Translate

Tuesday, July 18, 2023

Hijrah

Hijrah satu teladan
untuk kita hadapi kehidupan.
Hijrah banyak pengajaran
supaya kita tak salah jalan.
Ujian tinggikan iman
bukan tanda Allah SWT tak sayang.
Kesabaran dan kesyukuran
tak boleh lepas daripada genggaman.
Makin hampir dengan Tuhan
makin nampak banyak kebenaran.
19 Julai 2023
Sungai Soi 
Khairul Hakimi Mansor

Saturday, July 15, 2023

Luar Biasa

Perjuangan itu bukan saja di dalam gelanggang, malah juga di luar gelanggang.
          Kekuatan setiap orang itu digembleng bersama-sama menbentuk kerjasama. Kerjasama itu dapat menggerakkan apa-apa saja kerja dan mengatasi segala halangan mendatang. Bahu-membahu membolehkan segala-gala berjalan dengan lancar, Insya-Allah. Apa-apa yang datang dapat diselesaikan bersama bak aur dengan tebing. Sekecil-kecil kerja sehinggalah sebesar-besar kerja, dapat dilakukan dengan penglibatan semua. Tak ada perkara yang tak boleh dibincangkan kerana melalui perbincanganlah kata sepakat yang terbaik akan dicapai. Segala pengalaman yang ada pada setiap orang amat berharga dan setiap pendapat itu perlu didengari kerana pengalaman itu akan membantu menggerakkan satu-satu program menjadi lebih lancar.
          Perjuangan itu memerlukan setiap orang daripada kita untuk bekerjasama. Tanpa kerjasama kita tak akan ke mana-mana. Kerjasama itu membuatkan semua perkara menjadi hebat dan luar biasa, Alhamdulillah. Tahniah kepada semua!

Thursday, July 13, 2023

Ukhuwah

Selagi wisel penamat belum ditiup, selagi itu semangat mesti dan terus menyala.
           Kejar mengejar berlangsung hampir sepanjang masa, begitu juga dengan pungutan mata. Yang bermain berkobar-kobar, yang menyaksikan berdebar-debar. Sorakan demi sorakan disusuli laungan semangat, bermandi peluh yang sedang berjuang. Bola dilantunkan berkali-kali, dibaling, dilontar, diacah-acah, dirampas dan ditepis tanpa henti, itulah antara yang berlaku setiap kali pertembungan antara pasukan.  Bertemu buku dengan ruas, bertambahlah sengit perlawanan dan setiap saat menjadi genting bagi setiap yang ada di gelanggang, begitu juga yang di luar gelanggang. Emosi dan akal saling bertembung dan berselisih, siapakah yang akan berjaya menguasainya?
        Segenting mana pun pertembungan atau situasi, akhirnya ukhuwah akan tetap terus menyala dan bersinar di dalam gelanggang dan di luar gelanggang. Kemenangan tetap diburu dan terjalinnya ukhuwah itu pun sudah satu kemenangan besar untuk kita semua, Alhamdulillah.


Wednesday, July 12, 2023

Selamat Berjuang

Semalam, semua pasukan telah tiba. Pastinya persediaan untuk hari ini telah bermula sejak awal.
          Semua bersiap bersedia untuk menjadi Johan. Semua perlu menunjukkan kehandalan dan keunggulan. Setiap pasukan mempunyai jagoan masing-masing. Masing- masing ada ayam tambatan. Jaringan yang sangat  banyak itulah yang dicari dan kemahiran yang ditunjukkan sudah tentulah sudah diasah dengan begitu lama, jika tidak pasti akan 'berkarat'. Pastilah kita sering mendengar kata-kata Lao Tzu, "Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah." Kata Ralph Waldo Emerson, "Tidak ada perkara besar dapat dicapai tanpa keghairahan." Maka, latihan tetaplah terus giat berjalan untuk mencapai matlamat yang telah diputuskan bersama-sama.
           Begitulah kita setiap hari, persediaan mesti ada untuk mencapai apa-apa yang kita inginkan. Apabila kita telah bersedia dan melaksanakannya dengan tekun, kita telah pun menjadi pemenang kerana orang yang menang sentiasa ada impian untuk dicapai, tetap berusaha untuk menggapainya walau jatuh banyak kali dan tak putus  untuk terus bangkit. Selamat Berjuang!


Sunday, July 9, 2023

Nikmati


Menikmati kopi, menikmati sisa cuti sakit dan menikmati pembacaan, dalam masa yang sama fikiran terus berjalan.
          Begitu juga dalam perjalanan, mesti singgah minum kopi dan makan, saat yang paling menggembirakan apatah lagi apabila perut benar-benar lapar. Cari tempat makan itu sebahagian daripada perjalanan jika ke mana-mana saja. Jika dulu-dulu, banyak terpaksa mencari dan bertanya kepada yang sudah biasa pergi ke sesuatu tempat, sekarang terokai saja media sosial dan internet, pasti banyak tempat untuk diteroka dan lihat saja komen-komen, boleh buat pilihan dengan cepat. Nak makan apa-apa,  ikut selera, banyak pilihan, dapat memenuhi kehendak semua yang ada. Tempat yang luas kegembiraan bagi anak-anak, walau hujan, itu bukan masalah. Sudah buat pilihan, nikmati nikmatnya hidangan sambil menikmati pemandangan.
          Hidup mesti dilalui dan dinikmati walau dengan secangkir kopi, ceritanya tak akan pernah habis, ada pahit dan ada manis, walau kopi sudah habis.
          

Thursday, July 6, 2023

Anai-anai Buta

Walau bagaimanapun cara,
mencari  merdeka dengan merah darah,
mencari merdeka dengan siasah musyawarah,
penghujung tak seharusnya:
hanya zahir yang merdeka,
yang masih terjajah sukma,
berwatak berjiwa penjajah,
menjarah anak watan yang lupa daratan
di tanah air sendiri persis kolonis,
bersekongkol berbalah bercakar
 sesama sendiri,
dan masih kuingati lagu yang dialun
sejak kecil yang berakhir dengan kesan,
"bumi dipijak millik orang!"
Tualang yang tegap
kan punah rebah dek anai-anai buta!

Saturday, July 1, 2023

Al-Fatihah

10 Jun 2023 (Sabtu) kami bergegas ke Simpang Pelangai dan dua hari lepas, 30 Jun 2023 (Jumaat) , Aidiladha kedua kami bergegas ke Sungai Petani. Perjalanan mengejut.
          Kali terakhir  kami berjumpa Pak Lang Awang Dan Mak Teh Melah sewaktu kenduri rumah Pak ndak Leh, 4 Mac 2023. Kedua-duanya telah diambil pergi, sudah sampai masanya, meninggalkan kami semua, Al-Fatihah. Sewaktu ke Simpang Pelangai, kami sempat melihat Pak Lang Awang buat kali yang terakhir dan sewaktu ke Sungai Petani, Mak Teh Melah telah selamat dikebumikan. Jumaat yang mulia, hujan mengiringi kami sampai. Keluarga Mak njang Liah Dan keluarga Cik Kob sampai lebih awal. Keluarga Pak Su Karia dan keluarga Di pun sudah ada.
        Yang telah pergi, tetap kita ingati, kita pun akan pergi juga. Hanya kenangan yang tinggal untuk kita simpan. Bersama-samalah kita menikmati dan menghargai saat-saat kita bersama sebelum masa itu berlalu pergi. Al-Fatihah untuk yang telah meninggalkan kita.


Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...