjamu selera. Tuan Haji Nordin baru hendak beransur dan Ustazah Maizom sudah ada. Kemudian, duduk di tepi Cikgu Zul yang sedang makan bersama dengan Cikgu Kamsiah.  Lauk-pauk menyelerakan hasil air tangan Encik Sahak dengan isteri.  Ustaz J, Ustazah  Zainab, Cikgu Norsiati dengan suami, Ustaz Mad Ali dengan isteri, Cikgu Hamir dengan isteri, Cikgu Hashim sekeluarga, Cikgu Bob, Encik Ismail, Ustaz Fakhzan, itu antara yang ada pada waktu itu. Tuan Haji Zaimi pun hadir.
        Masa berlalu, terlalu banyak yang berlaku, ada yang ingat, ada yang lupa. Yang berlalu sudah pergi, yang bakal datang belum pasti, yang sedang dilalui saat ini, harus kita nikmati, hargai dan syukuri, Alhamdulillah.

          

Saturday, February 17, 2024

Tumbuh

Dalam perjalanan,  sekejap mendung, sekejap cerah.  Menghampiri Peramu, seekor bangau mendarat di tepi jalan, entah dari mana agaknya.
          Antara peribahasa yang sering kita dengar pasal bangau ialah berapa tinggi terbang bangau, akhirnya hinggap di belakang kerbau juga yang membawa maksud walau ke mana juga kita pergi akhirnya akan balik ke negeri asal juga. Sabtu minggu lepas, cuti sekolah dan Cuti Tahun Baharu Cina, Ayah ambil jalan menghala ke Teluk Chempedak, maka terpaksalah menghadap kesesakan dan hari ini, 17 Februari, ambil jalan lainlah walau banyak lampu trafik untuk ke tempat yang sama, Rumah Abang Jamil Balok. Sampai, beratur ambil makanan, mencari tempat duduk dan disapa pengantin baharu minggu lepas, Amalia dan Haikal. Tak lama kemudian, muncul pengantin baharu, Nazrul dan Nawal. Ketemu anak-anak bahagia yang sudah dewasa, tatkala mahu melangkah pulang dikeloi orang jauh, Cikgu Aisyah bersama dengan suami dan anak cucu. Lama sungguh tak jumpa.
       Masa cepat sungguh berlalu. Silaturahim tetap terjalin. Banyak yang telah berlaku dan kita tinggalkan, terakam sebagai kenangan dan pengajaran. Kenangan dan pengajaran mendewasakan kita, menumbuhkan kita bagai pohon rendang yang memberi teduh untuk semua.
        
     

Wednesday, February 14, 2024

Bangga

Anak kecil main api,
Terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat,
Bumi dipijak milik orang,
Nenek moyang kaya-raya,
Tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa sesamalah kita,
Cinta lenyap di arus zaman.
       Memetik sedikit lirik lagu yang berkesan di hati Ayah, mungkin di hati yang lain juga, yang membesar dengan lagu ini.
       Perang masih berlarutan di Palestin, angkara penjajah durjana. Mulanya datang mohon belas kasihan untuk menumpang, akhirnya naik tocang dan melampaui batas perikemanusiaan.  Sampai saat ini, setiap hari ada rakyat Palestin yang dibunuh oleh yang asalnya datang menumpang. Yang di luar sentiasa mencari jalan untuk mengancam keharmonian, yang di dalam tak seharus bersekongkol kerana banyak tamadun yang runtuh bermula dari dalam. Di sepanjang sejarah tamadun, pengkhianatan sentiasa terjadi, bangsa yang tak henti bersengketa akhirnya punah.
       Tak ada belas kasihan bagi yang menjajah. Yang benar-benar mencintai tanah air, akan menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi,  bangga menguasai bahasa Melayu dan bertutur  dalam Bahasa Melayu, sentiasa mencari jalan untuk berganding bahu dan bersatu padu serta menghormati antara satu dengan yang lain.

Tuesday, February 13, 2024

Rindu

Pagi tadi, Ayah sempat tengok sekejap di Tik Tok Linda Onn, temu bual di Bernama Radio bersama dengan Linda Onn, Halim Othman dan Krill Rashid.
           Hari ini 13 Februari, Hari Radio Sedunia. Awal-awal dulu layan Best 104, waktu itu  slogannya Sensasi Selatan. Apabila muncul Era, Era Rentak Muzik Terkini, memang suka dengar celotehan Linda Onn dan Halim Othman. Membesar dengan lagu-lagu di radio, sambil kemas rumah Opah, sambil dengar lagu waktu hari cuti. Masa darjah 5 pergi rombongan ke Kuantan, salah satu tempat lawatannya RTM Kuantan. Masih ingat waktu itu sedang berlangsung segmen yang dikendalikan Adnan Majid. Antara segmen petang paling disukai  yang dikendalikan Aki, banyak pendengar yang dia kenal dan pernah sekali dia beritahu dia singgah makan di kedai pendengar yang sering menelefonnya dan pendengar tersebut tak tahu pun itu dia.
            Tetap masih terkesan dengan DJ zaman waktu masih belajar dan membesar,  rindu dilepaskan dengan mendengar dan menonton  mereka bersiaran langsung di Tik Tok. Radio tetap relevan, masih jadi medium menyampaikan maklumat penting dan penghubung silaturahim.
         

 

Sunday, February 11, 2024

Mutiara

 Alhamdulillah, Ayah sedang menunggu semangkuk laksa Penang sampai, tak pernah dengar pula orang memanggilnya laksa Pulau Pinang.
       Dulu waktu kecil, Ayah tanya Atuk dan Opah setelah menjejak kaki di Pulau Mutiara, "Kata Pulau Pinang, kenapa banyak pokok nyog?" Sambil menunggu, sambil menulis. Ayah masih menulis cerita di khm79.blogspot.com dan dibukukan di Wattpad melalui Cerita Ayah, Cerita Ayah Lagi, Cerita Ayah: Covid-19 Duduk Di Rumah, Cerita Ayah Kembali dan Ayah Meneruskan Cerita. Saat ini,  masih Ayah teruskan cerita di blog dan di Wattpad dengan judul yang keenam, iaitu Ayah Masih Bercerita. Di hadapan Ayah, di meja berlainan, ada tiga orang Indonesia sedang berborak dan kemudian tiba nasi Ayam Penyet yang dipesan mereka.
        Di mana-mana pun tetap ada cerita, tetap ada sesuatu yang akan diperkatakan. Yang memberi pengajaran itulah yang dipanggil Mutiara Kata. Kutiplah mutiara-mutiara yang ada di sekeliling kita, apa-apa yang kita nampak, dengar, kata, rasa, bau dan sentuh, semua boleh jadi pedoman untuk hidup yang lebih baik, Insya-Allah.

            

Saturday, February 10, 2024

Bahagia

Cuti sekolah dan kenduri kahwin tak dapat dipisahkan. Alhamdulillah,  sambil meraikan yang menempuh alam baharu, perut diisi dan masing-masing yang bertemu menyelongkar kenangan.
          Tengah hari di Timorra  Tanjung  Lumpur,   dah sampai, tentulah ramai, ada yang kenal dan ada yang tak kenal, dimakan waktu, usia bertambah, yang berusia tidaklah banyak sangat yang berubah, yang remaja menjadi dewasa, banyaklah yang berubah, dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Banyaklah cerita sambil makan, lepas makan gebang pun masih bersambung. Bukan setakat berjumpa teman seperjuangan, anak murid pun banyak, yang berkahwin pun anak murid, Cikgu zaman sekolah menengah pun dapat ketemu, bertamu nostalgia.  Selepas itu, singgah di Permatang Badak dan senja sudah di Rumah Abang Jamil Balok. Senja pun diisi dengan cerita dan kisah lampau.
          Meraikan itu bahagia, apatah lagi di hari berbahagia. Indah pabila bertemu, apatah lagi pernah menganyam kenangan bersama, moga silaturahim berkekalan dan moga semuanya kekal berbahagia hingga ke sorga.
           

Friday, February 9, 2024

Pantun Melayu

Bunga raya bunga kertas,
Tidak berbau memikat atma;
Kadang di bawah kadang di atas,
Hidup bagai pusingan roda.

Wednesday, February 7, 2024

Pantun Melayu

Bubur bukan sebarang bubur,
Bubur Asyura dimakan bersama;
Jasa Cikgu hidup menyubur,
Dalam doa sentiasa berserta.


Tuesday, February 6, 2024

Pantun Melayu

Banyak perkara boleh dibilang,
Ada juga tetaplah rahsia;
Mahu jadi cemerlang terbilang,
Mesti tawakal dengan usaha.

Monday, February 5, 2024

Pantun Melayu

Mari kutip biji saga,
    Bawa pergi rumah Tok Abah;
Minggu akhir sesi dua ribu dua puluh tiga, 
    Moga amal kita bertambah.

Friday, February 2, 2024

Ambil

30 Januari 2024, bermula ujian menulis, bermula dengan senyuman, Alhamdulillah. Diharapkan berakhir pun dengan senyuman dan kegembiraan sampai penghabisnya.
       Selasa yang indah, Selasa yang menguji anak-anak, namun ketenangan haruslah sentiasa berdamping. Sokongan sentiasa ada, yang dekat, yang jauh dan berkelapangan mengiringi dengan doa dan kata-kata semangat. Kita tak tahu di mana pengakhirannya dan yang sedang kita lalui sekarang perlu kita hadap dengan segala persediaan yang sepatutnya. Di saat anak-anak sedang berjuang, ada anak-anak yang sedang bersedia, menanti untuk melambai di sepanjang jalan, lambaian kasih, menunggu Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Sabtu, meriah di Majlis Bandar Raya Kuantan. 3 Februari 2024, malam ini ada acara kemuncak Karnival Rakyat Pahang sempena Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
        Seminggu yang panjang seharusnya diserikan dengan banyak senyuman. Banyak yang berlaku, banyak yang perlu direnungkan, banyak yang perlu diambil kisah kerana pelajaran  tentang kehidupan berlegar-legar di sekeliling kita dan jangan biarkannya melambai pergi.


Sunday, January 28, 2024

Hidup Berjasa

Esok, 29 Januari,  bermulalah perjuangan anak-anak yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2023.
         Walaupun usia anak-anak kalau mengikut tahun 2024 sudah 18 tahun, tetaplah perlu berjuang untuk hari esok dan hari-hari seterusnya. Perjuangan itu telah bermula sejak kita lahir dan sebelum itu lagi kerana ada perkara yang sudah kita tidak ingat apabila kita berpindah ke alam dunia. Banyaklah perkara yang anak-anak perlu ingat dan sedar dalam menghadapi ujian yang satu ini. Perjuangan itu telah bermula sejak awal lagi, maka kita tidak perlu terlalu gusar kerana bukanlah namanya manusia kalau tidak diuji. Cemas itu mungkin ada dan itu perkara biasa yang  memang ada pada setiap manusia.
       Untuk menjadi insan yang Hidup Berjasa, segala cabaran perlu dirempuh kerana tidaklah kita tahu sejauh mana kekuatan kita selagi mana kita tidak diuji. Kita seharusnya semakin kuat setelah  diuji, itulah yang sepatutnya. Moga anak-anak kekal tenang menghadapi ujian kerana doa semua mengiringi kalian masuk dewan dugaan, Insya-Allah.
 

 

Thursday, January 25, 2024

Pulang

Pulang

Kadang-kadang
seekor burung di pinggir jalan
mengingatkan tentang
betapa jauh kaubertualang
betapa tinggi kauterbang
betapa jauh kaumenyimpang
akhirnya berjejaklah
di bumi yang kaugenggam
di bumi yang kaupinjam
takkan selamanya di sini
di hujung kaukan sendirian
pulanglah dengan bersih hati.

Dewan Al-Khawarizmi
26 Januari 2024
Khairul Hakimi Mansor


Monday, January 22, 2024

Lubuk

Cikgu Sakirin memutarkan lagu 1234, satu dewan asyik mendengar. Antara lagu yang menusuk perasaan kami, lagu ketika  kami sedang membesar.
       Lagu boleh dijadikan kepala cerita atau pendahuluan karangan, begitulah yang selalu diberitahu kepada anak-anak. Kata Cikgu Sakirin lagi, dalam lagu dulu-dulu ada banyak isi, banyak kata yang  boleh diambil dan diabadikan sebagai isi, bukan saja sebagai permulaan kata. Merujuk artikel dalam Harian Metro (16 Jun 2023), tulisan Nurul Sabrina Jamali, kata Aris Ariwatan, "Bagi saya, jika besar pengorbanan menjadi seorang penyanyi, pastinya mereka dapat menghasilkan lagu berkualiti kerana sebuah lagu adalah bunyi-bunyian yang tidak boleh disentuh, tetapi boleh dirasai." Mungkin itu sebab generasi kami seperti ayah dan Cikgu Sakirin masih mendengar lagu-lagu lama kerana lagunya masih boleh 'dirasai' sehingga saat ini sebagaimana kata-kata Aris Ariwatan, penyanyi lagu 1234.
         Kita sentiasa ada lagu untuk didengari kerana lagu ialah cerita hidup yang dapat kita rasa. Rasa ini bukan sepertinya di mulut tetapi bermain dalam hati kita. Apa-apa yang ada di hati kita, apa-apa yang datang dari lubuk hati kita seharusnya sesuatu yang sangat bermakna dan seharusnya menjadikan hidup kita lebih baik, Insya-Allah.


Friday, January 19, 2024

Untung

Musim hujan tetap kena membasuh. Mesin basuh dan mesin pengering boleh menghasilkan wang. 
       Mesin basuh atau mesin pengering boleh menghasilkan wang juga walau di rumah. Seringgit dua ringgit yang ditemui di dalam mesin basuh atau mesin pengering itu biasa apabila siap dibasuh atau dikeringkan, yang luar biasa mungkin lima puluh ringgit atau lebih. Yang lebih luar biasa seperti sepeket sos cili. Ayah sudah tahu empunya tuannya. Katanya diambil dari rumah Wan. Ternyata banyak sekali kegunaan poket. Mungkin ada yang mahu membasuh sudah terbiasa memeriksa setiap poket seluar ataupun baju, itu bukanlah rutin Ayah. Bagi yang lebih kerap membasuh dalam musim hujan mungkin lebih seronok kalau lebih banyak wang dijumpai dan bagi yang ada kedai dobi, musim hujan lebat, duit pun makin lebat masuk dan poket pun makin tebal.
         Musim hujan, perut pun perlu diisi, poket pun  kalau tak tebal, perlu juga ada isi. Bertabahlah kita mengharung kering dan basah, rezeki tetap ada dan  masih kita beruntung kerana punya aman damai berbanding saudara kita di Palestin. Sentiasalah bersyukur dan berdoalah yang baik-baik untuk kita dan teman-teman.

Saturday, January 6, 2024

Harum

Sudah tujuh hari di tahun Masihi 2024, apakah ada sesuatu yang telah kita capai atau adakah sesuatu yang sedang menginspirasikan kita untuk mencapai sesuatu?
         Musim hujan belum reda, walaupun begitu, mesti ada sesuatu yang sedang  kita fokuskan. Tatkala berada di Dressrosa, Bartolomeo bertemu dengan idolanya dan dapat bercakap dengan Zoro, dia cukup terharu dan lidahnya agak kelu untuk menyampaikan isi hati kerana teruja. Mungkin itu akan berlaku tatkala berjumpa dengan orang yang kita kagumi atau dengan seseorang yang baru kita kenal. Esok  pula 8 Januari, bermula Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan moga sukses buat anak-anak. Diharapkan anak-anak dapat bertutur dengan lancar walau kali pertama bersua dengan pentaksir. Percayalah bahawa anak-anak dapat melakukannya  dengan terbaik kerana gementar itu tetap ada pada setiap orang,  namun anak-anak telah berlatih sekian lama, Insya- Allah. Ingatlah idola pertama anak-anak, ibu bapa  yang sentiasa mendoakan, mereka guru pertama yang tidak jemu melatih anak-anak bercakap. Malam tadi, adik pun beritahu Umi bahawa dia suka bersembang, itu juga satu latihan sebelum diajar bercakap untuk situasi formal.
           Sumber inspirasi itu ada di sekeliling kita  dan mungkin kita tidak sedar bahawa ada orang di sekitar kita terutamanya ahli keluarga mengidolakan kita. Lakukanlah sesuatu dengan bersungguh-sungguh untuk jadi lebih baik. Apa-apa pun hasilnya tetaplah seharum ros yang sedang berkembang kerana kita telah mencuba sebaik yang mungkin.


             

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...