Translate

Saturday, October 30, 2021

Magis

Main bola, itu antara aktiviti di rumah Wan dan Atuk jika berjumpa sepupu-sepupu.
         Sebut saja main bola, apa-apa saja boleh terjadi. Gergasi bola sepak seperti Manchester United dan Bayern Munich pun boleh tumbang, dibolosi lima gol tanpa balas. Keserasian dalam pasukan itu penting, kadang-kadang keserasian itu boleh goyah atas faktor-faktor tertentu. Ayah tak pandai sangat main bola, tapi setahu Ayah, serasi itu boleh wujud dalam mana-mana kerja secara berpasukan. Tak serasi, tukar formasi, kadang-kadang kita berada di satu tempat tertentu tak menjadi, tatkala beralih tempat, serasi itu hadir sendiri.
         Keserasian dalam melakukan sesuatu itu kadang-kadang seperti magis, lahir daripada hubungan hati, sukar untuk ditafsir dan dimengerti.

Sunday, October 24, 2021

Dekat

Pagi-pagi lagi Umi tunjuk satu berita. Al-Fatihah, pengarah filem kesayangan kita semua, Abang Mamat Khalid telah meninggalkan kita.
       Cerita orang kampung, realiti yang berlaku dalam masyarakat dipaparkan dalam cara yang mencuit hati dan dialog-dialognya jika diteliti, banyak makna yang boleh diambil dan dihadam untuk dijadikan iktibar. Beliau mengangkat watak-watak biasa menjadi watak-watak luar biasa, beliau mengangkat orang-orang biasa menjadi orang-orang luar biasa dalam karyanya, akhirnya menjadi berkesan di hati semua orang dan terus diingati oleh semua khalayak.
        Yang bermula, pasti ada pengakhirannya, begitu yang akan terjadi kepada kita semua. Kehilangan yang tetap dirasai, walau tak pernah bertemu, tetap rasa dekat di hati. Moga Allah SWT menempatkannya di tempat yang terbaik.

Saturday, October 23, 2021

Mayat

Dah lama tak tengok persembahan teater secara langsung, petang tadi Ayah ke Taman Budaya.
     Pementasan Teater 'Mayat', karya Prof. Dr. Mohamad Hatta Azad Khan dipersembahkan oleh Kelab Teater Rajuk yang diterajui AK Hidayat dengan kerjasama JKKN Pahang. Tadi bermula pukul 3.00 petang, malam ini 8.30 malam dan esok pukul 3.00 petang. Pas masuk pula melalui pembelian buku program, hanya RM 5. Nak buat kenangan, boleh beli 't-shirt', hanya RM25. Kita semua bakal jadi mayat, bakal jadi jenazah, amat sesuailah  untuk menonton persembahan ini sebagai renungan untuk kita.
      Sejam dalam persembahan teater yang dirasakan sekejap itu sebenarnya melibatkan komitmen tinggi secara berpasukan, mungkin berminggu-minggu, satu atau dua bulan,  persembahan pula secara langsung di depan mata. Jom menonton 'Mayat'! 
       

Tuesday, October 19, 2021

Syukur

Pantang ada kolam, tak sah kalau tak berendam.
       Rumah yang dijadikan inap desa (homestay), tak ada tingkap, pintu kaca gelangsar utama dan dua pintu kaca gelangsar yang menghadap dua buah kolam. Bilik air besar di bilik air utama ada tab mandi,   jubin yang menghiasi keseluruhan dinding cukup menarik. Sampai saja, terus berendam di kolam di laman depan, riuh-rendah berlari pula ke kolam di belakang. Siap mandi, masing-masing kelaparan. Menjelma malam, ada juga yang turun ke kolam, peluang tak dilepaskan, bukan selalu dapat mandi kolam di waktu malam. Pagi, turun lagi sebelum tengah hari menjelang untuk pulang. Tak terbayang pada awal dan Umi menyuruh Ayah lihat setelah sampai, jangan buat  jangkaan terlalu awal.
        Sesekali lari daripada kebiasaan, akan menemukan kita dengan sesuatu yang lain. Yang lain itu dapat memberikan kita pengalaman baharu, inspirasi dan semangat untuk terus bersyukur dalam kehidupan.

Monday, October 18, 2021

Sejuk dan Manis

Jarang sekali ada yang mahu menolak aiskrim, kecuali sakit gigi atau atas sebab tertentu. Lepas cabut gigi pun cari aiskrim.
      Dah letih ke hulu dan ke hilir, sekejap berjalan, sekejap berlari, perut perlu diisi, nikmat sungguh tika benar-benar lapar, bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Makan pun berebut, air pun berebut, lain yang dipesan, lain yang dimakan, itu cerita biasa di meja makan, apa-apa pun, akan diakhiri dengan berkongsi makanan. Tak habis, bersedialah untuk dihabiskan. Bergerak balik, singgah di kedai aiskrim. Pembantu setia Umi, Along sedia berkhidmat mengekori. Sebentar, muncul di muka pintu sesuatu yang sejuk dan manis untuk dinikmati.
       Alhamdulillah, sesuatu yang sejuk dan manis itu kadang-kadang melengkapkan hari indah yang kita lalui. Abadikan momen sejuk dan manis dengan menikmati aiskrim Gula Apong Mokti's bersama-sama.

Langit Petang

Lama tak mandi pantai, bukan orang jauh saja, orang yang dekat pun sama saja.
        Penuh dengan orang, semua pandai bawa diri, jaga SOP sendiri-sendiri, kita jaga kita. Hari Sabtu sebelum hujung minggu pun sudah meriah, yang datang mencari rezeki tersenyum, yang datang membawa rezeki tersenyum, yang datang mahu mandi, yang datang mahu berkuda, yang datang mahu ambil angin, yang datang mahu makan-makan, yang datang mahu menerbangkan layang-layang, yang dewasa berawas-awas, dua dos vaksin sebagai ikhtiar. Lama tak jumpa, sebahagian rindu dilepaskan dengan mengejar ombak di pantai dan membiarkan ombak membasahkan diri.
       Ombak dan pantai setia menyambut ribuan tetamu rindu yang datang, suara ombak dan suara anak-anak bersatu di bawah langit petang, Alhamdulillah.

Sunday, October 17, 2021

Tambah

Masih dapat menyambut hari lahir, syukur kepada Allah SWT.
        Apatah lagi dapat menyambut hari lahir dengan mak yang melahirkan kita, abah, isteri dan anak-anak serta adik-beradik, Alhamdulillah.
Merentas negeri bermula Isnin yang lalu, lagu Balik Kampung tak henti-henti dimainkan. Pak Ngah (Baba) merentas negeri membawa Atuk dan Opah ke sini semalam mengikut 'SOP' yang telah ditetapkan. Menyambut hari lahir di hujung minggu, bersama dengan keluarga, itu antara perkara yang paling berharga sebab tak selalu hari lahir jatuhnya pada hari cuti. Dapat menyambut     hari lahir di musim wabah juga satu nikmat yang besar.
    Bertambah usia seharusnya juga bertambah ilmu dan pengalaman serta amalan. Kita semua memang mengetahuinya dan hanya melalui tindakan diri sendiri ketiga-tiganya akan bertambah, Insya-Allah.

Wednesday, October 13, 2021

Mahu

Hujung minggu lepas, Ayah ke tempat kerja dan yang lain di rumah.
          Di rumah, Adik dengan rela hati tidak mahu lagi memakai lampin pakai buang. "Dah sampai umur, nak berhenti sendiri, tak payah dipaksa lagi," beritahu Umi. Semalam, Ayah menghulurkan kunci kepada Achik, menyuruh dia membuka mangga pintu pagar. Dia tak mahu dan Ayah memaksanya. Beberapa hari sebelumnya, dia telah mencuba banyak kali tetapi gagal dan bersedih. Kali ini, dia menjerit dengan muka yang gembira masuk ke dalam rumah, bercerita kepada semua orang bahawa dia telah berjaya membuka mangga menggunakan kunci.
       Kemahuan itu ada kalanya hadir sendiri tiada dipaksa, kemahuan itu itu juga kadangkala hadir kerana terpaksa dan dipaksa. Dengan adanya kemahuan, jalan kejayaan itu akan terbuka sedikit demi sedikit, Insya-Allah.

Tuesday, October 12, 2021

Kecuali

'Kecuali' - inilah perkataan keramat dalam filem animasi 'The Lorax'.
      Jika 'kecuali' diambil berat, sudah pastilah banyak perkara akan menjadi lebih baik, sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Sekecil-sekecil perkara jika kita semua lakukan dengan penuh tanggungjawab, akan memberi perubahan yang besar. Lihatlah peribahasa Melayu, sehari selembar benang, lama-lama jadi kain. Misalannya, jika sejak kecil anak-anak Malaysia diajar bertutur bahasa Melayu, ibu bapa ada rasa bangga terhadap bahasa Melayu, rakyat Malaysia semuanya akan menggunakan bahasa Melayu untuk berhubung. Tidak akan ada yang mengaku sebagai warganegara Malaysia gagal berbahasa Melayu setelah 64 tahun mengecap merdeka.
        'Kecuali' kita semua melakukan sesuatu dengan sederap selangkah, banyak perubahan yang lebih baik akan berlaku tanpa terlalu bergantung kepada janji-janji manis yang belum tentu akan ditunaikan, Insya-Allah.

Friday, October 8, 2021

Sebab

Dah lama tak makan pulut udang, ada yang panggil pulut panggang.
       Waktu kecil dulu selalu jumpa isi warna oren, sekarang dah tak jumpa sebab jarang-jarang makan. Tengok pulut udang, di hujungnya masih dicucuk menggunakan lidi, Ayah pun beli (ini sebab utama membeli, belum rasa lagi), sekarang banyak yang dah guna dawai kokot. Alhamdulillah, tak mengecewakan bagi Ayah walau isinya bukan warna oren, rasa ikannya tetap ada, mungkin sebab itu ada yang memanggil pulut udang sebab dulu-dulu ada yang mencampur isinya dengan udang kering. 'Inovasi' dalam makanan sentiasa ada dan ditambah tempat yang berbeza, cara penyediaan tak sama, nama pun ada macam-macam, namun keaslian tetap dikekalkan. 
       'Sebab' sentiasa mendorong kita untuk bertindak. Tanpa 'sebab', mungkin kita akan rasa 'kosong'. 'Sebab' membantu kita untuk terus mencari jalan dan jawapan walau sesusah sepayah mana sekalipun.

Thursday, October 7, 2021

Terbalik

Ke rumah terbalik, semuanya pasti terbalik.
Kalau tudung terbalik?
      Pagi ini, Ayah memakaikan tudung adik lagi. Sebelum memakaikan tudung, perlu memakaikan anak tudung. Maka, dua tiga hari ini, Ayah mengambil alih tugas Umi setelah Umi mula bekerja. Waktu Ayah sedang memakaikan tudung, Achik datang, beritahu bahawa Mualimah tanya tentang anak tudung Adik yang terbalik, yang bahagian kedut-kedut sepatutnya di belakang, sebab itu mata Adik hampir tertutup. Ayah pun membetulkan semula, jika tidak, hari ini pun anak tudung terbalik. Barulah Adik nampak selesa, tak menarik-narik anak tudung seperti sebelumnya.
      Kadang-kadang, ada perkara yang salah nampak sangat  kecil sepertinya tidak memberikan kesan  tetapi jika diperhalus, apabila perkara itu diubah, dapat memberi keselesaan kepada orang lain dan memberi ilmu baharu kepada kita. Sebab itu bijak pandai tak jemu berpesan, "Betulkan yang biasa, biasakan yang betul."

Hijrah

Selasa, hari lahir Adik. Dah lama tak makan bersama-sama di luar, Alhamdulillah akhirnya.
      Ternyata Covid menjadikan hidup luar biasa. Segala tindakan, semua mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Kita diajar beratur kembali seperti di sekolah. Di sekolah dulu ada jaraknya, tangan didepakan ke depan menyentuh bahu kawan, sekarang jaraknya 1 meter dan tak boleh bersentuhan. Tak boleh pintas barisan, itu disiplin diri yang diterapkan. Dalam masa yang sama, sebenarnya diajar menghormati hak dan perasaan orang lain. Semua orang nak cepat, bukan kita saja dan yang dahulu didahulukan. Nak makan pun kena beratur, juga di mana-mana saja.
      Hijrah perangai itu bukan bermusim, bukan musim wabah saja dan perlu berterusan sebagai amalan. Setiap kali  menyambut hari lahir, boleh kita semak diri untuk hijrah jadi lebih baik walau banyak perkara baik yang telah kita lakukan, Insya-Allah.

Saturday, October 2, 2021

Syukur

Ayah meneruskan cerita yang masih berlangsung sebelum berpenghujung.             
     Cukup beruntung bagi  yang dapat menghabiskan saat-saat yang  mahu dikenang bersama dengan ibu bapa dan ahli keluarga. Mungkin ada yang tak berkesempatan langsung, mungkin ada yang berpeluang sebentar, mungkin ada hanya sedikit cerita yang dipegang sebagai kenangan cukup berharga, mungkin ada hanya sebaris kata-kata yang meninggalkan kesan dan mungkin ada hanya secebis gambaran kebahagiaan serta kegembiraan. 
     Cerita masih berlarutan, banyak saat untuk dikenang, banyak saat akan tercipta, bersyukurlah. Cubalah kenang yang baik-baik, cubalah impi yang baik-baik walau yang pahit  berlegar-legar!

Friday, October 1, 2021

Hangat Kopi

Semalam Hari Kopi Sedunia. Minum kopi apa pagi ini?
      Bangun pagi akan ditemani secawan kopi 'o'selain ahli keluarga. Kopi 'o' ditambah dua kuntum bunga cengkih, diteguk sambil mengarang cerita satu muka surat. Sewaktu mengarang cerita ini, cerita ini ialah cerita terakhir Ayah. Biasanya, setelah siap satu muka surat cerita, cerita akan dipos ke Wattpad, kemudian ke laman Blogger (khm79.blogspot.com). Seterusnya dipos ke Instagram yang dihubungkan dengan Facebook. Cerita ini menjadi cerita pendek yang ke-200 terakhir dalam 'Cerita Ayah Kembali' di Wattpad. Sebelumnya, 'Cerita Ayah' diikuti 'Cerita Ayah Lagi' dan yang ketiga 'Cerita Ayah: Covid-19 Duduk Di Rumah'.
      Kopi banyak berkongsi pengalaman dan menyimpan banyak kisah silam. Hangat kopi sentiasa membuatkan kita bersemangat. Selamat Menyambut Hari Kopi Sedunia.

Mampu

Sabtu bertemu Sabtu, telah mencapai hala tuju atau telah menemui hala tuju atau sedang menujui hala tuju?
       Dalam perjalanan pagi ini, sekumpulan rakan sedang berbasikal mengayuh agak laju, mungkin baru sepertiga perjalanan. Di arah bertentangan, seorang pemuda mengayuh sendirian. Tak lama kemudian, terlihat seorang lelaki dan seorang perempuan mengayuh basikal, lelaki di hadapan, mungkin suaminya. Menghampiri satu simpang, seorang lelaki sedang berjoging dan dua orang sahabat mengayuh entah mahu ke mana. Di sebelah kanan jalan, seekor kucing oren tiba-tiba muncul terhincut-hincut, kaki kanannya nampak cedera. Di sebelah kiri jalan, seorang perempuan berpakaian hitam sedang berlari perlahan dan tatkala mahu berhenti, sepasang suami isteri baru keluar dari rumah untuk berjoging.
      Sabtu bertemu Sabtu, selagi roh dan jasad bersatu, laju atau perlahan itu mengikut kemampuan, asalkan menuju jalan kebaikan, teruskan perjalanan, Alhamdulillah.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...