Translate

Thursday, November 30, 2017

Selawat

Malam isnin subuh yang indah
Dua belas Rabiul’awal yang cerah
Dua puluh april tahun gajah
Lahirlah zuriat dan syahadah

     Di sekolah dulu, lagu kumpulan Al-Mizan kami nyanyi. Melalui nyanyian, kami dapat ingat maklumat yang ada dalam lagu tentang Nabi Muhammad saw.
    Marilah kita berselawat pada setiap hari dan pada hari kelahiran nabi kita, Nabi Muhammad saw.

Lantai

Untuk buat achik lebih tenang, ayah beli buku dan pensel warna di SMO. Khusyuk dia mewarna di atas kerusi di tepi Parkson.
       Masuk ke Aeon Big, sebelah tangan memegang buku dan sebelah lagi menggenggam pensel warna. Sempat lagi masa berdiri dia pegang buku dan mewarna. Bagus juga Aeon Big buat ruang untuk anak-anak sebab ayah tengok masih banyak ruang kosong. Mesti lagi ramai orang datang sebab ayah-ayah boleh tunggu anak dan emak-emak boleh membeli-belah.
        Apabila kita suka sesuatu, kita akan lakukan di mana-mana sahaja tanpa mengira tempat walaupun di atas lantai Aeon Big, tempat orang lalu-lalang.

Wednesday, November 29, 2017

Lekang

Abang-abang tidak ada di rumah. Achik pun 'melekat' dengan ayah dan umi.
     Setelah lama tidak menjelajah ECM, rupa-rupanya sudah ada kedai buku di sebelah GSC. Kami pun masuklah ke dalam dan achik pun 'lekang' sekejap daripada ayah dan umi.
     Kedai buku SMO (Syarikat Muda Osman Sdn. Bhd.) di Aras 3 ini menyediakan tempat duduk dan bermain untuk anak-anak. Ibu-ibu dan ayah-ayah bolehlah memilih buku sementara anak-anak bermain.
      Jika tidak,  umi dan ayah  boleh juga duduk berehat sekejap sambil bermain setelah penat mengejar anak-anak yang tidak reti berjalan.

Gumpal

Hari ini tiga tahun lepas, kami berada di MAHA.
    Hari ini, angah dan along masih di kampung bersama dengan sepupu meneman opah dan atuk. Empat orang budak lelaki, rumah bagaikan mahu pecah. Kerenah anak-anaklah yang akan memecahkan suasana. Bergaduh dan berbaik semula itu perkara biasa bagi anak-anak. Kalau tidak bergumpal pula bukanlah lelaki namanya.
      Begitulah apabila jarang-jarang berjumpa dan ada satu peribahasa Melayu yang berbunyi, jauh bau bunga, dekat bau tahi. Yang ini kita mahu elakkan dan inilah pentingnya saling memahami dalam perhubungan.

Friday, November 24, 2017

Sejuk

Alhamdulillah. Minyak turun 8 sen jadi 2.30 seliter. Minyak dalam tangki naik sedikit dan cuti sekolah pun bermula.
           Hujan mencurah-curah dan ada juga tempat kering. Untuk sampai ke KL jenuh juga dalam cuaca begini. Boleh tahan sejuknya. Tidak boleh dibayangkan tanpa baju sejuk atau selimut. Tidak boleh dibayangkan kesejukan yang dihadapi mangsa-mangsa perang di Syria pada musim sejuk.
         Dalam Harian Metro bertarikh 21 September 2017, artikel yang bertajuk 'Sasar RM4j Bantu Rakyat Syria', Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki  menyatakan bahawa orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Syria Care menerusi akaun CIMB Islamic bank 8601894560, Maybank (562106653575), RHB Bank (26115000021775).  
          Maklumat lanjut  boleh didapati menerusi Facebook Syria.Care atau hubungi 011-28809820.
    

Thursday, November 23, 2017

Hari Ini Dalam Sejarah

Hari Ini Dalam Sejarah biasanya ayah dengan dalam radio RTM selepas berita 7 pagi. Perkara yang dilaporkannya ialah perkara yang bersejarah dalam Malaysia yang berlaku pada hari dan bulan yang sama pada hari itu.
       Bagi orang yang ada 'Facebook', 'Facebook' akan melaporkan peristiwa, gambar atau kata-kata yang telah kita pos tahun lepas atau tahun-tahun sebelumnya. 'Facebook' juga berfungsi seperti Hari Ini Dalam Sejarah.
        'Facebook' menunjukkan bahawa pada tahun lepas juga ayah salah memakaikan baju pada Naufal kerana hari Rabu dia sepatutnya memakai baju sukan. Nampaknya sudah dua tahun dia berbeza daripada orang lain ketika jamuan akhir tahun.
         Sejarah tidak akan menipu. Hujung tahun mungkin banyak kerja atau banyak  perkara yang perlu difikirkan. Kata New Boyz, sejarah mungkin berulang  dan kata ayah, sejarah telah berulang. Ayah berharap, cerita ini tidak berulang lagi tahun  hadapan, Insya-Allah.
       Mengekeklah ayah dan umi melihat gambar tahun lepas dan tahun ini. Ayah tetap rasa bersalah.

Tuesday, November 21, 2017

Tengok Dulu

Semua sudah ada di rumah. Kembali meriah dengan jeritan serta tangisan.
     Kami ke Kuantan City Mall. Parkir di tingkat atas, tak silap ayah P5 yang  dekat dengan surau. Kami turun ke bawah naik lif. Suara anak-anak semua orang boleh dengar dan begitulah ke mana-mana pasar raya. Mungkin mereka nampak macam taman permainan yang begitu luas.
     Umi tunjuk kepada ayah satu kedai. Umi cakap mesti ayah suka. Sampai muka pintu, ayah cakap buat apa ayah nak suka kedai yang nampak macam kedai bunga dari luar.
    "Masuk ke dalam kedai  dan tengok dulu," kata umi.
      Akhirnya, ayah yang rasa seperti tidak mahu keluar kerana ada buku-buku untuk melukis yang menarik, ada lukisan-lukisan yang digantung di dinding dan jam-jam bercorak yang memikat hati. Kaison nama kedainya.
       Disebabkan namanya Kuantan City Mall, ayah pun mahu memetik satu baris kata Inggeris, 'don't judge book by its cover'.

Monday, November 20, 2017

Matahari Terbit

Rezeki Allah bagi dalam macam -macam bentuk. Antara rezeki yang paling berharga ialah tubuh badan yang sihat atau kesihatan yang baik.
      Pagi tadi ayah makan nasi goreng dan pulut panggang dan air yang orang kantin pun tahu, kopi 'o'. Jika orang tidak ramai, air kopi 'o'  sampai dahulu di atas meja sebelum sempat ayah sampai membawa makanan.
     Sedang ayah sibuk ke hulur ke hilir selepas balik dari kantin, kawan ayah, Pok Nik memanggil ayah dan mempelawa ayah makan kuih dari negara Matahari Terbit. Dia dan kawan-kawan ayah yang lain serta anak murid baru balik dari Jepun.
       Ayah tak ingat nama kuih yang disebutnya. Yang ayah ingat dorayaki dalam cerita Doraemon.

Friday, November 17, 2017

Semak

Apabila balik kampung, antara aktivitinya ialah menebas. Dulu-dulu guna sabit kecil, sekarang sabit kecil masih menjadi alatan  wajib di rumah atuk.
      Pokok-pokok kecil liar seperti senduduk, pokok kapal terbang atau pokok yang daun yang berbulu halus (ayah tak tahu namanya dan di ladang sawit cukup banyak) cukup mudah tumbuh.
      Lalang lagilah mudah tumbuh dan merebak. Yang menjalar seperti pokok pelas (atuk yang beritahu namanya) membelit pagar. Daun dan batangnya kasar dan mudah untuk melukakan atau meninggalkan kesan merah pada kulit kita.
        Atuk pula memotong rumput menggunakan mesin rumput. Ayah membiarkan sahaja semak
di  satu tempat pokok merimbun kerana di antara pokok merimbun dengan pokok nanas ada ayam hitam tengah mengeram.
       Teringat pantun dulu-dulu pasal ayam.
              Dalam semak ada duri,
                     Ayam kuning buat sarang;
              Orang tamak selalu rugi,
                    Bagai anjing dengan bayang.

Semak

Banyak cara untuk menyambut hari lahir. Hari lahir juga membolehkan kita mengajar anak-anak mengira. Misalannya, tujuh tolak berapa jadi lima?
     Pagi semalam, ayah keluar sekejap dengan izin untuk ke sekolah angah, ada Hari Pelaporan Akademik. Selesai di sana, ayah kembali ke tempat kerja bersama dengan angah. Sementara ayah meneruskan kerja, angah duduk di tempat sambil menunggu along yang akan ke tempat ayah.
     Selepas solat Jumaat, kami bergegas pulang ke kampung. Setelah separuh perjalanan mengharung hujan lebat dan air hujan yang bertalu-talu mengetuk cermin hadapan kereta, kami sampai di Temerloh yang mendung, Alhamdulillah. Kami singgah di kedai kek.
      Kami meneruskan perjalanan, akhirnya sampai  dalam cuaca gelap dan hujan kembali. Kek diletak di ruang tamu dan angah bersedia dengan pemotong kek. Umi  bertanya kepada ayah tentang 7 tahun yang tertulis pada kek.  Ayah tahu angah mesti tahu tujuh tolak dua jawapannya lima. Angah cakap tak apa dan ayah rasa lega bercampur rasa bersalah.
       Nampaknya ayah sudah lupa peraturan yang selalu ayah tegaskan setelah selesai tulis atau menjawab:
                         "Semak Kembali!"
   
      Selamat Hari Lahir Angah. Moga jadi anak yang soleh, Insya-Allah.

Thursday, November 16, 2017

Ganti

Semalam along sakit gigi. Katanya giginya sudah longgar . Ayah cakap biar ayah cabut macam dalam cerita Upin Ipin. Ikat tali, tolak pintu.
      Malamnya, ayah bawanya ke klinik gigi di UTC selepas telefon umi. Pukul 8 baru buka, kena beratur dahulu. Seronok apabila ada barisan. Setelah mendaftar, dapat nombor 188. Nombor dipanggil, kami pun masuk.
       Doktor cakap gigi along baru longgar sedikit, perlu dicucuk dahulu. Selesai dicucuk, baharu doktor cabut. Biasanya tidak pernah kena cucuk. Itu pengalaman baharu yang pasti diingatinya.
        Selepas itu, singgah makan di Giant dan sebelum masuk pintu Giant, kami singgah beli aiskrim. Ya, orang baru cabut gigi kena makan aiskrim. Itu pengalamannya sebelum ini.
        Hari ini, abang sudah beli gigi baharu untuk 'ganti' gigi susunya yang telah dicabut.

Ganti

Semalam along sakit gigi. Katanya giginya sudah longgar . Ayah cakap biar ayah cabut macam dalam cerita Upin Ipin. Ikat tali, tolak pintu.
      Malamnya, ayah bawanya ke klinik gigi di UTC selepas telefon umi. Pukul 8 baru buka, kena beratur dahulu. Seronok apabila ada barisan. Setelah mendaftar, dapat nombor 188. Nombor dipanggil, kami pun masuk.
       Doktor cakap gigi along baru longgar sedikit, perlu dicucuk dahulu. Selesai dicucuk, baharu doktor cabut. Biasanya tidak pernah kena cucuk. Itu pengalaman baharu yang pasti diingatinya.
        Selepas itu, singgah makan di Giant dan sebelum masuk pintu Giant, kami singgah beli. Ya, orang baru cabut gigi kena makan aiskrim. Itu pengalamannya sebelum ini.
        Hari ini, abang sudah beli gigi baharu untuk 'ganti' gigi susunya yang telah dicabut.

Tuesday, November 14, 2017

Hidup

Apa khabar agaknya Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Lekir?
      Adakah nama mereka berlima masih meniti di bibir-bibir kita atau di bibir-bibir anak kita? Masih adakah walau secebis semangat mereka dalam diri kita? Adakah mereka berlima masih 'hidup' dalam diri kita semua?
      Anak-anak kita seharusnya mengenal mereka kerana mereka ialah kita. Kita ialah mereka. Antara peribahasa tentang pahlawan  ialah  bagai kucing main daun membawa maksud perihal kehebatan rupa dll seseorang (pahlawan)(Kamus Dewan Edisi Keempat).
Kita seharusnya mengingati mereka berlima kerana kita tidak mahu menjadi bangsa yang merdeka tanpa jiwa.                                                                                                 Mungkinkah anak-anak kita akan mengenali Hang Tuah dalam 'Mobile Legends' ? Adakah watak Hang Tuah telah dihidupkan dalam 'Mobile Legends' ? Ayah belum sempat mendapatkan berita terkini tentangnya dan ayah pun tidak bermain lagi permainan itu.

    

Sunday, November 12, 2017

Sama

Semalam ayah dan umi membawa Hana ke Klinik Sulaiman Temerloh.
      Alhamdulillah, selesai urusan di klinik tersebut, kami singgah di Semantan Walk dan kemudian Anakku. Waktu ayah parkir berhampiran stesen bas, penuh burung merpati sedang makan.
      Teringat pula ayah filem Dilwale Dulhania Le Jayenge (DDLJ). Teringat babak ayah Simran yang sedang memberi burung makan berborak dengan Raj. Merpati nampak sama sahaja. Entah-entah ada yang datang dari India.

Friday, November 10, 2017

Bukit

Semalam ayah mahu ke Pos Laju Bukit Ubi. Pernah sekali ayah ke sana.
       Ayah pun memandu dengan penuh keyakinan masuk ikut bandar dan terus ke jalan menghala ke Giant dan membuat pusingan. Yang nampak ialah persimpangan Bukit Setongkol. Sudah silap nampaknya dan perjalanan harus diteruskan menghala ke Indera Mahkota. Ayah berpatah balik menghala ke bandar Kuantan dan akan bertemu dengan Bukit Ubi.
       Sebut pasal bukit, ayah teringat bukit bukau. Bukit bukau nampaknya seperti kata ganda tetapi sebenarnya kata majmuk kerana bukau mempunyai maksud. Bukau bermaksud lembah (Kamus Dewan Edisi Keempat).
           Pulang ke kampung petang itu melalui lebuh raya dan ayah memperlahankan kereta tatkala melalui Bukit Gambang kerana anak-anak boleh melihat haiwan liar seperti kuda belang dari jauh. Dari atas bukit memandang ke lembah.

Thursday, November 9, 2017

Resah

Harga minyak naik lagi. Aras minyak dalam kereta semakin turun. Naik 7 sen menjadi RM 2.31 seliter. Ayah isi RM 50 dapat 21.65 liter. Hujan pula turun lebat betul petang tadi.
        Walaupun hujan, Shahid dan Naufal tetap bersemangat. Sebelum sampai rumah, mereka melihat awan putih di langit yang semakin cerah. Macam lagu lirik lagu Joe Flizzow, Altimet, Sonaone & Faizal Tahir - Negaraku lah pula.
        'Awang Hitam kaji awan putih bila belayar'

         Mereka tengok langit semakin cerah dan hujan perlahan-lahan semakin beransur. Mendung setia menemani  sejuk  yang masih terasa.
           Setelah bersiap, kami mengayuh kenderaan yang tiada bertangki dan kami begitu lega serta gembira pabila turun dari jalan yang sedikit tinggi.
         Kami begitu resah serta gelisah tatkala naik jalan yang meninggi namun kayuhan  perlu diteruskan walau terpaksa.

Wednesday, November 8, 2017

Pusing

Petang tadi kami mula pusing taman. Bukan main gembira Shahid setelah dua hari mengayuh basikal di lorong yang sama sahaja.
        Hari ini ayah mengumumkan bahawa ayah kembali daripada persaraan mengayuh basikal. Ayah mengiringi Shahid naik basikal dan Naufal membonceng di belakang. Dari lorong ke lorong kami mengayuh dan ada masanya Shahid terbabas dan terbalik. Itu satu pengalaman.
         Akhirnya, Naufal mengalah dan ajak kami balik kerana katanya dia sudah penat dan rasa mengantuk membonceng di belakang ayah. Shahid  pula sudah tidak sabar menunggu hari esok.
         

Tuesday, November 7, 2017

Lama

Terkenang semasa dulu
Hatiku merasa rindu

Suara yang mengalunkan lagu ini sungguh unik dan tengah hari tadi membuatkan ayah terkenang semasa dulu.
       Shahid mengeluarkan tiub belon kecil  dan straw kecil yang menjadi peniupnya. Belon ini mudah bocor dan kita boleh tampal lubang yang bocor menggunakan belon itu sendiri.
       Belon ini tidaklah tahan lama. Apabila semakin mengecil, belon ini ayah akan picit atau ditekan pada dahi untuk menghasilkan bunyi kecil.
       "Shahid ingat ni benda baru," katanya.
       "Dah lama dah," balas ayah.

Monday, November 6, 2017

Rindu

"Sunyi bila umi tak ada," kata Shahid.
"Naufal dah mula rindu umi," kata Naufal.
         Kedua-duanya ya. Yang kedengaran hanya suara kami ketiga. Tidak pun, mereka berdua berebut-rebut tidak mahu mengalah untuk bercerita kepada ayah.
        Petang tadi, ayah  dengan Oren menunggu di tepi jalan di depan rumah. Shahid mengayuh basikal sampai ke hujung jalan dan Naufal berlari mengejarnya. Jika tidak, Thalhah akan ikut serta.
        Lepas bermain, semua masuk ke rumah dan kembali menghitung waktu menunggu Jumaat untuk ke rumah opah. Umi, Thalhah, Hana, Opah dan Atuk menanti di sana.
        

Serik

Malam tadi, ayah menyidai kain. Tidak ada pula si Oren.
      Selalunya, buka pintu terus masuk rumah. Bunyi pun tidak dengar. Waktu petang kami sampai, dia memang ada. Ayah pun pelik. Setelah sidai kain, ayah masuk rumah. Ayah baru teringat, along mahu ambil bekas pensel dalam kereta. Ayah suruh along buka kereta. Sebaik sahaja along buka pintu kereta, menerpa Oren keluar dari kereta. Lama juga dia terkurung di dalam kereta.
        Alhamdulillah, Oren sudah dijumpai dan ayah tidak tahu sama ada dia masih lagi mahu bermain di dalam kereta atau sudah serik.

Doa

Hidup itu satu perjuangan. Penuh dengan ujian.
      Pagi tadi berita di saluran radio RTM melaporkan 7 kehilangan nyawa kerana banjir di Pulau Pinang. Walaupun banjir, anak-anak yang mengambil SPM tetap menjalani peperiksaan tersebut.
      Mereka menjalani ujian dalam ujian yang menimpa. Bersyukur bagi yang menjawab soalan peperiksaan  SPM pada hari ini dalam keadaan tenang tanpa musibah.
      Bersama-samalah kita mendoakan calon-calon SPM supaya sabar dalam apa-apa jua keadaan dan dapat menjawab dalam keadaan yang tenang, Insya-Allah.
    

Saturday, November 4, 2017

Batik

Apa  kemudahan lain di Serambi Teruntum ? Berhadapan kedai makannya di sebelah belakang, ada tempat anak-anak bermain dan terdapat surau serta tandas. 
      Semalam, di dalam bangunan di ruang tengah, anak-anak sibuk mewarna menggunakan pasir halus yang berwarna, ada demontrasi ukiran kayu dan juga mewarna batik.
       Seni? Ayah dan anak-anak cukup teruja. Ayah menyuruh along dan angah mewarna batik. RM 18 sempena Karnival Sehati @ RTM Moh La Weh. Ayah hanya memerhati. Along dan angah diajar menggunakan warna. Encik Zam turut mengajar along dan angah. Di samping melihat mereka, ayah ralit memerhati Encik Mat dari Bukit Kuantan mengukir.
      Seperti biasa, kanak-kanak masih kurang  logik dalam diri mereka dan ini membuatkan lukisan mereka unik. Mereka tidak peduli atap warna apa atau apa-apa sahaja. Yang mereka pentingkan ialah keseronokan. Along dan angah kusyuk mewarna batik.
     Moh La Weh ke Serambi Teruntum.

Temosa Raja

Moh la weh ke Serambi Teruntum. Sudah berada di Karnival Sehati @RTM Moh La Weh di Serambi Teruntum, pastilah singgah di bangunan Serambi Teruntum.
      Boleh dikatakan Serambi Teruntum ialah mercu tanda baharu Kuantan. Serambi? Maksudnya selasar yang panjang ( bersambung dengan ibu rumah tetapi biasanya rendah sedikit)(Kamus Dewan Edisi Keempat). Rumah  kayu dulu-dulu ada serambi.
       Apa yang ada di Serambi Teruntum? Itu persoalan wajib. Jawapannya tentulah macam-macam ada. Makanan hasil laut memang banyak. Sambal hitam ada. Ayah sempat membeli Temosa Raja sejuk beku yang di dalamnya ada isi ikan dan telur. Puding Raja pun memikat selera.
      Pagi ini, Temosa Raja cepat habisnya dan yang masih tercari-cari Temosa Raja, Moh La Weh ke Serambi Teruntum.
        
     

Gerak Khas

Meriah. Itu perkataan yang sesuai setelah berada di Karnival Sehati @ RTM Moh La Weh. Abang dan angah pun suka sangat.
     Sampai sahaja tengah hari semalam, pelakon-pelakon Gerak Khas bersedia untuk bergambar dengan para peminat. Sudah lama ayah tidak tengok Gerak Khas. Zaman sekolah dulu ayah suka tengok AC Mizal berlakon jadi polis dan dia masih kelakar sampai sekarang.
      Apa lagi, ayah pun menyuruh along dan along menyertai yang lain-lain untuk  bergambar dengan pelakon-pelakon Gerak Khas.

Moh La Weh!

Dari atas jambatan Tanjung Lumpur, sudah nampak barisan kenderaan di tepi jalan di sebelah kiri.
     Ya, kami mahu ke situ. Di situ berlangsungnya Karnival Sehati@RTM Moh La Weh. Karnival merujuk kepada  pesta besar-besaran biasanya disertai perarakan, acara meriah, dsb (Kamus Dewan Edisi Keempat. Maksud keduanya pula ialah pesta ria bergerak.
     Bagi penggemar makanan, boleh singgah di sini bawa anak-anak untuk makan. Hari ini hari terakhir karnival ini ( 5 November 2017). Parkirnya banyak dan kenderaan pun banyak. Jangan risau, masuk ke dalam, Insya-Allah ada parkir.
      Moh La Weh!

Friday, November 3, 2017

Kolam

Asalnya, mereka tidak mahu ikut. Ayah cakap, balik nanti kita singgah Serambi Teruntum. Ayah tunjuk ke arah televisyen yang sedang bersiaran langsung dari Serambi Teruntum.
       Mereka setuju ikut ayah. Ayah pun membawa mereka ke Mawar Villa,  Batu Hitam. Ada Hari Keluarga tempat kerja. Terlajak sedikit kerana tidak perasan simpang ke tempat ini setelah melalui pantai Batu Hitam.
       Masuk sahaja ke Mawar Villa, sudah riuh-rendah suara anak-anak kedengaran. Malam tadi pula riuh-rendah dengan suara anak-anak di Anugerah Semarak Jasa dan Kokurikulum. Riuh-rendah ini menarik minat along dan angah kerana suara budak-budak mandi kolam.
       Ayah ke tepi pantai dan berborak. Along cakap dia mahu berbincang dengan ayah. Katanya, tak pergi ke Serambi Teruntum pun tak apa sebab dia mahu mandi kolam. Ayah pun tidak tahu ada kolam di sini dan mereka tidak bawa seluar atau baju mandi. Sebelumnya, ayah sudah cakap, jika basah kuyup tidak bolehlah ke Serambi Teruntum.
      Cukup gembira mereka dapat mandi kolam. Ayah pergi beli seluar, jika tidak, mereka 'kecut' kesejukan dan kusyen kereta pasti basah.

Mengapakah Masih?

 Kauseperti langsung tak cuba untuk mengerti sedangkan lama sudah kauberjanji memilih diam di tanah suci. Mengapakah  masih  kaunyalaka...