Translate

Wednesday, August 30, 2023

Merdeka Itu Cinta


Aku, engkau dan dia
jagalah Merdeka sebagaimana
tertib menjaga dirimu
Merdeka itu wangi dan rapi.
Aku, engkau dan dia
jagalah Merdeka sebagaimana
siaga menjaga kehormatanmu
Merdeka itu harga diri.
Aku, engkau dan dia
jagalah Merdeka sebagaimana
cermat menjaga harta bendamu
Merdeka itu mahal tak ternilai.
Aku, engkau dan dia
jagalah Merdeka sebagaimana
elok menjaga ahli keluargamu
Merdeka itu cinta.


Tuesday, August 29, 2023

Pantun Merdeka

Susah senang bersama-sama,
Tak kira kaum bahu-membahu;
Satu padu kunci utama,
Adat budaya diambil tahu.


Monday, August 28, 2023

Pantun Merdeka

Hadam sejarah elakkan onar,
Putera puteri harapan negara;
Sayang negara bicara benar,
Kata dikota negara sejahtera.


Saturday, August 26, 2023

Penghubung

Esok Ahad, 27 Ogos 2023, hari terakhir Pesta Buku Pahang di Dewan Majlis Bandar Raya Kuantan.
          Menghampiri pukul 12 tengah hari, kami sampai, ikut jalan Kemunting. Belum masuk ke dewan pun sudah ramai, apatah lagi di dalam dewan. Buku tetap menjadi pilihan banyak orang. Rambang mata, di atas pentas ada bicara, penulis sedang membentangkan pengalamannya. Penulis yang menyapa, Saudara Azraei Muhamad, dengan bukunya yang terkenal 'Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima', sempat kami berborak. Sebelum itu, bertemu penulis prolifik sejarah Islam, Pak Latip (Abdul Latip Talib) dan sempat juga mencapai buku Mutiara Pantun Melayu, karya Sasterawan Negara Dato' Dr. Zurinah Hassan dan antologi drama radio Duka Wanang Seri, ditulis  Puan Che Norsiah Che Omar (Kak Yah), isteri Cikgu Asmui Mustapa. Sebelum balik rezeki bertemu idola sejak kecil, kartunis Ujang, biasa tengok di Tik Tok, hari ini dapat bersembang, Alhamdulillah.
          Membesar dengan buku, satu perkara yang mengasyikkan. Ralit membaca buku itu hanya yang membaca dapat merasakan. Pengalaman setiap orang tak sama, maka buku menjadi penghubung antara kita. Dapat bertemu dengan yang menulis dan melukis, satu perkara yang lebih mengujakan. Membacalah kerana membaca boleh membawa kita ke dunia lain!


Friday, August 25, 2023

Walau Kautahu akan Kaucelaka

Nampak benar kautak dampingi
salah itu tetap kaucari.
Adakah itu petanda
hatimu telah mati?
Masihkah kausangsi
janji Maha Menyaksikan?
Mati tak peduli
sujud atau berdiri
menapak atau berlari
bersama atau sendiri
terang-benderang atau gelap hari
bingit ataupun sunyi.
Masih kaucari hidayah
walau di depan matamu sendiri
acap kali bertembung.
Mati itu sering mengintip
dan mengekorimu
masihkah kauterpesona
walau kautahu akan kaucelaka?


Thursday, August 17, 2023

Engkau Tak Tahu

Engkau tak tahu
di mana-mana adanya hati yang luhur
kerana manis kata pantas mengaburkan.
Engkau tak tahu 
di mana-mana adanya amal yang ikhlas
kerana membalas tak mengharapkan jelas.
Engkau tak tahu
di mana-mana adanya sangka yang benar
kerana sangka selalu berandaian.
Engkau tak tahu
di mana-mana ada pengajaran teladan
kerana muhasabah jarang menoleh.
Engkau tak tahu 
di mana-mana yang kecil atau yang besar
kerana beramal pasti diganjar.
Engkau tak tahu 
kerana engkau bersifat perlu.

Friday, August 11, 2023

Abadi

Seminggu yang sentiasa sibuk, pastinya begitu bagi yang bekerja. Apabila banyak program, banyaklah perkara yang berlaku.
          Sekejap saja, Sabtu kembali, 12 Ogos. Minggu lepas, Ayah berulang alik menghantar makanan ke Pekan. Cikgu Zaidi dan Cikgu Karim sudah menanti di sana. Jumaat dan Sabtu, anak-anak tingkatan 2 berkampung untuk Kem Jati Diri ditemani Cikgu Nani, Cikgu Siti, Ustaz Nabil, Cikgu Khairi dan Cikgu Syahmi.  Pagi Ahad pula, sebelum Subuh sudah bertolak. Dalam perjalanan, banyak perkara dan orang yang kita temui. Ada yang kita sudah kenal dan ada yang kita baru kenal.  Semalam dan hari ini, bagi yang balik mengundi di enam negeri, lagilah banyak menemui sahabat lama dan mungkin kawan baharu yang sama-sama mahu menunaikan kewajipan untuk memilih pemimpin yang ada integriti, boleh buat kerja dan mampu membawa kita menemui bahagia di dunia seterusnya akhirat.
           Hidup memang sentiasanya sibuk dengan kerja dan sentiasa ada pilihan. Kita boleh memilih dengan siapa-siapa kita mahu berkawan dan kita boleh ambil perkara yang baik-baik daripada sahabat walau lain pendapat. Kerja sama-sama sepenuh hati menuju ke tempat sama, syurga yang abadi.


           

Friday, August 4, 2023

Mekar

"Tak ada yang lama, tak ada yang baharu," begitulah kata-kata yang meniti di bibir Ustaz Fuad hari Jumaat minggu lepas sewaktu berborak dengan Cikgu Hussin.
           Selasa minggu ini, hari terakhir Abah di Semsas. Semalam, 3 Ogos,  majlis meraikan persaraan Abah Dan Cikgu Najah. Maka, beraraklah pendekar-pendekar dan srikandi-srikandi ke Dewan Al-Khawarizmi bersama dengan sejuta ingatan dan kenangan. Kenangan bersama dengan Abah itu terlalu banyak, apatah lagi bagi Cikgu Najah yang sebahagian besar hidupnya berbakti dan Hidup Berjasa di bumi Semsas sejak 1992 hingga 2023. Malam Jumaat bersambung di AC Hotel. Ustaz Fuad terus menyambung kata sebagai pengantara. 25 tahun Abah mengajar di sekolah lelaki saja, kemudiaan dari tahun 2014 hinggalah 2023, Abah Hidup Berjasa di Semsas. 33  tahun Abah tahun berkhidmat, banyak pahit manis pengalaman yang dilalui.
            Nikmat menjadi seorang pendidik tentulah pengalaman yang sukar ditukar ganti. Bertemu dan berpisah itu sudah lumrah dan panggilan Cikgu itu akan berkekalan walau di mana-mana jua. Ukhuwah itu akan terus terjalin selagi mana bunga-bunga kenangan terus berkembang dan mekar di taman jiwa.


Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...