Translate

Saturday, December 31, 2016

Cerita Ayah -Kisah ziarah umrah 3

Kami sekarang di dalam bas. Sebelum subuh waktu di sini kami sampai di "King Abdulaziz International Airport" di Jeddah.
     Selesai melepasi imigresen setelah diambil cop cari kedua-dua belah tangan, kami solat subuh.
     Siap ayah solat subuh, azan subuh barulah kedengaran.

Friday, December 30, 2016

Cerita Ayah- Kisah ziarah umrah 28

"Pasti ada ruang," itulah yang selalu diulang Profesor MKI.
      Kebiasaannya, akan ada yang meminta ruang atau mencelah sewaktu duduk di saf di dalam masjid Nabawi. Daripada bersila, perlu duduk seperti duduk tahiyat dan kadang-kadang terkeluar daripada saf kerana memberi ruang untuk orang yang meminta.
     Alhamdulillah, apabila berdiri,  semua orang termasuk ayah akan ada ruang untuk bersolat.

Cerita Ayah- Kisah ziarah umrah 26


       Raudhah sebuah taman syurga ( makna Raudhah ialah taman). Raudhah satu tempat yang mulia di dalam masjid Nabawi selain menjadi tempat Rasulullah saw para sahabat beribadat dan tempat turun wahyu kepada Rasulullah saw (Madinah Munawwarah, Dr. Abd. Basit Abd. Rahman).

Cerita Ayah - Kisah ziarah umrah 20

Ayah berkira-kira mahu membeli selipar baharu setelah melihat kedai di sebelah hotel tetapi ayah tidak membeli pun.
    Akhirnya, selipar ayah hilang. Ayah dan atuk singgah di pasar ( rupanya seperti pasar) yang berhampiran dengan masjid Nabawi.
     Apabila sampai di Masjid Nabawi di lain masa, ayah ternampak orang mencari-cari selipar dan ayah berkata-kata dalam hati bahawa tujuan ke masjid bukan untuk mencari selipar yang hilang.
     Selesai solat, selipar ayah diletakkan di dalam kotak  yang disediakan hilang. Ayah pula yang tercari-cari selipar hilang. Ayah kembali teringat kata-kata ayah.
     Pesan ustaz, fikir yang baik-baik, cakap yang baik-baik sahaja.Ya Allah, temukanlah selipar bagi orang yang mencari selipar. Itu doa ayah selepas peristiwa itu.
      Kali ini, ayah membeli selipar di kedai sebelah hotel.

Tuesday, December 27, 2016

Cerita Ayah- Kisah ziarah umrah 32

Takut. Ya, memang rasa takut. Itulah yang berlaku kepada ayah. Muka nampak takut kata adik-adik ayah. Macam-macam cerita yang ayah dengar dan baca yang berlaku sewaktu melakukan umrah atau haji.
     Yang penting kata ustaz, sebelum pergi, berdoalah dan bertaubatlah kerana semua orang tidak sunyi daripada dosa. Buruk atau baik yang berlaku, semuanya ada hikmah.               Bertaubat sentiasa, tidak semestinya ketika mahu mengerjakan umrah atau haji baru melakukannya.

Sunday, December 25, 2016

Cerita Ayah- Kisah ziarah umrah 13

Pagi ini ayah dan atuk lambat. Ayah tidak tahu pun pagi ini ada sesi ziarah. Nampaknya ayah perlu lebih ambil tahu dan bertanya selalu.
Semua orang menunggu kami.
     Ayah dan atuk bergegas di celah-celah orang ramai, keluar dari perkarangan Masjid Nabawi untuk menaiki bas yang telah menanti.

Cerita Ayah - Kisah ziarah umrah 19

Atuk, ayah, emak dan opah hanya berjumpa di tempat makan di hotel. Di sinilah tempat kami bertanya khabar.
     Waktu makan pagi selepas subuh, waktu makan tengah hari selepas zuhur dan waktu makan malam selepas isyak.
     Jika waktu siang, melalui cermin, masjid Saidina Ali yang berada di sebelah hotel dapat dilihat. Masjid itu tidak digunakan lagi.
   

Cerita Ayah - Kisah ziarah umrah 17

Kata Ustaz Syamir, kurma yang ini berkhasiat untuk kesihatan dalaman, Insya-Allah. Kurma ini kebiasaannya dicampur dengan susu segar.
      Di sekitar Masjid Quba' ini juga banyak dijual kurma, kismis dan kekacang. Juga terdapat pokok tamar sekitar masjid ini. Pengunjung yang singgah untuk bersolat memenuhi masjid.

Cerita Ayah - Kisah ziarah umrah 16

Alhamdulillah, rombongan kami ditemani oleh Ustaz Syamir Izzudin, pelajar Universiti Madinah.
    Orangnya ramah dan petah berkata-kata. Katanya, sesiapa yang ada anak atau saudara yang berminat untuk belajar di Madinah, bolehlah menghubunginya di 'Facebook' untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan.

Cerita Ayah - Kisah ziarah umrah 15

Daripada Sahl bin Hunaif ra, Rasulullah bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang berwuduk di rumahnya, kemudian pergi ke Masjid Quba untuk bersolat akan diberi ganjaran pahala seperti pahala menunaikan umrah."
      Masjid ini merupakan masjid  pertama yang dibina dalam sejarah umat Islam. Rasulullah saw  sendiri turut serta dalam pembinaan dengan mengangkut batu-bata serta pasir bersama-sama para sahabat pada hari pertama di sini dalam perjalanan hijrah dari Makkah (Madinah Munawwarah, Dr. Abd. Basit Abd. Rahman). 

     Alhamdulillah, inilah lokasi pertama kami, iaitu Masjid Quba' yang diambil nama sempena sebuah telaga di perkampungan Quba'.

Cerita Ayah- Kisah ziarah umrah 12

Syukur Alhamdulillah, akhirnya ayah dapat menatap kubah hijau Masjid Nabawi yang sebelum ini hanya ayah lihat dalam bingkai gambar dan juga Instagram.
     Menurut buku Madinah Munawwarah ( Dr. Abd. Basit Abd. Rahman) terbitan Telaga Biru, kubah ini dicat warna hijau(diarahkan oleh Sultan Abdul Hamid) pada 1253 Hijrah dan warna itu kekal hingga sekarang.

Cerita Ayah- Kisah ziarah umrah 7

Alhamdulillah, papan tanda Madinah sudah kelihatan. Madinah nama asalnya sebelum Hijrah Rasulullah saw ialah Yathrib. Nama ini sempena pengasasnya iaitu Yathrib bin Qaniah, daripada keturunan Nabi Nuh as.
        Sekarang Madinah lebih dikenali dengan nama al-Madinah al-Munawwarah yang bermaksud kota yang bercahaya atau al- Madinah al-Nabawiyyah yang bermakna bandar Nabi saw.
          Ayah semakin berdebar. Orang lain ayah tidak tahu perasaannya.

Saturday, December 24, 2016

Cerita Ayah - Kisah ziarah umrah 11

Daripada  Abu Hurairah ra, bahawasanya Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud pahala solat di masjidku ini ialah seribu kali lebih baik daripada solat di masjid-masjid lain kecuali di Masjidilharam (Shahih al-Bukhari no. 1190, Sahih Muslim no. 1394).
     Alhamdulillah, solat fardu pertama yang kami lakukan di Masjid Nabawi ialah fardu Zuhur. Perasaannya tidak terungkap.

     

Cerita Ayah- Kisah ziarah umrah 6

Perjalanan masih diteruskan. Bukit-bukit batu sepanjang perjalanan terus menyambut kami.
    Sebelum ini, hanya mendengar  dan membaca kisah-kisah Rasulullah saw di Madinah dan Makkah.
     Alhamdulilah, terima kasih tidak  terhingga buat opah dan atuk yang menaja ayah.Terima kasih tidak terhingga juga buat atuk dan wan yang menaja wang perbelanjaan emak dan ayah. Semoga terus diberikan rezeki yang luas oleh Allah swt.
    Hanya Allah swt yang dapat membalas segala-galanya.

Cerita Ayah- Kisah ziarah umrah 4

Perjalanan ke Madinah selesai solat Subuh. Perjalanan akan mengambil masa lebih kurang enam jam. Keadaan masih gelap tetapi diterangi cahaya lampu buat sementara waktu.
   Dalam perjalanan, kami dihidangkan pemandangan baharu yang indah. Subhanallah, matahari pagi mulai bersinar menghiasi langit. Sesekali kami dapat melihat pokok-pokok yang begitu asing bagi kami. Tiada pemandangan sehijau di Malaysia buat masa ini.
   Tempat pemandu di sebelah kanan dan lorong memandu laju di sebelah kanan. Jalannya pula lurus.

Cerita Ayah - Kisah ziarah umrah 10

Alhamdulillah. Kami berempat (atuk, ayah, abang Jo dan Li) duduk sebilik dan terdapat empat katil bujang di dalamnya.
    Emak, opah dan kawan-kawannya di bilik yang lain. Buka sahaja pintu bilik sudah nampak pintu lif dan terbuka pintu lif sudah nampak pintu bilik kami.
    Apabila menyelak langsir, tidak pernah nampak jalan yang kosong. Semuanya menghala ke Masjid Nabawi atau pulang ke tempat penginapan. Yang pergi dan pulang silih berganti.

Cerita Ayah - kisah ziarah umrah 1

Segalanya ketentuan Allah swt. Malam ini ayah menikmati kopi di dalam pesawat Biman (Bangladesh Airlines Ltd.)
    Boleh memilih kopi atau teh mengikut selera masing-masing. Di sebelah kiri  ayah, opah dan di sebelah kanan ayah, Jamaluddin, kawan Bangladesh yang baru menamatkan pengajian Sarjana di Kolej Segi. Dia meminta ayah mendoakannya agar dijemput ke sana juga, Insya-Allah.
     Alhamdulillah, masih di dalam pesawat dan sesekali pesawat bergegar melanggar awan malam. Masih menanti saat mendarat di Dhaka, Insya-Allah.

Kisah Ziarah Umrah (10:21mlm11Disember)
    

Cerita Ayah-Kisah ziarah umrah 9

Alhamdulillah. Hotel kami di Madinah hampir dengan Masjid Nabawi.
   Rasa  sejuk menyelinap walaupun ayah memakai baju sejuk dan dari depan hotel kami sudah nampak Masjid Nabawi yang indah tersergam.
   Hotel Makarem Al- Massi di sebelah kanan dan berjalan sedikit ke hadapan, terbentang Masjid Nabawi di sebelah kiri.

Cerita Ayah - kisah ziarah umrah 2

Semakin menghampiri Dhaka semakin bercahaya. Kami mendarat 11:16 malam waktu Malaysia.
     Di Biman Transit Desk, jam menunjukkan 9:58 malam waktu Bangladesh. Kami mula dihidangkan bahasa yang berbeza.

Saturday, December 10, 2016

12

        Tercipta satu lembaran sejarah
             Di tanah suci Kota Mekah
      Hari yang mulia penuh syahadah
           Bermulalah sebuah kisah
        Malam Isnin subuh yang indah
      Dua belas Rabiulawal yang cerah
           Dua puluh april tahun gajah
         Lahirlah zuriat dan syahadah

       Ayah baru dengar lagu Junjungan Mulia di TV Al-Hijrah pagi ini. Penyanyi asalnya kumpulan Al-Mizan. Terima kasih juga kepada kawan ayah, Encik K yang mengingatkan ayah tentang hari esok, 12 Rabiulawal, hari Isnin yang juga bersamaan dengan 12 Disember.
         Marilah kita sama-sama berselawat dan memperbanyak selawat kepada junjungan kita, Nabi Muhammad saw.

Friday, December 9, 2016

Genggam

                     Jom pi MAHA
               Macam-macam ada

Esok hari terakhir MAHA 2016. Kami pergi MAHA beberapa tahun lepas.
       Tahun ini nampaknya lebih meriah dengan adanya Kampung Durian Runtuh dan Kampung Mok Cun. Sememangnya macam-macam ada di sana.
     Yang paling ayah ingat, sewaktu mahu balik, riuh-rendah dengan suara orang yang menunggu bas. Bas akan membawa pengunjung ke tempat parkir kenderaan.
       Semua menunggu bas. Terlalu ramai orang. Sementara menunggu bas, ayah mendukung angah. Ayah berasa lenguh dan menurunkan angah. Bas tiba-tiba datang.
        Kami semua bergerak dan bergegas ke arah bas. Masing-masing beratur. Tiba-tiba ayah terdengar suara memanggil ayah. Baru ayah perasan, ayah terlupa membawa angah sekali. Alhamdulillah, dia masih di khemah tadi, di celah-celah orang ramai.
      Walaupun rambang mata dan bersesak-sesak, pastikan tangan anak-anak digenggam erat.

Indah

            Alangkah indahnya hidup ini
          Andai dapat kutatap wajahmu
          Kan pasti mengalir air mataku
         Kerna pancaran ketenanganmu

           Alangkah indahnya hidup ini
         Andai dapat kukucup tanganmu
Moga mengalir keberkatan dalam diriku
       Untuk mengikut jejak langkahmu

          Lagu ini cukup mengesankan. Pagi ini berkumandang di TV9. Hidup ini pasti indah jika Allah dan Rasulullah sentiasa di hati kita, Insya-Allah.
       Alhamdulillah, pagi yang indah dan anak-anak ayah emak bangun awal pagi ini. Ayam masih berkokok tetapi tidak semeriah semalam.

Ingat

Hari ini kami ke Temerloh Bandar Ikan Patin.
     Peribahasa tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain paling tepat menggambarkan Temerloh bagi ayah. Dulu yang ada Happy Fried Chicken dan Kentucky Fried Chicken, sekarang zirafah dan Sushi King pun ada di belakang The Store di stesen bas ekspres. 'Grape Farm' pun sudah lama ditutup.
     Walaupun sudah banyak yang berubah, kenangan tidak pernah berubah, bezanya sama ada kita ingat atau kita lupa, itu sahaja.

Thursday, December 8, 2016

Syukur

Alhamdulillah. Bersyukur kerana pagi ini disambut kokokan sahut-menyahut. 
     Kita diuji musim tengkujuh dan Banda Aceh diuji  gempa bumi tanggal tujuh Disember. Pagi ini cerah dan semalam petang yang basah.  Adik sedar awal pagi ini kerana kebasahan.
    Adik tidur semula setelah ayah menjirusnya dengan air sejuk dan ayam bapak masih tidak jemu berkokok.
   

Paha

Ayah biasa menyebutnya 'peha'. Ejaan sebenarnya ialah paha.
    Ada beberapa peribahasa yang berkaitan dengan paha. Salah satunya ialah bergendang paha yang bermaksud bergembira kerana orang lain mendapat kesusahan. Musim hujan sekarang ini lebih baik kita bergembira dengan mendoakan diri sendiri dan orang lain supaya mendapat kesenangan.
     Adik pun gembira dapat berbantalkan paha ayah sambil menghisap botol dan tangannya yang satu lagi  menepuk-nepuk perut ayah.
    
   

Wednesday, December 7, 2016

Ustaz

Kelazimannya, anak-anak kecil seperti adik lebih tertarik kepada selipar atau kasut orang dewasa.
     Ayah masih ingat ketika berada di asrama, selipar merupakan benda penting selain 'tray'. Kadang-kadang kami terpaksa mencari selipar ustaz yang datang ke surau di dewan makan kerana ada yang tersalah ambil sewaktu keluar dari surau dan menuju ke dewan makan untuk makan lewat malam.
      Ayah masih ingat seorang kawan ayah, dia sengaja memakai selipar sebelah lain sewaktu ke masjid kerana ada ketikanya selipar baharunya lesap sewaktu hendak pulang ke asrama dari masjid.

Benang Raja

Apabila disebut ganu, benang raja, ular danu dan bianglala mungkin terasa janggal mendengarnya dan encik persoalan akan muncul di benak kita.
     Ayah berhenti di persimpangan jalan Pekan kerana lampu merah. Petang yang panas dan hujan pun turun. Sebelumnya, pelangi di langit  terbentang sebelah kanan sentiasa indah untuk dipandang. Ciptaan Allah yang cukup menakjubkan.
Perkataan-perkataan dalam perenggan pertama itulah nama lain bagi cahaya melengkung berwarna-warni  di langit yang kita panggil pelangi.
       Alunan lagu Pelangi Petang oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad pun bermain-main di telinga ayah.

         Seharian waktu bersamamu
        Tak terasa saat yang berlalu
    Bagai pelangi petang kaukan pasti
                          Pergi jua
    

Tiup

Almari kosong  boleh disi dengan barang-barang atau apa-apa sahaja yang dirasakan sesuai.
     Bagi anak-anak, almari  kosong tidak boleh dibiarkan kosong, apatah lagi jika almari itu dapat memuatkan mereka. Selepas angah keluar dari almari, adik pula masuk. Ditariknya pintu almari. Dia menjerit dan keluar  menerpa ke arah ayah. Ditunjuknya jarinya yang tersepit. Ayah menggosoknya jarinya tetapi dia masih menghulurkan tangan kepada ayah. Ayah meniup-niup jarinya. Dia kembali semula ke dalam almari. Sebenarnya, jarinya tidak apa-apa. Apabila dia rasa sakit, selagi jarinya tidak ditiup, dia rasa dia belum baik sebab selalunya ayah akan tiup.
      Sebab itu ada peribahasa melentur buluh biar dari rebungnya. Anak-anak akan ingat atau ikut apa-apa yang dibuat atau diajar emak dan ayah.

Tuesday, December 6, 2016

Kaset


      Di matamu mencerminkan rindu
         Di mata mu adalah kenyataan
            Aku tenggelam dalam lautan
                  kasih sayangmu
         Tak mungkin akan kulepaskan
                        ikatan ini
 
        Yang membesar tahun 80-an mesti ingat lagu ini. Malam tadi ayah tengok rancangan Rock Kapak di TV1. Liriknya begitu puitis. Nyanyian kumpulan Bumiputra Rockers.
      Lagu tahun 90-an, ayah suka lagu ini. Liriknya juga puitis dan maksudnya juga mendalam. Lagu ini pula nyanyian kumpulan Ukays. Kaset yang pertama dibeli ayah ialah kaset kumpulan Ukays.
            
        Engkau yang pertama tiada akhirnya
     Aku dalam kegelapan engkaulah cahaya
        Izinkahlah aku menumpang di sini
     Di bawah naungan kasih dan sayangmu
                       Kuberserah diri

       Ayah ralit menonton televisyen di dapur sambil asyik mengenang zaman  radio kaset. Anak-anak pula ralit menonton kartun di hadapan.

Monday, December 5, 2016

Epal

Dua hari lepas, sewaktu berada di simpang Petronas, ayah menunjukkan kepada anak-anak lori yang dikhususkan untuk membawa kuda. Ayah tidak tahu istilah sebenar kenderaan tersebut.
      Sudah lama ayah tidak naik kuda. Melintas tempat ekuestrian berhampiran bangunan Yayasan Pahang selalulah tetapi hanya menoleh dan menunjukkan kepada anak-anak sahaja. Untuk berkawan dengan kuda, bawalah buah epal setiap kali berjumpa dengan kuda menurut penjaga kuda.
     Jika anak-anak tidak biasa dengan kuda hidup, bolehlah membawa anak-anak berjumpa 'kuda tidak berkulit' di Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan sempena cuti yang masih panjang.

Sorok

Cuti sekolah sama dengan musim hujan. Mujur semalam dan hari ini  cerah.
   Anak-anaklah yang paling seronok kerana cuti yang panjang. Kalau di kampung, macam-macam aktiviti. Memancing salah satu aktiviti popular.
Itu kalau tidak hujan.
    Apabila hujan, duduk di dalam rumahlah jawabnya. Jadi, ayah dan anak-anak bermain sorok-sorok. Tempat menyorok tidaklah seluas di kampung. Along sudah pandai main menyorok. Angah disuruh menyorok pun dia tidak menyorok. Dia pula yang menunjukkan tempat menyorok along. Adik mengekor sesiapa sahaja.
    Anak-anak senanglah mencari tempat menyorok, ayah jenuh juga mencari tempat menyorok. Main menyorok ini juga salah satu teknik untuk mengajar anak-anak mengira.
      Dah lama tak main? Mainlah, sekali sekala melayan anak-anak di samping menjemput kenangan lama.

Saturday, December 3, 2016

Salji

Dua tiga hari ini abang tanya ayah tentang salji. Di negara manakah yang ada salji?
    Dia bertanya apabila melihat iklan kartun Upin Ipin tentang salji. Ayah pun melayari 'Google' dan menemui jawapannya  dalam tulahan.blogspot.my. Switzerland tempat salji yang terindah dan ada lagi yang lain-lain.
     Ayah terus melayari dan internet Switzerland tidak dapat dipisahkan daripada jam. Ayah membaca dalam laman web Berita Harian bertarikh 12 November 2014 tentang jam.
       GENEVA: Jam tangan emas jenama Patek Philippe mencatat rekod lelongan paling mahal dan paling kompleks apabila dijual dengan harga AS$21.3 juta (RM68.16 juta) dalam satu lelongan di Switzerland, semalam.
       Jadi, opah suruh Kak Ros belajar betul-betul supaya dapat belajar di luar negara. Ayah pun cakap perkara yang sama. Nanti boleh main salji dan belikan jam untuk ayah.

Friday, December 2, 2016

Tunggul

Semalam kami ke UTC. Adik tiba-tiba di dalam lampin pakai buangnya ada darah. Mungkin sebab dia menggaru-menggaru dan luka.
       Along pula giginya sudah bergoyang. Angah pula ada tiga lagi lubang yang belum ditampal. Menunggu giliran memerlukan kesabaran. Anak-anak pula macam biasa, tidak pernah diam.
       Mujur abang dan angah mahu klinik gigi.Ayah pun masih ada dua tunggul gigi yang ayah biarkan di dalam mulut  ayah.
   

Thursday, December 1, 2016

CCXR

Kereta yang paling mahal ialah Koenigsegg CCXR Trevita ( http://koenigsegg.com/trevita/).
    Ayah suka menyusun kereta-kereta kecil di atas almari dan selalunya di atas bingkai gambar akan ada kereta kecil Hot Wheels.
     Anak-anak pula pantang nampak kereta-kereta tersebut disusun begitu. Akan disuruh ayah atau emak mengambilnya dan mainnya tidaklah lama. Kereta-kereta itu ditinggalkan di atas lantai atau ditemui di bawah sofa.
     Apabila ayah menyusunnya semula, akan diminta emak atau ayah mengambilnya lagi. Begitulah kitarannya.

Mengapakah Masih?

 Kauseperti langsung tak cuba untuk mengerti sedangkan lama sudah kauberjanji memilih diam di tanah suci. Mengapakah  masih  kaunyalaka...