Translate

Sunday, June 30, 2019

Kutip Pengalaman

Lepas ke rumah Mak Long , kami ke rumah tok chik.
      Tok chik sudah menyediakan pengalaman yang menarik untuk anak-anak. Mari kutip durian. Banyak sungguh pokok yang kali pertama ayah tengok di rumah Tok Chik. Anak-anak mengutip durian ditemani ayah. Apabila mahu mengutip durian yang sudah tercabut tangkainya mulalah  minta tolong. Makan durian yang baru gugur, buka sahaja pangsa durian, durian pun habis. Angin yang agak kuat, durian jatuh ke tanah. Sudah lama tidak menikmati saat ini. Masing-masing teruja.
      Walaupun kita tidak menikmati empat musim seperti di negara luar, musim buah di Malaysia lebih menarik dan cukup meriah serta dinantikan setiap orang, terutamanya musim durian. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri,  baik  juga di negeri sendiri.

Saturday, June 29, 2019

Mencetak Kenangan

Bukan senang untuk menjadi sempurna, apatah lagi apabila mahu bergambar bersama dengan anak-anak kecil.   
       Semua orang ada di dalam gambar itu sudah dikira sempurna. Aksinya ada pelbagai. Untuk mendapatkan satu gambar yang dikira sempurna memerlukan gambar diambil banyak kali. Zaman sekarang amat beruntung kerana 'kodak' tidak habis dan jika tidak puas dengan gambar yang diambil, boleh ambil lagi. Dahulu, tidak boleh tengok gambar yang diambil selagi gambar tidak 'dicuci' di kedai gambar.
        Gambar menceritakan seribu nostalgia. Gambar ialah kenangan yang terindah yang dapat kita rakam dan simpan. Jangan dibiarkan gambar itu hilang begitu sahaja tanpa dicetak. Ayah masih lagi ke kedai gambar untuk mencetak gambar.

Wednesday, June 26, 2019

Ubat

Tempoh hari, sewaktu di Desa Dairy Farm, kami main permainan.
    Setiap orang mesti ambil satu nama dalam sampul surat tanpa melihatnya. Kemudian, perlu kita tulis  kekuatan atau kelebihan rakan dan penambahbaikan yang perlu kawan kita lakukan serta memberitahunya. Ya, kita bukannya sempurna. Kita perlu membaiki diri kita dari semasa ke semasa dengan belajar daripada orang lain dan menuntut ilmu. Kita juga perlu menerima pandangan atau pendapat daripada orang lain tentang diri secara terbuka kerana kita selalunya merasakan diri kita sempurna dan tidak layak ditegur orang lain.
    Kita perlu belajar menimbang pandangan orang lain apatah lagi jika pandangan mampu itu mengubah kita menjadi lebih baik. Mungkin pahit bagi kita, tetapi yang pahit itu selalunya menjadi ubat yang  paling mujarab. Terima kasih Kak Shidah.

Saturday, June 22, 2019

Terbalik

Perut kenyang, hati girang. Alhamdulillah.
      Mendung mengiringi kami sepanjang perjalanan setelah selesai program di SM Sains Sabah. Rumah terbalik bukan biasa-biasa. Ada falsafah di sebaliknya. Menurut petugas, suatu masa ini dunia ini akan  'terbalik' dan bumi ini juga 'terbalik' disebabkan sikap manusia sendiri. Lihatlah pada dunia pada hari ini? Banyak bencana dan kerosakan di dunia disebabkan oleh manusia yang terlalu mementingkan diri dan tamak haloba.
      Pengajaran dan pengalaman itu ada di mana-mana. Alam dan manusia sentiasa mengajar kita dengan memberikan nilai dan pengajaran dalam kehidupan. Ada sesiapa belajar subjek Alam dan Manusia waktu di sekolah rendah dahulu? Kita geng.



Kelupis

Di sini subuhnya 4.40 pagi. Cikgu Karim mengejut kami.
       Selesai makan di Restoran dan Katering Ikhwan, kami ke SM Sains Sabah yang berada di tempat sementara, di Maktab IPG Kent, Tuaran. Tuan Haji Zaini bin Zair, Pengetua SM Sains Sabah menyatakan bahawa keseronokan dalam mengajar amat penting. Dalam masa yang sama, beliau menekankan bahawa kekurangan bukan halangan dalam mengecap kejayaan. Kesabaran juga ditekankan serta buat kerja dan jangan banyak cakap. Kemudian, Kami dijemput ke Jamuan Hari Raya Aidilfitri. Meriah dengan aneka juadah dan nyanyian lagu hari raya serta Cikgu Kahar turut menyanyi.
       Ayah makan kelupis yang kali pertama ayah jumpa. Pulut, rasanya berbeza daripada ketupat ataupun lemang. Memang sedap.

Friday, June 21, 2019

Kasut

Ada bunyi  sewaktu ayah melalui kawasan pemeriksaan. Apa yang tidak kena?
     Kebiasaannya tidak pernah terjadi. Kali ini ayah diminta menanggalkan kasut, barulah tidak ada bunyi. Lega. Ayah ingat ayah pernah sampai Klia 2 bersama dengan umi dan anak-anak, rupa-rupanya tidak. Ayah kembali menyarungkan kasut dan kami menuju ke pintu K12. Jarang sekali ayah berkasut kecuali terpaksa atau dirasakan perlu sahaja.  Ayah lebih gemar bercapal sahaja.
      Kata bijaksana, kalau mahu tahu luasnya langit, tanyalah sang helang, kalau mahu tahu dalamnya hutan tanyalah sang puyuh. Kalau mahu tahu tentang kasut, tanyalah kawan ayah, dia banyak kasut dan pakar tentang kasut.

Hidung

Sebelum sampai di Klia 2, kami berhenti di masjid Ar-Rahimah,  Taman Greenwood, Gombak.
    Khutbahnya tentang bahaya fitnah. Mudah untuk menyebarkan fitnah melalui media sosial pada hari ini. Pelbagai berita atau khabar yang kita terima pada setiap saat. Jika kita tidak berfikir panjang atau meneliti kebenaran berita atau khabar yang kita terima, bayangkan berapa banyak fitnah dan penipuan yang telah kita sebarkan pada setiap saat?
    Kebaikan juga boleh disebarkan pada setiap saat dalam media sosial. Jika hidung kita memanjang seperti Pinocchio setiap kali menyebarkan fitnah atau penipuan, kebaikan akan bersama kita sepanjang masa. Jika semua orang menyebarkan kebaikan, Insya-Allah, aman, damai, harmoni dan sentosa hidup kita semua.

Thursday, June 20, 2019

Sabar

Empat hari Achik masuk hospital ditemani umi.
    Tiga orang lagi ayah jaga. Ujian untuk kami. Setiap keluarga di dunia ini pasti melalui ujian masing-masing. Ujian pastinya tidak sama dan pasti menguji kesabaran kita. Dalam buku Seni Dakwah Kontemporari, karya Dato' Ustaz Badli Shah bin Alauddin, ada satu firman Allah swt (Surah al-Baqarah 2:286) yang berbunyi," Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
      Ada orang diuji dengan kesusahan, ada orang diuji dengan kesenangan, ada orang diuji dengan kesakitan, ada orang diuji dengan nikmat sihat. Walau apa-apa pun ujiannya, kesabaran itu sentiasa diuji dan kita perlu melaluinya selagi hidup. Bersabarlah!


Api

Menjaga keamanan negara tugas kita semua.
       Tanpa keamanan, rakyat hidup sengsara. Lihatlah di Palestin, lihatlah di Syria dan yang terkini di Sudan, apa yang berlaku? Di mana-mana sahaja, pertelingkahan yang berlaku  sehingga mencetuskan peperangan, kalah jadi abu, menang jadi arang. Bangunan musnah. Bangunan itu tempat kediaman, bangunan itu tempat kerja, bangunan itu premis perniagaan, bangunan itu tempat ibadat, bangunan itu sekolah, bangunan itu hospital. Manusia? Nyawa Sudah tidak  bernilai lagi. Bumi dilimpahi darah.
      Mahu tinggal di mana? Mahu kerja di mana? Mahu belajar di mana? Mahu makan apa? Itu pun jika masih lagi bernyawa. Jangan mulakan api peperangan dengan kata-kata adu domba, nista dan fitnah. Peperangan memusnahkan segala-galanya.

Saturday, June 15, 2019

Tenang

      Semalam, selesai kelas, ayah ke Petrosains di Perpustakaan Awam Negeri Pahang. Anak murid umi buat latihan robotik.
     Along ajak ayah main permainan 'Mindball'. Ayah tanya anak murid ayah yang bekerja di situ, Hakeem, dia cuti semester. Dia kata, permainan itu berkaitan saraf  dan memerlukan ketenangan. Bola kecil ada di tengah, jika bola itu bergerak ke tempat lawan sampai ke hujung, kita menang dan sebaliknya. Pada skrin, dipaparkan gelombang setelah kita memakai satu alat pada kepala. Along kalah tiga kali. Umi kalah  satu kali. Ayah cakap, waktu bermain  ayah baca 'Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un' tidak henti, ada ustazah ajar. Along bisik pada telinga Angah, angah baca ayat yang sama, akhirnya ayah tewas.
     Dalam hidup kita, kita mahu ketenangan. Islam telah mengajar kita. Ustaz ustazah selalu berpesan supaya berzikir dan beristighfar. Mari amalkan!


Friday, June 14, 2019

19

Semalam, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya setelah 19 tahun kita melihat aksinya di gelanggang badminton.
        Sebelumnya, penghibur yang cukup kita kenali, terutama bagi ibu bapa dan datuk nenek kita,  Datuk A Rahman Hassan, 73 tahun, penyanyi era 1960-an telah dijemput Ilahi. Masa yang berlalu meninggalkan kita dan setiap masa yang berlalu meninggalkan kenangan buat kita. Banyak orang hadir dalam hidup kita, walaupun kita tidak mengenali mereka secara lebih dekat, tetapi mereka tetap menggembirakan kita dan menjadi sumber inspirasi buat kita.
      Salah satu perkara yang boleh kita lakukan dalam hidup ialah menggembirakan ahli keluarga atau orang yang berada di sekeliling kita dan jadikan diri kita sebagai sumber inspirasi kepada orang lain.

Wednesday, June 12, 2019

Makan

Dalam hidup ini, banyak perkara yang perlu kita tempuhi dan ada kalanya kita mengalami tekanan.
      Setiap orang mempunyai cara masing-masing menangani tekanan atau stres, ada yang bersukan, ada yang pergi makan atau minum, ada yang memasak, ada yang main permainan video, ada yang membaca, ada yang pergi solat sunat atau mengaji, ada yang berzikir, ada yang menyendiri, ada yang pergi membeli-belah atau sekadar melihat-lihat, ada yang pergi tidur, ada yang berborak, ada yang mendengar muzik atau menyanyi, ada yang menonton televisyen atau 'Youtube' dan banyak lagi.
       Yang paling penting, jika mengalami tekanan, cuba kita fikirkan cara untuk mengurangkan atau menghilangkan tekanan dengan melakukan sesuatu yang menggembirakan hati kita, bukannya dengan membuat orang lain turut tertekan dengan sikap kita.

Sunday, June 9, 2019

'Hulk'

Tetap bermain di bulan puasa. Itulah anak-anak.
      Macam bateri 'Energizer'. Lari, kejar, penat, berhenti. Menanti teduh, di dalam rumah tengok kartun, tengok telefon pintar, duduk bersama. Yang kecil, memegang 'remote control', dibuat seperti telefon, letak pada telinga. Adik pula, kaca mata ayah pun boleh jadi permainan dia. Sudah raya lagilah meriah. Mereka seperti telefon pintar bateri penuh sepanjang masa. Tidak kira di rumah orang atau di rumah sendiri, tidak boleh duduk diam. Di rumah orang, kena pesan siap-siap. Sampai di rumah orang, jumpa pula rakan sebaya yang lain, main lagi. Jeling pun buat tak tahu.Ya, memang mahu rasa jadi 'Hulk' pada waktu itu.
     Begitulah anak-anak, perlu dipantau selalu, perlu diberitahu selalu, perlu diingatkan selalu. Kita pernah jadi anak-anak, kita perlu mencontohi kesabaran ibu bapa kita dalam mendidik kita.

Saturday, June 8, 2019

11

Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 11 jam dari Tanah Merah ke Kuantan satu perjalanan yang panjang bagi kami.
       Perjalanan yang banyak menempuh hujan dan kenderaan yang beratur panjang memerlukan 'Encik Kesabaran' sentiasa di sisi. Di mana-mana sahaja beratur panjang, di stesen minyak, di surau, di kedai makan, di tandas, lautan manusia. Di kiri dan di kanan jalan yang banyak rumah kampung serta gerai dan kedai yang pelbagai mengurangkan kebosanan, ditambah pula dengan lagu hari lebaran. 'Adakalanya 'Waze' membawa kami menemui jalan pintas melalui jalan kampung.
       Perjalanan membawa kita ke tempat yang dituju. Lambat atau cepat, perjalanan tetap perlu diteruskan. Dalam perjalanan ini, pelbagai perkara kita akan temui. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan, begitulah kata orang tua-tua.

Thursday, June 6, 2019

40

40 tahun, ini kali pertama beraya di rumah Opah pada hari raya Aidifitri.
       Alhamdulillah, cukup meriah. Kami pergi ambil nenek. Semua berkumpul di sini. Anak-anak, asal dapat bermain, mereka memang cukup gembira. Pak su hari raya baru sampai, pagi raya Mak Su masih bekerja, berkhidmat untuk negara. Tetamu yang datang silih berganti. Opah buat ketupat daun palas, rendang ayam, daging masak kicap, lontong dan kuah kacang. Hari ini ketupat sudah habis. Kuih-muih masih ada. Dodol cukup sedap. Petang semalam hujan. Petang hari ini pun hujan. Achik melaram dari pagi sampai ke malam dengan baju Melayu berserta samping. Pagi ini pun masih pakai. Setelah mandi, barulah tukar baju baharu.
        Alhamdulillah, warna-warni di Aidilfitri. Meriah dan riuh-rendah. Yang jauh, yang dekat saling bertemu, erat ukhuwah, saling bermaafan.

Wednesday, June 5, 2019

Kicap

Alhamdulillah, Syawal pun tiba. Macam-macam juadah tersedia.
      Pagi selepas balik dari masjid, kami duduk sekejap sambil menikmati juadah. Ayah ralit mengunyah kacang kuda dan meratah daging masak kicap. Umi pun suka. Selepas beraya di rumah Tok Nab dan Tuk  Ron, kami bergerak ke rumah nenek di Sungai Nerek. Ada nenek dan Mak Njang. Angah dan Achik gemar sangat makan laksa, bertambah. Kami balik ke rumah opah sebelum Zuhur dan ini kali pertama kami raya Aidilfitri di sini. Petang, Along, Angah,Aidil, Ziyad ikut Tok Chik dan Nenek ke rumah Tok Pah dan Tok Li.
      Sempat mereka main bola sebelum hujan dan masuk rumah  Tok Li dan Tok Pah makan laksa. Bertambah lagi Angah makan laksa. Siap minta kicap lagi. Bukan semua orang biasa makan laksa dengan kicap. Cubalah!


Monday, June 3, 2019

Menanti

Dari luar kedai sudah nampak penuh. Memang penuh pun apabila masuk.          
       Cuaca di luar mendung sahaja. Sebelumnya, sepanjang perjalanan hujan, tidaklah lebat sangat. Sekarang sudah berhenti. Menunggu giliran, Angah dan Along tengok drama. Ayah baca berita. Jalan di luar agak sibuk. Di kiri dan di kanan lagi sibuk. Seperti biasa, sibuk dengan yang membakar lemang, cukup meriah. Masing-masing mahu memilih. Lemang yang mana mahu dibeli? Yang menjual buluh lemang pun ada.
      Itu semalam. Hari ini Ramadan terakhir. Yang balik kampung, kawal emosi, macam-macam ragam menanti,  hati-hati, mengantuk, berhenti, ingat-ingat yang menanti.

Sunday, June 2, 2019

Enam

Li tersedar. Sudah pukul 6 pagi. Lepas sahur tadi, dia terlelap di sofa.
       Selepas solat subuh, Li membuka pintu. Mengiau-ngiau ibu kucing minta makanan. Li menyarung selipar merahnya. Warna kegemarannya. Dia mendongak ke atas. Terpampang nombor 6, nombor rumahnya. Seekor cicak pantas berlari menyorok. Li melangkah, berhenti. Li mengira anak kucing di dalam kotak. "Eh, ada lima! Mana lagi seekor?" Li berpusing, memandang ke kiri dan ke kanan. Difokuskan pendengaran. Sayup kedengaran. Dia melangkah dua tiga tapak dan berhenti. Duduk mencangkung. Dia mengangkat anak kucing yang tidak lepas naik dari longkang. "Kalau boleh jalan sama-sama, kenapa jalan seorang?" Li bertanya kepada anak kucing. Diletakkan anak kucing ke bawah dan anak kucing itu menggesel-gesel pada kakinya seperti berterima kasih.
      Li duduk di atas kerusi kayu. Teringat dia akan satu peribahasa Afrika, " If you want to go fast, go alone. If you want to go far, go together." Li bangun semula. Li melangkah masuk ke dalam rumah. Dari belakang, jelas nombor 6 pada jersi merah yang dipakainya.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...