Translate

Tuesday, December 14, 2010

Lelaki Kota Tua (Tunas Cipta, November 2010)

Lelaki Kota Tua

Waktu malam cahaya suram
hujan lebat berlarutan
di kala insan kesejukan lena
dalam dakapan kain gebar
lelaki tua kelelahan kebasahan
meredah hujan menadah rezeki
demi anak isteri menanti
mengayuh beca tinggalan warisan
menyambung kerja gemulah ayah
melewati kota tua
sisa tinggalan penjajah.

Sempat meninggalkan pesan
kesusahan dan kesengsaraan
kesenangan dan kemewahan
diadun dengan kesyukuran
sejarah lepas tidak berulang.

Padang Kota
14092010

Monday, October 25, 2010

Bagasi Tanggungjawab (Berita Harian - 24 Oktober 2010)

Bagasi Tanggungjawab

Hari-hari anak kecil

ialah keriangan

sudah bertatih

detik ini sudah bisa

melangkah lepas tangan.

Anakku

hidup bukan sekadar

menaiki atau menuruni lif

menuruni atau menaiki eskalator

berjalan atau berlari di sepanjang travelator

mengelak menyisip di celah-celah

manusia dewasa yang sarat

bagasi tanggungjawab.

Kesulitan demi kesulitan

mula kautemukan

mula kaupelajari harungi.

Semsas, Kuantan

10/10/2010.

Sunday, October 17, 2010

Cecacing Ghaib Globalisasi - Berita Harian (17 Oktober 2010)

Cecacing Ghaib Globalisasi

Kududuk di kerusi empuk

anak gadis di sebelah kanan

berpucuk-pucuk surat

di dalam gengggaman tangan

mahu membeli setem

jawabnya tertib.

Anak-anak sebayanya

asyik -mahsyuk

mengirim pesanan ringkas

bergebang di laman sosial

dan tersenyum sendirian kesepian.

Alasannya:

surat dan setem

ialah sejarah

terkandung peristiwa

segalanya terakam

tidakkan hancur luluh

dikunyah ditelan

cecacing ghaib globalisasi.

Semsas, Kuantan

2 Oktober 2010.

Tuesday, October 5, 2010

Si Cantik Si Jelik

sajak ini disiarkan dalam http://perbudiman.blogspot.com/

Si Cantik Si Jelik



Si cantik
dan
si jelik
diam dalam diriku.

Si cantik buat kumenarik
si jelik buat kusebalik.

Si cantik buat kuindah
si jelik buat kuhodoh.


Si cantik buat kughairah
si jelik buat kugundah.

Si cantik buat kumegah
si jelik buat kumuhasabah.

Si cantik jelik.
si jelik cantik.


Semsas, Kuantan
04092010

Sunday, October 3, 2010

Beku

Aku semakin membeku
walau aku tidak mahu membeku
bukannya aku di kutub utara
mahupun kutub selatan
kepanasan tidak mampu
menghalang kebekuan ini
mampukah aku bertahan?

30ktober2010
sudahlamatidak
mengutipgetah...bukukebuku?)

Friday, September 17, 2010

Tunggu


Aildilfitri semakin berlalu
mengukir kenangan syahdu
Pulau Pinang pengubat rindu
mengumpul beribu-ribu kenangan lalu
kerja sudah menunggu.

17092010
cutipenuhmakna...
bersyukur ada kerja...

Thursday, September 9, 2010

Aidilfitri

Kuhulur sepuluh jari mohon dimaafi
andai kata bisa menusuk hati
andai tingkah berparut di hati
Selamat Hari Raya Aidilfitri
.

09092010
nostalgiaraya...

Monday, September 6, 2010

Hati

kepenatan kerana memandu
( gambar: tidur sekejap boleh?)

Ramadan Yang Diberkati

Syawal yang dinanti
hati-hati
memandu seorang diri
membawa keluarga yang disayangi
ingat-ingat yang menanti
mengantuk pastikan berhenti
jalan raya bukan milik diri
hindari membuli
melebihi had laju ibarat membunuh diri
sayangi keluarga dan nyawa sendiri
ingat-mengingati sesama sendiri
selebihnya?
atas pertimbangan sendiri.

07092010
hati-hatikeranakitapunyahati

Bernafas

Pagi ini
masih awal
masih lagi Ramadan
masih lagi diizinkan-Nya bernafas
masih lagi terdengar kicau murai
masih lagi bisa bersuara
Alhamdulillah.

07092010

Kenal

Kenali diri sendiri
pasti lebih mengerti.

06092010

Friday, September 3, 2010

Menyapa Sungai Melaka

Sajak ini disiarkan dalam http://perbudiman.blogspot.com

MENYAPA SUNGAI MELAKA


Di loteng rumah limas Kampung Morten
cerah pagi mengintai di celah dinding
bayu memujuk menepuk-nepuk bahu
mengajak duduk di tangga batu


menuruni anak tangga ke selasar serambi
berseranggung di tangga kesejukan
menyapa Sungai Melaka dimamah usia
melimpah ruah kesabaran berkampung
melayani cucu cicit anak kandung
Tun Teja, Tun Jebat, Tun Tuah
Tun Kudu, Tun Mutahir,
Tun Ali, Tun Fatimah

mata meliar-liar tercari-cari
belacak hodoh
dan udang galah sepit biru
yang menghilang dibaham
gelojoh algojo modenisasi



Kg. Morten
02062008

Cuti

Cuti
untuk disi
yang pasti
dihargai
cukup
untuk refleksi diri.

04092010

Tiga Puluh Satu

Satu pagi tiga puluh satu
bicara ustaz
bebaskan dirimu
daripada belenggu nafsu
daripada penjajahan syaitan.

03092010

Monday, August 23, 2010

Sabar

Kemarahan selalu sahaja menguji kesabaran
Adakalanya aku tersungkur ditendang baran
yang mengikut.

23082010

Saturday, August 21, 2010

Friday, August 20, 2010

Jaga

Jaga mata, elak pandang tak tentu hala
Jaga telinga, elak dengar orang mengata
Jaga mulut, elak menghasut
Jaga tangan, elak ambil sembarangan
Jaga kaki, melangkah berhati-hati
Jaga perangai, jadi pandai
Jaga akhlak, jadi bijak.

21082010
Hormatijaga!

Banyak

Banyak kukehilangan
Ramadhan ini
semakin melewati.

20082010

Thursday, August 19, 2010

Mudah

Mengalah dimaknakan kalah
Diam dimaknakan salah
Marah dimaknakan cari salah.

Memaknakan nyata mudah.

20082010

Ramadhan

Ramadhan ini
siapakah aku?


1982010

Tuesday, July 27, 2010

Pandai

Pandai tidak memadai
pabila memandai-mandai
perangai diabai.


27072010
malambulanterang

Monday, July 26, 2010

Lalat Malam

Lalat malam
berterbangan
sekejap-sekejap
bertengger di lantai
merangkak mengejar anakku
lelah berhenti
menghambat lagi.


malam
26072010

Kucuba

kucuba
menyingkir seorang marah
seorang marah semakin ramah
"Marah!,"jerit sang amarah.
Wuduk! Kaucedok air di kolah!,
seru hamba Allah.


malam
26072010

Monday, July 19, 2010

muka surat tiga - Satu

Simpang ke Permatang Badak 1 KM. Kunampak dari dalam mobil. Satu mengingatkanku. Pagi tadi sewaktu menunggang motosikal, telefon bimbitku menyanyi-nyanyi. Sewaktu menegakkan diri menyanyi Lagu Negaraku, telefon bimbitku menyanyi lagi. Usai perhimpunan pagi,kuhubungi si pemanggil.

Ujarnya, awal-awal lagi isterinya mengingatkannya supaya menghubungiku. Ucapan Selamat Hari Lahir Setahun buat anakku. Angka Satu. Infiniti terima kasih Sensei Hamir, isteri dan anak-anaknya. Masihkah kauingat? Jika kaulupa perlu kaucatat. Nampaknya kena ingat dan catat tarikh penting kawan-kawan.

Selamat Hari Lahir buat anakku sekali lagi.Infiniti terima kasih buat isteri yang melahirkan zuriat yang sedang melambai-lambai ke arahku. Selamat hari lahir buat semua kerana setiap hari ialah hari yang istimewa buat seseorang.

19 Julai 2010

kisah hadapan mobil (3)

Saturday, June 19, 2010

Selamat Hari Bapa


Bapa menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (mukasurat 127) bermaksud ayah (maksud satu).

Dalam Tesaurus Bahasa Melayu Dewan Edisi Baharu, mukasurat 77, maksud satu menyatakan bahawa bapa seerti dengan ayah: abah, papa, ayahanda, orang tua, baba, bapai, bapanda, bapang, rama, aya.

Masih ada bapa? Hubungilah atau kunjungilah ketika ada. Pabila sudah tiada, doa anak yang soleh jawapan yang terbaik. Teringat lagu yang dialunkan Allahyarham Sudirman.


(gambar di atas: hari-hari hari ayah,
betul tak?)



sumber rujukan: http://www.liriklagu.com/liriklagu_s/Sudirman_AyahDanIb.html

Sudirman

Ayah Dan Ibu

ayah dan ibu
Itulah permulaan kami
Dapatlah melihat bulan dan
Matahari
Ahai...

Yang dikurniakan dari Ilahi
Ahai...
Ayah dan ibu lah
Mesti dihormati

Ayah dan ibu
Wali dan juga keramat
Pada mereka kita beri hormat
Ahai...
Bagilah tunjuk ajar dan
Nasihat
Supaya hidup
Supaya hidup kita akan selamat

Sumbangan Pheaze

Selamat Hari Bapa buat semua (termasuk diri sendiri). Insya-Allah, kita berusaha untuk menjadi bapa yang baik kepada anak-anak.

20062010
bapaadiwirakitasemua....



















































Thursday, June 17, 2010

Pagi Masih Berkabus

Pagi berkabus
ke kedai kopi berkendera
di samping anak kecil
tatkala menanti
roti canai kesabaran
kesedaran masih berkabus
asap sigaret dihembus
mengepul kegusaran
bungkusan kucapai
dan melewati.


18Jun2010
ingat-mengingati...

Wednesday, June 16, 2010

Duduk

Duduk di dalam mobil
terkebil-kebil
bebola mata bergerak
ke kiri ke kanan
ke belakang ke hadapan
kenderaan bagaikan
disusun-susun
waktu begini
selalunya kuhenyakkan
punggung ke kerusi empuk
di teratak.

Itulah Kuala Lumpur
sentiasa sibuk
bukan selalunya aku di sini.

16Jun2010
Kuala Lumpur.

Tuesday, June 15, 2010

Hati

Hati itu umpama pelangi
berwarna-warni
multidefinisi.

15062010
Taman Sentosa, Gombak

Wednesday, June 9, 2010

Sunday, May 16, 2010

Selamat Hari Guru


Menurut Tesaurus Bahasa Melayu Dewan Edisi Baharu (muka surat 280), perkataan guru bersinonim dengan pendidik, pensyarah, profesor, pengajar, penceramah, ustaz, ustazah, cikgu, mualim, kiai.
Walau apa-apa pun panggilannya, yang pernah menyampaikan ilmu, Selamat Hari Guru.

16Mei2010
GuruPembinaNegaraBangsa.

(gambar di atas: cikgu yang sedang mengajar cara-cara ambil hati kuda, minta maaf muka tak nampak...)

Thursday, May 13, 2010

muka surat dua- Malang

Definisi yang diberikan Kamus Dewan Edisi Keempat (muka surat 986), malang ialah nasib yang tidak baik (tidak beruntung), celaka, sial -maksud 2.

Mobil yang kupandu mengekor sebuah motosikal sebaik saja lampu hijau muncul sewaktu hendak pulang ke rumah. Mujur mobil yang kuhalakan ke selekoh kiri di laluan susur kiri agak jauh dengan motosikal yang tiba-tiba tumbang. Motosikal itu dipandu seorang anak muda dan pemboncengnya juga seorang anak muda. Kedua-duanya bangun perlahan dalam keadaan yang agak terpinga-pinga. Terkejut. Terhincut-hincut.

Betullah peribahasa Melayu, malang tak berbau, bermaksud kecelakaan yang tidak dapat diketahui sebelumnya. Yang pasti, apa-apa pun yang berlaku, ada yang tersirat daripada-Nya. Yang utama, kita tadahkan tangan memohon keselamatan di dunia dan akhirat. Wassalam.

13Mei2010
hampirkeharicikgu...
tiba2teringattragedi13mei, mohon dijauhkan berulang...

khm- kisah hadapan mobil (2)

Saturday, May 8, 2010

Selamat Hari Ibu

Buat ibu-ibu yang mengambil berat dan yang menyayangi anak-anak, Insya-Allah, tempatmu di syurga. Selamat Hari Ibu.

09Mei2010
Felda Bukit Damar

Tuesday, May 4, 2010

muka surat satu - Ibu

Ibu menurut Kamus Dewan Edisi keempat, muka surat lima lima tujuh, bermaksud:
I 1. orang yang melahirkan kita, emak
(sengaja memaparkan maksud satu)
Sebaik sahaja menekan brek pabila lampu merah menyala, seorang wanita memegang erat lengan anak gadis melintasi hadapan keretaku. Di minggiran jalan, dia mengucup pipi anak gadis dan melintas kembali ke seberang jalan. Dia mungkin seorang ibu.
Sebaik sahaja aku mendukung anakku yang mengantuk, tangisannya semakin menaik kerana mahu ibunya di samping, mendukung dan meninabobok.
Ibu, mak, ma, mama, mami, umi (Arab), amma (India), mutter (Jerman), haha(Jepun), nanai dan inang (Filifina) ialah perkataan yang tidak pernah jemu diujarkan (terima kasih kepada anak-anak didik 1 Makmur yang sudi berkongsi maklumat tentang panggilan ibu).
Hmm, bilakah kali terakhir menghubungi ibu? Terfikirkah kalian? Jelas. Jumaat (cuti Hari Hol negeri Pahang) wajib balik ke kampung. Selamat Hari Ibu buat ibu-ibu dan Al-Fatihah buat ibu-ibu yang pulang kepada Maha Pencipta.
04Mei2010
jombalikkampung...

khm- kisah hadapan mobil (1)

Teringin untuk mencoret... khm- Kisah Hadapan Mobil

teringin untuk mencoret kerana sudah lama tidak mencoret.... ayuh... kunamakannya khm-kisah hadapan mobil

Sunday, April 25, 2010

Tuesday, April 6, 2010

Bicaralah

Bicaralah
jika bisa
menghadiahkan
walau satu kebaikan
kepada yang
bernama manusia.

07042010

Thursday, March 4, 2010

Tunas Cipta Mac 2010



Ulasan Sajak (m/s 8 -11)

Tenunan yang mengindahkan Sajak

Oleh A.HALIM ALI

Sebahagian petikan ulasan:

Beberapa buah sajak lain yang turut memanfaatkan gaya yang baik dengan penggunaan diksi yang ekonomik ialah sajak “Secebis Nikmat” karya Khairul Hakimi Mansor, “Hati-hati Hati!” karya Noor Syawalizda Ghazali @ Mohd Zain, sajak “Lawan” oleh Aidil Khalid dan sajak “Sungai yang Mengalir Deras” karya Aediasri Abdullah.

Sejauh manakah sajak “Secebis Nikmat” karya Khairul Hakimi dapat ditanggapi bernilai estetik? Setelah mengamati sajak ini, pembaca akan terkesan nada sinis sebagai kesan tidak langsung sindiran penyajak kepada sikap manusia yang dibaluti kesenangan yang sedikit dan palsu berhadapan dengan realiti kehidupannya. Penyajak menggunakan teknik binari opsisi dalam mendepani sindiran dan makna sajak, iaitu mempersetentangkan pengemis berkudis dengan si cantik manis berlipstik. Selain teknik ini, penyajak menyepadukan pengguna diksi biasa tetapi mengesankan dengan kritikan sosial. Penyajak menyusun tenunan gaya dan sindiran dalam diksi yang penuh makna sebagaimana contoh berikut;

Pengemis berkudis
melemparkan senyuman tulus
si cantik manis
menjodongkan bibir
bersadur gincu keegoan.
Cetus hati pengemis berkudis
manusia hilang budi
dek nikmat yang secebis.

(b.9-16)

Sunday, February 21, 2010

KOPI DAN FOTOKOPI - Beritan Harian (21 Feb 2010)

Kopi dan Fotokopi

Budak pembancuh kopi
dan
budak fotokopi
membicarakan kesulitan dunia.

Pemanasan global
yang terumbang-ambing
politik
yang mengelirukan
peperangan
yang tak pernah keletihan
jenayah
yang tak serik mengancam.

Budak pembancuh kopi
di syarikat akhbar
budak fotokopi
di universiti.


07022010
Taman Sepakat

Wednesday, January 27, 2010

Secebis Nikmat - Tunas Cipta, Februari 2010

Pengemis berkudis
Si cantik manis
Di stesen bas kota materialistik
Bertemankan curahan hujan

Si cantik manis
Mengerling sinis
Pengemis berkudis
Mengeropeng kudis kering

Pengemis berkudis
Melemparkan senyuman tulus
Si cantik manis
Menjodongkan bibir
Bersadur gincu keegoaan

Cetus hati pengemis berkudis
Manusia hilang budi
Dek nikmat yang secebis

Kuantan

Tuesday, January 26, 2010

Anak Jong Berlabuh -Berita Harian (24 Januari 2010)

Menjelang umur sepuluh
anak jong berlabuh
dirempuh
khabar pemergian ayah
hati teguh luluh

sesudah subuh
memercik peluh tanpa keluh
menjaja kuih jerih-perih

Tutur ibu
bersungguh-sungguh
ilmu itu penyuluh
jangan kauulang kisah
si Tenggang
nakhoda angkuh
diam membatu
dek sumpahan ibu.

17012010
Kuantan, Pahang

Monday, January 4, 2010

But Serdadu

BERITA HARIAN – 03 JANUARI 2010

But Serdadu

Biarpun but serdadu
tembuk berselimut habuk
di dalam gubuk buruk
dikunyah bubuk usia.

Masih sesegar pohon ingatan
mengekarkan kudup sanubari
memekarkan kuncup sukma
semerbak haruman
kelopak jasa.

Semsas, Kuantan.

Anak Kecil Ghairah

BERITA HARIAN – 27 DISEMBER 2009

Anak Kecil Ghairah

Pertama kali di atas awan
anak kecil itu
ghairah sekali melepaskan
peluru-peluru soalan
melihat awan-awan gebu
putih
bak kekabu kekapas kapuk
yang memutih
terbang mngikut angin
di rumah atuk
yang sudah lama tidak
dijengah
ibu hanya mengunci
bibir merah amarah.

Kuala Lumpur

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-gal...