Translate

Monday, March 28, 2022

Hadir

Kita semua memerlukan nasihat daripada orang yang betul dan berpengalaman dalam menangani masalah yang kita hadapi.
          Apabila kita mula mendengar nasihat yang diberi, mula menerima dengan hati yang terbuka, itu maksudnya sudah kita mulakan langkah awal untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan mahu mengubah satu keadaan menjadi lebih baik. Merujuk buku Mutiara Kata susunan Hadi Alhadi, Ralph Waldo Emerson menyatakan bahawa dalam setiap kumpulan masyarakat, sebahagian dilahirkan untuk memerintah, sebahagian lagi untuk menasihat. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, nasihat bermaksud ajaran, petunjuk yang baik dan peringatan. Jika kita rasional, pastinya kita akan mendengar, menapis dan mempertimbangkan satu per satu nasihat. Jika sejak awal telah kita bina tembok ego sebagai halangan dan anggap diri kita sentiasa betul, maka  segunung nasihat pun tak akan berguna.
          Nasihat jadi berguna apabila kita mempraktikkannya. Nasihat sentiasa hadir dan bagi kita yang dipimpin kesedaran, pasti kita akan tersenyum menerima kehadirannya, Insya-Allah.

Saturday, March 26, 2022

'Ummph'

Boh ada 'ummph'! Itu antara iklan yang  popular dan ayah tengok sejak kecil.
          Apakah 'ummph' yang  membangkitkan kita dari tempat tidur? Apakah  'ummph' kita di hujung minggu? 'Ummph' diperlukan setiap hari. Setiap orang pasti ada 'ummph' yang tersendiri. 'Ummph' itu mungkin membangkitkan selera kita, 'ummph' itu mungkin menghidupkan hari kita, 'ummph' itu mungkin membangkitkan semangat kita,  'ummph' itu mungkin membangkitkan kesedaran kita, 'ummph' itu mungkin mengubah persepsi kita dan 'ummph' itu mungkin mengubah hidup kita.        'Ummph' itu  ada di sekeliling kita.
        'Ummph' itu dapat menginspirasikan kita dan dapat memberi nilai tambah dalam hidup kita. 'Ummph' menyedarkan kita bahawa hidup ini harus diteguk seteguk demi seteguk dan dinikmati dengan yang lain.

Thursday, March 24, 2022

Lebih

24 Mac 2022, hari istimewa untuk Umi dan Achik. Isnin, 21 Mac 2022 pula, banyak yang baru melangkah ke sekolah.
         Banyak ibu bapa turun padang, memerhati anak-anak yang kali pertama ke sekolah dari luar pagar. Cikgu-cikgu pun datangnya awal, menyambut anak-anak yang pelbagai ragam. Ada yang nampak takut-takut, ada yang deras mengalir air matanya, ada  yang mengalir deras air mata sekali dengan deras suara, ada yang nampak seperti sudah biasa  dan ada yang nampak mudah menyesuaikan diri. Memanglah tak sama, maka pendekatan ibu bapa dan cikgu-cikgu pun tak sama dalam menangani tingkah yang berbeza. Begitulah hari pertama, agak banyak cabarannya dan kesabaran amatlah diperlukan.
         Melangkah ke tempat baharu, itu yang akan kita hadapi dalam kehidupan. Melangkah ke tempat baharu biasa akan menemukan kita dengan perkara-perkara baharu untuk menjadikan kehidupan kita menjadi lebih baik dan bermakna, Insya-Allah.

Tunjuk Ajar

Lama tak jumpa tentu banyak cerita, namun sebentar cuma mungkin sudah terubat rindu.
        Begitulah hidup ini, tak pernah terpisah daripada bertemu dan berpisah. Walau kisahnya sudah berbeza, kenangan lama tetap bernafas dan memecahkan suasana. Banyak peristiwa dilalui bersama dan memberikan kesan, sama-sama meredah cabaran membentuk penghidupan. Tinggal sebilik, mengeteh dan mengopi di merata tempat, bertugas dan meronda bersama-sama, menyelesaikan masalah yang timbul dan banyak lagi peristiwa yang membangkitkan kenangan.
      Iktibar daripada kenangan tetap memberi tunjuk ajar kepada kita. Kita dapat sesuatu daripada orang lain dan begitu juga orang lain. Itulah  antara tugas kenangan, mengajar kita lebih menghargai segala kebaikan.

Wednesday, March 16, 2022

Menuntut

Peperiksaan SPM masih berbaki, bermulanya 2 Mac 2022. Perjuangan berbekalkan ilmu dan pena masih berlangsung.
      Dada seharusnya diisi dengan ilmu, itu acap kali disebut. Membaca dan ilmu sangat berkait. Membaca, memahami, menafsir, bertanya, menghadam dan praktik, semuanya proses yang terlibat untuk mendapatkan ilmu. Ada yang suka membaca untuk peperiksaan, ada yang suka membaca untuk tahu. Apa-apa pun, untuk mendapatkan  ilmu itu harus dimulakan dengan tabiat membaca, perlu dibiasakan dan diulang-ulang. Jika tak dibiasakan, orang beratur di luar, kita akan beratur di dalam tanpa rasa bersalah kerana tak membaca dan melenting tatkala ditegur.
        Menuntut ilmu menuntut kesabaran kita, menuntut kesungguhan daripada kita. Kesabaran dan kesungguhan kita dalam menuntut ilmu akan banyak membantu kita dalam perjuangan hidup ini, Insya-Allah.

Friday, March 11, 2022

Bonus

Siapa-siapa pun suka bunga, tak banyak, sikit pun suka juga.
         Mencari bunga Cina, tak jumpa,  akhirnya jumpa YTT, Umi pun menaip - YTT (ayah ingat ejaannya - waititi) dan Umi turut mengabadikan potretnya untuk hayat hari ini, sepertinya ada hari yang pertama  dan ada yang sudah masuk hari kedua. Nikmatnya mengopi setelah hampir seminggu tidak menikmati, sambil menyelongkar rak Google, jumpalah jawapannya - Yesterday (Y), Today (T), Tomorrow (T). Tiga hari mekar mewangi hayatnya dengan warna berbeza.  Yang sudah tiga hari mencapai hayatnya, akhirnya menjadi putih dan gugur, sepertinya kita juga nanti.
         Selalu diulang, hidup ini tidaklah lama, semalam, hari ini dan esok! Hidup ini perlulah diisi dengan kegembiraan, ketabahan dan kesyukuran. Semalam sihat atau sakit, hari ini boleh jadi sudah sembuh atau masih sakit, esok masih ada, itu satu bonus, tandanya masih mekar dan berupaya menyebarkan wangi, Alhamdulillah!

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...