Translate

Sunday, September 30, 2018

Rehat

'Cepat benar engkau pergi', teringat pula sebaris lagu Exist. 'Yang pergi' dalam fikiran ayah bukanlah orang tetapi masa.
       Esok sudah PT3. Walaupun sesaat berlalu, bererti telah banyak perkara yang kita tinggalkan, semakin tua kita dan semakin mendekati mati. Semakin hampir dengan sesuatu perkara yang kita anggap penting seperti peperiksaan bukanlah maksudnya kita perlu terlalu serius dan langsung tidak mahu menghulur sedikit senyuman. Tengok ke atas, tengok  ke bawah, tengok ke hadapan, tengok ke belakang, tengok ke kiri  dan tengok ke kanan, peperiksaan hari esok, bukan hari ini. Beri sedikit ruang untuk badan dan otak berehat.
         Selamat menduduki peperiksaan  PT3 pada hari esok. Semoga berjaya dengan cemerlang, Insya-Allah.

Friday, September 28, 2018

Baik

Semalam, masa umi telefon, telefon ayah dalam mod senyap.
       Lepas Jumaat, baru ayah perasan. Umi ambil achik awal dan bawa achik ke klinik. Achik semput. Kena sedut supaya nafasnya kembali normal. Malam, elok sahaja dia bermain. Sampai di  rumah lepas Jumaat,  dia berbaring sahaja. Dadanya masih naik turun. Umi kata sebelum ayah balik nampak sudah makin baik sebab  sudah cakap-cakap dengan umi. Petang, wan dengan atuk sampai. Ayah bergerak ambil angah dan along. Terus menuju ke rumah atuk sebab umi, adik dan acik naik kereta atuk. Hampir maghrib, ke klinik semula kerana nafasnya laju sangat. Terpaksa menunggu pula.
      Masuk ke bilik doktor, doktor cakap sepatutnya masuk terus sebab semput atau lelah kena segera. Umi sudah tanya tetapi disuruh menunggu juga. Alhamdulillah, achik semakin baik. Harapnya makin baik hari ini.

PU

Pagi ini, sampai di sekolah, along tengok kasut sekolahnya tidak ada di dalam kereta.
         Pagi ini juga ada Majlis Restu Ilmu dan Solat Hajat sebab minggu depan PT3 sudah bermula. UPSR sudah selesai semalam. Hari ini juga hari terakhir Cik Hiromi di Semsas. Ramai ibu bapa yang datang untuk majlis pagi ini. Sebelum solat hajat, ceramah disampaikan PU Razi.Tidak jemu mendengar ceramahnya yang dikaitkan dengan isu semasa sekarang. Antara pesanan PU Razi ialah jangan sombong kerana kita semua bakal jenazah dan  doa  yang diminta mesti spesifik.                                     Siang tadi sudah dengar ceramah PU Razi, malam ini pula ada siaran langsung Dai di TV3.

Monday, September 24, 2018

Bakul

Kalau sebut sahaja mandi kolam, anak-anak sangat teruja.
      Jika disuruh mandi, kadang-kadang cukup liat untuk masuk ke bilik mandi . Letih bercakap hingga perlu dipaksa. Kalau mandi kolam, tak payah disuruh, kita pula yang letih menunggu sebab entah bila mahu keluar. Jika di bilik hotel yang ada tab mandi pun sudah seronok sangat dapat berendam. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ada frasa yang berbunyi 'kerbau turun berendam', maksudnya ialah lebih kurang pukul lima petang. Dalam kamus yang sama, mandi kerbau bermakna mandi dengan tidak membersihkan badan.
      'Mandi bakul'? Achik memperkenalkan istilah ini kepada ayah. Kali pertama ayah dengar. Besen tempat mandi adik di dalam bilik air dipanggilnya 'bakul' dan nampaknya dia gemar sangat 'mandi bakul'.

Hadiah

Along kata dia dapat hadiah sebab datang penuh bulan Ogos.
       Sebut pasal hadiah, hadiah salah satu bentuk penghargaan untuk seseorang atau diri sendiri. Zaman ayah sekolah dulu ada '🍎 Day'. Pelajar yang banyak peminat seperti yang berjawatan atau yang aktif sukan atau yang cemerlang akademik dapat banyak  🍎daripada peminat mereka. Ayah dapat  🍎 sebab hantar untuk diri sendiri😂.
        Kecil atau besar, murah atau mahal, hadiah dapat menggembirakan diri sendiri dan orang lain. Dalam buku Mutiara Kata (Susunan Adi Alhadi), pepatah Inggeris (English Proverb oleh John Ray) mengatakan bahawa kegembiraan yang dikongsi akan menjadi berlipat ganda.

Sunday, September 23, 2018

Jom

Hari ini, separuh hari kami berkampung di Semsas.
      Perlawanan final 'Bowl' baru bermula. Kehangatan sebenar sudah bermula. Bagi yang tidak berkesempatan, boleh menonton sekarang di 'fb live Semsas'. Angin bertiup kencang dan masih dapat kedengaran geseran daun buluh di belakang astaka. Ayah di astaka, anak-anak ayah ralit menengok 'Youtube' dan umi masih menyiapkan 'segak'. Sokongan kedengaran di kedua-dua belah pihak. Menang atau kalah sudah pasti. Namun, mengalah jangan sesekali.
        Jom saksikan Kejohanan Jemputan Ragbi Semsas 7's Peringkat Kebangsaan di 'fb live Semsas'. Apa tunggu lagi!

Saturday, September 22, 2018

Tenang

Semalam ada KUJ dan bermulanya Semsas 7's. Ayah ke sekolah dan sebelumnya hantar anak-anak ke rumah wan.
        Umi pula membawa along ke  program Amal Islami untuk pertandingan hafazan. Hari-hari yang kita lalui akan disulami dengan pengalaman. Ayah tidak ada pengalaman seperti along. Kali pertama ayah naik ke pentas baca sajak, berminit-minit juga ayah berhenti kerana terlupa 'lirik'. Ayah hanya berpesan kepada along supaya bertenang kerana ingatan itu akan kembali sekiranya kita terlupa, Insya-Allah. Pengalaman seperti anak-anak di Semsas yang bermain ragbi juga ayah tidak alami. Ayah fikir, tenang juga perlu ada untuk mengatur strategi atau mencampakkan bola ke tempat yang betul.
        Bergembiralah dengan pengalaman yang kita lalui kerana pengalaman akan membentuk kita untuk lebih kuat menempuh dugaan yang mendatang, Insya-Allah.

Thursday, September 20, 2018

Baloi

Misi umi dan anak-anak berjaya. Kami pun kembali ke Euphorbia untuk mengemas.
          Menurut umi, atuk, wan, pok de dan mok de serta Aqil akan singgah di Colmar Tropicale dalam perjalanan balik dari Kuala Lumpur. Selesai bersiap, mereka pun tiba. Umi pergi ambil mereka dan bawa ke bilik. Sempat wan, opah dan dua atuk berborak. Selesai, hajatnya ke Taman Jepun  sebelum pulang. Atuk, wan, mok de, pok de dan Aqil menjelajah Colmar Tropicale. Nampaknya, tempat parkir penuh. Jika mahu ke Taman Jepun juga, kena  menunggu, naik 'shuttle bus'. Kami kesuntukan masa.  Kami mengambil keputusan untuk terus pulang. Mungkin lain kali sahaja.
        Insya-Allah, panjang umur, kami  kembali ke Colmar Tropicale. Menikmati percutian yang menarik di sini. Jangan lepaskan peluang untuk ke sini. Pasti berbaloi!

Tuesday, September 18, 2018

Le Blason

Masa untuk sarapan. Kami melangkah ke Le Blason.
          Banyak sungguh makanan terhidang. Cita rasa Malaysia ada, cita rasa Barat pun ada. Umi dan anak-anak tahu ayah suka kacang merah bersos. Selesai umi dan anak-anak mengambil makanan, giliran ayah pula. Biasanya ayah ambil buah, hirisan daging yang nipis ('sliced beef'), bubur nasi  dan telur separuh masak. Umi dan along pun suka hirisan daging yang nipis. Pekerja di sini nampaknya begitu cekap, habis sahaja makanan, pinggan mangkuk segera diambil. Meriah sungguh pagi di sini.
          Alhamdulillah, melangkah keluar dari Le Blason, perut sudah terisi. Umi ada misi di gimnasium dan anak-anak ada misi di kolam mandi. Ayah, atuk dan opah menemani sambil menikmati panorama indah.

Angsa

Sebelum pukul 7 ayah keluar dari bilik. Mahu menikmati pagi di Colmar Tropicale.
         Agak sunyi dan ada juga beberapa orang yang mahu merasai pagi di sini seperti ayah. Le Blason sudah bercahaya. Kedai yang lain masih tutup. Sampai selepas zuhur dan ayah tidak mahu terlepas suasana pagi. Bukan senang untuk mengambil gambar kosong tanpa kelibat manusia di sini. Ini boleh berlaku pada awal pagi. Angsa pun sudah berenang di kolam. Ayah berjalan dari Euphorbia sampai ke air pancut berhampiran Chateau. Ayah turun naik tangga menikmati pemandangan indah yang ada di sini.
        Setelah puas hati, ayah kembali ke Eurphorbia dan Le Blason mula dipenuhi orang yang mahu bersarapan.

Monday, September 17, 2018

Santai

Jika ke Bukit Tinggi, 'Animal Park' boleh menjadi lokasi pertama untuk dikunjungi.    
          Selain melihat, anak-anak boleh memberi makan kepada arnab. Boleh membelai arnab dan rusa. Jika menginap di Colmar Tropicale, anak-anak  bersama dengan ibu  bapa boleh mewarna 'plaster of paris' yang pelbagai bentuk dan sesuai dilakukan pada waktu malam. Malam juga ada 'arnab besar' muncul. Ada juga permainan yang menggunakan token. Mandi kolam juga dapat menukar perasaan anak-anak menjadi lebih baik. Ada juga anak-anak yang menghidupkan suasana dengan bermain buih sabun.
          Tidak perlu risau untuk membawa anak-anak ke Bukit Tinggi  kerana banyak aktiviti menarik dan santai yang boleh dilakukan bersama-sama dan lebih seronok lagi jika menginap di Colmar Tropicale.

Asyik

Malam. Opah dan atuk hanya di bilik. Keluar pintu Euphorbia, di hadapannya Le Blason.
        Along kata seronok di sini kerana seperti ada bandar di hotel. Keluar hotel sudah nampak restoran dan pelbagai deretan kedai yang menghadap antara satu dengan yang lain. Petang tadi, kami dihiburkan Fly Busker (ig:#goflyentertaiment) dengan Kopi Dangdut. Sekali pusing, La Flamme penuh. Kali kedua, baru ada meja kosong. Umi menunggu hidangan, ayah bawa anak-anak mewarna 'plaster of paris' yang telah dibentuk dengan pelbagai watak. Angah dan along memilih pokemon dan achik mewarna telur. Siap mewarna, pizza, sup cendawan dan spageti pun siap.
       Tengah makan, tiga orang pemuzik merangkap penyanyi datang menghiburkan kami dengan lagu Aiman Tino dan 'The Wheel on The Bus'. Sungguh mengasyikkan makan malam sambil dihiburkan di La Flamme, Colmar Tropicale.

Sunday, September 16, 2018

Perancis

Hujan menemani kami sesampainya di Colmar Tropicale.
        Kami disambut 'bangau putih'  sebelum naik, ke kaunter pendaftaran. Pemandangan yang menarik tatkala hujan kerana kami disajikan dengan orang lalu-lalang yang berpayung di tengah-tengah bangunan yang berkonsepkan seni bina Perancis. Alhamdulillah, hujan turun mengindahkan suasana dan  ayah asyik memerhati dekorasi yang menarik serta pemandangan hujan di luar bangunan. Pemandangan yang jarang-jarang kami lalui. Achik asyik mencelah di celah-celah orang ramai yang berurusan di kaunter.
        Setelah mendapat bilik, kami menikmati seriat hujan di Colmar Tropicale dan berjalan-jalan menikmati suasana
yang segar dengan cuaca yang agak sejuk.

Syabas

Memang ramai sungguh pengunjung. Pekerja yang bertugas menjaga lalu lintas dan parkir kehujanan dan terus menjalankan amanah.
          Sampai sahaja, kami ke kaunter pendaftaran dan sarat dengan manusia. Sempat ayah berborak dengan seorang staf di situ, Syamim.  Menurutnya pengunjung lebih daripada biasa kerana cuti tiga hari. Umi menguruskan di kaunter. Ada sedikit masalah  dengan nombor pendaftaran hotel melalui internet kerana tidak dapat dikesan dan staf di kaunter tetap melayan dengan baik dan sabar.
          Menurut umi, umi berurusan dengan Cik Nabila. Terima kasih dan syabas diucapkan kepada Cik Nabila yang sabar melayan kami serta pengunjung yang lain.

Sesak

Selesai bermain dengan rusa, kami meneruskan perjalanan, tidak sangka pula ada kesesakan lalu lintas di tempat yang dikelilingi hutan.
          Ramai orang yang berkunjung kerana cuti tiga hari. Kesesakanlah tidaklah begitu lama tetapi menyebabkan tempat parkir penuh dan terpaksa parkir di atas bukit. Hujan pun turun menyambut kami dan kami menuruni tangga. Kemudian, berhenti di bawah khemah tempat pengunjung menunggu 'shuttle bus'. Menunggu di situ dan hujan masih turun. Nampaknya kereta sudah boleh masuk kerana kesesakan berkurangan disebabkan tadi waktu pengunjung keluar dari hotel.
         Umi pergi ke tempat parkir kereta semula dan kami menunggu. Ingatlah kalau berjalan dekat, rupa-rupanya agak jauh juga. Alhamdulillah, umi sampai. Kami bergerak dalam hujan yang kian melebat.

Jinak

Destinasi kami yang pertama ialah 'Animal Park'. Alhamdulillah, ada satu tempat parkir kosong yang dekat dengan pintu masuk.
         Tiketnya RM 5. Arnab cukup banyak. Yang paling menarik beberapa ekor rusa dibiarkan berkeliaran dan nampaknya amat jinak serta boleh dibelai-belai. Anak-anak suka menggosok badan rusa yang berbintik-bintik. Ada anak kecil  yang mengejar rusa dan begitu tinggi seekor rusa melompat mungkin kerana terkejut. Yang mahu menunggang kuda pun boleh. Keldai pun ada juga.
         Beberapa kali umi mengingatkan dan akhirnya ayah terpijak juga tahi rusa. Tak apa, pakai selipar. Selalunya terpijak tahi ayam sahaja. Singgahlah ke sini untuk menikmati pengalaman rusa berkeliaran di keliling anda.

Siya

Kami di kampung. Selepas ini, nampaknya Sabtu dan Ahad banyak aktiviti serta banyak kerja perlu diselesaikan.
       Umi mengaturkan perjalanan yang seterusnya. Perjalanan yang mengujakan semua. Alhamdulillah, cuaca tidaklah panas sangat. Tempatnya tidaklah jauh sangat tetapi lebih tinggi dari bukit di kampung opah. Ini pengalaman baharu bagi kami. Kami siap bawa bekal di dalam mangkuk siya. Nasi lemak ikan bilis dibuat opah. Betul-betul sambal ikan bilis sebab sekarang ni, sambal bilis nasi lemak yang kita beli lebih banyak bawang sebab ikan bilis pun mahal, dekat RM40 sekilo.
       Jalan naik boleh tahan juga bengkang-bengkoknya. Paku pakis di kiri dan di kanan jalan. Semakin hampir, semakin riuh dan sudah nampak bentuk bangunannya dan kami ke tempat lain dahulu.

Malaysiaku

Sayangi Malaysiaku. Alhamdulillah bertemu lagi kita dengan  16 September.
       Berbanggalah kita menjadi rakyat Malaysia. Marilah kita menghayati Rukun Negara. Marilah kita berpegang pada perlembagaan yang ada dan memahaminya. Keharmonian dan keamanan ini terhasil daripada saling memahami walau beza adat budaya.
         Saling memahami dapat mengelakkan sengketa dan mewujudkan kerjasama. Tidak ada yang lebih penting daripada kerjasama untuk terus mengekalkan kemerdekaan ini selamanya. Sayangi Malaysiaku.

Wednesday, September 12, 2018

Gembira

Menggunakan kata-kata yang menggembirakan untuk mengubah emosi ialah satu perkara yang wajib kita pelajari, terutamanya apabila menguruskan anak-anak.
           Hari ini angah begitu gembira. Mandi sendiri dan siap menyanyi-nyanyi di dalam bilik air. Hal-hal yang menggembirakan seperti  umi  yang bercerita tentang mandi kolam, boleh membuatkan perasaan atau emosi  anak-anak menjadi lebih baik dan menurut Ateh, cakap lembut-lembut dan nada yang rendah kepada budak-budak kecil.  Ayah pula suka mengusik, lagi anak-anak melenting, lagi ayah usik. Nampaknya tiga hari di tahun baharu ini ayah perlu kurangkan mengusik pada waktu genting atau pada waktu yang mengejar masa.
          Nada suara ayah sentiasa tinggi. Jika tak mengusik anak-anak dan umi pula, ayah rasa nak 'demam'. Mengusik pula tak kena masa dan tempat.😂

Tuesday, September 11, 2018

Longkah

Kereta sudah sarat diisi.  Giliran  perut perlu diisi kembali, ke manakah harus dituju?
         Akhirnya, pak teh Arah membawa kami makan di sebuah kedai. Bukan waktu puncak, jadi orang tidaklah ramai sangat. Lauk ada yang sudah habis. Umi dan atuk makan sup daging. Longkah dagingnya dan sedap rasanya menurut umi. Lauk lain pun masih  ada. Alhamdulillah, masih ada sup ayam kampung. Sudah lama tak makan sup ayam kampung. Achik sahaja tidak makan kerana sudah lama tidur.
       Alhamdulillah, inilah destinasi  makan-makan terakhir di Kota Bharu kami sebelum balik, iaitu Kedai Makan Nasi Serati Ayam Kampung. Penggemar sup wajib merasai keenakan sup di sini.

Payung

Alhamdulillah, perut terisi, maka perjalanan diteruskan. Misi kali ini lebih tertumpu kepada kaum Hawa, umi, mok de, ateh dan wan. Ayah? Perlu mencari sehelai seluar setelah 'mandi milo'.
            Yang menarik kaum Hawa di Pengkalan Kubor tentulah pinggan mangkuk, periuk belanga, toto dan yang paling menarik, ayah dan anak-anak pun suka ialah coklat. Yang lebih menarik perhatian anak-anak, permainan. Yang menarik perhatian ayah ialah lukisan mural dan payung  bergantungan bagaikan bumbung.
         Maka, bermacam-macam aksi anak-anak dan ayah bergambar di Pengkalan Kubor. Tadi pula umi tunjuk TV1  paparkan lukisan mural 2D dan 3D di Bukit Bintang yang berjaya mengubah landskap di situ. Insya-Allah, tiba masanya kami ke sana pula.

Titab

Malamnya ke Wakaf Che Yeh, pagi esoknya, Pak Teh Arah dan Ateh bawa kami ke tempat makan pagi antara yang tersohor di Kota Bharu dan  ternyata sendat dengan manusia walau awal pagi.
       Alhamdulillah, ada tempat untuk duduk. Menanti roti titab, banyak makanan yang boleh dimakan seperti kuih-muih, nasi lemak dan 'durian crepe'. Banyak orang terkenal makan di sini. Riuh-rendah, meriah dan walaupun tempat luas, tetap penuh serta banyak yang menunggu. Roti titab pun sampai. Telur separuh masak di atasnya berserta kaya di empat penjurunya. Alhamdulillah, perut kenyang walaupun ayah sempat 'bermandi air milo' achik yang di sebelah ayah😥.
         Ternyata  sungguh berbaloi ke Kopitiam Kita, Kota Bharu yang penuh aneka jenis juadah. Datanglah! Nikmati segalanya di sini!

Monday, September 10, 2018

Pitis dan Lokcing

Balik dari kenduri pak su, kami teruskan aktiviti sampingan ke Pasar Siti Khadijah.
      Selesai di situ, kami bergerak dan berhenti di kawasan berhampiran Istana Balai Besar. Umi cakap dia pernah  ke sini. Ayah dan anak-anak belum pernah lagi. Di sini ada Bank Pitis yang di kiri dan di kanannya ada meriam. Letaknya di hadapan pagar Istana Balai Besar.  Di seberang jalan berhadapannya ada dataran yang luas dan pintu gerbang yang cukup besar. Hari pula semakin redup. Umi beli lokcing. Kami panggilnya sate ikan. Hujan rintik-rintik mulai turun.    
       Kami berlari masuk kereta kerana hujan mulai lebat. Kami berebut-rebut menikmati lokcing di dalam kereta dalam hujan lebat berhampiran Bank Pitis. Lazatnya tak terkata!

Selera

Makan. Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati.
        Jika perut tak kenyang, terutamanya perut anak-anak, banyaklah juga ragamnya. Sesi makan-makan diteruskan pada waktu malam di  Lundang sebelum jalan-jalan  ke Wakaf Che Yeh. Siangnya, Alhamdulillah, pak su Udin bergelar suami dengan sekali lafaz sekali gus menoktahkan zaman bujangnya. Pilihan kami kali ini ialah nasi kerabu di Kedai Nasi Kerabu Golok. Pak Teh Arah bawa kami ke sini. Ini kampung dia.
         Singgah di Lundang, apa kata rasai kesedapan Nasi Kerabu Golok atau nama Mat Sallehnya 'Rice to Wednesday'😂 bersama dengan keluarga. Gurau pun tak boleh ke? Ayah bertambah selera apabila ada jeruk bawang putih.

Saturday, September 8, 2018

Selera

Di tepi sungai Temerloh yang seronoknya ialah pekan sehari hujung minggu yang kaya dengan produk orang kampung seperti kunyit tumbuk.
         Malam tadi pula kami berada di Selera Tepi Sungai, bukan di Temerloh tetapi di Tanah Merah.  Restorannya tersergam indah di tepi jalan dan dihias seperti dewan perkahwinan dan penuh dengan bunga seperti anggerik (orkid). Ini sudah seperti majlis praperkahwinan untuk pak su Udin dan tidak ada pengunjung yang lain. Hanya kami sahaja. Enam kereta semuanya.
          Antara menu yang membuka selera, ayam lemon, ikan stim, kerabu mangga dan anak-anak suka sangat makan udang celup tepung. Apalagi, jom ke Selera Tepi Sungai, Tanah Merah!

Puyuh

Tengok puyuh goreng buat ayah teringat satu pantun yang ada dalam lagu.
          Lagu nyanyian Ona Sutra, Asam di Gunung, Garam di Laut dimulakan dengan pantun:
        tanam pinang rapat-rapat,
        agar puyuh tak dapat lari,    
        kupinang-pinang tak dapat-  
        dapat,
        kurayu-rayu kubawa   
        bernyanyi.
         Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, terdapat peribahasa yang berbunyi mati puyuh hendakkan ekor, maksudnya, menghendaki sesuatu yang mustahil didapati.
         Puyuh goreng yang  lazat ini pula senang didapati di Res Bestari, Setiu. Masakan kampung pun banyak. Ayah berselera jumpa petai ikan bilis.

Friday, September 7, 2018

Diam

Diam. Dia terdiam. Dia mendiamkan diri kerana berasa seperti diperhatikan.
       Saat itu dia teringat akan peribahasa Melayu, diam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat. Dia tidak pasti dia ubi atau besi kerana dia bukanlah seorang yang pendiam. Tadi, dia tidaklah sediam itu. Sekarang, terdengar-dengar lagu 'Diam-diam Jatuh Cinta', nyanyian Ramlah Ram di gegendang telinganya.
             Diam-diam, berpandangan
              Mata bertentang mata
              Malu-malu, aku malu
                  Kaubuat begitu
     Dia juga diam kerana berasa seseorang telah memperdiamkannya. Tiba-tiba, diamnya dikejutkan dengan satu suara. "Lima minit lagi," kata suara itu. Dia terjaga. Di sekeliling semua kawannya diam menjawab soalan periksa. Dia juga diam. Diam kerana tidur. Dunia dirasakan gelap.

Wednesday, September 5, 2018

'Muka Buku'

Gagal itu pasti jika malas berusaha. Kata bijaksana, gagal merancang, merancang untuk gagal.
         Mahukah kita berada di takuk kegagalan  sepanjang masa? Gagal dalam peperiksaan sewaktu zaman sekolah dulu membuatkan ayah berasa ketebalan muka ayah seperti tebalnya Tembok Besar China. Ayah berasa begitu kecil, begitu halus seperti berada di alam kuantum (terpengaruh dengan  filem 'Antman'). Malu itu membuatkan ayah ada meja belajar (rak tv lama) kerana sebelum itu, jika disuruh opah untuk belajar, ayah belajar sambil berbaring di atas katil.    
         Akhirnya buku 'membaca' ayah. Jadilah 'muka buku' sebab buku menutupi muka ayah yang terlelap. Siapa kata dulu tak ada 'Facebook'? Ayah telah buktikan di sini bahawa 'muka buku' dah wujud dari dulu.😂

Tuesday, September 4, 2018

Berjaya

Tanyalah orang yang berjaya jika mahu berjaya. 
         Kecil atau besar satu-satu kejayaan yang kita kecap sudah pastinya melibatkan usaha yang sungguh-sungguh. Tidak perlu melihat jauh, lihatlah anak-anak kecil yang mula merangkak atau bertatih, jatuh dan bangun kembali.  Kejayaan juga ditafsirkan mengikut pendapat masing-masing. Lana Turner menyatakan bahawa lelaki yang berjaya ialah yang dapat 'membuat' wang  lebih banyak daripada yang boleh dibelanjakan isterinya. Wanita yang berjaya ialah yang mendapat lelaki seperti itu (Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi).
       Kejayaan bergantung kepada kesanggupan kita untuk bertindak segera. Bertindaklah kerana cabaran tetap ada, walau sebesar semut, walau sebesar  lumba-lumba, walau sebesar paus, Insya-Allah kejayaan tetap menanti kita.

Monday, September 3, 2018

Keputusan

Kerja itu ibadah. Kerja akan datang dan seperti biasa, perlu kita siapkan.
           Dalam buku Nota Jutawan, Nota Motivasi (Irfan Khairi), dinyatakan bahawa menangguhkan kerja ialah pencuri masa dan pencuri hidup. Katanya juga, sebab utama  penangguhan kerja ialah terlalu banyak alasan, tidak serius dalam mengambil keputusan dan tiada tarikh akhir dalam matlamat. Dengan itu, marilah kita berhenti memberi alasan, serius mengambil keputusan dan menulis tarikh untuk mencapai matlamat seperti yang disarankan Irfan Khairi.
         John Ruskin pula menyatakan bahawa jangan melihat apa yang telah kamu usahakan, tetapi lihatlah apa yang belum kamu selesaikan (Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi).

Sunday, September 2, 2018

Yakin

Dalam gelanggang, apa-apa pun boleh berlaku. Perkara sebegini ialah sebahagian babak dalam gelanggang kehidupan.
      "Rasa gementar," kata along. Baru dia kata malam ini. Baru tadi ayah baca tentang gementar. Gementar itu akan hadir. Semua orang akan mengalaminya jika ingin melakukan sesuatu yang baharu, juga berlaku kepada perkara yang dianggap penting. Jika persediaan dilakukan, kuranglah gementarnya. Jika tidak, sukar untuk menawan gementar.
      Ada masanya mak ayah yang nampak gementar lebihnya. Sesetengah anak buat 'sardin' sahaja. Mungkin mereka dah bersedia, tapi mak ayah yang tak yakin😅. Apa-apa pun, along dan angah dah melalui gementar pertama di gelanggang.

Saturday, September 1, 2018

Akhlak

Alhamdulillah. Semalam 31 Ogos.  Hari Jumaat Penghulu segala hari. Sudah 61 tahun merdeka.
         Setiap orang perlu memainkan peranan masing-masing. Yang masih belajar, terus belajar bersungguh-sungguh, yang masih bekerja, bekerjalah bersungguh-sungguh dan yang sudah bersara, sumbanglah pengalaman yang anda ada untuk generasi muda yang perlukan bimbingan. Pengalaman itu sangat penting dan hari ini ayah hanya bantu angah dengan kata-kata dan alonglah yang bantu angah dengan pengalamannya kerana esok giliran dia.
         Pengalaman kita yang akan mematangkan negara ini dengan berteraskan akhlak mulia kerana kerana jika tidak mengamalkan akhlak mulia, negara akan binasa. Sayangi Malaysiaku.

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-gal...