Translate

Tuesday, July 30, 2019

Tentang Mata

Silaturahim dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud hubungan persaudaraan (kekeluargaan, persahabatan).
       Dalam hidup kita, kita ada ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai. Ada yang dekat, ada yang jauh. Dalam dunia hari ini, semuanya menjadi dekat melalui media sosial. Namun begitu, bersembang dan bertanya khabar seharusnya diutamakan jika bertentang mata. Memang sukar untuk mengeluarkan kata-kata apabila mata tidak lepas  memandang telefon pintar di genggaman walaupun bertemu. Teknologi bertujuan memudahkan kita dan jika sudah tidak dapat melepaskan diri daripada teknologi, silaturahim akan menjadi semakin jauh walaupun bertentang mata.
     Lepaskan kata-kata, lepaskan telefon pada tangan kita sewaktu bertentang mata. Kita boleh mengubahnya, Insya-Allah!



Monday, July 29, 2019

30 Julai

    Hari ini cuti. Hari ini berlangsungnya peristiwa penting, iaitu Istiadat Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
     Semalam,  kami bertolak. Dalam perjalanan, seperti biasa, riuh-rendah. Angah terlalu sayang kepada Along. Tidak mahu berpisah, Along  duduk di belakang sekali, tempat yang hanya muat untuknya dan angah mahu duduk di situ juga. Achik pula, asyik mahu duduk di depan, sudah seperti iklan Grand Livina suatu ketika dahulu. Selesai melawat Tok Wa, kami bergerak ke Tangkak. Pagi ini, singgah di Pekan Tangkak makan pagi. Ada mi rebus, roti canai, nasi lemak sotong, lontong dan macam-macam lagi.
    Berada di  pekan Tangkak? Mahu makan mi rebus? Boleh ke Kedai Encik Jaini bin Selamat, bapa mentua Pak Su Apit, bersebelahan Pasar Awam Tangkak.


   

Khasiat

Balik ke rumah nenek, rambutan budak sekolah sudah merah.
       Alhamdulillah, Arah sudah keluar dari hospital. Dalam perjalanan, di kiri dan di kanan jalan bergayutan buah rambutan yang sudah masak. Sebelum bertolak, opah goreng buah cempedak. Bukan setakat dimakan mentah, ada buah yang sedap digoreng atau ada juga yang dibuat bubur. Durian dimakan bersama dengan nasi atau pulut. Dulu, opah rajin buat ketayap inti durian atau roti jala dicicah dengan kuah durian. Mangga atau mempelam juga bukan setakat dimakan begitu sahaja, juga dimakan bersama dengan pulut.
        Musim buah-buahan menyajikan pemandangan indah di Malaysia, bukan setakat menikmati lazat juadah buah-buahan yang pelbagai. Buah-buahan juadah berkhasiat untuk semua. Indahnya Malaysia.

Sunday, July 28, 2019

Syurga

Ayah sudah biasa makan laksa pada waktu tengah hari.
    Zaman ayah belajar dahulu,  ada kawan ayah rasa hairan apabila ayah makan laksa waktu tengah hari. Mereka kata, laksa dimakan pada waktu petang. Kalau mereka ke Pantai Timur, laksa boleh ditemui pada waktu pagi, ayah tidak pasti pula di tempat lain. Kawan ayah juga rasa hairan apabila menambah kicap seperti ayah yang ayah pernah beritahu sebelum ini. Kalau ke Kuantan, ada laksa Pahang. Kuah dan laksanya agak berbeza.
    Syurga makanan halal boleh ditemui di Malaysia. Di Kuantan jika tidak ke Pantai Kempadang untuk menikmati laksa Utara, ayah akan singgah di Gerai Muda Kelapa di sebelah kanan menghala ke Pantai Kempadang.

Saturday, July 27, 2019

Kereta Api

Sedang ayah menghirup kopi Radix, Angah sedang bermain kereta api kecil. Ayah dan umi ada impian untuk bawa anak-anak berjalan naik kereta api.
     Waktu ayah kecil, Ayah, Atuk, Opah dan adik-adik ayah naik kereta api di Mentakab. Dulu, ayam pun boleh naik kereta api. Apabila berhenti di stesen kereta api yang lain, akan ada penjual makanan naik menjual makanan seperti kacang,  mi goreng dan bihun goreng. Sudah lama tidak menaiki kereta api merentas ke negeri lain seperti zaman kanak-kanak.
     Naik kereta api membolehkan kita melihat pemandangan yang berlainan dan dapat melihat keunikan stesen kereta api tertentu yang masih kekal dengan reka bentuk asal serta menemui jalan cerita yang berbeza. Indahnya Malaysia.

Friday, July 26, 2019

Konflik

Hari ini hari sekolah ganti. Umi dan Achik masih di hospital.
     Jalan tidaklah sesak sangat. Ayah berpatah balik setelah menyedari ayah sepatutnya menghantar Adik terlebih dahulu. Begitulah ayah selalu😅. Di sebelah kiri jalan sebelum Masjid Sungai Soi nampaknya paya sudah ditambak. Banyak kawasan paya sudah jadi taman perumahan. Dua tiga hari lepas, seekor anak biawak sesat masuk ke dalam rumah. Banyak juga kawasan kampung telah jadi taman perumahan. 
     Setiap detik ada sahaja perubahan berlaku. Perubahan cara berfikir dapat membantu kita mengurus alam dengan lebih baik supaya tidak ada konflik antara manusia dengan haiwan.

Kaya

Dulu, ladang kelapa sawit atuk dekat dengan hutan.
        Ada masa, atuk bawa balik duri landak. Ayah suka sebab duri landak akan diletakkan dalam Al-Quran dan dijadikan penunjuk untuk mengaji. Kadang-kadang atuk bawa masuk hutan untuk cari daun palas. Macam-macam pokok yang tidak pernah dilihat dapat dijumpai dalam hutan. Salah satu pelancong datang ke negara kita pun sebab negara kita kaya dengan flora dan flora. Sebab itu hutan tidak boleh ditebang sesuka hati, kita perlu nikmati dan hargai kurniaan Allah s.w.t ini.
       Keunikan flora dan fauna di negara kita haruslah dikekalkan untuk generasi yang akan datang. Banyak perkara yang kita dapat belajar daripada flora dan fauna. Satu malapetaka besar jika kita terus-menerus memusnahkan hutan yang menjadi habitat haiwan secara tidak terkawal.


Wednesday, July 24, 2019

Asal Usul

Banyak peristiwa yang menjadi kenangan, ada yang mahu disimpan, ada yang mahu dilupakan.
      Pahit atau manis tetap hadir dalam hidup. Ada kenangan yang dicipta, ada kenangan yang datang tanpa dipinta. Ada kalanya kenangan itu biasa-biasa, tetapi tetap dianggap sesuatu yang luar biasa. Ada kalanya kenangan itu sekadar di pinggiran, tetapi itu yang diingati orang.
     Kenangan itu mengajar kita erti menghargai sesuatu yang pernah kita lalui. Ada kalanya kita perlu  membiarkan kenangan itu terus hidup tanpa gangguan    supaya anak bangsa kita kenal asal usul dan tidak lupa diri.

Tuesday, July 23, 2019

2020

Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 telah dilancarkan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
       Indahnya negara kita kerana  keunikan alam semula jadi  dan telah menjadi tarikan pelancong sejak sekian lama. Seharusnya kita bersama-sama menjaga alam.  Alam tidak seharusnya dicemari dengan sampah sarap dan setiap warganegara bertanggungjawab membuang sampah ke dalam tong sampah. Ada pula sebahagian daripada kita seolah-olah tidak merasa apa-apa setelah mencampakkan sampah melalui cermin tingkap kenderaan atau meninggalkan sampah begitu sahaja di tempat riadah atau di mana-mana sahaja.
      Alam ini sebahagian daripada diri kita. Alam semula jadi yang dijaga dengan baik dan kekal bersih melambangkan diri kita semua.

Monday, July 22, 2019

Bayang

Ayah sudah terbayang laksa, umi pula sudah terbayang kuih keria yang ditempah, Along  terbayangkan cendol  jagung, Angah dan Achik rupa-rupanya terbayangkan kuda.
       Meriah sungguh petang minggu di Pantai Kempadang setelah agak lama tidak ke sini. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, 'kuda kayu' (kiasan) bermaksud orang yang bodoh (boleh dipermain-mainkan). Kuda semberani pula bermaksud kuda yang boleh terbang (dalam cerita-cerita dongeng). Peribahasa anak kuda bulu kasap pula bermaksud perihal anak muda yang riang gembira.
      Sesuatu yang dibayangkan  itu menjadi lebih jelas jika kita pernah berada di tempat tersebut atau kita pernah mengalami situasi tersebut. Sebab itu salah satu perkara yang berkuasa untuk mendakap sesuatu kejayaan adalah dengan membayangkan sesuatu kejayaan itu telah dicapai.

Sunday, July 21, 2019

Pilihan

Jumaat hari lahir Along. Hari yang dihitung dan dinantikannya.
       Hadiah satu perkara yang agak sukar bagi ayah dan mungkin juga bagi umi untuk membuat pilihan. Dalam kepala ayah, tidak lain tidak bukan, buku. Buku bukan sahaja sumber pengetahuan dan buku boleh menghiburkan hati, terutamanya kartun atau komik dan sudah banyak komik yang memasukkan ilmu pengetahuan atau fakta ke dalam cerita. Zaman ayah dahulu, majalah Gila-Gila sering mengaitkan isu semasa dalam kandungan majalahnya. Akhirnya, ayah dan umi memberi pilihan kepada Along untuk memilih hadiahnya sendiri.
      Bukan mudah untuk membuat pilihan dan keputusan, tambahan pula jika keputusan itu melibatkan aspek luaran, bukan untuk kepentingan diri sendiri sahaja. Pilihan tetap perlu dibuat dalam kehidupan.

Thursday, July 18, 2019

Cuti

Cuti  saat yang menggembirakan bagi semua orang. Cuti ialah waktu bersama dengan keluarga tercinta. Cuti ialah  waktu terbaik untuk berehat setelah penat lelah bekerja.
      Waktu cuti semua orang ada. Anak-anak di asrama akan balik ke rumah. Cuti juga masa terbaik untuk balik kampung. Waktu bila lagi mahu membawa anak-anak berjumpa datuk dan nenek serta saudara-mara? Waktu cuti juga waktu untuk berjalan-jalan dan menghadiri jemputan kenduri kahwin.
     Cuti waktu yang penting untuk mengeratkan hubungan kasih sayang antara anggota keluarga. Cuti dapat memberikan semangat dan tenaga apabila kembali bekerja.
Kalau boleh bercuti, mengapa kita bekerja? Bagi yang suka bekerja waktu cuti, teruskan dan biarkan yang mahu bercuti bergembira dengan waktu cuti.

Peluang Kedua

Semalam, ayah tanya Auni, anak murid ayah, tentang lagu kegemarannya, Peluang Kedua, nyanyian Amir Hariz yang disukainya.
    Ayah terfikir, kita sentiasa ada peluang kedua dalam hidup kita selagi kita bernafas. Antara perkara yang boleh kita buat jika mendapat peluang kedua adalah dengan menghargai ahli keluarga. Kita boleh mengetepikan telefon pintar kita pada waktu malam, jadikan malam masa yang berkualiti untuk keluarga kerana di siang hari kita sibuk dengan urusan kerja. Jika anak masih kecil, mereka cukup suka didukung di belakang, bukan setakat Adik, Along pun mahu didukung.  Jika larat, boleh dukung isteri atau suami juga.😅
       Peluang kedua tidak seharusnya dilepaskan pergi dengan begitu sahaja. Peluang kedua seharusnya kita gunakan untuk menggembirakan ahli keluarga kita.

Wednesday, July 17, 2019

Tambal

Cikgu Syafiq datang dan tunjuk kata-kata bijaksana dalam bahasa Cina yang telah diterjemah kepada ayah.
      Mula-mula ayah ingat perkataan itu salah. Ayah membuka Kamus Edisi Keempat dalam talian, ternyata perkataan itu wujud. Kata dasarnya ialah tambal. Tambal merupakan perkataan Jawa yang bermaksud perca kain dan lain-lain yang dilekatkan pada tempat yang koyak (sobek dan sebagainya), tampal. Tempoh hari, tayar kereta ayah bocor. Sudah ditampal atau ditambal, masih bocor di tempat yang sama, akhirnya terpaksa ditukar.
      Hati yang 'bocor' pula sukar sekali untuk ditampal atau ditambal. Maka, berhati-hatilah dalam mengungkapkan kata  dan bertingkah laku kerana parut tetap berbekas walau lukanya telah sembuh.

Sunday, July 14, 2019

KBAT

Banyak peribahasa Melayu tentang gajah.
     Antara peribahasa yang terdapat dalam Kamus Istimewa Peribahasa Melayu Edisi Kedua (penyusun, Abdullah Hussain) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ialah gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.  Maksudnya ialah orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat.
      Banyak perkara dapat kita belajar daripada peribahasa Melayu. Di sebalik kata-kata yang tersirat, ada maksud  tersurat yang mengandungi nilai dan pengajaran. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi telah wujud sekian lama dalam masyarakat Melayu melalui peribahasa.

Saturday, July 13, 2019

Rindu

 Semalam, pagi ada latihan tae kwan do. Cuma Along yang pergi,
Angah ada Kem Solat di sekolah.
       Umi pula petang Jumaat ke perkhemahan unit beruniform di Cherok Paloh, bermalam di sana. Sabtu yang seronoknya di luar rutin hari bekerja. Di jalan pun tidak banyak sangat kenderaan pada waktu pagi. Balik rumah, sempat ayah lawan main dam dan catur dengan Angah dan Along sebelum lelap. Petang, umi balik. Along dan Angah lawan panjat pagar luar, nampaknya Angah semakin tangkas panjat dan turun dari pagar. Hampir maghrib, kami bergerak ke  dan singgah di RNR Gambang. Angah mahu pisang. Dia tahu Achik dan Adik suka makan pisang.
       Rindu dilepaskan apabila bertemu. Rindu  itu satu kurniaan Allah s.w.t untuk insan. Rindu itu kerana Allah s.w.t.. Rindu itu mengikat kasih dan sayang.

Friday, July 12, 2019

Hidup Berjasa

Hari ini ada jamuan sempena persaraan Puan Sarifah (Penyelia Asrama). Sebelum ini Encik Saadon telah bersara.
     Bagi yang bekerja, sampai masanya akan bersara. Sepanjang perjalanan yang bersimpang-siur untuk sampai ke simpang terakhir di hujung alam pekerjaan, banyak perkara yang akan kita  lalui. Pengalaman yang kita lalui membuatkan kita mahir dalam melakukan sesuatu dan mahir berhubungan atau berkomunikasi dengan segenap lapisan masyarakat. Kita juga tidak pernah jemu menyumbang tenaga dan bakti serta jasa kepada organisasi tempat kita berkhidmat.
    'Hidup Berjasa'. Ini slogan yang meniti di bibir warga Semsas. Ini slogan yang paling tepat untuk menggambarkan pentingnya kehidupan  diisi dengan kebaikan terhadap ahli keluarga dan orang di sekeliling kita demi agama, bangsa dan tanah air.

Thursday, July 11, 2019

Cangkerang

Lepas maghrib, kami makan malam di rumah nenek.
     Ada lauk kerang rebus cicah air  asam. Kulit kerang selalu kita sebut 'cengkerang' tetapi ejaan sebenarnya 'cangkerang'. Kiasan yang berkaitan kerang yang selalu kita guna ialah kerang busuk yang bermaksud (sering kali) tersengih-sengih (tertawa) dengan tidak menentu (Kamus Dewan Edisi Keempat). Lepas makan, minum pula air kopi 'o' panas dibancuh umi. Kopi serbuk Hang Tuah.
     Selesai makan, kami meninggalkan nenek. Pasti nenek kembali sunyi. Begitu juga kami, sepi di dalam kereta, Achik dan Adik tinggal dengan opah buat sementara waktu. Kami meredah malam yang gelap seperti kopi 'o' ditemani lampu kereta dan lampu jalan.           

Tuesday, July 9, 2019

Rezeki

Hampir Maghrib, kami singgah rumah nenek. Nenek cakap Tok Chik baru balik ke rumahnya.
     Sementara menunggu maghrib, kami berborak. Kemudian, ayah ke belakang rumah, tengok pokok kuini dan pokok durian. Buah kuini pun sudah tidak banyak, buah durian langsung tidak nampak. Minggu lepas, ayah sudah pergi tengok pokok durian di seberang jalan berhampiran paya, banyak juga buah durian. Ada  yang gugur tetapi banyak ditebuk tupai. 
     Dalam kehidupan ini, ada masa, rezeki banyak, ada masa sedikit, perlu sentiasa bersyukur. Banyak atau sedikit, di dalamnya ada rezeki orang, ada rezeki binatang. Rezeki untuk dikongsi.

Saturday, July 6, 2019

Tunggu

Bersabar. Dia sudah letih mendengar perkataan itu. Dia tahu 'bersabar' pada tempatnya.
      Ini bukan bersabar sebenarnya tetapi letih menunggu. Letih menunggu janji-janji. Siapakah yang suruh berjanji? Dia menunggu satu demi satu janji. Jawapannya, "Bersabar." Bilakah mahu dilunaskan janji? "Kami perlukan masa," itu yang diulang-ulang. Telinganya sudah berasa  sakit seperti bernanah. Ah, di saat ini dia berasa seperti mahu mengamuk sahaja, tetapi mahu mengamuk kepada siapa?
      Dia mundar-mandir. Mulutnya, sekejap terkumat-kamit. Berhenti, matanya melilau. "Engkau daftar mengundi pun tidak, mengundi pun tidak, kerja pun tak mahu, engkau pula 'meroyan' kenapa?" sergah ayahnya. Lekas dia keluar dari pintu rumah, menghidupkan enjin motor dan berlalu pergi.




Kuasa

Semua orang mahu jadi adiwira.
       Semua mahu ada kuasa, kuasa luar biasa yang dimiliki Spiderman, Iron Man,  Hulk dan lain-lain. Banyak yang mahu ada kuasa sebab mahu tolong lain. Memang nampak sangat seronok apabila ada kuasa. Adiwira sebenarnya ada di sekeliling kita atau mungkin kita sendiri tanpa kita sedar. Tidak ada kuasa luar biasa pun boleh tolong orang lain. Tolong emak, tolong ayah, tolong anak, tolong suami, tolong isteri dan tolong sesiapa sahaja.
      Kadang-kadang, anak, anak murid atau orang lain mahu menolong kita, kita terima.  Ada masa kita menolak, bukan sebab apa, sebab kita  tidak mahu menyusahkan mereka dan kita  mampu lakukan sendiri. Jika ada kuasa luar biasa sekali pun, ada masanya kita masih perlu bantuan,  seperti kaca mata daripada  Tony Stark.

Friday, July 5, 2019

Tempurung

Jika tidak ayah, umi. Jika tidak umi, ayah. Kadang-kadang, dua-dua sekali. Sabtu sentiasa bekerja.
     Umi bawa murid robotik ke  UMP Gambang. Ayah dan anak-anak di rumah. Tetap ada kerja yang perlu dibuat, cuma mahu atau tidak mahu sahaja. Dapat memilih kerja untuk dibuat semestinya dapat membuatkan kita berasa gembira atau puas hati. Hal ini kerana kerja yang dipilih itu kita sendiri pilih, dibuat secara sukarela, bukan secara paksaan. Kerja yang kita pilih sendiri membuatkan kita tidak sesekali merasakannya satu beban yang besar.
   Kadang-kadang sesuatu kerja itu memerlukan paksaan,  dicuba beberapa kali, baru menimbulkan minat dan  keseronokan. Cuba dahulu, baru tahu tentang sesuatu. Jika tidak, kita mungkin sama dengan katak di bawah tempurung. Tempurung kelapa pun sudah ada harga dan jadi cenderamata yang unik hari ini.

     

Thursday, July 4, 2019

Rasional

Dalam membuat sesuatu keputusan, kita memerlukan pertimbangan yang rasional.
     Apakah maksud rasional? Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, rasional ada dua maksud. Maksud yang pertama ialah alasan munasabah yang mendasari sesuatu tindakan, perbuatan atau pegangan. Maksud yang kedua ialah berdasarkan taakulan, menurut pertimbangan fikiran yang wajar, waras. Rasional, kurang rasional dan tidak rasional melibatkan emosi. Ada masanya melibatkan provokasi.
     Untuk menjadi rasional memerlukan emosi yang terkawal atau stabil. Rasional juga bergantung pada sudut pandangan berbeza berdasarkan kedudukan kita. Mungkin rasional bagi kita, mungkin tidak bagi orang lain.

Tuesday, July 2, 2019

Mencari

     Mencari untuk menemukan sesuatu atau menjumpai sesuatu memerlukan niat yang betul dan matlamat yang jelas.
    Apakah yang dicari? Jika tidak tahu apa-apa yang dicari, kita hanya membuang masa kita. Pernahkah mendengar suatu cerita lawak tentang seseorang yang kehilangan duit syiling di tempat yang gelap dan mencarinya di tempat yang cerah? Dia tahu apa yang dicarinya dan tempat yang sepatutnya dia berada untuk mencari tetapi dia memilih untuk berada di tempat yang salah walaupun dia tahu duit syilingnya tidak jatuh di situ. Dia memilih tempat itu kerana cerah.
       Mencari tidak semestinya berjumpa dan jangan cepat mengalah. Untuk berjumpa,  kita perlu mulakan pencarian dan kemudiannya berjumpa,  itu biasa. Berjumpa tetapi tidak mencari itu luar biasa. Semuanya ketentuan Allah swt.

   

Kuat

Raya belum habis, anak-anak gembira banyak makanan, warna-warni menghiasi, syukur harus sentiasa.            Malam sebelum hari kejadian, A...