Translate

Wednesday, September 29, 2021

Lakukan

Minggu lepas murid-murid tingkatan 5 sudah mendapat vaksin dos pertama. Minggu ini giliran murid-murid tingkatan 1, 2 dan 3. Umi pun terlibat menguruskannya.
       RMK ke-12 (2021 - 2025) -'Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan' telah pun selamat dibentangkan pada 27 September dan sedang dibahaskan. Jaguh tinju dunia Filifina pula, PacMan atau Manny Pacquiao telah mengumumkan persaraannya pada hari Rabu untuk memberi tumpuan kepada kerjaya politiknya. Melalui politik, kita mengharapkan banyak perubahan yang baik akan berlaku. Berharap itu boleh, terlalu berharap mungkin menimbulkan banyak kesan.
        Apa-apa pun yang berlaku, kita  perlu meneruskan perkara baik yang sedang kita lakukan untuk diri kita dan keluarga. Insya-Allah, dengan menjaga keluarga kita, masyarakat pun akan bertambah baik, begitu juga negara.

Tuesday, September 28, 2021

Hebat

Isnin, dalam perjalanan ke klinik, Wan dan Atuk singgah hantar roti canai.
       Duduk menghadap roti canai di meja, tiba-tiba Adik berbunyi,"Ada tangan!" Semua memandang ke arah Adik. Kemudian,  memandang ke arah mangkuk kecil berisi kuah kari. Semua tergelak. Ya, ada 'tangan' yang sedikit terkeluar dari pinggir mangkuk. Nampaknya kaki ayam kegemaran Umi kelihatan seakan-akan tangan. Ya, sekarang isu harga ayam naik pun masih hangat. Tangan ghaib mana yang menaikkan harga ayam? Dulu-dulu, nak makan ayam, tangkap saja di  belakang rumah. Sekarang, di belakang rumah ada rumah orang.
        Cerita pasal ayam telah berlaku sekian lama, sejak zaman Pak Kaduk lagi, tak pernah habis, cuma isunya saja tak sama. Sentiasa diperkatakan, begitulah hebatnya ayam, ayam berkokok melihat malaikat, kehebatan  kurniaan Allah SWT.

Saturday, September 25, 2021

Impi

Achik bangun pagi ini, dia beritahu Ayah bahawa dia dapat mimpi indah.
      Dia mimpi mandi kolam. Kolam itu besar. Dekat kolam ada bunga sakura. Ayah tanya, "Bunga sakura warna apa?" Dia jawab, "Warna pink." Dia beritahu bahawa Along, Angah dan Ayah pun mandi sama. Umi dan Hana duduk dekat bunga sakura. Lepas siap mandi, semua balik ke rumah Opah dan Atuk. Kemudian, dia terjaga sebab terdengar lagu tema Pokemon. Bunga sakura yang banyak di Jepun pun boleh masuk mimpi, apa-apa saja boleh masuk ke dalam mimpi. Itu hebatnya mimpi, batasannya hanya apabila terjaga.
       Bunga-bunga mekar di alam jaga, juga di alam mimpi. Fikirkan sesuatu yang baik-baik yang kita impikan tatkala hampir melelapkan mata, Insya-Allah, tatkala sedar kita akan memikirkannya kembali dan bertindak, untung-untung hadirnya ke dalam mimpi.

Friday, September 24, 2021

Bak Bunga

Bunga dengan kumbang, kenapa bukan bunga dengan lebah?
    Macam mana sekalipun bentuk dan warna bunga, bunga tetaplah menjadi perhatian kita, tetaplah menjadi tarikan mata  walau kita bukan kaki tanam pokok bunga. Bunga yang bau busuk pun tetap menjadi perhatian orang, apatah  lagi yang wangi merbak, memanglah menjadi kegilaan orang. Ada pula bunga yang tika malam semerbak baunya, tatkala pintu dibuka  di waktu malam, mulalah fikir macam-macam. Tanam apa hari ini? Pokok semalu pun orang dah tanam di dalam pasu saat ini. Ada juga yang tak suka bunga hidup dan di dalam rumah tetap penuh bunga plastik. 
     Jadilah bak bunga, bentuk, bau dan warna, memikat hati semua. Jadilah manusia, beradab berbudi dan berbahasa, memikat hati semua.  

Sunday, September 19, 2021

Hidup

Kenangan terus menggigit pandangan dan kenangan terus mencakar ingatan.
    Diusung ke sana dan ke mari, bagaikan anak patung dibuatnya, lepas seorang dan seorang. Mengambil air suam dan dicuci serta dilapnya mukanya hampir setiap pagi, itu antara rutinnya. Pagi-pagi sudah sudah di muka pintu beraksi menunggu, naik duduk di atas pintu besi, kemudian meloncat ke bawah. Tatkala pintu dibuka, meluru ke dalam rumah, mengekori kaki melangkah, minta perut diisi, kadang-kadang tidak perasan ada di kaki, terkejut tersepak. Kaki melunjur, datang dan menggigit-gigit ibu jari, bagaikan alat permainannya, kali terakhir datang naik ke ribaan dan melepaskan hajat kecilnya.
      Hidup sentiasa diisi dengan kenangan yang tak mahu dibiarkan melangkah pergi. Yang ditinggalkan itulah yang dipanggil kenangan, yang dipanggil sejarah. Kecil atau besar, pahit atau manis, kenangan itu makhluk hidup dalam diri yang mewarnai emosi kita pada setiap hari.

Saturday, September 18, 2021

Harap

Sebelum ini, kecuali Adik, semua orang sudah dikencingnya.
       Kena kencing, tidak ada yang mahu, pasti hancing. Pintu dibuka, meluru masuk ke rumah, ke satu sudut dinding kegemarannya, menguis-menguis seperti di atas tanah lagaknya, Along diperlukan untuk menyelamatkan keadaan. Jika tidak sempat, bertambah kuatlah jeritan Along. Macam tidak ada tanah di luar dan macam mahu menguji kesabaran nampaknya. Walaupun begitu, tetap menjadi kesayangan anak-anak. Sampai di rumah petang tadi, masih tidak kelihatan sampai sekarang.
        Kembali atau tidak itu tidak pasti, yang menunggu pasti terus berharap, walau harapan itu mungkin hanya akan tinggal harapan. Berharap itu sentiasa ada dalam diri manusia, yang diharapkan pastilah yang lebih baik, Insya-Allah.
        
     
      

Thursday, September 16, 2021

Mensyukuri

Belok ke kiri, dari jauh nampak seperti berlonggok-longgok, Opah ingat duku atau dokong. 
      Kereta diperlahankan, barulah nampak jelas, bertongkol-tongkol halia Bentong, durian pun dah tak banyak. Perjalanan diteruskan, yang nampak banyak ialah rambutan. Sampai, dari depan pintu, nampak satu pokok durian yang masih ada buah. Berhampirannya, ada pokok pulasan. Atuk suka benar, manis buahnya. Rambutan memanglah ada, yang menarik minat Opah dari jauh ialah buah dokong. Galah buluh ada, nak panjat pun boleh. Di depan bilik bergayutan buah timun, peria ada. 
      Alam perlu dihormati, alam perlu disayangi, alam perlu dihargai kerana melaluinya Allah SWT mengeluarkan rezeki, mencemari dan merosakkan alam tandanya kita tidak mensyukuri.

Amat Berharga

Ayah main-main saja, nampaknya mereka serius.
      Awal pagi lagi sudah meredah air sejuk, berendam di dalam sungai, bukannya selalu. Tak ada orang lain lagi yang mandi. Memang seronok main air, katak yang terkejut di pinggir tebing pun melompat ke dalam air, katak  yang berenang pun boleh buat anak-anak terkejut dan lari lintang-pukang. Main air sekejap, kemudian 'merayap' di kawasan sekitar yang ada pohon buah-buahan, sempat mengait sebiji buah durian idaman Umi yang tergantung kerana tangkai diikat dengan tali rapia, sudah gugur, sementara menanti nasi lemak dan lempeng sampai.
      Pengalaman itu walau sekejap tetap amat berharga seperti mutiara. Melalui, meredah dan mengalami sendiri pengalaman itu satu perasaan yang harus kita semua alami.

Wednesday, September 15, 2021

Ke Sana

Untuk ke sana, tidaklah payah, diuji wabak Covid itulah parah dan dua dos  diperlukan sebagai ikhtiar, Insya-Allah.
      Perjalanan yang menghijau, jalan yang sempit dan berliku berakhir  dengan kebun buah-buahan dan durian penghujung musim. Di sebalik aur yang mencengkam tebing, deruan yang mengasyikkan. Kejernihan air pasti memukau penglihatan, tak perlu melangkah jauh, pintu terbuka, melangkah setapak dua, di sebalik rimbunan buluh, air mengalir di celah batuan menawan pandangan. Sejuk air memberi senyuman dan keceriaan di petang redup. Malam mengamati, bunyi air mengalir tak henti menemani. 
       Ke sana untuk kebahagiaan dan kegembiraan, maka jalannya harus ditempuh bersama-sama, Insya-Allah!

Untuk

Untuk ke mana-mana pun, siap siaga tetaplah perlu.
         Air terus mengalir pagi ini, cukup bersiap sedia, membawa pasir-pasir, menggolekkan batu-batu ringan,                                  menghanyutkan ranting-ranting kecil dan kelihatan daun yang terjun perlahan ditiup dan mengekori alir. Air terus mengalir menempuh batu besar, merempuh, mengelak ke kanan dan ke kiri, adakalanya melompat ke udara dan bersatu kembali mengalir. Pepatung hinggap di batu, sudah mengerti lenggoknya air. Sesekali, daun buluh pada kaki dan pergi.
        Untuk ke sesuatu tempat, tetaplah perlu bergerak, walau yang ditujui masih jauh, khabar indahnya sudah lama sampai terlebih dulu, itulah penggerak, Insya-Allah.

Tuesday, September 14, 2021

Liku-Liku

Merentas daerah membawa kami ke daerah ini. Ya, itulah Umi, banyak unsur saspens.
        Kali kedua kami ke sini, jalannya berliku-liku, sesekali mencari ketenangan di daerah lain selain ketenangan di rumah sendiri dalam musim wabah yang masih berliku-liku, yang bakal bertukar wajah menjadi endemik, Insya-Allah. Dari sungai ke bukit, dari bukit ke bukit, meneroka kebesaran Ilahi, jernih air yang mengalir sesekali singgah di mata dan buluh-buluh hijau melambai mesra menyambut kedatangan kami. 
        Liku-liku sememangnya melambatkan perjalanan, namun liku-liku itu bagaikan guru, banyak mengajar kita  merasai sabar, tentang hati-hati ke destinasi, tentang sampai walaupun lambat, Alhamdulillah.

Wednesday, September 8, 2021

Senang

Petang, waktu main, itu sepatutnya.
     Maka, berlari dan memanjat pagar, keluar dari pagar utama. Jika ada video, pasti  @khaby00 (Khaby Lame) akan menunjukkan cara yang paling senang untuk keluar dari pagar tanpa suara, hanya menggunakan memek muka dan kedua-dua belah tangan beberapa kali. Begitulah anak-anak, ada cara senang, tapi mereka lebih gemar memanjat, bagaikan satu pertandingan merentasi halangan. Letih memanjat, terjun dan berlari, bukan berlari masuk ke dalam air untuk berenang, tetapi masuk ke dalam rumah untuk minum air dan bermula semula. Biar mereka letih bermain dan menghadap alam sekitar kerana nampak tak letih-letih menghadap skrin komputer atau skrin telefon.
      Kadang-kadang kita nampak cara senang, sengaja kita cari cara susah. Kadang-kadang kita nampak jalan dekat, sengaja kita pilih jalan jauh. Itulah manusia, tak sama, saling melengkapi.

Sunday, September 5, 2021

Jalan

Ke manakah tuju di hujung minggu?
     Alhamdulillah, tengah hari tadi, hampir dua jam kami mendengar motivasi daripadanya yang dibawa Semsas, Unit Bimbingan dan Kaunseling, Unit HEM dan PIBG, tahniah diucapkan kepada penganjur dan semua yang terlibat. Siapakah yang tak kenal SSD? Tak perlu angkat tangan. Tak sempat nak mengantuk, kami ditunjukkan jalan oleh Saudara Syamsul Debat. Jalan yang mana? Katanya,"Nampak jalan pada setiap masalah, bukan  nampak masalah pada setiap jalan." Itu antara satu isi penting dalam 'Sembang Santai: Belajar Musim Pandemik - Hikmah atau Musibah?' Sungguh bermakna, terima kasih banyak SSD. Ustaz Muzakkir sebagai pengantara. Ya, kita semua mungkin sedang  melalui jalan yang sama, mungkin juga jalan yang lain. Jika tak tahu tempat dituju, ke manakah kaki ini mahu dibawa melangkah?
      Oleh itu, jika sudah bertekad untuk ke satu tempat, walau tersesat dan terlambat, itu bukanlah penamat selagi berpegang pada matlamat, Insya-Allah. 

Friday, September 3, 2021

Sorga

Malaysia sorga buah-buahan. Ada buah yang tak ada di negara lain ada di sini.
       Buah rambutan tak pernah menjemukan. Bertambah seronok tatkala memetiknya dan makan di atas pokok. Habis makan, sendirilah yang mengutip dan menyapu kulit-kulit yang dicampak dari atas pokok ke tanah. Dulu, di bawah pokok rambutan Atuk ada burung malas bersarang. Sekarang pokok rambutan besar dah tak ada. Ada satu peribahasa pasal rambutan, iaitu gelagah boreh rambutan jantan, orang berbunga dia berbunga, orang berbuah dia tidak. Maksudnya ialah perihal nasib yang malang seseorang yang berbuat seperti orang lain tetapi dia tidak beroleh faedah (seperti orang lain). 
       Di sorga pun ada buah-buahan yang menanti kita. Di dunia pun sudah berasa nikmat dan lazatnya saat menikmati rasanya yang pelbagai, Alhamdulillah.

Thursday, September 2, 2021

Allah SWT

       Dah lama tak tengok buah tampoi.
        Buah tampoi pun jarang-jarang juga makan, isinya lebih kurang macam buah rambai. Nak buka buah tampoi, cabut tangkainya terlebih dulu. 
Tengok buah tampoi, teringat cerita Keluang Man, teringat pada Borhan dan Samad. Hidup ini memang penuh dengan konflik walau nampak bahagia, walau di hospital bahagia. Dulu-dulu, konflik hanya ada di sekeliling kita, di dalam surat khabar dan dalam tv. Sekarang semua konflik di hujung jari.
      Walau ada konflik dengan diri sendiri, dengan orang lain, atau bukan kita yang berkonflik, musim buah tetap datang, makanlah sekadar perlu dan berkongsilah makanan untuk lebih bahagia. Allah SWT juga mendatangkan bahagia melalui makanan.

Wednesday, September 1, 2021

Daripada

Manggis masih bersisa di rumah Opah. 
     Sekarang musim buah. Macam-macam buah ada. Opah suruh Atuk beli setelah tengok dalam 'WhatsApp' kampung, ada buah perah yang sudah siap direbus dijual, ada juga yang belum dimasak. Atuk beli buah perah yang sudah direbus. Opah suka makan, Ayah kali pertama makan, kali pertama jumpa. Ayah rasa rasanya lebih kurang macam buah berangan, kulitnya agak keras, dah makan, memang ralit. Nak merebusnya ada cara, tak tahu cara, nanti boleh dapat mabuk percuma apabila makan.
      Daripada alam, daripada tumbuh-tumbuhan, kita dapat juadah yang bermacam-macam. Rezeki daripada alam tak pernah mengecewakan kita.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...