Translate

Sunday, May 31, 2020

'Scorpions'

Tatkala ayah menelaah buku ini, ayah teringat kumpulan Scorpions.
      Walau ayah jarang dengar lagu Inggeris, sekali sekala layan juga. Antara lagunya yang ayah suka ialah 'Wind of Change'. Ayah membaca ulasan tentang  lagu ini di laman kompasiana.com (13 Maret 2020). Ayah masih lagi menelaah  buku Teroka Sains 1, Menerokai Keajaiban Alam Ciptaan Tuhan (Dr. Wan Fahmi dan Dr. Nur Annies). Dalam buku ini, kala jengking dikatakan sensitif dengan alkohol. Sedikit alkohol boleh menyebabkan kala jengking mabuk dan menyengat diri sendiri sampai mati.
     Kala jengking pun boleh mabuk, manusia pun sama. Manusia mabuk pun boleh membunuh diri sendiri dan orang lain. Pagi ini, di dalam rumah ayah mahu menikmati hangatnya kopi 'o'dan di luar, moga angin kesedaran terus bertiup, Insya-Allah.


Mentega Laut

Hari ini apabila ayah mendukungnya, adik bau mentega kacang. 
     Dia bukan boleh tengok mentega kacang, diambil sudu dan dijilat mentega kacang pada sudu. Terkenang pula ayah pasal mentega laut, Cikgu Bahasa Melayu di tingkatan 6  ayah  yang menyebutnya, Encik Auh Ah Chan. Jangan disapu pula mentega laut pada roti. Mentega  laut itu belacan. Dua tiga hari ini adik sangat aktif, rata ceruk rumah diselongkarnya. Barang-barang di tepi mesin basuh seperti ubat gigi dibawa ke ruang tamu. Dia sudah ada buku kegemarannya, dia tidak ambil buku lain kecuali buku yang satu itu. 
       Tidak duduk diam itu tandanya dia sihat, Insya-Allah. Saat ini dia berbaring di tepi Umi dan mungkin sekejap lagi bangun beraksi lagi.

Friday, May 29, 2020

Terpijak

Basuh kasut sesuatu yang agak asing bagi Along dan Angah.
     Basuh kasut tidaklah asing bagi Ayah yang ketika dahulu memakai kasut putih. Waktu itu kasut  putih Carefree cukup popular, kemudian muncul kasut Pallas Jazz, diikuti kasut Bata yang bertapak tebal. Kreativiti juga terserlah dengan ada yang mengikat tali kasut dengan cara tertentu seperti menganyam. Terpijak kasut boleh menjadi punca pergaduhan. Di sekolah rendah ada juga permainan pijak kasut, boleh dibayangkan keadaan kasut putih setelah selesai permainan itu. Kadang-kadang hari cuti, terdengar bunyi bising di dapur, bunyi kasut di dalam mesin basuh. Along dan Angah sejak mula sekolah lagi memakai kasut hitam. 
    Akhirnya, dua atau tiga hari barulah kasut yang direndam siap diberus Angah dan Along setelah operasi rak kasut dijalankan Umi beberapa hari lalu.

Thursday, May 28, 2020

Dia

Adakah itu yang dipaling rindu? Ayah pun sudah lupa kali pertama bertemu dengannya dan  tiba-tiba menjadi rapat begitu sahaja seperti sudah lama benar kenal akan dirinya.
   Ke sana dan ke sini, ke hulu dan ke hilir, sehingga ada yang menyangka Ayah adiknya. Dia banyak mengajar ayah dalam 'kenakalannya', tiada yang lepas daripada usikannya, dia menjadi begitu disenangi, mungkin juga dirindui, mungkin juga dicintai. Siang dan malam, dia sentiasa ada, itulah yang ajaib. Menemaninya ke kampung Ayah turuti, kononnya teman berbual sewaktu memandu, sedangkan Ayah yang pergi dulu ke alam lena tanpa dipandu. 
   Tatkala Ayah bersembang dengannya, Cikgu Khair mengilhamkan Ayah sesuatu daripada kata-katanya, "Kamu, Aku, ada DIA."
        Dia pinjamkan
        rasa rindu ini,
        rasa cinta ini,
       untuk kamu dan aku, 
       supaya aku dan kamu    
       sedar adanya Dia.
Terima kasih Cikgu Khair.
     

Buah

Hari Penghulu Segala Hari, hujan lebat pagi ini, Alhamdulillah.
      Syawal ke-6, semua ada di rumah. Pagi lagi ayam api-api telah berjaya melepaskan diri dari rebannya, sejak semalam sudah nampak kesungguhannya mahu keluar dari reban. Malam tadi, Angah menyoal Along tentang timun, sama ada sejenis sayur atau buah? Sebenarnya, timun sejenis buah yang mempunyai  biji, ini yang dinyatakan dalam buku Teroka Sains 1, Menerokai Keajaiban Alam Ciptaan Tuhan (Dr. Wan Fahmi dan Dr. Nur Annies) yang dibeli Umi. Tembikai pun dipanggil timun cina. 
      Umi sedang bersiap untuk ke sekolah kerana terlibat menguruskan majlis persaraan pengetua secara dalam talian. Hujan pun nampaknya sudah seriat. 
     

Wednesday, May 27, 2020

Terima Kasih

Sesaat bersama seabad terasa,
Adat bertemu pasti berpisah,
Di mana-mana Hidup Berjasa, 
Setiap lagu ada kisah.
   Sementara menunggu majlis bermula, irama mendayu tanpa lagu bergema, inilah kisahnya. Walau aturan sambutan yang tak terduga dek angkara wabak melanda, perlu diteruskan jua agenda. Bertemu, berpisah kesudahannya, itulah lumrah. Ikatan hati kekal terjalin, sudah terpateri, kaki tetap perlu melangkah. Youtube menjadi dewan, menjadi pentasnya.
   Ayah dan warga Semsas meraikannya dalam norma baharu, pada tanggal 27 Mei, 4 Syawal, 10 pagi. Terima kasih Puan Hajah Noridah binti Ramlan, moga maju jaya di tempat baharu.

Tuesday, May 26, 2020

Kempis

'Lapar' itu membuatkan Wan bergegas menggoreng kentang dan nuget, sedangkan kami sudah bersiap untuk balik.
    Angah menyebut  perkataan itu di saat enjin sudah dihidupkan dan semua barang telah dimasukkan ke dalam kereta. Di pertengahan perjalanan, terasa kereta semakin berat, stereng berat ke sebelah kanan. Kereta  diberhentikan, pancit tayar di sebelah tempat pemandu, betul-betul kempis. Raya tahun lepas, tayar kempis sedikit dan masih boleh bertahan, itu di Kota Gelanggi. 
    Kereta berhenti di simpang, Umi dan anak-anak menapak balik ke rumah. Ada yang menggalas beg dan menjinjing barang. Seperti yang diberitahu Umi, anak jiran menjerit memanggil ibunya memberitahu, ada yang mahu datang beraya.

Monday, May 25, 2020

Bahagia

Sudah raya ketiga pun, hanya banyak membelek gambar-gambar di Facebook, nampak semuanya bahagia, Alhamdulillah.
     Sudah ada pun yang berpuasa sunat sejak semalam. Tinggallah Aidil seorang setelah Along dan Angah dibawa balik pada Syawal pertama. Jarang sangat Aidil berada di luar ketika mahu meninggalkannya, kali ini dia bersama-sama mengiringi. Sejak cuti sekolah bulan Mac dia bersama dengan Along dan Angah, sekarang menghampiri Jun. Perasaannya pasti sukar untuk dibayangkan. Pasti bahagia itu ada ketika bersama-sama walau kadang kala terlihat ada pergaduhan kecil dan bermasam muka.
     Raya pertamalah Ayah melihat ada bungkusan di atas katil. Ayah membukanya, 'Apa Lagi Yang Lebih Membahagiakan' Ayah temui di dalam bungkusan. Alhamdulillah.

Sunday, May 24, 2020

Warisan

Ketupat daun palas, rendang dan tapai Ayah capai.
   Semasa kanak-kanak, di rumah nenek, apabila pergi beraya, apakah yang dicari? Salah satu misi Ayah ialah mencari rendang, suka  meratah rendang. Achik pula suka ketupat daun palas. Angah  yang menolong Opah membuka daun palas untuk dibuat sarung ketupat.  Menolong Opah membuat ketupat, ada waktunya menjadi ketupat jantan. Maklumnya, yang menolongnya 'jantan'. Ada beza cara balutannya.
    Walaupun makan tak banyak, tak ada ketupat daun palas macam tak lengkap raya, padahal dekat Arab sana macamlah ada ketupat daun palas, raya tetap raya. Inikan Tanah Melayu, mesti ada ketupat daun palas! Belajarlah untuk kekalkan warisan kalau tak mahu kehilangannya dan warisan yang lain! Raya kedua, di luar masih sunyi, di lebuh raya  fikiran riuh, bersimpang-siur idea.

Rai

Hidup ini perjalanan yang pendek, dirasakan panjang. 
     Perjalanan harus diteruskan, tidak seperti biasa, lebuh raya boleh dikatakan lenggang, tiada berpusu-pusu seperti selalu, sebelum tol ada sekatan, barisan hadapan berkorban menjalankan tugas. Raya kali ini, di sebelah Umi, ada Atuk dan Wan, ada Pak Ngah dan Mak Ngah, ada Pok De dan Mok De, di sebelah Ayah, ada Atuk, Opah dan Nenek.  Pagi, panggilan video tidak berjaya. Angah berlari mendapatkan Ayah dan Umi, disusuli Along.  Masih juga lengang, raya tetaplah raya. Di atas meja, ada ketupat daun palas dan tapai, ke dapur, ada laksa. Petang, Tok Chik dan Embah Man muncul.
      Tetap ada tunafoto. Achik nampaknya kinestetik, bukan auditori atau visual. Walaupun sambut raya yang sama, Aidilfitri, kita tidaklah sama, raikannya! Inilah seronoknya raya!

Tunafoto

Alhamdulillah, 
Aidilfitri menjelma.
    Pagi yang tidak bergegas ke masjid, datang awal untuk mendapatkan parkir atau untuk mendapat saf di dalam masjid. Pagi ini, Pak Ngah Imam, kami makmum. Sebelum itu, masing-masing bersarapan, ada sate, ada nasi himpit, ada lemang, ada lemang, ada lemang periuk kera  dan ada nasi dagang. Selepas solat, sesi yang ditunggu-tunggu selain sesi dapat duit raya. Sesi ini yang agak sukar kerana sesi ini memerlukan emosi yang stabil dan memerlukan arahan yang jelas. 
    Kadang-kadang terpaksa diulang berkali-kali, akan ada tunafoto (photobomb) kerana sengaja atau tidak sengaja. Kadang-kadang, inilah keindahannya. Ada cerita di sebalik tunafoto. Ini baru raya! 

Friday, May 22, 2020

Gembira

Apalagi yang dapat menggembirakan anak-anak selain bermain.
     Petang, Achik mengayuh basikal dengan kakak Aisyah di dalam kawasan laman rumah Atuk. Pak Ngah pun turut mengayuh. Brek basikal menggunakan kaki, laju dibawa dan kadang kala terbalik sendirian, bangun dan Achik memecut lagi. Adik duduk di atas basikal yang ditolak kakak Ainul. Kakak Ainul melayannya sungguh, kejap-kejap dibetulkan rambut Adik, disepitnya menggunakan sepit yang ada reben. Malam selepas berbuka, hiruk-pikuk dengan suara, bermain bunga api. Di kiri dan di kanan bunga api. Achik berlari ke dapur, basuh tangan dengan air, kena percikan bunga api dan kembali bermain. 
    Seperti biasa, setiap tahun, Pok De ketua bahagian bunga api.

Thursday, May 21, 2020

Bulan Purnama

Ini saat-saat penting,  peti ais sejuk itu biasa, tetapi apabila oven menjadi 'sejuk', itu sesuatu yang aneh, maka timbullah saat-saat genting.
    Otak mula berjalan, kaki dan tangan perlu cepat bertindak, maka kesepakatan pun tercapai,   gunakan penggoreng kering (air fryer).  Merujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu (http://prpm.dbp.gov.my/),  penggoreng kering ialah alat dapur yang menggunakan kaedah perolakan udara panas untuk memasak. Wujudlah bangkit bunga Cina tanpa bunga yang dibakar selama 5 minit di dalam penggoreng kering untuk mengekalkan keaslian rasa.     
    Achik tercari-cari bangkit bunga Cina yang berbentuk bunga, yang dijumpainya hanya bentuk bulan purnama. Diusung ke sana dan ke sini 'bulan purnama' di siang hari, begitu juga dengan Adik, tinggal suku akhirnya.

Bangkit Sahur

Semuanya menjadi kenangan. Ayah hanya memerhati sekali sekala.
     Kedengaran lagu raya diputar tukang buat kuih merangkap deejay bertugas, sesi bertanya Encik Google tentang resepi, adunan dibancuh, tatkala bahan kurang, meredah dan mencari dalam kegelapan malam, mencari suhu yang sesuai, kadang terlebih, kadang terkurang, kelam-kabut pabila nampak sudah masak dan masih belum berhenti dibakar oven, memasukkan ke dalam sarang dibantu anak kecil yang peramah, menekan bentuk dan saiz yang berbeza. Ayah hanya tahu 'komen' dan mengusik, apabila siap, Ayah tukang rasa, yang penting rasanya sama, corn flakes madu dan bangkit bunga Cina. Waktu berbuka ada makaroni kuah merah dan kuah putih serta 'cucur udang lompat'.
     Bangkit bunga Cina cukup membangkitkan selera dan jika dibuat selepas bersahur bolehlah dipanggil 'Bangkit Sahur'. Gurau pun tak boleh ke? 

Tuesday, May 19, 2020

Cinta Sakti

Kami mendengar dan 'melayan' lagu yang sama.
    Zaman kami di Tanjong Malim, zaman 'Cinta Sakti'.  Zaman 'Cinta Sakti'  wajah Tanjong Malim masih lagi berwajah lama. Kami melalui Pintu Selatan, di sebelah kanan, kedai makan Abuya, merentas rel keretapi, ada masa berhenti menunggu keretapi lalu, singgah di kedai makan yang menjual majalah, yang menghadap telefon awam berderet di seberang jalan. Sekarang sudah lain benar. Bas Mogah, kenangan cukup indah dan Ayah baru menonton 'Manap Karaoke' yang berlatarbelakangkan Tanjong Malim, siap ada bangunan pawagam lama Lido, menghala ke Taman Bandar, rumah sewa kami waktu belajar.
   Sudah ada 'Cinta Sakti', maka menjelmalah Maria, 'Marilah Maria' yang cukup mengasyikkan. Jika mahu tahu pasal Def-Gab-C, tanyalah sahabat Ayah, pak cik Latif, segala koleksi dia ada. Pagi ini, kami berborak di WhatsApp, ayah pos  gambar baju raya Def-Gab-C (Instagram: @asheeddefgabc). Layan!

Monday, May 18, 2020

Alhamdulillah

Alhamdulillah, kembali berjalan seperti biasa.
     Kini sendirian. 19 Mei temannya hilang menurut Auntie, jiran sebelah. Sewaktu kami tiada, Auntie menjaganya, menumpang kasih di situ. Pok De melepaskannya setelah kami tidak dapat merentas daerah kerana PKP. Sewaktu kami sampai tempoh hari, disambutnya kami. Hari kedua, tiba-tiba tidak boleh berjalan, seakan-akan lumpuh, tidak mahu makan. Kami sudah susah hati. Auntie beritahu,  anak kucingnya jadi seperti itu, disapu minyak, Alhamdulillah, berjalan kembali. Ayah menyapu minyak gamat dalam beberapa hari pada kakinya  yang kecil. Mula-mula boleh beralih tempat, kemudian seperti melompat-lompat.     
     Pagi semalam, dikhabarkan Umi, sudah berjalan. Hari ini Ayah membiarkan berjalan mencari makan dan kembali ke reban.

Sunday, May 17, 2020

Belajar

Hidup ini seperti belajar 'past tense', 'present tense' dan 'future tense' dalam bahasa Inggeris. Dalam Bahasa Melayu, hidup seperti belajar kata bantu aspek.
     Apakah yang dikenangkan sewaktu PKP dan PKPB? Ada orang cakap, lalui saat ini, cipta gembira, fokus pada yang sedang dilalui, 'layan' bahasa mudahnya. Ada yang fokus atau tumpuannya tentang masa lalu, tentang masa lampau, tentang hidup sebelum norma baharu dan normal baharu. Ada yang fokusnya masa hadapan, bercerita tentang masa hadapan yang belum berlaku, menyenaraikan perkara yang ingin dibuat selepas PKPB.
    Semalam ialah kenangan. Pagi ini, Umi dan Ayah sedang melayan Adik, pagi benar bangunnya.

Popinjay

Semalam 16 Mei, Hari Guru. Selamat Hari Guru Cikgu.
     Masih Ayah ingat, kali pertama Ayah menyambut Hari Guru sebagai cikgu di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Damar, waktu ayah jadi guru praktikum di situ. Dulu-dulu, Hari Guru, seronok sangat dapat beri hadiah kepada cikgu walau seketul sabun mandi Popinjay, tidak pun beri pen merah Kilometrico. Semalam, Umi dapat tart keju yang 'comel' daripada Kak Ezzati, Kakak Fatin dan Kakak Mai.
     Bukan selalu berbuka makan tart keju dan dua gelas mango punch, rasa kenyang seperti tidak mahu makan, tetap habis nasi sepinggan. Layan, Alhamdulillah.  

Friday, May 15, 2020

Cermin

"Mahu susu?" Ayah bertanya. Dia mengangguk.
    Habis sebotol susu, dia lelap di atas ribaan Ayah. Macam pagi semalam, dua kepala di atas ribaan Ayah. Achik menonton televisyen, bagaikan cermin, Upin dan Upin. Apabila tinggal seorang, mulalah 'mati kutu', naik katil, turun katil. Umi suruh dia tidur.     
     Akhirnya dia tidur di petang Jumaat yang sudah ada solat Jumaat di beberapa masjid yang terpilih dengan perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan. Antaranya, berwuduk di rumah sebelum ke masjid.
     

Telur

15 Mei, Jumaat, hari ini hari lahir Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin ke-73.
    Hari ini juga hari lahir Busu. Waktu Ayah tersedar, Adik datang membawa telur ayam. Ayah minta, dia tidak beri, dia melagakan telur ayam. Jatuh bersepai. Ayah ambil yang tidak pecah dan simpan di tempat asal, peti ais. Di depan pintu peti ais, sudah ada sebiji yang pecah. Boleh jadi seronok membuatkan telur pecah, mengikut rasa ingin tahu. Ayah keluar, dia ikut. Dia menghulurkan bekas buih sabun. 
     Ayah mengibas-ngibas, buih sabun berasak-asak keluar, dia mengejar, berhenti, membiarkan buih ditiup angin. 
     

 

Thursday, May 14, 2020

Girang

Belum pukul 11.00 pagi, Ayah sudah mengayuh basikal, Adik membonceng di belakang. 
     Achik mengayuh basikal empat tayar. Sudah duduk di belakang, bukannya senang hendak turun, sama juga macam petang semalam. Petang ini, tidak keluar pun.  Di rumah Opah, ada ketikanya main pistol air pabila petang datang. Adik macam sudah mengantuk, minta susu dan masuk ke bilik cari Umi. Umi keluar bilik, bawa botol kosong. Achik tinggal seorang, ke dapur buka peti ais, jumpa coklat.  
    Pakar Diet Hospital KPJ Pakar Selangor, Koh Nyat Syen tidak menafikan coklat merupakan 'nikmat hidup' yang boleh menyuntik perasaan positif dan kegirangan (Sinar Harian, 25 Julai 2019, Naimah Muhammad). Umi pula mula menyukai brownies Mamasab.

Wednesday, May 13, 2020

Pak Maun

Awal pagi lagi MKN menghantar mesej, iaitu aktiviti ziarah untuk Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dibenarkan pada hari PERTAMA perayaan sahaja.
     Tamadun Dunia (Sivachandralingam Sundara Raja, Ayadurai Lechutmanan), buku sewaktu di tingkatan 6 Ayah telaah. Waktu ini, barisan hadapan dalam bidang perubatan ialah doktor dan jururawat. Antara yang Ayah baca, dalam perubatan Melayu dahulu, barisan hadapan ialah bidan, bomoh dan pawang. Bomoh ada dua kategori (Abdul Alim), iaitu bomoh-bomoh yang menggunakan  ayat-ayat suci Al-Quran dalam bacaan jampi serapahnya dan bomoh yang menggunakan ilmu magik untuk merawat sesuatu penyakit. Pawang pula ada pawang laut dan pawang darat.
     Membaca buku sejarah, teringat pula kisah Pak Maun. "Tersebut alkisah satu cerita, kisah terjadi negeri Melaka...," Pak Maun bersyair.

Rajin

Belum pukul 7 pagi, pipit telah bangun, riuh di sarang apabila Ayah mendekati.
    Mungkin Ayah juga dianggap  satu ancaman selain beberapa ekor kucing yang menunggu di atas pagar dan melompat untuk menangkap pipit-pipit yang mahu masuk ke sarang pada waktu petang. Sewaktu Ayah melangkah ke luar, Haji, jiran sebelah rumah pun sudah  pun ada di luar rumah. Bangun awal pagi murah rezeki, itu yang selalu didengari. Pipit pekak makan berhujan bermaksud sangat rajin (Kamus Dewan Edisi Keempat). Bangun awal, rezeki dan rajin berkait antara satu dengan yang lain dan sering disebut orang.
    Pagi yang cerah, Ayah memilih untuk membaca.

Patuh

Hari  ini  13 Mei, 'World #QuranHour'.
      Mungkin  Aidil, Along dan Angah masih berlari, berebut untuk mengaji di rumah Opah. Puasa pun sudah 20 hari. PKPB pula dilanjutkan sehingga 9 Jun.  Duduk di rumah, hanya melihat pokok-pokok dan burung-burung yang singgah. Burung pipit sesekali membawa daun pada paruh ke sarangnya. Di luar pagar, kelihatan sepasang merpati terbang rendah. Tidak ada kucing jinak seperti kucing di rumah Atuk dan seperti Oren yang telah lama menghilang. Kakak Fatin singgah sekejap, hantar barang dikirim Umi.
     Malam, Ayah membuka mesej, MKN sentiasa memberi peringatan, 'Patuh PKPB, elakkan keluar rumah kecuali untuk urusan penting sahaja dan gunakan pelitup muka sekiranya tidak sihat'. Banyak normal baharu perlu dihadam.

Tuesday, May 12, 2020

Sabar

Mungkin Siti masih tidak dapat cuti, bukan senang menjadi barisan hadapan, namun itulah pengorbanan untuk negara (Siti Bilang Cuti, Danial Zaini).
   Mak Su Siti pernah jadi jururawat, Ibu Eton pun belajar untuk jadi jururawat. Hari ini Hari Jururawat. Selamat Hari Jururawat. Banyak pengalaman Ayah bersama dengan jururawat di hospital, pengalaman Ayah dirawat, pengalaman Umi dirawat dan pengalaman anak-anak dirawat. Mahu belajar bersabar, boleh belajar daripada jururawat.
    Jururawat Ayah di rumah tentulah Umi, tukang gunting pun Umi waktu PKP. Jangan ingat Ayah geng plastik hitam, Ayah cuma guna plastik hitam sebagai alas, boleh tahan panasnya, berpeluh.

Tebas

Bukan sahaja rumput atau semak samun sahaja yang perlu ditebas.
     Rambut Ayah dan rambut Achik yang sudah mengembang seperti Maggi  kena air panas juga harus 'ditebas'. Sewaktu di rumah Opah, Achik tidak mahu rambutnya digunting Opah. Umi menempah mesin gunting rambut dalam talian tempoh hari, sudah agak lama dan belum dipos. Umi membatalkan tempahan tersebut. Di rumah memang ada, sebelum ini, Achik perlu ditangkap dan dipegang. Alhamdulillah, walaupun menyebut tidak mahu, dia menyerah diri.
     Sekarang, dia menggosok-gosok kepala, selalunya menggaru-garu kepalanya. Masih ada parut 'chickenpox'.

Monday, May 11, 2020

Baharu

"Macam 'baru'," kata Achik setelah melihat  ruang tamu.
     Bahagian di dalam rumah     diuruskan Umi. Umi ada dua orang pembantu. Permainan ada di dalam kotak kecil di rak televisyen, sebelum ini bukan di situ tempatnya. Apakah yang akan berlaku? Adik menuangkan semua permainan yang ada. Siapakah yang akan mengemas kembali? Maka, wujudlah normal baharu dan norma baharu. Sebelum tidur, Umi, Achik dan Adik akan mengemas permainan bersama-sama.
    Tiba-tiba Adik menangis. Ayah menerpa ke arah Adik, Adik sudah terperosok  di  celah sofa dan meja kopi. Alhamdulillah, tidak ada apa-apa.

Lega

Petang semalam ayah ke Tunas Manja di Bandar Putra. Wow! Panjangnya barisan.
        Hari sebelumnya sudah ke kedai runcit, mana-mana barang yang tidak ada, beli di pasar raya, TMG paling hampir. Barisan yang panjang bukanlah sebab yang kukuh untuk ayah terus menunggu. Ayah meneruskan perjalanan ke tempat biasa. Biasanya kami membeli di Pasar Raya Darul Makmur ( PDM) di Bazar Teruntum sambil singgah makan sup daging sebelum tempoh PKP. Sunyi sepi, tidak ada pelanggan, ayah seorang sahaja. Lega rasanya, tidak perlu tergesa-gesa. Kemudian,singgah di TMG Tanjung Lumpur, tidak perlu beratur.
      Sampai di rumah, sepasang  gembala kerbau sepertinya membina sarang di hujung bumbung, keluar dan masuk dari situ. Tidak ada lagi pelepah kelapa untuk gembala kerbau melompat-lompat, ayah suruh Mat tebang, sudah lama tidak berbuah. 

Saturday, May 9, 2020

Bersih

17 Ramadan, Nuzul Quran. Hari ini  Hari Ibu, 10 Mei. Hari ini juga hari lahir Mok De.
     Pagi lagi sudah hujan. Agak lebat. Tidak ada lagi kabus seperti yang dilafazkan Ustaz Fuad. Tidak ada lagi bukit dan kabus, yang hanya ada seman samun. Apabila rumah sudah ditinggalkan lama, faham-faham sajalah keadaannya. Boleh dibayangkan keadaannya, apatah lagi sebelum ditinggalkan rumput pun sudah panjang. Pelepah pokok kelapa pun banyak yang patah, begitu juga ranting pokok cempedak. "Monyet punya kerja," kata Auntie, jiran sebelah rumah. 
    Bersih segalanya di luar dibersihkan Mat. Bersih di luar, bersih juga perlu di dalam.

Rasa

Ateh dan Pak Teh pun duduk lama dengan Atuk dan Wan dalam tempoh PKP.
     Wan bercerita, Pak Teh keluar membeli barang-barang, Ateh menyediakan senarai. Dua hari lepas Atuk mengikut Pok De buat lesen  baharu. Dalam tempoh PKP, pemandu yang lesennya sudah tamat tempoh masih boleh memandu di jalan raya, dengan syarat kenderaan yang dipandu wajib mempunyai perlindungan insurans yang sah. Sebelum balik, Ateh akan mengemas segala-galanya, begitulah yang diberitahu Wan. Wan mencari barang-barang yang di atas meja ruang tengah, akhirnya Wan menemui. 
    Pagi semalam, Ateh dan Pak Teh sudah bertolak ke negeri yang terkenal dengan  pembuatan Labu Sayong. Sudah lama bersama dan perlu berpisah, segala macam rasa hadir.

Tanpa Henti

Malam waktu kami sampai, Achik terus bermain dengan Aqil dan Luqman.
    Adik pula bermain dengan Hasya. Sesekali dia datang mencari Umi dan Ayah. Adik jumpa bintang pujaan hati, Pok De. Kalau dengan Pok De, duduk atas riba pun tak kisah, dengan orang lain belum tentu. Kali pertama kami menemui Arif, adik Aqil. Bermain dan terus bermain tanpa henti. Tidak cukup di ruang tamu, beralih ke dalam bilik. Teduh, beralih ke luar rumah Wan dan Atuk. Di luar pun macam di dalam rumah, lantai marmar. Berlari, mengayuh basikal dan main bola, meriah sungguh.
    Malam semalam, hampir pukul 12, berhenti bermain dan makan, masing-masing nampak lapar. Lampu tutup, baru mahu masuk ke bilik.

Friday, May 8, 2020

Rindu

Opah pasti rindu akan Achik yang sentiasa segar dan ceria. "Arah nak makan apa lagi?" itu selalu disebut.
      Adik pula kejap-kejap menghilang, mesti menjenguk ke bilik Opah. Kena marah dengan Ayah atau Umi, mengadu kepada Opah. Semalam, Angah mahu buah melaka, Aidil pula mahu makan donat waktu berbuka. Along? Along ikut sahaja. Achik tidak kisah, asal ada makanan. Tersenyum lebar Achik malam semalam waktu balik, ada nuget selain baulu di dalam kereta. Kata peribahasa Melayu, pucuk dicita ulam tiba.
     'Sesuatu' yang kami tinggalkan di rumah Opah ialah Along dan Angah, menemani Opah dan Atuk. Sekolah pun belum buka lagi. Aidil tidak akan keseorangan bermain, bergaduh dan bermain. Anak-anak bergaduh tidak lama, mereka  mudah lupa. 

Tidak Ingat

Kami bergerak selepas Isyak.
    Ayah pun sudah tidak ingat kali terakhir berswafoto bersama dengan Umi, inilah masa yang tepat. Cuti yang agak  panjang, berat rasa hati untuk meninggalkan Atuk dan Opah, namun kami tinggalkan 'sesuatu' di situ. Tertunailah impian Adik untuk naik kereta setelah hampir setiap petang menyebutnya. Ada sekali, Ayah memasukkannya ke dalam kereta dan mengundurkan kereta, kembali ke hadapan di laman rumah Atuk. Opah tidak pernah melupakan Achik, ada sebekas baulu untuk Achik.
   Sepanjang perjalanan, Adik menguatkan atau memperlahan suhu pendingin hawa, adakala ditutupnya, begitu juga dengan radio. Umi gembira memegang stereng setelah lebih kurang 55 hari tidak memandu.

Thursday, May 7, 2020

Al-Fatihah

Malam tadi, 7.18 malam, fenomena bulan purnama gergasi (Super Flower Moon). 
     Gerak. Malam tadi juga kami bergerak. Arahannya bergerak pada hari semalam. Umi sudah mendaftar dalam aplikasi 'Gerak Malaysia' lebih awal, Ayah tidak. Ayah tidak pula mendengar Umi menyuruh Ayah mendaftar dalam aplikasi tersebut. Nampak sangat Ayah tidak fokus. Ayah ingat satu keluarga isi satu kali sahaja, rupanya Ayah pun kena mendaftar. Umi lebih 'mesra' dengan aplikasi dalam talian, maka Umi menguruskannya. Ayah pun mendapat arahan yang sama, pada tarikh yang sama. Selepas singgah di rumah Ustaz Khiruddin, kami bergerak ke rumah Wan dan Atuk. Achik suka sangat dapat main dengan Akil dan Luqman.
     Hampir pukul satu pagi, Ayah mendapat berita tentang pemergian insan yang dekat dengan hati kita semua, Tuan Guru Dato' Haji Ismail Kamus. Al-Fatihah.

Wednesday, May 6, 2020

Pertama

Bukit dilitupi kabus nipis dalam rintik hujan sejak awal subuh.
   Lepas solat Subuh, Aidil, Along dan Angah berlari seperti biasa, berebut-rebut, mahu jadi orang pertama. Merajuk dan berair mata itu biasa jika tidak menjadi orang yang mula-mula. Kegembiraan terpancar daripada wajah tatkala jadi yang pertama siap mengaji.  Angah tak kisah sangat, kadang-kadang dia mengalah, biar abang-abang dahulu, awal atau lambat, dia tunggu, begitulah menurut Opah. Opah suruh mengaji dengan Atuk atau Opah suruh baca lebih, jadi tidak perlulah berebut-rebut, tidak ada yang merajuk, tidak ada  hujan air mata.
   Hujan hampir seriat, kabus masih di situ, murai menyanyi, mengibar-ngibarkan kepak kesejukan, Ayah hanya memerhati.

Tuesday, May 5, 2020

Nikmati

Sebelum sampai ke pintu pagar utama, sebahagian rumput dan anak-anak pokok liar di bukit rumah Atuk telah ditebas Atuk. 
      Ayah menyambung kerja Atuk menebas. Ada sesuatu yang menarik minat Ayah, memang ada di situ, tetapi ayah tidak  peduli sangat. "Nikmatilah kehidupan!" kata Sitting Bull kepada Puan Weldon (Caroline Weldon) setelah Puan Weldon menyatakan bahawa dia berjuang untuk dikenali. Filem 'Woman Walk Ahead' berdasarkan kisah sebenar.
    Tidaklah sebesar kubu lama di sebelah Masjid Hidayah Permatang dan di Teluk Cempedak, namun 'kubu kecil' ini tetap menarik perhatian walaupun sebenarnya hanya tempat letak tong sampah. Ya, nikmati kehidupan, apa-apa yang ada di depan mata, selagi cuti PKP masih bersisa.

Tumbuh

Bukit yang kelihatan dari rumah Opah kembali diselimuti kabus.
    Sewaktu ayah menuruni  anak tangga di hadapan beranda, hanya terlihat  kabus yang nipis. Dari pintu pagar utama, langit timur sudah terang dengan cahaya kuning, ada awan yang agak aneh seperti warna yang disapu menggunakan berus dari atas ke bawah. Sepasang merbah terbang, tak tahu yang mana satu jantan, yang mana satu betina. Seperti dalam filem Nujum Pak Belalang pula, "Kalau Nujum bijak laksana, cuba teka, yang mana jantan, yang mana  betinanya?"
    Menyusuri tempat letak kereta, pohon anggur melilit tiang tempat letak kereta. Di tepi pokok anggur, subur pokok lada. "Ditanam tak hidup," kata Opah. Pokok  lada itu tidak ditanam, tumbuh sendiri. Itulah kebesaran Allah SWT.

Bulu Angsa

Bermula tempoh PKPB,  sudah boleh bermain sukan seperti badminton yang tidak melibatkan sentuhan.  Di Pahang masih dalam tempoh PKP.
    Aidil, Along, Angah dan Achik awal cuti sudah main badminton, waktu itu panas sampai ke petang hampir setiap hari. Waktu main badminton, raket tidak cukup, main gilir-gilir, ada sahaja perasaan tidak puas hati. Ada yang masih baru belajar seperti Achik, banyak yang tidak kena apabila memukul bulu tangkis. Jika Achik memulakan servis, jenuh menunggu bulu tangkis sampai, sebab itu Achik selalu berpasangan dengan Ayah. Mulai tahun 2021 pula, bulu tangkis sintetik akan digunakan, tidak lagi menggunakan bulu tangkis yang diperbuat daripada bulu angsa.
    Ayah menggantung raket di tepi bilik Pak Su Apit, bulu tangkis pun sudah habis. Sunyi sepi, cucu-cucu Opah tidur, letih bermain selepas hujan, hanya Hana yang hampir terlelap berada di samping Umi.

Monday, May 4, 2020

Jaga

Matahari sudah naik. Langit sudah berwarna biru.
   Matahari sudah lama tenggelam. Giliran bulan memberi khidmat. Malam itu Ayah masih ingat. Dalam cahaya suram, sedang Ayah menggunakan  telefon awam di dewan makan, Ayah nampak lampu kereta menyala. Kereta itu mula bergerak. Ayah menamatkan percakapan, meletakkan gagang pada tempatnya. Ayah berlari mendapatkan kereta proton Iswara, pemandunya memberhentikan kereta.
Ayah memperkenalkan diri.  Apabila berada di kawasan sekolah dan berada di tempat yang tidak sepatutnya pada waktu yang tidak sepatutnya, boleh menjadi masalah. Apatah lagi jika fizikal seperti budak sekolah, silap-silap disergah atau akan dipanggil menghadap. Ayah mengambil langkah berjaga-jaga. Itu kali pertama Ayah berjumpa dengan Cikgu Hamir.        
    Matahari sudah naik agak tinggi. Muka Ayah mula berasa hangat. PKP pun sudah menjadi PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat). Sudah mula banyak isu hangat.

Doa

Selepas merumput, Ayah mandi, buang rasa miang.
     Duduk di kerusi, Ayah membuka aplikasi WhatsApp. Seperti yang diberitakan Puan Hajah Noridah, Cikgu Nik akan menjalani pembedahan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. Moga Allah SWT mempermudah segala-galanya dan mengembalikan kesihatannya. Masih terlekat pada ingatan, Ayah mengikut Cikgu Hamir ke Beserah untuk mengambil barang, itulah kali pertama Ayah bersua dengan Cikgu Nik. Apabila Cikgu Hamir menyambung pengajian, cikgu dari sekolah lain mengambil alih tugasnya mengajar bahasa Jepun. Itulah Cikgu Nik.
     Manusia sentiasa diuji, Cikgu Nik diuji sekali lagi. Sama-samalah mendoakannya.

Tanpa Nama

Waktu berbuka semalam, Opah masak mi kuah dan Opah tidak menamakannya apabila Ayah bertanya.
     Opah memasukkan biskut meri selain kacang tanah dan udang sebagai bahannya. Buah melaka paling laku, sekejap saja dihabiskan cucu-cucu Opah.
Bersahur, ayah menyuap Angah, selalunya Opah yang menyuap nasi ke mulutnya. Ramadan kesebelas, sahur pertama bagi Adik, makan ayam goreng. Awal lagi, Ayah membawa adik jalan kaki turun naik bukit kawasan rumah Opah. Along yang lama bertahan mengikuti Ayah dan Adik. Akhirnya, tinggal kami berdua. Tidak lama, Adik menarik tangan ayah masuk ke rumah.
     Adik sambung tidur, mungkin letih agaknya. Ayah keluar semula.

Sunday, May 3, 2020

Tenang

Kawan Ayah mesej, bertanya perihal sepupu Ayah, arwah Zahar.
     Alhamdulillah, arwah Zahar telah selamat disemadikan. Moga rohnya tenang di sana. Baba Aidil sempat menguruskan jenazahnya di PPUM. Kawan ayah juga salah seorang barisan hadapan, dia tentera. Pernah sekali kami beraya bersama, mahu ke rumah pak cik Farihan. Ayah membonceng, pak cik Zaidi menunggang motor. Kali pertama pergi dan berpatah balik, tidak sampai ke tempat dituju. Tidak ada lagi Waze dan sebagainya pada waktu itu.
     Berita terkini dipos Cikgu Salasun dan Cikgu Rohidah dalam Facebook, Cikgu Azuar kini ditempatkan di Hospital Shah Alam. Moga diberi kesembuhan  dan Allah SWT mempermudah segalanya.

Saturday, May 2, 2020

Al-Fatihah

Masih awal pagi. Langit belum membiru. Hanya yang ada awan kelabu.
     Menurut cerita Opah, arwah Zahar akan singgah di rumah Opah jika ke rumah bapa mentua abangnya. Ada masanya, dia menempah dan mengambil baulu untuk keluarga sebelah isterinya. Hari ini, menurut abangnya, Pi, arwah Zahar akan dikebumikan di tanah perkuburan, kawasan Batu Caves. Semoga Allah SWT  mempermudah segalanya. Moga Allah SWT menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan ditempatkan di tempat yang terbaik. 
     Kini segalanya hanya tinggal kenangan. Ayah memerhati deretan pokok bunga yang ditanam Opah, masih dibasahi titis-titis hujan dan berbunga putih. Kita semua juga pasti ke sana. Al-Fatihah.

Friday, May 1, 2020

Al-Fatihah

Kali terakhir kami bertemu, 14 Disember 2019.
    Sampai di sana waktu itu, hujan menyambut kedatangan kami. Kami bertemu sewaktu walimatulurus sepupu kami, Li. Baru sebentar tadi, kami menerima berita mendukacitakan. Dia telah pergi selama-selamanya, kemalangan. Dia pergi di bulan mulia, tanggal 9 Ramadan bersamaan 2 Mei. Allah SWT lebih menyayanginya. November 2019 yang lalu, ibunya pergi terlebih dahulu. Dia salah seorang barisan hadapan dalam tempoh PKP ini. Dia menyumbang khidmat bakti di PPUM.
   Jenazahnya masih di hospital. Semoga segala-galanya dipermudahkan Allah SWT. Al-Fatihah.

Harapan

"Hana cakap dengan kakak," itu ayat sebenarnya. Kena dengar betul-betul. Dia masih pelat.
     Awal pagi bangun hari ini, dia tidur awal malam tadi. Aidil, Along dan Along menonton siaran 'Nat Geo Wild', tentang harimau di India. Baru semalam Ayah membaca, Harimau Malaya melahirkan tiga ekor anak di Zoo Taiping & Night Safari. Tiba-tiba Adik datang. Ayah menyuruh dia ulang. Ayah tak faham. Ayah terpaksa tanya abang-abangnya. Baru Ayah faham. "Harimau sakit,"katanya. Dia berlari, mesti dia mahu beritahu Umi. Tepat sangkaan Ayah. Ayah mengekorinya. Umi pun tak faham sangat. "Harimau sakit," Ayah sampaikan maksudnya.
   Adik kena ulang dan terus mengulangi, itulah prosesnya. Matahari pun terbit setiap pagi dengan membawa harapan baharu. Pagi yang sememangnya  indah, bergembiralah!
         

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-gal...