Translate

Saturday, April 27, 2024

Kesan

Sate ialah ejaan sebenarnya. Di sebalik secucuk sate ada banyak makna dan ceritanya.
         Dulu-dulu, sangat gembira tatkala Atuk bawa balik sate, sudah rasa mewah, sate akan dibahagi-bahagi, biasanya setiap orang dapat sama banyak. Jika Atuk bawa balik sate, itu maknanya Atuk baru dapat gaji.  Ada satu ketika, rumah Atuk dan Opah jadi tempat jiran satu blok ambil gaji. Sangatlah meriah, walau kadang-kadang baki yang tinggal hanya beberapa ringgit atau negatif, tetaplah bergelak ketawa, bergebang sambil mengopi atau mengeteh. Walau baki tak banyak atau tak ada, barang-barang keperluan makanan tetap boleh diambil terlebih dulu di kantin Felda atau sekarang dipanggil D'Mart, potong atau bayar kemudian. Sekarang D'Mart yang dulu meriah dan cukup penting pun dah tutup, tinggal bangunan saja.
         Masa terus berlalu, banyak yang telah berubah, namun kenangan tetap kekal di ingatan sebagai pedoman. Secucuk sate boleh meninggalkan kesan, apatah lagi saat kita bersama-sama, terus berlegar dan segar dalam fikiran yang membuat kita sentiasa terkenang-kenang.

Tuesday, April 23, 2024

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu
di bawah awan putih biru kelabu
ingin kutangkap saat indah
saat hati sedang memandu
kuabaikan kalbu merayu
kunikmati sesekali berpaling
nikmat yang kita rasa bersama
dalam kabus masih bersisa
di hujung ranting mati
hutan paya yang terbakar
hijau kembali.

Jalan Pekan-Kuantan
23 April 2024
Khairul Hakimi Mansor


Sunday, April 21, 2024

Renung

Sejak semalam, entah apa-apa yang dicari anjing putih bertompok coklat, agak besar, dua tiga kali masuk ke  dalam kawasan rumah. Setelah dihalau menggunakan suara, anjing itu lari.
         Ada kesan korekan di tepi pokok jambu. Setelah diamati, didapati dua tempat masuk dan anjing itu lolos menggunakan lubang pada pagar itu. Setelah ditutup lubang, lega pun datang menghalau bimbang. Hari ini, rupa-rupanya masuk lagi. Kerja pun terganggu, kerja pun  terpaksa dihentikan apabila anjing itu mengganggu lagi. Sebelumnya sempat mengintai, dari hujung pagar belakang pula masuknya. Setelah ke luar rumah, didapati
ada dua lagi lubang pada pagar yang perlu juga ditutup selain yang dihujung pagar. Harap tak masuk lagilah, memang sangat mengganggu.
         Ikan yang terkurung di dalam akuarium di dalam rumah boleh menenangkan kita, anjing yang bebas di jalanan dan menceroboh mengundang gelisah dan amarah kita. Kadang-kadang kita perlu ambil masa untuk teliti, untuk merenung, anjingkah kita atau ikankah kita dalam kehidupan ini?

Thursday, April 11, 2024

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-galanya jika kita menonton Iklan RHB Raya 2024 yang berdasarkan kisah benar.
         Semalam menghampiri Maghrib, Baba suruh Ayah tengok di Astro Awani, temu bual dengan Peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar tentang kisah yang telah berlaku. Banyak perkara yang tak terduga dalam kehidupan. Jika diteliti dalam kehidupan, memang banyak momen kecil yang sebenarnya begitu besar dalam ingatan kita. Momen itu tentulah tak sama bagi kita tetapi momen itulah yang mengeratkan ukhuwah antara kita semua. Pada mata kita mungkin momen itu biasa-biasa, tapi bagi orang lain momen itu cukup besar dan mampu mengubah kehidupan.
        Tolonglah yang lain selagi kita mampu, kecil atau besar itu usahlah diukur kerana pertolongan itu mampu membuatkan keadaan menjadi lebih baik, Insya-Allah. Di Aidilfitri ini, banyak yang kita boleh lakukan, berikanlah pertolongan, kurangkanlah beban dan eratkanlah hubungan. Salam Aidilfitri.


Tuesday, April 9, 2024

Doa

Menjelang hari raya, masing-masing menunggu menunggu pengumuman, esok raya atau tidak, persediaan tetap dibuat, Arab Saudi esok raya.
          Di kiri dan kanan ke pekan Lanchang, ada yang berasap, menjual lemang. Menghala ke pekan Lanchang, kenderaan taklah banyak sangat, masih nampak tenang. Tempat basuh kereta pun tak banyak sangat kereta. Mempaga Segar sedikit sibuk, tapi taklah perlu beratur lama. Sampai di rumah, bau rendang ayam merebak, masih di atas dapur, begitu juga kuah kacang, daging sudah siap dimasak Opah. Lepas Asar hujan melebat membawa sejuk, bertambah nikmat, Alhamdulillah, petang semalam pun hujan juga. Anak-anak tetaplah bermain di dalam rumah, selagi bermain dan tak menyebut "lapar" itu satu kelegaan. Jika tidak,  dengar Opah berbunyi, "Baik hangpa tidur."
          Saatnya hampir tiba, teruslah kita beramal walaupun Ramadan hampir meninggalkan kita, banyak yang kita dapat belajar daripada Penghulu Segala Bulan. Teruslah berdoa untuk semua, teruslah berdoa untuk Palestin, moga segala amal kita diterima Allah SWT dan diampunkan segala dosa.

Sunday, April 7, 2024

Renungkan

Setiap daripada kita ada kisah sendiri. Kita ada perjuangan kita sendiri untuk mengubah diri, keluarga, kerja dan yang ada di sekeliling kita mengikut apa-apa kita pandang penting untuk kita serta orang lain atau orang yang kita sayang.
            Ayah sempat menonton tiga filem yang menarik, A Man of Action, Mark Felt: The Man Who Brought Down the White House dan A Taxi Driver. Semua filem ini berdasarkan kisah sebenar.  Tak kiralah sesiapa pun kita, kita ialah watak utama dalam hidup kita dan perlu kita hadap apa-apa yang datang, perlu tanggung apa-apa yang  kita kerjakan. Setiap watak berjuang untuk kehidupan masing-masing menurut pandangan dan pengalaman mereka sendiri.  Masing-masing bergelut di tempat kerja, ada yang bekerja di lapangan sehinggalah di dalam bangunan. Konflik sentiasa ada untuk mencapai tujuan hidup atau walaupun matlamat sudah jelas di depan mata, tetaplah banyak rintangan yang muncul kerana itulah kehidupan, diuji dan terus diuji selagi belum mati. Selepas mati pun akan ada kehidupan yang lain.
            Selagi hidup,  jalan akan sentiasa ada selagi ada kemahuan, jalan yang mana, kita mesti tentukan kerana setiap jalan tak semestinya memberi kesan yang sama. Hidup sentiasa menduga, maka yang terbaik itu sentiasa kita impikan, yang kita dapat, suka atau tidak, tetap akan mengajar kita dan memberi kita sesuatu jika kita renungkan.

Kesan

Sate ialah ejaan sebenarnya. Di sebalik secucuk sate ada banyak makna dan ceritanya.          Dulu-dulu, sangat gembira tatkala Atuk bawa ba...