Translate

Friday, December 31, 2021

Luar Jangka

Pagi 18 Disember 2021, masih berkabus, dua buah kereta meluncur meninggalkan Ipoh.
      Malam sebelum paginya bertolak, entah pukul berapa Along dan Angah tidur, menunggu Aidil dan Ziyyad yang datang bersama dengan Pak Su sekeluarga. Paginya, sudah mengatur-ngatur dan berpakat untuk naik kereta yang mana satu. Destinasi seterusnya, destinasi yang disebut-sebut Opah sejak awal lagi. Di sana, Nenek dan keluarga Tok Lang sudah menanti. Ayah dan anak-anak di dalam kereta saja, Opah dan Umi yang turun. Di dalam kereta, bermacam-macam ragam, di dalam Pasar Kemboja, Ayah tidak tahu apa yang berlaku. 
      Kita boleh merancang, namun kita tak tahu apa-apa yang akan berlaku dan terlalu banyak perkara yang berlaku pada setiap saat. Banyak juga perkara di luar jangka berlaku dan inilah yang menuntut kesabaran yang tinggi daripada kita dalam hidup ini.
      

Tambah

 1 Januari 2022M.
27 Jamadilawal 1443H.
Selamat tahun baharu. Bertambah umur, bertambah tanggungjawab dan moga bertambah amalan baik kita, Insya-Allah.

Wednesday, December 29, 2021

Membahu

29 Disember 2021, sepanjang perjalanan ke Mentakab melalui pekan Lanchang, banyak debu bertebaran. Kelihatan banyak semak samun dan daun-daun pokok bersalut lumpur.
      Air sungai sudah surut. Sampah berlonggok-longgok, begitu juga peralatan atau perabot  rumah yang telah rosak. Mempaga Segar masih tutup. Kelihatan masih banyak lumpur, ada yang bertimbun-timbun, ada kepingan yang sudah kering. Ini hanya sebahagian kecil yang dapat dilihat di sini, ada yang lebih dahsyat. Manusia dan mesin bergabung tenaga. Ada yang  masih membersihkan rumah, ada juga anak-anak yang sedang menolak kereta sorong, ada jalan yang ditutup untuk diturap tar - cuaca panas. Ada konvoi di jalanan  dari negeri lain, mungkin datang membantu mangsa banjir di sini. 
      Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul, masing-masing bahu-membahu, tak kira sesiapa, semua menyumbang dalam cara  tersendiri, nampak atau tak nampak, tetap memberi sumbangan, Alhamdulillah.

Tuesday, December 28, 2021

Cinta

Berhenti di dalam hujan, bergerak pun di dalam hujan.
         Akhirnya hujan bernoktah setelah tiba di Ipoh. Malam menjelma,  sebelumnya kereta meluncur melintasi Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Hulu Kinta ke tempat penginapan. Lepas Isyak, ke rumah arwah Tok Lang Din. Tok Lang Li duduk dengan Mak Long Baei, Pak Su Wan dah menunggu. Tak lengkap malam tanpa cerita Pak Ngah Bajuri yang berkhidmat untuk masyarakat setempat, ralit mendengar pengalaman dengan masyarakat orang Asli dan ceritanya yang berkisarkan isu semasa negara. Kata Confucius, "Di sebuah negara yang ditadbirkan dengan baik, kemiskinan adalah memalukan. Di sebuah negara yang ditadbirkan dengan buruk, kekayaan sesuatu yang memalukan."
       Kabus pagi masih menyembunyikan sebahagian wajah bukit, pemandangan yang menyegarkan mata pun bermula. Insya-Allah, jauh berjalan luas pemandangan, tak kenal maka tak cinta!
     

Sunday, December 26, 2021

Ajar

 Keputusannya, menuju ke Kuala Slim setelah singgah di rumah Tok Tam.
      Menghampiri Kuala Slim,   kami berpatah balik kerana salah masuk jalan. Air hujan  daripada ladang sawit mulai mengalir ke tengah jalan, seterusnya ke sebelah kiri jalan. Alhamdulillah, akhirnya kami sampai, turun dengan berpayung. Bertemu sepupu Atuk, teman sepermainan, yang membesar bersama dengan Atuk, sudah tentu banyak kisahnya. Duduknya  di kedai makan yang sememangnya sentiasa menjadi tumpuan, turut menjadi tumpuan rakyat dan orang politik sewaktu pilihan raya kecil DUN Slim pada Ogos 2020. Kami dilayan sendiri oleh pemilik Pak Ya Bistro & Catering, sepupu Atuk, Tok Ngah Ya. Mi udang besen yang masih berasap menjadi sajian, dinikmati dalam hujan yang masih rancak, Alhamdulillah.
      Alhamdulillah, di dalam hujan pun masih ada rezeki buat kita. Walau kita diduga hujan, hujan mengajar kita tentang hati-hati dengan alam untuk hari-hari yang mendatang.

Saturday, December 25, 2021

Terus

     Perjalanan tetap perlu diteruskan walau rintik-rintik  yang membawa kerisauan terus menduga.
        Tanah yang kami tinggalkan kehujanan, begitu juga di sini, tanah anak Kandung Suluh Budiman. Hubungan persaudaraan itu boleh membawa ke mana-mana saja asalkan kita berkehendak, asalkan kita berkeinginan, perjalanan perlu diteruskan. Di dalam hujan, pertemuan itu membangkitkan kisah silam, pertemuan itu membangkitkan kegembiraan dalam kegalauan. Bertemu dalam hujan, berpisah dalam hujan, ini barulah permulaan.
       Dalam hujan, silaturahim perlu berterusan, silaturahim itu boleh terbina dan mengukuh, Insya-Allah. Walau basah, walau lecah, walau bah, inilah ujian untuk kita, kitalah yang akan berterusan menjaga sesama kita mengikut kebolehan dan kemampuan yang ada.

Berat

Perjalanan jauh bermula Jumaat 17 Disember, agak lama dirancang Opah dan Umi. Di dalam hujan itu bukan sebahagian daripada rancangan.
       Perjalanan yang agak panjang ditemani hujan yang mencurah-curah, meninggalkan jauh tempat diam. Sepanjang perjalanan, terserempak dengan beberapa kemalangan, itulah yang paling tidak dimahukan sesiapa pun, moga selamat semuanya. Berhenti beberapa kali dan akhirnya berhenti di daerah yang tidak asing bagi Ayah dan Umi, tempat menadah ilmu. Pastilah glob kenangan lama itu berpusing-pusing semula di atas paksi ingatan. Peta-peta peristiwa mula menampakkan diri. Dihujani kenangan di dalam, hujan di luar pun masih turun.
       Apa-apa pun, perancangan Allah SWT itulah yang mengatasi segalanya. Segala-galanya mengandungi hikmah walau berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Moga Allah SWT mempermudah segala-galanya.

Thursday, December 16, 2021

Sapa

Kadang-kadang kita menyapa, kadang-kadang kita disapa.
      Disapa dan menyapa, boleh jadi di alam maya, boleh jadi di alam nyata. Sesekali disapa  orang yang dikenali, sesekali disapa orang yang tidak dikenali. Sesekali disapa orang yang dikenali yang  sudah lama tak menyapa boleh menimbulkan unsur saspens, sesekali disapa orang yang langsung tidak dikenali boleh juga menimbulkan tanda tanya, sekarang banyaknya di alam maya. Berkali-kali disapa manusia itu sangat biasa, sesekali disapa bukan manusia mungkin sedikit luar biasa atau boleh jadi satu kejutan.
      Menyapa dan disapa, boleh mengeratkan ukhuwah, boleh menyelesaikan masalah, Insya-Allah. Menyapa dan disapa, adab perlu dijaga, itu antara manusia.

Wednesday, December 15, 2021

Khalifah

Reda hujan, timbullah mentari, Alhamdulillah.
         Pokok-pokok yang basah dan kering dibilas cahaya, bunga-bunga yang berkembang daripada asalnya yang kuncup, kelongsong kepompong  usang setelah rama-rama meninggalkannya dan sesekali kelicap muncul dengan kibasan kepaknya yang sangat laju, itu antara yang boleh diperhatikan sesudah hujan reda. Daun kering turut gugur, begitu juga pelepah palma, digegar angin, dihempap  hujan. Sesumpah yang setia berulang-alik, tidak ada di pohon durian belanda, ditemui di pohon mengkudu, setelah beberapa kali mahu dirakam aksinya, menghilang diri, bersatu dalam hijau daun.
         Alam menyajikan segala-galanya untuk kita, terpulanglah kepada kita untuk menyantuninya, terpulanglah kepada kita untuk meraikannya atau sebaliknya, kerana kitalah khalifah di bumi ini.

Sunday, December 12, 2021

Harapan

Hujan, inilah antara masa untuk menikmati kopi.
       Menikmati kopi dalam hujan ralit, sambil membaca, berborak atau merenung. Malam tadi, Along masuk ke bilik sebelum habis perlawanan yang berakhir dengan Harimau Malaya dikecewakan Vietnam, tiga gol tanpa balas. Berhati-hati di dalam hujan itu perlu dan terlalu berhati-hati di dalam padang itu hanya pemain yang tahu. Setelah hujan reda, seharusnya kita bangkit semula, semua telah dianalisis dan diteliti sewaktu kopi masih hangat, dihirup dan diteguk sedikit demi sedikit, tidak terburu-terburu.
     Hujan tetap membawa rahmat, membawa rezeki ke sekian alam, Alhamdulillah. Hujan walau sebentar tetap memberi kesan, lihat tumbuhan, pucuk dan putik itulah harapan.

Friday, December 10, 2021

Tafsir

Gerimis pagi Sabtu, ada yang lebih suka berada di dalam rumah, ada yang tetap suka beraktiviti di luar.
        Pilihan sentiasa ada pada kita, ada yang nampak mudah tapi susah, ada yang  nampak payah tapi mudah, ada yang senang sengaja dirumitkan, ada yang sukar sebenarnya boleh dimudahkan dan ada lagi yang lain-lain. Dari hujung kaki hingga ke hujung kepala saja sudah banyak pilihan yang perlu dibuat, sama ada di dalam rumah atau di luar rumah. Memilih untuk memakai kasut atau sandal pun boleh buat orang bermenung lama dan memilih gaya rambut atau gaya tudung yang sesuai pun boleh membuatkan orang berdiri di hadapan cermin agak lama.
       Sulit atau tidak hidup ini,  banyak juga bergantung kepada pilihan yang kita pegang. Gerimis dan panas tetap akan datang, sulit atau senang atas mata yang memandang dan tafsir akal yang menimbang.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...